Novel: Yoru-no-kaze (Bab 43)

“Tokui Yuusuke.” Tokui memberitahu namanya sebaik mengetuk pintu pejabat Kogen. Pembantu Koichi yang bernama Megumi, merangkap jururawat yang membidani kelahiran Shinji, membuka pintu dan mempersilakan Tokui masuk.

 

“Duduk Tokui.” Koichi mempersilakan Tokui yang masih berdiri di depan meja tehnya.

 

“Maafkan aku Koichi-san. Aku telah sedaya-upaya menjaga Ayame seperti permintaanmu, namun aku tidak mampu menjejakinya malam itu. Dia terlalu pantas.”

 

Sou ka.”

 

“Hukumlah aku di atas kegagalan ini!” Tokui menegas sambil tunduk.

 

Koichi diam seketika. Tokui berasa aneh mendapati Koichi hanya mendiamkan diri dan menjangkakan Koichi sedang berang dan sedang mengawalnya. Wajah Tokui masih tunduk. Mereka berdua hanya dipisahkan sebuah meja teh.

 

“Hukuman?” Soal Koichi. Tokui tergamam.

 

Koichi menyambung, “Oh tidak, tidak. Buat apa aku menghukummu? Tokui-san, apa yang kaufikir punca kegagalanmu itu?”

 

Tokui berasa aneh akan soalan Koichi namun dia menjawabnya juga, “Kepantasannya.”

 

“Engkau masih tidak mampu menjejakinya meski sudah tahu kaminari?”

 

“Ya, aku fikir dia lebih pantas dari biasa.”

 

Apakah Ayame sudah menguasai jurus kesepuluh? Soal Koichi dalam hati.

 

“Aku tidak tahu ke mana Ayame menghilang, dan pada waktu itu hari masih gelap dinihari. Aku sudah gagal melindungi Ayame seperti permintaanmu. Maafkan aku!” Tokui melanjutkan penerangan dan disusuli dengan tunduk hampir menghantuk dahi pada birai meja.

 

“Aku tidak akan menghukummu Tokui-san. Engkau tidak salah apa-apapun. Namun aku ada satu permintaan, engkau boleh jadikannya peluang menebus kegagalan. Sa, angkat wajahmu. Aku baru terima surat dari mereka.” Koichi menghulur surat yang diterima dari Konoe, ronin penjaga Yokuma itu pagi tadi kepada Tokui.

 

Tokui membaca surat itu. Wajahnya berubah. Apa yang mengejutkannya ialah bagaimana Ayame ditangkap dan juga lokasinya yang agak jauh dari tempat mereka melangsaikan misi Kogen tempoh hari.

 

Ayame, bagaimana pula engkau boleh berada di Yokuma? Getus Tokui dalam hati.

 

“Tokui-san, seperti kandungan surat itu, Ayame berada di Yokuma dan bersama beberapa ahli Skuad Sakura yang diterajuinya, mereka semua sedang dalam tawanan beberapa orang ronin penjaga pergunungan itu yang diketuai seorang ronin bernama Konoe. Permintaanku kepadamu ialah, selamatkan Ayame dan semua tawanan, hidup atau mati. Bunuh ronin itu jika perlu.”

 

“Apa yang membuatkan engkau berfikir mahu menghantarku ke Yokuma?” Soal Tokui.

 

“Aku sudah tiada pegawai yang sesuai. Yang lain sudah kuhantar ke Yozehama atas permintaan Maharaja.”

 

“Tapi ia Yokuma, Koichi-san. Jika Empat Celaka sudah tiada sekalipun, ronin-ronin lain di sana tidak kurang hebat dalam bertarung. Aku bukan tandingan mereka, Koichi-san, bahkan aku mungkin akan mati katak saja.”

 

“Apakah kau tak yakin dengan kebolehanmu? Apakah engkau tak mahu menebus kegagalanmu?”

 

Dan bagaimana Ayame yang tahu kaminari masih menjadi tebusan mereka? Apakah mereka juga tahu kaminari? Jika mereka turut mengetahuinya, bererti silap besarlah jika aku menerima tugas Koichi ini. Jika Ayame pun boleh ditumpaskan, inikan pula aku! Tokui bertingkah dalam hati akan kewajaran menerima tugas Koichi itu.

 

“Aku yakin denganmu, Tokui. Dan jadikan kesempatan ini peluang menebus kesilapanmu.”

 

Tokui diam beberapa ketika. Koichi hanya membiarkan, faham Tokui sedang bertarung dalam kepalanya. Habis diam, ada bunyi keluhan kecil seperti nafas terpendam dilepaskan sekali harung dari mulut Tokui.

 

“Aku setuju, dengan syarat aku mahu pergi bersama beberapa pegawai lain juga. Benarkan aku memilih mereka.”

 

“Tidak menjadi masalah, kecuali pegawai di Furukawa.”

 

“Mengapa?”

 

“Pekan itu penting buat Kogen. Pengawal kita harus berada di sana.”

 

“Baiklah.”

 

“Namun ingat Tokui, sesiapa jua yang kaupilih, engkau mempertaruhkan nyawa mereka juga. Jika engkau pulang bersama para tawanan dengan selamat, engkau akan dinaikkan pangkat sebagai salah seorang ahli Majlis Tertinggi Kogen.” Jelas Koichi dengan matanya merenung Tokui tanpa berkelip. Wajahnya serius sekali. Jelas Koichi memaksudkan sesungguh-sungguhnya dan mengharapkan Tokui menjayakan misi menyelamatkan anak perempuan tunggalnya yang sudah berusia lebih tiga dekad dan masih dara itu.

 

Namun Tokui bersetuju juga meskipun dia tahu ada sedikit kebodohan dalam benak yang mempengaruhi keputusannya. Kebodohan itu mengabui kewajaran yang dipersoalkan kepada Koichi sebelumnya, seperti jerebu. Dia tidak pasti sama ada kebodohan itu datang dari rasa cinta terhadap Ayame, seorang anak dara tua yang makan garam tiga belas tahun lebih lama dari dirinya, atau kerana tawaran kenaikan pangkat oleh Koichi itu, atau kerana ego mahu menebus kegagalan melindungi Ayame, atau mungkin kerana dipuji Koichi dan diyakininya.

 

Atau mungkin, Berahi Kuasa Ayame telah merasuk jiwa Tokui sehingga membungakan rasa taksub terhadap Ayame? Bukankah dia dahulu pernah diselamatkan Ayame di rumah perlindungannya di Suruga dahulu? Bukankah sangat wajar sekali sekiranya dia turut dipengaruhi Berahi Kuasa?

 

Apapun, Tokui telah memutus. Dia segera bangun demi mencari calon sesuai yang akan menyertai misinya ke Yokuma. Dia ada mengenali rakan-rakan yang pernah bersama Ryouji ketika pergolakan di rumah perlindungan Ryouji di Hidagawa itu. Rakan-rakan Ryouji itu kini sudah berpindah ke Kogen sebagai pengakap di luar Cincin Penampan di sini, iaitu kembar bernama Natsuki dan Hatsuki. Kedua-duanya berwajah seperti perempuan namun bertubuh tegap dan berketinggian purata, kulit mereka licin dan putih seperti perempuan atau mungkin mereka berendam dalam kolah air tapai sake sehingga kulit lelaki seperti mereka pun cantik? Tokui tidak tahu. Dia tidak mahu tahu kerana dia bukanlah homoseksual. Jika dia homoseksual dia tidak akan menaruh hati terhadap Ayame.

 

Sebaik kelibat Tokui hilang dari pandangan sepenuhnya, Koichi mengeluarkan sepucuk lagi surat yang dihantar bersama-sama surat ugutan dari Konoe itu. Dia telah membaca surat itu sebelum bertemu Tokui namun melipatnya kembali, dan sekarang dia membuka surat itu untuk membacanya sekali lagi demi memastikan dia tidak tersikap maksud kandungannya. Ia dari Hosokawa Seijurou, pengawal Kogen di Furukawa. Hosokowa bersaudara termasuk Takajiro ialah orang kanan Ayame berpangkalan di Furukawa. Berdasarkan kandungan surat tersebut, mereka memberitahu sedang menuju ke Yokuma demi menyelamatkan Ayame, dan meminta bantuan Koichi membantu kawalan di Furukawa. Surat ugutan dari Konoe dilampirkan bersama surat ini.

 

Disebabkan inilah aku tidak membenarkan Tokui meminta bantuan Hosokawa bersaudara, getus Koichi. Aku akan pastikan Ayame diberkas dan dibawa pulang. Namun untuk itu semua dijayakan, aku perlu menguji Ayame dahulu, akan sama ada Berahi Kuasanya sudah berfungsi, dengan menggunakan Seijurou dan Takajiro. Aku tahu hanya Seijurou yang berhutang nyawa dengan Ayame. Aku mahu melihat sama ada Seijurou mampu menghindar kuasa itu, dan Takajiro akan mencatat semua pemerhatiannya. Hanya mereka sahajalah ahli Skuad Sakura yang boleh kugunakan demi mengintip Ayame.

 

Sedang Tokui, aku memerlukan dia ke sana juga hanyalah sebagai insurans. Aku tahu Tokui juga lebih mudah dipengaruhi Berahi Kuasa kerana dia berhutang nyawa dengan Ayame yang telah menyelamatkannya dahulu, namun aku mahu mengesahkan sesuatu dari Tokui. Apakah Berahi Kuasa boleh dihindar dengan tekad sekental Tokui? Yang dari khabar ketikamana dia diselamatkan dari rumah perlindungannya dahulu, telah memutus membunuh tanpa teragak-agak, tidak seperti perangai Ryouji yang teragak-agak itu? Apakah tekad yang dipamerkan ketika itu mampu menghindarkan dirinya dari Berahi Kuasa Ayame?

 

Tatsuhiro akan kuhantar ke sana juga demi mencatat semua pemerhatian itu dan melaporkan kepadaku. Ayame, engkau benar-benar membuatkan aku sibuk!

 

**

 

Maka Tokui melangkah dengan penuh semangat menuju ke kudanya. Dia akan menuruni kawasan beralun dan berumput dan berbatu-batu menuruni Gunung Kogen, merentas Daratan Titian yang merentangi Gaung Maut yang mengelilingi Gunung Kogen menuju ke kawasan hutan sugi, di mana para pengakap Kogen berkawal seperti monyet-monyet di pokok-pokok.

 

“Hatsuki, Natsuki.” Tokui menyeru nama mereka. Dia tahu mereka berdua berkawal hanya di kawasan itu, salah satu dari pos kawalan hutan sugi pada altitud rendah.

 

Di mana mereka? Getus Tokui. Matanya menerawang melihat bahagian atas pokok-pokok hutan. Apakah mereka sedang makan?

 

“Ya, Tokui-san.” Kedengaran suara seorang lelaki menegur. Tokui menoleh.

 

Seorang pemuda berpakaian serba hitam, agak tinggi, lebih tinggi dari Tokui, wajahnya dilitup sarung hitam menampakkan mata, berdiri di hadapan Tokui dan menundukkan badan. Tokui membalas tunduk.

 

“Katsumura-san. Aku mencari Hatsuki dan Natsuki.”

 

“Oh kembar itukah? Aku nampak mereka berkuda ke bawah sana.” Katsumura menuding ke arah sebuah kampung yang berbalam-balam di bawah tanah tinggi itu.

 

“Ke kampung tepi pantai sana? Apa mereka sedang buat?”

 

“Aku tak tahu. Selepas mendapat surat dari Koichi mereka terus bergegas ke sana. Ada apa hajatmu mahu berjumpa mereka?”

 

“Aku ada sedikit hal mahu dibincangkan. Bila mereka akan pulang?”

 

“Mungkin sebelum matahari terbenam. Kata mereka, hanya mahu turun sekejap sahaja. Engkau tunggulah di sini.”

 

“Tidak mengapalah. Biar aku bertemu mereka di sana.”

 

“Sebentar, apakah engkau ada kebenaran keluar?”

 

Tokui menyuguh sepucuk surat kebenaran dari Koichi kepada Katsumura. Katsumura membaca kandungannya, iaitu tulisan Koichi yang membenarkan Tokui keluar bersama petarung pilihannya beserta cap rasminya.

 

“Ke Yokuma?”

 

“Ya.”

 

“Untuk apa?”

 

“Itu rahsia Koichi dengan kami.”

 

Katsumura menyerahkan kembali surat itu kepada Tokui, dan merenungnya sambil berpesan, “Tokui, berhati-hati. Ronin di Yokuma bukan sembarangan. Dahulu rakanmu yang bernama Tsuneki telah terkorban di sana. Engkau masih ingat itu?”

 

“Ya. Terima kasih Katsumura-san mengingatkanku. Aku harus bergegas. Jya, sayounara.” Tokui tidak mahu memanjangkan perbualan seraya memecut kudanya meluncur ke bawah gunung. Katsumura hanya menggeleng-geleng kepala.

 

Tempoh hari aku ada ternampak Nariko-chan masuk ke Shirasaka-no-Kogen melalui sini, kemudian sehari selepas itu Hotaru pula. Kemudian ada ahli Skuad Sakura yang lain. Aku tidak menahan mereka kerana mereka seolah dalam bergegas. Apa yang sedang berlaku? Dan Ayame pula, masih tidak pulang-pulang selepas keluar bersama Tokui melangsaikan misi sebelum ini. Hanya Tokui yang kembali pulang. Oh, aku tidak sempat pula bertanyakan hal itu dengan Tokui tadi, getus Katsumura.

 

Sementara itu, Tokui sudah jauh di altitud lebih rendah pergunungan tersebut.

 

Aku tidak mahu mendengar perkara-perkara yang menakutkan itu, getus Tokui. Aku hanya mahu menyelamatkan Ayame. Jika aku mendengar begitu banyak perkara begitu, aku bimbang semangatku akan rapuh dan retak, dan akhirnya ketakutan mengaburi segala jalan menuju kejayaan. Ayame ditangkap kerana silapku. Tidak, dia terlalu pantas.

 

**

 

“Tokui-san!” Hatsuki melaungkan nama Tokui dari atas kudanya sewaktu Tokui sedang mundar-mandir dengan kudanya di tengah-tengah perkampungan nelayan berhampiran Laut Jepun itu.

 

Tokui menoleh dari atas kuda, ke bahagian kirinya. Hatsuki berdiri di hadapan sebuah kedai soba. Di sebelahnya kembar yang lebih rendah tubuhnya, bernama Natsuki. Tokui terpegun seketika kerana wajah kembar itu amat serupa, dan juga sedikit terpesona kerana wajah mereka seperti perempuan.

 

“Apa kaubuat di sini?” Soal Natsuki.

 

“Aku mencari kalian.”

 

“Wah, Tokui mencari kita! Pasti ada tugas besar bukan?”

 

“Ya kalian. Tapi ini serius.”

 

“Serius?”

 

Tokui turun dari kudanya. Kembar terpinga-pinga. Dia mengisyaratkan kepada mereka agar mengekorinya menjauhi kedai soba yang sedang ramai pelanggan itu, ke satu sudut di tepi belukar. Kemudian, dia meminta mereka mendekatkan kepala sedikit agar dia boleh memperlahankan suaranya.

 

“Koichi meminta aku ke Yokuma menyelamatkan Ayame dan beberapa orang ahli Skuad Sakura.”

 

“Hah? Apa yang telah berlaku pada mereka?”

 

“Aku tak tahu. Koichi-san baru mendapat surat. Surat itu dari ronin Yokuma, menuntut wang tebusan. Mereka semua sedang ditahan ronin-ronin itu.”

 

“Namun Ayame-san sekali? Bagaimana seseorang yang tahu kaminari pun boleh ditewaskan begitu?”

 

“Itu soalan aku juga. Barangkali ada sesuatu. Barangkali ada antara ahli skuad yang ditangkap dan dia terpaksa mengalah, jika tidak mungkin ahli itu dicederakan atau dibunuh. Namun ini hanya telahanku. Apa yang penting aku diarahkan menyelamatkan mereka.”

 

“Jadi?”

 

“Aku perlukan bantuan kalian.”

 

“Bantuan kami? Mengapa tidak petarung lain?”

 

“Petarung lain dihantar demi perintah Maharaja. Hanya kalian yang boleh kuharapkan.”

 

“Namun engkau pun tahu bukan? Ia Yokuma Tokui, Yokuma. Ronin-ronin di sana amat berbahaya, tambahan mereka lebih tahu selok-belok hutan itu berbanding kita. Mereka tidak akan teragak-agak membunuhmu. Mengapa perlu menjolok sarang tebuan?”

 

“Dan yang anehnya bagaimana Ayame dan pasukannya boleh berada di sana?”

 

“Aku tak tahu. Kalian, aku perlukan jawapan segera kalian. Mahu atau tidak sertaiku?”

 

“Sebentar, jika engkau kata tadi Ayame dan Skuad Sakura ada di sana... ini bererti...”

 

“Apa, Hatsuki?”

 

“Chisato turut sama ada di sana?” Soal Hatsuki dengan wajah dan nada penuh kerisauan.

 

“Aku tidak pasti. Namun aku tidak nampak Chisato di Kogen-no-shita sepulanganku ke Kogen. Namun mengambilkira Ayame sering membawa Chisato ke mana sahaja, ada kebarangkalian dia di sana.”

 

Hatsuki tergamam. Hatsuki gumam, “Yalah. Aku tidak melihat Chisato agak lama sejak dua tiga hari lepas. Adik kembarnya juga tiada. Ke manakah mereka?”

 

Natsuki bertanya, “Bukan kami tidak mahu membantumu. Namun mengapa Ayame sanggup ke sana mencari penyakit, bahkan membawa sekali pengikutnya ke lubang neraka?”

 

“Aku tidak tahu, hontou ni. Dia aku terlepaskan sewaktu misi kami tempoh hari, dan sepulanganku ke sini, aku menerima berita dia sudah ada di sana, ditangkap dan dijadikan tawanan. Namun nasi sudah menjadi bubur, Hatsuki, Natsuki. Memang aku faham, Ayame mungkin bodoh, namun kebodohannya turut memangsakan skuad Sakura yang lain, seperti Nariko, Chisato, Hotaru...”

 

Hatsuki dan Natsuki saling berpandangan, sebelum mengeluh. Mereka berkata, “Berikan kami sedikit masa. Kami mahu berbincang dahulu.”

 

“Baiklah.” Ujar Tokui. “Ambil masa kalian. Aku harus bergegas segera. Usah terlalu lama.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...