Novel: Kaisenjyo (Bab 104)

Ichiro pernah menjaga rumah perlindungan Tatsuhiro. Ketika dia meletak jawatan pada tahun 1864, Tatsuhiro berumur 16 tahun sementara Ichiro berumur 50 tahun. Tatsuhiro dipindahkan ke Kogen.

Tidak lama selepas kematian isterinya, Ichiro mengambil keputusan meletak jawatan. Ketika itu tahun 1864 dan dia berusia 50 tahun. Dia merayau-rayau di serata Honshu demi mencari pekerjaan baru dan melupakan isterinya. Dia tidak memiliki zuriat bersama isterinya demi mengelakkan sumpah hayabusa. Pada usia 52 tahun, barulah dia berkahwin kembali dan mula bercadang membina keluarga. Sejak memiliki anak dia nekad untuk terus tidak kembali ke Kogen menjaga rumah perlindungan. Ichiro mendapat pekerjaan baru sebagai pengawal upahan pedagang.

Suatu hari sedang dia berjalan-jalan dia terbaca pengumuman dari Maharaja berkenaan pasukan polis yang baru ditubuhkan baginda sedang merekrut ahli baru. Masih yakin dengan pengalaman dan kemahiran bertarungnya, Ichiro menyertai pasukan polis pada tahun 1872. Dia diterima masuk terus tanpa perlu melalui latihan di akademi selama lima tahun disebabkan pengalaman luasnya di Kogen.

Pada tahun yang sama juga dia melanggan insurans dari Syarikat Furuya, sebagai penampan kewangan sekiranya dia ditimpa musibah ketika menjalankan tugas. Ini kerana dia sudah berkahwin dan memiliki anak maka dia perlu lebih berhati-hati. Tambahan pula tiada lagi tama-no-iwa seperti yang pernah digunakan ketika menjaga rumah perlindungan dahulu.

Selepas meninggalkan Kogen dan sebelum memasuki pasukan polis, dia bertugas sebagai pengawal upahan pedagang. Pedagang yang berminat akan mengupahnya bagi mendapatkan perlindungannya untuk suatu tempoh. Dalam melaksanakan tugas, suatu hari dalam awal tahun 1870 ketika musim bunga, pedagang yang dilindunginya diganggu sekumpulan perompak bertopeng dan berpakaian hitam seperti ninja.

Mereka bertarung dan dikalahkan Ichiro. Kesemua melarikan diri.

Namun Ichiro ditahan oleh ketua mereka sewaktu kembali dari tugasnya. Ketua kepada perompak bertopeng itu yang tidak berpuas hati telah datang seorang diri dan cuba menewaskan Ichiro.

Ketua perompak memulakan serangan. Setiap libasan pedangnya berjaya ditangkis Imagawa yang dilatih langsung oleh Omi. Namun Omi mengenalinya sebelum kaminari-no-kaze dicipta Miura, maka dia hanya menggunakan kemahiran berpedang normal seperti samurai.

“Engkau pelindung pedagang itu rupanya. Siapa namamu?” Ketua perompak bertopeng bertanya. Dia tidak bertopeng seperti pasukannya, cuma memiliki janggut putih, berlengan besar dan memakai happi berwarna biru bercorak sagi. Dia nampak sebaya Ichiro, berusia lima puluhan.

“Imagawa Ichiro.”

“Imagawa Ichiro? Aku seperti pernah mendengar nama itu. Sebentar.” Ketua perompak bertopeng cuba mengingat sesuatu, kemudian berkata perlahan, “Onii-san. Engkau onii-san bukan?”

“Soichiro? Engkau Soichiro?” Ichiro cuba mengagak.

Onii-san. Ke mana engkau pergi selama ini?!” Soichiro menyimpan kembali pedangnya ke dalam sarung, Ichiro turut melakukan perkara sama. Soichiro pantas menerkam lalu memeluk abangnya.

“Aku tinggal bersama penyelamatku. Aku bilang engkau sudah mati atau diculik, Soichiro.”

“Aku telah diselamatkan keluarga Yoshitsugu. Ke mana engkau menghilang pada hari itu?”

“Aku melarikan diri setelah melihat gegaran, aku terlalu takut. Namun aku kembali dan melihat api marak. Aku bilang kalian sudah tiada pada saat itu kerana tiada sebarang bunyi kudengari. Aku diselamatkan oleh seseorang dari Kogen, bernama Omi.”

“Omi pengasas Kogen itu?” Soichiro mengagak.

“Benar. Aku menjadi pengintip Kogen selama ini.”

“Jika begitu mengapa baru sekarang aku bertemumu?”

“Aku mengintip untuk mereka lama dahulu, ketika umurku lima belas tahun. Sejak umurku dua puluh lima aku berkahwin dan mula menjaga rumah mereka. Sejak itu aku jarang keluar.”

“Di mana engkau mengintip?”

“Di utara. Aku mengintip sekitar Tsugaru dan pergunungan Yokuma.”

Patutlah. Hamada ketika itu iaitu tahun 1834 telah meletakkan aku memerhati di sekitar Kansai sahaja. Aku ditugaskan memerhati gerakan mubaligh Kristian di sana dan juga mengintip para samurai yang berkhidmat terus kepada Maharaja. Ketika itu Hamada belum gila. Namun yang gila aku. Aku akan membakar mana-mana rumah atau gereja gerakan Kristian atau sekolah-sekolah Barat yang cuba membawa anasir-anasir mereka ke sini, termasuk sekolah Mariko di Osaka itu. Semua perlakuanku itu tidak pula ditentang Hamada, seperti dia memperkenan segala tindak-tandukku. Bahkan begitu ramai samurai dan daimyo lain yang menyokong tindak-tanduk kami. Hanya pada ketika wabak Aoki 1840 itu menggila aku dipanggil bersama Takasaki ke Kawamoto. Namun sejak dia gila selepas wabak 1840 itu, dia pula yang menyuruhku membakar mana-mana rumah yang tidak menjelaskan cukai.

“Soichiro, aku gembira melihat engkau sihat begini. Keluarga Yoshitsugu menjagamu dengan baik.”

“Sihat kau kata, onii-san? Aku ada darah tinggi engkau tahu?”

Mereka masing-masing ketawa. “Aku pun, Soichiro. Kita sudah tua.”

Mereka berbaring di lereng yang hanya dipenuhi daun-daun kering peninggalan musim luruh yang lalu.

“Mengapa engkau merompak Soichiro?”

“Hamada menyingkirkan aku. Engkau pun tahu bukan Maharaja telah menghapuskan sistem samurai? Hanya ini yang mampu kulakukan untuk teruskan hidup.”

“Bagaimana jika engkau bekerja denganku?”

Tsugiyama terdiam.

“Mengapa Soichiro? Engkau tidak berminat?”

“Berikan aku masa fikirkannya dahulu, onii-san.” Onii-san, aku amat gembira melihatkan engkau masih hidup sehingga kini. Namun aku sudah terlalu lama hidup begini. Aku bergelumang dengan pembunuhan dan pemerdagangan manusia, selama di bawah Hamada. Saat itu semua berlaku, engkau tiada, Onii-san. Aku memutus sendiri apa yang terbaik untukku. Dan sekarang sudah terlambat. Aku tidak mahu berubah. Aku telah memilih jalan ini.

Sekarang aku memimpin pasukanku. Mereka mengharap kepada pemimpin sepertiku memimpin mereka yang telah dipinggirkan Hamada. Atsushi, Ryuzen dan yang lainnya. Jika aku menyertaimu, sudikah engkau menerima mereka sekali?

Onii-san, boleh aku tahu jika engkau perlukan pembantu kita? Aku punya nama-nama...”

“Aku fikir engkau seorang sahaja sudah cukup. Lebih ramai maka lebih mahal upahnya. Para pedagang juga tidak mahu pengawal yang terlalu ramai.”

“Aku fikir aku mungkin akan terus di jalan ini.”

“Soichiro.”

“Panggil aku Tsugiyama. Aku sudah lama lupakan Soichiro.”

Ichiro tersentak mendengarnya.

“Maafkan aku onii-san. Aku punya tanggungjawab berat juga. Ramai rakanku mengharapkan pimpinanku. Kami semua dipinggirkan Hamada, dan mereka rata-rata punya keluarga yang ramai untuk diberi makan. Kami perlu teruskan hidup. Sayonara.” Tsugiyama bangun seraya meninggalkan Ichiro yang masih berbaring.

Matte, Soichiro!”

Tsugiyama tidak mengendahkan panggilan abangnya. Dia pantas meninggalkan tempat itu menunggang kuda.

Soichiro, aku akan lepaskan engkau sekiranya aku bertemumu sekali lagi. Aku tidak akan menangkapmu. Kerana walau siapapun engkau sekarang, engkau masih adik kembarku. Engkau satu-satunya ahli keluargaku yang masih tinggal. Aku tahu, aku tidak sepatutnya melarikan diri pada hari itu. Engkau menjadi begini kerana silapku. Aku akan menebusnya. Pasti.

Ichiro memegang patung samurai kayu yang sentiasa dibawanya, memandang Soichiro yang kian jauh di tengah-tengah laluan pedagang di celah hutan itu.

Matte, Soichiro. Aku pasti akan memulangkan kembali patung ini kepadamu, suatu hari nanti.

 

**

 

“Lelaki tua, nampaknya engkau tidak tahu kaminari. Jika engkau berterusan bertarung denganku, aku akan menjadikanmu barang mainan sahaja.” Suzuki ketawa sebaik menghabiskan kata-kata.

 

Suzuki sedari tadi sengaja memukul dan menetak serata tubuh Imagawa menggunakan belakang pedangnya. Imagawa terlalu mudah baginya. Dengan kebolehan melakukan dua gerakan hampir serentak atau jurus penggandaan ciptaannya, dia mengelirukan Imagawa berulang kali. Sebaik Imagawa menahan pedang Suzuki, hampir serentak bahagian tubuhnya ditetak Suzuki. Berkali-kali ia berlaku, dan akhirnya Imagawa melutut di atas lantai hutan.

 

Imagawa melutut bertongkatkan pedangnya. Wajahnya tunduk, dan darah dari hidungnya terus-menerus menitik ke bumi. Dalamannya sudah cedera teruk.

 

Dou, orang tua? Masih mahu bertarung?”

 

“Sejak bila engkau banyak bercakap Suzuki-san? Aku dengar engkau seorang pendiam. Dan panggil aku Imagawa Ichiro.”

 

“Imagawa-ka... polis yang sering mengganggu rakan-rakanku di Nakasendo. Tak sangka semudah ini dia ditewaskan.”

 

“Ya, akulah polis itu. Engkau bernasib baik kerana sempat mempelajari kaminari. Sedang aku sudah tua selepas seni pertarungan itu dicipta, tidak lagi berupaya mempelajarinya.” Imagawa terbatuk-batuk kemudiannya, mengeluarkan darah dari mulut.

 

“Jadi, engkau fikir engkau boleh menewaskanku jika engkau tahu kaminari?”

 

“Mungkin. Namun melihatkan jurus baru yang engkau cipta itu, aku fikir lebih tipis peluangnya.”

 

Imagawa menyeka darah dari mulutnya dengan lengan yukata, kemudian sambung berbicara.

 

“Suzuki-san, engkau tahu apa bezanya engkau dan aku, selain dari kebolehan-kebolehan ini?”

 

“Aku tidak tahu. Dedahkan cepat, sebelum kepalamu kupenggal!”

 

“Umur. Jurang pengalaman membezakan kita. Umurmu baru tiga puluhan. Aku sudah lima puluhan. Dan engkau tahu mengapa aku menerima tawaran ketua polis untuk ditugaskan ke sini? Kerana aku pernah menyertai Kogen sebagai pengintipnya dan menjaga kawasan ini selama sedekad lebih. Dan Suzuki-san, berapa tahun engkau bertugas untuk Hamada menjaga kawasan ini?”

 

“Dua tahun...”

 

“Engkau belum benar-benar arif dengan hutan Yokuma nampaknya, Suzuki-san.” Imagawa tersenyum masih dalam tunduk.

 

“Apa permainan engkau Imagawa-san?! Lekas beritahu atau aku akan percepatkan kematianmu!”

 

“Darah muda....darah muda. Sabar orang muda, sabar....” Imagawa terbatuk-batuk, lagi darah dikeluarkan dari mulut dan hidungnya. Dia menyambung.

 

“Aku memang tidak tahu kaedah tarung yang canggih seperti kaminari dan kaedah ciptaanmu. Namun aku boleh menggunakan apa yang ada di sini, kerana aku arif benar dengan hutan ini.”

 

Sejurus itu Imagawa melompat, mengerah segala kudrat yang masih berbaki, menuju ke atas sebatang pokok hinoki. Di situ dia memotong beberapa tali yang bergantungan di pokok itu. Serta-merta, lantai rumput di bawah Suzuki mendap ke bawah, menjerumuskannya ke dalam lubang tanah.

 

“Dengan ini, aku telah melambatkan petarung nombor satu di hutan ini dari mengganggu pasukan Ryouji...” Gumam Imagawa. Mata beransur-ansur gelap, satu persatu pegangan pada dahan hinoki melonggar. Imagawa langsung menjunam dari pokok hinoki, tubuhnya terhempas ke bumi.

 

Mata Imagawa perlahan-lahan terkatup.

 

“Soichiro, kita akan bersua kembali tidak lama lagi. Abang amat merindukan engkau....hontou ni. Aku gembira, aku harap dengan perlakuanku ini aku telah menebus dosa-dosamu.”

 

Nafas terakhir Imagawa dihembus, mengikut alunan angin musim panas yang bertiup lembut menerobos hutan hinoki pergunungan Yokuma pada hari yang cerah itu.

 

Sementara itu di dalam lubang tanah...

 

“Tak guna! Rupanya itu helahnya. Dia bertarung demi membawaku ke lokasi perangkap ini! Sebentar, mungkinkah ada lebih banyak perangkap begini? Di mana mereka selalu memasangnya?”

 

Suzuki sedang duduk di dalam lubang yang dalam dan malap itu. Di bawahnya dilapisi jerami tebal, maka impak dari kejatuhannya tadi direncatkan. Di sekeliling dinding lubang itu adalah batu-batu licin yang sukar didaki. Hanya sedikit cahaya matahari yang masuk disebabkan kedalamannya.

 

Suzuki menjerit-jerit meminta tolong. Namun tiada sesiapapun yang datang menghulurkan tali atau apa sahaja yang boleh membantunya mendaki keluar.

 

**

Ryouji menunggang kuda dan dibonceng Hisamiko, menuruti Tsuneki yang bersendirian menunggang kudanya di hadapan. Mereka kini semakin hampir dengan pusat Higashi-no-yane.

Tak guna. Berapa ramai lagikah orang-orang Hamada di hutan ini? Semakin hampir kami dengan pusat lembah, semakin ramai pula mereka.

Tsuneki berhenti sebentar. Dia mengamati peta dan kompas.

“Kita sudah sampai. Engkau nampak serpihan-serpihan batu di tengah padang itu?” Tsuneki menuding ke arah serpihan-serpihan batu yang berkilau disinar cahaya matahari, di tengah-tengah sebuah padang rumput. Ia terletak lebih kurang seratus langkah dari lokasi mereka.

“Ayuh!” Tsuneki mempercepatkan kudanya.

Hujan panah menimpa mereka, namun Tsuneki sempat mengelak dan Ryouji mengikutnya.

Mereka masing-masing turun dari kuda, sebaik tiba berhampiran kawasan serpihan batu-batu berkilau itu.

Aku tiada pilihan. Aku perlu mulakan perancangan Kotobuki sekarang. Iaitu melakukan jurus kedua bersama Hisamiko mengelilingi pusat Higashi-no-yane, demi menghasilkan persekitaran tenang untuk Tsuneki memulakan upacara menyeru hayabusa-no-kami dan menghidupkan kembali lembahnya, seterusnya membatalkan kuasa Hamada.

“Tsuneki, aku tiada pilihan, kita harus cepat atau ditimpa panah. Aku dan Hisamiko akan melakukan jurus kedua sebelum mereka memanah kita lagi. Dan selepas itu, kami akan penat dan tidak akan lagi mampu bertarung. Kami mengharapkan engkau. Jangan hampakan kami, Tsuneki!”

Ore ni makasete (serahkan kepadaku), Ryouji.”

“Ambil ini, pasangkan di telingamu.” Ryouji memberikan alat pengesan gelombang yang dipakai di telinganya. Dia menerangkan butir penggunaan alat tersebut kepada Tsuneki, sesekali dia memerhati sekeliling bersama Hisamiko, penuh waspada. Dia turut menyerahkan dua butir resin aomomiji. Tsuneki mengambil kesempatan mencubanya dahulu, dan ia berfungsi seperti dijangka Ryouji. Hisamiko terus-terusan menghentam panah-panah yang melayang ke arah mereka dengan Saishi-tou, memanfaatkan deria pengesan besi yang dimilikinya.

“Aku harap tiada aral melintang ketika alat ini engkau gunakan. Ayuh, Hisamiko! Tsuneki, mata ne (jumpa lagi)!”

Gambaro! (Semoga berjaya!)”

Omae mo! (Engkau juga!)” Balas Ryouji dan Hisamiko.

Ryouji dan Hisamiko mengelilingi Tsuneki. Semakin lama pergerakan mereka semakin pantas, sehingga Tsuneki dikelilingi sebuah taufan kecil. Taufan itu semakin besar dan semakin menjauhi Tsuneki, namun mendekati orang-orang Hamada yang sedang mengepung mereka dan mereka ditebarkan taufan itu ke serata hutan. Sebaik pusat kepada taufan itu tenang, Tsuneki mengambil salah satu dari serpihan batu tama-no-iwa Higashihara yang bersepahan di situ, mencacakkannya di atas tanah dan menyeru ‘hayabusa-no-kami’ sekuat-kuatnya.

Tsuneki berada di dalam pukau. Sekelilingnya gelap gelita. Hanya satu bintik cahaya di atas langit, seperti bintang tunggal bersinar di atasnya.

“Jangan menjerit boleh? Aku mendengar engkau.” Kedengaran suara entah dari mana menegur Tsuneki.

“Engkau hayabusa-no-kami bukan?”

“Ya. Higashihara Tsuneki, engkau telah menyeruku. Apa yang boleh kubantu?”

“Pulangkan kembali kuasaku.”

“Hanya itu?”

Tsuneki meneruskan permintaan seterusnya.

“Baiklah, Higashihara Tsuneki. Aku akan menunaikan permintaanmu. Engkau tidak menyesalkah nanti?”

“Aku tidak menyesal.”

“Alangkah baiknya jika engkau meminta semua ini lebih awal. Yoshitsugu Hamada telah membunuh ramai jiwa dari kalangan bangsa Yamato.”

“Kerana aku belum mencapai umurku pada ketika itu.”

“Benar katamu. Apapun, aku akan memperkenankannya sekarang sebelum Hamada melakukan lebih banyak kerosakan.”

“Terima kasih, kami-sama!”

Sejurus itu, Tsuneki kembali ke alam nyata. Lembah yang tadinya bising dengan jeritan dan lolongan orang-orang Hamada yang ditebarkan dan bunyi taufan kecil, sunyi sepi. Hanya Tsuneki seorang terduduk di sebelah batu tama-no-iwa-nya yang dicacak tadi, yang kini berubah besar sedikit. 

“Mereka masih di luar lembah ini. Aku harus menyebut nama mereka di hadapan batu ini.”

Tsuneki menyebut nama penuh Ryouji dan Hisamiko bagi membolehkan mereka memasuki lembah itu, kemudian keluar mencari mereka.

Ryouji! Hisamiko! Di mana kalian?

Bagaimana ya harus kujejaki mereka?

Tsuneki mengeluarkan alat penerima yang diberikan Ryouji, dan memasangkannya pada telinga. Dia turut mengeluarkan resin beku aomomiji, juga diberikan Ryouji, dan melaga-lagakan dua batu resin itu seperti yang telah diajarkan Ryouji.

Tsuneki melagakan batu itu, mengubah posisi berdirinya di setiap penjuru arah dari pusat tiang batu tama-no-iwa yang telah dicacak dan dihidupkan semula. Jika dia mendapat respons dari Hisamiko melalui picitan hidungnya, dia akan terus bergegas menuju ke arah tersebut.

Tap tap, tap tap!

Dia mengetuk-ngetuk, tanpa berputus asa.

Hisamiko, Ryouji, cepatlah balas! Di manakah kalian??

Tsuneki mulai cemas. Tiada balasan. Barangkali mereka masih sedang sibuk bertarung? Bukankah penyangak-penyangak itu telah ditebarkan ke serata hutan? Atau mungkin mereka berdua sudah terduduk keletihan?

Tsuneki mengetuk, mengharapkan sebarang balasan dari dua orang rakannya itu. Lama juga, sehinggalah dia berputus asa dan mencampakkan kedua-dua batu itu ke atas tanah berumput lembah yang baru dihidupkan itu, seraya merebahkan diri dalam keputusasaan, dan geram.

Dia terdengar bunyi lemah di telinganya.

Ada respons!

Sementara itu di luar Higashi-no-yane, di dalam hutan sugi.

Hisamiko dan Ryouji bersandar pada sebatang pokok besar. Mereka berdua tercungap-cungap keletihan.

“Miko...ada kedengaran sesuatukah?” Ryouji bertanya Hisamiko, diselang seli dengan bunyi mencungap.

Hisamiko tidak bersuara. Matanya separa terkatup, dia hanya menggelengkan kepala. Ryouji dapat melihat gelengan Hisamiko meskipun matanya juga separa terkatup.

“Ah, onii-san.”

Hisamiko mengesan denyutan. Dia membalas dengan memicit hidungnya.

Akhirnya! Tsuneki teruja selepas mendapat isyarat balas. 

Tsuneki bergegas dalam garis lurus menuju ke arah timur laut dari batu tama-no-iwa Higashihara utama.

“Kita tunggu sahaja di sini.” Hisamiko mencadangkan. Ryouji mengangguk. Orang-orang Hamada sudah ditebarkan jauh dari satu sama lain oleh ribut tadi maka dijangkakan mereka akan mengambil masa untuk berkumpul semula, menjejaki mereka berdua dan merancang serangan susulan.

Tap, tap. Tap, tap. Bunyi itu semakin lama semakin kuat. Dan semakin dekat.

“Engkau yakin Miko, yang bunyi itu bukan dari besi?”

“Aku yakin. Tiada isyarat seragam begini yang dihasilkan besi.”

Kedengaran bunyi ranting patah dipijak, dan nama mereka berdua diseru. Sah, itu suara Tsuneki!

“Aku di sini...” Ryouji bersuara. Mereka berdua masih sedang bersandar keletihan pada sebatang pokok.

“Mari, kalian.” Tsuneki memaut mereka pada kedua-dua belah bahunya.

“Mereka di sini!” Kedengaran suara orang-orang Hamada.

“Cepat!” Tsuneki pantas menarik Ryouji dan Hisamiko masuk ke dalam lembah Higashi-no-yane yang baru dihidupkan semula, di laluan tidak jauh dari pokok itu. Pantas mereka lesap dari pandangan orang-orang Hamada.

“Ke mana mereka? Mengapa mereka tiba-tiba hilang?”

“Sial. Mereka sudah berjaya menghidupkan kembali lembah ini. Kuasa Hamada sudah dilesapkan. Hamada dalam bahaya! Aku perlu bergegas ke Kawamoto dan memberitahunya.”

Matte (tunggu), Fujisaki...”

Zup! Sejurus itu, kepala Fujisaki terputus dari badannya.

Aku tidak akan membiarkan Hamada tahu. Lebih mudah untuk kami menangkapnya. Aku tahu, aku masih boleh berlindung dan bekerja untuk Hagiura. Terlalu banyak khabar angin jenayah yang berlegar berkenaan Hamada, namun nama Hagiura masih lagi bersih, berdasarkan sarwa pandang jelata yang kudengari di pekan-pekan. Hanya berita pencemaran Sungai Jinzu itu sahaja yang masih mengotori namanya, namun ia kian tenggelam tatkala Hagiura berjaya membersihkan kembali sungai itu.

“Konoe...” Nama lelaki yang baru membunuh Fujisaki itu diseru seseorang. Konoe menoleh.

“Tabata, anggap engkau tidak melihat semua ini.”

“Engkau fikir aku setia dengan Hamadakah? Konoe, aku menyertai pasukan ini kerana engkau, dan kita akan sama-sama menghapuskan Hamada!”

Konoe tersenyum. Mereka menggenggam tangan masing-masing tanda setiakawan. Lima orang lagi muncul dari celah belukar. Mereka telah menyaksikan pembunuhan tadi.

“Kalian, kami mahu menawarkan diri!” Kelima-lima tunduk melutut mengadap Konoe dan Tabata.

“Hapuskan Suzuki Kenshou, demi membuktikan kesetiaan kalian. Bawa kepala dia ke hadapanku. Sekarang!”

“Baik Tuan!”

“Tabata, sampaikan kepada ahli pasukan yang mengepung kawasan ini bahawa kuasa Hamada telah dikembalikan kepada pewaris Higashihara. Juga kata dua, sama ada mereka menyokong Suzuki atau aku. Jika mereka menyokong Suzuki, tamatkan riwayat mereka.”

“Bagaimana dengan pewaris Higashihara itu?”

“Kita akan menangkap dan menjadikannya tebusan.”

“Baik, Konoe!” Tabata menundukkan badan, kemudian menghilangkan diri di celah-celah daun hutan.

Konoe bermonolog akan perancangannya.

Selepas kuasanya dihapuskan, Hamada pastinya akan berubah hati dan memutus untuk tidak membiarkan pewaris Higashihara mati, kerana dia mahu memujuk budak itu berkongsi kuasa dengannya. Aku akan jadikan budak pewaris itu tebusan. Aku mahukan bayaran. Hamada perlu membeli budak itu dari kami.

 

**

 

Malam itu, di Higashi-no-yane.

 

Sakit, sakit, sakit!

 

Matanya merah. Dahinya berkerut seribu. Peluh meleleh dari celahan ubun-ubun. Giginya menggetap menahan sakit. Tangannya mengepal penumbuk.

 

Ryouji sedang terbaring menahan sakit yang mencucuk di seluruh badannya, di atas ribaan Tsuneki. Hisamiko memegang tangannya yang menggeletar, menggenggamnya, dan menangis melihat abangnya menanggung derita itu seorang.

 

Sumpah hayabusa sedang menyerang Ryouji malam itu, ketika mereka bermalam di tengah-tengah Higashi-no-yane. Urat-urat di tangan kanannya yang bertanda hitam itu timbul. Tangan itulah yang paling teruk sakitnya berbanding bahagian tubuh yang lain.

 

Higashi-no-yane menyaksikan penderitaan Ryouji malam itu. Higashi-no-yane, ialah lembah milik moyang Tsuneki yang kembali berfungsi, selepas Tsuneki berjaya memperbaharui perjanjian dengan hayabusa-no-kami pada siangnya, sekaligus menghapuskan kuasa Hamada. Maka, sesiapapun tidak akan dapat menceroboh kawasan itu kecuali dengan kebenaran Tsuneki.

 

Sedang Hamada mula menyedari kuasanya hilang. Hamada sedang mengatur sesuatu di luar. Mungkin dia akan menangkap Tsuneki. Asalnya dia ingin membunuh Tsuneki, namun disebabkan kuasanya telah diambil kembali, dia memerlukan Tsuneki bagi memaksanya menyerahkan kembali kepadanya. Dia harus mengatur sesuatu demi itu.

 

"Onii-san..." Hisamiko masih tidak berhenti-henti menangis, menggenggam kuat lengan kanan abangnya."Onii-san ikanaide...Miko hontou kowai ne... (Ryouji jangan pergi, aku takut...)"

 

Apakah ini pengakhiranku? Adakah aku akan dijemput ajalku malam ini? Tidak, aku tidak boleh mati malam ini. Aku belum bersemuka dengan Hamada. Aku belum bersemuka dengan syaitan itu! Aku sudah selangkah darinya, dan aku tidak boleh mati sekarang! Hamada tidak lagi halimunan, dan menangkapnya sudah tidak lagi mustahil! Bertarung, aku harus bertarung dengan sumpah ini! Aku pasti akan menuntut bela kematian mereka, terutama penjaga kuil yang dibunuh Saitou itu! Dan Saitou, aku sangat ingin bertemunya, dan berbicara kembali atas nyawa yang diambil di hadapanku itu!

 

Ryouji melihat air mata Hisamiko berguguran jatuh di atas lengannya. Aku tidak boleh mati sekarang. Hisamiko akan bersedih, air matanya akan mengalir lagi. Dia akan berseorangan. Tidak, meskipun dia bersama Tsuneki, Tsuneki memerlukan aku. Kedua-dua mereka tidak akan mampu hidup tanpaku.

 

Ryouji bertarung dengan ajal. Matanya menjegil, cuba mencari peluang tipis memenangi nyawanya dari malaikat maut. Bulan mengambang di malam itu menerangi wajahnya jelas di mata Tsuneki dan Hisamiko.

 

Tsuneki turut menangis melihat rakan baiknya itu. Tuhan, selamatkan dia! Tuhan, jangan tarik nyawanya malam ini! Cukuplah dengan otou-san, cukuplah dengan Takasaki. Aku perlukan Ryouji, aku perlukan Hisamiko. Aku perlukan mereka berdua!

 

Otou-san, okaa-san! Berikan aku kekuatan kalian. Wajah ibu bapanya yang telah lama meninggalkan dunia ini, kembali menerpa benak Ryouji.

 

Angin bertiup perlahan, dan awan mula menutup bulan mengambang. Serentak dengan itu, sakit Ryouji beransur-ansur berkurang. Dia tertidur keletihan, masih di pangkuan Tsuneki. Hisamiko masih menangis, dia mengesat peluh Ryouji yang membanjiri ubun-ubunnya dengan lengan yukatanya. Dia memeluk Ryouji lalu terlelap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...