Hutan-hutan konifer seperti sugi dan matsu membarisi hujung barat lebuh Nakasendo ini. Nun jauh ke dalam hutan itu, di tepi sebatang sungai, rombongan Ayame bersembunyi. Pasukan Maharaja yang mengejar mereka sudah berpecahan cuba menjejak mereka, dan itu sejam yang lalu. Tiada tanda-tanda mereka akan menemui pasukan Ayame lagi. Mungkin mereka sudah berpatah balik ke Yokuma. Atau mungkin, sedang menyusun strategi di dalam hutan dan akan menyambung perang.
“Berapa orang yang masih hidup?” Soal Ayame kepada Hotaru.
“Semua ahli Skuad Sakura masih hidup.”
“Tokui...di mana Tokui?”
“Aku di sini.”
“Bagaimana dengan rekrut yang dua ratus orang itu?”
“Hanya tinggal seratus lima puluh masih hidup.”
“Kuso! Meski Yoshinobu membantu kita, masih begitu ramai yang
terkorban!” Ayame mendengus. Dia memandang Chiho dan Chisato, dan menahan diri
dari mengherdik mereka. Dia tahu, meski Chiho dan Chinami melakukan jurus kedua
tanpa kebenarannya, tindakan mereka telah menyelamatkan ramai tenteranya, dan
mengurangkan kematian. Bahkan Chinami turut terkorban ketika melakukannya.
Ayame berasa sedikit malu dibantu begitu, namun dipendamkan rasa itu demi
egonya.
Hotaru diam, cuba memendam rasa tidak puas hatinya. Tangannya pertama kali
digunakan untuk menumpahkan darah demi perintah Ayame, bukan lagi kod Kogen,
bukan lagi untuk membela mereka yang teraniaya, anak-anak rumah perlindungan
mereka yang teraniaya. Ia semata-mata demi cita-cita Ayame. Andai dia cuba-cuba
meluahkan rasa itu, Ayame pasti akan memangkasnya awal-awal, dan menenggelamkan
dirinya dalam rasukannya.
Dia melihat Nariko. Nariko duduk bersandar pada sebatang pokok sugi, dan
merenung tangannya yang ada kesan darah kering. Nariko ditimpa kejutan yang
bersilih ganti, dia melakukan pembunuhan besar-besaran berturut-turut. Nariko
berdiri tiba-tiba.
Hotaru mula berasa tidak sedap hati lantas bergegas ke arah Nariko.
“Nariko doushite, omae suware!” Hotaru mengarah Nariko agar duduk.
Nariko kaku seperti tugu. Hotaru merenung matanya yang menghitam dan beku
kejang. Nariko merenung kosong ke dalam belantara pokok-pokok konifer, entah
apa yang difikirkannya.
“Aku tidak mahu hidup begini Hotaru.” Nariko gumam. “Aku tidak mahu lagi
membunuh.”
“Bukan kau yang melakukannya.”
“Ayame, bukan? Engkau telah memberitahuku sebelum ini. Namun pelakunya aku,
AKU! Tanganku, tanganku yang melibas pedang!”
Nariko memandang Hotaru yang berdiri di sisinya, air matanya berjujuhan.
Hotaru memeluk Nariko. Nariko mencapai sebilah tantou pada sisip
pinggang Hotaru dan menolak Hotaru sehingga dia terjatuh. Nariko mengundur ke
belakang dan menghiris lehernya pantas, dia lantas rebah dan pisau tantou
itu terlepaskan.
“NARIKO!” Laung Hotaru lantas mendekati Nariko. Nariko sudah terlentang,
badannya tersentak-sentak, darah menyeruak dari kesan hirisan melimpah
membanjiri sekitar tubuhnya. Namun sentakan demi sentakan itu kian perlahan dan
melemah, sedang kolam darah makin membesar. Mata Nariko memutih. Hotaru
memegang tangan rakannya itu yang sudah menyejuk, dia teresak-esak, sebelah
tangannya menutup mata Nariko yang terbuka dan memutih, tubuhnya seluruh kaku.
Hotaru hanya mampu menangis. Kerumunan dari kalangan Skuad Sakura kian
memenuhi sekelilingnya.
**
“Jadi Ayame-san, Nariko sudah pun mati. Puas hatimu?” Soal Hotaru sinis,
sambil menjeling Ayame yang berdiri di sebelahnya.
“Apa maksudmu, Hotaru?” Ayame menyoal cuba mencungkil di balik sinis soalan
orang kanannya itu.
“Nariko mati kerana engkau. Kerana engkau dan cita-cita gila engkau!”
Bentak Hotaru tiba-tiba.
“Nariko adalah orang yang aku bawa masuk. Aku berhak menggunakannya.”
“Apakah kami ini semua barang bagimu? Buah catur engkau?”
Ayame hanya diam.
“Ayame, aku mahu meninggalkan perang sia-sia ini.” Hotaru meluahkan hasratnya
dengan nada perlahan namun nekadnya dapat dibaca. Dia enggan memandang Ayame
kerana diselubung rasa janggal yang terlalu mendalam. Dia sudah terlalu lama
berkhidmat untuk Ayame, namun pabila semua perubahan ini disumbat ke
tenggoroknya sekali harung, timbul kejanggalan yang dilapisi kemanusiaan yang
masih berbaki. Hotaru tahu dia sudah menumpahkan darah, namun dia kerap
berbisik mujur sahaja ia berlaku di kala dia dalam rasukan Berahi Kuasa Ayame.
Namun ketika dia lekang dari rasukan itu dan menyedari tangannya memegang
pedang, darah memercik pada tubuhnya, keadaan mayat yang disembelihnya, dia
jadi tidak keruan. Meski dilakukan tanpa rela, dilakukan tanpa disedari, masih,
tangan dan sendinya yang melakukannya, dan ia terbukti nyata. Lututnya melemah,
dan apa yang hanya difikirkannya hanyalah melarikan diri dari Ayame. Meski
janggal sekalipun, dia harus melafazkan perpisahan. Tiada cara lain lagi.
Meskipun selepas ini dia akan dihukum Maharaja dan mungkin dihukum mati. Dia
tidak mahu dimakan derita itu sepertimana yang berlaku kepada Nariko.
“Tidak Hotaru. Engkau wajib ada bersamaku, selama mana perang ini
berlangsung.”
“Pergi mampus dengan cita-cita engkau. Aku mahu kembali ke Kogen.”
“Kogen yang aku bawa ini adalah Kogen sebenar. Yang di Shirasaka-no-Kogen
itu hanyalah boneka Maharaja.” Dan aku akan merampas Shirasaka-no-Kogen itu
sebagai ganti kegagalan menjadikan Yokuma pusat kuasaku!
“Tidak, semua di sini adalah boneka engkau! Jika engkau tiada Berahi Kuasa,
usah haraplah kami semua akan bersamamu!”
“Hotaru, engkau tidak akan ke mana-mana selagi perang ini belum berakhir.”
Ayame memberikan kata dua. Ayame merenung Hotaru, tubuh Hotaru kaku, matanya
memaku pada Ayame. Berahi Kuasa masih ampuh pada Hotaru.
“Jya, begitulah Hotaruku. Sekarang, Hotaru. Pelanku ialah kita akan
bunuh mana-mana pengangkut makanan dan senjata yang melalui pintu-pintu
sekeliling Shirasaka-no-Kogen. Kita mulakan dengan Pintu Timur di hadapan kita
ini.”
Ayame melukis peta Kogen di atas tanah dan menerangkan pada Hotaru yang
separa sedar itu. Hotaru mendengar namun kaku tubuhnya dengan mata terbuka,
seperti boneka yang dibiarkan bersidai menanti digerakkan tok dalangnya.
Chisato yang turut ada dalam kalangan mereka, menyampuk tiba-tiba.
“Aku tidak akan menyerang Kogen!” Tengking Chisato.
Lagi seorang... getus Ayame.
Ayame merenung Chisato dalam-dalam. Mata Chisato mengekor muka Ayame dan
gesit terkunci padanya.
“Chisato-chan... jika kau aku tak selamatkan dahulu, barangkali kau
akan turut disuntik bersama rakanmu itu...” Ayame mengungkit bantuannya dulu.
Chisato masih belum sepenuhnya dirasuk. Dia membidas Ayame, “Engkau tak
perlu guna taktik kotor itu lagi Ayame-san. Aku tidak akan termakan dengan
sihirmu lagi.” Suara Chisato ditekan, menunjukkan dia mengerah segala kudratnya
demi melawan kuasa rasukan Ayame dan mempertahankan kemanusiaan yang masih
berbaki dalam diri.
“Sou? Bagaimana kautahu? Apakah kau punya kuasa membendung kuasaku?”
“Dengan kuasa celakamu itu Ayame-san, kami diserap masuk ke dalam perangmu.
Kerana terlibatnya kami dengan perang bodohmu ini, Chinami mati dibunuh.
Chinami... Chinami adikku mati dibunuh tanganmu, itu yang sebenarnya berlaku.
Chinami dibunuh engkau, Ayame-san!” Chisato menengking.
Chisato cuba meluru ke arah Ayame dan mahu memukulnya, namun dihalang
pengikut Ayame yang sedang dikuasai Berahi Kuasa. Ayame menyentap rambut
panjang Chisato dan menariknya ke atas, mendongakkan wajahnya mengadap wajahnya
sedang kedua belah lengannya dipasung pengikutnya yang dalam Berahi Kuasa itu,
dan tubuhnya membongkok ditekan mereka.
“Chi. Sa. To.” Ayame merenung rapat, matanya dekat sungguh dengan mata
Chisato, Chisato tidak akan mampu lagi mengelak renungannya dalam posisi itu.
Namun kesakitan Chisato dan kepiluan yang berdarah dari kematian Chinami begitu
mengguris, air matanya mengalir, anak matanya yang hitam langsung tidak
membesar, iaitu pembesarannya adalah petanda seseorang telah ditelan Berahi
Kuasa Ayame. Kebenciannya terhadap Ayame mengatasi segala-galanya, termasuk
kuasanya.
“Engkau... mengapa tidak... mengapa tidak kuasaku berkesan ke atasmu, ha?”
Ayame tergamam dan keliru, mulutnya terketar-ketar, dia menjauhi Chisato
sedikit namun renungannya masih tertancap pada matanya.
Chisato membalas renungan Ayame dan tegar mempertahankannya, dan kini,
Ayame pula yang mengalah dengan ketegaran Chisato lantas melepaskan rambut
hitam yang panjang itu, tertunduk wajah Chisato menentang bumi. Ayame berbisik
pada diri, sia-sia sahaja. Kuasaku nampaknya tidak berkesan terhadap mereka
yang sudah terlalu membenciku dan kehilangan orang yang disayangi disebabkanku.
“Bawa dia jauh-jauh. Jangan biarkan dia keluar melarikan diri. Ikat, jika
perlu diikat.”
“Baik Ayame-san.” Balas salah seorang yang sedang memasung lengan Chisato,
seraya menarik gadis itu menjauhi Ayame. Chisato yang diseret tiba-tiba
menjerit-jerit dan terpekik-pekik bagai orang dirasuk jin, melaung-laung
‘pembunuh, pembunuh, pembunuh!’ sehingga bergema suaranya ke segenap penjuru
hutan konifer itu.
Namun Ayame bagaikan orang pekak, reaksi pada wajahnya melahu, tidak
berubah, seolah dia sudah tebal muka dan telinganya dan kalis makian pula.
Chisato masih kekal agresif sehingga dia terpaksa ditambat pada sebatang
pokok. Ketika diikat, dia masih begitu, sehinggalah keletihan dan tertidur.
Chiho hanya mampu memandang dengan kesayuan, hendak dibelanya kakak itu tidak
berani dia.
Semua ini salahku, getus Chiho. Semua ini salahku terlalu yakin dengan
jurus kedua bersama Chinami. Aku yang juga beriya-iya mahu menyertai Ayame.
Sekarang kami sudah kehilangan Chinami. Semua ini salahku, salahku! Aku
sepatutnya mengikut nasihat kakak. Namun semuanya sudah terlambat. Chinami
sudah mati. Kakak sudah hilang kewarasan, tanda-tanda awalnya sudah mula
muncul.
Pabila Chisato tidur dan kedua orang yang mengikatnya pada pokok itu
beredar, Chiho mendekati kakaknya.
“Nee-chan, nee-chan.” Chiho mengejutkan kakaknya. Chisato terbangun
“Chi-ho...” Chisato menyahut dalam mamai, matanya separa terbuka.
“Nee-chan okite (ayuh bangun). Kita akan melarikan diri dari
sini.”
“Chi-ho. Chinami di mana Chiho?”
Chiho berasa aneh. Bukankah tadi kakaknya tahu benar yang Chinami sudah pun
mati. Sekarang ditanya lagi pula.
“Chinami sudah pergi, kak.” Jawab Chiho tanpa mempedulikan fikirannya.
“Mati? Mengapa? Di mana dia mati?” Chisato menyoal kebodoh-bodohan.
Apa telah berlaku pada nee-chan, soal Chiho dalam hati.
“Nee-chan tak ingat? Kita bertempur tempoh hari, dengan tentera
Maharaja di Nakasendo.”
“Aku tak tahu. Aku tak ingat. Bertempur, apa maksudmu? Mengapa kita di
sini?”
Chiho memendam rasa anehnya. Dia kelu. Bagaimana harus dia terangkan
serba-serbi kisah mereka dari Kogen sehingga ke sini?
“Ne, Chiho. Di mana Chinami? Jawabku betul-betul!” Chisato merenung
Chiho dalam-dalam. Chiho kebingungan dan gentar. Wajah kakaknya mula menyinga.
“Sumpah aku tak tipu. Chinami sudah mati!”
“Bagaimana dia mati?!”
“Kita bertempur di Nakasendo! Sou itteitandeshou (aku sudah
katakannya tadi?”)
“Bertempur di Nakasendo? Tak masuk akal!”
“Nee-chan tak ingat apa-apa. Nee-chan sudah hilang ingatan!”
Chisato dapat melihat kelibat Ayame dan Hotaru menghampiri mereka
mendengarkan mereka bising-bising. Hutan sudah bergelap, api sudah dinyalakan,
khemah sudah didirikan para pengikut Ayame di situ.
“Ada apa kalian bising-bising?” Soal Ayame. Tokui turut serta di
belakangnya seperti patung boneka yang boleh diseret ke mana-mana.
Chiho hanya mendiamkan diri, tunduk ketakutan. Chisato memandang Ayame
tepat, tangannya masih terikat pada pokok.
“Ayame-san, di mana Chinami? Mengapa kita di sini? Mengapa aku diikat di
sini?”
“Kau tak ingat?”
“Aku tak ingat. Aku tak tahu apa-apa langsung.”
“Baguslah.” Ayame menjawab ringkas, seraya berlalu.
“Chotto!” Pekik Chisato. “Di mana adikku?”
“Chiho tak beritahu kau apa-apa?” Soal Hotaru pula.
“Jadi... benarkah Chinami...”
Hotaru hanya mengangguk perlahan, dengan wajah sugul.
“Chinami...” Chisato menyeru nama adiknya dalam sendu.
“Lepaskan aku, lepaskan aku!” Pekik Chisato disertai rontaan dan jeritan
memaki-hamun entah siapa, seolah baru tersedar yang dia sedang diikat.
Chiho tidak berani membantu kakaknya yang terlalu agresif seperti beruang
betina, dan juga bimbang dia akan dihukum Ayame dan orang kanannya.
Anehnya Chiho masih dibiarkan di situ di sisi Chisato tanpa diikat.
“Mengapa kaubiarkan Chiho di situ?” Soal Hotaru kepada Ayame sebaik mereka
berdua menjauhi Chisato yang masih meronta-ronta dan bising di latar.
“Biarkan mereka melarikan diri.”
“Mengapa?”
“Biarkan mereka melarikan diri sendiri. Aku tidak mahu melepaskan mereka di
hadapan pengikut kita.”
“Kau mengharapkan Chiho akan melakukannya?”
“Ya.”
Ayame membawa pasukannya berkhemah jauh sedikit dari Chisato dan Chiho,
agar Chiho diberi peluang melepaskan kakaknya tanpa mereka menyaksikannya.
Ayame memberi alasan akan mengapa mereka harus berkhemah di tapak baru kerana
tapak baru itu lebih dekat dengan pintu masuk Kogen yang akan mereka serang.
“Mengapa kaubuat begini Ayame...”
“Aku tidak mahu membunuh mereka.”
“Mengapa? Kaurasa bersalah menyebabkan kematian Chinami?”
Ayame tidak menjawab. Dia mengeluarkan surat dari sakunya.
“Berikan pada Chiho.”
“Surat apakah ini?”
“Perkara yang sekian lama aku siasat. Ada sebuah pulau di selatan Honshu,
bernama Ogasawara. Ia milik puak mereka. Serahkan surat ini pada mereka, dan
minta mereka tunjukkan surat ini kepada ketua puak Ogasawara di pulau itu untuk
pengesahan darah mereka.”
Hotaru mengambil surat itu.
“Pastikan mereka ke sana dan tidak kembali lagi ke sini. Di sana ada tanah yang
mereka boleh bangunkan, cucuktanamkan dan hidup dengannya. Pinta Wakasa sangkut
ini pada ekor kuda Chiho, tanpa pengetahuan mereka.” Ayame menyerahkan seuntai
hablur berwarna oren kepada Hotaru.
Dalam hati Hotaru keliru. Mengapa Ayame berlembut hati dengan mereka?
Hotaru tanpa sedar memancutkan soalan itu.
“Engkau tidak tahu? Aku tidak akan membunuh kalian kecuali jika kalian
membelotku, dengan menyertai pasukan lawan. Jika kalian mahu melarikan diri,
aku persilakan.”
“Lantas kenapa kau tak benarkan aku melarikan diri?”
“Engkau salah seorang yang dikecualikan dari peraturan itu.”
“Siapa lagi selainku? Nariko?”
“Ya. Hanya kalian berdua. Namun Nariko membunuh dirinya. Aku benci sesiapa
yang membunuh diri, yang mewarisi adat samurai bajingan itu.”
“Nariko menderita kerana engkau Ayame, kerana engkau mempergunakan
tangannya!”
“Hakku mempergunakan dia, dan engkau, dan semua di sini. Aku telah berbakti
kepada kalian. Kalian aku berhak pergunakan untuk apa sekalipun!” Tegas Ayame,
matanya merah memandang Hotaru. Hotaru merencatkan ketegangan itu, kerana
dirasakan sia-sia sahaja bertegang leher dengan Ayame lagi.
“Aku akan serahkan surat ini kepada Chiho, seperti arahanmu.” Ujar Hotaru
perlahan, seraya beredar dan bertemu Chiho.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan