Ryouji tidak mengikut Kasukabe dan pegawainya ke laluan menuju Wakayama. Dia berlegar-legar di kawasan di mana mayat-mayat tujuh sami itu ditemui.
Tempoh hari Pembunuh Senja itu membunuh tujuh orang sami di sekitar sini,
laluan menuju utara (Kanazawa). Dua hari selepas itu, dia membunuh tiga orang
polis juga di sekitar sini, dan sehari selepas itu iaitu hari ini, dia membunuh
sami di laluan ke selatan pula. Dia mengubah lokasi, atas alasan apa? Dan
mengapa semua mangsanya sami petarung? Apakah dia punya dendam dengan mereka?
Dan anehnya, kejadian di selatan yang dilaporkan tadi berlaku pada petang
begini, dan bukannya senja?
Ah, aku memang tidak arif bab siasat-menyiasat ini. Ia memang bukan
bidangku. Kerjaku hanya menangkap orang. Namun aku perlu mencuba. Mengharapkan
polis yang lambat hanya akan memberi kesempatan untuk suspek melepaskan diri.
Dari cara pembunuhannya, pembunuh ini bertindak berseorangan. Dia pastinya
berada di tempat tinggi demi memerhati pedagang yang keluar dari Kyoto dan
masuk ke pergunungan ini sebelum ke utara dan selatan. Dan dari maklumat Kasukabe,
petarung ini seolah tahu kaminari, dan jika ia benar pastinya dia mampu
turun dengan pantas ke dasar bukit dengan kaminari tanpa kecederaan.
Bahkan kaminari juga membolehkan dia naik ke atas tempat tinggi tanpa
perlu mendakinya, dengan berpusaran di udara. Memerhati pedagang dari jauh
memerlukan seseorang berada di puncak tinggi. Pokok di sini tidak cukup tinggi
untuk tujuan itu.
Di mana tempat yang tinggi? Oh ya puncak gunung itu, Gunung Hiei. Di atas
sana aku dapat lihat pagoda. Bukankah Kuil Enryakuji terletak di atasnya? Ada
dua pagoda di sana. Yang mana satu tempat dia bersembunyi? Pastinya bukan di
dalam, dia pastinya memanjat bumbung dan menggunakan teropong. Jika dia baru
sahaja meneropong ke arah selatan dan membunuh sami di sana, dia sepatutnya
berada di Pagoda Timur kerana pemandangan ke selatan lebih jelas dari situ.
Kebetulan Ryouji mengesan kelibat sedang menyelinap masuk di atas bumbung
pagoda kala awan berarak dan cahaya matahari lebih cerah dari sinar redup yang
menguasai petang itu.
Aneh. Siapa yang memanjat bumbung kuil kalau bukan ninja atau dia. Mungkin
dia!
Ryouji memasuki kaminari-no-kaze dan tiba di puncak Gunung Hiei, di
Kuil Enryakuji. Di sana dia masuk ke dalam kuil seperti biasa dan disambut
dengan tunduk hormat oleh seorang sami yang berkawal.
“Kalian, aku diberi mandat oleh polis Maharaja untuk memberkas seseorang.
Ada penceroboh di dalam kuil ini aku syak.” Ryouji memaklumkan seraya
menayangkan kad yang diberikan polis yang diperbuat daripada kayu. Dia
bertopeng kembali demi menyembunyikan identitinya.
Selepas mendapat kebenaran, Ryouji segera melompat dalam kaminari ke
puncak Pagoda Timur. Para sami memandang Ryouji penuh kekaguman, barangkali
ilmu pertarungan mereka, jika mereka souhei sekalipun, tidak akan mampu
menandinginya.
Di puncak, Ryouji berlegar-legar mencari kelibat yang dilihatnya tadi.
Tangannya dipegang dari belakang tiba-tiba, Ryouji cuba memusing badannya
namun lengannya dikunci langsung, lehernya diacu pisau.
“Siapa engkau?!” Teriak Ryouji.
“Orang yang kau carilah. Pembunuh Senja!” Usai memberi respons dia ketawa
terbahak-bahak.
“Mengapa engkau membunuh mereka... mengapa?!”
“Oh, itu bukan urusanmu. Namun tidak mengapa, aku akan beritahu engkau.
Mereka ini racun. Racun yang menyesatkan!”
“Apa maksudmu... racun? Menyesatkan?”
“Mereka mengumpul pengikut ajaran sesat. Bertapa di sini mengasingkan diri
dari masyarakat selama tiga tahun dan meredah hutan ini. Aku akan hapuskan
mereka dan ajaran sesat mereka ini!”
Ryouji masih kaku, pisau di leher belum lekang. Seinci dia bergerak, pisau
akan dibenamkan ke leher. Dia tidak boleh mati sekarang, dia harus memberkas
lelaki ini.
“Dan apa kaitan dengan engkau mencuri barang dagangan lelaki itu?”
“Sumber pendapatan. Aku tiada kerja selepas dipecat dari kuil ini.”
Oh, inilah motifnya, getus Ryouji. Dia dipecat. Dia pernah bekerja di kuil
ini rupanya.
“Mengapa engkau dipecat?”
“Banyak soalmu ya budak. Mereka tidak bersetuju denganku. Sedang aku hanya
menegur mereka bahawa ajaran mereka ini menyesatkan orang awam. Berjalan kaki
merentas gunung selama tiga tahun lebih demi mencapai ketenangan? Apa punya
bodoh? Abangku mati kerana itu, kerana taksub dengan mereka, abangku mati dalam
perjalanan itu tahu tak! Dan aku tidak mahu mati bodoh seperti abangku, aku
akan membunuh mereka! Terima kasih kepada Sonzaemon-san yang melatih aku kaminari,
semua souhei-souhei itu mampu aku tumpaskan semudahnya! Hahaha!”
Sonzaemon melatihnya? Hah, andai ia Sonzaemon yang pernah menganiaya aku
dahulu, Sonzaemon itu sudah pun mati. Nampaknya natijah dari perbuatannya di
dunia akan berlarutan meskipun dia sudah lama mati.
“Jika kau tak berpuashati, ada sahaja saluran undang-undang yang boleh
kaugunakan.”
“Undang-undang? Oh tidak, tidak. ‘Jenayah’ mereka ini tidak boleh
dibicarakan di mahkamah kerana ia kepercayaan, kepercayaan! Bagaimana mahkamah
Maharaja boleh menghukum sebuah kepercayaan dan doktrin sebagai jenayah?
Bagaimana, dalam sebuah negara yang kian bebas seperti Barat begini?”
“Namun engkau telah membunuh nyawa, wahai pemuda. Ia masih salah di sisi
undang-undang!”
“Ohoh, jadi engkau mahu memberkasku? Cubalah. Seinci engkau bergerak, pisau
ini akan kubenam ke lehermu. Cubalah!”
Ryouji diseret ke sebuah bilik di tingkat tertinggi pagoda itu. Di dalam
bilik tersebut ada banyak harta simpanan kuil bertimbun berpeti-peti memenuhi
satu sudut bilik. Juga ada satu binokular dengan badannya diperbuat daripada
kayu bergantungan pada satu tempat sangkut yukata, satu pemandangan yang aneh
dalam ruang penuh rekaan tradisional Jepun. Barangkali ia binokular lelaki ini,
getus Ryouji.
“Jadi engkau meneropong pedagang dari jauh dengan binokular ini?”
“Ya. Namun engkau silap, aku bukan mencari pedagang...”
“...engkau mencari sami bukan?”
“Ya! Bukankah itu yang aku ceritakan tadi? Aku akan hapuskan mereka dan
agama mereka semuanya.”
Ryouji diikat pada satu tiang. Jika diikutkan ada sahaja bukaan untuk dia melepaskan
diri, bahkan lelaki itu lebih kurus dan rendah tubuhnya. Namun entah mengapa
Ryouji tidak menggunakan peluang itu, seolah semangat untuk melakukannya,
semangat bertarung sudah lama lenyap. Juga, Ryouji merasakan refleks yang
dahulu dimilikinya semakin berkurang, dia lebih bersedia menyerah diri dari
melawan. Jujurnya dia belum benar-benar berlatih sebelum memulakan usahanya
sebagai yoru-no-kaze. Mungkinkah kerana sudah lama tinggal selesa di
Gero tanpa peluang bertarung lagi? Atau dilemahkan oleh kematian Kiku? Atau
dilemahkan oleh tiga bulan dia murung di perbaringan? Lantas lemah dan takut
mula menguasai diri?
“Apa yang kau mahu lakukan?” Soal Ryouji sebaik ikatan terakhir dikemaskan
lelaki itu.
“Aku akan bakar pagoda ini bersama harta-harta mereka. Engkau boleh mati
seorang diri di sini.”
Lelaki itu menuang minyak tanah ke serata pelusuk bilik.
“Wahai pemuda, engkau tidak akan mampu menghapuskan agama mereka. Agama
Shinto dan Buddha sudah tertanam dalam hati rakyat negara ini. Jika engkau bunuh
sami mereka sekalipun, engkau tidak akan mampu memadamkan iman mereka. Semua
usahamu sia-sia!”
“Katalah apa yang kaumahu budak bertopeng. Aku pasti usahaku ini akan
membuahkan hasil. Tiada lagi agama pertapaan bodoh ini.”
Usai menyimbah minyak tanah, lelaki itu menyalakan api dan mencampakkannya
ke tempat simbahan. Ryouji dikelilingi api sekelip mata.
“Sayounara! Hahaha!” Lelaki itu mengambil binokularnya dan pantas
terjun melalui tingkap dalam kaminari.
Barang-barangan berharga semakin banyak yang dijilat api, asap hitam
memenuhi ruang bilik. Hanya Ryouji yang belum dijilatnya, sengaja lelaki itu
membiarkan api mengelilinginya sahaja agar dia terseksa dek haba dan asap yang
menebal sebelum menerima ajalnya.
Lelaki itu yang kini sudah di bawah, menjerit “Api, api!” kepada semua
pengunjung kuil itu. Para sami di bawah keluar dari kompleks utama dan
memandang ke arah Pagoda Timur seperti yang ditunjukkan lelaki itu. Sebaik
semakin ramai sami keluar, lelaki itu mengeluarkan pedangnya dan melibasnya
pada seorang demi seorang sami di situ, sehingga perkarangan kuil dibanjiri
darah dan mayat sami bergelimpangan, sebelum lelaki itu dihentikan seorang souhei
bertubuh tinggi dan tegap yang menahan pedangnya dengan sebilah naginata.
“Ryoichi! Apa yang kau dah lakukan, ha?!” Gertak souhei itu.
Pembunuh Senja atau Ryoichi, senyum sinis ditegur rakan lamanya itu.
“Perlukah aku jawab soalanmu? Aku sedang melakukan pembersihan.
Kuman-kuman, racun-racun seperti kalian harus dibersihkan dari bumi Jepun ini.
Racun yang telah membunuh abangku!”
“Ryoichi, Soichi memilih jalannya sendiri. Kami tidak memaksanya melakukan
perjalanan itu.”
“Kalian menanam rasa taksub abangku terhadap kalian. Abangku telah
menghabiskan banyak wang menderma pada kalian, namun ini pulangannya? Aku dan
abang menghabiskan masa remaja kami menuntut dengan kalian di sini, namun ini
balasannya? Dan bilamana aku katakan bahawa amalan perjalanan spiritual itu
karut dan rekaan dan seharusnya dimansuhkan, kalian kata aku sesat dan
memecatku. Kalian semua boleh pergi mampus dari bumi ini.”
“Kami tidak pernah mewajibkannya. Soichi yang rela hati melakukannya.
Apakah dia tidak memberitahumu? Ryoichi, engkau masih belum faham agama kita.”
“Ah, usah membelit kata! Aku faham, aku sangat faham bahawa agama engkau
ini agama pentaksub, agama pembunuh!”
“Ryoichi, aku pinta engkau serah diri. Engkau telah membunuh ramai orang.
Apakah tujuh sami kami yang dihantar ke Kanazawa itu juga mangsa-mangsamu?”
Ryoichi tidak menjawab. Tangannya bersedia menarik pedang dari penahanan naginata
souhei itu dan melibasnya. Souhei itu pula masih berwaspada akan
gerakan tiba-tiba Ryoichi.
“Itobashi-san, engkau tidak akan mampu menewaskanku. Aku telah
mempelajari kaminari. Namun aku belum pun menggunakannya, dan kalian
sudah dibersihkan begitu ramai sekali sehingga bergelimpangan...” Bongkak tutur
kata Ryoichi dengan senyum sinisnya, cuba membakar amarah dalam hati sami yang
bernama Itobashi itu.
Itobashi menahan amarah yang membakar di dada, berbekalkan zen yang diraih
bertahun lamanya menjadi sami. Namun rasa gentar turut menjalar di urat saraf.
Andai benar dia bukan tandingan Ryoichi maka ada baiknya sekiranya dia berlepas
diri dari pertarungan yang sia-sia ini.
“Engkau belum menjawab soalanku Ryoichi. Apakah insiden itu angkaramu
juga?!” Itobashi menyoal dengan nada lebih tegas dan keras.
“Ya, itu semua angkaraku! Dan yang terbaru, tiga orang yang menghala ke
selatan juga! Dan tiga orang polis juga! Hahaha!”
“Apakah engkau masih manusia, Ryoichi?”
“Itobashi-san, aku tidak ada masa lagi. Kalian semua beredar dari
kuil ini atau aku akan bunuh kalian seorang demi seorang.”
“Tidak, aku yang akan menangkapmu mati atau bernyawa, dan membawamu ke
Kogen untuk dibicarakan.”
Dalam leka perbualan itu, Ryoichi berjaya menarik pedangnya dari naginata
Itobashi. Mereka sambung bertarung.
Sementara itu pengunjung dan para sami bercempera melarikan diri. Api
semakin marak dan asap hitam menyelubungi hampir keseluruhan Pagoda Timur dan
hampir ke tapaknya. Sami yang menyambut kedatangan Ryouji tadi, mujurlah dia
masih hidup, berteriak “Yoru-no-kaze ada di dalam menara! Yoru-no-kaze ada di
dalam menara!” Dia sedar Ryouji tidak turun-turun dari menara itu dan dia juga
tidak maklum bahawa Ryouji tahu kaminari dan pengguna kaminari
boleh turun melalui tingkap langsung terjun ke kaki gunung.
Sementara itu Ryouji semakin lemas dek asap tebal. Dia masih bergelut
melepaskan tangannya dari ikatan pada sebatang tiang dan kakinya yang turut
diikat.
Siapa yang boleh membantuku, keluh Ryouji dalam separa sedar. Asap telah
memabukkannya. Kepalanya mula pening dek kekurangan oksigen. Haba dari
pembakaran yang semakin berleluasa dalam ruang sempit itu membahang. Tubuhnya
berpeluh-peluh. Dia menduga apakah dia akan mati hari ini. Ada sesalan
menjentik-jentik benaknya. Andai dia berdiam sahaja di rumah dan tidak memutus
melakukan kerja begini, sudah pasti dia masih hidup di Gero. Namun mengapa dia
memilih jalan ini?
Bayangan Kiku menjelma dalam kesamaran. Kematian Kiku adalah titik tolak
dia memilih jalan ini. Andai Kiku masih hidup, sudah pasti hari ini dia masih
bersenang-lenang duduk di bangku bersama Kiku. Tidak, bukankah ini sudah
penghujung musim luruh? Aku mungkin sedang membawanya berjalan-jalan di sekitar
Kyoto. Aku dengar ada banyak taman-taman di sini, suasana musim luruhnya amat
cantik. Aku tidak pernah membawa Kiku bersiar-siar di taman melihat daun luruh
sepanjang hidupnya, kerana pertemuan kami cukup singkat, aku tidak sempat.
Bukankah kematian akan membawaku lebih dekat dengan Kiku? Namun apa
kebaikan yang akan aku bawakan untuknya? Di mana janji yang aku akan membela
mereka yang dizalimi, yang aku telah janjikan untuknya dan aku boleh banggakan
untuk Kiku di alam sana? Aku baru sahaja bermula dan kini aku sudah di hujung
nyawa. Siapa yang boleh menyelamatkanku? Siapa?
Api yang semakin marak dan sekian lama menguis-nguis kaki Ryouji, akhirnya
berjaya merapati dan bahangnya memanggang kaki Ryouji. Ryouji meraung-raung.
Dialih-alih kakinya, namun pabila dialih, dipanggang pula bahang dari arah itu.
Hanya beberapa minit sahaja yang dia boleh manfaatkan untuk melepaskan diri
sebelum api menyelubung dirinya sepenuhnya. Namun dia tidak berupaya lagi, asap
yang tebal telah memabukkannya. Ryouji pitam.
Sementara itu di bawah...
“Kousaka, sungguhkah engkau mahu naik ke atas? Engkau yakinkah budak
bertopeng itu masih di atas sana?” Soal seorang sami.
“Aku yakin. Aku memerhati menara itu sejak sebelum ia terbakar. Aku yang
membenarkan budak bertopeng itu masuk, dan aku menyorotnya sehingga dia naik ke
atas.”
“Api makin marak Kousaka.”
“Aku ada firasat buruk. Barangkali penceroboh itu telah menangkapnya dan
menahannya di sana membiarkan dia terbakar.”
“Aku mahu mengikutmu.”
“Ayuh cepat!”
Kousaka, sami yang menyambut Ryouji, naik ke atas menara yang sedang marak
bersama rakan saminya. Ryoichi yang sedang bertarung dengan Itobashi, nampak
mereka namun tidak mampu berbuat apa-apa demi menumpu pada pertarungan. Itobashi
menyedari perkara itu dan menghalang Ryoichi dari mengganggu rakannya naik ke
atas menara.
“Engkau tak risaukan rakanmu turut terbakar di atas sana?” Soal Ryoichi
sinis.
“Aku yakin mereka akan turun dengan selamat.”
“Oho, hanya mereka yang tahu kaminari sahaja yang boleh terjun dari
atas. Apakah mereka tahu kaminari?” Soal sinis Ryoichi lagi.
“Aku akan menghalangmu dari mengganggu mereka. Ryoichi, serah diri dan
Kogen akan meringankan hukumanmu.”
“Itobashi-san, ini amaran keduaku. Aku belum menggunakan kaminari
denganmu. Apakah engkau masih mahu bertarung denganku?”
“Aku akan menangkapmu bedebah. Aku pasti akan menumpaskanmu!”
“Baiklah, jika engkau berdegil. Usah menyesal dengan keputusanmu.”
Ryoichi mula naik dari jurus ke jurus. Kepantasannya mula meningkat dan
Itobashi banyak terlepaskannya. Ryoichi berjaya mendaratkan banyak hirisan
pedang pada tubuh Itobashi sehingga yukatanya dicemari darah. Di kemuncak
pertarungan, kepantasan Ryoichi berjaya mematahkan mata naginata
Itobashi. Itobashi tunduk selepas mencampakkan batang naginata itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan