Seperti malam-malam kebiasaan selaku Yoru-no-kaze, Ryouji dan Hisamiko akan berehat di mana-mana kuil atau pokok-pokok rendang. Mereka tidak boleh berdiam di perumahan tetap, termasuklah rumah yang sudah lama ditinggalkan di Gero itu. Rumah di Gero itu pun sudah dikembalikan semula kepada Kogen. Andai mereka berdiam di tempat yang tetap, mereka akan dijejaki dan kerahsiaan mereka pastinya lebur begitu sahaja. Lagi pula, orang-orang Kasukabe sedang mengejar mereka kerana melarikan diri dari polis dan bertindak sendiri.
Malam ini mereka memilih bermalam di sebuah kuil berhampiran Wakayama.
Siangnya mereka mengedarkan risalah akan bantuan mereka kepada orang-orang di
sekitar pelabuhan Wakayama. Ryouji yang mencadangkan agar mereka memilih
Wakayama kali ini, mendengarkan banyak berita pemerasan barang dagangan di
pelabuhannya. Hisamiko hanya bersetuju. Biasanya menjadi penyiasat memerlukan
mereka bertindak di kawasan yang banyak dilaporkan jenayah. Mana-mana pemancing
pun pastinya akan bertandang ke kawasan yang banyak ikan. Mereka tidak perlu
risau akan dijejaki orang-orang Kasukabe kerana Wakayama terletak jauh dari
Nakasendo mahupun Kyoto.
Kuil ini terletak di atas sebuah bukit dan agak sunyi disebabkan itu mereka
memilihnya. Hanya ada seorang sami yang menjaganya. Rumah-rumahnya bersawang
kerana tidak ramai pengunjung. Maka Ryouji dan Hisamiko yang berkuda dua hari,
dan penatnya masih belum bubar, terpaksa mengerah tenaga membersihkan dahulu
penginapan mereka. Sebagai balasan, sami membenarkan mereka menginap di situ
percuma, selama mana mereka mahukan, bahkan sami tersebut turut berjanji
merahsiakan identiti mereka. Dek terlalu penat, mereka tidur nyenyak malam itu,
sehingga terlewat bangun esoknya. Sami di situ memasak dan menghidangkan
sarapan pagi untuk mereka.
Esoknya, selepas sarapan, mereka berdua hanya berlegar-legar di sekitar
pelabuhan Wakayama demi memahami susun letak bangunan di sekitarnya. Malamnya
barulah mereka memulakan kerja. Dalam risalah yang mereka edarkan, mereka
meminta sesiapa yang berminat meminta bantuan agar datang ke tepi sebuah
jambatan lebar yang merentangi Sungai Kino. Ryouji dan Hisamiko bersembunyi di
atas sebatang pokok sakura demi mengamati siapa yang akan datang ke
situ.
“Onii-san. Engkau fikir apa yang membuatkan pelabuhan ini jadi
sasaran pemeras?” Soal Hisamiko ketika mereka di atas pokok menanti mana-mana
pengadu.
“Aku fikir kerana keterpencilannya.” Balas Ryouji. “Ia jauh dari
bandar-bandar besar, tak seperti pelabuhan di Nagoya, Tokyo dan Osaka. Jadi di
sini banyak penyeludupan, terutama barang-barang seperti candu dari Tanah Besar
(Qing/ China). Perompak sukakan barang ini yang mahal.”
“Barang seludup? Ini bermakna barang-barang itu melanggar undang-undang?”
Tebak Hisamiko.
“Ya.”
“Maka kita mungkin akan melindungi penyeludupkah?”
“Tidak juga. Mungkin kita akan melindungi pedagang yang mengikut
undang-undang. Seperti pedagang teh dan sutera.”
Ryouji mendekatkan jari pada mulutnya, mengisyaratkan agar mereka diam
sebentar. Matanya menumpu ke arah jambatan. Seorang lelaki dengan lilitan kain
membendung kepalanya, dan berpakaian yukata dengan haori kelabu, berdiri di
atas jambatan itu seorang diri, dan matanya melilau-lilau.
“Hisamiko, perhatikan lelaki itu. Engkau kesan sebarang benda dari besi?”
“Tiada.”
“Cuba periksa dalam lingkungan setengah ri (dua kilometer).”
“Pedang-pedang para samurai, besi roda, ladam kuda…macam-macam… namun tidak
menghampiri sini mahupun lelaki itu. Dalam satu perempat ri (satu
kilometer), langsung aku tak kesan apa-apa.”
“Bagus. Ayuh!” Ryouji mengemaskan topengnya, seraya turun ke bawah diikuti
Hisamiko.
Dalam kaminari, mereka pantas menghampiri belakang lelaki itu tanpa
dia sedari. Lelaki itu masih leka memandang ke sungai, sebelum Ryouji mencuit
bahunya dan dia menoleh. Terkejut bukan kepalang lelaki itu pabila terpampang
di depan matanya dua orang, lelaki dan wanita bertopeng di hadapannya. Hisamiko
memata-matai sekeliling sedang Ryouji memulakan perbualan.
“Engkau melihat risalah yang bertampalan?”
“Ah, hai. Kalian yoru-no-kaze?”
Sebuah kereta kuda melepasi jambatan yang hanya diterangi tanglung dan
cahaya bulan itu, mematikan perbualan mereka seketika. Sebaik bunyi derapan dan
kaki kuda itu benar-benar jauh dan menghilang, Ryouji kembali pada perbualan
mereka.
“Ya. Kami yoru-no-kaze. Apa bantuan yang engkau perlukan?”
“Namaku Oono Kousuke. Aku pedagang
gula tebu dan selalu berlayar ke Taiwan membeli gula dan menjualnya di sini,
sejak Maharaja menyingkirkan shogun Tetsugawa dan membuka pelabuhan ini. Namun
yoru-no-kaze, hanya sekali ini aku perlukan bantuanmu.”
“Teruskan.”
Oono mengisyaratkan agar Ryouji merapatkan telinganya. Hisamiko lagi
menumpu, bimbang abangnya diapa-apakan.
Oono berbisik, “Kargo gulaku ini juga datang dari pulau Ogasawara.”
“Pulau Ogasawara?”
“Ya, pulau di tengah-tengah antara Taiwan dengan Jepun ini. Aku hanya
mendapat permit diraja untuk mengimport gula dari Taiwan sahaja. Namun gula
dari Ogasawara ini sudah melebihi kuota importku. Kastam Maharaja pasti akan
merampas gula dari Ogasawara ini. Yoru-no-kaze, bantu aku melepasi mereka.”
“Ini menyalahi undang-undang!”
“Bantu aku, yoru-no-kaze. Aku merayu! Petani-petani miskin di
Ogasawara, mereka perlu menjual gula mereka. Hanya aku yang mengambil risiko
ini... Jika aku ditangkap, habis pendapatan mereka.”
“Mengapa tidak pedagang lain melakukan perkara sama sepertimu?”
“Pedagang lain tidak tahu berbahasa Jepun dan tidak mendapat mandat dari
Maharaja. Mereka ramainya orang Barat sahaja.”
“Mengapa kau tidak menjual gula ini ke tempat lain?”
“Pasaran di Qing dan Joseon sudah penuh. Hanya di sini sahaja harga yang
tinggi aku boleh dapat.”
“Hah, rupa-rupanya mahu untung besar juga...” Gumam Ryouji sinis.
“Bukan mengejar untung semata-mata, tetapi demi rezeki petani di Ogasawara
itu juga. Dan untungku tidak seberapa, mengambilkira kos pekerja dan bahan
bakar kapalku.”
“Namun aku akan menentang pegawai Maharaja!”
“Aku sanggup membayar apa sahaja yang kaumahukan kelak. Aku amat berharap
bantuanmu.”
“Tadi engkau menyebut Ogasawara. Perincikan tentang pulau itu.”
“Pulau yang subur tetapi orangnya kurang. Maka ia dipanggil Pulau Bonin
juga (“pulau tiada orang”).”
“Bagaimana kehidupan di sana? Orang-orangnya?”
“Kebanyakan petani dan nelayan. Ekonomi mereka sara diri. Ada yang kerja di
ladang tebu dan mengharapkan kami pedagang menjualnya keluar.”
“Cuacanya?”
“Panas dan lembap. Lebih panas dari musim panas di sini. Di hujung tahun,
ia bertukar nyaman dan kerap hujan.”
Ryouji mengangguk-anggukkan kepala.
“Bagaimana penguatkuasaan undang-undang di sana?”
“Tiada polis. Namun kami ada rukun tetangga dan ketua kampung yang
menyelesaikan masalah dan pertelingkahan.”
“Jenayah?”
“Hampir sifar. Masing-masing bekerja keras untuk hidup.”
Ryouji mengangguk-anggukkan kepala lagi. Oono berasa aneh seraya bertanya,
“Mengapa kau tanya terlalu banyak?”
“Hanya untuk pengetahuan. Apa jenis kapalmu?”
“Kapal jenis stim, bahan bakar arang batu.”
Ryouji tidak memikir panjang, seraya menerima tawaran Oono.
“Kami akan selesaikannya. Namun Oono-san, engkau tidak perlu membayar
apa-apapun. Kami akan menuntut ‘bayaranmu’ kemudian. Engkau kata engkau akan
memberi apa sahaja yang kami mahu?” Soal Ryouji.
“Ah, ya...” Oono mengiyakan dengan teragak-agak, bimbang disalahertikan
mahupun diperalatkan Ryouji dengan permainan bahasa. Pada Oono, ‘apa sahaja
yang mereka mahu’ itu ada hadnya, ada had yang dia mampu lakukan.
Namun semua ini tiada hitam putihnya, getus Oono. Jika mereka meminta
bayaran yang bukan-bukan, aku bolehlah melarikan diri selepas ini. Namun
tunggulah, tunggulah dahulu aku mendapat laba yang besar dari jualan gula
seludup ini.
Ryouji dan Hisamiko beredar selepas mereka berbincang perancangan
seterusnya dengan Oono. Dalam perjalanan pulang ke kuil, Ryouji berpesan kepada
Hisamiko.
“Miko, engkau tahu bukan apa yang patut dilakukan?”
“Ya, jangan bunuh seorang pun, kerana mereka pegawai Maharaja. Jika kita
terbunuh, biarkan. Namun usahakan agar dapat mengelak dari dibunuh mereka.”
Hisamiko mengulang pesanan abangnya.
“Ya. Misi kali ini lain sedikit. Lawan kita bukan ronin, bukan
penjenayah, tetapi pegawai kastam kerajaan.”
“Kita melindungi penyeludup...” Gumam Hisamiko.
“Oono-san terpaksa menjualnya di sini. Lagipun bekalan gula kita sudah
kurang, harganya naik kerana ura-ura perang itu, yang mana akan ada
pemberontakan di Kyushu dan juga pemberontakan di sini dipimpin Yoshinobu. Ini
masanya kita melakukan kebaikan, membenarkan gula murah masuk ke pasaran sini.”
“Kebaikan yang bagaimana sedangkan ia melanggar undang-undang?”
Betul juga, getus Ryouji dalam hati. Seolah kata-kata
Hisamiko itu sama gemanya, sama nafasnya dengan kata-kata Kobato.
“Undang-undang tidak akan dapat melindungi sepenuhnya diri kita. Para
petani di Ogasawara itu memerlukan bantuan kita.” Ryouji memberi pandangannya.
Padanya, berpegang pada gerak hati dan ihsan itu lebih utama dari membutatuli
patuh pada undang-undang.
Hisamiko tidak meneruskan kata-kata, dan dia hanya mengangguk kecil tanda
faham.
Gula Oono tiba bersama kapalnya dalam dua hari kemudian. Hisamiko dan
Ryouji berkawal di pelabuhan itu dan memerhati tajam para pegawai kastam yang
memeriksa kapalnya. Gula Oono melepasi pemeriksaan tersebut, Hisamiko dan
Ryouji menghembus nafas lega. Mereka tidak perlu bertempur dengan pegawai
kerajaan. Namun tugas mereka tidak tamat di situ. Gula itu akan dihantar ke
utara, menerusi jalan Nakasendo. Di sinilah cabaran sebenar bermula. Gula yang
sedang mahal di sini menjadi sasaran para perompak. Ryouji dan Hisamiko sudah
mengesan mata-mata mereka yang berkeliaran dan mencurigakan di pelabuhan
Wakayama. Mereka mengekori perompak ini dan menumpaskan seorang demi seorang.
Oono berpuas hati dengan mereka berdua, lantas bersetuju menawarkan bantuan
pabila Ryouji memintanya kelak.
“Onii-san, mengapa Oono tidak membayar kita?”
“Dia akan membayarnya kemudian.”
“Membayar kemudian?”
“Ya, Miko. Nanti kau akan tahu juga apa sebabnya.” Balas Ryouji yang
melangkah lebih laju seolah mengelak dari Hisamiko. Hisamiko terpinga-pinga di
belakang. Dalam hati Ryouji berbisik, ia sebagai persediaan. Ogasawara
nampaknya pulau yang sesuai untuk kita melarikan diri dari sini jika perlu
kelak, jika engkau sudah berubah menjadi seperti ramalan itu, Miko. Namun aku
hanya boleh meminta bantuan Oono sekali sahaja. Kerana aku hanya membantunya
sekali sahaja. Aku harap aku akan dapat bantuan yang sekali ini, jika aku
memerlukannya kelak.
**
Pekan Narai-juku
Sudah tiga tahun lebih pekan ini dilanda kebakaran besar, yang dilakukan
orang-orang Hamada demi menangkap Ryouji, Hisamiko dan Tsuneki.
Kini ia pantas memulih. Rumah-rumah yang dahulu hitam hangus kini telah pun
dibaiki. Dalam beberapa bulan pertama selepas tragedi, lorong utamanya lengang.
Namun disebabkan pekan ini persinggahan pedagang, ia amat penting buat mereka
yang perlu berehat dan menukar kuda sebelum meneruskan perjalanan jauh ke
timur. Disebabkan itu Maharaja mempercepatkan pembinaan semula pekan ini. Kogen
turut menyumbang peruntukan kepada usaha pembaikan.
Pasukan polis ditambah demi mengawal keadaan agar tragedi kebakaran itu
tidak berulang lagi. Polis dilengkapi dengan senjata moden. Namun jika
penjenayah itu tahu kaminari, senjata moden seperti pistol mungkin sukar
menumpaskan mereka.
Penduduk masih mengharapkan duo bernama yoru-no-kaze itu membantu
mereka. Duo itu semakin terkenal di serata Jepun. Mereka tahu kaminari dan mereka harapan terakhir
jika polis gagal menumpaskan penjenayah. Berita tentang keboleharapan mereka
tular seperti api yang marak membakar hutan kering. Ia hinggap dari kota ke
kota, dari sejauh-jauh Hakata di Kyushu hingga ke Aomori di muncung utara
Honshu.
Narai-juku masih kekal aman sejak kebakaran besar pada hari itu.
Kedai-kedai makan dan rumah persinggahan beroperasi seperti biasa. Hanya
sekali-sekala ada pertengkaran antara pelanggan dan tuan kedai atau rumah,
namun itu semua berjaya diselesaikan oleh bugyou
yang ditugaskan di pekan itu oleh Maharaja.
Bekas samurai yang berkeliaran di hutan berhampiran mulai memasuki shukuba-shukuba pabila polis Maharaja
kerap berkawal dan menghalau mereka dari mengganggu pedagang yang melalui
Nakasendo merentas hutan itu. Mulanya mereka masuk ke shukuba dan meminta makanan dari kedai-kedai makan dan rumah
persinggahan. Tuan-tuan kedai berasa kasihan dan memberi mereka makan juga
melihatkan mereka yang cengkung kelaparan, namun pabila terlalu kerap,
tuan-tuan kedai mulai muak dan bersikap dingin dan menghalau mereka. Ada antara
mereka datang makan namun tidak menjelaskan bayaran dan menyebabkan berlaku
pertelingkahan dengan tuan kedai.
Di satu kedai soba di Narai-juku, seorang lelaki tua bernama Okuyama yang
bekerja sebagai pelayan seperti biasa menemui pelanggan dan meminta bayaran di
meja mereka. Satu hari seorang ronin
masuk dan memesan soba. Selepas makan, ronin itu langsung bangkit dan cuba
melarikan diri, namun ditahan Okuyama dengan teguran.
Ronin itu berpaling, dan cuba menarik
pedangnya. Mujur Okuyama juga tahu berpedang, maka ronin itu tidak dapat mengapa-apakannya. Keesokannya, ronin itu datang sekali lagi dengan
membawa rakan-rakannya dan berlakulah pertarungan di luar kedai. Okuyama
berjaya menewaskan semua ronin-ronin itu.
Namun nasib tidak selalu menyebelahi Okuyama. Ronin-ronin itu nekad. Satu
malam, mereka menculik Okuyama yang sedang menutup kedainya dan tidak
bersenjata. Okuyama dibawa ke sebuah persembunyian. Di sana dia diseksa.
Jarinya dipotong satu-persatu.
“Orang tua, selepas ini aku akan potong tanganmu.”
“Buatlah apa kalian mahu, aku tetap tidak akan menerima kalian ke kedaiku
lagi. Aku hanya berniaga, dan kalian hanyalah penangguk!” Tegas Okuyama,
wajahnya berkerut menahan kesakitan akibat dipotong jari.
Kala ronin itu cuba mencantas lengan Okuyama, dia ditetak kelibat hitam
bertopeng kabuki, namun tetakan itu sempat ditahannya. Dari pandangan Okuyama,
kelibat itu memakai pakaian serba hitam dan bentuk badannya wanita. Dia memakai
topeng kabuki. Kelibat itu bertarung
beberapa ketika dengan ronin itu
sehingga ronin itu berjaya
disembelihnya. Nasib yang sama menimpa rakan-rakan ronin itu.
Okuyama dibawa wanita berpakaian hitam dan bertopeng kabuki itu ke sebuah
rumah tabib untuk dirawat. Esoknya, Okuyama pulang ke rumah dan menceritakan
kisahnya. Dia tidak lagi bertemu wanita itu sejak malam tersebut.
“Itu pasti yoru-no-kaze.” Tebak
salah seorang rakan Okuyama.
“Tidak mungkin.” Celah seorang lagi, seraya menyambung, “Yoru-no-kaze itu berdua. Sedang
Okuyama-san katakan tadi bahawa dia hanya berseorangan.”
“Apakah yoru-no-kaze sudah
berseorangan? Apakah pasangannya sudah terbunuh?” Soal rakan Okuyama yang
ketiga.
“Boleh jadi begitulah.” Okuyama mengutarakan fikirannya. “Kerana
kepantasannya, aku fikir dia tahu kaminari.
Yoru-no-kaze tahu kaminari.”
“Jika demikian, yoru-no-kaze
tidaklah sekuat yang disangka. Mereka kuat hanya ketika berdua.”
“Atau mungkin, mereka sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing?”
“Boleh jadi.”
“Hmm. Adakah mereka pasangan suami isteri, dan penceraian telah menyebabkan
mereka terpisah? Atau mereka pasangan adik-beradik?”
“Tiada siapa pun yang tahu.”
“Jika mereka membawa haluan masing-masing, mereka mungkin tidak akan sekuat
seperti yang digambarkan. Mereka hanya boleh menghasilkan ribut jika mereka
berdua.”
Tanpa mereka sedari, wanita berpakaian hitam itu sedang mendengar mereka di
atas bumbung. Wanita itu hanya tersenyum di balik topeng kabuki yang dipakainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan