Hisamiko mencari-cari bukaan di sekeliling kepungan itu. Badannya kecil dan kurus, maka menyelit di celahan bukaan yang kecilpun sudah mencukupi.
Hisamiko cuba bertenang, menarik nafasnya dalam-dalam. Dia perlu mengawal perasaan dan pernafasan. Itu perkara utama yang diajar Ryouji. Jangan gentar. Aku sudah berhadapan dengan situasi begini tiga kali. Aku pasti boleh mengalahkan mereka. Aku dibantu oleh hayabusa-no-kami. Aku hanya perlu nekad.
Kaminari-no-kaze, jurus pertama. Aku perlu bersedia untuk mengelak dengan jurus kelima, jurus yang lebih tinggi keperluan tenaganya. Maka tenaga perlu disimpan lebih untuk mengelak.
Hisamiko meluru ke arah bukaan. Dengan saiz badan yang kecil dan kelajuan jurus pertama, dia melepasinya. Namun tidak semena-mena, mereka menebarkan jaring ke atas Hisamiko. Hisamiko juga sempat mengelaknya.
“Ojou-chan, jangan risau, kami akan membawamu ke tempat yang menyeronokkan. Mari, jangan takut.” Lelaki yang menegurnya tadi kembali berkata-kata. Rakan-rakannya ketawa.
Azuchi meluru dengan pantas ke arah lelaki-lelaki itu dan mematuk dan mencakar mereka. Dua orang dari mereka telah tersungkur, mata tercedera. Salah seorang mengambil jaring itu dan menebarkannya sekali lagi ke atas Azuchi, berjaya memerangkapnya. Azuchi meronta-ronta, cuba mengoyakkan jaring yang utuh itu dengan paruhnya namun gagal.
“Hisamiko, tolong aku.” Azuchi berteriak melolong, begitulah maksud teriakannya pada Hisamiko. Hisamiko baru sahaja mengemaskan duduknya di atas Kaname, bersedia untuk melarikan diri. Dia fikir Azuchi mampu melepasi lelaki-lelaki itu namun perkara sebaliknya berlaku. Dia turun kembali dari kudanya.
Jaring itu telah dibuntilkan dan diikat, kemudian digantung pada dahan sebatang pokok. Sekarang perhatian mereka tertumpu ke arah Hisamiko. Mereka masing-masing punya senjata tajam tersisip di pinggang namun tidak dikeluarkan.
Seorang meluru, Hisamiko sempat mengelak darinya. Kemudian seorang lagi cuba menekup dari belakangnya. Hisamiko mengelak lagi. Habis semua masuk campur. Azuchi digantung pada sebatang pokok dengan jaring itu.
“Hisamiko, mengapa engkau hanya mengelak?!” Teriak Azuchi.
“Aku tidak mampu berlawan.”
“Jangan bohongi aku Hisamiko, engkau pemedang handal. Hayabusa-no-kami akan membantumu.”
“Tanganku kecil. Pedang berat. Sebab itu aku tidak bawa pedang.”
“Gunakan tantou-mu.”
“Onii-san tidak benarkan aku membunuh, kecuali untuk mempertahankan diri dan orang tersayang.”
“Apakah engkau tidak mahu pertahankan dirimu? Atau sekurang-kurangnya aku? Hisamiko, engkau tidak sayang aku?”
“Azuchi, tolong diam boleh?! Aku terhutang budi dengan engkau. Aku pasti akan menyelamatkan engkau.”
“Urusai na kono tori ... (bising betullah burung ini...)” Seorang lelaki yang berada berdekatan burung itu menggerutu, tidak tahan dengan bunyi teriakan Azuchi.
“Engkau nampak bukan? Budak ini seperti berkata-kata dengan burung itu. Ojou-chan, engkau tahu bercakap dengan burung itu?”
“Kalian tolong lepaskan burung itu!”
“Oh, burung ini sahabatmu rupanya. Aku akan sembelih burung ini.” Lelaki yang bercakap sedari mula tadi mengambil tantou di pinggangnya, seraya menghunus ke arah Azuchi yang tergantung di dalam jaring.
“Jangan!!” Hisamiko berlari laju ke arah Azuchi.
Para pengikut lelaki itu segera mengepung dan menangkap Hisamiko. Hisamiko pantas mengelak, bahkan melompat dan memanjat lelaki-lelaki itu, memijak kepala-kepala mereka dan sampai di atas dahan di mana Azuchi bertenggek.
“Azuchi, aku akan memotong tali penyangkuk jaring ini dan menggalas engkau di belakangku.”
“Hah? Hisamiko, engkau perlu mengoyakkan jaring ini, aku ingin keluar dan menyerang mereka.”
“Tidak, Azuchi. Mereka akan membunuhmu dengan pedang mereka, kerana engkau telah mencederakan rakan mereka. Engkau hanya burung pada mereka. Namun aku tidak. Mereka mahu menjualku.”
Hisamiko mengambil tantou di pinggangnya, masih berada di atas dahan itu, seraya memotong tali itu sedang lelaki-lelaki itu menunggu di bawah. Kemudian dia mengambil Azuchi yang masih di dalam jaring, dan cuba menggalas di belakangnya, dan bersedia untuk terjun dengan memijak kepala lelaki-lelaki itu yang sedang menunggu di bawah.
Malangnya, Azuchi terlalu berat untuk tangan Hisamiko yang kecil. Dia hilang keseimbangan lantas terjatuh dari dahan itu, bersekali dengan Azuchi. Lelaki-lelaki itu ketawa dan menahan Hisamiko dan Azuchi. Hisamiko ditekap tangannya di atas tanah oleh lelaki yang banyak bercakap tadi, dia tidak boleh lagi melepaskan diri. Tambahan, dia terlalu sakit di belakang badannya dan tidak dapat melakukan apa-apa. Mungkin kepatahan.
Lelaki itu, mengisyaratkan kepada dua orang pengikutnya menekap tangan kiri dan kanan Hisamiko ke atas tanah, sedang dia mula membuka seluar hakama yang dipakainya, badannya menindih kaki Hisamiko.
“Ojou-chan, aku akan mengajarmu perkara menyeronokkan.” Lelaki itu merapatkan kepalanya ke muka Hisamiko, cuba menciumnya. Hisamiko mengalih-alih mukanya rimas, masih dalam lemah akibat dari kejatuhan tadi.
Apa yang boleh aku lakukan? Aku sangat tidak berupaya. Belakang badanku mungkin kepatahan. Sakit, sakit, sakit! Onii-san, tolong aku!
“Hisamiko, engkau perlu membunuh, jika penyerang cuba membunuh atau mencabul maruahmu. Pertahankan dirimu dengan segala kudrat yang ada. Jangan teragak-agak lagi atau engkau akan cedera dalamanmu selama-lamanya.” Begitulah nasihat Ryouji selepas tragedi di Furukawa beberapa tahun lepas. Ketika itu Hisamiko dan Ryouji sedang duduk di taman bonsai di depan rumah perlindungan itu dengan kepala Hisamiko masih berbalut. Ryouji memberi pesanan itu ketika masih dikuasai kemarahan meluap-luap terhadap Sonzaemon. Hisamiko menelan pesanan itu bulat-bulat.
“Onii-san, engkau marah. Miko takut.” Hisamiko memandang wajah abangnya.
“Miko, aku sayangkan engkau lebih dari segala-galanya. Aku menyesal tidak bersungguh melindungimu waktu itu.” Ryouji menitiskan air mata. “Aku berjanji tidak akan mengulanginya lagi.”
Hisamiko mendapat sebuah kekuatan. Namun bagaimana? Bagaimana, dengan mereka yang ramai ini memerangkapku begini, dengan tanganku ditekap begini?
Tidak, aku tidak boleh menyerah kalah! Onii-san, otou-san, aku tidak akan mensia-siakan tunjuk ajar dan nasihat kalian!
Hisamiko menjerit sekuat hatinya.
Bingit! Lelaki yang cuba menodainya itu kaku, seraya menekup telinganya. Kuatnya, seperti teriak hayabusa yang tidak pernah dia dengari! Pembantunya juga menekup telinga mereka, melepaskan tekapan ke atas tangan Hisamiko.
Sepantas hayabusa, Hisamiko mencapai tantou dari pinggang lelaki yang menindihnya itu dan menghiris lengan lelaki itu. Lelaki itu mengerang kesakitan dan menekup lengannya dengan tangan lainnya, darah merah pekat mengalir dari celahan jari. Hisamiko cuba bangun perlahan-lahan namun tidak berjaya. Kakinya masih ditindih.
Tiba-tiba panah melayang entah dari mana menembusi belakang lelaki yang menindihnya. Dia rebah. Hisamiko menarik kakinya dari tindihan tubuh lelaki itu, membetulkan umanori-nya yang ditarik, seraya perlahan-lahan bangun dengan menongkat tangannya.
Dua lagi lelaki yang menekap tangannya sedari tadi sudah bangun mencari punca panah itu. Tidak semena-mena mereka juga dipanah, seorang dipanah di lengan dan peha dan seorang lagi di pinggang.
Hisamiko kemudian pantas meluru ke arah jaring, dan memotongnya. Azuchi terbang keluar dan terus menyerang dua lelaki itu yang masih mampu bergerak setelah dipanah. Azuchi menyerang dengan cakarnya dengan mencederakan mata mereka. Kesemua lelaki itu ditumpaskan. Hisamiko kemudian berjalan lemah, dan terbaring rebah di tepi sungai, tidak sedarkan diri.
Tidak lama selepas itu, dari kejauhan datang seorang remaja lelaki menunggang kuda sambil melaungkan “Okuhida-san! Okuhida-san!”. Di belakangnya diselitkan busur dan anak panahnya. Remaja lelaki itu meneliti sehingga ke tepi sungai dan ternampak Hisamiko sedang terbaring separa sedar dan keletihan.
“Okuhida-san! Okuhida-san!” Lelaki itu cuba mengejutkan Hisamiko dengan menggoncangkan tubuhnya. “Ki-tsu-ne-san...” Hisamiko menyebut perlahan nama itu sebaik melihat wajah lelaki itu, Tsuneki di hadapannya.
“To-long a-ku...” Hisamiko memegang belakang badannya mengisyaratkan yang dia sakit di bahagian itu.
Tsuneki mengalihkan busur dan panah ke pinggangnya dan mengendong Hisamiko. Dia sempat melihat sekeliling dan mendapati tiga orang pemuda terbaring sambil mengerang kesakitan. Salah seorang yang terbaring sedang menekup pinggang yang dipanah, manakala seorang lagi terbaring memegang peha yang dipanah, kedua-duanya dibutakan mata oleh Azuchi. Seorang lagi meniarap sambil menekup tangan yang dihiris Hisamiko dengan panah tercacak di belakangnya. Dua orang sedang merangkak meraba-raba, barangkali sudah buta.
“Kalian rasakan! Kalian tidak akan sedarkan diri akibat pelali pada panah itu, sehingga Kogen tiba dan menangkap kalian!”
Hisamiko dikendong dan diikat dengan tali pada belakangnya, dan Tsuneki menunggang kudanya perlahan sambil menarik Kaname di belakangnya. Berbanding Shinji, Hisamiko tidak terlalu berat maka ia tidak mengejutkan kudanya. Azuchi terbang di atas mengekori.
Tidak lama kemudian pasukan Kogen yang mengekori Tsuneki sedari tadi tiba melintasi sebelahnya.
“Kalian, tolong aku. Lima orang penyerang Hisamiko sudah dipanah pelali di tepi sungai sana. Aku mohon kalian menangkap mereka.” Tsuneki meminta pertolongan mereka.
“Bagaimana dengan rakanmu?”
“Aku fikir dia kepatahan tulang belikat. Aku harus segera pulang.”
“Baiklah Kitsune-san, kami akan uruskan penyerang itu dan melaporkan perkara ini kepada Omi-san. Namun engkau harus bersedia menerima hukuman Kogen kerana keluar tanpa kebenaran.”
“Faham. Aku bersedia menerima hukuman dari Kogen.”
Tsuneki meneruskan perjalanan.
“Ki-tsu-ne-san... a-ri-ga-tou (terima kasih).” Hisamiko mengucap dalam lemah.
“Doumo. Okuhida-san, Ryouji pasti akan memarahimu. Jika tidak, aku akan memarahimu, Okuhida-san. Mengapa engkau keluar seorang diri begini...” mata Tsuneki berkaca. Dia tidak tahu mengapa dia amat risaukan Hisamiko, sehingga tergerak hati menjejakinya dengan keluar tanpa kebenaran Kogen.
“O-ni-i-san...”
“Dia sedang melakukan misi Kogen. Engkau tidak perlu mengekorinya.”
Hisamiko mendiamkan diri. Kitsune-san tidak akan faham jika aku menceritakannya. Jika onii-san mati melakukan misinya, aku mahu dia mati di sisiku. Hayatnya hanya berbaki tiga tahun paling lamapun. Aku mahu menghabiskan baki hayat sesingkat itu di sisinya. Hanya itu. Namun, onii-san memilih untuk mengikut misi-misi Kogen. Mengapa onii-san, mengapa? Apa yang engkau cuba cari dengan menyertai mereka, onii-san?
Hisamiko dirawat di pusat rawatan di Kogen. Dia tidak kepatahan, cuma kecederaan otot belakang badannya. Aneh. Dia jatuh terlentang dari dahan itu, namun hanya cedera di otot.
Dan tabib yang merawatnya berkata kecederaan di otot itu bukannya akibat kejatuhan, namun kerana dia melakukan gerakan kilasan dengan pantas. Ototnya belum cukup kuat untuk menerima gerakan yang pantas. Hisamiko melakukan gerakan tersebut ketika mengelak dan melompat di atas penyerang-penyerangnya untuk mencapai Azuchi.
Tsuneki masih kebingungan tentang sesuatu. Ketika dia melakukan panahan pertama, Hisamiko pantas menghiris lengan penyerangnya. Ia tidak seperti kebiasaan Hisamiko. Aku pernah melihat dia begitu ketika aktiviti tembakan edamame. Dia seperti dirasuk. Namun begitu, dia tetap tidak akan mampu menumpaskan lelaki yang ramai itu jika aku tidak membantunya. Mereka ramai dan menekap kedua-dua belah tangannya ke tanah. Dan kakinya juga ditindih dan dia juga kesakitan di belakang badannya. Mana mungkin dia mampu melepaskan diri jika tidak kerana aku di situ? Hisamiko, mengapa engkau begitu bodoh?!
Tsuneki menekup muka, menangis. Mujur, aku terus mengejarnya. Bayangkan, bayangkan jika lelaki-lelaki itu menodainya. Bagaimana dengan masa depannya nanti? Bagaimana dengan Ryouji selepas mengetahuinya?
Dia menunggu masa untuk bertanyakan perkara itu kepada Hisamiko. Dia juga melaporkan kejadian tersebut kepada Kogen. Hisamiko dibawa untuk disoal lanjut oleh Ayame. Azuchi sebagai saksi utama, menerangkan kejadian itu panjang lebar kepada Momoyama, dan diterjemah oleh Ayame. Azuchi tidak pandai berbohong kerana dia hanya binatang.
Kelima-lima penyerang itu ditangkap dan dirawat di Kogen. Kesemua mereka pulih dari kecederaan beberapa hari kemudian dan ditahan Kogen di penjara mereka untuk disoal siasat. Jika benar mereka cuba merogol Hisamiko, mereka akan dihukum bunuh. Ini kerana Kod Kogen menghukum bunuh perogol dan pelaku cubaan rogol. Namun sebelum hukuman itu dilaksanakan, Kogen akan memanfaatkan mereka sebaik mungkin bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat berkenaan Hamada.
Kenyataan Tsuneki pula telah mengejutkan Ayame. Pada umur Hisamiko iaitu tiga belas tahun, Ayame masih belajar bertarung dari Kogen. Hisamiko dirasakan berada pada tahap keberanian yang lebih tinggi darinya pada umur begitu. Dia bertubuh kerdil namun berani menyerang balas penyerangnya. Siapa yang melatihnya? Bukan, apa yang membuatnya memiliki nekad begitu? Ryouji dan Miura? Apa yang diajarkan Ryouji dan Miura kepadanya? Atau apa yang telah dilalui Hisamiko selama ini? Aku mahu mengoreknya dari mereka.
Omi berbincang dengan Kotobuki.
“Hisamiko sudah menunjukkan tanda-tanda awal seorang pemedang handal, sama seperti Ayame, iaitu memiliki nekad yang tinggi. Tanda ini tidak akan datang selagimana mereka tidak melalui pengalaman pahit. Aku yakin, pengalamannya sebelum dan ketika tinggal dengan Takasaki telah mendidiknya sehingga berjaya memiliki nekad, malah lebih awal dari Ayame.”
“Selepas mereka bangkit, tiada sesiapa yang mampu mengawal pemedang handal. Kita hanya boleh membantu dan membimbing, dan mendapatkan kesetiaan dan kepercayaan mereka.” Kotobuki menyuarakan pandangan dan firasatnya.
“Ayame mungkin satu pengecualian, kerana dia darah daging kita, maka secara semulajadinya dia akan setia dengan kita tanpa perlu disuruh atau dididik. Namun Hisamiko berlainan. Dia hanya akan melindungi dan setia kepada Ryouji, satu-satu darah dagingnya yang tinggal.” Dia menyambung.
“Aku fikir, rancanganmu menahan pewaris Okuhida di sini mungkin tidak akan berhasil. Mereka pasti akan meninggalkan kita jua apabila tiba masanya. Jika Ryouji meninggalkan kita, Hisamiko pasti akan mengikutnya.”
Omi berkerut dahi mendengarnya. “Apa yang membuatkan engkau fikir begitu Kotobuki?”
“Aku fikir Ryouji akan mempertimbang untuk meninggalkan Kogen selepas kejadian ini. Hisamiko pasti tidak akan melepaskannya ke mana-mana, lagi-lagi selepas dia tahu ajal Ryouji sudah semakin dekat.”
“Kotobuki, jangan-jangan...?”
“Ya, otou-san, Hisamiko sebenarnya sudah tahu sumpah hayabusa Ryouji. Burung pengiring itu memberitahunya. Hayabusa pengiring tidak memilih waktu dan tempat, jika dia mahu membongkar rahsia dia akan melakukannya.”
Maka fahamlah Omi mengapa Hisamiko bersungguh benar keluar dari situ demi menjejaki abangnya.
“Siapa lagi yang tahu berkenaan sumpah itu?”
“Chisato. Aku yang memberitahunya.”
“Kotobuki!”
“Maafkan aku, otou-san. Mereka berhak untuk bahagia. Aku tidak mahu penyesalanku yang lepas berulang pada jiwa yang tidak berdosa seperti mereka. Otou-san, aku amat berharap engkau mempertimbang kembali cadanganmu mengahwinkan Ayame dengan Ryouji.”
Omi tidak menjawab. Dia kelihatan marah dengan tindakan Kotobuki.
Kotobuki beredar dari situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan