BAB 21
“Takasaki, benarkan
pertarungan rentas jantina di sini. Onegai!”
Ryouji meminta kepada Takasaki sambil tunduk, masih dalam berdiri. Mereka berdua di dalam bilik
pejabat, dipisahkan oleh sebuah meja. Takasaki sedang duduk bersila.
“Ryouji, bertenang.
Duduk dahulu.”
“Sebelum itu, aku
ingin mendengar alasanmu. Jangan bimbang aku seorang yang demokratik. Bukankah
bapamu juga begitu? Beritahu aku alasanmu Ryouji.”
“Aku mahu melatih
Hisamiko."
“Tidak cukupkah
dengan Mariko?
“Bukan begitu
Takasaki-san. Hisamiko tidak gentar
bertarung dengan lawan wanita. Namun dia bersikap berbeza dengan lawan lelaki.
Dia benar-benar gentar. Aku mahu menghilangkan kegentaran itu.”
“Selepas keluar
dari sini nanti aku akan berkelana bersamanya sepanjang masa. Aku perlu membiasakan dia bertarung denganku sebagai regu. Aku mahu dia memahami rentakku dan aku juga
mahu memahami rentaknya. Lelaki dan perempuan berbeza, Takasaki-san. Amat berbeza.” Ryouji mengakui
kebenaran kata-kata sami tempoh hari, kerana dia telah lama curi-curi bertarung
dengan Chisato.
“Aku boleh
benarkan. Tapi dengan satu syarat. Buktikan padaku ia lebih baik ada dari
tiada. Mengembaralah dengan Chisato.” Sebaik menghabiskan kata-katanya, Takasaki tersenyum lebar.
Ryouji merenung senyuman Takasaki, cuba mencari maksud di sebaliknya. Jarang benar orang tua itu tersenyum seperti itu. Oh, baiklah Takasaki, aku sudah faham!
“Hontou ni arigatougozaimashita,
Takasaki-san!” Ryouji berterima kasih
kepadanya, tunduk hampir menghantuk kepalanya pada sisi meja di depannya.
**
Takasaki meminta
Chisato bertemunya di bilik pejabat.
“Ogasawara-san, engkau sudah lama tinggal di sini.
Tahun depan engkau akan meninggalkan tempat ini. Namun aku hairan, belum pernah
sekalipun engkau meminta keluar melawat kubur ibu bapamu. Aku tidak menghalangmu
sekiranya engkau mahu keluar."
"Namun engkau harus
berhati-hati. Engkau juga sedang diburu. Dan engkau perempuan. Aku risaukan
keselamatanmu. Aku cadangkan engkau ditemani Ryouji."
“Takasaki-san, sebenarnya bapaku masih hidup
sewaktu engkau menemuiku di pekan itu.” Chisato membongkarkan rahsianya. Dia
sememangnya mahu memberitahu Takasaki, namun tiada masa yang sesuai.
Takasaki sudah tahu
namun berpura-pura terkejut dan berkata “Sou
desuka? (benarkah begitu?)”. Dia hanya mahu mendengarnya sendiri dari
Chisato. Dia telah mengorek rahsia dari adik kembarnya kerana budak-budak lebih
senang membongkar rahsia.
“Aku tidak
sedikitpun memarahimu. Engkau bernasib baik kerana aku masih memiliki kewangan
yang kukuh pada ketika itu, dan juga kekosongan di rumah ini kerana
pelajar-pelajar tua pada tahun itu baru sahaja meninggalkan tempat ini.
Tindakan engkau amat tepat demi keselamatan adik-adikmu.”
“Takasaki-san, benarkan aku tinggal di sini lebih
lama. Chiho dan Chinami masih kecil. Aku mohon sehingga mereka cukup umur.
Sementara aku akan membantumu melombong belerang di belakang onsen bersama Funazuki.”
Takasaki agak
keberatan. Namun melihatkan Chisato menjaga dua orang sekaligus, membuatkan dia
bertimbang rasa. Tambahan pula pertubuhannya sedang menambah kapasiti
rumah-rumah perlindungan lain maka dia berasa sedikit lapang
kerana tidak perlu menerima pelajar baru. Sumber kewangan pertubuhan kian
memulih setelah mendapat perkenan dan bantuan dana dari Maharaja baru-baru ini.
Sejak Miura tiada, Takasaki
pening kepala memikirkan bagaimana untuk mendapat sumber kewangan tambahan bagi
menambah pelajar di sekolah itu. Miura adalah pembiaya utama kepada Kogen sejak padinya mencatat jualan tinggi. Namun tanpa Miura, dan dengan hanya bergantung kepada sumber padi huma dan jualan belerang, Takasaki hanya mampu menanggung penghuni sedia ada sahaja. Namun dengan dana dan
sokongan dari Maharaja, dia sudah boleh menarik nafas lega.
Baru-baru ini
Maharaja memperkenan pertubuhan Takasaki dan Miura. Dia amat berminat dengan
khazanah karya-karya Barat yang dimiliki perpustakaan di
rumah-rumah perlindungan di bawah Kogen. Usaha Takasaki dan
rakan-rakan sekerjanya selama bertahun-tahun melobi istana di Kyoto dan
kemudiannya di Tokyo kini membuahkan hasil. Malah, Maharaja ingin menjadikan
rumah perlindungan mereka sebagai model atau contoh untuk semua rumah perlindungan
yang akan atau telah didirikan di serata Jepun.
Baginda juga
mengarahkan agar kilang-kilang percetakan menggembleng sumber mereka untuk
menyalin karya-karya terjemahan dan membekalkan buku-buku tersebut ke
perpustakaan-perpustakaan di rumah-rumah perlindungan Takasaki dan intelektual
tempatan untuk bekerjasama dengan intelektual Barat bagi menterjemah
karya-karya dari Barat ke dalam bahasa Jepun.
“Ogasawara-san, boleh engkau ceritakan serba sedikit berkenaan ibu bapamu?”
Takasaki cuba menggerudi kisah latar Chisato. Dia hanya mahu mendengar kisah itu dari sudut pandang Chisato pula.
Chisato terdiam.
Lama, kelu lidahnya, tidak tahu bagaimana memulakan kata.
“Aku tidak tahu,
ibuku telah lama meninggal. Hanya bapaku yang masih hidup ketika aku lari dari
rumahku. Aku amat marah dengannya. Atas perbuatannya mahu menjual Chinami dan
Chiho.”
“Aku fikir engkau
patut pulang menziarahinya. Chinami dan Chiho juga mungkin merindui mereka.
Engkau pun sudah agak lama meninggalkan kampungmu.”
Benar. Chiho dan
Chinami kerapkali memujuk aku pulang. Namun aku masih berat hati. Tambahan kami
semua perempuan dan sedang diburu. Aku masih risau keselamatan mereka berdua.
Malam itu seperti
biasa Chisato curi-curi keluar berlatih dengan Ryouji di hutan bambu. Azusa
mengendap mereka, seperti biasa. Namun Azusa sedikit cemburu. Dia banyak kali
mencuri lihat latihan mereka namun dia masih belum berkesempatan bertarung
dengan Ryouji. Dan semakin lama dirasakan perasaannya terhadap Ryouji mulai
berputik.
“Ryouji. Temani aku
ke kampungku.”
Ryouji terkejut.
Kampung? Azusa menutup mulutnya, dia tersentak mendengarkannya.
“Aku mahu melihat
bapaku.” Bertambah terbeliak mata Azusa. Chisato bukan anak yatim!
“Chisato, bagaimana
engkau...”
“Ya. Aku berbohong
kepada Takasaki, dan telah memberitahunya. Namun dia tidak memarahiku bahkan
membenarkan aku tinggal di sini. Aku menipunya kerana ingin melindungi Chiho
dan Chinami. Berlindung di sini, jauh dari tamadun, aku rasakan lebih baik dari
berada di luar. Jika tidak kerana Takasaki menyelamatkanku tempoh hari, kami
tiga beradik mungkin sudah dijual.”
Ryouji mulai
teringat Chisato masih belum menjelaskan kepadanya sejarah hidupnya. Dia juga
telah banyak melatih Chisato. “Chisato, boleh aku tahu kisahmu sebelum engkau
datang ke sini?”
“Ibuku sudah lama
meninggal dunia. Sejak itu bapaku tertekan dan kerap berjudi dan mabuk-mabuk.
Dia dibebani hutang bertimbun. Gajiku sebagai pengawal sebuah keluarga pedagang
tidak cukup untuk menjelaskannya. Aku bertengkar dengan bapaku yang mahu
menjual Chinami dan Chiho sebagai karayuki
bagi menjelaskan hutangnya.
Suatu hari dia
senyap-senyap menjual Chinami dan Chiho kepada satu kumpulan pemerdagang karayuki. Aku berjaya menyelamatkan
mereka, kemudian aku lari dari rumah, dalam keadaan marah pada bapaku. Dalam
proses itu aku syak seorang atau dua dari mereka terbunuh dengan pedangku.
Sejak itu aku takut, Ryouji. Aku amat takut bertarung bersungguh-sungguh.”
Ryouji diam. Aku tidak pernah tahu Chisato melalui perkara sepahit itu. Mahu sahaja aku memeluknya sekarang. Namun tidak! Aku sedang diperhatikan Azusa.
Azusa pula
bertambah terkejut. Patutlah Chisato tidak pernah mengeluarkan sepenuh
kemahirannya ketika bertarung.
Ryouji memandang Chisato tepat, mendengar penuh tumpuan dan empati.
Chisato menambah “Mereka
hampir menangkap kami di sebuah pekan, dan Takasaki telah menyelamatkan kami.
Kumpulan pemerdagang sudah tahu lokasiku, justeru aku risau akan keselamatan
kami bertiga. Maka disebabkan itu aku telah menipu Takasaki.”
“Aku amat
mempercayai engkau, Ryouji, dan semua yang berada di sini terutama Takasaki-san. Aku yakin Hisamiko dan adik
kembarku selamat di sini. Aku hanya ingin mendapatkan khabar dari bapaku. Aku perlu meninggalkan Chinami dan Chiho di sini demi keselamatan mereka.”
“Baiklah. Aku akan
menyertaimu.” Ryouji sudahpun tahu rancangan Takasaki maka dia hanya bersetuju. Terima kasih Takasaki-san membantuku!
Mendengarkannya,
Azusa berasa hatinya seperti dicucuk-cucuk. Bunga-bunga sakura yang memutik
dalam sanubari kembali layu. Mereka akan bersama berdua untuk beberapa ketika.
Saat itu, dia menyedari, dia memiliki perasaan terhadap Ryouji.
Cemburu Azusa
terhadap hubungan Chisato dan Ryouji menggesanya melapor kepada Takasaki. Namun
Takasaki hanya berpura-pura terkejut kerana dia sudahpun tahu.
**
Awal musim bunga,
1870.
Hari ini, Chisato akan pulang
ke kampungnya dengan ditemani Ryouji. Hisamiko, Chiho dan Chinami akan
ditinggalkan di rumah tersebut.
“Hisamiko, aku
tidak akan pergi lama. Jaga dirimu dan Chinami dan Chiho.” Ryouji menepuk
lembut kepala Hisamiko sambil memandang tepat matanya. Hisamiko hanya mengangguk. Dia sudah biasa dengan kawan-kawan baru dan
selesa bersama mereka, lagi pula umurnya sudah menginjak sebelas, maka dia tidak risau lagi berjauhan dengan Ryouji. Kemudian dia berbisik sesuatu kepada Ryouji. Ryouji
mengangguk sambil tersenyum.
“Tsuneki, omae mo (engkau juga). Jaga dirimu dan
wanita-wanita ini.” Ryouji berkata kepada Tsuneki. Dia memuncungkan mulut seraya membalas “Ryouji, aku
ingin mengikutmu!”
Hisamiko, Chinami
dan Chiho menjeling tajam Tsuneki. Menyibuk engkau musang! Biarkan
mereka berdua sahajalah. Tsuneki tersengih seperti kerang busuk. “Ma...ma... ii kara.(tidak mengapalah)”
Dia cuba menenangkan mereka sambil melambai-lambai tangannya. “Aku bergurau
sahaja.”
Chisato dan Ryouji
meninggalkan rumah itu selepas melambai tangan dan mengucapkan ‘Ittekimasu’. Semua berada di situ. Azusa
masih cemburu melihat mereka berdua. Mengapa bukan aku yang bertemunya dahulu?
Mengapa Chisato?
Perkampungan
Chisato ialah sebuah perkampungan sawah padi yang terletak berhampiran kota
Osaka. Untuk ke sana, mereka harus menelusuri Sungai Miya dan terus mudik ke
hilirnya, kemudian meneruskan perjalanan ke arah barat daya, menghala ke Wakayama di selatan Wilayah Hidagawa atau sekarang dipanggil Jooryoku.
Ryouji hanya
mengikut di belakang dan melihat sekeliling, jika ada pengekor.
Selepas melintasi sebuah kuil Shinto lama, Chisato menelusuri sebuah denai yang
mengelilingi kuil tersebut dan terus ke belakangnya. Ia adalah laluan ke barat
Honshu, menghala ke Wakayama dan juga dataran Kansai di mana terletaknya Kyoto dan Osaka.
Setibanya mereka di
sebuah belukar yang agak tinggi, setinggi Ryouji, yang terletak di antara dua
batang pokok sugi, Chisato menyelak
belukar tersebut, dan terpampanglah di hadapan mereka sebuah denai tersembunyi.
“Laluan ini lebih
selamat untuk ke barat. Aku dan Takasaki berjalan ke rumah perlindungan itu
melalui denai ini dari pekan di mana kami bertemu, di selatan kota Osaka.” Chisato
menerangkan. Dia menyambung bahawa denai itu dibina oleh pertubuhan Takasaki
bagi memudahkan perjalanan ulang-alik mereka ke Kyoto, yang juga terletak di
sebelah barat, dalam usaha melobi Maharaja. Mereka tidak mahu diekori oleh
pengintip, lebih-lebih lagi yang dihantar oleh Hamada.
Denai itu
dilapisi dengan kepingan batu-batu besar sepertimana laluan pedagang di Nakasendo atau Tokaido, dan di
kiri dan kanan dipenuhi dengan pokok-pokok sugi
yang tinggi dan pepohon renek lain yang biasa ditemui di dalam hutan
pergunungan Hidagawa. Suhu sekeliling tidak terlalu sejuk dan terlalu panas
ketika di pertengahan musim bunga ini. Tupai-tupai dan arnab hutan berkeliaran
dan bercempera lari sebaik kawasan mereka dilalui. Daun-daun hijau berselang seli
dengan cahaya matahari yang menerjah masuk seperti jarum-jarum.
Chisato mengenakan yukata berwana biru muda, dengan corak-corak putik sakura berwarna putih, dan haori berwarna biru gelap di atasnya. Dia juga memakai seluar hakama atau umanori biru gelap ke paras bawah dadanya, dan hujungnya dicekam pada betis oleh tabi hitam yang panjang, bagi memudahkan pergerakan sekiranya mereka diserang musuh. Bagi menyembunyikan wajahnya, dia memakai topi kon ronin sedang rambutnya yang panjang disanggul rapi agar tidak mengganggunya ketika bertarung apabila perlu.
Ryouji juga memakai topi ronin, dan haori berwarna hitam membaluti kimono berwarna kelabunya dan dia
juga memakai umanori berwarna biru
pekat. Ada sedikit jambang nipis menuruni bauknya. Dia tidak langsung nampak
seperti seseorang yang berumur lima belas tahun, lebih kepada seorang pemuda
berumur awal dua puluhan.
Chisato menerangkan
perjalanan tersebut akan mengambil masa dua hari. Setelah hampir tengahari,
mereka tiba di luar hutan ke laluan di tengah-tengah bendang yang luas.
Beberapa orang petani melambai-lambai ke arah mereka. Semakin jauh mereka
berjalan, semakin ramai manusia melintasi mereka bersimpang siur. Mereka kini
menghampiri sebuah pekan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan