Novel: Yoru-no-kaze (Bab 51)

Heika, lupakah Heika akan tujuan Pembaharuan? Iaitu kita belajar dari Barat demi menguatkan pertahanan dan mengkayakan negara? Dan bukannya menyerap sepenuhnya budaya mereka?” Saisho merenung pakaian Barat Maharaja. Baginda menyedari maksud Saisho tatkala dia melihat renungannya.

 

“Pakaian ini?” Maharaja ketawa kecil. Saisho kebingungan.

 

“Saisho-san, beta tidak pernah melarang kita semua memakai pakaian asal kita. Apa yang penting ialah ini.” Baginda meletakkan jari telunjuk ke dadanya. “Hati.”

 

“Apa yang menggerakkan engkau untuk mempertahankan kesamuraian Saisho-san?” Soal baginda.

 

“Ia warisan kita. Kita berlainan dari mereka, kita lebih kuat daripada Barat kerana kesamuraian. Ia pegangan tempat kita berpaut sekian lama.” Saisho memaksudkan ‘tradisi’. Hujahnya hujah emosi. Patriotisme, atau nasionalisme menurut istilah moden. Namun Maharaja mencari sebab logik.

 

“Apa yang menggerakkan engkau untuk menghalau Barat Saisho-san?”

 

“Aku bimbang Barat semakin berkuasa di sini dan kita bakal menjadi seperti negara-negara luar yang dijajah dan dipergunakan mereka.”

 

“Beta ingin tahu apa sebenarnya niat di hatimu. Sudi engkau membongkarkannya?” Baginda menekan soalan ini dengan nada suaranya. Baginda mahu mendengar alasan yang logik, yang boleh dihadam jiwanya yang telah dibasuh oleh aristokrat pro-Barat.

 

Saisho diam.

 

“Jika engkau mempercayai beta dan Pembaharuan itu, apakah yang sebenarnya engkau mahukan, Saisho? Beritahu beta. Beta telah anugerahkan kedudukan dalam kazoku. Beta telah mengurniakan jaminan pencen selepas engkau bersara nanti. Beta sediakan rumah dan tanah untuk keluargamu sebagai membalas jasa-jasamu ketika Perang Boshin.”

 

Saisho, inilah peluang untukmu. Baginda mendengarnya. Prasangkamu terhadap baginda selama ini hanyalah ilusi. Baginda sudi mendengarmu. Apakah engkau masih mahu berdiam diri? Luahkan.

 

“Aku mahukan Jepun yang dahulu. Jepun yang baru ini terlalu menyakitkan. Mengapa golongan samurai dimansuhkan? Mengapa kami dihalang membawa pedang ke mana-mana? Mengapa cara bercakap dan tatabahasa kita diperbaharui? Mengapa semua tanah dipindahmilik kepadamu, Heika?”

 

“Jepun yang lama diperintah para samurai. Sedang beta membawa kembali Jepun di bawah dinasti beta, bukan membina Jepun yang baru. Engkau telah menyimpang jauh, Saisho. Sememangnya hak beta untuk menguasai semua tanah di sini. Dan sememangnya hak beta untuk menetapkan undang-undang dan perubahan di sini.” Tegas suara baginda. Meskipun pahit, Saisho harus menerimanya. Baginda merenung Saisho, cuba mengorek saki-baki kesetiaan jika masih ada tersisa dari matanya.

 

Saisho tunduk. Dia tidak sanggup membalas renungan Maharaja.

 

“Saisho-san, beta perlukan kesetiaanmu demi kelangsungan Jepun di bawah Pembaharuan-ku. Apakah engkau masih setia dengan beta meskipun beta melakukan perkara yang bertentangan dengan matlamatmu? Di mana hatimu, Saisho-san?”

 

Heika, patik hanya setia dengan kesamuraian.”

 

Luluh hati baginda mendengarnya.

 

“Ampunkan patik. Patik berjuang bersama Heika kerana patik fikir Heika bakal menghalau Barat dari sini. Patik fikir Heika hanya akan mengambil apa yang perlu dari Barat demi fukoku kyouhei (kuatkan pertahanan dan kayakan negara). Namun patik tidak sekali-kali menyangka Heika menyerap begitu banyak pengaruh mereka. Patik tidak bersetuju.”

 

“Beta melakukan apa yang perlu. Jika itu yang diperlukan demi mengubah hati kita semua. Jika hati berubah, mudah kita menerima segala apa yang baik dari Barat dan menolak apa yang buruk dari mereka.”

 

“Jika begitu, patik meletakkan jawatan dalam kazoku serta merta.” Saisho mengerling ke atas. Maharaja masih tenang, namun wajahnya merah. Kata-kata yang paling baginda mahu hindari telah dimuntahkan Saisho ke wajahnya.

 

“Patik akan pulang ke Satsuma hari ini juga. Dan sudilah kiranya Heika terima pedang ini, yang telah membantu Heika menghapuskan shogun dan membina negara ini.” Saisho mengeluarkan salah sebilah dari dua bilah pedang bersarung dari pinggang seraya memegangnya dengan kedua-dua belah tangan, menyuguh kepada baginda sedang masih melutut dan menundukkan kepala. Baginda mengambilnya dalam keadaan teragak-agak.

 

Sayounara, Heika.” Saisho bangkit, tunduk hormat seraya berundur, kemudian menoleh ke belakang dan meninggalkan susur gajah itu tanpa menoleh lagi. Baginda masih berdiri kaku dan memegang pedang bersarung itu, hanya mampu merenung kelibat Saisho sehingga benar-benar hilang dari pandangannya.

 

Fukoku kyouhei ka. Sonno joi ka. Dochimo nai. Ore no koku da. (Sama ada fukoku kyouhei, mahupun sonno joi, kedua-duanya tidak lebih penting berbanding kelangsungan negara ini)” Gumam baginda, kemudian menoleh menuju ke balairung seri.

 

 

**

 

“Biar aku yang melindungi baginda. Hisamiko, engkau tunggu di luar.”

 

Hisamiko terpinga-pinga. Dia memandang Koichi.

 

“Hisamiko, boleh engkau keluar dahulu? Ada perkara aku ingin bincangkan hanya dengan abangmu.”

 

“Baiklah.” Sahut Hisamiko seraya berlalu.

 

Ne, Ryouji. Biar Hisamiko yang melakukannya.”

 

“Ha? Tidak, aku tidak mahu Hisamiko membunuh!”

 

“Dengar sini Ryouji! Ini bukan calang-calang tugas. Jika kau tak mahu dia lakukan, mengapa engkau bersetuju?”

 

“Kerana aku fikir aku akan melakukannya!”

 

Ne Ryouji dengar sini. Engkau tak boleh melakukannya.”

 

“Atas alasan apa?”

 

“Engkau jenis teragak-agak. Aku perlukan seorang yang tidak teragak-agak. Sesaat engkau berlengah, nyawa baginda bakal melayang engkau tahu?!”

 

Ryouji diam.

 

“Dan lagi satu, hanya Hisamiko yang berpotensi meningkat ke jurus kesepuluh. Aku perlukan dia.” Ia berdasarkan Ayame. Aku fikir Ayame senyap-senyap menguasainya, getus Koichi. Aku yakin Hisamiko mampu menguasainya juga, kerana kedua mereka adalah calon Kaisenjyo.

 

Ryouji membisik ke dalam hati, bagaimana sekarang? Andai Hisamiko membunuh, tangannya akan semakin dikotorkan. Jiwanya akan semakin hitam. Kala jiwa makin hitam, ramalan Amaguri akan makin mendekat. Aku tidak mahu Hisamiko menjadi seperti ramalan itu.

 

“Mengapa tidak sahaja engkau gunakan Ayame-san...” Ryouji tahu ayatnya berbunyi bebal sekali namun dia terpaksa mencadangkannya. Dia terdesak. Demi Hisamiko.

 

“Bukankah telah aku katakan Ayame-san membelotku? Ryouji, demi negara ini. Demi kerajaan baru ini. Aku pinta dan rayu kepadamu...”

 

Ryouji berbelah bahagi. Dia bertengkar dalam kepala buat beberapa ketika. “Berikan aku sedikit masa untuk berfikir.”

 

“Baiklah, usah lama-lama!”

 

“Aku tahulah! Koichi, ingat dia satu-satunya darah dagingku!”

 

“Haih. Baiklah.”

 

Ryouji akhirnya bersetuju dengan syarat, “Benarkan aku berada di sana juga dan memerhati dari jauh.”

 

“Aku benarkan. Namun usah menganggunya.”

 

**

 

Saisho melepasi Koichi selepas beredar dari bertemu baginda. Ryouji dan Hisamiko kini beralih ke sisi Koichi selepas Maharaja masuk semula ke dalam kompleks istana.


Saisho tiba-tiba sahaja menarik pedangnya sebaik melepasi Koichi. Sebaik Saisho mengeluarkan pedangnya dan cuba melibas Koichi, Ryouji pantas ke hadapan menahan dengan pedangnya, sedang Hisamiko mengeluarkan pedangnya dan berdiri di hadapan Koichi.

 

Omaera wa dare da? (siapa kalian?)”

 

“Aku Okuhida Ryouji dan itu adikku Hisamiko. Saisho-san, hentikan atau kami terpaksa menggunakan kekerasan.”

 

“Okuhida ka... jadi kalian anak Mitsuo?”

 

“Benar.”

 

Saisho menyarung kembali pedangnya. Ryouji dan Hisamiko terpinga-pinga. Rupanya Saisho hanya menguji mereka.

 

“Koichi, aku mahu bertarung denganmu.” Pinta Saisho tiba-tiba.

 

Koichi agak terkejut dengan permintaan Saisho. Dia mendiamkan diri sejenak sebelum menyatakan persetujuannya.

 

“Kalian, ke tepi dahulu.” Arah Koichi kepada pasangan adik-beradik itu.

 

Demo (Namun) Koichi-san. Ia mungkin helah. Dia mungkin mahu membunuhmu kerana kata-katamu tadi!” Ryouji mengingatkan, meskipun dia pasti Saisho hanya menguji mereka sebentar tadi.

 

Daijyoubu.” Ujar Koichi perlahan.

 

Koichi merapati Ryouji dan memegang bahunya, kemudian mendekatkan kepalanya ke kepala Ryouji sedang mata masih merenung Saisho.

 

“Kemahiran Saisho sederhana. Aku pernah bertarung dengannya.” Kata Koichi.

 

“Lantas mengapa engkau masih memerlukan adikku?”

 

“Kerana aku tidak boleh menerima jika berlaku kesilapan dalam melindungi baginda. Adikmu pemedang handalan. Sedang aku ada sikap teragak-agak sama sepertimu.”

 

“Engkau katakan aku sama sepertimu?”

 

“Untuk hal begitu sahaja, tidak dalam lain-lain hal.” Koichi beredar menuju Saisho sebaik menghabiskan kata-katanya.

 

Mereka beranjak ke kawasan lapang di tepi taman, di mana ia dilapisi batu-batu kecil dan licin berwarna putih. Di belakang ialah sebuah kuil Shinto kepunyaan kompleks istana Maharaja. Maharaja sering ke sini tatkala dia mahu beribadat dan mencari ketenangan. Seorang penjaga kuil berdiri tegak di hadapan pintu masuk tatkala dia keluar dan terserempak dengan dua petarung itu.

 

Koichi menyingsing lengan kaki dan seluarnya yang mengikut fesyen Barat itu. Dia berasa sedikit janggal kerana selalunya dia memakai kimono atau yukata yang mana ia lebih longgar dan memudahkan pergerakan terutama ketika berpedang. Saisho hanya tersenyum sinis melihatkan Koichi yang bersusah-payah menyingsing pakaiannya.

 

“Mengapa Koichi? Apakah pakaian Baratmu itu terlalu merimaskan? Apakah kimono seharusnya lebih sesuai untuk berpedang?”

 

Koichi tidak membalas, namun dalam hati dia mengiyakan kata-kata Saisho. Dia meminjam pedang Ryouji, dan kini menghunus ke arah Saisho. Saisho melakukan perkara sama. Mereka berdua bergerak berpusingan, mencari peluang mendaratkan serangan julung.

 

“Sungguh ironik. Engkau membenci Barat namun masih membeli senjata api dari mereka.” Sindir Koichi ketika pertarungan mereka terhenti seketika dan masing-masing mencari ruang meneruskan libasan. “Mengapa tidak sahaja engkau gunakan panah dan pedangmu?”

 

“Aku terpaksa. Jika mereka menggunakan meriam, aku perlu menggunakan meriam. Jika mereka menggunakan senapang, aku perlu menggunakan senapang.”

 

Sou omottetanda. Aku sependapat denganmu. Maka apa yang engkau terlalu benci dengan Barat?”

 

“Pengharaman membawa pedang ke mana-mana. Undang-undang Barat, cara bercakap kita yang meniru mereka, perubahan pakaian kita, diet kita yang kini meniru mereka dengan memakan daging... itu hanya sebilangan.”

 

“Jadi, apakah ia merugikanmu?”

 

“Ya. Kerana ia menggalakkan korupsi.”

 

“Tidak, ia langsung tidak masuk akal. Korupsi seperti kataku sebelum ini, juga berlaku di zaman shogun. Saisho, korupsi berada di mana-mana. Engkau pergilah ke benua Amerika. Ia berlaku dalam tamadun orang asli di sana. Dan kerana itu empayar di sana berpecah dan akhirnya ditewaskan pendatang Eropah.”

 

Saisho tidak dapat menerima hujah logik Koichi. Telinganya dipekakkan oleh ego dan matanya dibutakan emosi. Jauh di sudut hati, dia ingin menggunakan kesamuraian sebagai alat demi melindungi haknya dalam politik di Tokyo yang kini didominasi aristokrat pro-Barat. Sedang kini samurai adalah golongan terpinggir. Semakin ramai askar kini direkrut dari kalangan petani dan nelayan dan dilatih menggunakan senjata api oleh jurulatih dari Barat. Ketuanan samurai hanya tinggal sejarah. Jika dahulu ia mati di era Pembaharuan, sekarang yang tinggal hanyalah rangkanya. Dagingnya telah lenyap dimamah ulat-ulat masa.

 

“Jadi Koichi, apakah engkau masih meneruskan kerja-kerja Kogen membela anak yatim? Sedang aku dengar kalian menodai anak-anak itu?”

 

Koichi panas telinga mendengar kata-kata sinis dan menghina itu. Wajahnya masih tenang namun giginya bergetar menahan rasa di hati.

 

“Ya.” Jawab Koichi, berhenti sejenak sebelum menyambung, takut-takut terbongkar penuh marahnya itu.

 

“Seperti kukatakan, korupsi tidak dapat dielakkan. Kami hanya mampu mengurangkan dan melemahkan usaha mereka yang cuba menyuburkan budaya jijik itu. Kami punya niat murni. Jika kami memandu hati ke arahnya, kami akan mampu meneruskan usaha ke arahnya dan semua onar itu kami tangkis sedaya-upaya kami. Apa yang penting, Saisho, adalah ini.” Koichi menepuk jari pada dadanya, ketika kedua-dua berhenti menanti gerakan tarung seterusnya. “Hati. Di mana hatimu, Saisho? Apakah engkau masih bersama kami?”

 

Sekali lagi. Sekali lagi persoalan itu dilontarkan kepadaku, getus Saisho.

 

Persoalan itu menghantui Saisho sehingga dia tidak mampu menangkis serangan demi serangan Koichi.

 

Pertarungan berterusan sehinggalah akhirnya Saisho terbaring sedang Koichi menghunus pedang ke dagunya. Pedang Saisho sudah jauh tercampak. Koichi menyimpan pedangnya dan menarik tangan Saisho bangkit. Saisho menyambut dan bangkit, menepuk-nepuk bajunya dari debu.

 

“Aku terhibur. Oleh pertarungan dan perdebatan kita hari ini.” Saisho menguntum senyum, kemudian tunduk hormat. Koichi membalas tunduk.

 

“Saisho, aku berharap engkau mematuhi arahan Maharaja. Bersama kita bina semula negara ini dari mula.”

 

Sayounara.” Ucap Saisho tanpa mengendahkan nasihat Koichi. “Kita akan berjumpa lagi, namun sebagai lawan di medan perang.”

 

Saisho melangkah keluar meninggalkan perkarangan istana, tanpa menoleh lagi, jelas dia berang dengan pendirian baginda Maharaja.

 

Koichi dapat merasakan bahawa Saisho tidak akan sekali-kali menyerah kepada perintah Maharaja. Dia harus bersedia. Perang tidak akan dapat lagi dielakkan.

 

Saisho meletakkan jawatan serta-merta selepas insiden di istana pada hari itu, dan pulang ke kampungnya di Satsuma, Kyushu bersama seluruh ahli keluarganya. Sejak musim luruh 1876 itulah dia mula mempertingkatkan usahanya di sekolah-sekolah yang didirikan. Dia bertekad mahu memerangi Maharaja sebelum musim bunga 1877.

 

Daimyo atau kini Gabenor Kimura di Kurimoto, Kyushu menghantar khabar demi khabar menggunakan merpati memaklumkan perkembangan terkini tentera yang dilatih Saisho.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...