Kompleks makmal penyelidikan senjata Kogen terletak di hujung Shirasaka-no-Kogen, hampir dengan Gaung Maut dan jauh serta terlindung dari perkampungan, sawah padi dan kompleks bangunan-bangunan pejabat pengurusan oleh pokok-pokok sugi yang sengaja ditanam. Kompleks ini terdiri daripada bengkel relau tempat menempa dan membaiki pedang-pedang Kogen, dan juga tempat menyelidik senjata biologi, kimia dan senjata api. Oleh itu, kompleks ini merupakan destinasi utama di Shirasaka-no-Kogen bagi penghantar bekalan bahan mentah seperti tamahagane, bahan-bahan kimia seperti garam Chile, asid, bancuhan kultur mikroorganisme, tumbuhan-tumbuhan herba dan lain-lain. Kompleks penyelidikan lain di Kogen ialah kompleks makmal penyelidikan ubat-ubatan dan kompleks makmal penyelidikan pertanian, namun disebabkan keterhadan ruang, maka kedua-dua makmal ini terletak di sebuah kawasan tersembunyi di Gunung Kogen yang hanya boleh dilawati oleh mereka yang telah diberi kebenaran oleh keluarga Shirasaka.
Shinji
sedang duduk membaca berseorangan di dalam bengkel relau di kompleks
penyelidikan senjata, memikirkan kaedah baru bagi menambahbaik Saishi-tou demi
memenuhi janjinya dengan Ryouji, sebelum tiba-tiba pintu bengkel relau diketuk.
“Ya,
Musashi-san.” Shinji berdiri di muka pintu gelangsar.
“Seperti
biasa. Bijih tamahagane, dan resin aomomiji yang engkau tempah.”
Musashi membawa turun seguni bijih dan sebuntil kain berisi resin.
“Arigatou.
Ne Musashi-san, chotto ii ka (boleh tunggu sebentar)?”
“Hai,
doushita no (ya, ada apa)?”
“Engkau
akan menghantar guni-guni lain garam Chile itu ke hab simpanan senjata bukan?”
Shinji menunjuk ke arah guni-guni kembung di dalam gerabak tunggal kereta kayu
yang tidak berbumbung dan ditarik dua ekor kuda yang dikawal Musashi itu.
“Ya.
Mengapa?”
“Bagaimana
jika aku mahu mengikutmu masuk ke sana?”
“Ano,
Shinji. Bukan aku tidak mahu...”
“Ini...”
Shinji mengeluarkan sesuatu yang disorok di balik pintu dan menayangkan kepada
Musashi.
Mata
Musashi membeliak melihat objek yang disuguh Shinji.
“Aku
dengar engkau banyak kali diancam panah oleh orang-orang Hamada yang cuba
mencuri bahan-bahan mentah kita. Aku telah siapkan baju rantai (chainmail)
ini untukmu.”
“Shinji,
arigatou. Ahaha...baju begini hanya tentera sahajalah yang memakainya,
Shinji. Ia terlalu mahal untukku.”
Musashi
menyambung, “Namun engkau tahu bukan aku tidak punya kuasa membenarkan engkau
ke sana. Semua atas keluarga Shirasaka.”
“Tidak,
tidak perlu kebenaran begitu. Aku cuba dahulu mengikutmu, dengan menyorok di
balik guni-guni itu. Jika kuasa Shirasaka menghalangku, maka aku terpaksalah
bertemu mereka dahulu.”
“Mengapa
tidak sahaja engkau meminta kebenaran Kotobuki-san terus? Bukankah dia
rapat denganmu?”
“Tidaklah
serapat yang engkau fikirkan. Namun aku fikir lebih mudah mengikutmu. Kotobuki
pasti tidak akan membenarkan sembarangan orang masuk ke sana, dan aku malas
berbasa-basi dengannya demi mendapatkan kebenaran. Dia amat sukar.”
“Dengan
merancang ini, engkau telah beranggapan awal bahawa kuasa mereka tidak akan
berkesan ke atasmu?”
“Aku
fikir begitulah.”
“Apa
alasanmu?”
“E
to, aku pun tidak pasti. Aku fikir aku boleh menghindarnya.” Tidak, aku
tidak boleh memberitahu Musashi bahawa aku dari keturunan Amaguri. Tujuanku
menyelinap ke tempat simpanan senjata ialah demi memastikan bahawa jika aku boleh
menghindar kuasa Shirasaka, barangkali aku boleh memasuki kawasan-kawasan
rahsia lain juga. Seperti penjara mereka.
“Engkau
memang peliklah Shinji. Baiklah, ke sini baju rantai itu.”
Musashi
membelek-belek baju rantai. “Dari mana engkau dapat bijihnya? Ia nampak baru.
Tiada tompok karat.”
“Aku
tidak membuatnya di sini, Musashi-san. Aku membelinya dari seseorang
dengan wang sendiri.”
“Hontou
ka (sungguh)?”
“Hontou
da yo (sungguh). Rakanku kenal pembekal dari kalangan pedagang Belanda.
Musashi-san, hanya pakai di dalam sahaja dan jangan heboh-hebohkan.”
“Selalunya
ia dipakai di luar. Namun baju begini tidak sesuai dikenakan bersama kimono
maka aku memang akan memakainya di dalam. Usah bimbang Shinji, aku tidak akan
hebohkan pemberian ini kepada sesiapapun.”
“Arigatou.”
“Ne,
Shinji. Tunggu di sini esok.”
Shinji
tersenyum lebar sebaik Musashi beredar jauh dari pandangan.
Terima
kasih Inoue-san membelikan aku baju rantai antik itu dari pedagang
Belanda. Aku tidak akan melupakan jasamu. Baju itu amat berkualiti kerana ia
direka khas bagi mengalis peluru juga. Kelulinya setanding dengan keluli dalam
bilah katana.
**
Esoknya,
Musashi datang lagi dengan membawa kereta kuda berisi guni-guni. Kali ini juga
guni berisi tamahagane untuk disimpan di hab simpanan senjata.
“Ayuh,
cepat. Kita tidak punya banyak masa.”
Shinji
melompat masuk ke dalam gerabak kereta kuda dan menyorok di balik guni-guni.
“Jika
kuasa Shirasaka menghalangmu, engkau akan tertinggal di belakang, barangkali di
tengah-tengah padang rumput tanpa engkau sedar.” Musashi memaklumkan sebelum
dia menggerakkan kereta kudanya. “Jika demikian, tunggu sehingga aku kembali.”
“Faham.”
Kereta
kuda itu membawa mereka mengelilingi denai sekeliling Shirasaka-no-Kogen
sehingga tiba di kawasan yang lebih rendah dari Kogen-no-shita. Kemudian mereka
menuruni cerun landai yang lurus sehingga tiba di lereng berumput dan ditumbuhi
pokok-pokok gunung yang berjarak.
Shinji
menjulur keluar kepala dan mengintai dari balik guni-guni bagi merakam
persekitarannya. Mereka menuju ke kawasan yang dipenuhi batu-batu besar di tepi
sebuah bukit yang hanya ditumbuhi rumput. Di balik batu-batu besar itu rupanya
sebuah terowong.
Mereka
memasuki terowong itu. Sekejap sahaja, sekeliling kembali terang.
“Shinji?
Engkau nampak apa yang aku nampak?”
“Ya.
Tembok-tembok batu yang tinggi. Dua orang pengawal di pintu gerbang utama.”
“Maka
engkau dibenarkan masuk ke kawasan ini. Inilah penjara Kogen.”
Penjara?
“Abaikan
ia dahulu. Kita akan ke tempat simpanan senjata di hadapan sana.” Musashi
mengerah kudanya.
Shinji
teruja. Maka dia dibenarkan masuk ke kawasan penjara oleh Shirasaka. Namun
masih terlalu awal untuk bergembira. Dia perlu memastikan bahawa dia juga
dibenarkan memasuki tempat simpanan senjata.
Musashi
berhenti sekali lagi, jauh sedikit dari pintu masuk kawasan simpanan senjata.
“Sekarang
kita sudah sampai. Sekali lagi soalanku, engkau nampak apa sekarang?”
“Tembok
batu juga. Kali ini lebih rendah dari tembok batu penjara itu.”
“Bagus.
Engkau tidak terkesan oleh kuasa Shirasaka nampaknya.”
Shinji
menjerit kegembiraan, dalam hati. Aku tidak tahu mengapa aku tidak terkesan
oleh kuasa itu, mungkin kerana aku berdarah Amaguri. Terima kasih Musashi
membantuku.
“Sekarang
engkau bersembunyi baik-baik. Mereka akan memeriksa guni-guni itu. Ingat semua
yang kita telah setujui.”
“Baik,
Musashi-san.”
Shinji
menyorok pada bahagian sudut gerabak itu, di bawah guni-guni dengan mengekalkan
susunan asal guni-guni tersebut. Sebelum bertolak pada hari tersebut Shinji
menerangkan perancangannya, di mana ia dipersetujui oleh Musashi.
“Aku
sebenarnya ingin melihat apa yang ada di dalam kawasan simpanan senjata itu.”
“Untuk
apa?”
“Hanya
melihat. Aku mahu mendapatkan gambaran.”
“Gambaran?”
“Apakah
Kogen ada bahan kimia yang aku perlukan.” Shinji berbohong di sini.
“Untuk
apa?”
“Aku
ingin memperbaharui komponen badan senjata api yang kami jiplak dari versi
pedagang Belanda.” Shinji menambah bohong lagi.
“Gigih
benar engkau. Mengapa tidak sahaja engkau minta aku lihatkan?”
“Aku
tidak boleh memberitahumu bahan kimia itu. Sekiranya berjaya, ia akan dijadikan
formula rahsia Kogen.” Lagi dia berbohong.
“Hmm.
Apa-apalah. Ingat Shinji, kebiasaannya mereka akan memeriksa lapisan guni
teratas saja. Dan jangan alih guni-guni itu. Hanya menyorok di bawahnya. Jika
engkau alih, susun kembali ke kedudukan asal agar mereka tidak mengesyaki
kita.”
“Ryoukai
(faham).”
**
Kereta
kuda itu menapak di tepi bangunan kayu yang panjang, tingginya setingkat dan
berbumbungkan jerami tebal, bumbungnya amat tinggi, setinggi empat ekor kuda
dewasa berdiri di atas satu sama lain. Sengaja Musashi memberhentikan kereta
itu agar pintu belakang gerabak berhadapan benar-benar dengan pintu masuk ke
bangunan itu.
Sebaik
dia membuka pintu belakang gerabak, dia memanggil Shinji separa berbisik.
“Shinji,
engkau boleh keluar sekarang.”
Shinji
turun. Dia terus masuk ke dalam bangunan kayu yang panjang dan tinggi itu. Di
hadapannya ada longgokan guni-guni. Rupanya bangunan itu gudang simpanan bahan
mentah untuk pembuatan senjata. Satu kawasan hanya ditempatkan guni-guni
berwarna perang. Satu lagi kawasan menempatkan guni-guni berwarna kuning.
“Sini
ialah gudang simpanan. Engkau boleh meninjau sekeliling. Bukankah itu
‘gambaran’ yang engkau mahukan?”
“Apa
dalam guni perang itu?”
“Belerang.”
“Kalian
masih menggunakan belerangkah?”
“Ya.
Kami tidak mahu membazirkannya. Ia dilombong dari lombong belerang di rumah
perlindunganmu dahulu.”
“Bukankah
belerang digunakan dalam ubat bedil berasap? Bukankah itu berbahaya kerana ia
mendedahkan lokasi penembak?”
“Benar.
Namun kami tidak menggunakannya dalam pistol mahupun senapang. Kami
menggunakannya dalam meriam. Lokasi meriam tidak penting kerana musuh
semestinya tahu ia berada di benteng pertahanan.”
“Meriam?”
“Di
atas bukit pada setiap lapan pintu masuk ke pergunungan ini, kami meletakkan
meriam sebagai persediaan sekiranya kami diserang secara besar-besaran, seperti
peperangan.”
“Pintu
masuk pergunungan...maksudmu yang terletak di luar Gaung Maut?”
“Ya.
Setiap dari kalian yang masuk ke sini pasti akan melalui salah satu dari
pintu-pintu tersebut. Dari mana engkau masuk pada hari perpindahanmu ke sini?”
“Aku
masuk dari pantai Yozehama.”
“Maka
itu Pintu Barat. Tujuh lagi pintu lain dinamakan dengan arah mereka, seperti
Pintu Timur Laut, Pintu Timur, Utara dan Selatan. Empat dari pintu-pintu ini
ialah terowong bawah tanah.”
“Terowong-terowong
ini tidak akan merentas Gaung Maut bukan?”
“Pandai
engkau. Benar. Ia hanya merentas perut Daratan Titian. Namun mereka yang tidak
dibenarkan memasuki oleh kuasa Shirasaka, akan turut tersesat meskipun sudah
memasuki bahagian terowong ini di bahagian Daratan Titian. Daratan Titian ialah
benteng terakhir yang dikawal oleh kuasa Shirasaka.”
“Jika
kuasa Shirasaka lesap, mana-mana penceroboh yang merentas Daratan Titian, baik
melalui terowong di bawahnya mahupun mengikut daratan itu, akan berjaya sampai
ke Gunung Kogen?”
“Benar.
Tetapi sebelum mereka berjaya sampai, mereka perlu terlebih dahulu berhadapan
dengan pengakap Kogen yang mengawal Daratan Titian di luar Cincin Penampan atau
Gaung Maut itu.”
“Musashi-san,
engkau tahu begitu banyak perkara.”
“Aku
bekas pengakap Kogen.”
“Naruhodo
ne (baru kutahu). Bagaimana engkau boleh bekerja mengangkut bahan mentah
pula?”
“Aku
ditawarkan gaji lebih tinggi. Aku tidak tahu mengapa Omi begitu berhati-hati
sekarang sehinggakan semua pengangkut bahan mentah digaji dari kalangan mereka
yang tahu bertarung. Barangkali mahu mengurangkan risiko bahan mentah dirompak
dan merugikan Kogen. Begitu ketat dia mengawal kewangan Kogen sekarang.”
Nampaknya
Musashi-san tidak tahu apa-apapun berkenaan motif sebenar Omi, getus
Shinji.
Shinji
berjalan menuju bahagian lain gudang simpanan itu. Dia mendapati guni-guni
kelabu diletakkan bertimbunan di sisi kirinya. Itu guni berisi tamahagane.
Di hadapannya ialah sebuah pintu ke bahagian lain gudang.
“Apa
dalam bahagian itu?”
“Garam
Chile dan bahan-bahan kimia lain yang perlu dihindarkan dari udara lembap.”
Shinji
memasuki bahagian gudang itu. Musashi mengekorinya, kemudian bersuara sebaik
mereka berdua di dalam.
“Shinji,
aku akan keluar mengangkut guni-guni tamahagane itu masuk. Selepas
engkau selesai nanti, pindahkan guni jerami dengan serbuk putih di luar bilik
ini ke dalam.”
“Baiklah.
Apa tujuan guni serbuk putih itu?”
“Demi
mengeringkan lembapan dalam bilik ini. Tutup pintu bilik ini ketika engkau di
dalam, dan selepas engkau meninggalkannya.”
“Ryoukai.”
Shinji
mengamati bahan-bahan yang disimpan di dalam bilik gudang itu. Di tepi atas
bumbung bilik dipasang batang-batang besi, seperti penjara. Udara luar
dibiarkan masuk dan keluar pada waktu itu dengan penutup pada batang-batang
besi ditopang buka menggunakan penyangga kayu. Mungkin cuaca sejuk pada musim
awal musim luruh ini menghantar udara kering masuk dan keluar.
Ada
guni bertuliskan ‘garam Chile’. Ada guni bertuliskan nama bahan kimia yang
tidak pernah didengarinya. Namun Shinji mengambil peluang mencatit nama-nama
tersebut ke dalam buku nota yang dibawanya. Juga kedapatan guni-guni berisi
beras dibiarkan di situ bagi menyerap lembapan.
Melihatkan
kuantiti bahan-bahan ini, dan bahan di luar, aku syak mereka sememangnya
melakukan persediaan untuk berperang. Garam yang disimpan di sini terlalu besar
kuantitinya. Meskipun mereka cermat menghindarnya dari kelembapan, paling
lamapun kuanggarkan hanya akan bertahan selama tiga bulan di dalam simpanan.
Bererti,
mereka akan berperang dalam masa terdekat? Tidak mungkin. Atau garam ini digunakan
untuk tujuan lain juga, seperti membaja tanaman? Aku perlukan bantuan Ryouji.
Bukankah dia didenda di ladang padi huma kami? Selain itu, mungkin juga mereka
menggunakannya untuk senjata. Pasti ada kawasan tersembunyi Kogen yang
dikhaskan bagi menghasilkan ubat bedil di sini. Ia tidak akan didirikan di
Shirasaka-no-Kogen. Pasti sebuah kawasan tersembunyi seperti tempat ini.
Shinji
keluar, memindahkan guni serbuk putih ke dalam, dan menutup pintu bilik itu.
“Selesai?”
Musashi sudah duduk dan bersedia membawa keluar kereta kuda itu.
“Ya.”
Shinji menutup pintu belakang gerabak, dan bersembunyi di balik timbunan
jerami.
“Musashi-san,
dari mana pula jerami-jerami ini?”
“Oh,
aku menukar gerabak lain. Engkau tidak perasan?”
Shinii
melihat pintu belakang gerabak. Ada dua selak kunci. Gerabak sebelumnya ada
tiga kunci.
“Ya,
lain. Ke manakah jerami ini akan dibawa?”
“Ke
Kogen-no-Shita. Ada bumbung rumah yang perlu dibaiki. Engkau boleh terus turun
pulang ke rumahmu pabila kita sampai di sana nanti.”
**
Beberapa
hari kemudian, Ryouji menemui Shinji.
“Shinji,
bagaimana dengan hari ini?”
“Berkenaan
apa?”
“Tentang
rancangan kita ke lembah Amaguri.”
“Oh.
Apa kata malam ini?” Shinji memerhati sekeliling sebelum mengutarakan
cadangannya. Dia tidak mahu Tsuneki atau yang lainnya menyedari perancangan
mereka.
“Ryoukai.”
“Ne,
Ryouji. Aku boleh membantumu, dengan satu syarat.”
“Apa
dia?”
“Mari,
kita duduk di taman zen. Aku rimas di sini, takut-takut ada pencuri dengar.”
Mereka
berdua mengambil tempat masing-masing di bangku batu di taman zen.
“Apa
yang berlaku sebenarnya ketika engkau ke Suruga?”
“E
to... . Apakah ini syaratnya agar engkau membantuku ke lembah Amaguri?”
“Ya.
Aku mahu memastikan satu perkara.”
Lama
Ryouji membisu. Dia berbolak-balik.
Pada
hari aku mahu menceritakan pengalamanku di Suruga, aku telah mengubah fikiran.
Kebetulan selepas itu Shinji pula sibuk bertanyakan hal pedang Kobato, maka aku
layan sahaja. Kemudian dia tidak bertanya lanjut berkenaan pengalaman Surugaku
itu dan meninggalkanku. Mungkin hatinya sakit mengingatkan Saki. Entahlah. Dia
langsung ke perpustakaan bersendirian seperti biasa.
Jika
aku beritahu Shinji, bagaimana tanggapannya terhadap Kogen kelak? Adakah dia
akan meninggalkan Kogen tanpa menoleh lagi?
“Ryouji,
meski Kogen dibubarkan, aku akan tetap bersama engkau. Dan aku harap engkau
bersama aku, Tsuneki dan yang lainnya.” Shinji cuba memancing Ryouji.
“E
to...”
“Haih...
.” Shinji mengeluh, melihatkan Ryouji masih teragak-agak. “Ryouji, engkau tidak
yakin dengan Kogen bukan? Engkau menaruh syak terhadap pertubuhan ini bukan?”
Ryouji
tunduk membisu, kemudian menjawab perlahan, “Benar.”
“Sa
ne. Aku pun.”
“Engkau
pun?” Ryouji terkejut.
“Aku
fikir ada pasukan renegad sedang dibentuk.”
“Sou
ka. Apa yang membuatkan engkau mengesyakinya?”
“Nanti
aku kisahkan. Sebelum itu ceritakan dahulu kisahmu di Suruga!”
“Baiklah,
baiklah. Begini...”
Ryouji
mengisahkan pengalamannya di Suruga, bagaimana dia terpaksa menggantikan Ayame,
bagaimana dia gagal melaksanakan tugas Ayame sehingga ia dilakukan Tokui,
bagaimana Ayame sembuh dari racun torikabuto.
“Aneh.
Pertama kali aku mendengar perkara ajaib begitu berlaku ke atas pemedang
handal.” Shinji mengulas dari kisah Ryouji, merujuk kepada bagaimana Ayame
sembuh dari racun itu.
“Aku
pun tidak faham apa yang telah berlaku.”
“Bayangkan
jika engkau tiada Ryouji. Mungkin Touma dan Takumi sudah ditewaskan pasangan
itu. Ayame mungkin sudah dibunuh. Kotobuki seperti sudah dapat mengagak Ayame
tidak akan mampu menewaskan pasangan itu. Mungkin disebabkan itu dia
menghantarmu.”
“Aku
fikir pedangmu telah menyelamatkanku, Shinji.”
“Pedang
Saishi-tou itu?”
“Ya.
Masami-san bertarung setanding Ayame meskipun dia satu jurus di
bawahnya. Namun dengan Saishi-tou, aku mampu menewaskan Masami-san
sekelip mata, bahkan memudahkan aku naik ke jurus sembilan dengan lebih cepat.”
“Benarkah
begitu?” Shinji seolah-olah tidak mempercayai ‘testimoni’ Ryouji. Shinji
kemudiannya tersenyum berpuas hati.
“Pedangmu
telah membantuku beberapa kali sebelum ini juga. Arigatou.”
“Doumo.
Namun Ryouji, aku masih menambahbaik proses penghasilannya. Aku fikir ia masih
boleh dipecahkan.”
“Maksudmu?”
“Tiada
ciptaan manusia yang sempurna. Untuk pengetahuanmu, Saishi-tou masih boleh
dipecahkan dengan kelajuan hentakan tertentu oleh pedang lawan, pada bahagian
lemahnya.”
“Bahagian
lemah?”
“Ya.
Semua pedang yang dihasilkan, akan memiliki satu titik lemah terletak mana-mana
di antara hujung mata dengan hulunya. Seorang pemedang yang bijak akan mengesan
kedudukan titik ini sewaktu bertarung menggunakan bunyi hentakan pedangnya,
bagi memudahkannya memecahkan bilah lawan. Ryouji, berhati-hati dengan pemedang
berpengalaman. Nasib engkau baik Masami-san belum sampai ke tahap
kecekapan begitu.”
“Meskipun
selepas dicampur resin aomomiji?”
“Benar,
resin itu hanya meringankan bilah dan menguatkannya, namun titik itu masih
wujud. Namun mengesannya pada Saishi-tou lebih sukar berbanding pedang biasa.”
“Dan
berbalik kepada Skuad Sakura yang engkau kisahkan itu, adakah Ayame sudah
menerangkannya lanjut?” Shinji kembali ke topik asal perbualan.
“Tidak.
Hanya ketika itu sahaja, ketika dia memujuk tiga orang budak perempuan itu. Apa
yang kau tahu lebih tentangnya?”
“Aku
bertemu seseorang sewaktu aku dan Tsuneki ke lereng berumput, malam sebelum aku
ke Kawamoto. Namanya Hotaru.”
“Hotaru?”
“Ya.
Mengapa?”
“Aku
pernah mendengar seorang nazir bernama Hotaru dihantar Kogen mengawasi
Takasaki, dari Chisato. Chisato mendengar dari Azusa. Hotaru sering datang ke
kuil patung Buddha dan patung singa dan berbual dengan Azusa.”
“Mengawasi
Takasaki? Maksudmu?”
“Semua
penjaga rumah perlindungan akan diawasi dari masa ke semasa, oleh pasukan nazir
atau pengintip khas Kogen yang dinamakan Skuad Sakura itu.”
“Naruhodo
(Baru kutahu). Nampaknya Kogen mengesyaki penjaga rumah perlindungan...”
“Bukan
begitu Shinji. Ia sebagai langkah berjaga-jaga. Lihatlah, tanpa mereka, mungkin
Segawa dan Masami masih bebas melakukan jenayah mereka.”
Shinji
menyambung berkenaan Hotaru.
“Aku
fikir Hotaru yang kutemui di lereng berumput itu Hotaru sama yang mengintip
Takasaki-san. Dia memberitahuku dia dari pasukan nazir.”
“Nazir?
Dia ada kata apa-apa mengenai Skuad Sakura?”
“Dia
mengaku dia dari pasukan itu. Dia berada di lereng berumput atas tugas sambilan
mengawasi persekitaran Kogen.”
Masing-masing
berdiam diri sejenak, cuba menghadam maklumat-maklumat baru yang dikongsikan
sesama sendiri.
“Aku
tidak pernah menyangka akan berlaku perkara sebegitu di rumah perlindungan
kita.” Shinji kembali bersuara.
“Aku
pun.” Ryouji menambah. “Aku perhati Ayame amat marah akan apa yang telah
berlaku. Katanya tragedi begitu berlaku jarang-jarang, namun meningkat sejak
beberapa tahun belakangan ini.”
“Ryouji,
apa yang telah berlaku kepada Kogen? Pertama kejadian yang engkau alami di
Suruga. Kemudian persoalan mengenai Skuad Sakura. Apakah Kogen masih boleh
dipercayai? Apakah pasukan Ayame sedang cuba memecahbelahkan Kogen?”
Soalan
begini. Soalan beginilah yang menakutkanku. Dan ia terpacul juga akhirnya dari
insan yang paling kutakuti akan menaruh syak terhadap Kogen, iaitu Shinji.
Belum cukup dengan Tokui, kini tambah lagi seorang. Lebih malang, kedua-duanya
pelapis bijak pandai Kogen.
“Ryouji,
apa fikirmu tentang Ayame? Apakah dia masih setia dengan Kogen?”
Aku
telah lama ramalkan yang soalan begini akan keluar dari mulut Shinji. Nasi
sudah menjadi bubur. Hotaru telah membongkarkannya. Mahu tak mahu aku terpaksa
mengendalinya sekarang.
“Aku
yakin Ayame cuma mahu memperbaharui Kogen melalui pasukan itu. Usah kau bimbang
Shinji.”
“Aku
tidak bimbang. Aku hanya mahu mengetahuinya lebih awal. Jika Kogen tidak lagi
boleh diharapkan, aku bersedia melarikan diri.”
“Apa
yang buat engkau fikir begitu?”
“Aku
tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan mereka. Baik pertelingkahan sesama
sendiri, mahupun pertelingkahan dengan pihak luar seperti perang saudara yang
pernah kuramalkan itu. Aku harap engkau dan rakan-rakan kita yang lain turut
menyertai kita.”
“Apakah
kau punya perancangan terperinci? Terutama bagaimana melindungi diri kita.
Engkau tahu bukan keadaan di luar tidak tenteram? Bekas samurai berjenayah,
orang-orang Hamada masih menjejaki kita?”
“Aku
akan melindungi diriku dengan senjata api. Kita akan melindungi diri kita
dengan senjata masing-masing. Buat apa kita berlindung di sini jika mereka
semua sudah tidak boleh diharapkan?”
“Tidak
semudah itu, Shinji. Aku punya Hisamiko. Chisato pun masih dirawat di sini.
Jika aku membawa Chisato keluar, aku juga perlu membawa sama Chiho dan Chinami.
Aku perlukan perancangan rapi sebelum keluar dari sini. Dan aku tidak punya
kemahiran lain selain bertarung. Entah apalah pekerjaan yang sesuai denganku di
luar sana.”
“Betul
juga katamu.” Benar katamu Ryouji. Aku berseorangan. Mudah bagiku melarikan
diri. Namun tidak padamu. Kita sebaya. Namun engkau jauh lebih dewasa dariku.
“Selain
itu Shinji, aku mahu kekal di sini. Aku mahu mengubah Kogen. Aku percayakan
Ayame dan Kotobuki. Aku tidak akan membiarkan anak-anak di rumah perlindungan
Kogen dikhianati lagi. Dan aku pasti akan menumpaskan Hamada, melalui Kogen.
Dengan menggunakan segala apa yang ada di sini.”
Shinji
merenung mata Ryouji yang bercahaya ketika dia menuturkan kata-kata itu.
“Engkau
ada mendengar bukan? Tentang tawaran menyertai pasukan polis dan tentera
Maharaja? Mungkin engkau boleh menyertainya sebagai pekerjaan baru di luar?”
“Aku
ada mendengarnya. Namun ia memerlukan aku menyertai kem latihan selama lima
tahun sebelum diterima masuk. Namun aku...”
“Mengapa?”
“Tidak
ada apa-apa.” Nyaris aku membongkarkannya tadi! Tidak, aku tidak boleh
sekali-kali memberitahu yang aku akan mati dalam tempoh tiga tahun. Jika Shinji
mengetahuinya, dia akan lemah. Aku tidak boleh mensia-siakan Shinji. Dia
harapan Kogen.
Shinji
merenung Ryouji. Sekali lagi. Sekali lagi engkau cuba menyembunyikan sesuatu
dariku, Ryouji.
“Ryouji,
mengapa dengan kem latihan lima tahun itu?”
“Aku
risau di mana aku akan tempatkan Hisamiko selama aku dilatih.”
Benarkah
begitu?
Ryouji
mengerling wajah Shinji yang sedang merenungnya. Harap engkau menelannya
Shinji!
Aku
tahu engkau sedang menyembunyikan sesuatu, getus Shinji. Tidak mengapa. Aku
akan lepaskanmu hari ini. Mungkin aku harus menyogok Hisamiko. Aku harap
Hisamiko cukup naif. Hisamiko pun seperti tahu sesuatu.
“Ma,
iika (Tidak mengapalah). Mungkin aku patut kekal di sini. Ryouji, walau ke
mana sekalipun engkau pergi, aku akan mengikutmu.”
Ryouji
tersenyum tawar, matanya merenung langit musim bunga yang cerah. Engkau tidak
akan mampu mengikutku Shinji. Tempat yang aku tujui itu terlalu jauh, sunyi. Ia
sebuah kematian. Ia tempat yang engkau tidak akan kembali darinya. Hiduplah.
Carilah kehidupanmu di sini. Selagi umurku berbaki, aku akan cuba membina harapan
di sini. Demi kalian dan keturunan kalian. Melalui Kogen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan