Novel: Kaisenjyo (Bab 80)

Ojou-chan, apa kau buat di sini?”

Ayame sedang duduk berseorangan di bawah pohon sakura, berhampiran pejabat Omi. Tangan kanannya bersarungkan boneka monyet.

“Mengapa tidak engkau menyertai mereka?” Shizue menyoal Ayame sambil menuding ke bawah, di lagun di Kogen-no-shita.

“Mereka takut denganku.”

“Takut?”

Ayame menceritakan kisahnya, bagaimana seorang budak lelaki membuli rakan perempuannya sehingga menangis, kemudian dia membelasah budak lelaki itu sehingga rakan perempuannya takut seraya menjauhkan diri darinya. Rakan perempuannya itu kemudian memberitahu yang lainnya agar tidak mendekati Ayame.

Nee-chan tidak takut denganmu.”

Hontou?”

Hontou. Ne ojou-chan, berceritalah denganku. Aku sudi mendengarnya.” Shizue menguntum segaris senyuman. Tangannya di bahu Ayame, matanya redup merenung mata Ayame.

“Dari mana engkau dapat boneka itu?”

“Dari seseorang. Aku sedang menunggunya datang. Dia akan bercerita menggunakan boneka ini.”

“Sudah berapa lama engkau menunggunya?”

“Dari pagi tadi.” Sekarang sudah hampir petang.

“Dia tidak akan datang.”

“Dia pasti akan datang!” ada bunyi sebak kedengaran di balik suara Ayame.

“Ke mari boneka itu.”

Ayame menanggalkan boneka itu dari tangannya seraya diberikan kepada Shizue.

Siapa namamu?” Shizue mengungkapnya dengan meniru suara monyet sedang tangannya melakonkan gerakan mulut boneka itu.

“Ayame.”

Aku Akagao.” Akagao bermaksud muka merah.

Ayame ketawa kecil mendengarkan nama baru boneka monyet itu.

“Namanya Sarukenbo. Namun tidak mengapa. Aku lebih gemar nama baru itu.”

Sou desuka... mulai hari ini panggil aku Akagao! Ne Ayame-chan, aku ada satu cerita. Sudi mendengarku?”

Ayame mengangguk.

Hari ini aku sedikit kelapangan, getus Shizue. Sejak menjadi saintis Kogen empat tahun lepas, aku telah ditugaskan menyelidik bahan yang boleh menghasilkan api dari udara. Ketua penyelidik, Seguchi-sensei membuat telahan bahawa ada sejenis aloi yang jika dicampurkan dengan resin aomomiji, akan menghasilkan api apabila dihayunkan. Kami perlu mencari proses yang sesuai untuk menghasilkannya, dan campuran logam yang sesuai untuk aloi itu. Bererti, ada ribuan kombinasi logam dan pecahan campuran yang perlu kami cubajaya. Ia memakan banyak masa dan tenaga, sedang kumpulan kami cuma terdiri dari lima orang. Kini aku sedikit kelapangan kerana proses itu telah ditemui.

Aku amat gembira sejak penemuan itu. Penat lelah kami akhirnya membuahkan hasil. Aku telah berjaya menyumbangkan sesuatu kepada Kogen sebelum meninggalkan tempat ini. Ya, aku akan meninggalkan tempat ini. Aku tidak berniat menjadi saintis di sini untuk selama-lamanya. Sekurang-kurangnya dengan sumbangan ini, aku telah membalas jasa Kogen kepadaku selama ini, walaupun aku fikir jasa mereka terlalu besar buatku dibandingkan dengan sumbangan yang tidak seberapa itu.

Hari ini, aku hanya mahu menghiburkan diriku dan juga Ayame-chan. Yusei masih di luar, atas urusan Kogen. Kami berdua telah memohon menjaga rumah perlindungan Kogen. Aku bilang pabila dia berjaya mendapat tempat menjaga rumah perlindungan, aku mahu mengikutnya keluar dari sini dan berkahwin dengannya. Aku tahu, aku tidak boleh memiliki zuriat demi mengelakkan sumpahan kuasa Shirasaka ke atas keturunan kami. Namun aku tidak kisah. Aku hanya mahu mengabdikan hidupku untuknya.

Belakangan ini setiap hari ketika aku bergerak ke makmal dari penginapanku di sini, aku sering melihat gadis ini termenung di sini. Aku tahu dia anak kepada Kotobuki, dan kutahu namanya. Cuma aku tidak berkesempatan bertemunya kerana kesibukan. Kadangkala kulihat Ayame seringkali bertemu seorang lelaki. Lelaki itu menggunakan boneka tersebut berceritakan sesuatu, dan Ayame seringkali kulihat ketawa sejak ketibaan lelaki itu. Lelaki itu padaku tidak mencurigakan, dia datang ke sini selalu untuk bertemu Kotobuki. Kotobuki kulihat jarang melayan Ayame. Aku tidak pasti mengapa.

Aku Akagao. Aku telah hidup lama di gunung bersalji Nagano. Umurku seribu tahun.” Ujar Shizue sambil menggerak-gerakkan mulut boneka itu.

Ayame menganga mendengarkan umur Akagao.

“Semua ahli keluargaku, dan rakan-rakanku sudah mati. Aku berseorangan.”

“Hari demi hari aku termenung. Jika aku bosan aku akan berbual di kubur rakan-rakan dan keluargaku.”

“Aku dahulu pernah menyelamatkan rakanku dari dibuli dengan membelasah pembuli itu. Kemudian semua takut denganku dan memulaukanku.”

“Aku berputus asa dan menerima sahaja nasibku. Sehingga mereka semua pergi selama-lamanya.”

“Dan seribu tahun berlalu, aku masih hidup. Sendiri.”

Ia seperti Kaisenjyo. Kaisenjyo, yang pernah aku dengari dari mulut datuk (Omi) ketika dia berbual dengan otou-san, getus Ayame.

“Akagao, mengapa engkau berumur panjang?”

“Aku tidak boleh dibunuh. Aku hanya akan mati pada waktu yang telah ditetapkan Penciptaku.”

“Apakah engkau menderita, Akagao?”

“Ya, aku menyesal. Aku menyesal kerana tidak mengambil inisiatif. Aku menyesal kerana menyerah dengan apa yang menimpaku. Andai aku diberi peluang bertemu mereka kembali, aku akan menyuarakan keinginanku berdamping dengan mereka. Akan aku suarakan yang aku tidak berniat menakut-nakutkan mereka dengan kekuatanku. Akan aku rungkaikan semua prasangka terhadapku yang membelenggu mereka, dengan memberanikan diri.”

Shizue bertutur kembali dengan suaranya.

“Ayame-chan, hidup kita terlalu singkat. Jika engkau punya sesuatu yang ingin engkau utarakan, ujarkanlah, usah pendamkan. Gesa mereka mendengarmu. Gesa otou-san mendengarmu.”

Namun otou-san tidak akan faham. Otou-san masih menyangka bahawa aku adalah Kaisenjyo. Otou-san akan terus mengabaikanku, bisik Ayame. Aku adalah kelahiran yang tidak diinginkan.

Arigatou, nee-chan.”

Shizue datang bertemu Ayame beberapa hari sehinggalah Yusei kembali dari urusannya di luar. Selepas itu, Shizue dan Yusei berpindah keluar dari Kogen selepas diterima bekerja sebagai penjaga rumah perlindungan Kogen di Kobe. Shizue sempat bertemu Ayame pada hari terakhirnya di Kogen.

Fruhhhh! Bunyi api dari pedang Shizue mengembalikan Ayame ke penghujung musim luruh 1872 di rumah perlindungan di hutan Hyogo.

“Ayame, api kuning ini hanya akan menghitamkan wajahmu jika berjaya mengenainya. Namun jika aku naik ke jurus tinggi kaminari, ia akan berubah biru dan wajahmu akan melecur.”

Ayame masih berdiam diri. Pertarungan masih panas sepanas api yang membakar pokok-pokok keyaki dan momiji.

“Ayame, harap engkau tidak menurut nasihatku dulu.”

“Mengapa engkau berkata begitu?”

“Lebih baik begitu. Kadangkala aku berfikir cinta itu membebankan. Antara nasib anak-anak kami dengan Yusei, aku masih memilih Yusei. Namun jauh di sudut hatiku, aku terbeban.”

“Jadi engkau fikir aku akan menjadi sepertimu jika aku menurut nasihatmu itu?”

“Tidak. Namun lebih baik jika engkau berseorangan seperti sekarang. Hanya akur pada Kod Kogen. Membunuh apabila syarat menepatinya. Mudah, tanpa sebarang beban emosi menghalangmu.”

Shizue nee-san engkau silap. Aku tahu memilih antara perasaan peribadi dan nasib anak-anak kami, tidak seperti engkau. Tentang mengapa aku masih begini, ialah kerana alasan peribadi yang tidak perlu engkau tahu. Ia sulit. Tatkala ramalan itu menjadi kenyataan, dan jika aku melahirkan zuriat, keturunanku akan berkesinambung dan sumpahan itu akan berlarutan. Aku mahu menamatkannya sekarang, pada era ini.

Shizue kini di jurus tinggi. Api yang terhasil dari pedangnya kini berubah biru. Asap memenuhi ruang udara perkarangan rumah tersebut dari beberapa batang pokok momiji dan keyaki yang terbakar, menghalang pengamatan Ryouji yang masih memerhati mereka dari jauh. Momoyama terbang ke sana ke mari cuba mengesan Ayame.

Tatkala asap semakin tebal dan menyesakkan, Ayame berundur menjauhi Shizue.

Bagus. Memang aku mahukan Shizue membakar taman bonsai ini begini, lagipun kami akan membakarnya jua bersekali dengan rumah itu dan anak-anak itu akan dipindahkan. Momoyama akan mengesan kedudukan Shizue menggunakan medan magnet tubuhnya. Deria baunya tidak boleh digunakan kerana bau asap yang tebal ini. Aku akan mengikut pergerakan Momoyama dan akan menyahsenjatakan Shizue secara mengejut.

Ayame pantas naik ke jurus kesembilan tatkala berjaya mengesan Shizue. Namun Shizue berjaya mengelak, seraya melibas pedang berapinya, kini berlaga dengan pedang Ayame.

Ayame melurut mata pedangnya di sepanjang bilah Shizue, dan menghasilkan bunyi bingit. Dia mengamati bunyi itu dan menghentikan lurutannya pada satu titik yang menghasilkan bunyi berlainan, di mana hanya dia yang mampu mendengarnya. Dia tahu kedudukan di mana pedangnya melekat dengan pedang Shizue, adalah titik lemah pedang wanita empat puluhan itu. Ayame pantas menetak titik tersebut dan memecahkan bilah Shizue.

Shizue tergamam. Dia mencampakkan hulu pedangnya ke tanah, dan terduduk, melutut memandang Ayame yang sedang berpusing di atas tumitnya untuk turun ke jurus rendah kaminari dan keluar dari pertarungan.

Shizue akur dengan ketewasannya.

“Tahniah Ayame. Engkau bukan calang-calang petarung. Bukan lagi budak mentah yang aku temui di Kogen. Engkau kini benar-benar seorang petarung. Hitokiri, penjatuh hukuman bunuh Kogen, seperti kata orang ramai.”

Ayame, Ryouji dan Shizue terbatuk-batuk. Ryouji mencedok air dari telaga dan menyimbah ke arah beberapa pokok yang masih dijilat api.

**

Sementara itu Tokui pula memerhati kawasan di sekitar rumah merpati dan hutan buluh demi mengesan jejak Takahata.

“Takahata-san, detekoi! Kami mohon engkau serah diri.”

“Budak mentah.” Kedengaran suara seorang lelaki sekitar lima puluhan, dari celah-celah rimbunan buluh. Lelaki itu, beryukata warna perang, keluar dengan sebilah pedang tersisip di pinggangnya. Tubuhnya sedikit berisi berbanding Tokui namun ketinggiannya purata, sama seperti Tokui. Misainya bersambung dengan sedikit janggut. Wajahnya gelap, matanya dua kelopak dan ada kedutan menyerlahkan usia lanjutnya. Kepalanya dililit kain berwarna perang dan rambutnya yang sederhana panjang dibendung lilitan tersebut.

Lelaki itu tiba-tiba menghayunkan pedangnya pantas ke pinggang Tokui, Tokui sempat menahan namun dia terpaksa berundur jauh merencatkan lajaknya, tidak tertanggung akan kepantasan dan kekuatan tetakan lelaki itu.

Lelaki ini bukan calang-calang! Baru sahaja bertarung dia terus menganjak ke jurus keempat.

“Budak mentah, berapa lama sudah engkau dilatih kaminari?”

“Dua bulan.”

“Masih terlalu awal untuk bertarung denganku. Di mana Ayame?”

“Sedang berhadapan dengan isterimu.”

“Dan menghantar budak mentah sepertimu berhadapan denganku? Yare yare, apa yang Ayame fikirkan memandang rendah aku begini...”

“Takahata-san, usah membebel. Serah dirimu dan kami tidak perlu membuang masa.”

“Serah diri?” Takahata ketawa berdekah-dekah.

Ne, budak, untuk apa aku menyerah diri? Serah diri atau tidak, aku tetap akan dihukum mati. Semua bukti menuding ke arahku. Aku terperangkap. Aku terperangkap!”

Sebaik habis berkata-kata, Takahata sekali lagi menyerang curi dengan pedangnya, dan sekali lagi Tokui dapat menangkap dengan pedangnya, meskipun terundur.

Ne, Takahata-san. Mengapa engkau melakukannya?” Tokui cuba berbicara sedang pedangnya dihayun menebas pedang Takahata.

“Entahlah. Mungkin kerana terpengaruh.”

“Terpengaruh?”

“Aku ingin mencuba yang lain. Jemu juga jika selalu melakukannya dengan Shizue.”

“Binatang!”

Sebentar. Mengapa taman itu penuh asap?

Tokui mengerling ke arah taman bonsai. Dia nampak Ryouji sedang sibuk menjirus memadamkan api. Api telah mulai rencat, hanya dua tiga batang pokok masih terbakar. Cuma asap masih tebal memenuhi ruang udara perkarangan rumah.

Aku akan membawa Takahata ke taman bonsai, getus Tokui.

Tokui sengaja menganjak sehingga mereka berdua beralih ke taman bonsai yang kini berkurangan asapnya selepas Ryouji menjirus air dari telaga.

Ryouji memandang mereka berdua. Tokui, lambat benar engkau!

Ryouji masuk campur dan menggunakan jurus kesembilan, sekejap sahaja Takahata dapat ditumpaskan. Ayame masih memerhati Shizue yang sedang melutut, penuh waspada.

Ketika Tokui bersedia untuk memancung kepala Yusei, Ryouji menegahnya.

"Tokui, tunggu!"

Tokui tidak mengendahkannya. Melihatkan Tokui begitu, Ryouji pantas mengeluarkan pedangnya seraya menahan pedang Tokui dari mengenai Yusei yang sedang terbaring cedera.

"Mengapa Ryouji? Mengapa engkau menghalangku? Bukankah kita telah diarahkan Kogen agar membunuh mereka jika mereka melawan dan tidak mahu menyerah diri? Engkau mahu ingkar arahan Kogenkah?!" Bentak Tokui.

Ayame dari jauh selesai menahan isteri Tokui dari melarikan diri dengan mengikatnya. Dia memerhati Ryouji dan Tokui.

"Tokui, serahkan padaku."

"Apa maksudmu?"

"Biar aku yang membunuhnya."

"Jika itu yang engkau mahukan, terserah padamu. Ryouji, pastikan engkau melakukannya! Aku akan memerhatimu dari jauh."

Ryouji tidak mengendahkan kata-kata Tokui, langsung melepaskan penahanan pedangnya. Tokui pula menyarung kembali pedang bermatanya dan berdiri tercegat memerhati Ryouji.

Ryouji bergerak menghampiri Yusei.

 

**

 

Yusei yang sedang terbaring itu sempat mencapai pedangnya yang telah terjatuh, seraya bangkit dan menyerang Ryouji. Ryouji dengan pantas mengelak, memotong tangan lelaki itu. Lelaki itu terduduk, meraung kesakitan sambil memegang darah dari bahunya yang tidak berhenti-henti keluar.

 

“Ryouji! Bunuh dia sekarang!”

 

Ryouji mengangkat tangan, meminta Ayame menunggu.

 

“Seperti engkau telah merosakkan hidup penghuni rumah ini dengan nafsu serakahmu, dan mereka menanggung derita seumur hidup, engkau menanggung derita hidup tanpa anggota sempurna.”

 

“Aku sepatutnya memotong kemaluanmu, namun tidak. Engkau akan memiliki anak suatu hari nanti. Dan aku mahu engkau faham dan merasai keperitannya sekiranya ada manusia melakukan perkara serupa ke atas anakmu!”

 

Ryouji bergerak meninggalkan tempat itu. Langkahnya terhenti, tatkala mendengar Takahata mulai berkata sesuatu.

 

“Pertama kali... pertama kali aku mendengar seseorang dari Kogen berkata begitu. Siapa namamu?”

 

“Okuhida Ryouji.”

 

“Engkau anak Miura?”

 

“Benar.”

 

Air mata mengalir perlahan-lahan menuruni pipi Takahata.

 

Miura, engkau telah mendidik anakmu dengan baik. Aku gagal menjadi sepertimu. Bahkan aku telah menodai anak-anak Kogen di sini. Hanya kerana dipengaruhi bahan-bahan terlarang itu. Buku-buku itu. Dan candu. Aku gagal. Aku telah gagal!

 

Takahata mencapai tantou di pinggangnya seraya merobek perutnya. Sejurus itu dia menggelupur, seperti lembu yang baru disembelih, disayat sakaratulmaut.

 

“A-ri-ga-tou...O-ku-hi-da...san...” kata Takahata tersekat-sekat menahan sakit, sebelum menghembuskan nafas terakhir. Ryouji perlahan-lahan menoleh, memandang mata Takahata ketika saat-saat terakhir hidupnya, dengan wajah sayu.

 

Ayame masih terkejut dengan tindakan Ryouji. Dia menegurnya.

 

“Ryouji, mengapa engkau tidak membunuhnya terus?”

 

“Tidak semua penjenayah harus dibunuh.”

 

“Dia telah merogol penghuni rumah kita, Ryouji. Mengikut kod Kogen, dia harus dibunuh terus jika melawan!”

 

“Dia tidak membunuh nyawa. Dia telah membunuh maruah mereka. Dan sebagai hukuman, masa depannya yang perlu dibunuh.”

 

“Dengan memotong tangannya?”

 

Ryouji mengangguk. “Aku ingin memotong kemaluannya. Namun tidak. Aku mahu dia merasakan peritnya jika memiliki anak suatu hari nanti namun diperlakukan seperti mainan sepertimana dia melakukannya ke atas anak orang lain.”

 

Dan dia menangis dan membunuh dirinya sendiri dengan rela hati.

 

“Ayame-san, seburuk mana pun kesalahan mereka, aku mahu mengembalikan kemanusiaan mereka. Itu tujuan kata-kataku tadi. Jenayah mereka itu kebinatangan, seperti katamu. Namun siapa kita untuk menghakimi mereka. Hanya itu yang mampu kulakukan. Jika menghilangkan nyawa sendiri mampu mengembalikan kemanusiaan mereka, maka biarkan mereka lakukan sendiri.”

 

Ayame terduduk. Dia tidak pernah diajar perkara begitu. Aku diajar agar mematuhi kod Kogen bulat-bulat. Semua penjenayah yang mengkhianati anak-anak jagaan kami akan dihukum mengikut kod itu. Namun Ryouji memilih untuk tidak menuruti kod pertubuhan kami.

 

Perlukah aku laporkan kepada datuk dan otou-san?

 

“Ryouji, apakah itu yang Takasaki-san ajarkan pada kalian?”

 

“Takasaki tidak pernah mengajar kami kod Kogen. Bapaku menasihati aku agar sentiasa menghargai nyawa.”

 

Ya, menghargai nyawa. Seperti Kogen. Bukannya seperti Bushido yang begitu mudah membunuh manusia. Namun di Kogen, tidak semua nyawa perlu dihargai. Sebahagian perlu dihapuskan kerana perlakuan mereka setaraf binatang.

 

Ryouji, perlakuanmu sungguh mengelirukan. Kerana jauh di sudut hatiku, perbuatanmu mudah diterima hati. Bukan akal, tetapi hati. Seolah-olah engkau menempatkan dirimu dalam diri pelaku jenayah itu. Perikemanusiaan, dengan menyedari bahawa mereka juga pernah menjadi seorang manusia.

 

Tokui menepuk kepalanya melihatkan perlakuan Yusei dan mendengarkan kata-kata Ryouji.

Bodoh engkau Ryouji! Bagaimana jika dia tidak membunuh dirinya? Apa yang engkau akan lakukan? Apakah engkau akan bermati-matian menghalangku lagi?

Dalam sibuk bermonolog dan Ryouji dan Ayame masih terpaku melihat Takahata Yusei menamatkan riwayatnya sendiri, Tokui mengesan bunyi dari balik hutan buluh berhampiran. Dia bingkas beredar meninggalkan Ryouji dan Ayame demi mengesan puncanya.

Ayame menggelengkan kepalanya perlahan sambil memandang Ryouji. Wajah Ryouji masih dikuasai amarah, marah dengan perbuatan penjaga rumah perlindungan yang masih berulang sejak insiden Segawa.

Sementara Shizue, isteri Yusei yang tangannya kini diikat berlari ke arah mayat Yusei dan menangis di sisinya.

Ryouji menoleh ke arah tempat Tokui berdiri.

"Di mana Tokui?"

Ryouji segera beredar menjejaki Tokui.

Ayame masih berdiri di situ memerhati Shizue meratapi kematian suaminya. Dia berjalan mendekatinya.

“Kalian pembunuh... kalian pembunuh!” Raungan Shizue bergema. Kelihatan penghuni rumah itu sedang menjenguk dari celah pintu yang dibuka sedikit. Melihatkan Ayame mengerling ke arah mereka, pantas pintu itu ditutup rapat kembali.

“Shizue, anggaplah kematian Yusei itu sebagai menebus dosa-dosanya terhadap penghuni rumah ini.”

“Bagaimana aku akan teruskan hidup ini tanpa Yusei...beritahu aku Ayame. Bagaimana akan aku teruskan hidupku tanpa Yusei...bagaimana?!” Pantas dia meluru ke arah Ayame dengan tantou terhunus, cuba menikamnya. Ayame pantas mengelak. Ayame sedari tadi sudah perasan ikatan tangan Shizue sudah terlonggar meskipun Shizue cuba menyorokkannya di antara tubuhnya dengan tubuh Yusei.

Shizue kembali terduduk. Tangannya masih memegang tantou, memandang sayu jasad Yusei yang sudah kaku. Dia meraung sekuat hatinya, sejurus kemudian menikam perutnya dengan tantou. Jasadnya rebah ke bumi.

“Aku...aku mahu menyertaimu Yusei. Aku... tidak... boleh...” Kata-kata terakhir Shizue tidak sempat dihabiskan.

Ayame masih berdiri. Dia bertafakur melihat mayat kedua-dua penjaga rumah itu.

“Harga maruah anak-anak kami terlalu mahal. Pasangan Takahata, kematian kalian belum tentu cukup untuk membayar harga maruah mereka. Semoga Tuhan mengampuni dosa-dosa kalian.” Gumam Ayame, tangannya menutup mata kedua-dua pasangan itu.

Ayame perlahan-lahan bangun. Dadanya tiba-tiba perit seperti dihiris sembilu. Ayame memegang dadanya, dahinya berkerut menahan sakit.

Engkau harus kuat, Ayame! Jangan menangis, Ayame.

Namun Ayame melutut akhirnya. Air matanya berjuraian menuruni pipi menitik satu persatu ke bumi. Dadanya yang sesak dan sakit beransur reda.

Maafkan aku, nee-san. Maafkan aku!

Ayame menyeka air matanya, melangkah pantas menyorot Ryouji.

Aku tidak boleh lemah sekarang. Sehingga misi ini diselesaikan. Sehingga saat itu, aku harus kuat!

**

"Apa dia buat di sini?" Bisik Ayame kepada Ryouji tiba-tiba.

Ryouji sedikit terkejut seraya menoleh.

“Engkau rupanya Ayame-san. Aku pun tidak tahu apa dia buat di sini. Aku fikir itulah kereta kuda pedagang yang engkau maksudkan itu.”

Mereka berdua sedang memerhati Tokui dari balik hutan buluh. Tokui sedang mundar-mandir, meneliti sebuah kereta kuda yang ditinggalkan di situ. Ia nampaknya baru ditinggalkan, barangkali oleh pelawat rumah Yusei. Barangkali pelawat tersebut sedang melepaskan hajat di sungai berhampiran.

Selepas meneliti luar kereta kuda, Tokui perlahan-lahan masuk ke dalamnya.

"Ayame-san, seperti rancangan asal kita, aku fikir biar aku sahaja yang memerhati Tokui. Engkau tunggulah rumah itu demi keselamatan penghuninya."

Ryouji kemudian memandang ke arah satu kelibat yang sedang duduk di atas pokok di satu bahagian hutan buluh. Dia membisik kepada Ayame, “Ayame-san, aku bilang dia sudah sampai. Kami akan menguruskan Tokui.”

"Baiklah. Laporkan padaku kemudian apa-apa penemuanmu."

"Ryoukai."

Sebelum Ayame pergi, dia kembali menoleh ke arah Ryouji.

“Ryouji, usah cuai. Aku amat berharap engkau kembali dalam keadaan bernyawa.”

“Aku pasti kembali. Hisamiko menantiku.” Ryouji senyum, kemudian kembali menoleh ke arah Tokui. Ayame merenung Ryouji sejenak dari belakang, kemudian berlalu ke arah rumah perlindungan.

Sementara itu di dalam kereta kuda, Tokui sedang menggeledah barang-barang di dalamnya.

“Barang apakah ini?” Di dalam gerabak kayu yang panjang itu ada berkotak-kotak kayu berisi barangan kering seperti ikan bonito kering yang kuat baunya dan juga rumpai-rumpai laut kering. Dia mengangkat kotak demi kotak yang telah digeledahnya yang hanya berisi bahan-bahan makanan kering itu. Terpampang di hadapannya beberapa kotak kayu yang belum dibuka di bahagian bawah.

Dia membuka perlahan-lahan.

Di dalamnya dia mendapati bungkusan berbentuk petak. Nampak seperti buku-buku, dibalut dengan kain berwarna merah.

Dia membuka satu bungkusan merah. Terpampang di hadapannya satu naskhah dengan kulit hadapannya berlukiskan gambar lucah. Tokui terpempan. Dia perlahan-lahan mengambil naskhah itu lalu menyelak sehelai dua halaman demi mengetahui kandungannya.

“Ini bahan lucah! Dan lebih teruk, kandungannya berkait perbuatan tidak senonoh dengan kanak-kanak!” Tokui berubah marah. Dia menyimpan kembali naskhah itu ke dalam pembalut kain merah. Dia tertarik dengan satu lagi bungkusan di sebelahnya berwarna hitam. Hanya itu sahaja bungkusan yang tidak berbentuk petak di dalam kotak kayu itu.

Dia membuka bungkusan hitam itu pula.

Di dalam bungkusan itu ada keping-keping resin berwarna hitam keperangan. Tokui mengambil sekeping bahan itu dan mendekatkannya ke hidung.

“Ini candu kering!” Dia menyimpulkan dari baunya. “Mungkin ada paip candu sekali di sini? Ah, persetankan. Biasanya paip itu sudahpun dimilik penghisapnya. Hanya resin ini yang didagangkan. Dari mana gerabak ini sebenarnya? Siapa gerangan tuan empunya gerabak ini? Bagaimana ia boleh berada di sini, di tengah hutan begini?”

Tokui keluar perlahan-lahan dari gerabak kereta kayu itu, sedang masih dihurung pelbagai persoalan.

**

Ketika tinggal bersama Segawa, Tokui sering menghabiskan masa di bengkel relau dan perpustakaan. Tidak seperti perpustakaan Takasaki, perpustakaan Segawa lebih baharu dan buku-bukunya masih ditambah dari masa ke semasa.

Suatu hari, kereta kuda tiba dengan membawa buku-buku tambahan untuk disimpan di perpustakaan Segawa.

“Tokui, tinggalkan buku dalam bungkusan kain merah itu di pejabatku. Selebihnya bawa ke perpustakaan kita.”

“Mengapa Segawa-san?”

“Ia rahsia Kogen.”

Tokui akur. Namun dia tidak berpuas hati dengan jawapan Segawa. Dia yakin ada udang di sebalik batu.

Tokui cuba meneka buku apa di dalam bungkusan merah itu dengan meraba-raba. Hanya buku biasa.

Suatu ketika dia mendapati Segawa membawa bungkusan merah itu ke perpustakaan. Dia sedang tidur di perpustakaan. Mendapati Segawa masuk, dia berpura-pura meneruskan tidur. Segawa meletakkan buku-buku tersebut dalam sebuah lipatan dinding.

Sebaik mendapati Segawa kembali keluar dari perpustakaan, Tokui memulakan langkah menyelidik buku-buku itu. Dia mengambil keluar buku-buku itu dari lipatan dinding. Alangkah terkejutnya dia sebaik mendapati buku-buku tersebut adalah buku-buku lucah.

Namun bersama buku itu juga, dia menemui bahan lain yang cuba disorok Segawa, iaitu candu.

**

“Kirisaki-san, chotto ii ka?” Tokui menegur seorang pedagang yang sering berulang-alik bertemu Segawa pada suatu hari. Dia memilih hari tersebut kerana Segawa tiada di rumah.

“Ya Tokui.”

“Kirisaki-san, sejak bila Segawa-san mula membeli buku-buku itu?”

“Bagaimana engkau tahu??”

Tokui menyuguh sebungkus barang kepada Kirisaki.

“Selain buku-buku itu, aku temui barang ini. Aku fikir ia candu.”

Mata Kirisaki membeliak dan keterujaan. Dia cuba mencapai barang itu dari tangan Tokui namun Tokui pantas mengalihkan tangannya.

“Mengapa Kirisaki? Engkau juga penagih candu?”

“Tidak, aku hanya berdagang candu. Ne, Tokui, mengapa Segawa menyimpannya?”

“Soalan sama yang ingin aku tanyakan. Bukankah candu ini dari engkau? Aku temui ia sekali dalam bungkusan merah itu.”

Kirisaki terdiam lama. Kemudian barulah dia menyambung.

“Tokui, onegai. Jangan bongkarkan rahsia ini.”

“Maka apa manfaatnya jika aku tidak bongkarkan?”

“Lihat ini.” Kirisaki menunjukkan sebuah buku kecil. Di kulitnya ada lukisan dua pasukan samurai sedang bertarung. Barangkali buku berkaitan peperangan dan persenjataan

“Aku dengar dari Segawa yang engkau ingin benar mendapatkan buku ini. Aku memperolehnya dari pedagang Belanda. Ia mengandungi pelbagai formula moden untuk pembuatan senjata api, dan ubat bedil.”

Tokui cuba mengambil dari tangan Kirisaki. Namun Kirisaki tidak terus memberi, dia menarik tangannya pantas.

“Berjanji dahulu denganku yang engkau tidak akan mendedahkan kepada sesiapapun rahsia antara aku dengan Segawa.”

Tokui terdiam sejenak. Apa pilihan yang paling sesuai sekarang?

“Baiklah. Aku setuju.” Tokui membalas selepas beberapa ketika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...