Kisah Sonzaemon.
Dahulu, di Aomori, puak
Yoshihisa merupakan salah satu puak samurai yang berkhidmat kepada daimyo Wilayah Tsugaru dari puak
Hoshimiya. Pada tahun 1862, Yoshihisa Manabe mengetuai puak tersebut.
Puak Hoshimiya telah
menguasai wilayah itu sejak purbakala, sejak cabang Minowara yang berdarah
gahara itu meninggalkan Kyoto, membawa haluan sendiri ke timur laut Honshu. Di
sana, mereka berperang dengan penduduk asli Emishi, yang akhirnya terpaksa
merentas lautan melarikan diri ke Ezo. Minowara menukar namanya kepada
Hoshimiya dan mula menetap di situ dan membiakkan puaknya. Dari Hoshimiya,
muncul puak-puak baru seperti Yoshihisa, Goryuuin dan Ninomiya. Ketiga-tiga
puak ini memiliki pecahan kawasan pemerintahan masing-masing di dalam Wilayah
Tsugaru dan pada masa yang sama berkhidmat sebagai samurai kepada Hoshimiya.
Begitulah serba sedikit
latar keluargaku. Aku dibesarkan dalam keadaan serba cukup dan merupakan anak
tunggal kepada Yoshihisa Manabe. Dia mengharapkan aku memimpin puaknya namun
aku tidak berminat. Aku hanya menurut apabila dia memaksaku berlatih seni
berpedang dan adat istiadat samurai, dan juga taktik peperangan dengan Emishi
termasuk kemahiran menarik hayabusa.
Sehingga usiaku menjengah remaja aku mula mencintai Goryuuin Saaya, yang
sekarang menggunakan nama Tsushiko. Saaya kukenali sejak dia berpindah di rumah
Hoshimiya.
Mengapa aku dan bapa
tinggal di rumah Hoshimiya? Tidak, kami tidak tinggal di rumah Hoshimiya.
Sebenarnya rumah kami berdekatan rumah Hoshimiya, sedang ahli puak kami yang
lain berada di pecahan kawasan puak kami. Hoshimiya mengarahkan keluarga yang
mengetuai ketiga-tiga puak di bawahnya tinggal berdekatan bagi memastikan kami
tidak melakukan sebarang pakatan rahsia di belakangnya. Tindakan Hoshimiya itu
persis shogun Tetsugawa di Edo yang mengarahkan daimyo-daimyo
tinggal di Edo bagi memastikan tiada pakatan di belakang dilakukan bagi
menjatuhkannya, demi keamanan dan kestabilan kuasa politiknya. Wilayah Tsugaru
amatlah besar dan meliputi keseluruhan utara Honshu sehingga ke pergunungan
Yokuma di barat dayanya. Oleh itu, kawasan-kawasannya mestilah dipecahkan bagi
memastikan kuasa Hoshimiya dapat direalisasikan dengan berkesan.
Aku kerap datang ke
rumah Hoshimiya kerana mahu berjumpa Saaya. Saaya gemar duduk di taman momiji di hadapan rumah Hoshimiya
bersama adiknya Hisamine. Ibu mereka sudah lama meninggal dunia dan ketika itu
bapanya Goryuuin Hokuto masih hidup. Selepas Hokuto-san meninggal dunia
dalam sebuah pertempuran menentang saki-baki orang asli Emishi yang
memberontak, Saaya dan adiknya terus menetap di rumah Hoshimiya.
Saaya muda tiga tahu
dariku. Sejak aku mula mencintai Saaya, aku tidak lagi menaruh minat terhadap
suguhan otou-san. Aku hanya mahu
membawa Saaya lari dari sini, dan hidup sebagai petani. Hidup yang mudah dan
tidak perlu menyabung nyawa seperti Hokuto. Sehinggalah pada suatu hari, mereka
berdua menghilangkan diri entah di mana. Aku hilang arah. Tiada sepatahpun kata
terakhir yang ditinggalkan Saaya. Ke mana mereka menghilang?
Berhari-hari aku
menangis. Bapa dan ibuku memujuk. Namun akhirnya aku berfikir menangis
berpanjangan tiada gunanya. Aku harus melarikan diri dan mencari mereka. Saat
itu aku sudah tidak mampu berfikir apa-apa. Aku nekad. Pada malam itu aku
melarikan diri dari Tsugaru dengan menunggang kuda, meredah hutan belantara dan
pergunungan ke bahagian selatan, sehingga aku tiba di Yozehama di sebuah
perkampungan nelayan mengadap Laut Jepun.
Mungkinkah dia di sini?
Aku lihat sebuah pasar didirikan di pantai itu. Perutku berbunyi, sudah
seharian aku tidak makan apa-apa. Aku mengambil ikan bakar yang sedang
terhidang di atas meja dan melahapnya tanpa membayar. Penjual itu menengkingku,
aku pantas melarikan diri, kemudian menunggang kudaku. Pertama kali aku mencuri
seumur hidupku. Rakan-rakan penjual itu cuba mengejarku namun tanpa kuda,
mereka gagal.
Aku tidak tahu ke mana
harus kubawa diri. Aku bersembunyi di dalam hutan. Aku tidak tahu bagaimana
menangkap ikan mahupun haiwan hutan, maka aku bergantung hidup dengan
buah-buahan liar. Mujur sahaja Saaya pernah mengajarku mana yang beracun dan
mana yang tidak. Aku sedari laluan ini merupakan laluan Nakasendo. Sudah jauh
rupanya aku meninggalkan Tsugaru. Dari Tsugaru, aku turun menuju Yozehama di
barat daya dan sekarang turun ke selatan sehingga bertemu Nakasendo. Apakah aku
boleh sampai ke Kyoto, kota Maharaja itu dengan melalui sini?
Aku masih bertahan
berhari-hari lamanya dengan buahan hutan dan meminum air sungai. Aku cuba
menelusuri sungai itu mengikut para pedagang yang melalui Nakasendo, sehingga
aku tiba di sebuah pekan yang agak sibuk, dengan sebahagian orang-orang yang
rupanya aku tidak pernah lihat, yang berbadan besar, hidung panjang dan rambut
perang. Di pinggang mereka tersisip sejenis alat yang memiliki muncung. Aku
terus berjalan di pekan, melihat seorang samurai sedang bertutur dengan orang
berupa aneh itu, dalam bahasa yang aneh.
Selepas orang-orang
berupa aneh itu beredar, aku mendekati samurai itu.
“Samurai desuka? (samuraikah engkau?)”
Lelaki itu memandangku
aneh, dari atas ke bawah, agak lama, kemudian tersenyum. Dia bertanyakanku “Onaka suitandesuka? Jya, isshouni
tabemashou. Atode, boku ni zenbuu hanashitekudasai. (Engkau lapar bukan?
Mari, kita makan dahulu. Kemudian ceritakan kisahmu semuanya kepadaku.)”
Tajam pemerhatiannya.
Aku sememangnya lapar dan muka pucatku dapat dibacanya mudah.
“Koko nani wo shitterundesuka? (Apa yang kau buat di sini?)”
“Aku mencari teman
wanitaku.”
“Ah, sou desuka. Kanojo desuka.”
“Gomen, wasurecchaimashita (maaf aku terlupa). Namaku Miura. Okuhida
Miura.”
Okuhida Miura. Aku
tidak pernah mendengar nama keluarga Okuhida sebelum ini. Padaku ia berbunyi
unik seperti sebuah nama tempat. Aku turut memperkenalkan nama baruku,
Sonzaemon. Ia terbit tiba-tiba di benakku. Aku tidak boleh membongkarkan nama
sebenarku. Orang-orang otou-san
sedang menjejakiku sekarang.
“Aku sedang mencari
rakan kongsi. Engkau juga samurai bukan?” Miura bertanyaku. Barangkali dia
melihat pakaian dan pedangku.
“Bekas samurai. Aku
dari utara, Tsugaru.” Sememangnya aku melarikan diri demi mengejar Saaya, namun
aku mahu terus lari dan bina kehidupan dengannya. Aku juga melepaskan semua
kesamuraian di Tsugaru. Aku nekad, aku sememangnya tidak berminat menjadi
samurai.
“Itu sudah cukup baik,
Sonzaemon. Aku sebenarnya sedang mencari orang untuk mengusahakan sawah kami.
Engkau mahu sertai?”
“Aku tidak tahu
bersawah, Okuhida-san.”
“Belum cuba belum tahu,
Sonzaemon. Engkau akan belajar. Ia tidak sesukar mana. Hanya perlukah kegigihan
dan tenaga. Aku yakin tenaga mudamu amat berguna.”
Aku bersetuju menyertai
Miura. Aku diberikan sebuah rumah dan sepetak bendang. Mengapa aku memilih
untuk menyertainya? Aku mahu membina kehidupan di sini. Kemudian mencari Saaya
dan berkahwin dengannya dan hidup bahagia sehingga ke akhir hayat. Hanya itu.
Namun tahun demi tahun,
aku tidak berjaya menemuinya. Aku merayau saban hari seperti orang sasau di
pekan Furukawa, dan semakin hari aku semakin tertekan, sehingga badanku berubah
gemuk. Aku mahu melupakannya, lalu cuba menumpu kehidupan ke arah lain. Aku
mahu menjadi kaya dan merampas segala apa yang telah dikecapi Miura. Aku tahu,
tanpa Miura, aku mungkin sudah kebuluran di Furukawa, atau menjadi pengemis.
Namun Miura terlalu baik orangnya. Dia paling mudah diperalatkan. Dengan
merancang pembunuhannya, aku akan dapat menguasai sawahnya yang berkualiti itu
dan menjadi kaya. Aku fikir, hanya dengan menjadi kaya dan lebih kaya, aku
dapat melupakan Saaya.
Pekan Furukawa ialah
tempat di mana aku sering bergaul dengan masyarakat. Di sini, pelbagai ragam
manusia dapat dilihat, kerana pekan ini penghubung utama Osaka dengan pedalaman
gunung di tengah Honshu. Aku terdedah dengan teknologi dari luar terutama senjata
api. Bahkan aku belajar bahasa Belanda dan Inggeris serta mampu bertutur dengan
orang-orang Belanda. Aku juga bergaul dengan pembuat senjata seperti fukiya dan pakar ubat dan racun Noguchi
yang sekali sekala akan singgah di kedainya. Dia kerap berada di hutan dan
hanya sekali sekala singgah di kedainya di pekan itu, di mana ia dibiarkan
dijaga oleh seorang lelaki yang bernama Tsukemaru. Duniaku lebih luas dari
Tsugaru yang amat terpencil itu, dan aku merasakan alangkah baiknya jika aku
lahir di sebelah Honshu yang sini. Tiada peperangan dengan Emishi, tiada risiko
nyawaku terbuang sia-sia dengan peperangan sia-sia.
Perancanganku
mengambilalih tanah Miura gagal, apabila Maharaja melakukan pembaharuan. Sejak
itu, aku mula merompak di pekan Furukawa dan sekitarnya. Aku kecewa. Aku masih
tidak dapat menemui Saaya, dan perancanganku gagal. Apakah aku dilahirkan untuk
gagal? Aku melarikan diri ke utara di Yozehama dan mengemis di sana selepas
peristiwa anak Miura hampir membunuhku. Aku tahu itu karma kerana mengkhianati
Miura. Aku tahu, hanya dengan kuasa, aku akan memperolehi segala apa yang aku
mahu, sama ada kekayaan, atau Saaya. Aku tahu, aku tidak sepatutnya
meninggalkan Tsugaru. Namun apakah mungkin ada caranya untuk aku kembali
berkuasa?
Seperti orang mengantuk
disorong bantal, Hamada datang mencariku di Yozehama. Aku tidak berlengah, dan
menerima pelawaannya, meski aku tahu, aku akan kembali kepada kehidupan ala
samurai yang mempertaruhkan nyawa. Namun aku fikir aku harus berubah dan
mengambil risiko. Lagipun hingga ke saat ini, bukankah aku telah mengambil
risiko untuk meneruskan kehidupan? Untuk apa aku perlu berundur?
Kini aku bukan sahaja
lebih kaya dari dahulu, malah dikurniakan kekuatan bertarung sepantas jurus
kesembilan kaminari-no-kaze, sesuatu
yang tidak pernah aku terfikirkan akan dapat dicapai sewaktu aku masih samurai
di Tsugaru. Tubuhku sudah tegap seperti zaman remajaku. Aku punya kuasa,
kekuatan dan kedudukan. Namun kekosongan hidupku masih, masih kekal
menggusarkan fikiranku. Tanpa engkau Saaya, hatiku masih berlohong meski
seluruh dunia ini diberikan kepadaku.
Sehinggalah aku
bertemumu kembali di Saikawa. Saaya, terlalu banyak perkara yang aku ingin
tanyakan. Sihatkah engkau? Apa yang telah engkau lalui selama ini? Mengapa
engkau pergi tanpa memberitahuku? Di manakah adikmu Hisamine? Namun aku tidak
mampu. Hamada di belakang memaksa aku menangkap dan melacurkanmu. Aku boleh
melakukannya terhadap gadis-gadis lain, namun tidak engkau. Disebabkan itu aku
hanya menepis seranganmu. Dan engkau pun melakukan seranganmu secara olok-olok.
Atau mungkin, aku perlu
menamatkan riwayat Hamada. Aku tahu dia menggunakan sihirnya agar hanya
orang-orang tertentu yang dapat melihatnya termasuk aku. Mungkin aku perlu
memanfaatkan peluang ini.
Saaya, tunggu aku. Aku
akan pastikan kita bertemu lagi dalam masa terdekat!
**
Kisah Hamada
Pada tahun 1821,
Yoshitsugu Hoshi, daimyo ke-19 Shinagawa meninggal dunia. Dia digantikan oleh anak
tunggalnya Hamada.
Pada tahun 1840,
berlaku satu wabak berjangkit yang besar di sebuah pekan di utara Shinagawa,
bernama Aoki, yang terletak amat hampir dengan sempadan Yozehama (sekarang
Kodama). Pekan Aoki dihuni oleh kira-kira 1,200 orang penduduk, maka ia boleh
dikatakan sebuah pekan yang besar pada zaman itu. Wabak ini telah membunuh enam
persepuluh dari mereka yang dijangkiti ketika dilaporkan kepada Hamada. Oleh
kerana ia mudah berjangkit melalui bersin dan sentuhan, maka kadar kematian
meningkat dengan mendadak dalam masa seminggu selepas kes pertama direkodkan.
Kedahsyatan wabak baru
ini dikhabarkan kepada Hamada.
“Hamada-sama, aku cadangkan kita kepung pekan
itu dan bakar semua penduduknya dengan panah berapi.” Tsugiyama menyuarakan
pandangannya. Takasaki turut berada di situ, bersetuju dengan cadangan
Tsugiyama. Tsugiyama nampak teruja, dia sememangnya berminat melakukan
kebakaran dan seronok melihat mangsanya dibakar hidup-hidup.
“Hamada, kita harus
lakukan segera, jika tidak seluruh Jepun akan dijangkiti.” Takasaki menambah
kepada kata-kata Tsugiyama.
Hamada masih diam
berfikir. Dia ragu-ragu. Sepanjang pemerintahannya, ini kali pertama dia perlu
membuat keputusan besar yang melibatkan nyawa penduduk wilayahnya. Kemudian dia
memberi isyarat agar Takasaki dan Tsugiyama beredar.
“Momota, panggil
Noguchi ke mari.” Hamada mengarahkan pembantunya Momota.
Noguchi Takamine, pada
waktu ini merupakan tabib yang berkhidmat kepada keluarga Yoshitsugu, datang
mengadap Hamada.
“Noguchi, apa pandangan
kamu?”
“Setakat ini tiada
penawar yang dapat aku hasilkan. Penyakit ini berjangkit melalui cecair badan
seperti yang dilepaskan oleh bersin dan batuk. Bahkan ia boleh berjangkit
melalui sentuhan.”
“Pernahkah ia menimpa
Jepun?”
“Setahu aku tidak
pernah. Kumpulanku menelaah karya-karya lepas sejak mula dinasti Yamato
bertapak di sini, tidak pernah berlaku wabak sebegini membunuh dan mudah
disebarkan.”
Tidak pernah. Bererti
tidak ada penyelesaian dari kitab-kitab para penyelidik lepas untuk dirujuk.
Aku harus memutus sendiri. Nyawa bangsa Yamato ini di tanganku.
“Setakat ini sudah
berapa ramai yang menjadi korban?”
“Dari pasukan
perubatanku, seratus orang. Penduduk pekan itu pula, sudah 500 orang. Dua ratus
orang lagi terlantar di rumah masing-masing, sementara 200 orang lagi terlantar
di katil rumah-rumah rawatan kita. Rumah rawatan kita masih tidak cukup untuk
menampung mereka, Hamada-sama.
Pasukan perubatanku juga hanya tinggal dua puluh orang, selebihnya melarikan
diri kerana takut dijangkiti.”
Hamada cuba mendapatkan
maklumat berkenaan logistik pekan Aoki. Dari pengintipnya dalam kalangan
pedagang, dia diyakinkan bahawa Aoki ialah sebahagian dari laluan utama
pedagang dari utara menuju ke Nakasendo. Ini bererti bila-bila masa sahaja jika
pekan itu tidak dikepung, penyakit ini akan tersebar dan melarat sehingga ke
ibukota di Edo, tempat shogun
memerintah itu. Dan natijahnya, berjuta orang mungkin akan dijangkiti dan mati.
Aku harus memutus,
tepat dan sepantas mungkin.
Beberapa hari berlalu,
Hamada masih tidak mampu berkeputusan. Kadar jangkitan semakin meningkat.
Noguchi menggesa Hamada memutus secepat mungkin.
“Hamada-sama,
enam persepuluh populasi pekan itu sudah menerima ajal. Aku harap engkau
memutus secepat mungkin. Ia mudah berjangkit, dan jika ia sampai di Edo yang
padat dan sesak ini, aku bimbang kita tidak akan dapat mengawalnya dan shogun
akan menyalahkan kita.” Begitulah bunyinya peringatan Noguchi kepada Hamada.
“Hamada-sama! Hari ini lima puluh orang mati.
Apa keputusanmu?”
Tidak lama kemudian,
penyakit itu merebak di onsen berhampiran dengan pekan Aoki, dibawa oleh
pedagang yang singgah ke pekan itu.
“Hamada-sama! Onsen Kawashibara juga dijangkiti.
Apa keputusanmu?”
Hari demi hari, kes-kes
jangkitan semakin bertambah, kematian semakin meningkat. Lebih banyak kawasan
sekitar mula mencatatkan kes baru. Hamada mula tertekan, dan mengarahkan
Takasaki dan Tsugiyama membunuh mereka yang baru dijangkiti.
Sebahagian besar
pembunuhan euthanasia itu dilakukan tanpa tentangan dari ahli keluarga
mereka. Ia dilakukan melalui suntikan racun. Namun tidak semua bersetuju. Oleh
itu, Takasaki dan Tsugiyama terpaksa mengeluarkan pedang mereka demi menutup
mulut mereka dan memudahkan urusan Noguchi yang bertanggungjawab memastikan
rancangan euthanasia itu dijayakan.
“Hamada-sama! Tujuh persepuluh penduduk Aoki
sudah mati. Selebihnya sedang menderita. Itu belum mengambilkira jangkitan di
kampung dan onsen sekelilingnya. Apa keputusanmu sekarang? Perlukah kita
melakukan euthanasia lagi?”
Hamada semakin hari
semakin tidak dapat mengawal dirinya, ditekan dengan tuntutan orang bawahan
agar dia membuat keputusan segera, lantas terpaksa mengeluarkan arahan membakar
keseluruhan pekan itu dan menghalang pedagang dari melaluinya. Dia juga
mengarahkan onsen Kawashibara dan semua kampung-kampung di sekitar yang hanya
mencatatkan kurang seratus kes, dihapuskan kesemuanya. Jika ada mereka yang
melarikan diri, panah beracun akan ditembak bagi membunuh mereka. Pembunuhan
besar-besaran ini dilakukan dalam masa seminggu. Kemudian keseluruhan kawasan
itu dihalang dari dimasuki oleh sesiapapun, dan semua mayat yang berbaki akan
dibakar bersama-sama semua rumah dan premis yang didirikan.
Tiada sesiapapun yang
tahu semua itu dilakukan Hamada dan orang-orangnya termasuk Tsugiyama dan
Takasaki, kecuali dalam kalangan mereka yang melapor terus kepada Hamada
seperti Noguchi dan samurai-samurai rapatnya. Dalam sangkaan penduduk Aoki yang
masih hidup, mereka telah diserang perompak yang berpangkalan di hutan-hutan
sekitarnya. Sangkaan mereka yang menyimpang jauh dari kebenaran itu
diperkukuhkan lagi dengan propaganda Hamada yang disebarkan ke seluruh pelusuk
Aoki menyatakan mereka telah diserang perompak. Semua bukti serangan mereka
dihapuskan. Hamada juga berdusta kepada shogun di Tokyo dan Maharaja
menggunakan alasan sama; sebuah tragedi kebakaran yang tidak diketahui apa
puncanya.
Hamada tiba di pekan
Aoki untuk melihat keadaan selepas beberapa hari pembakaran besar-besaran itu
diselesaikan.
Dia ternampak seorang
remaja lelaki yang separuh tubuhnya melecur, berjalan terjengket-jengket sambil
menjerit ‘otou-san...otou san...
(bapa...bapa...)’ kemudian rebah tidak sedarkan diri.
Sejak itu, Hamada
kemurungan dan berkurung lamanya di dalam rumah. Noguchi membawa dia kepada
seorang tabib Belanda untuk dirawat. Pemerintahan Shinagawa dipegang sementara
oleh Shogun Tetsugawa selama dua tahun sehinggalah Hamada kembali pulih dari
kemurungannya.
Sebaik sembuh dari
sakitnya, Hamada yang ‘baru’ lahir. Samurai-samurainya berasa aneh dengan
perwatakan baru Hamada. Dia tidak lagi teragak-agak membunuh, bahkan ketagihan.
Namun bagi Tsugiyama, itu satu berita baik, kerana dia sememangnya psikotik.
Selepas kembali
menjawat jawatan daimyo Shinagawa,
Hamada juga memindahkan Miura dari Nakasendo ke Kawamoto untuk berkhidmat terus
kepadanya.
**
Berbalik kepada tahun
1873, tidak lama selepas misi Hisamiko dan rakan-rakannya di Saikawa.
Hisamiko sedang
terlantar di Kogen selepas disuntik aotsuyu oleh orang-orang Shizuo.
Di hutan selatan
Hidagawa, tidak jauh dari persembunyian Noguchi Takamine.
“Nee-chan ke
manakah kita?”
Dua beradik itu,
Nezuko dan Seto sedang duduk di bahagian belakang sebuah kereta kuda
“Aku mahu melihat
dunia di luar. Aku bosan di sana.” Bosan, dan kecewa.
“Otou-san
pernah berpesan kita tidak boleh menumpang sebarang kereta kuda.”
“Seto, otou-san
tiada di sini. Kita bebas. Kita bebas! Sudah lama aku ingin melihat dunia luar.
Bukan terperuk di dalam hutan menurut arahan otou-san sahaja.”
“Tapi, nee-chan,
bagaimana jika kita ditangkap oleh penyamun?”
“Kita tidak akan
ditangkap! Aku akan mencari pekerjaan baru setiba kita di Osaka nanti. Kita
akan dapat membeli rumah dan tanah padi kita sendiri. Kita akan dapat
berdikari. Kita tidak perlukan otou-san lagi!”
“Nee-chan aku
mahukan tanegashima kayu! Aku mahu menembak tupai.” Seto membuat bunyi
tembakan.
“Aku akan belikan
apa sahaja untukmu Seto. Kita perlu sampai dengan selamat dahulu. Aku kenal ibu
saudara kita di Osaka. Aku akan menjejakinya setiba kita di sana.” Nezuko
menggosok-gosok rambut adik lelakinya itu.
Otou-san, maafkan aku. Engkau bapa
yang baik. Namun aku tidak berpuas hati dengan kehidupan begitu, kehidupan
berpura-pura daif demi melarikan diri dari musuh-musuhmu dan para samurai yang
dengki dengan kekayaanmu. Dan aku juga kecewa, kerana aku mendapat tahu engkau
membekalkan racun itu kepada Hagiura demi menundukkan gadis-gadis, dan tanganku
dan Seto ini telah membantumu!
Nezuko memandang
kedua-dua belah tangannya seraya menekup muka. Seto kehairanan seraya bertanya,
“Nee-chan engkau menangiskah?”
Nezuko tidak
mengiyakan, tangannya masih di muka, tubuhnya bergoncang, bunyi esakannya dapat
didengari di sebalik bunyi derapan kaki kuda dan geseran roda kereta kayu itu
dengan laluan kerikil. Hari itu masih pagi. Mereka sedang bersandar pada
dinding kereta kayu itu dengan kaki separa terangkat dari lantai.
**
“Takuya, kita sudah
di sini dua hari. Di mana karayuki yang engkau tempah itu?” Genichi
menegur pengikutnya. Genichi seorang pemuda berumur tiga puluhan dan tembam,
perutnya membusung. “Aku tidak sabar meratah gadis Nambashi yang cantik-cantik
itu.” Wajahnya khayal, sambil mulutnya menyedut asap candu dari sebatang paip.
Takuya yang kurus
kering tetapi tinggi itu takut-takut. Mulutnya seperti mahu mengatakan sesuatu
namun ditahan.
“Mengapa Takuya?”
Renung Genichi. “Engkau sudah dapat apa-apa berita? Beritahuku sekarang!”
Genichi tiba-tiba membentak menakutkan Takuya.
Takuya tergagap
gagap, “Gen-Genichi, orang-orang Hamada gagal menculik gadis di Nambashi. Kogen
menyerbu mereka.”
“Apa??!! Engkau mahu
disulakah?!” Bentak Genichi sambil menghentak pedangnya.
“Ti-tidak tuan!”
Takuya melutut dan tunduk. “Jangan bunuh aku!”
“Genichi!”
kedengaran suara menyebut namanya di muka pintu pondok yang menempatkan mereka.
“Aku melihat sesuatu
di luar.” Enishi, seorang lagi pengikutnya bersuara.
Genichi keluar dari
pondok. Dari jauh kelihatan sebuah kereta kuda dengan seekor kuda ditunggang
seorang pemedang di sebelahnya, pastinya pengawal.
“Pucuk dicita ulam
mendatang.” Genichi mengeluarkan pedangnya. “Aku sedang lapar sekarang.”
Enishi dan Takuya
turut sama.
Genichi bertarung
dengan pengawal itu dan sekelip mata sahaja pengawal itu ditumpaskan dan
dibunuh. Sementara Enishi dan Takuya pula bertarung dengan pengendera kereta
kuda. Tidak disangka, pengendera itu mahir bertarung juga. Takuya dan Enishi
dicederakan dengan teruk. Meskipun begitu, pengendera itu mudah dikalahkan oleh
Genichi, dan dibunuhnya tanpa perikemanusiaan.
Mereka memeriksa
kereta kayu itu. Terdapat pelbagai barangan makanan laut kering. Di sebelahnya,
Nezuko dan Seto menggigil ketakutan.
“Selain makanan, ada
‘sajian’ lain nampaknya.” Genichi menggumam memandang tepat Nezuko.
“Kalian, mari. Aku
mahu mengajar perkara menyeronokkan.”
“Yamerou!!!
(Hentikan!!!)” Raungan Nezuko bergema di sekitar kawasan itu, sebuah kawasan
berpaya di pinggir kota Osaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan