Lebih kurang seminggu selepas tertewasnya Saisho Takanori di Kyushu, pada awal Oktober 1877, berlangsungnya teater perang di Jepun Tengah di antara pakatan Maharaja-pecahan Kogen Koichi dan pakatan Yoshinobu-pecahan Kogen Ayame yang terdiri dari Skuad Sakura dan juga ahli Kogen yang membelot Koichi. Pada ketika itu, Ayame baru sahaja menakluk Yokuma dan berpakat dengan Yoshinobu berperang dengan Maharaja di titik Nakasendo yang paling dekat dengan Yokuma.
Dalam teater di Nakasendo, pasukan Koichi tidak terlibat. Peperangan di
Nakasendo dan kemudian di Kogen ini adalah peperangan terakhir sebelum samurai
benar-benar dihapuskan. Samurai yang diketuai Hamada Yoshinobu berbekalkan
senjata moden dan mensampahsarapkan kesamuraian terlebih dahulu, bertempur cara
moden dengan bom dan mesingan yang diseludup. Sementara tentera Ayame bersekutu
dengan samurai-samurai ini, turut menentang Maharaja. Tentera Maharaja pula
bersekutu dengan ronin-ronin Yokuma yang terselamat yang berkeinginan
membalas dendam terhadap Ayame.
Meski tidak terlibat dalam teater Yokuma, pasukan Koichi bertahan di
Banjaran Tateyama dan kawasan sekitar Gunung Kogen dan Cincin Penampan, serta
semua lapan pintu masuk ke lembah Shirasaka itu, atas saranan Shinji. Mereka
hanya terlibat dengan pertempuran yang menyusul di Kogen, dan dibantu tentera
Maharaja. Teater pertempuran yang kedua ini menyaksikan mereka mempertahankan
Shirasaka-no-Kogen dari serangan pasukan Ayame dan Yoshinobu yang terselamat dari
pertempuran di Nakasendo.
Teater Nakasendo berakhir dengan tertewasnya Ayame dan Yoshinobu. Selepas
tewas, mereka berundur lebih dalam di sepanjang Nakasendo, menghala ke barat,
sehingga masuk ke dalam pergunungan Hidagawa. Sementara itu, meski tentera
Maharaja berjaya memenangi teater Nakasendo, ramai para tenteranya gugur, dan
kebanyakannya gugur dalam keadaan yang sungguh mengerikan. Mayat-mayat mereka
berlubang-lubang sepertimana daun yang dimakan ulat, seperti apa yang berlaku
ke atas lembu-lembu yang dieksperimen Yoshinobu berhampiran Yakedake tidak lama
dahulu. Meski tiada gunung berapi berhampiran Yokuma, idea Yoshinobu yang
menggunakan burung jigokutori itu agar menggugurkan bebola meriam yang
dipanaskan, juga tidak kurang memusnahkan.
Namun punca kekalahan Yoshinobu dan Ayame di Nakasendo ialah keberkesanan
senjata api pasukan Maharaja, selain dari Yoshinobu yang kini kekurangan dana
terutama dana untuk membiakkan lebih banyak jigokutori. Serangan jigokutori,
meski mengerikan dan cukup memusnahkan, mereka tidak ampuh dari peluru tembakan
senapang dan pistol para tentera Maharaja. Hanya paruh-paruh mereka yang kalis
haba dan juga kalis peluru, namun tidak tubuh mereka. Jumlah mereka juga tidak
mencukupi untuk menangani tembakan demi tembakan mesingan Gatling tentera
diraja yang amat pantas dan memuntahkan berpuluh peluru sesaat itu.
Tentera Maharaja berkekuatan dua ribu orang merentas Nakasendo dari Tokyo
bersama-sama kereta kuda yang membawa meriam, senapang, mesingan Gatling dan
juga bom. Sementara di belah Yoshinobu, tenteranya yang berjumlah lima ratus
orang juga bersenjatakan senjata api sama yang diseludup dari jalan laut
Kitamaebune, dan dibeli dari pedagang Rusia di pulau Sakhalin. Pedagang Rusia
sememangnya mahu Maharaja Jepun digulingkan dan Jepun ditukarkan kepada negara
republik, agar mereka mudah mengawal dan mempengaruhi dasar-dasar perdagangan
Jepun kelak dan tidaklah nanti Jepun sentiasa melebihkan pedagang dari
Amerika. Sementara itu Ayame hanya mampu
merekrut dan mempengaruhi hanya dua ratus petarung termasuk lima puluh orang
dari Skuad Sakura. Dari Skuad Sakura itu, hanya lapan orang yang mampu penuh
melakukan kaminari, sementara yang lain hanya separa mahir mampu
melakukannya. Lapan orang itu ialah Nariko, Hotaru dan dua rakannya, Chisato
dan adik-adik kembarnya, dan Tokui. Semua mereka terselamat. Kaminari
memerlukan masa untuk petarungnya menguasainya, maka ramai dari kalangan Skuad
Sakura yang tahu tetapi tidak mampu mempraktiknya kerana mereka hanya sempat
dilatih separa mahir sebelum perang meletus.
Kembar Hosokawa, bersama Tokui, Touma dan Takumi, adalah satu-satunya ahli
lelaki dalam Skuad Sakura. Namun Ayame masih berjaya merekrut ahli lelaki lain
juga dari Kogen, di saat-saat akhir sebelum teater Nakasendo ini meletus, iaitu
dalam dua ratus ahli selain Skuad Sakura itulah. Kebanyakan dua ratus tentera
ini ialah yang pernah menerima budi Ayame ketikamana dia berkelana dari rumah
perlindungan ke rumah perlindungan Kogen.
**
“Taira... engkau sudah tahu tentang burung-burung ini bukan? Mengapa tidak
kaudedahkan pada kami terlebih dahulu?” Soal Nakamura yang sedang nazak, suara
tersekat-sekat menahan sakit.
“Aku tak mahu pemandangan dilubangi burung itu melemahkan kalian...” Jawab
Taira yang terlebih dahulu sakarat sebelum Nakamura. Kemudian Taira diam, menutup
matanya buat selama-lamanya.
“Bodohnya engkau. Bukankah kita ada mesingan Gatling... bukankah
burung-burung itu boleh ditumpaskan? Adat perang mesti digoyahkan apa
sahaja...” gumam Nakamura. “Namun mengapa, Taira. Apa kau fikir pemandangan
dari dilubangi burung itu lebih dahsyat dari pemandangan lain...seperti
dipancung? Atau kau sendiri sebenarnya membelot kami? Taira... Taira!”
Namun Taira sudah pun kaku. Nakamura menolak jasad Taira namun ia langsung
mengiring ke arah tolakan.
Tidak mungkin Taira membelot kami, getus Nakamura. Dia rakan akrab Konoe.
Bahkan dia sendiri berjuang bersama kami sehingga ke titisan darah terakhir di
sini. Mana mungkin!
Nakamura mengeluh sambil terlentang mengadap langit. Sakit makin menjerang
jasadnya, menjalar dari perut ke kepala dan sendi dan kaki. Perutnya berlubang
dibedil bola besi panas yang digugurkan burung jahanam itu. Darah pekat warna
hitam dan perut yang terburai meleleh keluar, daging yang dihentam tercampak
tidak jauh dari jasadnya dan sudah pun dihurung lalat.
Makin ditahan makin sakit rasanya. Nakamura menjerit kesakitan sehingga
tiada lagi suara yang keluar dari kerongkong, dan air mata keluar bercampur
darah dari mulut. Nyawanya disentap dengan mata terbuka, mulut menganga.
Kesemua ronin yang mengikut Taira dan Nakamura gugur dan separuh
dari tentera Maharaja masih bernyawa meski tercedera kebanyakannya. Dalam
kalangan yang mati, ada yang dilubangi burung, ada yang dicantas tentera Ayame
dan ada yang ditembak tentera Yoshinobu. Namun kemenangan tetap berpihak kepada
mereka pasukan Maharaja, di kala tentera Yoshinobu dan Ayame menghadapi kehilangan
nyawa yang besar dan memilih melarikan diri.
**
Seiji, pembantu Maharaja, mempersilakan ronin dari Yokuma itu masuk
mengadap baginda Maharaja di balairung seri.
“Heika, patik Maeda Kamishiro adalah ronin dari Yokuma dan telah
bertempur dengan tentera Heika menentang Ayame dan konconya, ingin melaporkan
keputusan perang.” Maeda menayangkan tatu ronin-nya pada atas dada
kanan. Kakinya yang berbalut dan ada kesan darah pada balutan itu membuktikan
keterlibatannya dalam perang tersebut.
“Beta perkenan engkau memperdengarkannya di sini.”
“Berita gembira buat Heika; tentera Heika berjaya menakluk kembali Yokuma.
Ayame dan konconya dihalau dan masih dikejar hingga ke barat Nakasendo oleh
tentera Heika.”
“Subarashii. Tuhan masih menyebelahi kita.”
“Namun ada berita buruk yang patik
ingin khabarkan.”
“Ya, perdengarkan.”
“Heika, kesemua ronin Yokuma yang menyertai kita terbunuh. Sementara
separuh dari tentera kita terkorban. Yang terselamat ramai yang tercedera dan
tidak boleh meneruskan peperangan.”
“NANI?!” Bentak Maharaja, suaranya bergema menggoncang balairung seri.
Baginda melangkah setapak demi setapak ke juring tangga menuju karpet merah di
bawah, sehingga Seiji tergerak menahan baginda, kerana wajah baginda sudah
keluar dari selubung kegelapan tirai takhta, terdedah sepenuhnya pada pandangan
para pembesar kazoku yang berbaris kiri dan kanan karpet.
“Heika...” Tegur Seiji.
“Tak perlu, Seiji. Biarkan mereka memandang wajah beta. Beta mahu mereka
faham kemurkaan beta.”
Seiji kelu, namun dia akur, dan berundur ke tepi. Maharaja turun sehingga
ke pangkal karpet.
“Heika.” Maeda menyeru baginda sedang masih melutut. “Patik memohon bantuan
tentera tambahan dari simpanan Heika.”
“Beta perkenankan.” Laju baginda memutus, barangkali sudah membuat persediaan
awal dan menjangkakan penyudah begitu. Baginda memandang salah seorang
pembesarnya yang dalam barisan di sebelah kanan, sedang berdiri, seraya
bertitah.
“Yamagata-san, mulai hari ini engkau beta hantar ke Yokuma. Pimpin
para tentera tambahan menangkap Shirasaka Ayame dan Hamada Yoshinobu. Cari dan
jejak mereka sehingga ke lubang cacing! Nyawa para tentera kita yang terkorban
mesti dibela!”
“Ampun, Heika. Perintah dijunjung!” Balas pembesar kazoku yang
bernama Yamagata itu. Yamagata seorang lelaki tua dan kurus berpakaian seperti
bangsawan Prussia lengkap dengan lencana-lencana kebesaran, kepala botak
tengah, matanya berbentuk seperti mata tikus yang kecil dan bujur, misainya dan
rambut setiap sisi kepala warna putih, misai putihnya tebal.
Yamagata berlalu keluar dari balairung seri, pantas mahu menyelesaikan isu
yang membelenggu negara pada ketika itu. Sementara Maharaja masih berdiri kaku,
para pembesar kaget. Mata baginda memandang karpet merah, namun bukan bulu-bulu
pada karpet itu yang direnungnya dan habuk-habuk yang berterbangan di atas
karpet itu yang diamatinya, namun nyawa para tenteranya yang sekarang
berterbangan ke tubir angkasaraya menuju alam abadi, namun tidaklah baginda
mengerti apakah belahan alam abadi yang dikunjungi para roh itu syurga atau
neraka, kerana baginda sendiri tidak pasti sama ada baginda dan para tenteranya
berada di pihak yang benar atau pihak yang salah.
Namun satu yang dimengertinya sekian lama sejak baginda mengerah
kesanggupan dan membatukan hati membunuh mentornya sendiri yang bernama Saisho
itu; bahawa baginda hanya melakukan perkara yang perlu, sebagai seorang
pemerintah. Perkara yang perlu tidak semestinya benar dan tidak semestinya
salah, tidak semestinya baik dan tidak semestinya buruk. Kepala-kepala yang
degil yang berbahaya dan masih mampu menghamburkan bisanya seperti ular tedung
ini mestilah dicantas. Jika mereka tidak membahayakan, kepala-kepala yang degil
ini boleh dipenjarakan atau diusir ke luar negara atau pulau terasing kerana
mereka mampu mempengaruhi orang lain yang lebih berbahaya, atau jika
kepala-kepala yang degil ini masih boleh dilentur dan dibentuk seperti tembikar
tanah liat, maka mereka bolehlah diserap masuk menjadi salah satu dari
buah-buah catur baginda. Itu lumrah seorang pengurus negara seperti baginda.
Sama ada bermoral atau tidak, ke syurga atau ke nerakakah tindakan itu akan
membawa baginda dan para tenteranya, murka atau tidak Tuhan, baginda tidak
mengetahuinya. Tika itu baginda menyedari, mesti dia maharaja sebuah empayar
yang baru berputik, baginda sebenarnya hanyalah hamba kepada negara atau
empayar itu. Baginda berkuasa; namun ada tuntutan yang datang bersama kuasa itu
yang memperhambakan setiap pemegangnya.
“Berlubang...tubuh mereka berlubang-lubang katamu, Maeda-san?” Baginda
menyoal dengan mulut terketar-ketar, semacam menggumam, kepada pelapor dari
tentera yang telah bergadai nyawa di Yokuma itu. Mata baginda masih memandang
karpet.
Kamishiro menyahut, “Ah, ya, Heika.”
“Berlubang yang bagaimana?”
Kamishiro menelan liur, kerana tidak sanggup dia menjelaskan pada telinga
baginda yang mulia itu. Kala Maharaja mengangkat wajahnya dan merenungnya
kerana dia bertangguh memberi jawapan, Kamishiro jadi lebih teragak-agak, lalu
memutus segera dan memuntahkan pemandangan mengerikan yang dilihatnya di
Yokuma.
Perut terburai, tulang-temulang hancur dibedil, jantung berlubang, perut
berlubang, ada tangan dan kaki terputus dek bola meriam yang panas dan
melecurkan. Kata Kamishiro, mereka seperti daun yang dimakan ulat. Jika dalam perang
silam, tentera hanya berpedang dan mereka akan terputus sana-sini, dan
kecederaan mereka setakat itu. Namun pemandangan yang digambarkan Kamishiro
yang mayat para tentera kemik dan hancur sana-sini, menggusarkan baginda. Malah
memurkakan baginda satu macam murka. Mayat tidak lagi dihormati, mayat
dihancurkan dan dihina. Perang menjadi satu pertempuran kebinatangan. Tiada
lagi perang era samurai lagi. Kesamuraian benar-benar sudah terhapus kini,
gumam baginda.
“Ia sebuah penghinaan. Sebuah taktik perang yang sungguh menghina. Beta
akan pastikan Yoshinobu dan Ayame ditangkap segera.”
Namun jauh sekali baginda mampu meramal, bagaimana di masa akan datang,
akan muncul sebuah bom seganas matahari sinarnya yang menjadikan jasad yang
dirempuhnya debu-debu berterbangan berawangan sekelip mata, tanpa sempat jasad
dan roh itu melihat dan merasai kematian pun.
Baginda ke jendela dan melempar pandangan ke luar, merenung jauh ibu kota
Tokyo yang berbalam-balam di bawah bukit yang menempatkan istana itu, dan membisikkan
kata-kata pada bayu yang berhembus, mungkin ada barang sepatah bakal hinggap ke
telinga Koichi ketua Kogen itu dan mengingatkan kembali janji-janji semanis
tebu yang pernah dilafazkan melalui surat-surat yang diutus merpati itu.
Koichi, beta telah perkenankan permintaanmu untuk hanya bertahan di Kogen,
tanpa engkau perlu menghantar tentera memerangi Ayame anakmu sendiri di
Nakasendo, kerana engkau kekurangan sumber manusia yang sesuai untuk
pertempuran dalam hutan. Beta telah menukilkan perkenan itu dalam warkah
melalui merpati. Juga beta perlukan Kogen kerana ia punya khazanah yang cukup
besar buat pembaharuan beta. Pertahankan selagi boleh Kogen engkau itu. Dan
jujurnya, ketiadaan bantuanmu keluar dari Kogen amat menyenangkan hati beta.
Kerana sedikit di dalam hati ini masih ada rasa curiga terhadapmu. Manalah tahu
kalau engkau mengubah pendirian dan membantu Ayame. Duduk diamlah di dalam
Kogen, dan hanya keluar pabila anakmu sudah tewas seperti tawaran dalam suratmu
itu.
Beta hanya mahu mengingatkanmu, pabila tentera anakmu sudah ditewaskan
berhampiran Kogen di hujung barat Nakasendo, tunaikan janjimu, keluarkan
tenteramu menghapuskan saki-baki tentera Yoshinobu dan tentera anakmu. Beta
akan pastikan anakmu dibunuh tentera beta dan kepalanya dibawa ke Tokyo sebagai
bukti. Engkau enggan melakukannya bukan? Beta faham, beta juga bapa sepertimu.
Maka biar beta yang melakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan