Sudah jauh kelana ini, berbatu rasanya tentera Maharaja mengejar kami sejak kami tiba di Shimagane di hujung barat Honshu.
Hanya baru beberapa
bulan kami berehat selepas Pemberontakan Ayame, kami dikejar pula.
Aku dan Hisamiko
bergegas meninggalkan Hidagawa sebaik mendapat khabar dari Shinji. Shinji,
engkau memang sahabat sejati. Aku tidak akan lupakan jasa-jasamu!
Shinji, bersama
ahli lain di dalam Kogen, masih di Shirasaka-no-Kogen, cuma ia kini telah aku
serahkan sepenuhnya di bawah seliaan pegawai yang dilantik langsung oleh
Maharaja.
Ya, aku telah lepaskan
Kogen! Seorang pemuda berumur 22 tahun (pada tahun ini, 1877) telah diwariskan
Shirasaka Koichi agar memimpin organisasi sebesar Kogen yang penuh dengan isu
dalaman itu! Koichi engkau memang gila mewasiatkannya kepadaku. Dan engkau
langsung tidak membincangkannya denganku dahulu!
Kini, Kogen bukan
lagi organisasi bebas. Ia telah menjadi badan penggerak utama agenda
pembaharuan Maharaja. Ketuanya kini adalah Perdana Menteri Ito Hiroshi, perdana
menteri pertama kami yang dilantik mengikut perlembagaan Maharaja yang dirangka
dengan merujuk perlembagaan Prussia itu. Tentang bagaimana Perdana Menteri Ito sendiri
mengetuai pertubuhan ini, aku tidak tahu bagaimana. Memimpin negara yang masih
bergolak sudah cukup menyerabutkan, kini engkau tambah pula dengan Kogen yang
semakin parah dari dalamnya.
Namun Kogen tidak
lagi sesukar dan separah itu, sekurang-kurangnya dengan tertewasnya Ayame dan
semua pemberontak dalam peperangan baru-baru ini.
Dalam peperangan
itu, para pemberontak terbahagi dua, dengan tujuan sama memerangi Maharaja:
satu belahan di Kyushu dan satu lagi belahan di Hidagawa.
Di Kyushu Maharaja telah
menghantar tentera menentang Saisho Takanori (samurai terakhir yang direkodkan
dalam buku sejarah kami) dan pakatannya, sementara di Honshu di tengah Hidagawa
pula Maharaja menghantar Kogen dan tenteranya menentang pakatan Hamada
Yoshinobu dan Ayame. Aku dan Hisamiko menyertai kempen baginda di Hidagawa dan
kami sendiri telah menyembelih Ayame. Koichi bapanya, merangkap ketua Kogen
telah merestui keputusan ini dengan hati seberat bumi.
Siapa tidak
bersedih dengan pemergian Ayame. Aku pernah bersama-samanya dalam misi Kogen.
Siapa tidak bersedih rakan seperjuanganmu berubah menjadi seteru sekelip mata.
Koichi bapanya paling bersedih, menangisi Ayame di kuburnya di lembah kami
lembah Okuhida sehingga yang tinggal hanya mayatnya yang sudah tinggal rangka.
Mengapa pula Ayame
dikuburkan di lembah kami? Koichi yang meminta. Lembah kami tiada sesiapa dan
aman dari manusia. Dia mahu melawati dan menangisi Ayame tanpa diperhatikan.
Aku tidak kisah. Lagipun dia selalu ke situ dan membersihkannya.
Ternyata kini, dengan
kematian Ayame, calon Kaisenjyo tertumpu kepada adikku. Maka aku harus bergegas
lari dari sini sebelum Maharaja dan tenteranya menangkap kami. Aku meramalkan
baginda akan menangkap kami. Aku telah nampak isyarat-isyarat yang melingkar
dalam kalangan kazoku.
Jika Maharaja
berkeras menangkap kami, aku bimbang, Maharaja akan tewas jua. Aku percaya
takdir menyebelahi kami. Aku telah melihatnya. Semakin aku cuba mengelakkannya,
semakin kami hampir dengan ramalan itu. Ini adalah ikhtiar akhirku untuk
Hisamiko, iaitu lari ke Kyushu sebelum baginda menangkap kami. Demi negara yang
telah kami bina, demi kelangsungan takhta diraja, juga demi kebaikan Hisamiko.
Kami tidak boleh
bersembunyi di lembah kami. Di situ tiada apa-apa, primitif. Ia sesuai untuk
petapa seperti Koichi. Namun kami perlu hidup dan kami perlu hidup seperti
manusia biasa. Kami bukan sami, kami juga bukan samurai. Jika aku mati suatu
hari nanti, Hisamiko perlukan seseorang dalam hidupnya. Bagaimana mungkin dia
meneruskan hidup seorang diri?
Dan khabar dari
Shinji tiba. Tepat ramalanku, Maharaja sedang bersiap-sedia menangkap kami. Ini
pasti kerja kazoku! Kami beredar tanpa berlengah, menyembunyikan wajah dan
mengembara sehingga ke Shimagane. Sebaik tiba di Shimagane, aku sedar kami
telah diekori mata-mata baginda. Shinji benar. Kami menyamar dan menyelinap
masuk kapal menyeberangi Selat Shimonoseki sehingga berjaya sampai ke Kyushu.
Di sana kami menghuni banyak rumah tumpangan sehinggalah kami tiba di Dejima.
Aku bercadang mahu melarikan diri dari Dejima ke luar negara.
Aku mengambil
kesempatan berjalan di waktu dinihari di Dejima, cuba mencari jalan keluar dari
pelabuhan ini. Barangkali lari ke luar negara seperti Qing atau Joseon. Dalam
mencari aku terlihatkan poster bertampalan pada tiang-tiang kayu rumah dan
kedai. Ia iklan merekrut pelombong ke sebuah pulau.
Bagai pucuk dicita
ulam mendatang, peluang begini datang menggoda. Aku bergegas esoknya bertemu
wakil yang menampal iklan itu. Ini peluang kami keluar dari Jepun barangkali.
Asalkan kami dapat meninggalkan Jepun, itu sudah cukup baik.
Namun pulau? Aku
cuba mengamati jika apa yang kubaca di poster itu benar pulau destinasinya.
Apakah pulau ini cukup terasing dari tamadun? Mungkinkah kami lebih mudah
bersembunyi dan tidak akan dijejaki? Aku tidak tahu. Namun lebih baik aku
mencuba. Kami tiada pilihan. Lebih lama kami di Dejima lebih besar peluang
untuk kami ditangkap.
Sebentar, jika kami
melarikan diri ke pulau yang tersisih dari tamadun, bukankah itu sama sahaja
seperti tinggal di lembah kami Okuhida? Tidak, tidak sama. Di pulau itu kami
boleh keluar mencari makan dengan bebas. Di lembah Okuhida yang langsung tiada
binatang hatta ikan itu, kami boleh keluar namun risiko diperhatikan mata-mata
baginda masih ada. Tentera Maharaja semakin ramai ditempatkan di dalam kawasan
hutan pergunungan itu demi menghapuskan saki-baki samurai. Apapun, kami masih
berpeluang menumpang kapal lain ke negara lain jika pulau itu tidak sesuai
didiami, lagipun kami sudah di luar kawalan Maharaja. Itu perancanganku.
Asalkan bukan Jepun, asalkan bukan Jepun.
Hisamiko mesti
hidup. Walau nyawaku berpisah dari badan sekalipun, Hisamiko mesti hidup!
**
Tatkala kami bercadang
melarikan diri ke Kyushu dan semakin hampir dengan Shimagane, mereka mula
menghantar orang mengejar kami. Aku tak sangka begitu pantas sekali Maharaja
bertindak! Ini pasti kerja kazoku! Namun mujur kami lebih pantas. Aku
harus berterimakasih dengan Shinji. Aku tidak akan lupakan jasamu Shinji!
Mulanya Hisamiko
tidak bersetuju dan bertanyakanku mengapa harus kami melarikan diri sedangkan
kami sudah mendapat kepercayaan Maharaja dan diberikan tanah dan rumah di
Hidagawa? Katanya dia sudah penat hidup dalam pelarian sewaktu kami menjadi
Bayu Malam. Aku bertegas tanpa memberikan alasan. Hanya itu sahaja cara yang
berkesan. Hisamiko harus menurut. Dalam kami mengembara ke Kyushu dan dikejar
itulah aku memberitahu segala-galanya. Termasuk ramalan Amaguri berkenaan
Kaisenjyo, sesuatu yang tidak pernah diberitahu kepada Hisamiko. Dia terkejut.
Dia tidak pernah mendengarnya. Akan tetapi dia memberitahuku dia pernah bertemu
Kaisenjyo di dalam mimpi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan