Kesan amukan Nariko, hutan sugi di Yokuma itu dibanjiri darah dan tubuh para ronin yang terpotong sana sini, darah bersimbah-simbah pada batang pokok sugi dan rumpai dan pelitup bumi. Ada yang terpotong kepala, ada yang tubuh terputus dua, ada yang terputus kaki dan darah masih mengalir memancut-mancut, dan ada yang terputus tangan dan darah mengalir deras dan kerana tidak tahan kesakitan itu, ronin tersebut membunuh dirinya. Pemandangan ngeri pembunuhan besar-besaran yang dilakukan Nariko yang menjadi boneka Ayame itu menghentikan dan menggamamkan Tokui, Hatsuki dan Natsuki yang baru menemui mereka.
Rasakan tamparan wanita, getus Ayame dengan seringai. Ini adalah karma
kalian, kata Ayame sambil merenung satu-persatu mayat-mayat yang tidak sempurna
hasil kerja tangannya itu. Usah ingat kerana kalian lelaki, kalian boleh
memperalat dan menganiaya kami. Sejak zaman-berzaman, wanita seperti kami
menjadi hamba kalian. Namun tidak lagi, aku akan mengemudi kerajaan baru di
sini. Aku akan hancurkan kerajaan Maharaja, dan Kogen yang sedang dipimpin
bapaku. Aku akan pindahkan semuanya ke sini, di Yokuma inilah pusat kuasaku dan
dari sini juga seluruh Jepun bakal aku kawal.
Nariko sudah sedar dari kawalan Ayame, dan terkaku, tangannya masih
memegang pedang, mulutnya menganga, pakaiannya penuh kesan carik dan darah.
Rambutnya kusut masai.
“Ayame-san, siapa yang lakukan semua ini...” Soal Nariko lemah, dia masih
berdiri dengan tangan masih memegang pedang. Kesan darah mangsa-mangsa
pedangnya bersememeh pada serata wajah dan pakaiannya.
“Siapa lagi... engkaulah Nariko.” Jawab Ayame selamba.
“Tidak, bagaimana engkau dan aku boleh berada di sini? Mengapa tanganku
memegang pedang ini dan kesan-kesan darah ini... apa yang telah berlaku Ayame?”
Sungguh apa yang aku dengari ini? Soal Ayame dalam hati. Sungguh dia tidak
ingat yang dia berkuda denganku ke sini, bersama Skuad Sakura? Apakah secara
tidak langsung Berahi Kuasa itu telah menghilangkan ingatannya? Atau trauma
yang berulang itu bertanggungjawab menyebabkannya?
“Engkau telah menyelamatkan dirimu dari bedebah miang di sini. Lihatlah
bedebah yang cuba memperkosamu itu. Lihat dan tenung Nariko. Cincang mayatnya
sepuas hatimu. Potong alat malunya. Cincang dan campak alatnya kepada beruang
di sini. Pergi, pergi sekarang!” Arah Ayame seperti pemukau, dengan tangannya
menolak tubuh Nariko dan cuba mendorongnya meneruskan pertumpahan darah itu.
“Ayame, hentikan!” Tengking Tokui.
Ayame tersentak. Nariko terhenti. Ayame seraya menoleh, kala itu juga
Nariko kekal terkaku di tempat dia berdiri, seperti boneka yang ditinggalkan
tok dalangnya kerana tok dalangnya mahu ke tandas sebentar. Mata Ayame merah
merenung Tokui.
“Engkau, Tokui? Apa kaubuat di sini? Bukankah telah aku nasihatkan tempoh
hari agar engkau tidak mengekoriku?”
“Ayame pulang sekarang. Bapamu memanggil engkau pulang.”
“Pulang? Pulang dan hidup di bawah telunjuknya? Oh tidak. Aku akan membina
rumahku di sini. Engkau Tokui, engkau pun harus hidup mengikutku di sini. Engkau
tak mahu?” Soal Ayame seraya merenung Tokui dalam-dalam.
Tubuh Tokui terkaku, sukmanya tergoncang, mata terkunci pada pandangan
Ayame sekelip mata tanpa diduga. Saat itu dia merasakan seolah jasadnya
dipegang erat Ayame, seperti seolah tubuh gadis itu punya seribu pasang tangan
halimunan yang memegang dan mengawal setiap urat dan sendi tubuhnya bak boneka,
dan mengisi menyeluk segenap celah dan ceruk tubuhnya termasuk pada kelangkang
dan tempat malu. Tempat malunya dipegang-pegang dan diramas-ramas. Rasa syahwat
menggelora, dia mahukan Ayame sesungguh-sungguhnya. Dia tidak pernah merasa
keinginan bersatu dengan Ayame terlalu agung dan menggoncang jantungnya bak
prahara sehingga saat ini, saat dia merenung wajah itu, yang pada saat ini
tampak sungguh jelita, bercahaya bak mentari pagi, bak bidadari baru turun dari
kayangan, bak puteri bunian dari dalam hutan yang gelap dan misteri di
Aokigahara di kaki Gunung Fuji. Merahnya ulas bibir itu, putihnya pipi yang
gebu itu, hidungnya, matanya menelan merasuk menakluk segenap jiwa dan raga.
Cahaya benderang meliputi seluruh jasad Ayame, tubuh Ayame seolah telanjang
pada mata Tokui meski beryukata penuh.
Aku serahkan seluruh jiwa dan ragaku untuk Ayame. Ikrar Tokui pada saat
itu.
“Aku mahu tinggal di sini, Ayame-san.”
“Bagus Tokui, engkau budak yang baik. Sekarang, Tokui. Pergi halau
rakan-rakanmu yang tidak sebulu dengan kita. Pergi sekarang!”
Hatsuki menyedari Tokui memandangnya. Tokui berjalan laju dengan pedang
terhunus menuju ke arah Hatsuki.
“Tokui... apa benda ni?! Aku tidak sebulu denganmu? Tokui!” Hatsuki melaung
cuba menyedarkan Tokui yang bergerak seolah dalam keadaan dikawal Ayame.
Melihatkan tindakan Tokui seolah sama sepertimana yang berlaku ke atas
Nariko, Hatsuki tidak berlengah seraya mengeluarkan pedangnya dan menghentak
bilah itu pada pedang Tokui sehingga terpelanting. Natsuki turut bersedia
melindungi dirinya jika Tokui beralih arah.
Telahan Natsuki menjadi kenyataan. Tokui meluru ke arahnya, dan cuba
menetak Natsuki namun Natsuki berjaya menahannya. Pedang mereka melekat,
Natsuki merapatkan wajahnya ke Tokui. Mata saling bertentangan.
“Tokui, apa sedang kaubuat?”
Tokui tidak menjawab. Anak matanya seolah tidak menumpu pada wajah Natsuki
meski seluruh wajah menghala ke arahnya. Sementara itu Hatsuki di kejauhan
bergerak menghampiri Ayame.
“Ayame hentikan.” Gesa Hatsuki yang berjarak hanya sedepa dari Ayame.
Ayame tidak berganjak, matanya masih terpaku dan menumpu pada Tokui. Ke
mana Tokui bergerak, mata Ayame akan mengekorinya.
“Ayame hentikan! Kami datang untuk membantumu. Apa yang kaubuat dengan
Tokui?!” Hatsuki membentak.
“Kalian beredar dari sini sekarang.”
“Jika itu yang kaumahukan, maka kami akan pulang. Kami ke sini hanya kerana
diminta Tokui.”
“Sou? Jadi berambus dari sini.” Arah Ayame dingin.
Hatsuki tidak berlengah seraya menarik Natsuki keluar dari pertarungan
dengan menolaknya ke tepi. Pedang-pedang mereka terungkai. Tokui terundur, dan
Natsuki menepi.
“Apa kaubuat?”
“Tiada guna Natsuki, tiada guna. Ayame tidak perlu dilindungi. Sia-sia kita
datang ke sini! Bahkan Tokui kini diperalatnya pula!”
“Maksudmu...”
“Tokui yang engkau lawan tadi bukan Tokui. Dia dibonekakan Ayame dengan
matanya.”
“Ha?”
“Itu yang jelas di mataku. Seolah Ayame-san punya sihir.”
“Jadi apakah kita patut pulang sekarang?”
“Semestinyalah! Nampaknya, melihatkan tertumpasnya ronin-ronin itu,
seluruh Yokuma kini adalah kawasan Ayame. Natsuki, Ayame bukan lagi Kogen.
Kogen tidak menceroboh kawasan ini tanpa sebab, Kogen tidak akan memprovokasi
semua ronin ini. Ayame bukan setakat menceroboh kawasan ini dan
memprovokasi mereka bahkan menumpahkan darah! Lihatlah... lautan mayat tak
sempurna di merata tempat.” Hatsuki memandang mayat-mayat tidak sempurna di
lantai hutan bergelimpangan. Nun di kejauhan Nariko sedang mencangkung menatap
segenap pemandangan tanpa reaksi, hanya memandang kaku seolah jiwanya turut
sama mati bersama mayat-mayat itu. Nariko masih tenggelam dalam samudera keliru
yang melemaskan.
“Aku ingat engkau yang beriya benar mahu ke sini demi Chisato.” Gumam
Natsuki
“Lupakan Chisato. Aku fikir dia pun telah dikawal Ayame seperti Tokui.”
“Maksudmu? Di mana Chisato sekarang?”
“Dia sedang tidak sedarkan diri di sana, sedang duduk di balik busut.”
Hatsuki menunjuk ke arah sebuah busut kecil di tengah hutan sugi itu,
dan menyambung, “Engkau fikir semua pertumpahan di sini normal? Semua ini gila,
gila! Skuad Sakura telah gila! Semua ini perbuatan Ayame, sedang pasukannya itu
telah dibonekakannya. Aku tak fikir aku boleh menyelamatkan Chisato sekarang.
Kita harus pulang dan bertanyakan Koichi tentang semua ini, atau mungkin
Shinji. Selepas itu kita akan kembali.”
Mereka berdua berkuda sehingga tiba di tempat di mana Konoe terbaring dan
kumpulan pertama para ronin yang disembelih Ayame dan ahli Skuad Sakura
yang dibonekakannya. Konoe yang sedang nazak mengangkat tangan minta
diselamatkan. Natsuki memberhentikan kudanya.
“Mengapa engkau berhenti, Natsuki?”
“Lelaki itu masih hidup.”
**
Tokui tiba-tiba berhenti dan terpinga-pinga, seolah baru sedar dari
lamunan, tangannya masih memegang pedang. “Kalian, mahu ke mana?” Laungnya
sedang Hatsuki dan Natsuki sudah pun jauh ditenggelami hutan.
“Bukankah kita datang untuk...” Gumam Tokui terhenti kala pandangannya
dilintas mayat-mayat bergelimpangan di lantai hutan.
“Lupakan rakan-rakanmu itu Tokui. Mengapa engkau membawa mereka? Engkau
ingin menyelamatkan aku?” Soal Ayame diiringi senyum sinis. Tangannya memegang
bahu Tokui.
Tokui menoleh dan matanya bertentang mata Ayame, langsung melekat.
“Ya.” Jawabnya tanpa berkedip.
“Kerana apa engkau mahu menyelamatkanku?”
“Kerana bapamu meminta engkau pulang.”
“Pembohong.”
“Aku tidak menipu. Aku menurut arahannya.”
“Pembohong!” Ayame membentak. Kedua-dua belah tangannya memegang bahu
Tokui, dan dia memandang tepat Tokui seraya menyoal lagi, “Kerana apa, Tokui?”
Tokui diam.
“KERANA APA?!”
“Kerana aku cintakan engkau.” Jawab Tokui dengan mata terpaku pada Ayame,
anak matanya seolah tidak langsung menumpu pada Ayame, sepertimana ketika dia
bertarung dengan Natsuki tadi. Maka alasan yang dikemukakan itu barangkali
tidak asli, hanya lahir dari kawalan Ayame. Ayat pengakuan cinta yang sintetik,
yang dipaksakan sendiri oleh Ayame, seolah memaksa Tokui meluahkan makanan yang
menyekat kerongkongnya dengan paksa. Ayame mencipta delusinya sendiri. Ayame
dahagakan kasih dan sokongan. Namun kasih dan sokongan yang palsu sahaja yang
mampu diraihnya, dengan kuasa yang dimiliki itu. Hanya delusi yang mampu
diraihnya setakat ini. Namun andai Tokui dan lain-lain ahli Skuad Sakura yang
berjaya ditahan di sini dipergunakan untuk satu masa yang lama, barangkali
Ayame boleh mengharapkan ia berkekalan dan berlanjutan tanpa perlu kepada kuasa
itu lagi, dengan memerangkap mereka dan membuang naluri kemanusiaan mereka. Ini
hanya permulaan, getus Ayame. Aku akan menanam kesetiaan ini agar ia menjadi
sebuah kesetiaan yang ikhlas.
Ayame memejamkan mata, kemudian membukanya. Selepas itu dia ketawa
terbahak-bahak sehingga bergema di serata pelusuk hutan. Nariko yang sedari
tadi mencangkung di tepi gelimpangan mayat, datang meluru dan memeluk Ayame.
Ayame menolaknya sehingga terjelepok gadis itu ke tanah.
“Tunduk kalian semua. Mulai hari ini aku adalah pemilik Yokuma. Sesiapa
yang tidak bersetuju denganku, tinggalkan pergunungan ini!”
Tokui dan Nariko tunduk menyembah Ayame, diikuti Hotaru dan kemudian ahli
Skuad Sakura yang lain, termasuk Chisato dan adik-adik kembarnya.
**
“Natsuki, abaikan. Ayuh kita harus segera pulang.”
“Hatsuki, dia masih hidup!” Natsuki terjun dari kudanya. Hatsuki mengeluh
seraya memberhentikan kudanya.
Natsuki merapat ke arah Konoe. Tangan Konoe mengisyaratkan dalam lemah agar
dia mendekatkan telinga ke mulutnya. Hatsuki masih berdiri, hanya melihat
sambil berpeluk tubuh.
“Hutang darah dibayar darah. Mampus kalian penceroboh, mampus kalian...”
Bisik Konoe lemah, sejurus itu matanya terkatup, tangannya kaku, tiada lagi
nafas dihela.
“Argh...” Hatsuki terjelepok. Belakang tubuhnya ada panah tercacak. Dari
belukar kedengaran bunyi ia diredah selajunya, satu kelibat dengan kelongsong
panah di belakangnya melarikan diri dengan pantas. Natsuki menoleh, mendapati
Hatsuki sudah terbaring berlumuran darah, mata putih naik ke atas.
“Hatsuki...Hatsuki!” Jerit Natsuki. Dia perasan kelibat yang melarikan diri
meredah semak itu namun keadaan Hatsuki menuntutnya agar tidak meninggalkannya.
“Hatsuki... Hatsuki!” Natsuki menggoncang tubuh kembarnya itu.
“Aku dah cakap... aku dah cakap...” Ujar Hatsuki dalam lemah. Mulutnya
mengeluarkan buih putih. Panah itu nampaknya sudah diracun. Kurang beberapa
saat, nafas Hatsuki terhenti. Nadinya lenyap. Hatsuki telah mati dibunuh
pemanah Konoe.
“Hatsuki!” Raung Natsuki, diikuti esak tangis.
**
Usai mengebumikan Hatsuki, Natsuki bertafakur di sisi pusaranya. Dia
mengenang kembali bagaimana Hatsuki boleh dibunuh, sedangkan mereka baru sahaja
tiba di sini dan langsung tidak terlibat dalam pembunuhan besar-besaran pasukan
ronin Konoe itu. Mereka ke sini hanya untuk membantu Tokui menyelamatkan Ayame
yang katanya sedang ditawan.
Dia mengingat kembali bagaimana mereka berdua yang merupakan satu-satunya
anak kembar, dibesarkan di sebuah rumah perlindungan Kogen di Shinagawa dan
sentiasa ke mana-mana bersama-sama. Mereka hidup di situ sejak kecil, dan tidak
mengetahui siapa ibu dan bapa sebenar mereka. Selepas menginjak lapan belas
tahun, mereka berkhidmat untuk Kogen dan membantu mana-mana misi Kogen yang
memerlukan mereka. Lokasi Hidagawa yang terpencil menuntut khidmat mereka yang
arif selok-belok laluan dalam pergunungan itu.
Jika kami tidak terlibat dalam pembunuhan mereka, apa yang membuatkan
mereka mahu membunuh kami? Apakah kerana pemanah mereka melihat kami bersama
Ayame tadi? Dari situ mereka mungkin beranggapan kami sepasukan dengan Ayame?
Maka dari itu mereka membalas dendam terhadap Ayame dengan membunuh Hatsuki?
Maafkan aku Hatsuki. Maafkan aku membawamu sekali terjerat dalam helah
mereka. Ini semua salah Ayame. Salah Ayame yang memulakan tragedi ini, yang
sengaja menjolok sarang tebuan. Ayame mesti bertanggungjawab atas kematianmu.
Ayame harus membayarnya. Aku akan membunuh Ayame. Aku akan pastikan dia
membayar harganya.
**
Natsuki kembali ke tempat Ayame, dan mendapati semua pengikutnya sedang
sujud menyembah bumi dengan Ayame di tengah-tengah berdiri. Dia memandang Tokui
dan menyumpah-nyumpah dalam hatinya. Kami datang ke sini kerana engkau Tokui!
Bentak Natsuki dalam hati. Namun apakan daya, malang itu tidak berbau.
“Apa yang engkau buat di sini, Hatsuki? Bukankah kaukata engkau akan
tinggalkan tempat ini?” Soal Ayame, menyangkakan Natsuki itu Hatsuki kerana
rupa paras mereka yang hampir serupa.
“Aku mahu menyertaimu, Ayame-san.”
“Oh begitukah. Mengapa engkau tiba-tiba mahu menyertaiku, Hatsuki? Apa yang
mengubahmu?”
Berderau darah Natsuki mendengarkan nama Hatsuki disebut. Hatsuki itu
kembarnya yang baru dibunuh. Air mata hampir tumpah namun dia mampu bertahan.
Aku menyertaimu kerana aku mahu membunuhmu! Getus Natsuki dalam hati.
“Aku mahu membersihkan Kogen sepertimana Skuad Sakura.” Natsuki memberitahu
alasannya dengan tegas.
“Oh ya, di mana rakanmu?”
“Telah mati dibunuh musuhmu.”
“Jadi engkau mahu membalas dendam terhadap mereka?”
“Ya.”
“Tadi engkau kata mahu membersihkan Kogen. Mana satu yang betul?”
“Erm, kedua-duanya.”
“Tapi Hatsuki, semua pasukan musuhku Konoe itu, telah mati kami sembelih.
Jadi siapa lagi yang engkau boleh bunuh untuk membalas dendammu?”
“Ada seorang lagi yang masih hidup!” Tegas Natsuki, menyedari Ayame sedang
mencungkil alasan tersembunyinya dan seolah mengetahui motif sebenarnya.
Natsuki memandang ke arah Tokui yang masih menyembam muka ke tanah, seolah dia
mahu melampiaskan dendamnya ke arah Tokui, dan mengharapkan Ayame termakan
umpan itu.
Dalam hati Natsuki berbisik, konflik ini tidak akan berlaku jika engkau
tidak memulakannya, Ayame! Aku akan bunuh engkau dengan tangan sendiri! Juga
Tokui!
“Engkau tak rasa semua ini salahku, Hatsuki?” Duga Ayame lebih dalam.
“Engkau tak rasa aku patut dihukum kerana memulakan semua ini?”
“Tidak... aku hanya perlu bunuh pembunuh Hatsuki.” Natsuki menahan getar
dalam suaranya, Ayame begitu tajam. Ayame seolah tahu apa muslihatku!
“Hatsuki? Bukankah itu namamu?”
“Namaku Natsuki. Hatsuki itu kembarku yang mati dibunuh!”
“Oh, aku tersilap! Benarlah, wajah kalian hampir serupa. Maaf. Jadi? Engkau
tidak akan membalas dendam dengan membunuhku?” Soal Ayame berbaur sinis.
“Ya.” Ya, aku akan membunuhmu jua!
“Baiklah. Selamat datang ke dalam pasukanku.” Ujar Ayame kebodoh-bodohan.
Siapa tahu Ayame mungkin telah menghidu motif Natsuki dan berlakon bodoh atau
mungkin dia sememangnya naif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan