Beberapa hari
sebelum Shinji dibawa Tatsuhiro ke lembah Amaguri, dia bertemu Kotobuki selepas
selesai membantu Megumi, jururawat di situ, memerhati keadaan para mangsa aotsuyu.
“Dou,
Shinji? Engkau suka tempat ini?”
“Aku hanya suka
perpustakaannya. Besar, banyak bukunya. Dan tiada sesiapa menggangguku di
situ.”
Aku sudah agak
jawapannya.
“Tingkat mana yang
paling engkau sukai?”
“Aku paling suka
tingkat empat di bawah tanah.”
“Engkau tidak suka
bahan bacaan berat? Di situ juga banyak karya Belanda dan Inggeris yang belum
habis diterjemah.”
“Aku lebih berminat
dengan buku-buku berkaitan budaya zaman dahulu kala negara kita, zaman ketika
ninja dan samurai bermaharajalela. Mengapa engkau bertanya, Kotobuki-san?
“Aku sedang mencari
penterjemah karya Belanda dan Inggeris.”
“Aku boleh
melakukannya. Namun aku bimbang tidak punya cukup masa di bengkel senjata dan
pusat rawatan ini.”
“Itu engkau usah
bimbang. Mencari kemahiran begitu mudah, namun mencari penterjemah agak sukar.
Tidak ramai yang tahu bahasa asing di sini. Buat pengetahuanmu kami sudah ada
calon yang sesuai untuk menggantimu di bengkel senjata dan pusat rawatan ini.”
“Baiklah, Kotobuki-san.
Aku tidak kisah melakukannya.”
“Baguslah. Aku
gembira dengan keputusanmu.”
“Shinji, aku harap
engkau kekal di Kogen. Apakah engkau masih ingin ke Eropah?”
“Aku tidak pasti
lagi Kotobuki-san. Aku hanya mahu tinggal di sini dahulu bersama
rakan-rakanku.”
“Aku lega dengan
jawapanmu. Shinji, buat pengetahuanmu, engkau tidak akan dibenarkan ke Eropah.”
“Kotobuki-san, apa
maksudmu?”
“Ia keputusan kami.
Kami telah menetapkan engkau salah seorang ahli Kogen yang tidak akan
dibenarkan ke sana.”
“Apa alasan
kalian?”
“Demi persediaan.
Kami memerlukan bantuanmu.”
“Persediaan apa?”
“Itu rahsia kami.
Namun hanya itu yang dapat aku maklumkan kepadamu dahulu.”
Kotobuki menundukkan
badan, kemudian beredar, dia tidak mahu memanjangkan bicara. Suka atau tidak,
Shinji perlu patuh. Dia sudah menjadi ahli Kogen dan dibayar gaji. Dia tidak
boleh lari dari Kogen. Bahkan dia akan dihalang meletak jawatan dan akan
dikurung di sini.
Shinji termenung
mendengarkan makluman dari Kotobuki yang tiba-tiba itu. Aku tidak pasti lagi
sama ada aku akan ke sana. Aku kini lebih gemar di sini bersama rakan-rakanku.
Namun penetapan begitu dilakukan tanpa melibatkanku. Bagaimana jika aku ingin
ke Eropah dan mereka masih menghalang? Apakah aku perlu menentang mereka demi
kebebasan diri?
Rombongan kedua
Maharaja akan dihantar melawat Eropah pada hujung musim luruh tahun ini.
Majoriti ahli rombongan ini ialah saintis Kogen. Aku tidak akan lepaskan
peluang tersebut.
**
“Shinji
senyap-senyap merancang mahu menyertai rombongan kedua ke Eropah?”
“Benar. Tempoh hari
Kazu memberitahuku Shinji mendaftar nama.” Ujar Tatsuhiro.
“Nampaknya aku
terpaksa mendedahkannya sekarang.” Kotobuki berkata perlahan.
“Maksudmu?”
Kotobuki
menjelaskan perancangannya mahu menambat Shinji, dengan mendedahkan Hamada
bertanggungjawab ke atas kematian ibunya.
“Aku tidak mahu
menyekatnya dengan paksaan. Mungkin berkesan dengan dendam.”
“Kotobuki, maksudmu
kita perlu membawa dia ke lembah Amaguri? Bagaimana jika dia tahu kuasanya?”
“Biarkan.”
“Kotobuki-san!
Segala apa yang kita bina ini akan dimusnahkan sekiranya dia tahu menamatkan
kuasa tama-no-iwa!”
“Dia tidak akan
melakukannya. Aku tahu engkau mampu memujuknya, Tatsuhiro. Jalankan tugasmu
sebaiknya. Tatsuhiro, mulakannya sekarang.”
Tatsuhiro tunduk
seraya beredar.
**
Selepas Tatsuhiro
selesai melaksanakan arahan Kotobuki dengan membawa Shinji ke lembah Amaguri,
dia hilang begitu sahaja. Shinji terpinga-pinga. Di dalam sakunya ada sekeping
nota dari Tatsuhiro menjelaskan yang dia boleh pulang ke unjuran perpustakaan
menggunakan terowong sama.
Perbualan dengan
Kotobuki tempoh hari masih terngiang-ngiang di benak Shinji tatkala dia
meninggalkan lembah Amaguri melalui terowong perpustakaan.
Aku mesti mencari
jalan agar aku dapat keluar dari sini dengan mudah meskipun mereka menghalang
dengan pelbagai cara. Kata-kata Tatsuhiro tadi jelas membawa pendirian sama
dari Kotobuki; yang mereka akan tetap menghalangku keluar menyertai rombongan
ke Eropah. Mereka memerlukan bantuanku. Untuk apa? Untuk menyelidik senjata
sebagai persediaan perang saudara? Aku tidak pasti. Namun yang jelas dari
Kotobuki, aku diperlukan sebagai penterjemah di sini, juga membantunya di
bengkel senjata dan pusat rawatan selagimana penggantiku belum tiba.
Sebentar, tadi
Tatsuhiro ada mengatakan hanya terowong ini yang membolehkan puak selain puakku
Amaguri memasuki lembah Amaguri. Ini bermakna, aku boleh memasuki lembah
tersebut dan keluar darinya tanpa melalui terowong ini! Aku pasti akan keluar,
tujuan utamaku ialah Hamada, aku mahu bertemunya dahulu di rumahnya di Kawamoto
dan meminta penjelasan mengapa dia membunuh ibuku. Namun bagaimana harus aku
keluar melalui lembah Amaguri? Di sana hanya dipenuhi hutan.
Aku fikir, lebih
baik aku cuba cara yang lebih mudah yang telah aku temui tadi. Sepertimana
terowong ini, yang mampu memampatkan ruang, aku akan cuba mencipta terowong
sama sehingga ke Kawamoto. Cara ini lebih mudah dan menjimatkan masa, dan aku
boleh mencuri keluar tanpa disedari mereka, dan tidak akan dihukum gantung
terbalik lagi. Jika tidak berhasil, aku tiada pilihan. Aku akan redah hutan di
lembah Amaguri itu, mungkin dengan bantuan Tsuneki, mungkin berseorangan,
sehingga bertemu jalan keluar ke Kawamoto.
Sementara itu,
Tatsuhiro yang sedang meronda di luar tanah tinggi itu, menepuk dahinya sebaik
dia mengingat kembali perbualannya dengan Shinji.
Bodoh! Mengapa aku
boleh terlepas cakap perkara itu! Seboleh-bolehnya aku tidak mahu dia tahu! Aku
perlu bertanggungjawab di atas kesilapan ini. Aku akan menunggu di unjuran
perpustakaan itu ketika aku tidak meronda. Aku perlu menghalangnya dengan
tanganku.
**
Pengenalan kepada Kogen
Kogen ditubuhkan
pada tahun 1800 dan berpusat di sebuah pangkalan rahsia bernama tanah tinggi
Shirasaka (Shirasaka-no-kogen), yang terletak di tengah-tengah
pergunungan Tateyama dalam wilayah Kodama. Ia diasaskan oleh dan diketuai
Shirasaka Omi. Kogen (高原, Kougen) bermaksud “lembah tinggi (plateau)”,
bersempena ciri Shirasaka yang merupakan lembah yang tinggi di celah
pergunungan Tateyama.
Matlamat Kogen
ialah menyelamatkan anak-anak yatim atau anak orang miskin dan membawa
pembaharuan dalam sosio politik di Jepun ketika era Tetsugawa. Kemudian selepas
pengenalan ilmu sains dari Barat dan kejayaan Pembaharuan, mereka menggembleng
sumber bagi menterjemah dan membawa masuk segala karya dan teknologi Barat, terutama
dari pedagang Belanda.
Pada tahun 1872,
Shirasaka Omi masih merupakan pemimpin tertingginya dan pembuat keputusan
utama, dibantu oleh dua orang ahli keluarganya yang masih tinggal; Shirasaka
Kotobuki dan Shirasaka Ayame. Omi, meskipun pemimpin tertinggi, orang-orang
bawahannya hanya memanggilnya Omi-san
dan bukannya Shirasaka-sama.
Kebanyakan ahli-ahlinya pernah bersama-sama membangun dan mengembangkan Kogen
dan dia menganggap mereka rakan-rakan rapatnya.
Kogen terbahagi
kepada empat bahagian atau ketumbukan utama; pembiaya, pengintip, pasukan
tugas-tugas khas dan penjaga rumah-rumah perlindungan.
Pembiaya adalah
golongan usahawan yang menyumbang bantuan kewangan, seperti pengusaha sawah
padi, pembuat kraftangan dan senjata, dan pedagang. Mereka membuat perjanjian
dengan Kogen dan menyumbang sejumlah wang bagi membiaya pertubuhan ini. Okuhida
Miura ialah salah seorang dari ahli bahagian Kogen yang ini, bekerja sebagai
pesawah. Dia adalah penyumbang tertinggi sejak berjaya meningkatkan hasil padinya.
Hamada mendapat tahu dan dalam usahanya melumpuhkan Kogen, dia membunuh Miura.
Sejak Maharaja mengambilalih semua tanah-tanah sawah, pembiayaan diteruskan
oleh ahli pembiaya yang bukan pesawah dan juga bantuan dana terus dari
Maharaja.
Pengintip adalah
bahagian terbesar dalam Kogen. Bahagian ini punya ratusan ribu ahli. Mereka
bertugas sebagai rantaian pemberi maklumat dan berada di mana-mana di serata
Jepun. Mereka bekerja seperti rakyat biasa, namun sebagai ahli Kogen, mereka
juga menjalankan tugas sambilan secara sukarela sebagai pengintip dan
melaporkan sebarang onar keluarga Yoshitsugu dan juga sebarang
ketidakpuashatian rakyat kepada Kogen. Ada dari kalangan pengintip merupakan
bekas penghuni rumah perlindungan, dan memilih untuk hidup di luar selepas
keluar dari rumah itu. Selain pengintip sambilan, ada dari kalangan pengintip
adalah pengintip sepenuh masa yang membantu dalam melaksanakan tugas-tugas khas
kerana kekurangan sumber manusia di kawasan-kawasan tertentu, sebagai contoh
Takumi dan Touma. Pengintip sepenuh masa dibayar gaji sepertimana pasukan
tugas-tugas khas, tidak seperti pengintip separuh masa yang merupakan kerja
sukarelawan. Pengintip sepenuh masa beroleh gaji yang lebih tinggi berbanding
pasukan tugas khas kerana mereka perlu sentiasa bergerak memerhati masyarakat.
Pengintip sepenuh masa yang dikhususkan memerhati penjaga rumah perlindungan
adalah nazir, dan dijenamakan semula oleh Ayame sebagai Skuad Sakura.
Contoh pengintip
separuh masa lain yang telah dipaparkan setakat ini ialah Kotobuki sendiri,
penjual kraftangan yang bernama Inoue, pengusaha kedai ramen di pekan dekat
Kisennuma dan pembawa kereta jerami. Pengintip sepenuh masa pula ialah Takuma,
Touma dan Hotaru dan ahli Skuad Sakura lain seperti Ayame. Kotobuki, meskipun anak
Omi, tidak berkeinginan menggantikan bapanya dan memilih untuk menjadi sami.
Namun dia masih mahu menyumbang kepada Kogen dengan menyertai bahagian
pengintip separuh masa yang menumpukan aktiviti dan sumbernya di sekitar
Furukawa dan lembah Okuhida. Ayame pula ialah ketua pengintip Kogen maka
meskipun Kotobuki bapanya, dia melapor kepada Ayame. Tugas Ayame lebih dinamik
kerana dia membina jaringan dan hubungan baru dengan pengintip-pengintip lain
dan dia sentiasa bergerak dan sibuk sepanjang masa, serta kerap berulang-alik
menyampaikan berita kepada Omi di Shirasaka. Dia dibantu oleh kudanya dan juga hayabusa-nya Momoyama.
Pasukan tugas-tugas
khas pula terdiri dari seratus pasukan, dan setiap satu dipimpin seorang ahli
kanan Kogen dan dibantu oleh sekurang-kurangnya lima rekrut muda, dan mereka
berkawal di serata Honshu. Tugas mereka ialah melaksanakan misi-misi Kogen yang
memerlukan kemahiran pertarungan dan penggunaan senjata yang tinggi, seperti
menumpaskan penghantar karayuki,
menumpaskan samurai-samurai pengugut yang dihantar Hamada dan juga
menyelamatkan kampung-kampung yang dilanda bencana alam dan kemalangan seperti
kebakaran dan juga serangan penceroboh. Salah seorang ketua pasukan tugas khas
ialah Goryuuin Tsushiko. Ryouji, Hatsuki, dan Natsuki adalah ahli baru yang
direkrut. Selain memimpin pasukannya, Goryuuin Tsushiko juga memimpin
keseluruhan bahagian tugas khas sebagai ketua kepada semua ketua pasukan tugas
khas yang berjumlah seratus orang itu.
Bahagian keempat
dan yang terakhir, ialah bahagian penjaga rumah-rumah perlindungan. Terdapat
dua ratus rumah perlindungan Kogen di serata Honshu setakat tahun 1872, maka
terdapat dua ratus keluarga yang menjaganya. Salah seorang dari para penjaga
ini ialah Takasaki sendiri dan isterinya Mariko. Tugas penjaga ini juga adalah
merekrut penghuni baru dengan berkelana ke serata Honshu, seperti yang telah
dilakukan Takasaki, dan juga melatih para penghuni rumah mereka. Oleh itu, para
penjaga juga sama seperti pasukan tugas khas, di mana mereka perlu mahir
bertarung sebagai persediaan sekiranya mereka diserang orang-orang Hamada atau
mana-mana penyerang lainnya.
Keunikan bahagian
penjaga rumah-rumah perlindungan ini berbanding bahagian-bahagian lain Kogen
ialah, mereka juga bertanggungjawab mendidik para penghuninya dengan pelbagai
jenis kemahiran, agar penghuninya dapat berdikari setelah keluarnya mereka dari
rumah itu. Oleh itu, selain tahu bertarung, mereka juga perlu tahu kemahiran
lain di mana mereka akan dilatih di Kogen untuk suatu tempoh sebelum ditempatkan
sebagai penjaga di sesebuah rumah perlindungan.
Selain itu, para
penjaga rumah perlindungan juga adalah satu-satunya ahli bahagian Kogen yang
membuat perjanjian tambatan dengan Shirasaka bagi melindungi kawasan rumah
perlindungan mereka dari dicerobohi. Sekiranya mereka mati dan tiada pewaris
(untuk sebahagian besar kes, kerana mereka tidak mahu keturunan mereka ditimpa
sumpahan hayabusa), rumah
perlindungan itu akan segera ditutup dan dibakar, dan ahli-ahlinya akan
dipindahkan ke kawasan baru, atau di lembah Shirasaka sendiri. Ini kerana
perjanjian tambatan hanya bertahan sehingga tiada lagi keturunan penjaga
tersebut untuk satu-satu kawasan, dan hanya boleh digunakan semula untuk
kawasan tersebut tiga tahun kemudian.
Kesimpulannya,
bahagian penjaga rumah perlindungan ialah bahagian yang paling berat
tanggungjawabnya dan dipandang berat oleh Omi sendiri, kerana ia berkait hal
ehwal manusia yang masih muda dan kehilangan kasih sayang ibu bapa dan berada
di fasa paling penting dalam kehidupan mereka. Shirasaka Ayame dan para ahli
lain dari bahagian pengintip selalu dihantar bagi memerhati dan bertindak
sebagai jemaah nazir rumah-rumah perlindungan Kogen. Dia juga berperanan
membantu rumah perlindungan baru membuat perjanjian tambatan dengan puak
Shirasaka.
Pada akhir tahun
1872, Maharaja berkenan meletakkan wakilnya di dalam Kogen sebagai pemerhati
dan penyeimbang kuasa keluarga Shirasaka, juga sebagai badan pemeriksa untuk
memastikan dana yang disalurkan Maharaja digunakan sebaik mungkin. Maharaja
masih bimbang dengan pengaruh Kogen yang semakin meluas yang mampu mengancam
pembaharuan yang sedang dilakukan, tambahan pula ura-ura yang sekian lama
berlegar yang mengatakan Kogen bersekongkol dengan Tetsugawa sejak sebelum pembaharuan
lagi.
Dalam Kogen
terdapat beberapa orang ahli utama yang melapor terus kepada Omi, sebagai
contoh Shirasaka Ayame dan Kotobuki, dan Goryuuin Tsushiko. Ketua tugas-tugas
khas yang sembilan puluh sembilan orang itu melapor kepada Goryuuin, meskipun
pangkat mereka setara.
**
Selingan mengenai
Kod Kogen
Kod Kogen ialah kod
undang-undang yang diubahsuai daripada Bushido,
kod samurai. Tidak seperti Bushido
yang menuntut seseorang samurai melakukan seppuku
bagi menebus kesilapannya dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dan juga
sebagai hukuman ke atas sebarang perlakuan jenayah, kod Kogen hanya membenarkan
pembunuhan apabila seseorang melakukan jenayah berat seperti membunuh dan
merogol, dan penganiayaan ke atas anak-anak yatim di bawah jagaan mereka. Kod
Kogen juga terpakai ke atas mereka yang bersubahat dengan jenayah-jenayah
tersebut. Maka Hamada juga dihukum bunuh menurut kod ini.
Kogen memandang
serius sebarang bentuk penganiayaan ke atas anak-anak yatim dan kanak-kanak
miskin di bawah jagaan mereka. Seseorang penjaga yang ditangkap dan terbukti
bersalah akan dihukum bunuh serta-merta, seperti yang telah dilakukan oleh
Ayame. Jika kesalahan jenayah dilakukan oleh penghuni rumah perlindungan itu
sendiri, mereka akan dipenjarakan di sebuah lembah yang terasing namun ditambat
dengan perjanjian dengan Shirasaka sepertimana perjanjian-perjanjian tambatan
di rumah-rumah perlindungannya. Mereka akan diasingkan dan dikawal rapi
sehingga berusia lapan belas tahun di mana mereka akan dibebaskan atau disambung
dimasukkan ke dalam sistem penjara yang baru diwujudkan oleh Maharaja.
**
Imagawa Ichiro
Dari dua ratus buah
rumah perlindungan Kogen yang terletak di celahan gunung, terdapat sebuah rumah
perlindungan yang terletak di celah pergunungan di antara Kyoto dan Osaka.
Rumah ini dihuni dua orang penjaga dan lima orang anak yatim, salah seorangnya
Tatsuhiro. Selepas isteri penjaga tersebut meninggal dunia pada 1864, penjaga
rumah itu meletak jawatan dan meninggalkan rumah tersebut.
Penjaga rumah
perlindungan tersebut, seorang lelaki tua berusia lima puluhan bernama Imagawa
Ichiro berkelana ke seluruh Honshu mencari pekerjaan baru. Kogen menghubunginya
berkali-kali, mahu menawarkan kerja sebagai penjaga rumah perlindungan yang
lain namun dia menolak. Dia memberitahu bahawa dia mahu mencari pekerjaan lain
demi melupakan isterinya. Dia digaji sebagai pengawal pedagang tidak lama
kemudian.
Selepas Pembaharuan
1868, ketika berjalan-jalan di Kyoto, dia terbaca pengumuman jawatan kosong
sebagai polis. Maharaja baru sahaja memperkenalkan pasukan polis dan tentera
yang baharu, yang mengikut model pasukan polis dan tentera di Eropah. Baginda
merekrut tanpa mengira kedudukan dan pangkat; semua boleh memohon menyertainya
tidak kira samurai mahupun petani. Imagawa tidak mensia-siakan peluang itu
lantas memohon, dan dia diterima menyertainya.
Dia tidak
sekali-kali menyangka bahawa baginda dan Kogen adalah dari satu pihak yang
sama. Ini bererti dia masih berkhidmat bersama Kogen, melalui pasukan polis
yang dinaungi Maharaja. Mereka punya tujuan yang sama, iaitu memastikan
keamanan negara terjamin selepas Perang Boshin, iaitu perang menumpaskan
Tetsugawa dan mengembalikan kuasa Maharaja. Selepas Perang Boshin dan
penghapusan sistem samurai, ramai bekas samurai yang kehilangan sumber
pendapatan menjadi perompak di laluan-laluan pedagang di hutan belantara dan
kawasan pergunungan. Polis dan tentera amat diperlukan bagi menumpaskan bekas
samurai yang terlatih dalam seni pertarungan ini.
**
Kotobuki sedang
duduk bersila dan memejam mata, bertapa di atas pelantar batu di tepi tama-no-iwa
utama Shirasaka, yang ditanam moyangnya Shirasaka-no-Hayabusa seribu tahun
lepas. Dari sinilah serpihan tama-no-iwa dipotong dan kemudiannya
ditanam di rumah-rumah perlindungan Kogen. Kawasan ini terletak di atas sebuah
bukit di tengah-tengah Shirasaka-no-Kogen dan dilindungi bukit bukau yang
tinggi dan pokok-pokok daun lebar yang sengaja ditanam, maka terlindung dari
para penghuni tanah tinggi itu. Ia sebuah padang rumput yang sebahagian
besarnya ditumbuhi lalang ogi (Amur silvergrass).
“Kotobuki.”
Kedengaran suara menyeru namanya dari belakang.
“Laporkan,
Tatsuhiro.” Arah Kotobuki, matanya masih terpejam, tubuhnya masih dalam posisi
bertapa.
“Aku telah memberitahu
segala-galanya kepada Shinji seperti arahanmu. Dia keliru dan marah.”
“Seperti
dijangkakan.”
“Kotobuki, aku
pasti dia akan bertemumu dalam masa terdekat.”
“Tatsuhiro,
perhatikan gerak-gerinya. Halang jika dia cuba membatalkan kuasa tama-no-iwa.”
“Nampaknya engkau
masih bimbang. Aku tidak faham, Kotobuki, mengapa engkau mengarahkanku
melakukan semua ini? Bukankah ini berisiko memusnahkan segala apa yang telah
Kogen bina?”
“Aku tahu. Usah
bimbang, aku punya perancanganku.”
Tatsuhiro berdiri
pegun. Dia mengepal tangannya dan menyembunyikannya dalam haori, menahan
geram dengan reaksi tenang Kotobuki yang seolah-olah tidak memandang berat
kesan pembongkaran rahsia itu kepada Shinji.
“Ne
Tatsuhiro, engkau masih ingat bekas penjaga rumah perlindunganmu?”
“Imagawa Ichiro,
lima puluhan umurnya, sekarang dia menyertai pasukan polis.”
“Aku ada satu
tugasan baru untukmu. Kerahkan orang-orang kita memerhatinya.”
“Ada apa dengannya
Kotobuki-san?”
“Dia rakan lamaku.
Aku memerlukan pertolongannya untuk satu perkara. Nanti akan aku dedahkan
padamu.”
“Baik, Kotobuki-san.”
Sejurus menghabiskan kata-kata, Tatsuhiro lesap sekelip mata dari pandangan.
**
Musim sejuk, 1872.
Bekas pengikut
Tsugiyama, iaitu Tatsuya, sedang mengawal laluan Nakasendo dari Narai-juku
menghala ke pergunungan Yokuma seorang diri. Dia diarahkan Hagiura mengawal
laluan tersebut selepas kematian Tsugiyama.
Dia bersembunyi di
atas bukit dan memerhati ke bawah, ketikamana sekumpulan anggota polis Maharaja
berkuda melintas laluan tersebut. Seorang di bahagian paling belakang menarik
perhatiannya.
“Tsugiyama?”
Tatsuya cuba meneka. “Tidak mungkin. Mungkin pelanduk dua serupa.”
Tatsuya tidak
berlengah seraya turun dan menyerang hendap polis itu. Pantas polis tersebut
mengeluarkan pedangnya dan menahan tetakan Tatsuya dari udara.
“Siapa engkau?”
Soal polis tersebut sebaik Tatsuya melutut ke tanah.
Suaranya sedikit
berlainan meskipun fizikalnya benar-benar saling tak tumpah seperti Tsugiyama.
Tsugiyama, tetapi mengenakan seragam polis.
“Aku Tatsuya.
Mengapa kalian mendekati Yokuma?”
“Kami polis
Maharaja, ini sememangnya tugas kami. Beredar sekarang atau aku akan
menahanmu.”
“Aku tidak akan
benarkan kalian mendekati Yokuma. Beredar sekarang!” Tatsuya sekali lagi mendaratkan
tetakan.
“Sungguh berani
engkau mencabar polis!” Polis itu melompat turun dari kudanya. Pertarungan
diteruskan.
Sementara itu jauh
di hadapan...
“Ichiro... Ichiro
ketinggalan!” Salah seorang polis mula menyedari kehilangan rakan mereka di belakang.
Mereka berpatah
balik. Namun tidak semena-mena mereka dihalang dua orang ronin.
“Yo, polis.
Kalian tahukah yang kalian tidak dibenarkan mendekati Yokuma?” Salah seorang ronin
mengeluarkan pedangnya.
“Yokuma adalah hak
Maharaja. Kami hanya menjalankan tugas yang diamanahkan baginda!”
“Ho ho ho. Habis,
apa hak kami? Sudahlah tanah kami dirampas, dan gunung itu pun hak baginda?
Kami pun mahu hidup juga.”
“Ronin-domo,
jangan menghalang kami atau kalian akan ditangkap!”
Polis-polis tersebut
melepaskan tembakan amaran ke udara.
“Ryota, itu pistol
sebenar bukan? Engkau dengar bukan?” Salah seorang ronin bertanya
rakannya dalam ketakutan.
“Aku fikir baik
kita beredar sekarang, Ikuta. Aku tidak mahir kaminari jurus tinggi
untuk mengelak peluru.”
Ronin-ronin itu pantas beredar dengan kuda masing-masing menuju ke dalam hutan sugi.
“Ayuh jejaki
Ichiro!” Salah seorang polis mengarahkan pasukannya berundur mencari ketua
mereka, Ichiro.
Berbalik kepada
pertarungan di antara polis dengan Tatsuya...
“Rupa engkau
seperti seseorang yang aku kenali.” Ujar Tatsuya ketika pedangnya menahan
pedang polis itu.
“Siapa?!” Polis
tersebut menolak Tatsuya ke belakang menggunakan pedangnya.
“Tsugiyama.”
“Bagaimana engkau
mengenalinya?”
“Aku pernah bekerja
dengannya. Dan engkau pula, apakah engkau ada kaitan dengannya?”
“Aku abang
kembarnya. Di mana dia sekarang?”
Tatsuya terperanjat
mendengar jawapan polis itu. Dia tidak pernah pula mendengar dari Tsugiyama
yang dia punya kembar.
“Kembar? Tsugiyama
tidak pernah menceritakan padaku.”
“Nama sebenarnya
Soichiro. Imagawa Soichiro. Dan namaku Ichiro. Aku ada bertemunya dua tahun
lepas ketika dia cuba merompak pedagang yang mengupahku sebagai pengawal
mereka.”
Kisahnya konsisten.
Tsugiyama dan kami memang merompak pedagang dua tahun lepas sebelum diambil
bekerja semula oleh Hagiura.
“Bagaimana kalian
boleh terpisah? Dan apa yang berlaku selepas pertemuan itu?” Tatsuya menyoal,
sambil tangannya menyarung kembali pedangnya. Melihatkan perlakuan Tatsuya,
Ichiro turut menyarung kembali pedang. Namun tangannya diletakkan berhampiran
pistol di pinggang, berwaspada sekiranya petarung Hamada itu cuba menyerang
tiba-tiba.
Ichiro menceritakan
segalanya. Kemudian tiba giliran Ichiro menyoal.
“Apa nasibnya sekarang?”
“Dia sudah mati,
dibunuh seseorang.”
“Orang muda...”
“Panggil aku
Tatsuya.”
“Tatsuya-san,
benarkah apa kau katakan?” Air muka Ichiro berubah.
“Aku tidak menipu
Imagawa-san. Aku boleh menunjukkan padamu pusaranya.”
“Bagaimana dia dibunuh?”
“Kami menyerang
sebuah rumah perlindungan Kogen atas arahan Hamada.”
“Untuk apa? Untuk
merompak dan menculik?”
Tatsuya tidak
senang mendengar dakwaan Imagawa meskipun benar. “Benar. Memang itu kegiatan
kami.”
“Maka aku tidak
akan melawatnya. Biarkan dia mereput di dalam kubur itu.”
“Aku harap engkau
memaafkannya satu hari nanti.”
“Oh, tak sangka
engkau masih punya kemanusiaan meskipun engkau merompak pedagang di sini!”
“Kami merompak
untuk hidup, Ichiro-san. Pembaharuan telah melenyapkan kedudukan kami.
Kami punya tanggungan juga.”
“Mahukah engkau
menyertai kami jika demikian? Sekurang-kurangnya kemahiran kalian berguna
kepada Maharaja.”
Tidak, aku tidak
mahu menyertai polis. Polis dan Kogen satu pihak. Jika aku menyertai mereka,
aku terpaksa bersemuka dengan orang-orang Kogen, terutama penghuni rumah itu
yang telah kubunuh penjaganya. Aku fikir budak lelaki yang mengangkut Mariko
itu tidak nampak aku selepas aku memanah Mariko namun kebarangkalian untuk dia
akhirnya mengetahui aku sebagai pembunuh Mariko masih ada.
“Ichiro-san,
aku tidak akan menyertai kalian.”
“Jika begitu
terserah kepadamu, aku hanya menawarkan. Tetapi aku tidak boleh jamin engkau
dan pengikutmu akan selamat dari pedangku sekiranya aku menemui engkau mengganggu
pedagang di sini lagi.”
“Tunggu dan lihat
siapa yang lebih bernasib baik.” Tatsuya seraya bergegas ke kudanya, bersedia
untuk beredar. Dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pertarungan dan
hanya beredar, sehingga polis-polis tersebut berundur menjauhi Yokuma.
“Oh ya, sebelum
itu, kubur adik kembarmu di tebing Sungai Miya, di seberang kuil patung singa
dan patung gangsa. Sehari perjalanan menyusur tebing menghala ke selatan
melepasi Furukawa. Sayounara.”
Sayounara. Aku akan melawatnya selepas reda kemarahanku nanti. Tsugiyama, engkau
memang bodoh sehingga ajalmukah?
Imagawa terduduk
mengenang adiknya. Paling akhir dia bertemu Tsugiyama dua tahun lepas.
Rakan-rakan polis
di hadapan tiba tidak lama kemudian di lokasi Ichiro.
“Ichiro, apa yang
telah berlaku?” Salah seorang polis bertanya.
“Aku tidak apa-apa.
Kalian bagaimana?”
“Kami melepaskan
tembakan amaran. Semua lari ketakutan. Nampaknya mereka tidaklah seberani mana
jika diancam senjata api.”
“Barangkali mereka
tidak tahu kaminari. Jika kita bertemu Empat Celaka, barangkali lebih
sukar menentang mereka. Mereka tahu kaminari.”
“Mereka kelihatan
muda. Seperti baru direkrut Hamada.” Salah seorang polis memberitahu. “Mungkin
belum matang jurus tinggi kaminari. Ne, Imagawa-san, perlukah
kita ke Yokuma?”
“Kita berhenti di
sini dahulu. Tujuanku ke sini membawa kalian hanyalah untuk memeriksa sejauh
mana kawalan Hamada ke atas Yokuma. Nampaknya pondan tua itu sudah meluaskan
kawalannya sehingga ke sini. Entah apa yang dibimbanginya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan