Novel: Yoru-no-kaze (Bab 63)

Dua ekor hayabusa yang bertenggek di atas sebatang dahan pokok sugi itu menarik perhatian para tentera Maharaja yang menunggu di luar lembah Amaguri.

 

Namun Azuchi dan Momoyama, tidak langsung mempedulikan mereka. Para tentera hanya memerhati namun tidak mengapa-apakan mereka.

 

“Azuchi. Sayonara. Tugasku sudah berakhir. Calon Kaisenjyo adalah tuanmu, Okuhida Hisamiko.”

 

Azuchi menoleh ke sebelah, mendapati jasad Momoyama mula bertukar menjadi debu, bermula dari kepala, turun ke dada dan kakinya.

 

“Momoyama, Momoyama!” Azuchi berteriak. Namun teriaknya tiada guna lagi, Momoyama terus melenyap ke udara.

 

**

 

Seijurou, Takajiro, Natsuki, Hisamiko dan Ryouji semua tergamam melihat pemandangan di depan mata mereka. Pokok gergasi yang membungkus Ayame dan mengecut itu kini hancur menjadi debu dan berterbangan ditiup angin. Angin makin kuat berhembus sehingga semua debu hilang. Kala itu mereka semua menutup mata demi melindungi dari dimasuki debu. Pabila angin berhenti, yang tinggal hanyalah mayat Ayame yang bengkang-bengkok dan patah riuk tulang-temulangnya akibat ditekan pokok itu.

 

Natsuki yang paling awal bangkit dan merampas pedang Hisamiko yang terdampar di atas tanah, seraya menyerbu ke arah Ayame, cuba melepaskan geramnya kerana membunuh kembarnya Hatsuki.

 

“Mati kau Ayame-san!” Jeritnya, sebelum tersungkur disengkang Takajiro.

 

Nani shite no baka! (apa kau cuba buat, bodoh?)!” Tengking Takajiro.

 

“Kau usah masuk campur.”

 

Ryouji dan Hisamiko bangkit. Hisamiko merampas kembali pedangnya dari Natsuki. Dua beradik itu merapat ke arah mayat Ayame.

 

“Kita harus lindungi mayatnya.” Ujar Ryouji. Hisamiko mengangguk.

 

Seijurou dan Takajiro datang merapati. Seijurou bertanya, “Apa kalian akan lakukan dengan mayatnya?”

 

Ryouji memberikan surat dari Koichi. Seijurou membuka dan membaca surat itu yang turut dicop rasmi Koichi dan juga Maharaja. Di dalam surat itu Koichi memberitahu bahawa Maharaja bersetuju mayat Ayame tidak dipenggal kepalanya, namun Maharaja akan menghantar orangnya demi mendapatkan pengesahan. Maharaja juga bersetuju permintaan Koichi agar mengebumikan mayatnya di mana dia ingini.

 

“Koichi mahu kami mengebumikan mayatnya di lembah Okuhida.”

 

“Jika itu yang Koichi mahukan, kami menghormatinya, Ryouji.” Seijurou dan Takajiro tunduk separas pinggang kepada Ryouji dan Hisamiko. Ryouji dan Hisamiko membalas tunduk.

 

Natsuki yang masih marah-marah, ditarik Seijurou dan Takajiro keluar dari lembah Amaguri itu. Ryouji dan Hisamiko membawa keluar mayat Ayame dengan mengikatnya kukuh pada belakang Ryouji. Ketikamana mereka keluar dari lembah itu, tentera Maharaja yang menunggu di luar mengeluarkan suara-suara menggerutu dan marah. Ada yang berlebihan, cuba menarik mayat Ayame dari ikatan Ryouji, namun dihalang Seijurou. Takajiro menerangkan situasi mereka yang Maharaja sudah membuat persetujuan dengan Koichi berkenaan bagaimana mayat Ayame akan diuruskan.

 

Salah seorang dari tentera Maharaja yang ada di situ keluar dan memberitahu dia adalah wakil Maharaja dan diperintahkan mengesahkan kematian Ayame. Ryouji menurunkan mayat Ayame dan menunjukkan tanda di belakang bahunya, iaitu tanda yang diberitahu Koichi. Pegawai Maharaja itu memeriksa dan berpuashati. Dia melepaskan Ayame kembali kepada Ryouji, dan kemudian berlalu meninggalkan mereka menuju ke Tokyo demi memaklumkan kepada Maharaja.

 

Pada masa yang sama, tentera Yoshinobu akhirnya ditewaskan. Pasukan Yoshinobu berperang dengan tentera Maharaja di sebelah pintu-pintu barat Kogen. Disebabkan Yoshinobu kekurangan dana, maka dia kekurangan bekalan bom dan senjata api yang boleh dibeli dari pedagang Rusia. Maka dia menggunakan bom yang mengeluarkan gas busuk seperti gas dari Gaung Maut, namun gas ini lebih beracun dan boleh memengsankan tentera yang menghidunya, dan memberi kesempatan kepada tentera lawan untuk menewaskan dan membunuh mereka. Shinji mengambil sampel bom itu dan mengesahkan komposisinya sama dengan gas dari Gaung Maut, maka mereka menggunakan bom kabus yang dicipta pasukan saintis Kogen demi meneutralkan bom gas busuk dari Yoshinobu itu. Shinji tidak menyangka ilham yang tercetus sewaktu mencari Sae di Gaung Maut dahulu akhirnya berkesan membantu Kogen menewaskan Yoshinobu.

 

Yoshinobu melarikan diri dan dikepung di menara sama bapanya dulu pernah berlindung, iaitu di kubu Kobe di tepi Tasik Biwa. Shizuo yang kini berkhidmat kepada Kogen, memimpin serangan di kubu itu. Ini kerana Shizuo antara petarung senior Hamada yang tahu kaminari. Meski dia dibawa masuk oleh Ayame, dia tidak berhutang sebarang budi dengan Ayame. Ayame hanyalah penghubung kepada Kogen. Maka dia tidak terkesan dengan Berahi Kuasa dan masih bersama Koichi.

 

Selepas dia ditangkap, Yoshinobu dipancung di hadapan khalayak ramai di Kyoto. Jika kematian Saisho adalah simbolik kepada terkuburnya era samurai, kematian Yoshinobu pula adalah simbolik kepada terkuburnya era gabenor yang masih mempercayai kesamuraian.

 

Mayat Ayame dikebumikan dengan selamat di lembah Okuhida yang terletak tidak jauh dari lembah Amaguri itu, dengan Koichi menghadirinya. Hisamiko, Ryouji, Seijurou, Takajiro dan Natsuki turut sama ada di situ. Natsuki sudah pun reda kemarahannya dan datang memberi penghormatan terakhir. Koichi tidak menangis di hadapan Hisamiko dan Ryouji ketika menatap wajah mayat anaknya itu, demi menjaga egonya. Selepas itu mereka bersama-sama pulang ke Kogen, melalui lembah Amaguri, dengan menggunakan portal terus ke perpustakaan Kogen. Di sana, angin perubahan akan bertiup melanda seluruh Kogen. Sepertimana dalam mana-mana perubahan sekalipun, pasti akan ada pihak yang tidak berpuashati. Namun, pendekatan yang digunakan untuk menghadapi ketidakpuashatian inilah yang akan menentukan kelangsungan perubahan itu, sama ada ia berjaya mahupun sebaliknya. Dan ia juga bertanggungjawab menentukan sama ada kejayaan itu adalah menang sekali dan gagal pada pelaksanaan, atau berjaya sehingga pelaksanaannya membuahkan hasil, atau dengan kata lain, melestari.

 

**

 

Perang sudah pun berakhir. Selepas tewasnya Ayame bersama Yoshinobu dan tamatnya perang, kepimpinan Kogen diambilalih Majlis Tertinggi. Koichi pula tiba-tiba menghilangkan diri. Pada hari dia mendengar Ayame ditewaskan, dia murung dan bersendiri selama seminggu. Kemudian selepas seminggu berlalu, dia memberitahu agar Majlis mengambilalih Kogen dan dia sempat menyerahkan sepucuk surat. Di dalam surat itu Koichi menyatakan dia menyerahkan Kogen secara rasmi kepada Okuhida Ryouji dan Majlis hendaklah menyerahkan kepimpinan Kogen kepadanya selepas proses peralihan selesai.

 

Ryouji dan Hisamiko berada di Kogen atas permintaan Koichi. Dalam tempoh seminggu di sana, dia dibawa mempelajari selok-belok pejabat dan pentadbiran di sana. Ryouji juga diberi masa seminggu untuk membuat keputusan sama ada mengambilalih Kogen atau menyerahkan kepada Majlis sahaja menguruskannya sehingga pengganti sesuai Koichi dilantik.

 

**

 

Hingar orang ramai yang mengerumuni busut berbatu-batu di tengah-tengah Shirasaka-no-Kogen itu memenuhi suasana. Hari ini, semua ahli Kogen yang tinggal di lembah itu dan lembah di bawahnya, Kogen-no-shita dipanggil berhimpun. Majlis Tertinggi Kogen, yang mengambilalih tampuk kepimpinan selepas kematian Koichi, mahu mengumumkan sesuatu.

 

“Kogen akan dibubarkan.”

 

“Shhh!! Usah mengarut. Bukankah kita sudah menang berperang dengan Hamada Yoshinobu? Bukankah Ayame telah ditewaskan? Bukankah Saisho Takanori sudah melakukan seppuku?”

 

“Betul tu Sakakibara. Engkau ni mengarut apa Mochizuki?” Soal seorang pemuda beryukata warna ungu gelap.

 

“Budak Okuhida tu jenis lembik. Pandai bertarung namun dia tidak akan mengetuai Kogen. Dia pernah lari dari Kogen engkau tak tahu? Hanya Koichi yang memanggilnya kembali kerana perang ini. Kalaupun dia mengetuai Kogen, aku boleh jamin dia tidak akan bertahan lebih dari sebulan. Tidak, seminggu!” Yakin benar Mochizuki mengemukakan hujahnya seolah tahu serba-serbi berkenaan beradik Okuhida itu.

 

“Apa kaitan mereka dengan kelangsungan Kogen?” Soal seorang lagi pemuda beryukata perang pula.

 

“Engkau tak tahu? Semua orang mengatakan, Koichi mewariskan Kogen kepada mereka. Hah, mereka pasti akan lepaskan Kogen punya!”

 

“Tapi aku lihat Ryouji itu bukan pengecut seperti sangkaanmu. Semua orang tahu kepahlawanannya di Yokuma dan di Kobe sehingga Hamada ditewaskan. Semua orang tahu rakannya dan dia berjaya menghapuskan kuasa Hamada yang berpusat di Yokuma. Bahkan dia telah menewaskan Ayame dengan tangannya sendiri. Bukankah besar sumbangannya? Semua itu perlukan keberanian. ”

 

“Jadi petarung tak sama dengan jadi pemimpin, Sakakibara-san. Engkau tunggulah, dia pasti pening punya memikirkan Kogen yang banyak masalah ini. Aku pernah mendengar ura-ura bagaimana sewaktu rumah perlindungannya diserang macai Hamada dulu. Jika tidak kerana Goryuuin dan Ayame di situ, sudah pastu mereka telah tewas. Kerana Ryouji itu lemah dalam merancang, memimpin. Dia lembik, terlalu beremosi. Terlalu banyak berfikir dan termenung. Itu yang Mariko beritahu pada bos aku sewaktu dia meminta bantuan tambahan demi menewaskan macai Hamada itu. Mariko risaukan Ryouji masih belum boleh diharap.”

 

Sakakibara mengangguk-angguk seolah-olah baru benaknya ditebak pencerahan yang baru yang selama ini dia terlindung dari nurnya.

 

“Aku dengar, sebenarnya bukan dia yang membunuh Ayame. Ayame dibom. Ryouji dan adiknya hanya membantu mencederakan Ayame, namun kematiannya adalah disebabkan bom.”

 

“Aku dengar Ayame membunuh dirinya dengan sihir!”

 

“Ah, mana satu yang betul ni?”

 

Selepas Majlis Tertinggi Kogen menyampaikan khabar bahawa Kogen akan beralih kepimpinan akibat kematian Koichi, semua tertanya-tanya siapakah penggantinya, kecuali sebahagian yang mendengar dan mencuri dengar celoteh Mochizuki tadi.

 

Ahli Majlis Tertinggi Kogen itu turun dari busut berbatu dan mempersilakan naik sepasang lelaki dan wanita berpakaian biasa namun bersarung haori Kogen naik ke atas busut. Mereka memakai topeng kabuki dan lengkap berpedang. Yang lelaki berketinggian purata, yang wanita agak rendah.

 

Shinji dalam khalayak merenung tanpa berkedip, seolah dia sudah tahu siapa di balik topeng itu dan tidak menyangka bahawa orang yang cukup dikenalinya itu bakal memimpin Kogen.

 

Ryouji...getus Shinji. Apa yang kaucuba lakukan?

 

Yoru-no-kaze. Mereka yoru-no-kaze!” Jerit seorang lelaki dalam khalayak sebaik terlihatkan topeng kabuki yang dipakai mereka. Semua mata menumpu pada pasangan itu untuk mengesahkan. Kemudian sorak demi sorak kedengaran, “Yoru-no-kaze! Yoru-no-kaze! Yoru-no-kaze!”

 

Sebaik lelaki dan wanita bertopeng berdiri kukuh di puncak busut berbatu, yang lelaki menanggalkan topengnya, diikuti yang perempuan. Ada bunyi terkejut dari khalayak, barangkali tidak menyangka yoru-no-kaze ialah Ryouji.

 

“Aku Okuhida Ryouji dan ini adikku Hisamiko selaku pengiringku. Aku telah diwasiatkan oleh bekas ketua kalian Shirasaka Koichi sebagai penggantinya untuk mengetuai Kogen. Kalian, dengar baik-baik apa yang ingin aku umumkan.”

 

Semua diam menumpu.

 

“Aku tidak akan mewarisi Kogen. Kogen akan aku serahkan kepada Maharaja.”

 

Semua diam selepas mendengarkan kejutan tidak tersangkakan itu. Ahli Majlis Tertinggi Kogen mengerutkan dahinya sambil merenung tajam Ryouji. Ryouji tidak memandangnya, masih menghala wajah ke khalayak.

 

“Aku ulang sekali lagi: aku tidak akan mewarisi Kogen!”

 

Mochizuki yang bising-bising tadi membisik kepada rakan sembangnya di sebelah, “Kan aku dah cakap tadi!”

 

“Tapi ada pembetulan sedikit Mochizuki; bukan seminggu seperti ramalanmu, tak sampai sehari pun!”

 

Mochizuki dan rakan sembangnya ketawa kecil.

 

“Apa akan jadi dengan kami?” Soal salah seorang dari khalayak kepada Ryouji.

 

“Kogen akan diserahkan sepenuhnya kepada Maharaja. Kalian akan bekerja untuk baginda demi pembaharuan.”

 

Tiba-tiba kedengaran laungan dari khalayak. “Mati Maharaja!” Sejurus itu kedengaran bunyi letupan. Hisamiko tiba-tiba mengeluarkan pedangnya dan melibas pantas ke depan Ryouji, dia berdiri dengan pedang masih terhunus ke bumi. Seorang dari khalayak tunduk mengambil sesuatu yang jatuh ke atas rumput dari libasan Hisamiko. Ia peluru yang sudah terpotong.

 

Lelaki yang cuba menembak Ryouji tadi masih berdiri dengan mengacu pistol revolver, asap masih berkepul dari kebuk peluru. Dia mencampak pistol itu ke tanah, mengeluarkan tantou dan membelah lehernya. Perbuatan lelaki itu diikuti sebilangan mereka dalam khalayak, lebih kurang tiga puluh peratus. Khalayak jadi lompang-lompang dengan gugurnya mereka, pentaksub Kogen dan anti-Maharaja, yang melakukan seppuku ini satu persatu, darah menyimbah membasahi rumput hijau.

 

Tuhan, apa yang sedang berlaku? Aku sudah melepaskan Kogen. Mengapa mereka masih memutus membunuh diri? Apakah kerana mereka tidak bersetuju aku menyerahkan Kogen kepada Maharaja, sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh Koichi? Jika benar, ini bererti golongan anti-Maharaja masih ada dalam kalangan kami! Mereka ini besar kemungkinan juga tali barut Ayame!

 

Mayat-mayat bergelimpangan di sekeliling busut dengan darah mereh membanjiri rumput hijau. Khalayak mula menjarak menjauhi mayat-mayat.

 

Arigatou Hisamiko. Jika engkau tidak memotong peluru itu tadi sudah pasti nyawaku telah melayang.”

 

Betsu ni onii-san. Mujur aku dapat mengesannya awal-awal.”

 

“Hisamiko, aku tetap di jalan ini. Kita akan lepaskan Kogen.”

 

“Aku hanya mengikutmu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...