Mata Ryouji melilau, sekejap memandang Tatsuya, sekejap memandang lelaki pedagang yang sedang berdarah-darah, Hisamiko sudah berdiri sambil mengeluarkan pedangnya selepas meletakkan lelaki pedagang itu ke atas tanah. Lelaki pedagang itu nampaknya sudah mati, melihatkan jasadnya kaku. Hisamiko mengesahkan kematian lelaki itu dengan meletakkan jari pada hidungnya, kemudian memandang Ryouji sambil menggelengkan kepala perlahan.
“Apa engkau ingat aku tidak tahu siapa engkau? Ne, Ryouji. Tak usah bersembunyi di balik topeng itu. Aku kenal
benar engkau.”
Darah Ryouji membuak-buak. Dendamnya terhadap Tatsuya kerana membunuh
isterinya kembali membakar dalam dada. Ryouji cuba menahan dirinya, namun
apakan daya, air mata mengalir di balik topeng kabuki yang dipakainya. Ingatan terhadap Kiku tidak lagi dapat
dibendung, datang mencurah-curah seperti kepala air yang meluru dari puncak
gunung, membanjiri seluruh cepu fikir.
“Apa yang ditunggu lagi Ryouji. Engkau masih marah denganku bukan? Baguslah
begitu. Marah dan bangkitlah menentangku. Mari, tewaskan aku atau aku akan
bunuh semua pedagang di lebuh Nakasendo ini!”
Serentak selepas menghabiskan kata-kata, Tatsuya meluru seraya melibas
pedangnya ke arah leher Ryouji, namun Ryouji berjaya mengelak dan melompat ke
atas pokok. Tatsuya masih di bawah. Hisamiko juga di bawah, tangan memegang
hulu pedang di sarung dan bersedia membantu abangnya bila-bila masa.
“Tatsuya, mengapa engkau membunuh mereka?” Soal Ryouji. Dia tahu tidak ada
guna lagi membisu, kerana identitinya sudah pun diketahui Tatsuya.
“Kerana engkau, Ryouji. Subete omae
no sei da! (Semua salahmu!)”
“Aku tidak faham.”
“Kerana engkau, pelanggan insurans terbesar kami, Tokizawa-san,
berhenti mencarum dengan Furuya. Engkau yang menghasut Tokizawa agar
meninggalkan kami. Aku membunuh mereka ini untuk tujuan pemasaran. Dengan
meningkatnya bahaya di Nakasendo, mereka akan berpusu-pusu membeli insurans. Ne, Ryouji, korban begini diperlukan
demi kelangsungan hidup.”
“Binatang. Engkau ingat nyawa mereka semurah serangga?!”
“Semua salahmu Ryouji. Mengapa engkau bising-bising dengan Tokizawa?
Sekarang engkau bertanggungjawab di atas mulut besarmu.”
“Aku hanya memberitahu Tokizawa kebenaran. Aku tidak mahu dia bersubahat
dengan penipu seperti Furuya yang melabur dalam bisnes pelacuran dan dadah
candu, yang merosakkan anak gadis kita sendiri.”
“Sou? Namun kami punya sebab. Nakasendo dicemari para penyamun. Para
pedagang mesti mendapatkan perlindungan. Dengan melaburkan wang ke situ, kami
dapat melindungi pedagang, membayar gantirugi barang dagangan mereka sekiranya
ditimpa musibah... kejahatan yang kami lakukan adalah demi kebaikan. Apakah
engkau punya cadangan lebih bernas untuk Furuya mengubah pelaburannya?”
“Aku tidak ada. Namun matlamat tidak menghalalkan cara.”
“Kata-katamu kosong Ryouji. Kami juga mahu hidup dan perlukan wang.”
“Dengan merosakkan penjaga rumah perlindungan Kogen dengan candu, dan bahan
lucah? Dengan merosakkan anak-anak gadis kita?”
“Aku tidak peduli semua itu. Siapa yang berduit, dialah yang berkuasa kini.
Wang adalah kuasa, zaman samurai sudah berlalu. Walau apa cara sekalipun, wang
mesti diperolehi, tidak kira jalan apa sekalipun. Engkau mudah bercakap,
Ryouji. Bapamu kaya. Hartanya yang diwariskan kepadamu banyak, seperti yang
kudengari dari Tsugiyama.”
Kata-kata Tatsuya itu berbunyi seperti deja vu di telinga Ryouji.
Aku pernah mendengarnya, getus Ryouji. Tetapi aku tidak ingat di mana.
Tokizawa? Ya, Tokizawa pernah menyatakannya. Wang adalah kuasa katanya.
“Jika engkau masih berdegil, aku tidak boleh berdiam lagi. Tatsuya, serah
diri atau kami akan menangkap dan membawamu ke Kogen untuk dibicarakan.”
“Cubalah!”
Pertarungan berlangsung berterusan. Hisamiko turut membantu abangnya
sekali-sekala pabila abangnya terleka. Namun kekuatan Tatsuya sudah bertambah.
Dia semakin mahir, ditambah dengan pedang yang ditempa Mitsuhide itu. Tatsuya
mampu naik ke jurus kesembilan kaminari tanpa diserang rusuhan tenaga
disebabkan pedang itu. Ryouji mula berasa aneh. Hisamiko turut berasa aneh, dia
tidak dapat mengesan sebarang unsur besi dari pedang Tatsuya meskipun dia tahu
lokasinya.
Aneh. Dia tidak diserang rusuhan tenaga. Apakah kerana pedang itu?
Barangkali pedang itulah. Itulah pedang yang digunakan tika dia datang ke
rumahku tempoh hari. Memang amat ringanlah ia. Tika pertarungan di rumahku itu
dia sudah berjaya naik ke jurus sembilan.
Namun pedang itu membolehkan dia berada lama di jurus itu. Ia terlalu lama
sehingga aku sendiri mulai penat.
Aku penat. Aku perlu keluar sebentar dari pertarungan ini dan memulihkan
kembali tenagaku. Jika tidak, aku turut akan ditimpa rusuhan tenaga juga.
Ryouji memperlahan. Tatsuya menyedarinya seraya ikut sama memperlahan
sehingga jurus satu dan akhirnya pertarungan terhenti. Masing-masing berdiri
atas lantai hutan dalam posisi bersedia.
“Pedang apakah itu Tatsuya? Apakah itu rahsianya engkau mampu berada di
jurus sembilan?”
“Bijak. Engkau tahu punca aku bertahan di jurus itu kerana pedang ini. Ya.
Aku mengupah seseorang menempanya menggunakan resin yang dicuri dari lembah
Kogen.”
“Resin dari lembah Kogen? Bererti –” Ia pasti resin aomomiji. Shinji
pernah menggunakannya menempa Saishi-tou untuk kami.
“-bererti di dalam Kogen ada pembelot. Hah, Ryouji. Aku tahu namaku tidak
akan dibenarkan memasuki lembah itu. Maka aku telah mengupah orang.”
“Tidak mungkin. Meski engkau mendapat resin itu, tidak semua mampu menempa
pedang menggunakannya.”
“Hah, penempa pedangku ini bukan calang-calang. Hanya kerana aku membakar
semangat dendamnya, dia bertungkus lumus mencari jalan menyepadu resin itu
dalam pedang ini.”
“Semangat dendamnya?”
“Engkau masih belum tahu? Mitsuhide-san penempa pedang terkenal dari Shizen
di Shinagawa itu, dia pernah membawa Kobato tinggal bersamanya untuk seketika.
Kobato sang kawan baikmu itulah. Selepas mendapat tahu Kobato dibunuhmu,
Mitsuhide mahu membalas dendam. Dia mengupahku dan berjaya menciptakan pedang
ini. Ryouji, dosa-dosamu terlalu banyak.”
“Tidak, Mitsuhide-san telah menyalahanggap. Kobato diserang rusuhan tenaga.
Aku mahu menangkapnya dan membawa kepada Kogen, disebabkan itu aku bertarung
dengannya.”
“Apa-apalah Ryouji. Yang penting, aku membawa hasrat Mitsuhide ke sini
untuk memenggal kepalamu. Usah banyak cakap lagi, masa rehat sudah tamat. Ayuh
bertarunglah!”
Pertarungan bersambung. Ryouji terganggu dengan kenyataan berkenaan
Mitsuhide. Baru kutahu dari mana Kobato belajar menghasilkan pedang yang nampak
berat dahulu. Pedang itu nampak tidak ditempa dengan baik. Ia membazirkan
banyak tenaga Kobato dan menyebabkan dia diserang rusuhan tenaga kala di jurus
sembilan. Pasti Kobato menempanya sendiri dengan menggunakan nisbah besi-arang
yang salah. Dahulu ketika di rumah kami dia tidak mahir menempa. Namun selepas
tinggal dengan Mitsuhide, mungkin dia sedikit meningkat mahir namun masih salah
dalam beberapa aspek. Aku beruntung Shinji menempanya untukku. Binaan pedang
amat penting, sepenting kawalan kendiri kami ke atas kandungan tenaga dalam
tubuh ketikamana kaminari dilakukan. Binaan pedang adalah asas kaminari
yang kerap dipandang enteng. Maka pedang itu harus dihasilkan oleh mereka yang
benar-benar mahir dan berpengalaman sahaja.
Namun pertarungan masih belum membuahkan hasil. Hisamiko memerhati
sekeliling takut-takut Tatsuya juga ada membawa rakannya. Hisamiko telah
ditegah abangnya agar tidak masuk campur kecuali keadaan benar-benar menuntut.
“Kita nampak setara, Ryouji.”
“Diamlah!” Ryouji mula berasa rengsa dengan sikap banyak mulut Tatsuya.
“Mengapa, engkau letih lagi atau ingin menyambung esok?” Tatsuya separa
menyindir.
“Aku.” Ryouji mencungap. “Aku akan menangkapmu hari ini juga! Jika engkau
terlepas, lebih ramai pedagang akan menjadi mangsamu.”
“Cubalah. Aku ingin lihat sejauh mana engkau mampu bertahan.”
“Onii-san usah paksa dirimu!”
Ryouji tidak mempedulikan nasihat Hisamiko.
Mereka sambung bertarung. Ryouji nampak lebih lesu berbanding Tatsuya. Dia
terpaksa menanggalkan topengnya bagi memudahkan pernafasan.
Kali ini Tatsuya tidak lagi mampu bersabar. Dia mula melakukan serangan
membunuh. Dia tidak mahu membazir masa lagi. Ryouji telah memotong sedikit
rambutnya, menanggalkan sepatu, dan hanya bercawat. Yukata, haori dan umanori
sudah pun ditanggalkan. Mulanya Hisamiko hampir mahu menutup mata kerana malu
melihat abangnya yang separa berbogel itu. Namun dia tahan juga, mata perlu
ditumpu atau nyawa abangnya melayang. Tatsuya bukan calang-calang petarung.
Hisamiko harus bersedia dengan segala kemungkinan. Dia akan melakukan sesuatu
jika Tatsuya cuba membunuh abangnya.
Aku perlu mengurangkan beratku dengan memotong rambut dan mengurangkan
pakaian, getus Ryouji. Tenagaku semakin berkurang. Pakaian menghalang gerakan
dilakukan dengan licin di jurus pantas dan tenaga dibazirkan di situ. Tatsuya
mampu bertahan lama. Apakah puncanya? Sebentar, perhati dan tumpu. Aku perlu
mengambil ruang memerhati. Aku tidak boleh menumpu sambil bertarung, kerana
pemerhatianku tika itu sangat kabur. Aku ada nampak seolah-olah Tatsuya
berkumat-kamit sesuatu. Tidak, ia seperti kunyahan. Apa yang sedang dimakannya?
Aku harus pastikannya.
Ryouji bergerak laju, mengelak dari Tatsuya. Dia tahu Tatsuya pasti akan
mencarinya. Tatsuya sememangnya mahu membunuhnya.
“Apakah engkau sudah keletihan Ryouji? Jika engkau letih kita boleh berehat
dahulu seperti sebelumnya. Usah lari seperti tikus. Di mana engkau Ryouji,
keluarlah! Aku mahu membunuhmu dalam pertarungan!”
Lihatlah, Ryouji membisik sendiri kala berpusing mengelilingi Tatsuya dalam
kepantasan jurus sembilan, dari pokok ke pokok. Ryouji mendapati Tatsuya
mengeluarkan ketulan-ketulan, seperti hablur ubat dari sakunya dan memasukkan
ke dalam mulut. Dia memakan sesuatu. Ubat apakah itu? Apakah ini rahsianya dia
mampu bertahan lama di jurus itu, selain dari pedang tersebut?
Aku tidak akan bertahan lama pada jurus ini. Aku bakal diasak rusuhan
tenaga. Anak mataku sudah mula ke atas ke bawah tanpa kawalan, seperti Kobato
dahulu. Aku harus berhenti.
Ryouji turun ke tanah dan berpusingan pada tumit kiri, merendahkan
kepantasan ke jurus rendah. Tatsuya juga mengikut.
“Aku nampaknya tidak boleh menangkapmu.”
“Onii-san biar aku menangkapnya.”
“Usah Hisamiko. Dia bukan lawan kita.” Ada sesuatu dalam pemilikannya
yang membantunya bertahan, Hisamiko!
Tiba-tiba kelibat berpakaian hitam dan bertopeng kabuki terbang
turun dan cuba menghentak pedang pada bahu Tatsuya. Tatsuya terperanjat besar
namun masih mampu menahannya, tubuhnya terundur ke belakang. Pabila diamati,
kelibat itu ialah seorang wanita. Rambut panjangnya diikat ekor kuda.
“Siapakah wanita ini...” Getus Hisamiko, didengari Ryouji.
“Aku tak tahu.” Ryouji membalas, dia menyarung kembali segala pakaiannya.
Wanita berpakaian hitam seperti ninja dan bertopeng kabuki itu memandang
Ryouji seraya melaungkan, “Ergh, engkau pergilah pakai baju! Biar aku tumpaskan
lelaki ini!”. Suaranya aneh seperti suara lelaki dewasa.
“Siapa engkau?” Soal Ryouji.
Soalan Ryouji tidak berjawab. Wanita itu langsung bertarung dengan Tatsuya.
Pertarungan berterusan di antara Tatsuya dan wanita itu untuk beberapa ketika.
“Siapa engkau perempuan? Mengapa masuk campur urusan kami ha?” Soal Tatsuya
kepada wanita itu.
“Masuk campur? Aku hanya menjalankan tanggungjawabku menangkap pembunuh
bersiri Nakasendo.”
“Jadi engkau dari pasukan polis penjilat Maharaja itukah?” Sindir Tatsuya.
“Aku tidak bersama mereka.” Jawab wanita itu tenang.
“Oh, jadi yoru-no-kaze punya pembantu rahsia rupanya.”
“Juga tidak.” Balas gadis berpakaian hitam masih tidak luntur tenangnya.
Sementara itu Azuchi terbang menuju ke salah sebatang pokok, mungkin ada
sesuatu menarik perhatiannya ke sana. Seperti tupai contohnya. Hari semakin
redup. Petang sudah menjelang.
“Wahai pemuda, mampukah engkau ke jurus kesepuluh?” Wanita itu menduga.
“Oh jadi engkau mampukah?”
“Aku tahu rahsiamu, bagaimana engkau yang bukan dari dua puak itu mampu
bertahan di jurus sembilan. Kerana pedangmu, dan ...”
“Hah, engkau telah memerhatikanku sedari tadi rupanya.”
“Ryouji dan Hisamiko tidak akan mampu menewaskanmu kerana kalian setara.
Akulah yang akan menewaskanmu.”
“Hei perempuan bersuara jantan. Tempat kalian di dapur sahaja. Bolehlah
cuba tewaskanku jika engkau mampu, hah hah.”
“Sou? Aku akan tunjukkan bagaimana rasanya ditewaskan perempuan.
Bukankah engkau pernah ditewaskan Chisato itu dahulu? Mahu kenangan lama itu
berulang kembali? Mahu rasa dimalukan sekali lagi?”
Berderau darah Tatsuya mendengar sindiran yang memalukan itu. Siapakah
wanita berpakaian hitam dan bertopeng ini? Getus Tatsuya. Mengapa dia mengenali
Chisato, Ryouji dan Hisamiko? Bagaimana dia mengetahui tentang diriku?
Tatsuya berang seraya menahan diri dari meneruskan bicara. Dia menumpu pada
pertarungan yang semakin sengit.
Kala Tatsuya naik ke jurus sembilan, gadis berpakaian hitam mengikut sama.
Dia terkejut, kerana gadis itu lebih pantas daripada dirinya. Ia jelas jurus
kesepuluh. Hanya pemedang handalan sahaja yang mampu naik ke jurus tersebut.
“Wahai pemuda, usah memandang rendah kaum perempuan seperti kami. Tanpa
kami, siapa yang menjaga rumah kalian para lelaki? Siapa yang menyediakan makan
pakai kalian? Aku bertungkus-lumus menangani lelaki sampah seperti kalian yang
memperkosa dan memperdagang anak gadis. Dan aku akan pastikan kalian tunduk
denganku.”
Wanita berpakaian hitam berjaya menghiris lengan Tatsuya. Semangat Tatsuya
mulai menurun selepas diserang dan dilukai jiwa dan raga. Dia semakin dikuasai
marah dan rasa tercabar, gerakannya kian kucar-kacir. Dia cuba menyerang namun
semakin dia bergerak, semakin banyak bahagian badan dihiris pedang wanita itu.
Darah semakin banyak mencemari yukatanya. Dia turun ke jurus rendah bagi
mengurangkan tenaga. Wanita itu tidak berlengah lantas menghiris pedangnya
memotong sedikit leher Tatsuya.
“Bukankah tempat kami di dapur? Maka hirisan kami semestinya bersih seperti
menghiris sayur. Beginilah!”
Tatsuya tumbang. Hirisan pedang wanita itu turut memotong urat rahang
Tatsuya dan menyebabkan mulutnya ternganga, ketulan hablur seperti garam keluar
dari mulut dengan lidah terjelir, mata terbeliak. Wajahnya kaku. Dia mati
serta-merta. Darah meleleh dari kesan-kesan luka pada seluruh badan.
“Aku sudah agak. Dia mengemam garam begini demi menyejukkan badan sekaligus
menghindar rusuhan tenaga. Siapa yang mengajarnya? Hah, ini pasti kerja
pembelot dalam Kogen sendiri.” Gumam wanita itu. “Aku yang menulis rahsia itu
dalam bukuku. Tak sangka ia dibocorkan juga.”
**
“Ano, Cik. Siapa engkau?” Soal
Hisamiko.
Wanita itu menyeringai di balik topeng musang bercalit tiga jalur merah
pada tiap pipi.
“Wahai budak mentah, lelaki ini menggunakan pedang aneh. Engkau tidak
menyedarinya?”
Ryouji menjawab, “Aku tahu. Disebabkan itu dia mampu ke jurus sembilan
untuk tempoh yang lama.”
“Aku tidak tahu dari mana lelaki ini memperolehinya. Pedang ini tidak dapat
dikesan adikmu, yang sepatutnya boleh mengesan besi.” Tambah wanita itu lagi.
Suaranya tidak dikenali Ryouji dan Hisamiko kerana alat penukar suara pada
topeng musang yang dipakainya boleh mengubah suaranya kepada suara jantan yang
garau. Namun pakaian yang dipakainya jelas menampakkan tubuh wanita beserta
rambut yang panjang diikat ekor kuda.
“Ia ditempa oleh tukang pedang terkenal di Shizen. Mitsuhide itu. Resin aomomiji diperolehi dari pembelot di
lembah Shirasaka.” Terang Ryouji.
Aneh, getus Ryouji. Perempuan ini mengenali Hisamiko? Oh, ya! Aku fikir aku
kenal wanita ini.
Ryouji menoleh sejenak ke arah pokok di mana Azuchi bertenggek, dan dia
tersenyum. Aku pasti akan identiti wanita ini.
Wanita itu diam sejenak selepas mendengar penerangan Ryouji. Barangkali dia
tersentak mendengarkan kewujudan pembelot di Shirasaka-no-kogen yang
diperkatakan Ryouji, yang membocorkan rahsia resin itu. Maa ii ka. Jika
kami punya pengintip, tidak mustahil mereka juga memasang pengintip mereka
dalam Kogen, getus wanita itu.
“Oh, disebabkan itu engkau tidak akan mampu menewaskannya, kerana kalian
dan dia setara. Maaf, aku telah melihat pertarungan kalian sejak tadi sebelum
masuk campur. Jya, sayonara.” Wanita
itu bersedia melarikan diri.
“Matte, Cik.” Ryouji cuba
menahannya. Wanita itu berhenti tanpa menoleh, namun tangannya masih memegang
hulu pedang yang sudah bersarung di pinggangnya.
“Engkau Ayame-san bukan?”
“Siapa dia?”
“Usah berpura-pura, Ayame-san.
Siapa lagi yang mampu menewaskan mereka di jurus kesembilan? Dan nasihatku,
bersungguhlah menyamar. Engkau membawa Momoyama ke sini juga.”
Tidak jauh di atas sebatang pokok matsu,
Azuchi dan Momoyama bertenggek bersebelahan. Ryouji menyedari kehadiran
Momoyama selepas diberitahu Hisamiko tadi. Dia memerhati ke pokok itu sejenak
untuk mengesahkannya.
Wanita itu tersentak mendengarkannya, namun dia kekal membisu.
Penyamarannya dilondehkan begitu mudah oleh Ryouji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan