Namun ada satu ketika, aku bertegas untuk tidak menerima kerja yang ditawarkan. Aku bertengkar dengan Hisamiko. Kami tidak bercakap selama dua hari.
“Yoru-no-kaze jyanai desuka?”
“Ya. Apa yang kami boleh bantu?”
“Abangku dibunuh. Aku mahu kalian membunuh pembunuh itu.”
“Maaf. Kami hanya menangkapnya dan menyerahkan kepada Kogen untuk tindakan
mereka. Kami tidak membalas dendam untuk sesiapa.”
“Aku mahu kalian membunuhnya! Beritahu aku berapa kalian mahu, aku sanggup
membayarnya!”
“Tidak, kami tidak akan membunuhnya.”
“Bagaimana jika kalian menangkapnya, dan menyerahkan kepadaku untuk
kubunuh?”
“Tidak, kami tidak akan membenarkan mana-mana individu membalas dendam.
Kami hanya akan menerima tawaran kerjamu jika engkau bersetuju untuk kami
menangkapnya dan menyerahkan kepada Kogen. Ini syarat kami.”
“Kogen? Apakah Kogen boleh dipercayai?”
“Kogen bersekutu dengan polis. Kogen ada cara bagaimana memaksa suspek
membuka mulut.”
“Onii-san!” Bisik keras Hisamiko sambil menarik lengan abangnya ke tepi.
“Matsubara-san, chotto ii ka?” Hisamiko meminta kebenaran
berbincang dari pengadu itu.
“Ii desu ga...” Balas Matsubara. Ryouji menuruti adiknya ke tepi
sedikit, jauh dari lingkungan pendengaran Matsubara.
“Jika kita bertangguh dan tidak membantunya, suspek akan terlepas dan
kematian abangnya tidak akan terbela!”
“Benar, namun kita perlu mendengar kedua-dua mereka membela diri. Pasti ada
alasan mengapa abangnya dibunuh.”
“Dan dia sanggup membayar upah mahal...”
“Miko, kita buat semua ini bukan kerana wang semata. Bukankah kita punya
wang yang cukup dari peninggalan otou-san?”
“Ya, namun...”
“Miko, ikut sahaja kataku!” Renungan Ryouji menikam wajah Hisamiko.
Akhirnya dia terpaksa mengalah dengan abangnya.
“Jadi, Yoru-no-kaze, apakah dia akan dilepaskan sekiranya Kogen tiada bukti
menghukumnya?”
“Ya.”
“Dia... dia telah membunuh abangku...”
“Engkau pasti? Apakah engkau punya bukti?”
“Dia melakukannya di hadapanku!”
“Maka engkau boleh menjadi saksi di mahkamah Kogen. Di sana, luahkan semua
pemerhatianmu. Termasuk alasan mengapa dia membunuh abangmu.”
Kala itu, Ryouji mula menyedari sesuatu, seperti bahang di dalam hati.
Betapa dia cuba menahan rasa yang sama menyelubungi jiwa. Rasa kehilangan yang
perit, bermula dari bapanya, isterinya... rasa-rasa yang cuba menggoyahkan
pegangan yang masih rapuh.
“Matsubara-san...” Ryouji menegur pengadu itu, seolah-olah sedang cuba
menujukan kepada dirinya.
“Kami tidak tahu apa sebabnya dia membunuh abangmu. Meski sekeji mana
sekalipun dia, kami perlu menadah telinga mendengar alasannya. Apakah engkau
benar-benar tahu kisah abangmu? Maksudku, apakah abangmu menceritakan semua
kisah-kisah, apa yang dilakukan sehari-hari? Apakah engkau benar-benar kenal
abangmu?”
Matsubara terdiam. Kelu lidah.
“Jika engkau tidak mahu membantuku, tidak mengapa. Sayonara, Bayang Malam.”
Balas Matsubara hampa seraya beredar membawa rajuknya.
Hisamiko bertengkar denganku kemudian. Dia masih belum jelas mengapa aku
melakukan semua ini. Hisamiko, bukanlah tujuanku membantu sesiapapun membalas
dendam. Aku mahu membela mereka yang teraniaya seperti kita. Namun aku juga
perlukan bukti.
Tidak lama selepas itu, aku mendengar pembunuh itu hanya menuntut bela
maruah adik perempuannya. Abang Matsubara telah menodai adik perempuannya. Pada
mulanya dia melamar gadis itu namun gadis itu menolaknya. Lantaran itu dia
berang, menculik dan membawanya ke rumah kosong di mana dia melakukan onar
tersebut.
Pembunuh itu dipenjarakan Kogen. Kogen berpendapat meskipun dia membunuh
mengikut Kod Kogen yang menghalalkan darah perogol, dia tetap bersalah kerana
mengambil peranan Kogen ke tangan sendiri.
Matsubara kudengar tidak berpuas hati. Aku yakin, dendamnya masih membara.
Dia pasti akan membalas dendam. Kisahnya kukira masih berjalan, sehingga saat
ini, sehingga detik aku sedang bersenang-lenang, dia masih menanggung beban
emosi. Kisahnya belum bertemu penutup yang dia mahukan. Kesakitan dan
kehilangan yang pernah aku rasakan, dia turut merasakannya saat ini. Mungkin
dia bakal menjadi seperti Kobato, atau Tatsuya, aku tidak pasti.
Kisah itu membuka mataku, bahawa undang-undang tidak akan dapat memuaskan
hati semua. Saitou, engkau benar. Tiada undang-undang di dunia ini yang
sempurna. Undang-undang hanya bertindak berdasarkan logik yang dipandu oleh
bukti-bukti yang terhad, namun tiada siapa yang mampu mengekang manusia yang
memilih untuk bertindak berdasarkan emosi.
**
Aku berbaring di atas dahan. Di seberangku
Hisamiko turut berbaring di atas dahan. Kami kepenatan. Siang tadi kami telah
menumpaskan satu kumpulan penjenayah dan mencekup mereka, kemudian melaporkan
kepada Kogen. Mereka sedang di dalam kurungan Kogen sekarang. Kami telah
dibayar upah oleh pengadu dari kalangan awam itu. Beginilah hidup kami sejak
dua bulan lalu. Tidur di mana-mana dahan pokok yang tinggi, makan di mana-mana,
dan mandi di mana-mana sebagai duo yang digelar yoru-no-kaze. Tiada
siapa tahu identiti sebenar kami yang memakai topeng kabuki. Kami tidak
boleh bermastautin. Kami tidak boleh mengikat hubungan, atau mereka yang punya
hubungan dengan kami akan mati sepertimana Kiku. Sesungguhnya kesialan yang aku
bawa itu tidak terhad kepada ramalan Amaguri dan sumpahan hayabusa. Kami
sememangnya hidup bersama malapetaka. Sejak kematian otou-san, kami
ditimpa malapetaka demi malapetaka. Dan kemuncaknya ialah kematian isteri yang
baru kukahwini.
Tuhan, aku hanya mahu hidup sepertimana insan
yang lain. Mengapa Engkau masih memberikan aku kehidupan begini? Mengapa aku
perlu menghadapi semua penderitaan ini?
Bukankah engkau yang memintanya, Ryouji?
Aku yang memintanya? Bila?
Engkau sudah lupa? Engkau yang mahu menggunakan
kuasamu membela mereka yang dianiaya? Bangkit dari berdiam di tengah-tengah
pekan Gero itu?
Ya, dan aku tidak meminta Engkau mengambil Kiku
dariku!
Jika Kiku masih hidup, apakah engkau berupaya
bangkit dari zon selesamu dan keluar menadah telinga mendengar aduan-aduan
mereka yang dianiaya?
Soalan itu memeningkan kepalaku. Bintang-bintang
di langit seperti berpusar berkisar. Otakku kejang tiba-tiba. Cahaya dari
purnama menjadi terang dan menyilaukan. Gigiku berlaga. Mataku kejap dan kaku.
Aku cuba menggerakkan tubuhku namun tidak berhasil. Ia terlalu keras. Nafasku
tersekat-sekat. Dadaku ditekan rapat dan kuat pada dahan yang menampung
belakangku. Lama aku begitu. Sepanjang ia berlaku, aku cemas dan kaget. Setiap
saat aku begitu, seumpama sehari menunggu. Deritanya hanya Tuhan yang tahu.
Sebaik aku sedar, ada buih di mulutku.
Hisamiko beranjak duduk di sebelahku.
“Onii-san, engkau sawan.”
“Apa yang engkau lihat Hisamiko?”
“Matamu ke atas menjadi putih. Badanmu
bergoncang-goncang.”
“Berapa lama aku begitu?”
“Dalam sepuluh minit. Aku menahan tubuhmu dari
berguling jatuh.”
**
“Maafkan aku Mitsuhide! Maafkan aku!” Tatsuya berdiri sambil menundukkan
kepala, mengulangi kata-kata maaf.
Mitsuhide duduk sambil berpeluk tubuh di anjung rumahnya berhadapan relau
tempat menempa pedang, di tengah-tengah pekan Shizen. Wajahnya membatu. Tidak
ada perasaan terukir di wajahnya.
“Tidak perlu engkau meminta maaf denganku, Tatsuya. Engkau telah mencuba.”
“Apa maksudmu?”
“Kala aku meminta engkau membalas dendam Kobato dengan membunuhnya, aku
seolah bukan diriku. Aku dikuasai perasaanku. Selepas beberapa hari aku memikirkannya,
aku yakin bukanlah itu yang kumahukan. Tatsuya, apakah pedangku itu ada
menumpahkan darah sewaktu engkau melunaskan dendam itu? Maksudku, mereka selain
Ryouji?”
“Ada yang terkorban namun bukan dengan pedangmu.”
“Siapa?”
“Isteri Ryouji.”
Mitsuhide terdiam sejenak. Dia sedikit lega pedang ciptaannya itu tidak
terlibat, namun terperanjat mendengarkan khabar dari Tatsuya.
“Engkau membunuh isterinya tanpa sengaja?”
“Ya, menggunakan pisauku. Aku mahu melempar ke arah Ryouji, namun mengenai isterinya.”
“Mungkin inilah karma. Aku harap dia merasai apa yang aku rasai selepas
kehilangan Kobato.”
Tatsuya termenung mendengarkan kata-kata Mitsuhide. Baru tadi dia
menyuarakan rasanya yang berbolak-balik, sekarang dia bersetuju pula akan nasib
yang menimpa Ryouji.
“Aku telah membatalkan niatku untuk membalas dendam terhadap Ryouji
sepanjang pemergianmu Tatsuya, namun Tuhan sendiri telah membalas dendamku.”
Tatsuya bangkit dan beredar. Dia sendiri tidak memahami Mitsuhide. Namun
apa yang pasti, dia akan kembali mengadap Ryouji. Dia nekad untuk memastikan
Ryouji sentiasa dalam sengsara.
**
Seperti malam-malam lalu sejak mereka bergelandangan, Ryouji duduk berehat
di atas pokok, merenung langit malam ditemani cahaya bintang dan bulan.
Aku tidak tahu apakah punca kepada semua tragedi ini. Aneh bukan? Aku fikir
aku sudah jelas akan puncanya. Namun sebenarnya semakin aku gali, semakin ia
tenggelam dan mengelirukan, seperti menjejak fatamorgana. Puncanya jelas bukan
sekadar apa yang dilihat di mata. Puncanya sesuatu yang sukar untuk dijelaskan.
Karma? Ya, namun atas apa? Siapa yang bersalah sebenarnya?
Masa lalu semakin kelam dan berbalam-balam. Tragedi-tragedi yang lama sudah
semakin sukar digali keluar. Terlalu banyak perkara yang aku harungi sejak kematian
otou-san. Aku kini tidak pasti, apakah semua tragedi yang kami lalui
sehingga kini berpunca dari salahku, atau salah mereka yang memburuku. Jejaknya
semakin kelam, dilindung onak yang berselirat dan diterpa angin berdebu.
Semakin jauh aku cuba menjejakinya semakin aku dirundung keliru.
Aku tidak pasti apakah aku yang memulakannya? Atau otou-san yang
memulakannya? Mengapa aku dan Hisamiko harus mengharungi hidup begini? Aku
sekadar mahu hidup dan berdiam di celah gunung bersama Kiku dan tua bersama
sehingga akhir hayat...
Malam demi malam, fikiran yang sama datang mengocak tenang kepala. Siangnya
aku berbakti, menunaikan hasrat-hasrat mereka yang teraniaya atas suatu upah.
Bersama Hisamiko, cuba menangkap pelaku onar dan membawanya kepada Kogen dan
muka pengadilan di bawah nama yoru-no-kaze. Malamnya aku memutar kembali
kisah-kisah lama tatkala mata merenung langit malam dan jasad dihampar dahan
pokok. Kesedihan dan nestapa-nestapa itu aku putar, dan hidupkan kembali buat
meneman jiwa yang lara di bawah cahaya bulan. Kerana pada masa-masa lepas
itulah kehidupanku. Keluarga, rakan-rakan sepermainan, dan teman hidupku.
Kehidupan yang semakin jauh dan kelam ditelan kabut masa. Kehidupan yang aku
sendiri tidak pasti apakah ia telah dimusnahkan oleh tanganku atau tangan
mereka. Atau sememangnya aku ini tidak layak bergembira seperti mereka yang
lain.
Kadangkala, aku cuba menangis. Namun aku tidak pasti, mengapa begitu sukar
sekali air mataku keluar. Aku rindu saat-saat lalu di mana aku mampu melepaskan
keperitan hidupku dengan menangis. Sekurang-kurangnya aku masih dapat mencicip
secangkir kelegaan dengan melepaskan beban-beban derita itu melalui air mata.
Namun aku fikir aku sudah tidak berupaya mengeluarkannya. Aku terlalu penat.
Kematian Kiku terlalu menyedihkan, terlalu memenatkan, sehingga aku tidak mampu
lagi menangis. Aku tidak pasti ke mana lagi aku harus bawakan diriku, selain
dari menadah telinga mendengar suara-suara pengadu yang datang bertemu kami
saban hari yang sedikit sebanyak dapat membantu merawat kelukaan dan membantu
aku melupakan Kiku. Namun aku tidak sanggup.
Kadangkala aku keliru, apakah sendi-sendiku digerakkan demi Kiku? Jika
benar begitu, Kiku yang mana satukah? Apakah ‘kiku’ (kekwa) isteriku? Kerana
permintaannya agar aku melakukan kebaikan dan menghindari diri dari api dendam?
Agar aku berbakti kepada mereka yang dianiaya sepertinya? Atau ‘kiku’ yang
cahaya pembaharuannya, takhta kekwa yang menaungi segenap pelusuk tampuk
politik negara ini, yang membawaku ke jalan ini? Bahawa aku membawa diri ke
jalan ini demi menyokong gagasan yang dijulang baginda itu, keamanan yang cuba
baginda bawakan? Aku tidak pasti. Namun apa yang aku pasti, kedua-dua ‘kiku’
bakal bergembira dan berbahagia dengan hasilnya. Kedua-dua ‘kiku’ bakal
merestui pilihan dan setiap gerak-geri sendi yang aku abdikan di jalan ini.
Kedua-dua ‘kiku’ memberikan aku makna untuk terus mencorakkan hidupku.
Kedua-dua ‘kiku’ membuatkan aku lupa akan dendam lama itu. Namun hanya satu
‘kiku’ yang abadi, iaitu Kiku. Sedangkan ‘kiku’ yang sedang bertakhta di Tokyo
itu boleh muncul dan boleh hilang sebagaimana yang telah berlaku dalam jangka
masa dua alaf lepas.
**
Musim sejuk 1876-1877 (awal tahun 1877)
Setahun lebih berlalu sejak musim sejuk 1875, selama itu jugalah kami hidup
bergelandangan. Tidur di pokok-pokok, di pondok-pondok terbiar. Kadangkala kami
kembali ke lembah Okuhida demi merawat kecederaan jiwa dan jasad, namun
kekosongan di lembah itu memaksa kami keluar merantau. Kosong dari makanan,
kosong dari manusia. Entah apa yang membuatkan Koichi begitu gemar ke lembah
itu. Dan aku tidak pernah pula terserempak dengannya di sana, mungkin kerana
kami terlalu jarang ke lembah itu dan Koichi yang kini sibuk mengetuai Kogen
selepas kematian Omi.
Kami makan dan mandi di mana-mana onsen. Bertarung pada siangnya
menumpaskan penjenayah atas suatu upah, sehingga menjadi rutin. Malam kami
merenung nasib dan memutar kenangan dalam kantung fikir. Dalam tempoh ini, aku
tidak berubah fizikal. Seolah-olah rupa parasku terhenti pada usia dua puluh.
Sedang Hisamiko, dia berubah mendadak. Meskipun tingginya kekal lima kaki, dia
berubah menjadi seorang gadis yang jelita, dan umurnya kini lapan belas. Payu
daranya sudah mulai jelas, persis Chisato. Bentuk badannya sudah mulai kelihatan
dari celah-celah yukata dan hakama
umanori yang dipakai. Semakin ramai yang mulai terpaku penglihatan tatkala
dia lalu di pekan-pekan dan keramaian. Namun dia tetap begitu, masih berlindung
di belakangku. Masih melihat aku sebagai ahli keluarga yang amat dipercayainya,
satu-satunya. Dia seorang yang sungguh pemalu.
Tentang tawaran Bugyou Motoba
itu, aku sudah lama melupakannya. Aku sedar, kekuatanku bukanlah di situ.
Menjadi hakim tidak semudah yang kausangka. Hakim perlu banyak mendengar,
mendengar kesaksian pembelaan dan pendakwaan, kemudian membuat pertimbangan
yang adil dan saksama tanpa dipengaruhi mana-mana pengaruh luar mahupun
peribadi. Aku tidak tahu apa kisahku yang sampai ke telinga Bugyou Motoba,
namun aku fikir dia terdesak. Dia mahu mencari pengganti. Anaknya mungkin
bukanlah pengganti yang sesuai. Atas apa dia terdesak tidaklah aku pasti,
mungkin alasan kesihatan? Dan dia mencari mereka yang kuat peribadi, barangkali
itulah yang didengarinya. Namun aku tidak fikir aku punya peribadi yang kuat.
Jika tidak, masakan aku menjadi yoru-no-kaze,
bersabung nyawa demi melupakan dendam terhadap Tatsuya? Sesungguhnya aku
benar-benar di hujung tebing yang rapuh. Aku tidak tahu sehingga bila aku mampu
mengekalkan kewarasanku, sehingga bila aku mampu bertahan di atas tebing itu
sebelum terjunam ke dasar kegilaan. Jika Kobato di tempatku, mungkin dia sudah
gila. Tidak, dia benar telah pun gila, dan aku telah menyaksikannya. Aku tidak
fikir, dengan keadaanku sekarang, aku boleh memegang jawatan seberat hakim.
Namun dari tawaran bugyou itu,
aku mulai sedar. Aku lebih berhati-hati. Jawatan itu lumayan gajinya. Aku lebih
sedar di mana kebolehanku. Aku dari dulu hanyalah petarung. Aku tidak pernah
menjadi pemimpin. Aku sedari dahulu hanyalah buah catur yang digerakkan bapaku,
Takasaki-san, Koichi-san, Ayame-san... aku petarung dahulu dan sekarang.
Sehingga sekarang, aku masih catur yang digerakkan para pelanggan khidmatku.
Dan aku akan menegakkan undang-undang dengan bertarung. Kemudian aku serahkan
kepada Kogen untuk membicarakan dan menghukum mereka.
Aku petarung, dan aku sedar aku perlu bijak memilih ‘tuan’-ku. Jika salah
tuan, maka salahlah tindakanku. Yang salah mungkin tidak akan tertangkap, yang
dianiaya mungkin tidak akan terbela.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan