Ayame terdiam, mengingat cebis demi cebis ramalan Amaguri yang didengar dirakam waktu kecil dahulu, dari perbualan antara datuk dan bapanya yang dicuri dengar.
“Ayame, aku akan membantumu, dengan syarat engkau sudi menyerahkan tubuhmu.
Apa yang kaumahu Ayame? Beritahu aku, aku akan membantumu wahai anakku.” Suara
itu bergetar menggoncang raga.
Ayame tanpa sedar menyoal, namun dia tidak pasti apakah dia menyoal kerana
memang menginginkan bantuan atau demi menguji suara itu.
“Engkau berjanji, sekiranya aku menyerahkan tubuhku, engkau akan
membantuku?”
“Aku tidak pernah mungkir janji-janjiku sejak seribu tahun lepas. Sa,
Ayame, mari beritahuku apa yang kaumahukan?”
“Aku mahukan Kogen, dan aku mahukan seluruh Jepun.” Mata Ayame menjegil,
seolah-olah dia tidak menyedari apa yang diperkatakan.
“Masalah kecil. Aku akan membantumu. Sebelum itu engkau harus ke Yokuma, di
tempat hayabusa banyak berlegar.”
“Untuk apa?”
“Membina lembah baru, pusat kuasamu di sana, di Higashi-no-yane yang sudah
dikosongkan. Engkau halau ronin di Yokuma, pergi ke Higashi-no-yane di
pusat Yokuma dan tanam batu tama-no-iwa
Shirasaka milik moyangmu di sana.”
“Pusat kuasa?”
“Benar. Engkau akan mengawal Jepun dari sana, tanpa samurai.”
Ayame cuba memahaminya. Dengan wujudnya sebuah pusat kuasa seperti itu, ia
akan berperanan seperti Shirasaka-no-Kogen, di mana tiada sesiapa dapat
menentangnya. Ia halimunan di mata penceroboh sebagaimana Shirasaka-no-Kogen.
Sepertimana Hamada yang halimunan, tiada sesiapa dapat mengesan keberadaannya
lalu membunuhnya. Namun untuk itu semua direalisasikan, Yokuma harus
disanitasi. Pembelot Hamada dan segala macam ronin (samurai tidak
bertuan) sedang bersarang di sana.
Ya, aku boleh gunakan Skuad Sakura membersihkan Yokuma sebelum aku
hamparkan ‘tatami-tatami-ku’ di rumah baru itu.
“Aku setuju, Kaisenjyo.”
Tidak sia-sia aku meletakkan pengintipku di sana, getus Ayame. Asalnya
mereka ditugaskanku memerhati hutan Yokuma itu dan memastikan Hotaru dan pasukannya
selamat masuk dan keluar ketika menyertai misi Ryouji lepas. Sekarang aku akan
menggunakan para pengintipku itu demi tujuan ini.
“Bagus, anakku. Engkau membuat pilihan yang bijak. Aku akan menyokong semua
usahamu. Berahi Kuasamu akan kupertingkatkan. Engkau akan mampu merasuk
pengikut yang berhutang budi denganmu.”
Apa?
Chotto matte (tunggu), Kaisenjyo!
Namun Ayame hanya menyeru kosong. Kaisenjyo sudah melesap. Kaisenjyo hanya
datang kembali dalam mimpinya malam itu, dan mengajarkannya bagaimana
menggunakan Berahi Kuasa.
**
Ayame-san di mana engkau? Soal Tokui dalam hati. Engkau terbang dari pokok
ke pokok dan kemudian hilang entah ke mana ditelan gelap dinihari dan kudamu
mengekor di bawah. Aku ada nampak burung pengiringmu turut sama terbang
mengekori. Engkau terlalu pantas. Jurus kaminari-kah itu? Apakah engkau
telah menguasai jurus kesepuluh yang digembar-gemburkan itu?
Selepas melarikan diri dari Sangenchaya dan diekori Tokui, Ayame terus
berkuda ke Kawamoto dengan menelusuri Nakasendo, dan kemudian ke utara di
Yozehama bertemu Kawakami, salah seorang pengintipnya.
Di dalam satu lorong perkampungan nelayan, Ayame menambat kudanya pada
sebatang pokok matsu. Dia memasuki sebuah kuil Shinto dan menunggu di
hadapan sebuah tempat sembahyang, tempat di mana pengunjung mencampakkan duit
syiling ke dalam satu peti.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki keluar dari satu blok lain kuil itu,
berjalan menuju ke arah Ayame. Dia memakai yukata berwarna kelabu dengan jalur
putih pada kolar dan hujung lengan. Tubuhnya kecil dan rendah, wajahnya gelap.
Selepas bertukar khabar, Ayame langsung bertanyakan kepada lelaki itu akan
berita yang diterimanya.
“Kawakami-san, aku mahu pengesahanmu berkenaan hab senjata di sini.”
“Maksudmu yang pernah ditutup bapamu itukah?”
“Benar. Aku dengar ia dibangunkan kembali.”
“Ya, ia dibangunkan kembali. Begitulah yang kudengar dari Tomita.” Ujar
Kawakami.
“Apakah bapaku yang membangunkannya?”
“Tidak. Koichi tidak pernah mengundur dari keputusannya menutup hab itu.
Menurut khabar dari penduduk kampung, ia dibangunkan kembali oleh Daimyo
Yoshinobu.”
“Daimyo Yoshinobu?”
“Dia membeli tapak itu daripada Kogen. Kogen menjual demi mendapatkan wang
segera.”
Wajah Ayame berubah kelam mendengarkan khabar dari Kawakami itu.
“Di mana Daimyo Yoshinobu?”
“Dia di dalam rumah agamnya di Kawamoto. Ayame berhati-hati. Aku dengar
Yoshinobu mengarahkan akahana membunuh engkau.”
“Atas sebab apa?”
“Skuad Sakura-mu menyekat senjata yang mereka beli dari akahana dan
sedang dihantar ke kubu Hamada di Kobe dahulu bukan?”
“Ya.”
“Meski Yoshinobu sememangnya mahu membiarkan bapanya mati di kubu itu dan
seharusnya mengalu-alukan perbuatan kalian menyekat senjata akahana,
sekarang dia mahu membunuhmu kerana memikirkan kalian ancaman terhadap perang
yang akan dilancarkannya. Akahana masih akan membantunya dalam perang
itu nanti, kerana dia anak Hamada. Akahana telah dinasihatinya agar
engkau dan pasukanmu dihapuskan.”
“Perang? Dengan Maharajakah?”
“Siapa lagi.”
Ayame tidak berlengah, memecut kudanya ke selatan, kembali menuju ke
Kawamoto.
Kawakami tidak sempat menegah Ayame. Dia menurunkan kembali tangannya yang
terangkat cuba menegah, dan berdiri terpinga-pinga melihat kelibat Ayame yang
kian menghilang di ufuk.
Engkau mahu membunuhku, Yoshinobu? Mengapa tidak berdepan-depan sahaja
denganku? Mengapa menghantar penyumpit jarum?
Kawakami melaporkan kepada Koichi perihal Ayame bersendirian di Kawamoto.
“Biarkan dia.” Kata Koichi.
Kawakami agak terkejut mendengarkan kata-kata Koichi.
**
Ayame ada pernah ke Kawamoto sekali-sekala, sewaktu Hamada Yoshitsugu bapa
Yoshinobu masih berkuasa dahulu. Dia mengikut Koichi ke sana melawat para
pengintipnya. Ketika itu dia masih budak-budak.
Ayame mendongak ke atas bukit di hujung lorong berdebu yang dipenuhi
keramaian di kiri dan kanan bahunya. Seperti biasa, Kawamoto dipenuhi orang
ramai yang berkunjung ke gerai-gerai di bahu jalan membeli barangan basah.
Meski lorong ini bertanah dan debunya berhamburan tatkala kuda melepasi dengan
kencang, ia bersih tanpa sebutir sampah pun. Boleh dikatakan bandar ini antara
bandar terbersih di Wilayah Gizen.
Ayame mengerutkan dahinya merenung puncak bukit, cuba mengesan rumah
Yoshinobu, namun malangnya dihalang pokok-pokok rimbun yang ditanam di lereng.
“Oh, Ayame-san jyanai ka?” Laung seorang lelaki.
“Kalian.” Ayame tunduk hormat sedang masih di atas kuda. Lelaki itu
membalas tunduk. Ada tiga orang lelaki lain mengiringinya. Ayame mengenali
mereka yang merupakan pengintip Kogen di sini.
“Aku ingin bertemu Taketatsu segera. Di manakah dia?”
“Dia ada di balai raya.”
Ayame tiba di balai raya di celah satu lorong di tengah-tengah perumahan
yang padat.
Deria di belakang hidung Ayame berdenyut. Dia tahu pengintipnya yang satu
ini sedang menghampiri. Pantas dia menarik pedangnya dan mendaratkan di atas
tanah dua bilah shuriken, iaitu sejenis roda besi sebesar telapak tangan
yang berbaji empat pada sisinya yang dilontarkan ke arah kiri dan kanannya.
Seorang lelaki pendek dan gempal mendarat di atas tanah di hadapan Ayame
yang masih di atas kuda.
“Sasuga Ayame-san. Hanya engkau seorang yang mampu menangkis shuriken-ku.”
Ayame tidak bereaksi. Dia yang mengarahkan Taketatsu agar sentiasa
menghantar khabar selamat datang dengan cara begitu demi menguji deria pengesan
besinya di sini. Shuriken itu akan dibaling sipi agar tidak mengenai
Ayame dan sesiapa jua dalam jalur lemparannya. Taketatsu bangga kerana dipertanggungjawabkan
dengan tugas itu kerana ia petanda Ayame percaya akan kebolehannya yang sudah
dilatih dengan kemahiran ninja di Shiga.
“Taketatsu, aku mahu mendengar pemerhatianmu.”
“Ayuh Ayame-san, ke rumahku sekarang.”
Ayame meloncat turun dari kuda, dan menyarung pedangnya kembali. Dia
berlari menuruti Taketatsu yang bergerak laju seperti ninja dalam pakaian serba
hitam.
Dalam bilik itu hanya ada Ayame dan Taketatsu sahaja.
“Yoshinobu ada keluar tiga empat hari lepas ke Yozehama. Kata pemerhati beliau
pergi melihat pembinaan kentonmen baru di Yozehama.” Lapor Taketatsu.
“Di mana dia membina kentonmen itu?” Soal Ayame kebodoh-bodohan, demi
mengesahkan maklumat yang diperolehi dari Kawakami sebelumnya.
“Di tapak asal kentonmen Kogen yang dibina Okuhida Mitsuo. Kogen telah
menjual tapak itu kepada Maharaja selepas Pembaharuan. Maharaja menjualnya pula
kepada seorang ronin. Dan ronin itu menjual kepada Yoshinobu
pula.”
“Maka daripada situ Yoshinobu menggunakan kentonmen kita?” Nada Ayame
sedikit meninggi. Dia nampaknya kurang berpuashati dengan maklumat baru
daripada Taketatsu itu.
“Lebih kurang begitulah jika mengambilkira hak asalnya.”
“Siapa dari Kogen yang menjualnya kepada Maharaja dahulu?”
“Mendiang datukmu Omi-san, atas nasihat bapamu. Demi kewangan Kogen
katanya.”
Ayame mengeluh. Nampaknya bukan bapanya, tetapi bapanya tetap terlibat
kerana memperalat datuknya yang sudah tua itu.
Dia bertanya pula, “Mengapa pula Maharaja sewenang-wenangnya menjual kepada
pihak persendirian, seperti ronin itu?”
“Atas tawaran harga yang tinggi.”
Ayame menepuk kepala. “Habislah. Kita sudah terlepas sumber senjata kita
sendiri ke tangan musuh!”
“Tidak. Semua senjata kita diambil dan disorok di lembah Shirasaka, di
ruang simpanan bawah tanah. Hanya tapak dan bangunan gudang kentonmen itu
sahaja yang dijual.”
Sambung Taketatsu lagi, “Dan Ayame,
ketika mempertimbang penjualan kepada baginda Maharaja, Koichi-san
mengambilkira selepas Pembaharuan, tidak akan ada lagi peperangan dalam jangka
masa singkat. Sebab itu dia sanggup menjualnya. Pasti sekarang dia menyesal
selepas mendapat tahu perkembangan di Kyushu.”
“Kebetulan kausebut Kyushu. Aku baru dapat khabar dari pengintip di
Shimagane. Saisho yang sekarang di Tokyo akan pulang ke Satsuma tidak lama
lagi. Tempoh hari ada kapal Belanda singgah di Wakayama, dengan muatan bahan
bedil dan senapang baru.”
“Siapa pembelinya?”
“Kerajaan Maharaja.”
“Nampaknya kita akan berperang lagi...” Keluh Taketatsu.
“Ya, perang mungkin tidak dapat dielakkan. Aku yakin Yoshinobu merancang
berpakat dengan Saisho menentang Maharaja. Kita tak boleh berdiam diri.”
“Jadi apakah engkau mahu Kogen campur tangan membantu Maharaja?”
“Ya.”
“Ayame-san, mengapa? Ini perang antara baginda dengan penderhaka si Hamada
Yoshinobu itu. Biarkan mereka berperanglah.”
“Baginda yang meminta bantuan Kogen. Namun otou-san enggan, meski
dia belum menjawab baginda, aku tahu itu semua. Jika bapaku enggan, aku sendiri
yang akan membawa Kogen ke dalam perang ini. Aku sendiri, bersama Skuad Sakura
akan membantu baginda.”
“Hah? Ayame-san, bukankah itu bermakna Kogen akan berpecah? Satu golongan
tidak berperang, bersama Koichi. Satu golongan lagi berperang, bersama engkau.”
Ayame tidak berkutik.
“Ayame-san, engkau benar-benar telah berfikir panjangkah?”
“Jika mereka mahu terperap di dalam Kogen bersama otou-san, biarkan.
Aku akan kumpulkan para pengikutku sendiri. Kami akan serang tentera Yoshinobu
dan semua penderhaka dari Yokuma.”
“Dari Yokuma?”
“Aku ada cara. Sekarang Yokuma dikawal para samurai yang membelot Hamada
bapa Yoshinobu. Yoshinobu pula tidak langsung menaruh minat dengan pergunungan
itu. Aku hanya perlu menumpaskan para ronin di sana untuk menguasainya.”
“Dan?”
“Membina pangkalan tenteraku di sana. Hanya di sana sahaja tama-no-iwa
akan dapat digunakan untuk lembah baruku.”
“Engkau yakin Maharaja bakal memenangi perang ini jika engkau membantu?”
“Aku yakin. Aku cuma perlu pastikan Yokuma ditakluki. Kemudian aku akan
musnahkan kentonmen Yoshinobu di Yozehama tanpa dia syaki. Aku fikir dengan
perancangan ini Yoshinobu akan mudah ditewaskan.”
“Apa yang aku bimbang ialah ura-ura yang kudengar berkenaan Yoshinobu
sedang mencipta racun khas untuk membunuh pengguna kaminari yang ramai
dalam Kogen. Termasuk engkau. Jika racun ini berkesan, kaminari kalian
sudah tiada apa-apa manfaat lagi.”
“Racun apa?”
“Ia menyebabkan sebarang pergerakan hanya akan memudaratkan lagi tubuh
mangsa. Ia akan ditembak atau disuntik ke tubuh mangsa. Ayame-san,
engkau turut tidak akan terselamat jika racun ini berjaya dicipta. Dan aku
takuti jika pembelot di dalam Kogen menggunakan racun itu untuk membunuhmu.”
Ayame hanya mendiamkan diri. Dia tidak risaukan perkara itu. Dia tahu dia
pernah terselamat dari racun di Suruga dahulu. Kuasa yang dimilikinya mampu menyingkir
sebarang racun keluar.
“Tentang Yokuma itu, aku akan ke sana hari ini.”
“Ayame-san, mengapa denganmu? Mengapa perlu Kogen berpecah begini?”
“Bukan tujuanku memecahbelahkan Kogen, Taketatsu. Aku hanya tidak setuju
dengan cara bapaku. Jika dia mahu memimpin Kogen dengan caranya, biarkanlah.
Sedang aku mahu membentuk pasukanku mengikut caraku sendiri.”
“Ayame-san. Aku fikir –”
“-Aku membantu Maharaja dalam perang ini, sedang bapaku bersama Maharaja
cuma dia enggan terlibat. Perjuangan kami tetap dari akar yang sama. Usahlah
kau risau. Dan bukankah ia nampak seolah aku cuba menjaga air mukanya di depan
baginda dengan sukarela membantunya?”
Ayame bangun, seraya tunduk. Jelas dia tidak mahu memanjangkan perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan