YORU-NO-KAZE (KAISENJYO: BUKU 2)
ARKA 2 DARIPADA 2: AYAME
**
Musim panas, 1875
Kini, sudah hampir setahun Ryouji meninggalkan Kogen, dan sudah hampir dua
tahun Chisato sembuh dari racun aotsuyu.
Kehidupan Chisato di Kogen-no-shita dilalui seperti hari-hari biasa,
membantu apa yang perlu dibantu di Kogen-no-shita, seperti membasuh pakaian
para pengakap Kogen, memasak makanan dan membantu di kawasan pertanian padi
huma. Chiho dan Chinami juga sudah menginjak enam belas tahun dan membantu
kerja-kerjanya. Mereka menuruti sahaja tegahan Kogen dari keluar dari situ.
Meskipun mereka tahu di luar sudah kian selamat selepas tertewasnya Hamada,
namun anaknya Yoshinobu masih hidup dan berdendam dengannya. Bahkan, musuhnya
masih terlalu ramai, seperti tali barut Tsugiyama contohnya. Lebih baik berdiam
di sini buat sementara waktu fikirnya.
Perit dari keterpaksaan melepaskan Ryouji sudah kian melenyap. Fikir
Chisato, Ryouji mungkin sudah menemui pasangan baru, dan mungkin telah
berkahwin, itupun jika dia masih hidup. Namun Ryouji tetap cinta pertamanya.
Parut di hati yang ditinggalkan masih belum lenyap. Memori bersama Ryouji masih
kadangkala bermain bilamana dia berasa senggang. Mungkin Ryouji sudah mati
akibat sumpahan itu. Jika begitu, malanglah. Malangnya dia tidak dapat menatap
Ryouji di akhir hayatnya.
Di mana engkau mati, Ryouji? Apakah Hisamiko berada di sisimu? Atau engkau
mati keseorangan? Di mana kuburmu? Apakah mayatmu sudah dibakar? Aku mendengar
engkaulah yang menewaskan Hamada, namun apa yang berlaku selepas itu? Apakah
engkau benar sudah dimakan sumpahan itu?
“Oi Hatsuki, ikou (jom pergi)!” Kedengaran bisik keras
seorang remaja lelaki kepada kembarnya, tidak jauh dari lokasi Chisato yang
sedang tunduk termenung dengan tangan masih memegang kain pada ampaian. Hatsuki
tersentak dan menoleh ke sebelah. “Nani yatte no (apa yang kaubuat)?!”
Soal kembar yang menegurnya tadi.
Chisato mengangkat muka, dan sempat menangkap pandangan Hatsuki yang
rupanya dari tadi merenungnya yang sedang menerawang dari jauh, dari balik kain
pada ampaian. Ketika berjalan meninggalkan tempatnya, Hatsuki sempat menoleh
sejenak kemudian langsung mengikut kembarnya itu beredar.
Chisato meneruskan kerja-kerjanya menjemur pakaian. Dari cakap-cakap orang
ramai, dia ada terdengar lelaki bernama Hatsuki itu menaruh hati terhadapnya,
namun masih malu-malu. Bilamana Chisato dan Hatsuki berada berdekatan satu sama
lain di mana-mana sahaja, Hatsuki pasti akan menjauhkan dirinya atau
mengalihkan pandangannya. Dia ada mendengar dari Shinji yang Hatsuki itu sebaya
dirinya, dan Hatsuki juga ahli sebuah rumah perlindungan Kogen di Shinagawa dan
pernah membantu Shinji dan Ryouji ketika misi pertama mereka. Shinji juga
memberitahu Hatsuki sering bertanyakan perihal dirinya. Chisato hanya tersenyum
mengingatkan kata-kata Shinji. Bahkan Shinji adalah rakan yang paling sesuai
untuk dia berborak panjang kerana telah lama dikenalinya. Shinji juga telah
berkahwin, maka senanglah untuk dia dijadikan penghubung kepada bakal-bakal
pacar.
Chisato memandang salah satu ampaian di hadapannya, di mana Chinami sedang
menjemur kain juga. Namun dia perasan sesuatu. Pergerakan Chinami seperti kaku,
seperti sedang dirasuk. Ia terlalu teratur, seolah disusun, seolah boneka dalam
persembahan Noh yang digerakkan tok dalangnya. Chisato mencari di mana
Chiho, kerana Chiho selalunya bersama Chinami. Dia perasan Chiho sedang duduk
di atas batu dan merenung Chinami dari jauh. Mata Chiho tidak berkedip, ke mana
Chinami bergerak, mata Chiho akan mengekor rapat seperti telah dilekapkan
dengan resin.
“Chiho!” Laung Chisato. “Apa yang sedang kaubuat?”
Chiho tersentak. Matanya beralih pada Chisato. Sejurus itu Chinami
terjelepok ke atas rumput, kain pada tangan terlepaskan.
Chisato bergegas ke tempat Chinami dan memangkunya. Chinami membuka mata,
tersenyum namun wajahnya pucat.
“Apa yang kalian dah lakukan?!” Gertak Chisato.
“Kami hanya bermain-main.” Chinami menjawab sambil ketawa kecil. Nada
suaranya lemah.
“Chiho, ke mari engkau!” Chisato memanggil dengan nada tinggi, wajahnya
merah berang.
Chiho berjalan lambat dan malas-malas seolah ada batu yang diikat pada
kedua-dua kakinya. Matanya kuyu. Barangkali dia sudah tahu apa natijahnya jika
kakaknya memanggil begitu.
“Apa yang kau dah buat pada Chinami? Beritahu kakak cepat!”
“Nani mo (tak ada apa-apa).”
“Ne, Chiho. Cakap cepat!” Gesa Chisato sambil menggoncang-goncang
bahu Chiho. Chiho kian berkerut wajahnya, perbuatan Chisato jelas sungguh
merengsakannya.
“Nani mo!” Chiho menengking, merentap bahu dari pegangan kakaknya
dan melarikan diri pantas. “Chiho matte!” Jerit Chinami yang baru
bangkit, dia cuba mengejar namun terjatuh pula.
Chisato melepaskan keluhan besar, berdiri memandang Chiho yang sudah jauh lari
di hadapannya. Pinggang dicekak. Mukanya yang putih gebu bertukar merah
menyala, geram dengan tindakan Chiho mengabaikan soalannya.
**
“Aku rasa hanya engkau yang boleh mencari jawapannya, Shinji. Engkau paling
bijak dalam kalangan kami. Lagipun kami semua pernah tinggal bersama denganmu.
Pasti engkau ada melihat atau ternampak perkara aneh sepanjang di rumah
Takasaki.” Malam itu Chisato menemui Shinji demi menyoal tingkah aneh adik
kembarnya itu.
Mereka duduk di bangku panjang di hadapan rumah Chisato di Kogen-no-shita
itu. Bini Shinji, Shiori, turut sama berada di situ dan mengikuti perbualan
mereka atau mungkin cemburu dan bagi memastikan Shinji tidak tergoda dengan
Chisato yang cantik itu. Bulan mengambang di dada langit menerangi malam musim panas
ini yang nyaman dan mendamaikan meski tidak berangin. Air terjun nun jauh di
belakang menghasilkan hingar yang sayup-sayup.
“Chiho mengawal Chinami dari jauh? Apakah hanya berlaku sekali itu?”
“Banyak kali. Kadangkala Chinami mengawal Chiho. Mereka seolah tahu apa
yang mereka lakukan, siap ketawa-ketawa lagi. Namun hanya kali itu, di ampaian
itu, aku mendesak Chiho. Sukar benar mengorek rahsia Chiho. Chiho makin degil
sekarang!” Suara Chisato mengeras. “Mentang-mentanglah dia lebih tua beberapa
saat sahaja dari Chinami.”
“Bagaimana dengan Chinami?”
“Chinami enggan menjawab. Setiap kali aku bertanya, dia hanya ketawa,
kemudian sambung ralit dengan aktivitinya sendiri.” Namun dia tetap degil
juga, getus Chisato.
“Jujurnya, aku tidak pernah melihat atau ternampakkan perkara aneh
berkenaan adik-adikmu sewaktu di rumah Takasaki. Cuma satu yang kutahu, mereka
mampu melakukan jurus kedua bukan?”
“Ya. Mengapa?”
“Mungkin ada kaitan. Mungkin. Dan ada kaukesan baru-baru ini akan barang
tabiat aneh mereka?”
“Apa ya... oh, aku ingat. Mereka kerap juga ke perpustakaan sana. Membaca
apa entah.”
“Apa kata pustakawan?”
“Tidak ada pula aku bertanyakannya.”
“Aku harus bertemu pustakawan.”
“Aku boleh membantumu, Shinji.” Shiori, bininya, menawar diri.
“Engkau tak perlu libatkan diri.” Tegah Shinji dengan nada dingin.
“Aku fikir Shiori lebih sesuai. Perempuan sama perempuan. Pustakawati itu
lebih mudah didekati.” Chisato menawarkan sedikit sokongan kepada Shiori.
Chisato tahu Shinji gemar mengawal tindak-tanduk isterinya. “Dan engkau pun
bukan tahu berbual dengan perempuan sangat, kan Shinji?” Chisato menikam kata.
Shiori sudah ketawa kecil. Shinji menjeling ke arah Shiori. Shiori merencatkan
tawa dan tunduk. Namun dalam hatinya mungkin masih sedang mengetawakan Shinji.
“Lagipun aku mengenalinya.” Shiori menambah.
“Apa?” Shinji tergamam dengan pengakuan Shiori. Chisato membulatkan mata,
turut terperanjat.
**
“Kaho nee-san.” Tegur Shiori sebaik menjejakkan kaki ke dalam
bangunan utama perpustakaan. Perpustakaan yang sunyi dan besar itu menjadikan
suara Shiori bergema. Namun Kaho tidak muncul pula.
“Kaho nee-san? Doko iru no (mana kau)?” Soal Shiori
lagi, bergema lagi ke segenap pelusuk perpustakaan.
“Chotto matte!” Kedengaran sayup-sayup suara seorang wanita dari
balik lantai kayu. Shiori sedikit berasa aneh. Dia mencangkung ke arah lantai
kayu di hadapan meja utama pustakawan yang menghadap pintu masuk itu, kerana
menyangkakan suara wanita itu datang dari bawah lantai tersebut.
Kedengaran bunyi detakan seperti orang memanjat tangga, juga dari bawah
lantai itu. Shiori mengundur kala bunyi itu makin dekat. Dia berdiri tegak
berpura-pura tidak mempedulikannya, seolah tidak tahu apa-apa, namun matanya
menjeling ke arah kiri yang dipenuhi rak-rak buku yang besar dan tinggi seperti
hutan gergasi. Sejurus itu, ada bunyi seperti pintu dikuak dan engsel merengek
dari belakang meja pustakawan. Kepala seorang perempuan tertonjol dari belakang
meja dan wajahnya tersengih, nafasnya sedikit mencungap.
“Nee-san. Engkau dari mana?”
“Aku sedang mengemas setor bawah tanah. Ada apa Shiori, kyuu ni
(tiba-tiba sahaja)?”
Shiori sedikit terkejut kerana baru saat itu dia maklum akan kewujudan
setor bawah tanah. Dari cara jawapan Kaho, ia tampak seolah bukanlah perkara
rahsia namun dia masih tidak mengetahuinya.
“Aku mahu membincangkan sesuatu.” Ujar Shiori sambil tangannya
mengisyaratkan kepada Kaho, pustakawati itu agar mengambil tempat duduk di
sebuah kerusi yang ada meja bulat di hadapannya.
“Oh sou? Sebentar ya.”
Usai mereka mengambil tempat duduk, Shiori memulakan bicara.
“Engkau ada selalu melihat satu pasangan adik-beradik perempuan masuk ke
sini?”
“Ya. Mengapa dengan mereka?”
“Kakak mereka bertanya. Sejak bila mereka bertandang ke sini?”
“Sejak sebulan lalu. Mereka kerap ke sana.” Kaho mengunjuk ke arah satu rak
yang terletak hampir dengan dinding, di sebelah kanan Shiori.
“Engkau tahu mengapa mereka sering ke sana?”
“Membaca sebuah buku.” Kaho merapatkan kepalanya ke Shiori seperti mahu
mengelakkan suaranya dari dicuridengar. “Mereka sangat khusyuk membaca sebuah
buku.”
“Buku apa?”
“Aku tidak pasti. Ada banyak buku di situ. Tapi kulitnya berwarna perang.”
“Berapa banyak buku berkulit perang?”
“Ada banyak. Aku tak tahu yang mana satu mereka buka.”
“Ayuh, bantuku!” Shiori menarik tangan Kaho. “Eh, eh, mengapa?”
“Bantulah aku. Kakak mereka risaukan mereka.”
“Mereka hanya membaca buku. Apa yang dia risaukan sangat?”
“Aku tak tahu.”
“Aku banyak kerjalah Shiori. Buku kulit perang itu terlalu banyak.”
“Nee-san... sekali ini sahaja boleh? Bantu aku carikan buku itu.”
Selepas beberapa lama memujuk, Kaho mengalah.
“Yalah, yalah. Namun aku tak boleh jamin buku yang tepat.” Kaho mengalah
dan menyahut malas-malas. Jika bukan kerana dia mengenali Shiori sejak kecil,
sudah pasti diabaikan sahaja permintaan Shiori itu.
Banyak betul buku berwarna perang, getus Shiori kala berdiri di rak buku
yang diperkatakan Kaho. Dari lantai sehingga ke bumbung, ada sepuluh para.
Bukunya kecil-kecil. Ada tangga kayu yang boleh ditarik keluar dari pintu kecil
pada sisi para, dan dipanjat untuk mencapai rak yang tinggi. Setiap buku
tersebut hanya ada sebaris tajuk pada kulitnya yang ditulis dalam kanji
maka ia mudah dikelirukan jika dilihat dari jauh. Lagi pula, kanji
adalah tulisan simbol yang hampir serupa kebanyakannya.
“Mereka biasanya tak memanjat tangga. Maka fokus pada rak-rak rendah saja.”
Kaho mencadangkan.
“Sungguh?”
“Sungguh.”
Mereka membuka hampir semua buku, namun hampa. Kaho mengeluh memikirkan
yang dia perlu mengemas kembali buku-buku itu. Shiori perasan, seraya
menegurnya, “Tak mengapa, engkau pergilah sambung kerja-kerjamu. Aku akan susun
kembali semua buku ini.”
“Arigatou, Shiori.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan