Novel: Kaisenjyo (Bab 107)

Hamada sedang berdiri di balik dinding di tingkat tertinggi sebuah menara tenshu dalam kubu persembunyiannya. Di sisinya Momota, salah seorang pengikutnya yang masih setia. Momota sedang memerhati kehadiran Ryouji dan lainnya menggunakan teropong.

 

“Seorang dari mereka telah dipanah kita.” Ujar Momota.

 

“Bagus Kurosawa mencadangkan agar kita berpecah dengan satu pasukan memerhati dari bukit itu. Tidak sia-sia mereka dilatih di Yokuma.”

 

“Namun Hamada-sama, engkau yakin mereka akan ditewaskan sebelum tiba ke parit itu?”

 

“Harapnya begitulah. Selagi mana budak perempuan itu ditewaskan, bersama abangnya. Yang lainnya hanyalah picisan. Jika pasukan kita mampu membunuh dua ekor anak Miura itu, maka yang lain terlalu mudah ditewaskan.”

 

“Momota, bagaimana? Engkau tahu lokasi anak-anak Miura itu?”

 

“Tadi aku nampak mereka..sebentar.” Momota mengalih-alihkan teropongnya. Dia mulai gusar.

 

Sial. Di manakah mereka? Aku hanya berjaya mengesan pasukan Kogen.

 

Sementara itu di lokasi pasukan Kogen...

 

Ryouji dan Hisamiko berkuda merentas hutan hinoki menuju ke arah bukit punca panah yang menyasar ke arah mereka, dan mereka berjarak dalam dua puluh langkah antara satu sama lain. Sementara sepuluh pasukan Kogen yang lain yang dipimpin Mizuhito sedang berkuda menghala ke arah parit yang mengelilingi kubu Hamada.

 

Ryouji berkuda mengikut denai yang dilindungi kanopi hutan. Itu yang dipesan Mizuhito sebelum mereka berpecah. Dia harus meredah laluan berkanopi demi mengelak dari dikesan pemanah Hamada, dan pada masa yang sama, memastikan Hisamiko tidak terpisah terus darinya. Dia dibantu Azuchi yang senantiasa memerhati dari atas jika mereka terpesong jauh dari satu sama lain.

 

Kami terpaksa berpecah begini. Aku yakin Hisamiko mampu mengelak panah yang menyasar ke arah kami. Dia akan mengalih perhatian pemanah Hamada di atas bukit. Kebolehannya mengesan besi dan mendengar amaran dari Azuchi adalah nilai tambahnya. Sementara aku akan menyusup dan menyerang hendap para pemanah Hamada dari belakang mereka.

 

**

 

Di atas bukit...

 

“Kurosawa, mereka berpecah!” Seorang pemerhati menggunakan teropong memaklumkan kepada ketuanya.

 

“Kepada berapa bahagian?”

 

“Tiga. Aku hanya menumpu pada budak perempuan itu.”

 

“Bagus, teruskan tumpu pada budak perempuan itu.”

 

Kurosawa beralih kepada salah seorang pemanahnya. “Kikuchi!”

 

“Ya Kurosawa-san.”

 

“Berkawal di belakang kami. Aku yakin kita akan diserang hendap abang kepada budak perempuan itu. Dia bukan calang-calang petarung. Bersedia memanah dia.”

 

Kurosawa beralih kepada seorang lagi pasukan pemanahnya seraya berteriak, “Suzuhara!”

 

Seorang pemanah yang sedang duduk bersedia menanti arahan memanah sasaran mereka, bangkit dan mengadap Kurosawa.

 

“Engkau perlu membantu Kikuchi sekiranya budak itu berjaya mengelak panahnya. Bersedia berpedang dengannya.”

 

“Dengan Okuhida Ryouji?”

 

“Yalah, dengan siapa lagi? Mengapa engkau bertanya, Suzuhara?”

 

E...to... tidak ada apa-apa. Baiklah, Kurosawa-san!” Pantas Suzuhara menyahut arahan Kurosawa dari . Bimbang dilihat pengecut, mungkin. Dia tahu dia bukan setanding anak pencipta kaminari itu. Mungkin dia harus mencuba, demi membuktikan kesanggupannya mempertaruhkan nyawa demi tuan besar mereka Hamada.

 

Sebaik seorang pemanah menarik panahnya, pantas Ryouji menyusup dan menetak belakang tengkuk pemanah itu dengan Saishi-tou. Dia pengsan serta-merta.

 

Suzuhara dan Kikuchi terperanjat bukan kepalang. Ryouji terlalu pantas, mereka tidak langsung menyedari kehadirannya.

 

Mampukah aku menewaskannya? Mampukah? Soal Suzuhara dalam hati. Dia sudah mengeluarkan bilahnya.

 

“Pemuda, jika engkau mahu menewaskanku, lupakan hasrat kalian.”

 

“Engkau begitu angkuh, Okuhida Ryouji. Usah terlalu yakin dengan kebolehanmu. Engkau masih hidup sehinggga ke saat ini kerana keturunanmu. Jika bukan kerana itu maka usah berangan engkau mampu menewaskan kami!”

 

Suzuhara pantas melonjak ke jurus lapan kaminari. Ryouji tidak mahu memanjangkan pertarungan, Azuchi tiba terbang di atasnya dan dia meningkat ke jurus kesembilan.

 

Kikuchi cuba memanah burung itu, namun kepantasannya menyukarkan Kikuchi menetapkan sasaran panahnya.

 

Ryouji menumpaskan kesemua pemanah-pemanah Hamada di situ, berkat bantuan Azuchi dan kekuatan berganda hasil dari empat persepuluh kuasa hayabusa wasiat Tsuneki. Kini tibalah giliran ketua mereka Kurosawa bersemuka dengannya.

 

“Seperti kuduga, anak Miura.”

 

“Tuan, hentikan pertarungan sia-sia ini. Aku tidak akan mengapa-apakanmu. Hamada patut ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan sejak dahulu lagi. Mengapa engkau masih memilih untuk membela syaitan itu?”

 

Kurosawa ketawa mendengarkan cacian Ryouji terhadap Hamada tuan pondannya itu.

 

“Syaitan kau kata? Okuhida Ryouji, tahukah engkau syaitan di matamu itu adalah orang yang kami sanjungi? Yang menyelamatkan kami dari pemiutang-pemiutang Belanda? Yang memberi bantuan ubat dan makanan ketikamana keluarga kami ditimpa musibah? Di mana Kogen yang engkau banggakan itu jika benar ia pembela rakyat?”

 

“Kami tidak membunuh dan memangsakan orang lain seperti Hamada.”

 

“Benarkah begitu? Aku dengar kalian menodai anak-anak di rumah perlindungan kalian? Kekejian apakah itu Ryouji? Kekejian itukah yang engkau sanjungi dan bela di bawah nama Kogen itu?”

 

“Aku akui memang kami melakukan kesilapan. Namun harus engkau ketahui Hamada juga punya peranan menghancurkan kami dari dalam dengan candu dan bahan bacaan tidak senonoh. Dan seperkara lagi, pemiutang-pemiutang Belanda itu adalah sekongkol Hamada, diketuai akahana. Mereka memperalat kalian.”

 

“Jadi semua kepincangan yang kalian lalui itu salah Hamada?”

 

“Tidak semua. Kami juga cuai dan lemah. Namun apa yang ingin aku fahamkan engkau, kita semua masing-masing punya pihak yang perlu dibela. Kami perlu menghentikan Hamada. Usah risau, kami tidak akan membunuhnya. Kami akan menangkap dan membicarakannya.”

 

“Membicarakan Hamada? Ryouji, lawak apakah itu? Dengan hakim dari boneka kalian, bagaimana mungkin Hamada memenanginya?”

 

“Dia dibenarkan membela dirinya, kalian dibenarkan menjadi saksi. Bawa sekali orang-orangmu dan buktimu. Hakimnya bukan boneka Kogen, tuan. Hakimnya ialah wakil Maharaja. Dia tidak akan menyebelahi sesiapapun.”

 

“Tidak, Okuhida-san. Aku tidak mempercayai kalian. Hamada tidak bersalah. Dia membawa keluar keluargaku dari belenggu hutang. Aku akan membelanya dengan darahku!”

 

Ryouji pantas menetak mata urat di bawah ketiak Kurosawa tatkala mengesan dia mengangkat pedangnya. Kurosawa kaku bersama dengan pengikutnya yang semuanya sedang pengsan.

 

Ryouji berdiri pegun. Kata-kata Kurosawa tadi mencucuk-cucuk benaknya. Dia meronta-ronta dalam hati, cuba mempertahankan benteng pegangan yang kian menampakkan rekahan demi rekahan. Apakah yang syaitan itu telah lakukan sehingga orang-orangnya benar-benar setia dengannya? Meskipun kesamuraian telah dimansuhkan, pengikut-pengikutnya masih setia dengannnya. Apa rahsia lelaki itu? Sihirkah? Hutang budi?

 

Tidak, tidak Ryouji! Jangan engkau mudah digoyahkan dengan kata-kata mereka. Sepertimana Masami yang cuba memperalatmu dengan menuduh Shirasaka menahan harta wasiat bapamu. Lihat apa yang orang-orang Hamada telah lakukan di Narai-juku. Lihat mangsa Saitou di kuil Furukawa. Mangsa-mangsa itu, mereka orang-orang awam yang tidak berdosa! Hamada mesti ditangkap. Kepentingan awam harus diutamakan, lebih dari kepentingan beberapa orang pengikut Hamada!

 

Ryouji turun berkuda dari bukit, diiringi Azuchi di atas. Dia harus berkuda mengikut Azuchi yang akan membawanya ke lokasi Hisamiko.

 

Punca kepada ramai dari kalangan petarung Kogen yang tewas di parit yang mengelilingi kubu Hamada ialah senjata api. Pemerhati Hamada di tembok kubu dilengkapi teropong dan senjata api, yang dibekalkan akahana dan sekongkol Belandanya. Semua sepuluh pengikut Mizuhito gugur. Mizuhito sudah nyawa-nyawa ikan.

 

“Okuhida-san... teruskan tanpaku.” Mizuhito menutup matanya.

 

Malang buat pasukan Mizuhito. Mereka ialah salah sebuah dari beberapa pasukan terbaik yang disusun Kogen yang mahir kaminari jurus kelapan sekurang-kurangnya. Mereka dilatih bertahun-tahun. Hanya pada hari ini mereka dihantar ke sini selepas misi-misi Kogen menembus kubu ini menggunakan petarung jurus-jurus rendah gagal. Semoga roh mereka tenang di sana!

 

Ryouji dan Hisamiko menyusup merentas sebuah jambatan yang merentangi parit lebar itu, penuh waspada. Semua pengawal di jambatan itu telah ditumpaskan pasukan Mizuhito. Ia pencapaian terbaik Kogen setakat ini dalam menembusi kubu tersebut. Ternyata senjata api yang digunakan pasukan Hamada lebih pantas pelurunya, barangkali ditambahbaik. Mereka yang mahir jurus kelapan sekalipun masih belum tentu dapat mengelaknya, apatah lagi yang hanya mahir jurus lebih rendah yang dihantar Kogen sebelum mereka.

 

Hisamiko pantas melibas Saishi-tounya, menangkis peluru demi peluru, menggunakan kemampuan mengesan besi, dan kekuatan baru hasil wasiat kuasa Tsuneki.

 

“Ayuh Hisamiko!” Ryouji memanjat tangga menuju ke atas tembok, diikuti Hisamiko.

 

Azuchi terbang dan sekali sekala mengelak peluru. Kelajuan penerbangannya dipacu genetik pembakaan terpilih Hamada pada jasad yang ditempatinya.

 

Mereka berdua akhirnya berjaya menembusi kubu Hamada, menumpaskan seorang demi seorang pengawal di situ, pantas seperti angin menderu. Ada yang mati dan ada pula yang pengsan. Ryouji dan Hisamiko terpaksa membunuh sebahagian dari mereka kerana tiada pilihan lain lagi.

 

Momota mulai gugup.

 

“Hamada-sama, aku tidak mampu mengesan mereka... .Maaf, aku mahu membuang air. Izinkan aku keluar sebentar...”

 

“Momota, engkau telah lama berkhidmat denganku...” Hamada meneliti riak wajah Momota.

 

“Hamada-sama...aku...” Melihatkan renungan tajam Hamada, Momota tidak mampu menyembunyikan apa yang terbuku di hatinya.

 

Momota lantas meluahkannya, “Aku tidak sanggup melihat engkau dibunuh mereka.” Sepantas itu Momota menikam lehernya sendiri. Dia rebah.

 

Hamada memangku jasad Momota yang sudah kaku, darah membasahi lantai tingkat tertinggi tenshu itu. Dia cepat-cepat mengalihkan jasad Momota ke bilik lain dan menguncinya. Kesan darah dibersihkan dengan kain sepantas mungkin.

 

Hamada cuba menyembunyikan sebak di dada. Dia duduk, menenangkan diri di tepi meja teh. Dia menuangkan teh hijau yang masih panas sedari tadi, menghirupnya sedikit demi sedikit. Hari masih cerah, meskipun dingin musim luruh menerpa dari jendela tenshu.

 

Hukuman ke atasku semakin menghampiri. Apakah aku harus menyerah diri sekarang? Aku masih belum puas. Aku masih belum puas!

 

**

 

“Hamada!”

 

Pintu gelangsar itu ditendang. Ryouji memunculkan dirinya, dengan Hisamiko di sisi.

 

Buat pertama kalinya, mereka berdua bersemuka. Pada hari yang bersejarah ini, selepas hampir sejam Ryouji dan Hisamiko bertungkus-lumus menumpaskan pengawal-pengawal di luar. Berkat latihan bertahun-tahun, pergerakan kaminari-no-kaze mereka bersih dan licin, tanpa mampu disentuh sedikitpun oleh musuh-musuhnya. Seperti angin yang menderu, mereka menyusup masuk ke dalam menara tenshu itu sambil menumpaskan pengawal-pengawal kubu Hamada tersebut. Sebahagian dari mereka terpaksa dibunuh. Bukan atas dendam, tetapi demi melaksanakan arahan Kogen, dan membawa Hamada ke muka pengadilan.

 

Dan Ryouji kini berdiri, bersemuka benar-benar dengan Hamada, si bangsat yang hanya selama ini didengari namanya. Hisamiko di belakangnya memata-matai keadaan.

 

“Ryouji, mari duduk, kita minum dahulu.” Hamada menuangkan teh hijau ke dalam dua cawan yang tersedia di atas meja di hadapannya. Dia kemudian duduk bersila dan mengambil secawan dan menghirup teh hijau itu.

 

Ryouji duduk. Hisamiko keluar memerhati sekiranya ada penyerang hendap.

 

“Hamada, aku mahukan penjelasan.”

 

“Engkau pun sudah tahu, bukan? Kegiatan bapamu di belakangku sewaktu dia menjadi samuraiku?”

 

“Aku tahu. Dia membelotmu demi membersihkan kemusnahan yang telah engkau lakukan, terhadap bangsamu sendiri.”

 

“Mengapa Hamada? Naze da? Penjaga kuil di Furukawa, semua penduduk kampung Onuma di Yozehama termasuk bapa Tsuneki, petani-petani di Shinagawa yang dibakar rumahnya termasuk ibu bapa Kobato, Hatsuki dan Natsuki, dan bapa Chisato, dan anak-anak gadis yang dijual sebagai karayuki... . Engkau bertanggungjawab ke atas nyawa dan maruah mereka, Hamada.”

 

“Itu cuma sebahagian dari dosa-dosaku, Ryouji. SEBAHAGIAN sahaja.” Hamada berkata angkuh, sambil menghirup teh hijau lagi. “Jika aku himpunkan kesemua catitan dosa-dosaku menjadi perpustakaan, tidak muat seluruh Jepun ini menempatkannya.” Hamada ketawa terbahak-bahak, lagaknya seperti dewa yang menguasai seluruh alam.

 

Ryouji menahan geram mendengar kata-kata penuh keangkuhan itu. Mahu sahaja dia memancung kepala Hamada itu sekarang juga, sewaktu dia enak menghirup teh itu. Namun dia bertahan. Cuba mengawal derauan darah di ubun-ubunnya sedang mukanya merah dan urat-urat di dahinya timbul. Sakit di lengan kanannya semakin menekan, menambah sengsara di jiwa. Tanda hitam itu sudah pekat dan tangan kanannya kini semakin lemah. Dia hanya bergantung harap dengan tangan kirinya ketika bertarung, dan Hisamiko selaku pembantunya. Dengan latihan berbulan selama berkelana di Narai-juku, dia semakin mahir menggunakan tangan kirinya ketika bertarung.

 

“Hamada, engkau tidak menyesalkah dengan segala apa yang telah kau lakukan?”

 

“Untuk apa Ryouji? Untuk apa aku menyesali semua ini? Nasi telah menjadi bubur. Dan segala apa yang telah aku lakukan, tiada siapa yang menghalangku. Aku berkuasa di sini, dan orang-orangku berada di telunjukku. Aku gembira, aku terhibur! Hidupku diisi dengan hiburan setiap kali pengkhianatku dibunuh, aku teruja. Setiap kali petani-petani yang ingkar itu kumusnahkan hidup mereka. Dan setiap kali aku mengaut laba besar dari menjual anak-anak gadis. Dan aku tidak pernah puas dan mahu keterujaan ini berterusan. Lebih lagi. Aku mahu lebih. Sehingga seluruh dunia ini jatuh ke tanganku pun.”

 

Yamerou! (Hentikan!)” Ryouji membentak seraya mengacu pedang yang tidak bermata itu ke leher Hamada. Giginya berlaga. Matanya tepat memandang Hamada. Hamada sedikit terkejut namun tidak sedikitpun gentar terlukis di wajahnya.

 

“Bunuhlah aku, Ryouji. Ya, akulah yang membunuh bapamu. Yang berpakat dengan petani bernama Sonzaemon itu mengupah penyumpit fukiya.”

 

Ryouji sedikit terkejut. Benarlah telahan Takasaki yang Hamada sememangnya menggunakan taktik kotor begitu untuk membunuh bapanya.

 

Ryouji memejam mata, cuba membendung amarah di dada. Perlahan-lahan dia menarik pedangnya, dan memasukkan kembali ke dalam sarung.

 

“Hamada, aku tidak akan membunuhmu. Aku hanya mahu engkau meminta maaf dariku jika engkau benar membunuh otou-san. Dan meminta maaf kepada rakan-rakanku dan semua mangsa-mangsamu.”

 

Ryouji menunggu, masih duduk bersila. Dia mahu Hamada meminta maaf darinya.

 

Hamada ketawa sekali lagi. “Aku? Meminta maaf dari anak samurai murahan itu?” Panjang tawanya sambil menampar meja. Ryouji menahan telinga mendengar tawa yang menyakitkan itu. Sebuah penghinaan yang tidak mudah dimaafkan.

 

Ryouji terbayang wajah Miura. Orang tuanya itu telah mengabdikan sebahagian besar masa mudanya kepada Hamada, dan kemudian nyawanya diambil selepas tidak lagi diperlukan. Otou-san, maafkan aku. Aku tidak mampu membunuh Hamada. Aku tidak mahu menjadi seperti mereka. Maafkan aku, otou-san! Air matanya berguguran.

 

Aku tidak tahu bagaimana untuk mengubahnya. Hamada tidak boleh diubah semudah itu. Dia telah bertahun melakukan pembunuhan. Hatinya telah keras seperti batu.

 

“Hamada. Jika engkau masih memiliki harga diri, lakukanlah seppuku.”

 

“Ryouji, jika tiada apa-apa lagi yang ingin engkau perkatakan, nyah sekarang. Biarkan aku dengan hidupku.”

 

Ryouji mengangkat mukanya, dengan wajahnya merah berapi dan air matanya mengalir memandang Hamada, penuh kebencian, sambil berkata “Engkau dilarang keluar dari tenshu ini. Jika engkau keluar, aku akan membunuhmu serta-merta! Kecuali, jika engkau mengakui segala kesalahanmu dan meminta maaf dari semua mangsa-mangsamu, dan berjanji untuk tidak lagi meneruskan aktiviti jenayahmu. Jika engkau melakukannya, aku akan merakamkan permohonan maafmu kepada Kogen dan meminta Maharaja meringankan hukuman ke atasmu.”

 

Hamada ketawa lagi, tanpa mempedulikan kata-kata Ryouji. Ryouji pantas menoleh dan keluar, dia tidak mampu memandang wajah jijik itu lagi.

 

Ketika Ryouji sampai di muka pintu, Hamada senyap-senyap mengambil fukiya beracun di bawah meja, seraya pantas menyumpit ke belakang Ryouji. Namun fukiya itu sempat ditangkap Ryouji tanpa menoleh sedikitpun, dan selamba membuangnya ke tepi.

 

Geram, Hamada mengambil pula pisau dari kumpulan pisau di dalam pasu di atas para di belakangnya dan membalingnya ke arah Ryouji. Ryouji mengelak tanpa menoleh sedikitpun. Namun, pisau-pisau yang ditarik gelojoh itu jatuh berantakan di atas tubuh Hamada, menghiris lehernya dan pasu yang berat itu jatuh di atas kepalanya. Dia mati serta-merta.

 

Ryouji menoleh setelah terdengar bunyi pasu tersebut jatuh dan pecah. Dia melihat Hamada sudah tidak sedarkan diri. Dia berpatah balik dan memeriksa nadinya. Tiada denyutan. Dia memeriksa nafasnya. Kaku. Mata Hamada terbeliak. Ryouji menutupnya dan mengalihkan pasu itu, dan menyusun jasad itu dalam keadaan duduk bersandar di tepi para.

 

“Berehatlah Hamada. Engkau telah lama sakit. Sakitmu membahayakan rakyat negara ini. Engkau sepatutnya dikurung di dalam tenshuu ini agar tidak melakukan lebih kerosakan.” Dia mengemaskan kimono yang dipakai Hamada.

 

“Aku berdoa semoga kami mengampunimu.” Ryouji berkata sebelum dia meninggalkan jasad Hamada.

 

Ryouji meneruskan perjalanan keluar dituruti Hisamiko.

 

Onii-san, aku benar-benar tidak menyangka nyawanya dicabut sebegitu rupa. Dia menyerangmu berkali-kali.”

 

“Serangannya itu memakan diri. Aturan kami. Dia telah melakukan pelbagai onar. Mungkin itulah balasan yang setimpal di atas segala perlakuan onarnya.”

 

Ryouji mengangkat tangan kanannya. Dia berasa sesuatu yang tidak kena. Kesakitan yang ditanggungnya pada tangan tersebut hilang. Tanda hitam itu juga hilang. Dia tidak mempercayainya lantas menyuruh Hisamiko mencubit pipinya dan dia menggenggam buka dan tutup tangan kanannya itu. Normal! Seperti tidak pernah berlaku langsung sumpah hayabusa itu. Ryouji berasa seolah-olah langit mendung di atasnya kembali cerah.

 

Dia terlalu gembira, tidak terkata. Telah lama dia tidak merasa tangannya sebegitu kuat dan sihat.

 

“Miko, sumpah itu telah terangkat. Aku telah bebas, aku telah bebas Hisamiko!” Jerit Ryouji sambil menunjukkan tangannya.

 

Hisamiko hanya mampu mengalirkan air mata, kegembiraan. Dia memeluk Ryouji.

 

Dalam gembira itu, Ryouji masih hairan bagaimana sumpah tersebut terangkat. Ia sebuah misteri. Mungkin aku akan rungkaikan suatu hari nanti, fikirnya.

 

Mereka berdua cepat-cepat melarikan diri bimbang disedari pengawal-pengawal yang pengsan di sepanjang laluan mereka. Melarikan diri, sejauh mungkin, jauh dari Kogen. Mungkin ke pulau Kyushu, mungkin ke Shikoku.

 

Atau ke pulau misteri yang belum pernah dikunjungi manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...