Sebaik selesai rundingan dengan Yoshinobu, Ayame segera ke Shirasaka-no-Kogen dengan berkuda. Dia mahu memasuki lembah nenek moyangnya itu senyap-senyap, tanpa pengetahuan bapanya dan para pengakap yang berkawal di luar Cincin Penampan, maka dia menggunakan pintu rahsia yang pernah digunakan Shinji dahulu, iaitu yang terletak di Hidagawa dan berhampiran dengan pokok tempat Amaguri menyimpan buku-bukunya.
Tuk, tuk, tuk.
Kaho, pustakawati yang sedang mengemas buku di tingkat paling bawah
perpustakaan itu, tersentak. Dia berhenti mengemas dan ansur masuk ke dalam
bilik rahsia yang ada rak buku dari lantai ke bumbung, yang mana buku-bukunya
mengandungi bahan tidak senonoh dan pernah ditelaah Shinji dan Tsuneki dahulu.
Terkejut bukan kepalang Kaho mendapati lantai dikuak, dan terjojol kepala
Ayame dengan urat-urat rambutnya ada terkeluar dari ikatan, kesan berlaga
dengan kepala terowong. Ayame memanjat tangga sehingga mampu ke atas
keseluruhan tubuhnya, dia menghembus nafas lega akhirnya.
“Sampai pun.” Ayame mendesah. Kaho masih berdiri kaget melihatnya.
“Ayame-san?”
“Kaho. Di mana Hotaru?”
“A... ada. Dia seperti biasa berkawal di lereng Gunung Kogen.”
“Oh yakah. Arigatou.”
Ayame bergegas naik ke tingkat atas perpustakaan. Kaho terpinga-pinga.
“Engkau pasti mahu melakukannya, Ayame?” Soal Hotaru, seakan tidak dapat
menerimanya.
“Ya.”
“Namun, bukankah tujuan kita menubuhkan Skuad Sakura demi membersihkan
Kogen dari pelaku onar?”
“Ya, dan aku selaku ketuanya telah bercadang untuk mengubah hala tuju Skuad
Sakura ini. Bapa tidak bersetuju dan mahu hukuman bunuh dimansuhkan. Golongan
begini harus diusir dari Kogen. Jika kau amati, ia juga satu usaha pembersihan
Kogen bukan?”
“Namun Koichi-san bapamu.” Hotaru mengingatkan.
“Aku tidak peduli. Kogen harus dibersihkan dari pemikiran yang berlembut
dengan penjenayah dan penganiaya wanita.”
“Dan kau tahu bukan, kita di ambang perang. Kogen harus bersatu dan
bersama-sama membantu Maharaja memenangi perang ini.” Hotaru menambahkan poin
lagi.
“Dengar sini Hotaru. Aku telah berpakat dengan Yoshinobu.”
“Ha?”
“Ya, kau tak silap dengar. Aku berpakat dengan Yoshinobu, kau nak aku
ulangi? Kita akan memerangi bapaku dan juga Maharaja.”
Hotaru diam sejenak dan merenung wajah Ayame sedalam-dalamnya, cuba
menaksir maksud kata-kata yang sungguh luar biasa itu. Sesuatu yang tidak
pernah terjangkau dek pemikiran Hotaru sejak dia menyertai Kogen ketika remaja
itu, bagamana Ayame boleh mengutarakan perancangan yang dirasakan cukup taboo
itu. Keluarga Hamada ialah musuh tradisi Kogen. Keluarga yang punya banyak
bisnes-bisnes gelap ini telah membuat pelbagai masalah dalam negara dan
mengganggu rumah-rumah perlindungan Kogen.
“Engkau gila? Yoshinobu itu bapa penjenayah yang banyak menyusahkan kita
sekian lama! Dan memerangi Maharaja? Kau gila, Ayame? Apakah kau mahu jadi
penderhaka?”
“Aku tahu dan aku bersedia menderhakai baginda. Tapi hanya untuk perang ini
sahaja. Yoshinobu ada senjata api, Hotaru. Ia kunci bagi menandingi tentera
Maharaja dan tentera Kogen yang berpihak kepada bapaku. Dan selepas itu, kita
akan hapuskan Yoshinobu dan bala tenteranya.”
“Kau dah gila, Ayame. Apa yang merasukmu sebenarnya, ha?!”
“Hotaru, kita perlu menguasai seluruh negara ini dan mengenakan Kod Kogen
ke seluruh negara, bukan hanya mahkamah Kogen. Seluruh negara ini harus sedar
bahawa penjenayah tidak boleh dibiarkan hidup.”
“Aku tidak setuju dengan caramu. Meskipun niatmu murni.”
“Hotaru, dengar dan ikut kata-kataku!”
Hotaru terdiam dan kaget, seolah kata-kata Ayame itu begitu menggerunkan,
bergema dalam benaknya dan menikam hati.
“Apakah engkau mahu menurutiku Hotaru?” Ayame merenung wajah Hotaru
dalam-dalam seolah mahu memaksanya dalam diam. Hotaru pula terpaku memandang
Ayame, seolah dirasuk. Segala pendirian dan pemikiran sendiri yang terkurung
dalam sangkar hati lebur. Pemikiran dan kemahuan Ayame mengisi salur darah dan
denyut jantung beransur-ansur, meresap membanjiri sangkar hati. Tanpa disedari,
Hotaru mengangguk setuju, meski dalam hati meragui kemunasabahan objektif baru
Ayame ini. Hotaru sesungguhnya telah dirasuk, dia telah dirasuk Berahi Kuasa.
Dua pengikut Hotaru turut sama mengangguk. Ayame hanya tersenyum kala
menyedari Kaisenjyo telah membantunya dengan Berahi Kuasa. Kuasa itu jelas
ampuh, jelas tidak akan dapat ditawari.
“Ayuh, kalian. Kita ke Yokuma sekarang. Kita akan membersihkan Yokuma
segera.”
Mereka bergegas ke kuda masing-masing seperti boneka, seperti dirasuk,
merentas belantara Nakasendo menuju Yokuma dengan Ayame mengemudi rombongan.
**
Chisato tercegat di hadapan Ayame yang sedang bersila dipisahkan sebuah
meja teh, dalam pejabatnya di Shirasaka-no-Kogen. Pejabat Ayame terletak jauh
dari pejabat Koichi dan hampir dengan rumah para petani padi huma.
“Suwattekoi (duduklah).” Ayame mempersilakan Chisato duduk. Chisato
duduk perlahan-lahan di atas bantal leper di hadapan meja teh.
Selepas berbasa-basi buat beberapa ketika, Ayame memulakan soalannya.
“Chisato, aku mahu menyerap adik kembarmu Chiho dan Chinami ke dalam Skuad
Sakura.”
“Apa... maksudmu, menyerap mereka ke dalam Skuad Sakura...?” Soal Chisato
teragak-agak.
“Chiho memberitahuku dia tahu jurus kedua. Aku mahu meminta Chinami sekali
menyertai.”
“Tidak. Aku tidak akan membenarkan.” Balas Chisato dingin, dan matanya
dielak dari bersetentang dengan Ayame.
“Chisato.” Ayame merenungnya. Chisato tunduk, ada rasa gerun datang
menjalar dan menyelubung tulang dan saraf tidak semena-mena kala mendengar
suara itu. “Pandang aku, Chisato.” Kata-kata Ayame keras dan seolah jampi, dan
Chisato tanpa disedari, seolah dipukau, mengangkat wajahnya. Pandangannya
terkunci pada wajah Ayame.
“Ingat aku pernah menyelamatkanmu dahulu dari pengikut Tsugiyama?” Ayame
mengungkit dan melemparkan ke wajah Chisato akan bantuannya dahulu. Chisato
tambah gerun dan tangannya menggigil di balik bawah meja. Ayame mengesannya,
dan memahami kaedahnya berkesan terhadap Chisato. Itulah Berahi Kuasa, yang
digunakan Ayame demi meraih ketaatan tidak berbelah bahagi seseorang kepadanya.
“Ya aku ingat.” Sahut Chisato mendatar, matanya tidak berkedip dan masih
merenung Ayame, seolah terkunci pada wajah gadis berusia tiga dekad itu. Seolah
kawalan Ayame kejap dan ketat, dan menyerap seluruh roh Chisato ke dalam
benaknya, dan mengawal seperti boneka.
“Maka bukankah engkau sepatutnya membalas jasa-jasaku? Menyumbang sesuatu
kepada Kogen dan Skuad Sakura?” Suara Ayame keras dan dalam dan perlahan,
seperti sedang memukau Chisato.
“Aku akan menyumbangkan sesuatu.” Suara Chisato pula mendatar seolah
dipaksa.
“Aku mahukan Chiho dan Chinami.” Ayame menambah dengan dingin dan
bersahaja.
“Ak...aku... aku..” Suara Chisato terputus-putus.
“Engkau izinkan aku menyerap adik-adikmu ke dalam Skuad Sakura?” Suara
Ayame perlahan namun lebih ditekan. Renungannya tidak lekang dari wajah
Chisato.
“Ak...”
“Jawab aku, Chisato. Ini masa engkau membalas budiku.”
“Aku...benarkan.” Ujarnya lemah, ada nafas dilepaskan seolah baru tamat
larian yang kencang. Suaranya seperti dipaksa-paksa.
“Aku mahu menyertaimu sekali.” Chisato menambah dalam lemah.
“Sou?”
“Ya. Aku tahu berkuda, dan bertarung...”
“Tidak perlu kauterangkan lebih-lebih. Aku tahu semua berkenaanmu,
kemahiranmu. Aku lebih dari rela menerimamu ke dalam Skuad.”
Chisato adalah kekuatan yang sekian lama aku inginkan, getus Ayame. Mengapa
otou-san mahu dia diperap di Shirasaka-no-Kogen sebagai penjaga rumah,
pembasuh pakaian pengakap dan tukang masak untuk para pegawai kami? Apakah dia
mahu melatih Chisato menjadi isteri barunya? Orang tua miang! Zaman sudah
berubah. Perempuan tidak lagi terhad pada melakukan tugas-tugas begitu.
Perempuan Yamato harus berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan lelaki.
Aku tahu Chisato punya potensi yang besar, dia tahu berkuda dan bertarung, dan
tidak seharusnya diperap di sana!
Ayame menyeringai memandang Chisato. Chisato pucat wajahnya seolah
berhadapan dengan pemangsa paling digeruni seantero Jepun. Seolah pada saat dan
tika ini sahaja, Ayame yang sudah biasa dengannya ini kini berubah menjadi naga
yang akan menelannya bila-bila masa jika dia melawan.
“Sekarang engkau boleh pergi.”
Chisato bangun, tunduk seperti boneka, sungguh teratur, tidak, ia seperti
diatur. Dia memusingkan badan dan beredar keluar.
Tidak kusangka begitu mudah mempengaruhinya. Tidak rugi aku membantunya
dahulu, getus Ayame. Ia aset yang tersimpan, suatu pelaburan, satu semaian yang
berbuahkan emas. Aku harus berterimakasih dengan Takasaki-san yang memintaku
menyelamatkan Chisato dulu. Sekarang hasilnya dapat kutuai demi kelangsungan
Skuad Sakura.
Dan Kogen. Ya, Kogen adalah matlamat utamaku. Ia harus dimulakan dengan
Skuad Sakura. Selepas Kogen, seluruh bumi Jepun ini. Namun itu adalah yang
paling akhir. Kemudian seluruh Jepun akan aku perintahkan Kod Kogen. Hukuman
bunuh akan dijatuhkan kepada penjenayah yang menodai wanita. Semua rumah
pelacuran akan aku tutup. Para wanita akan aku jadikan petarung dan tentera
seperti Skuad Sakura. Aku akan galakkan ahli yang sudah mahir kaminari,
menurunkan ilmu itu kepada yang lainnya sehingga setiap wanita dalam negara ini
mampu menggunakannya.
Sementara itu, Chisato di luar masih berjalan dalam keadaan seolah dipukau,
sebelum Shinji menegurnya. Shiori di sebelah memerhati.
“Ne, Chisato. Apa yang kalian bincangkan?”
“Oh? Shinji-ka? Apa kaubuat di sini? Bagaimana aku boleh berada di
sini?”
“Apa benarkah kau tak ingat?” Soal Shinji kehairanan.
“Tak ingat? Aku tadi...”
“Kita datang ke sini bersama-sama tadi. Takkan kau tak ingat?”
“Ya... aku lupalah. Aku hanya ingat setakat di pintu pejabat Ayame-san
saja.”
“Hah? Chisato, usah bergurau denganku boleh?”
“Aku tak bergurau!”
“Jadi? Bagaimana pula kau boleh lupa antara itu dan sekarang?”
“Aku tak tahu...aku fikir aku seolah setuju sesuatu dengan Ayame, namun aku
lupa butirannya.”
“Chisato...engkau jangan bergurau denganku?”
“Tidaklah! Aku kata tidak, tidaklah!” Chisato membidas tuduhan Shinji itu
sekeras-kerasnya. Wajahnya mengetat. Shinji sedikit terkejut memandang wajah
Chisato yang berkerut dan berkedut seribu. “Sungguh, aku tak tahu apa berlaku
sejak aku di dalam sehingga aku keluar... Shinji, engkau mendengar apa-apa? Apa
yang telah aku setujui dengan Ayame-san?”
Aneh, fikir Shinji. Chisato boleh lupa apa yang dibincangkannya di dalam
pejabat Ayame itu sebentar tadi? Apakah Chisato menghidap penyakit singkat
memori? Tidak, tidak mungkin.
“Aku tak tahu. Sungguh aku tidak mendengar kalian.” Aku Shinji.
**
Shiori kerap ke perpustakaan sejak dia menyiasat tentang buku Chiho dan
Chinami itu. Ini kerana dia tertarik untuk mengorek rahsia Kaho. Namun Kaho
sangat tajam dan tidak pernah sekali pun membenarkan Shiori masuk ke bilik
bawah tanah di perpustakaan itu. Shiori mula berminat dengan bahan-bahan bacaan bilamana dia gagal mengorek rahsia Kaho.
Namun sejak ketibaan Ayame melalui portal dan perpustakaan itu, Shiori
melihat ramai ahli Skuad Sakura keluar masuk perpustakaan tersebut. Dia
mengekori mereka dan mendapati mereka masuk ke tingkat bawah tanah yang paling
bawah dan ke sebuah bilik rahsia yang tersembunyi di dalam dinding. Dia
memberitahu Shinji. Shinji maklum akan bilik itu yang merupakan portal ke
lembah Amaguri. Namun dia tidak pasti apa motif orang-orang Ayame ke sana.
Sebenarnya orang-orang Ayame dan mana-mana pengintip Kogen pun bebas
menggunakannya kerana ia akan membawa mereka ke jalan pintas ke Hidagawa. Namun
mereka tidak akan boleh membawa kuda menerusinya sekali. Maka disebabkan itu,
mereka terpaksa mengikut jalan jauh di luar jika mahu ke Hidagawa.
Meski Shinji agak curiga, dia tidak memberitahu Koichi. Ini kerana dia
berpendapat, adalah baik jika Koichi tidak mengetahuinya kerana Shinji
sememangnya tidak menggemari orang-orang Ayame yang tidak sependapat dengan
Koichi dan mungkin akan mencetuskan perang di dalam Kogen.
Ahli-ahli Skuad Sakura melarikan diri melalui perpustakaan ini pada tengah
malam dan tiba di Hidagawa, menunggang kuda dari sana yang sudah disediakan
orang-orang upahan Ayame ke Yokuma. Semua ini dilakukan sedikit demi sedikit,
seorang demi seorang, semalam demi semalam. Sebahagian keluar dengan cara biasa
menuruni pergunungan itu. Orang-orang Ayame keluar sehingga kehilangan mereka
terlalu ramai untuk diabaikan.
Tidak kurang dalam Skuad Sakura yang tidak bersetuju dengan perancangan
Ayame: mereka mempersoalkan kewajaran menyerang Yokuma sedangkan itu bukan
tugas utama mereka. Tugas utama mereka ialah membersihkan rumah-rumah
perlindungan Kogen dari para penjaga yang tidak amanah. Mereka juga mengungkit
kecederaan yang mereka alami sewaktu membantu pasukan Ryouji menumpaskan
Suzuki.
Juga mereka mempersoalkan kewajaran membunuh, jika diperlukan, para ronin
yang berkawal di sana.
Ayame menjawab mereka dengan berkata bahawa mereka ronin yang sedang
menyusun bala tentera menentang Maharaja, maka sewajarnya kita menyerang mereka
demi membantu Maharaja. Pabila penanya dari kalangan Skuad Sakura itu meminta
Ayame mengemukakan bukti, dia hanya mendiamkan diri. Seorang penanya juga
menegaskan bahawa misi ini sepatutnya dilakukan bahagian lain Kogen dan bukan
Skuad Sakura, namun Ayame mengabaikannya. Namun disebabkan sebilangan besar
ahli Skuad berjaya dirasuk menggunakan Berahi Kuasa (kerana mereka semua
terhutang budi dengan Ayame atas jasa lepasnya) maka minoriti yang berprasangka
tidak berani melawan, bahkan diugut lagi.
Ada ahli yang masih tidak berpuas hati, meninggalkan Ayame dan kekal di
Kogen. Lagipun ahli ini tidak terlalu terkesan oleh Berahi Kuasa kerana budi
Ayame kecil pada mereka atau kerana mereka masih kanak-kanak dan kurang
mengerti budi Ayame sewaktu mereka menerimanya dahulu. Kanak-kanak kurang
terkesan berbanding orang dewasa. Disebabkan itu Chiho dan Chinami kurang
terkesan berbanding Chisato. Disebabkan itu juga penyoal ramai dari kalangan
generasi muda. Namun Chiho menyertai Ayame kerana mahu mengejar cita-citanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan