Novel: Kaisenjyo (Bab 98)

“Bagaimana struktur pegangan Furuya sekarang?”

“Sejurus sebelum Perang Boshin tamat, Shogun menjual sahamnya bagi mendapatkan wang, dan kini saham tersebut dipegang seorang pedagang Belanda. Orang-orang kita memanggilnya akahana (hidung merah). Nama sebenarnya Pieter van Nekk. Wajahnya benar-benar seperti monyet di Nagano itu, hidungnya besar dan merah, jambangnya lebat.”

Tsuneki biasanya akan ketawa mendengar perkara begini, namun dia berkerut dahi pula, setelah mendengarkan syarikat inilah dalang di sebalik pencemaran sungai di kampungnya. Syarikat ini memegang saham dalam syarikat Hagiura dan menyumbang modal. Hagiura menjalankan operasi perniagaan ladangnya. Dasar monyet Nagano! Tsuneki memaki orang Belanda itu dalam hati. Adakah Shinji juga dari keturunan mereka ini? Yalah. Bukankah dia tahu bertutur bahasa Belanda?

“Imagawa-san, maafkan aku, namun apakah engkau tidak ada berasa bersalah, hatta barang sedikit dengan mencarum dalam syarikat Furuya? Bukankah engkau dikira bersubahat dengan perniagaan karayuki mereka?” Ryouji bertanya. Dia memilih untuk berterus terang sahaja. Mungkin dia tidak akan bertemu Imagawa lagi selepas ini. Ini peluang yang ada untuk dia mengorek seberapa banyak maklumat berkenaan syarikat misteri yang berkait dengan Hamada itu.

“Aku hanya menuntut perlindungan sahaja, Ryouji, Tsuneki. Aku tidak tahu menahu sama ada perniagaan yang mereka jalankan itu telah menyebabkan penderitaan orang lain. Tentang perniagaan karayuki mereka, aku mendapat tahu karayuki tersebut merelakan diri mereka dilacurkan. Tiada seorangpun yang diculik atau dipaksa melacur. Bukankah perkara ini normal, Ryouji? Atau engkau tidak pernah tahu perkara ini?”

Ryouji kebingungan. Dia bermonolog, cuba merungkaikan persoalan rumit ini dalam benaknya. Apakah seseorang yang memegang syer dalam perusahaan gelap patut dipersalahkan dan dikira bersubahat dengan perusahaan tersebut? Berdasarkan kata-kata Imagawa, jelas dia tidak berniat bersubahat dengan mereka. Sistem apakah ini? Aneh. Ia sistem perniagaan yang mana engkau dikira terlibat dan juga tidak terlibat dalam masa yang sama. Seolah-olah semua pemegang syer meletakkan kesalahan jenayah perniagaan tersebut di bahu pengusahanya.

Dalam dihurung persoalan demi persoalan yang membingungkan, Ryouji kini sedar bahawa Syarikat Furuya adalah dalang di sebalik beberapa kegiatan gelap pemerdagangan karayuki dan pencemaran sungai. Namun ia hanya dalang tidak langsung melalui pegangan syer atau kepentingan. Hagiura adalah dalang sebenar yang punya tangan di dalam kesemua perusahaan-perusahaan itu.

Namun padaku kedua-duanya tetap sama bersubahat! Getus Ryouji dalam hati.

“Ryouji, kadangkala aku fikir adalah lebih baik untuk tidak tahu terlalu banyak perkara.”

“Mengapa engkau kata begitu, Imagawa-san?”

“Engkau tidak akan cukup tangan menanganinya. Ryouji, dunia yang negara kita ini sedang dijerumuskan adalah jaringan perniagaan dan politik yang rumit. Ia tidak semudah hitam dan putih. Dan aku, engkau, Tsuneki, Hisamiko, kita semua, hanyalah manusia yang lemah. Dalam dunia yang rumit dan berselirat ini, kita tidak akan dapat melarikan diri sepenuhnya dari mengotorkan tangan kita, demi melindungi diri, dan orang yang kita harus lindungi. Mungkin, kita masih hidup sehingga ke hari ini kerana ada ahli keluarga kita yang telah mengotorkan tangan mereka dahulu? Aku tidak tahu.”

“Aku tidak... oh tidak mengapa.” Ryouji menghentikan patah katanya. Imagawa merenung mata Ryouji.

Sekarang engkau faham Ryouji? Apakah kata-kataku mengingatkan engkau akan sesuatu?

Jika otou-san tidak membunuh atau mencederakan mereka, sudah pasti aku dan Hisamiko telah ditangkap Hamada pada hari itu! Getus Ryouji dalam hati.

“Seperkara lagi Ryouji, kalian akan ke Yokuma bukan?”

“Bagaimana..”

“Bukankah telah aku katakan Kotobuki mengarahkan aku melindungi kalian?”

Ryouji akur. Mungkin dia harus belajar menerima Imagawa ke dalam pasukannya.

“Ryouji, Hamada telah menubuhkan unit baru. Dia menggelarnya Empat Terbilang. Namun Kogen menggelarnya Empat Celaka.”

“Ada apa dengan mereka?”

“Unit ini ditugaskan membunuh mana-mana individu yang cuba mendekati Yokuma. Aku bilang engkau patut fokus pada memerhati mereka di sepanjang kelanamu ke sana. Mereka bukan setakat membunuh sesiapa sahaja, bahkan akan menyeksa mayat tersebut. Mereka juga telah membakar beberapa shukuba sebelum ini yang terletak di utara Yokuma kerana mengesyaki orang-orang Kogen meletakkan pengintip mereka di sana.”

“Sehingga sekarang, Kogen masih gagal menangkap mereka berempat, hanya mampu menangkap orang-orang bawahannya. Kogen mengesyaki mereka seperti menguasai jurus tinggi kaminari. Ini kerana mereka sudah membunuh lima orang dari Kogen yang menguasai jurus kelapan kaminari. Dari rakanku dalam Kogen, mereka menemui mayat rakan mereka itu dalam keadaan tubuh mereka dipotong-potong.”

Kejamnya. Mereka tidak langsung menghormati mayat. Ia perbuatan yang lebih keji dari makhluk yang tidak berakal. Anak syaitan. Memang patut digelar Empat Celaka.

Bagaimana jika kami bertiga menghadapi nasib begitu? Aku dipotong-potong, Hisamiko dan Tsuneki diperlakukan sedemikian rupa... ngeri. Aku tidak mampu membayangkannya.

Tidak, kami akan membunuh mereka. Demi melindungi diri kami. Yokuma bukan hak mereka. Yokuma sudah diserahkan kembali kepada Maharaja. Seluruh Honshu sudah diserahkan kepada baginda! Demi menghapuskan ancaman awam yang bernama Hamada itu, kami perlu membunuh. Meskipun aku sangat tidak ingin melakukannya. Namun ia perlu dilakukan. Sepertimana misi-misiku sebelum ini. Aku tidak boleh teragak-agak lagi. Sekali-kali tidak, atau nyawa kami akan melayang!

**

"Tsuneki, bagaimana engkau tahu semua laluan dan selok-belok ke sini?" Malam itu Ryouji bertanyakan Tsuneki soalan yang dipendam sejak semalam lagi.

 

"Bapa pernah membawaku melancong ketika musim panas sewaktu aku berumur empat tahun, melihat Shinji, erm, bukan, melihat monyet salji di Nagano. Ibu juga menyertai kami. Aku merakam semuanya dalam memoriku."

 

“Engkau menyebut nama Shinji tadi.”

 

“Wajahnya seperti monyet berbulu-bulu di situ.” Tsuneki berkata selamba penuh sadistik.

 

Ryouji tersedak air liur, kemudian ketawa terbahak-bahak.

 

Namun, hebat engkau Tsuneki. Pada umur begitu dia sudah mampu mengingat apa yang dilihatnya sekali. Sebentar, ia berbunyi seperti kuasa luar biasa, sama seperti Hisamiko yang mampu menanggap pemerhatian mereka seperti pencatit diari. Tidak mustahil, kerana Tsuneki pewaris terakhir puaknya yang juga punya perjanjian dengan hayabusa-no-kami seperti kami. Dan amat mirip dengan kebolehan Shinji. Shinji punya kebolehan itu mungkin disebabkan keturunannya juga.

 

"Tsuneki, mari. Aku mahu engkau hafal gerakanku."

 

"Mengapa tiba-tiba Ryouji? Aku mahu tidurlah."

 

"Sekejap sahaja. Mari!"

 

Tsuneki bangun dengan malasnya. Hisamiko sedari tadi baring di atas futon dan berkelubung di bawah selimut futon yang dipisahkan oleh tirai. Mereka semua bermalam di dalam sebuah bilik besar. Ryouji mengambil sarung katana-nya dan Hisamiko. Sarung katana Hisamiko diberikan kepada Tsuneki.

 

**

 

Tsuneki memimpin mereka bertiga menunggang kuda di awal pagi dari shukuba di pinggir Nagano itu menuju ke utara.

Tsuneki melihat kompas dan peta. Kawasan laluan ini yang merupakan pecahan Nakasendo berhampiran Nagano dilitupi kabus pada waktu pagi. Oleh itu, mereka akan membawa bersama tama-no-iwa bagi menerangi jalan. Ryouji dan Hisamiko menunggang kuda rapat dengan Tsuneki agar tidak kehilangannya dan mereka bergerak perlahan.

Selepas menunjukkan simbol Kogen kepada penjaga pos pengawal, mereka maju terus memasuki laluan Nakasendo yang akan membawa mereka ke utara, ke dalam sistem pergunungan Yokuma.

Hari sudahpun cerah. Kabus mulai hilang dan yang melatari mereka sekarang ialah pepohon hutan pergunungan seperti di Hidagawa. Cahaya matahari menerobos dari celah-celah kanopi hutan seperti jarum-jarum berwarna kuning.

Mengapa kudaku bergerak perlahan? Aku cuba mengerahnya agar bergerak lebih cepat namun ia masih pada kelajuan seperti pagi tadi. Kuda Tsuneki dan Hisamiko pun. Ia seperti keletihan.

“Engkau pasti Tsuneki, yang laluan sini ke Yokuma?”

Mereka bertiga sedang berhenti berehat di bawah sebatang pokok. Tsuneki membuka peta yang telah diberikan Imagawa. Hisamiko memerhati sekeliling.

“Aku pasti. Kita akan terus melalui Nakasendo sehingga  bertemu Onsen Kawashibara. Di sana, aku akan periksa sekali lagi. Setakat ini aku yakin dengan laluan ke onsen tersebut sahaja.”

“Tsuneki, engkau perasan sesuatu berkenaan kuda...” kata-kata Ryouji termati sebaik mendapati Hisamiko tiba-tiba menoleh dan merenung menghala ke satu arah di atas kanopi pepohon sugi, lama, mengesan sesuatu.

Hisamiko terdengar bunyi desiran daun di atas sebentar tadi. Kemudian belakang hidungnya membuat getaran kecil seperti bunyi nyamuk.

“Mengapa Hisamiko?”

“Aku mendengar bunyi sesuatu bergerak di celah daun.”

“Barangkali monyet.”

Aku tidak fikir monyet, getus Hisamiko. Aku akan lebih peka memerhati. Aku yakin dia pengekor.

“Kalian, aku fikir kita diekori.” Hisamiko memaklumkan. Tsuneki dan Ryouji memandangnya. Sejak pemergian Azuchi, deria Hisamiko menjadi lebih peka dari kebiasaan. Mungkin kerana kuasanya tidak lagi dikongsi bersama burung itu.

“Aku mengesan sedikit getaran di belakang hidungku. Seperti mereka punya objek dari besi dalam pemilikan mereka.”

Besi berupaya mengubah haluan medan magnet bumi yang mana perubahan dalam kuantiti kecil itu dikesan Hisamiko dalam bentuk gelombang elektromagnet mengikut terma moden, yang mengaruhkan arus kecil pada saraf istimewa di belakang hidungnya. Pada ketika ini kewujudan medan magnet telah diketahui, namun tidak gelombang elektromagnet sehinggalah seorang ahli fizik Jerman menemuinya secara eksperimen beberapa tahun kemudian. Objek dari besi yang dikesan itu barangkali pedang atau panah.

“Barangkali Empat Celaka yang diceritakan Imagawa itu.” Tsuneki menyuarakan kemungkinan.

“Engkau dengar bunyi itu dari mana?” Ryouji memandang Hisamiko. Hisamiko masih mengamati sambil mendongak ke arah kanopi.

“Dari atas pokok. Sekarang semakin berkurang. Barangkali dia bertemu kumpulannya yang lain untuk bersedia menyerang kita.”

“Mereka akan membunuh kita jika kita mendekati Yokuma. Aku bilang mereka sedang menunggu kita di sana dan merancang serang hendap.” Tsuneki menambah.

Aku tidak menyangka mereka akan mengintip kami di sini, sedangkan kawasan ini masih lagi jauh dari Yokuma. Apa yang telah berlaku? Apakah perancangan kami sudah diketahui mereka? Jika demikian, takut benar Hamada nampaknya sehingga memasang orang-orangnya sejauh ini untuk memerhati. Bagaimana gabenor yang semakin papa itu masih punya ramai bekas samurai dan petarung yang setia? Aneh.

“Ryouji, aku cadangkan kita berundur kembali ke Narai-juku. Kita akan menukar kuda di sana.”

“Hah? Sia-sialah kita keluar awal pagi. Mengapa Tsuneki?”

“Aku perhati kuda kita semakin perlahan. Aku tidak pasti mengapa, mungkin keletihan. Selain itu aku mahu mencari baju perisai dan pelindung kepala.”

Nampaknya Tsuneki juga mengesan perkara sama. Kuda kami agak perlahan hari ini. Aku dapat merasakannya seawal subuh tadi. Mulanya aku fikir akibat kegelapan dinihari. Namun ia masih begitu sebaik matahari naik.

“Ayuh kita bergerak sekarang!”

Mereka pantas memecut kuda kembali ke Narai-juku. Namun seperti yang dijangka, kuda mereka tidak berlari pada kelajuan yang sepatutnya. Mereka mengalah dan terpaksa menurut kemampuan kuda-kuda itu. Asalkan sampai.

Aku tidak boleh merisikokan nyawa kami terutama Tsuneki, yang merupakan kunci utama penghapusan kuasa Hamada. Aku rasakan kami belum benar-benar bersedia untuk misi ini. Kami terburu-buru. Jika bukan kerana Hisamiko mengesan pengintip itu menggunakan deria istimewanya, mungkin kami telah terus ke Yokuma dan diserang, mungkin mati katak. Mereka, Empat Celaka, pastinya tidak akan bertangguh membunuh kami jika kami cuba mendekati Yokuma. Dan mereka antara petarung terbaik yang baru direkrut Hamada, menurut kata-kata Imagawa. Dan ada antara mereka sudah menguasai kaminari.

Ketika mereka sampai di Narai-juku, hari sudah hampir tengahari.

“Ryouji, aku punya perancangan. Kita akan cuba menyertai rombongan pedagang yang ramai bilangannya. Kita akan menyamar dengan rambut dan jambang palsu. Hisamiko pula akan berpakaian seperti lelaki. Kita akan menyamar sebagai pengawal pedagang tersebut.

Dan kita akan menggunakan kuda lain. Barangkali orang-orang Hamada sudah mengecam kuda kita terutama kuda Hisamiko yang kecil berbanding kuda biasa.”

“Maka, Hisamiko perlu menunggang kuda yang lebih besar kali ini?”

“Kita tiada pilihan, Ryouji. Atau mungkin dia boleh memboncengmu?”

“Lebih baik begitu. Aku bimbang dia tidak mampu mengawal kuda asing dan bersaiz besar.”

“Namun sebelum itu, kita fokus pada rancangan pertama tadi, di mana kita akan menyertai rombongan pedagang. Aku fikir itu lebih selamat. Namun risikonya, kita mungkin akan membahayakan mereka jika orang-orang Hamada menahan kita.”

Di Narai-juku, mereka pergi ke bangsal seliaan pegawai diraja untuk menukar kuda. Sebaik menunjukkan lencana Kogen mereka yang lengkap dengan tulisan nama masing-masing, urusan menjadi mudah. Kogen yang menjadi proksi Maharaja dipandang tinggi di sini.

Ada pegawai di situ, yang merupakan polis yang ditugaskan berkawal di Narai-juku, yang berasa sedikit aneh melihatkan tiga orang remaja dengan lencana Kogen berkelana di tengah-tengah pekan begini berbisik bertanyakan rakannya.

“Apa remaja-remaja ini buat di sini? Selalunya tiada remaja berani berkelana tanpa penjaga. Zaman ini zaman bahaya.”

“Mereka dihantar Kotobuki, ketua Kogen.”

“Untuk?”

“Aku tidak tahu. Imagawa hanya memberitahuku itu. Kita diarahkan memudahkan urusan mereka di sini. Selebihnya akan dia uruskan.”

Mereka masuk ke dalam bangsal membawa kuda masing-masing. Tatkala masuk, mereka berasa aneh. Semua kuda-kuda di situ tidur. Tidak, mereka seperti sedang pengsan. Tambah memeranjatkan, mulut mereka berbuih-buih dan mereka berbaring dengan keempat-empat kaki berlunjur. Ia tidak seperti baring yang biasa untuk tidur. Ia seperti baring mati.

Bedebuk! Satu persatu kuda mereka rebah, seperti kuda di dalam bangsal itu. Buih keluar dari mulutnya, mata terbeliak.

“Apa yang sedang berlaku...Ryouji?” Tsuneki cemas. Hisamiko terpinga-pinga.

“Barangkali diracun. Lekas, kita perlu melapor kepada mereka.” Aku sudah agak perkara ini. Mereka perlahan bukan kerana keletihan. Ia racun! Ia dilambatkan serapan, sama seperti kaedah yang pernah digunapakai oleh Masami dahulu.

“Aku tidak faham...mengapa baru sekarang ia rebah?”

“Serapannya dilambatkan.” Jawab Ryouji cuba merungkai kekusutan Tsuneki.

“Kita bernasib baik masih sempat kembali ke sini. Jika ia rebah di tengah Nakasendo, kita mungkin terpaksa bermalam di tengah hutan yang bahaya dan penuh ronin itu.”

Ryouji memanggil pegawai polis yang menjaga bangsal itu. Pegawai yang dua orang itu masuk untuk melihat keadaan. Mata mereka menjegil melihat pemandangan di dalam bangsal itu.

“Kataoka...aku fikir ini semua perbuatan mereka.” Salah seorang dari pegawai polis itu berkata kepada rakannya. Ryouji, Tsuneki dan Hisamiko berdiri di sebelah mereka, mendengar, masih kaget dengan apa yang sedang berlaku.

“Barangkali. Sejak semalam Imagawa bertarung dengan mereka. Dia hanya tidur-tidur ayam semalaman.” Kataoka menambah.

Patutlah aku mendengar bunyi denting pedang semalam, getus Ryouji. Imagawa melindungi kami! Bunyinya jauh sayup-sayup, seperti datang dari dalam hutan. Imagawa telah mengalihkan mereka ke sana demi mengurangkan gangguan ke atas para penghuni rumah tumpangan.

“Siapa?” Ryouji menyoal. Pada masa yang sama, Hisamiko tiba-tiba menoleh belakang tanpa semua di situ menyedari. Dia merasakan hidungnya berdenyut dan mengesan sesuatu, mungkin kedapatan seseorang dengan peralatan daripada besi sedang memerhati mereka.

“Empat Celaka.” Jawab Kataoka, kemudian dia langsung berteriak memandang rakannya, “Shinsuke!”

Sebatang panah melayang hampir mengenai Shinsuke rakan kepada polis bernama Kataoka itu, namun Hisamiko pantas mematahkannya menggunakan pedang tumpul Saishi-tou. Panah itu gugur ke atas tanah berdebu, racun berwarna biru yang dicalit pada matanya meleleh membasahi bumi.

Arigatou, ojou-san.

Kedengaran suara dari atas bumbung bangsal.

“Bagaimana kalian? Ingin menyertai kuda-kuda itu ke neraka?”

“Honda Soichi!”

“Ohoh, aku tidak sangka aku begitu terkenal di sini!”

Lelaki bernama Honda Soichi itu turun dari bumbung, menghambur debu dari tanah bangsal sebaik dia mendarat.

“Atau, kalian boleh memilih untuk tetap di sini dan melawan dan aku akan membakar shukuba ini seperti neraka.” Soichi kemudian ketawa.

“Apa engkau mahu Honda?”

“Aku mencari beradik Okuhida dan pewaris Higashihara. Di mana mereka?!”

“Aku Okuhida.” Ryouji mengaku tanpa gentar. Tangannya memegang hulu Saishi-tou, bersedia menariknya bila-bila masa. Pedang bapanya yang bermata, juga dibawa namun masih di sarung.

“Okuhida-san. Berhati-hati. Dia salah seorang dari Empat Celaka.” Shinsuke separa berbisik mengingatkan Ryouji.

“Terima kasih Shinsuke-san.”

Doumo. Aku terhutang nyawa pada pasukanmu. Aku pasti membalasnya nanti.”

“Aku diarahkan Hamada untuk membunuh kalian. Jika kalian akur, kami tidak akan membunuh penduduk pekan ini.”

“Membunuh penduduk sini? Apa yang kalian cuba lakukan??”

“Orang-orang kami sudah berada di sekitar pekan ini Okuhida-san. Mereka hanya menunggu arahanku. Hulur kepalamu untuk kupenggal. Atau, sanggupkah kalian melihat semua rumah di sini dibakar orang-orangku?”

Sial, sial, sial! Apakah aku perlu mati sekarang? Tidak. Aku tidak takut mati. Namun aku perlu hidup sekurang-kurangnya sekarang. Aku perlu memastikan Tsuneki selamat tiba di Yokuma dahulu dan menghapuskan kuasa Hamada. Dengan terhapusnya kuasa Hamada, aku dapat mengelakkan kematian yang lebih besar di serata Honshu oleh tangan celakanya itu, untuk tahun-tahun mendatang selepas kematianku. Aku perlu hidup sekarang.

Namun apakah aku perlu mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa di pekan ini, demi mencapai tujuan itu? Tidak. Aku tidak boleh memilih begini. Aku perlu memutus sekarang. Aku memilih kedua-duanya. Aku perlu yakin dengan Hisamiko dan Tsuneki.

Dalam masih memandang Honda penuh waspada, Ryouji perlahan-lahan mendekati Tsuneki dan Hisamiko. “Tsuneki, Hisamiko, maklumkan kepada polis. Kerah penduduk pekan ini melarikan diri. Berhati-hati dengan serang hendap orang-orang Hamada, mereka di mana-mana sekarang. Aku akan selesaikan lelaki ini dan menyertai kalian kemudian.”

Ryoukai Ryouji.” Sahut Tsuneki.

Ryouji menyambung, “Kalian berdua, lindungi sesama sendiri. Tsuneki, selalu jaga jarakmu dari Hisamiko supaya mudah engkau memanah musuh kalian. Hisamiko, jaga diri, abang akan menyertaimu kemudian, pasti!” Ryouji mencuri kesempatan memandang Hisamiko dan Tsuneki. Tsuneki dan Hisamiko membalas pandangan Ryouji.

“Faham Ryouji.”

“Faham, onii-san. Kimi mo ki wo tsukete (jaga dirimu juga Ryouji)!” Hisamiko meraba tantou dan Saishi-tou-nya sambil terus berlari mengitik mengikut Tsuneki di hadapan. Hanya tantou sahaja senjata bermata yang dimiliki Hisamiko. Tsuneki juga punya pedang Saishi-tou namun ia kurang bermanfaat padanya berbanding panah dan busur.

Ryouji pantas mengalih pandangan ke arah Honda yang sedang berdiri mendakap tubuh.

“Tuan, kalian harus berlindung sekarang.” Ryouji berpesan kepada Shinsuke dan Kataoka sedang matanya tidak berganjak dari Honda.

Para pegawai polis yang dua itu membalas Ryouji, “Kami akan membantumu, Ryouji. Sememangnya tugas kami melindungi kalian.”

“Dan aku terhutang budi dengan adikmu.” Shinsuke menambah.

“Baiklah jika kalian memilih demikian.”

Sejurus itu tiba tiga orang pembantu Honda dari balik bumbung bangsal. Dua dari mereka cuba menangkap Tsuneki dan Hisamiko namun kepantasan jurus pertama mereka menggagalkan para pembantu Honda tersebut.

Honda membisik sesuatu kepada salah seorang pembantunya.

“Keiichi, arahkan orang-orang kita memulakan pembakaran.”

“Baik Tuan.”

“Okuhida-san, sampai hati engkau sanggup membiarkan penduduk pekan ini dibakar kami.” Honda mengujar sinis.

Aku tidak boleh teragak-agak lagi. Aku perlu membunuh lelaki ini. Bukan kerana marah. Bukan kerana dendam. Tegarkan diriku pada tujuan murni yang satu, iaitu demi melindungi Tsuneki dan membuka jalan baginya menghapuskan kuasa Hamada, dan melindungi polis Maharaja yang tidak setara dengan lelaki ini yang merupakan salah seorang dari Empat Celaka.

Empat Celaka tahu kaminari. Aku tidak tahu hakikat itu sehinggalah semalam, selepas diberitahu Imagawa! Dan mereka tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa sahaja yang cuba menghalang mereka. Bahkan, mereka langsung tidak menghormati mayat mereka yang dibunuh. Mereka mencincang mayat itu seperti daging di pasar. Kejam! Bayangkan jika Hisamiko terlepas panah itu tadi, mungkin polis yang bernama Shinsuke itu sudah mati dan dicincang mereka. Aku lihat hujung panah itu dicalit sejenis calitan biru, tinggi kebarangkaliannya yang ia racun torikabuto. Mereka sememangnya tidak teragak-agak membunuh, seperti binatang. Mereka akan membakar pekan shukuba ini seperti membakar sarang anai-anai.

“Aku tidak akan membiarkan seorang pun dari mereka menjadi mangsamu.” Ryouji mengeluarkan Saishi-tou dari sarungnya. Empat Celaka bukan sembarangan lawan. Mereka tidak akan mensia-siakan sebarang peluang dan akan terus membunuh sasarannya. Ryouji perlu menumpahkan darah demi melindungi diri. Dia tiada pilihan.

Aku harus lekas selesaikan penyangak ini, dan menyertai mereka berdua. Hisamiko, maafkan aku melepaskanmu bersama Tsuneki. Aku akan lekas menyertai kalian. Sehingga itu, engkau bertarunglah sepenuh hati bersama Tsuneki. Kuatkan dirimu, Hisamiko. Meskipun ketika aku tiada nanti. Dan hayabusa-no-kami, aku mohon, jangan engkau munculkan sumpahan sial itu di kala ini. Aku perlu menghentikan semuanya sekarang. Tolong, kami-sama!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...