Mereka sampai di Inotani untuk bermalam selama dua malam. Mereka akan menghabiskan masa di pekan itu. Ada pesta bunga api pada malam esoknya. Disebabkan itulah Ryouji memilih waktu begini untuk keluar. Selain menggembirakan Hisamiko, dia mahu mengambil masa berfikir akan keputusannya menyertai Kogen. Dengan nyawa yang berbaki paling lama tiga tahun itu, adakah dia masih mahu memendekkannya lagi?
Jika aku meninggalkan Kogen, ke mana aku akan membawa diri? Aku hanya
tahu bertarung. Aku juga ada belajar menghasilkan pedang namun tidak semahir
mana. Mungkin aku boleh menyertai pasukan polis? Namun aku dengar untuk
menyertai polis, engkau perlu menyertai akademi mereka terlebih dahulu, selama
lima tahun sebelum diserap masuk. Lima tahun...untuk apa? Aku akan mati selepas
tiga tahun!
Alangkah baiknya jika aku bijak seperti Shinji. Hanya bekerja di makmal
dan bengkel. Kemudian mendapat gaji setiap bulan.
Ryouji mengeluh. Dia sedang berendam di dalam kolah mandi air panas. Dia
menyewa sebuah bilik yang besar bersama Hisamiko. Namun di situ, kolah mandi
air panas atau onsen berkongsi dengan penghuni lain dan diasingkan
mengikut jantina. Pekan Inotani terletak di sempadan Wilayah Kodama dan
Jooryoku dan penanda sempadan sistem pergunungan Hidagawa. Pengunjung pekan ini
kebanyakannya pedagang sutera dari Edo dan dataran Kansai yang mahu ke utara
dan berhenti singgah di sini untuk bermalam. Juga ramai pengunjung dari
kalangan pelombong sulfur atau belerang, lombong yang banyak terdapat di dalam
pergunungan Hidagawa.
Bangunan rumah tumpangan ini dua tingkat, dan semua bilik penginapan di
tingkat atas, sedang di tingkat bawah ialah restoran dan kolah mandi onsen.
Ryouji sememangnya mahu berseorangan melayan perasaan dan tidak mahu
berbual dengan sesiapapun, maka dia mencari tempat yang sedikit tersorok dari
pengunjung lain, yang dilindungi batu-batu besar yang sengaja diletakkan di
tengah-tengah kolah itu. Kolah itu boleh memuatkan lima puluh orang. Jika semua
lima puluh orang masuk mengejut, akan keringlah air kolah itu disesarkan
mereka, lebih-lebih lagi jika mereka gemuk-gemuk belaka seperti Hagiura.
Hanya Ryouji dan beberapa orang lelaki tua sekitar enam puluhan sedang
berada di dalam kolah itu. Kumpulan lelaki tersebut, nampaknya pelombong sulfur
melihatkan pakaian mereka ketika di luar, juga sedang diam sepertinya di dalam
kolah meskipun mereka datang bersama. Barangkali teruja dengan kehangatan air onsen
ini, setelah penat di lombong siangnya.
Hisamiko pula sedang duduk berendam di kolah onsen wanita. Tiada
sesiapa selainnya di kolah wanita sekarang. Rambut hitamnya yang panjang
dilepaskan mengurai. Fizikal Hisamiko yang kini berumur tiga belas tahun sudah
mula menampakkan cirian seorang wanita. Badannya kecil dan kurus, ketinggiannya
hanya lima kaki. Wajahnya bersih cerah kekuningan, tiada jerawat. Matanya sepet
ke dalam, namun bermula dari tengah kelopaknya dua dan ruyup ke sisi. Kulitnya
putih kekuningan sepertimana kebiasaan kebanyakan wanita Yamato, dan licin
sekata. Ada sedikit parut di belakang badan dan dahinya akibat terjatuh di
lereng sewaktu dikejar Sonzaemon, dan juga parut di lutut selepas terjatuh dari
pokok sakura sewaktu dia kecil.
Agaknya bila onii-san akan keluar? Aku perlu peka. Dia akan
memanggil namaku dari luar. Aku tidak akan kembali ke bilik berseorangan. Di
sini banyak lelaki-lelaki tua. Muka mereka nampak jahat. Tidak seperti
Takasaki-san, tidak seperti otou-san. Mereka nampak jahat seperti
si gemuk di hutan Furukawa itu.
“Ojou-chan...hitori? (Adik, seorangkah?)” kedengaran suara
seorang gadis, lembut. Seperti suara Chisato.
Hisamiko menoleh. Bila masa gadis ini masuk? Sungguh aku tidak
menyedarinya.
Seorang gadis dengan rambutnya hitam keriting berikat, tersenyum
memandang Hisamiko. Gadis itu nampaknya berumur dalam sekitar dua puluhan.
“Tidak. Aku datang bersama abangku.” Hisamiko menjawab ringkas.
“Sou ka.” Gadis itu tiba-tiba mendekati Hisamiko sedang masih berendam,
seraya menyentuh belakang tubuh Hisamiko, tepat pada tanda yang pernah ditemui
Kotobuki, iaitu tanda pemedang handal. Hisamiko sedikit tersentak.
“Apa yang engkau lakukan, nee-chan?”
“Aku tertarik dengan tanda ini. Siapa namamu?”
“Okuhida Hisamiko...”
“Nagai namae da ne (panjang namamu). Namaku Yoruno Hotaru.”
**
“Hisamiko! Hisamiko!” Ryouji melaungkan nama adiknya selesai keluar dari
onsen lelaki.
Hisamiko yang sedang berbual dengan Hotaru mendengar suara Ryouji.
“Nee-chan, maafkan aku, aku perlu keluar sekarang. Kita sambung
berbual di lain kali, ya.”
“Abangmu?”
“Benar.”
“Baiklah Hisamiko. Mata ne!”
“Mata ne, onee-chan! (jumpa lagi, kakak)” Hisamiko pantas keluar
dari kolah menuju ke bilik persalinan, dan menukar pakaiannya. “Matte onii-san!
(Tunggu aku, Ryouji!)”
Hotaru ketawa kecil. Patuh benar dia dengan abangnya! Dia menenggelamkan
diri ke dalam air kolah yang suam itu, seperti awalnya.
Atau dia hanya setia kerana dia pemedang handal? Yang akan melindungi
mereka yang ditimpa sumpah itu?
Ayame-san, engkau benar, Hisamiko adalah pemedang itu dari puak
Okuhida. Bukti pada tubuhmu seperti yang ada pada tubuh Hisamiko.
Di bilik penginapan mereka...
Hisamiko dan Ryouji berbaring di atas tilam futon yang
berasingan, pelita sudah dimalapkan. Masing-masing di dalam gebar futon,
menanti mata untuk lelap.
“Onii-san, tadi di dalam onsen aku bertemu seorang kakak.”
“Hmm.” Ryouji menyahut, sedang matanya terpejam. Kakak mana pula kali
ini, Hisamiko...
“Namanya Yoruno Hotaru. Hotaru nee-chan.”
Ryouji tersentak mendengarkan nama itu. Ia nama sama dengan nazir Kogen
yang pernah dihantar mengawasi Takasaki. Namun dia memendamnya, masih memejam
mata. Dia membiarkan Hisamiko berceloteh.
“Dia memegang kawasan bertanda di belakang bahuku.”
Hanya ada satu kawasan bertanda di belakang tubuh Hisamiko. Iaitu tanda
yang pernah ditunjukkan Kotobuki.
“Kemudian dia berkata yang dia tertarik dengan tanda itu, seraya
bertanyakan namaku.”
“Aku memberitahu namaku dan dia memberitahu namanya. Aku memberanikan
diri bertanya dia dari mana. Katanya dari sekitar kawasan ini.”
“Hmm.” Ryouji masih mendengar meskipun matanya terpejam.
**
“Engkau datang ke sini seorangkah?” Hotaru membuka perbualan.
“Tidak, aku bersama abangku.”
“Sou ka. Dari mana kalian datang?”
“Jauh di utara, di Shirasaka-no-kogen.”
“Shirasaka-no-kogen? Aku tidak pernah mendengarnya. Di manakah ia?”
“Di atas pergunungan Tateyama.”
“Di atas gunung? Wah...pasti sejuk di sana.”
“Sejuknya lebih mencengkam dari tempat asal kami di Hidagawa.”
“Sou ka... bagaimana kalian boleh berpindah ke sana dari
Hidagawa?”
Hisamiko menceritakan sejarah hidupnya, bagaimana bapanya dibunuh, dan
bagaimana rumah perlindungan mereka diserang dan penjaganya dibunuh.
"Hidoi ne (teruknya), kisahmu." Hotaru membelai rambut
Hisamiko yang kebasahan air onsen, kasihankannya. "Mengapa engkau lalui semua ini di
usia mudamu, Hisamiko." Hisamiko hanya membisu. Dia sudah terbiasa
dengan perkara begitu dan telah lama belajar menerimanya. Air matanya sudah
lama kering.
"Aku rindukan nee-chan..." Terpacul kata-kata itu dari
Hisamiko. Mungkin telah lama dipendamnya. Kali ini sahaja barulah dia mendapat
peluang berbual dengan seorang wanita sepertinya.
"Nee-chan?"
"Seorang kakak bernama Chisato. Dia sangat baik terhadapku."
"Apa yang telah berlaku pada Chisato?"
"Dia telah disuntik sejenis racun oleh penyerang rumah perlindungan
kami dan tidak sedarkan diri, sehingga sekarang masih dirawat di
Shirasaka-no-kogen."
"Sou ka... zannen na... (kasihannya). Aku harap dia
dapat disembuhkan."
"Dia pasti akan disembuhkan. Kotobuki-san sedang
bertungkus-lumus mencari penawarnya."
“Sou ka... Ne Hisamiko, bagaimana hidupmu di sana
sekarang?" Hotaru masih memegang kepala Hisamiko, matanya menatap wajah
gadis remaja itu penuh rasa kasihan.
"Chisato nee-chan punya dua adik. Aku bersahabat dengan
mereka. Tsuneki, Shinji juga sahabatku. Nariko nee-chan juga..."
Kemudian Hisamiko menerangkan apa yang dilihatnya di Kogen sehari-hari.
Hotaru melayani Hisamiko dengan menadah telinga. Sepanjang berada di Kogen, pemerhatian
Hisamiko terhad kepada rumah perlindungan, perpustakaan, kawasan lagun dan
lembah Amaguri.
Penceritaan Hisamiko
terlajak meliputi lembah Amaguri. Dia ingin benar meluahkan kisah lembah
misteri yang meruntun rasa ingin tahunya itu kepada seseorang. Namun ditahannya
dahulu dari mendedahkan kepada mana-mana penghuni Kogen, termasuk abangnya.
Namun Hotaru adalah orang asing. Bahkan dia tidak pernah tahu di mana kewujudan
Kogen. Maka lebih selamat mendedahkan kepadanya. Mungkin dia tidak akan memberitahu
sesiapapun di Kogen.
“Nee-chan, di perpustakaan itu kutemui satu lorong aneh.”
“Lorong aneh?”
“Lorong itu boleh membawa pengembaranya dari sana terus ke sebuah
kawasan lembah berhutan di Hidagawa.”
“Benarkah?"
“Jika engkau datang ke Shirasaka-no-kogen aku boleh menunjukkan
kepadamu.”
“Apa yang kau temui di kawasan lembah berhutan itu?”
Hisamiko memberitahu dia menemui seorang lelaki misteri bernama Saionji
dan pondok di bawah pohon gergasi. Namun dia menahan diri dari memberitahu
berkenaan buku diari yang dicuri dari pondok tersebut.
Nampaknya Saionji sudah
bertemumu, getus Hotaru.
"Aku mahu ke sana,
Hisamiko. Bawaku ke sana satu hari nanti." Hotaru memujuk Hisamiko,
berlakon.
"Engkau boleh
mengikut kami pulang lusa nanti."
"Heee..."
"Onii-san
menunggang kuda besar. Engkau boleh memboncengnya..."
"Heeeee...!"
Bertambah terkejut Hotaru mendengar saranan Hisamiko.
"Aku ada kudaku sendiri
Hisamiko." Wajah Hotaru merah.
"Hontou desuka.
Nee-chan di mana engkau belajar berkuda?"
Perbualan mereka berlanjutan
sehinggalah Ryouji memanggil Hisamiko.
**
Siang di pekan Inotani adalah waktu yang sibuk. Di kiri dan kanan bahu
laluan utama pekan persinggahan pedagang itu dibarisi kedai-kedai menjual
barangan basah. Ryouji dan Hisamiko bangun agak lewat kerana terlalu letih
setelah seharian menunggang kuda.
Di Inotani terdapat sebuah bukit yang tinggi dan kuil Shinto di
puncaknya. Miura pernah menceritakan tentang bukit itu yang membolehkan dia
melihat hampir keseluruhan Hidagawa tanpa perlu mendaki puncak-puncak lain yang
lebih tinggi, namun tidak berkesempatan membawa Ryouji melihatnya. Ryouji fikir
dia harus mengambil kesempatan ini dengan pergi ke situ sendiri, bersama
Hisamiko.
Ryouji dan Hisamiko duduk bersebelahan di sebuah meja kayu petak di tingkat
bawah rumah tumpangan itu, sedang bersarapan, ketika Hotaru muncul tiba-tiba
dan duduk bersetentang dengan mereka.
“Kimi Okuhida Ryouji ne (engkau Ryouji bukan)?” Hotaru
berteleku merenung Ryouji dengan wajah segar, tersenyum manis dengan rambut keritingnya
berikat.
Ryouji terkejut. Suaranya benar-benar seperti suara Chisato, namun ada
bibit-bibit kematangan, seperti seorang gadis berusia lewat dua puluhan.
Dia memandang Hisamiko di sebelah. Hisamiko separa berbisik “Itulah
Hotaru nee-chan.”
“Ah, hai (ya). Hisamiko memberitahuku yang engkau Hotaru-san?”
“Ya.” Hotaru tersenyum dan memandang Hisamiko.
Ryouji mengamati gadis yang sedang duduk di hadapannya itu. Matanya
cantik, runcing ke dalam. Rambutnya keriting panjang dan diikat membonjol,
sedikit dibiarkan mengurai menutup telinga dan pipi dan sedikit jatuh menutup
dahi. Dia tidak bersolek, dan wajahnya cerah dengan sedikit kesan jerawat lama.
Dia nampak seperti seseorang yang berumur sekitar dua puluhan.
“Boleh kutahu dari mana engkau, Hotaru-san?”
“Aku dari sini. Sini kampungku.”
Ryouji cuba menduga dengan soalan maut. “Bukan dari Shirasaka?”
“Shirasaka? Aku tidak pernah mendengar tempat begitu.” Jawab Hotaru
tenang. Ryouji membaca wajah itu. Yang dilihatnya hanyalah bintik-bintik
jerawat lama dan wajah putih mulus dan mata sepet runcing ke dalam. Tiada
garis-garis menipu yang ketara dari raut itu.
“Ne, Ryouji. Apakah tempat itu? Setahu aku di Jepun tidak pernah
wujud tempat dengan nama itu. Hisamiko juga ada menceritakan tentangnya
semalam. Kalian datang dari sana bukan?”
“Ya, kami dari sana. Aku fikir engkau juga dari sana. Namun tidak
mengapalah jika begitu jawapanmu.”
Aku tahu engkau sedang menipuku, Hotaru! Aku tahu engkau dari Kogen.
Bahkan engkau sedang mengekori kami! Bijak engkau menyembunyikannya dari
wajahmu.
Atau mungkin juga, ada kebarangkalian yang engkau pemerdagang dan
penculik anak gadis. Itu lebih dahsyat! Siapa sekalipun engkau, aku harus berhati-hati
denganmu.
“Ryouji-kun...”
“Hanya Ryouji. Teruskan.”
“Apa yang membuatkan engkau fikir aku dari sana?” Hotaru merenung mata
Ryouji sedalam-dalamnya, masih dalam meneleku wajahnya.
“Hanya firasatku.”
“Heeee... . Engkau lelaki aneh, Ryouji.”
Hotaru menyeluk saku yukatanya mencari-cari sesuatu.
“Ryouji, sebelum kalian melihat bunga api malam nanti, aku ada satu
pemberian untukmu.”
Hotaru menunjukkan sekeping kupon dengan gambar perempuan bermata sepet
dan tembam, wajahnya disolek tebal putih dan rambutnya diikat membonjol dengan
sepit kayu yang panjang berwarna hitam dan memakai kimono bercorak burung
jinjang berlatarkan warna merah. Dia disolek seorang ahli sihir tua.
“Kupon ini untuk adikmu.”
Hisamiko teruja melihatnya. “Onii-san...aku mahu ini!”
“Dengar tu, Ryouji. Adikmu mahukannya. Jangan kau berani tolak.”
Ryouji berbelah bagi, membelek-belek kupon yang berbentuk segi empat
lonjong seperti wang yang baru dikeluarkan kerajaan Maharaja. Kupon apakah ini?
“Boleh kutahu kupon ini untuk apa Hotaru-san? Dan mengapa engkau
memberinya kepada kami?”
“Aku mendengar dari Hisamiko ketika kami di onsen, yang kalian
mahu melihat bunga api. Aku bilang apa salahnya Hisamiko berdandan di sini
sebelum kalian menontonnya.”
“Mengapa ada ahli sihir tua dilukiskan di kupon ini?”
Hotaru pecah ketawa. Tidak ramai penghuni rumah tumpangan itu yang
sedang makan di sekeliling mereka namun mereka tetap memandang, terkejut
mendengarkan tawa Hotaru.
“Itu simbol sahaja Ryouji, dan bukan ahli sihir tua!” Hotaru menahan ketawa.
“Rumah dandanan itu sudah lama ditubuhkan dan mereka masih menggunakan
formula lama. Itulah yang dimaksudkan dengan gambar wanita tua itu. Ia
dikunjungi ramai geisha.” Hotaru mengesan kening Ryouji terangkat sedikit
mendengarkan ‘geisha’ dan merenung tajam Hotaru. Riak wajahnya seperti menjerit
‘Engkau fikir adikku geishakah??’.
Hotaru pantas menyambung, “Juga orang kebanyakan. Ramai di sini yang
mengunjunginya sebelum aktiviti keraian di sini, seperti bon, dan
sambutan tahun baru, selain pertunjukan bunga api. Mereka mahu menyewa
yukata-yukata cantik yang mereka miliki. Aku kerap ke sana, dan kenal
pengurusnya.”
“Nantilah aku fikirkan.” Ryouji memberi maklum balas.
“Onii-san!” Hisamiko membisik keras ke telinga Ryouji, kedua-dua
tangannya menggoncang-goncang lengan Ryouji.
Aku agak bimbang jika Hisamiko menjadi perhatian ramai sedang dia masih
di bawah umur. Namun bukankah perjalanan ini demi menggembirakan hatinya? Aku
fikir apa salahnya, mungkin sekali seumur hidup. Lebih tepat, hidup aku.
Mungkin ini kali terakhir aku berkesempatan melihat adik kandungku berhias.
Dahulu okaa-san ada mengajar dia berhias namun sejak dia jatuh sakit,
Hisamiko yang sememangnya tidak gemar aktiviti keperempuanan jarang sekali
duduk di dalam rumah dan mengikut aku mengail sahaja. Pasti Chisato yang
memupuk kembali minatnya.
Ryouji memandang Hisamiko. “Ii ne (Baiklah). Syaratnya engkau
pergilah dengan Hotaru-san.”
“Arigatou, onii-san!” Hisamiko memeluk abangnya dari sisi,
menyandarkan pipinya pada lengan Ryouji, tersenyum lebar.
“Hotaru-san, jangan sekali-kali kau biarkan dia berseorangan!”
“Baiklah, abang yang tegas! Hu hu!” Hotaru tabik seperti seorang askar
Prussia. Ryouji terkejut melihat tabik begitu. Ia seperti lukisan di muka depan
sebuah buku yang pernah dijinjing Shinji selepas kami berpindah ke Kogen. Nanti
selepas pulang aku akan bertanyakan dia. Mungkin ini petunjuk yang Hotaru dari
Kogen. Kogen menggunakan model Prussia dalam membangunkan pasukan pertahanan
mereka, model yang sedang ditimbangtara oleh kerajaan Maharaja untuk tentera
diraja yang bakal ditubuhkan.
Aku sebenarnya tidak mempercayai Hotaru. Kami baru sahaja mengenalinya
di sini. Aku perlu berhati-hati. Mungkin ini Hotaru yang berlainan. Mungkin dia
bukan dari kalangan kami, Kogen. Mungkin dia penculik yang mencari anak-anak
gadis dan akan memabukkan mereka sebelum dijual kepada sindiket Hamada itu. Aku
akan perhatikan dia serapat mungkin ketika melepaskan Hisamiko ke situ. Aku
akan tunggu di hadapan rumah dandanan itu, dan memerhati pintu belakang mereka
sekiranya ada lorong tikus membawa Hisamiko keluar.
**
“Ke mana kita akan pergi, onii-san?” Hisamiko bertanya
diselang-seli dengan mencungap. Mereka sedang mendaki tangga yang amat tinggi
menuju ke puncak sebuah bukit. Ryouji memegang galang di sebelah kirinya sedang
tangan kanannya memimpin tangan Hisamiko.
“Sebuah tempat yang pernah diceritakan otou-san. Engkau pasti
menyukainya.”
Pepohon di kiri dan kanan tangga yang curam itu masih lagi hijau. Hari
itu cerah dan suhu sederhana, tiada angin bertiup. Matahari baru mencecah suku
langit. Kabus-kabus di bukit itu sudah mulai berkurangan.
Tangga yang didaki ini lebih kurang sama tingginya dengan tangga yang
didaki Ryouji ketika dia di Kisennuma bersama Chisato menuju sebuah kuil di
atas bukit. Mereka tiba di sebuah dataran luas berhadapan sebuah kuil Shinto di
atas puncak bukit itu. Sekeliling kawasan itu dipagar dengan pagar-pagar buluh.
Pokok-pokok yang tinggi ditanam hanya di kawasan berhampiran kuil Shinto. Oleh
itu, para pelawat dapat melihat ke bawah bukit dengan berdiri di tepi pagar
buluh tanpa dihalang pokok-pokok yang tinggi.
Hisamiko melepaskan pegangan tangan abangnya dan berjalan laju ke pagar
buluh, teruja mahu melihat apa yang ada di bawah bukit. Sebaik memandang ke
bawah, mulutnya melopong, matanya membulat.
Mereka hanya mendaki tidak sampai setengah jam, namun apa yang dilihat
di bawah mereka ialah seolah-olah mereka berada di atas gunung yang sangat
tinggi. Segala-galanya kecil seperti serangga. Dari atas ini dapat dilihat
laluan Nakasendo di kejauhan dengan beberapa rombongan pedagang dapat dilihat
di kawasan yang tidak dilitupi kanopi hutan. Namun pekan Inotani sama sekali
tidak dapat dilihat dari sini. Bukit ini dan pekan Inotani sudah berada di
kawasan yang tinggi dari paras laut. Dengan mendaki bukit tersebut, mereka akan
dapat melihat keseluruhan Hidagawa termasuk kawasan lebih rendah yang
terlindung dari pekan Inotani oleh gaung, rumah-rumah kedai dan rimbunan hutan.
Banjaran pergunungan Hidagawa berdiri megah jauh di ufuk dari pagar
buluh itu. Salji dapat dilihat di lereng-lerengnya memantulkan cahaya matahari.
Banjaran Hidagawa seolah-olah mengelilingi puncak bukit ini tanpa henti.
Seolah-olah memagari belahan bumi sini dari serangan gergasi dari belahan bumi
sana.
Aku fikir jika Hamada itu mampu bertukar menjadi gergasi, dia masih
tidak akan dapat menyerang kami di sini kerana dihalang gunung-ganang yang tinggi-tinggi
menggapai langit dan barisannya yang tidak berpenghujung ini. Apakah yang ada
di celahan gunung itu selain dari kampungku dan rumah-rumah perlindungan kami?
Ia masih misteri. Aku ingin sekali menerokanya, jika aku diberikan umur seribu
tahun lagi. Aku yakin, tidak semua kawasan-kawasan tersebut didiami anak-anak
Kogen. Gunung-ganang ini terlalu besar dan memakan terlalu banyak kawasan.
Disebabkan itu, kami tidak punya kawasan yang cukup untuk penempatan dan
bercucuk tanam. Sebahagian darinya mengeluarkan lahar yang panas dan
membinasakan. Sebahagian lagi meruntuhkan batu-batu ketika gempa bumi.
Sedang Ryouji mengelamun, Hisamiko masih melopong. Dia tidak pernah
melawat kawasan begini tinggi. Dia tidak pernah keluar dari kampungnya, tidak
seperti Ryouji yang pernah ke Furukawa.
“Onii-san, apakah ada kawasan yang lebih tinggi dari sini?”
“Gunung Fuji.”
“Gunung Fuji?”
“Ya. Mengapa?”
“Tiada apa-apa. Lebih tinggi, lebih dekat dengan otou-san dan okaa-san.
Mungkin lebih mudah untuk aku melompat ke atas dari puncaknya untuk bertemu
mereka.”
Ryouji hanya tersenyum memandang adiknya. Aku tahu engkau amat merindui
mereka. Aku pun.
“Onii-san, bila kita akan ke Gunung Fuji?” Ke situ pula soalan
Hisamiko.
“Entahlah Hisamiko. Yang pasti, aku akan membawamu sekali jika aku ke
sana.”
Tentang bila soalnya, aku tidak boleh berjanji apa-apa. Baru sebulan
lepas aku melihat gunung itu. Usahkan mendaki, menjejakkan kaki benar-benar di
kaki gunung itupun belum tentu. Terlalu banyak perkara yang aku ingin capai,
namun terlalu singkat masaku yang masih berbaki.
“Aku tidak memaksa, onii-san. Aku sudah cukup bersyukur engkau di
sisiku. Hanya ini yang kumahu.” Hisamiko senyum memandang abangnya kemudian
berpaling memandang pergunungan Hidagawa. “Pemandangan begini cantik tiada
makna apa-apapun jika aku melihatnya berseorangan bukan?”
Hisamiko kembali memandang abangnya. “Onii-san...engkau masih
bersedih bukan? Atas apa yang berlaku pada nee-chan, Azusa dan Saki nee-chan
dan Takasaki dan Mariko-san, dan otou-san. Dan sumpahmu itu...”
Sebak kedengaran dari suara Hisamiko.
“Hmm.”
Aku tidak takut mati. Aku lebih bimbangkan engkau. Bagaimana selepas aku
tiada nanti? Apakah engkau boleh meneruskan hidup di situ? Sedangkan aku keluar
sebentarpun engkau menangis.
Azuchi yang sedang bertenggek di atas salah satu pokok memandang mereka
berdua sedari tadi. Kemudian dia terbang tiba-tiba dan duduk di atas topi kon
Hisamiko, di atas permukaan rata. Dia mematuk-matuk lembut sisi topi itu,
sengaja membuatkan Hisamiko tidak selesa.
Bagus Azuchi! Aku tidak mahu dia meneruskan perbualan sedih itu.
“Mou yamete yo Azuchi...(hentikan Azuchi...)!”
**
Mereka turun dari bukit itu ketika matahari tegak di kepala. Ketika
menuruni anak tangga yang tinggi itu, barulah mereka perasan terdapat simpang
menghala ke kiri di pertengahan anak tangga. Pelawat yang memasuki simpang itu
akan bertemu sebuah denai yang di kanannya ditanam pokok-pokok renek sebagai
benteng bagi mengelakkan pelawat terjatuh ke lereng. Di atas dan sepanjang
denai itu didirikan batang-batang bambu dibentuk melengkung seperti pelangi,
membumbungi pelawat seperti terowong, dan padanya pokok-pokok bunga fuji
atau wisteria dibiarkan tumbuh melilitnya dan berjuntaian.
“Onii-san, aku mahu melihatnya.”
“Baiklah Hisamiko.” Ryouji juga teruja ingin tahu, kerana pemandangan di
situ sangat cantik, segalanya di dalam ‘terowong wisteria’ itu ungu. Dia
melihat beberapa orang pelawat yang menuruni anak tangga itu di hadapan mereka
turut masuk ke ‘terowong wisteria’ tersebut.
Ryouji memegang pergelangan tangan Hisamiko kerana risau melihatkan ramai
pelawat di situ. Azuchi duduk di atas topi Hisamiko. Ada pelawat yang hairan
melihat Azuchi duduk di atas topi Hisamiko, namun Hisamiko tidak
mengendahkannya.
“Hisamiko, aku bau Hotaru kakak kau itu.” Azuchi memberitahu Hisamiko.
“Di mana?”
“Ah, Ryouji to Hisamiko ka.” Kedengaran suara Hotaru.
“Hah, itulah dia.” Jawab Azuchi.
Ah, perempuan ini lagi! Ryouji menggerutu.
Hotaru nampaknya datang seorang diri.
“Boleh aku sertai kalian?”
“Doumo...” Ryouji membalas perlahan, keterpaksaan.
“Ya!” Hisamiko pula pantas membalas keterujaan.
Jika Hisamiko gembira dengan kemunculan Hotaru, aku tidak mampu
menghalang.
Kami berjalan sehingga ke hujung terowong. Hisamiko rancak berbual
dengan Hotaru. Namun aku tidak menyedari mereka sudah jauh ketinggalan di belakangku
sehinggalah Hisamiko memanggilku. Aku menoleh.
“Onii-san!”
Aku melihat Hotaru menutup mulut menahan ketawa.
Aku tidak pasti, adakah Hotaru boleh dipercayai. Aku tidak nampak
apa-apa yang mencurigakan pun padanya. Namun mengapa dia tiba-tiba sahaja
mendekati kami di sini, dan rapat dengan Hisamiko? Adakah percutian kami di
sini telah dibongkarkan kepadanya oleh Kotobuki?
Tidak, aku percaya pada firasatku. Aku masih mencurigainya.
“Ryouji, mari ke sini.” Hotaru memanggilku.
Aku kembali menyertai mereka. Kami sudahpun berada di hujung terowong
wisteria itu. Tiada lagi bumbung wisteria, hanya langit biru yang cerah. Hotaru
membawa kami ke lereng bukit di sebelah kanan yang hanya ditumbuhi rumput. Jauh
di atasnya dapat dilihat pagar-pagar buluh yang mengelilingi puncak bukit
tersebut.
“Di sinilah...di sepanjang lereng inilah ramai penonton akan datang
untuk melihat bunga api.”
“Apakah mungkin aku dapat menontonnya di atas sana?”
“Kuil itu ditutup pada waktu malam. Kalian boleh duduk-duduk di lereng
ini sewaktu acara berlangsung. Pemandangan di sini lebih jelas.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan