Hisamiko mula
terpengaruh dengan kata-kata Tomokazu.
“Bagaimana dengan
Shiro? Shiro masih memerlukan engkau. Bertarung Hisamiko. Kaisenjyo sedang –”
“DIAM!” Bentak
Kaisenjyo. Tomokazu di alam nyata terdorong ke belakang sehingga tubuhnya
menghentam pokok buah seperti momo.
Buah-buah di atasnya gugur. Shiro dan Kuro memerhati kebingungan.
Di dalam mimpi
Hisamiko, buah bernama Shiro itu hampir gugur dan hanya digantung tangkai yang
hampir patah.
“Hisamiko, jika
buah ini gugur sepenuhnya, tiada cahaya lagi di sini. Apakah engkau mahu
tinggal di sini dalam kegelapan? Fikir Hisamiko. Tiada harapan lagi di dunia
luar. Engkau tidak dibenarkan meninggalkan pulau itu oleh angin dan gelora. Engkau
akan berseorangan. Shiro, ia hanya binatang. Engkau akan mati jua berseorangan.
Di sini engkau akan ditemaniku. Engkau akan berbicara denganku. Aku akan
memberikanmu lebih banyak cahaya di sini. Aku akan menerangkan sekitar pulau
tanah ini untukmu. Seperti ini.”
Kaisenjyo
menerangkan kawasan luar pulau tanah. Kelihatan sebuah taman yang indah dengan
cahaya terang benderang. Di sepanjang laluan taman itu ada keramaian
berjalan-jalan sambil memerhati barangan yang dijaja di bahunya. Hingar dari
taman itu menerobos semakin kuat. Ia seperti keramaian di Inotani yang pernah
dikunjungi bersama abangnya. Di dalam keramaian itu Hisamiko perasan kelibat
abangnya sedang memilih makanan.
Tatkala Hisamiko
membulat mata memandangnya Kaisenjyo menggelapkan dan menyembunyikan kembali
pemandangan itu. Hingar menghilang dan suasana kembali sunyi dalam kawalan
Kaisenjyo.
“Dou, Hisamiko? Bukankah itu abangmu?
Yang sedang memilih makanan itu.”
“Aku mahu pulang.
Shiro tiada di sini.” Tidak, tidak mungkin onii-san
hidup di sini! Onii-san sudah lama
pergi dan aku telah ‘menghantarnya’ pada malam itu! Aku telah melepaskannya.
“Mengapa? Shiro
hanya seekor anjing.”
“Aku mahu pulang!
Dan Shiro bukan seekor anjing!”
“Bukan anjing? Aku
telah menyumpahnya.” Kaisenjyo tanpa menyedari terlepas bicara.
“Engkau telah
menyumpahnya? Apa maksudmu? Apakah dia seorang manusia sebelumnya?”
“Engkau...engkau Hisamiko...engkau
memang...”
“Maka benarlah dia
seorang manusia. Tidak hairanlah dia faham bahasaku bahkan tahu menulis.”
Hisamiko memandang
buah bertuliskan Shiro itu dan dia mengatup bahagian tangkai yang patah. Cahaya
dari buah itu semakin terang tatkala bahagian tangkai pokok yang patah dicantum
kembali. Hisamiko terperanjat. Dia hanya melakukannya spontan dan tidak
menyangka ia berupaya mengembalikan cahaya.
Dari cahaya terang
buah Shiro dia mendapati buah bertanda Ryouji dan Tsuneki juga ada kesan
dipotong pada tangkainya. Dia tahu ia mungkin angkara Kaisenjyo. Dia mengikat
buah itu dengan kain yukata yang dikoyak. Semakin banyak tangkai dia ikat
kembali sehingga tanah pulau itu kembali terang-benderang seperti di awal
mimpi.
“Kaisenjyo, aku
mahu pulang. Dan nyah engkau dari duniaku.”
“Hisamiko, apakah
engkau tidak mahu bersama abangmu? Dia di sana Hisamiko. Dia di sana dan aku
boleh membawamu ke sana andai engkau akur dengan permintaanku. Abangmu di sana
Hisamiko!”
Hisamiko tidak
mengendahkan suara itu.
“Hisamiko!” Seru
Kaisenjyo lagi.
Suara Tomokazu
berkumandang kembali, “Hisamiko, masuk ke dalam lubang pokok itu.”
Batang pokok itu
membelah sedikit melimpahkan cahaya yang amat benderang tertebar menenggelamkan
cahaya merah jambu dari buah-buah yang berjuntaian. Hisamiko meluru ke arah
lubang pokok dan sejurus selepas itu dia tersedar dari tidurnya. Masih
terngiang-ngiang jeritan Kaisenjyo memanggil namanya tatkala dia meluru ke arah
lubang pokok itu.
Kuro tiba-tiba
menggerutu dan bangkit. Dia cuba menerkam Tomokazu namun ditahan Shiro. Mata
Kuro memancar sinar aneh, seperti mata binatang yang biasa.
“Kuro, apa yang
merasukmu? Kuro, sedarlah Kuro!” Shiro cuba mengembalikan kewarasan Kuro dengan
menepuk kepalanya. Shiro perasan mata hitam Kuro membesar seperti seekor
beruang.
Tomokazu sudah
dapat mengagak punca Kuro berkelakuan begitu. Sihir Kaisenjyo sudah terhapus.
Kuro tidak memakan Tomokazu lama dahulu kerana sihir Kaisenjyo. Namun kini
sihir Kaisenjyo nyata sudah melenyap. Hisamiko telah memenangi pertarungannya
dengan Kaisenjyo. Tomokazu sedar dia hanya membantu, kejayaan sebenar bertitik
tolak dari usaha dan kebijaksanaan Hisamiko sendiri. Tomokazu tersenyum
menyedari hakikat itu. Kini dia hanya mahu hidup dan keluar dari pulau ini.
Selagimana Kaisenjyo di sini selagi itulah dia akan dihalang dan dipenjara di
sini oleh angin dan gelora laut. Namun kini dia bebas seperti burung
berterbangan di langit.
Tomokazu melarikan
diri tatkala mendapati Kuro disekat Shiro. Namun Shiro terlepaskan Kuro jua
tatkala terkejut mendapati Hisamiko bangkit. Menyedari kesempatan memihak
kepadanya, Kuro melompat dan menerkam Tomokazu seraya membaham lehernya.
Tomokazu mati serta-merta.
Dalam kesamaran
Hisamiko bertanyakan Shiro, “Lelaki itu...dia Tomokazu bukan?”
Shiro hanya
mendiamkan diri. Apa gunanya bercakap, kerana yang kedengaran dari tenggorok
hanya gerutu dan ngauman. Shiro berundur dan membawa lari Hisamiko ke lembah
rahsia mereka. Hisamiko lagi mendesak tatkala soalannya tidak berjawab.
“Itu Tomokazu
bukan?”
Shiro mengangguk
perlahan.
“Mengapa...mengapa
engkau tidak menyelamatkannya?”
Shiro tidak
menghiraukan soalan Hisamiko dan dia terus menghabiskan gelungsur sepanjang
terowong sehingga bertemu muka terowong yang menghadap ke lembah rahsia.
Dalam hati Shiro
berbisikan. Maafkan aku Tomokazu. Engkau
sepatutnya sudah mati pada hari itu. Anggaplah aku telah membunuhmu pada saat
ini, sebuah pembunuhan yang sepatutnya aku lakukan dahulu lagi, tertangguh
sehingga ke saat ini. Aku tidak mahu sesiapapun lagi tinggal di pulau ini.
Pulau ini hanya untukku dan Hisamiko.
Dan Kuro, aku akan
pastikan engkau mati suatu hari nanti. Kuro, engkau telah menjadi binatang,
engkau tidak lagi bertutur denganku seperti biasa, matamu telah menjadi mata
binatang. Aku tidak mahu binatang sepertimu mengapa-apakan Hisamiko.
**
“Mengapa engkau
tidak menyelamatkannya?!” Jerit Hisamiko selepas Shiro mengesahkan lelaki itu
Tomokazu.
Shiro mendiamkan
diri. Dia terus menulis di atas tanah.
“Kuro lebih pantas.
Aku tidak sempat. Maafkan aku.” Shiro cuba beralasan.
Hisamiko tunduk
dibayangi rasa terkilan.
Bahkan aku
mengenalnya Hisamiko. Dia ahli rombongan kapalku. Aku patut lebih terkilan
darimu. Namun itu sudah berpuluh tahun berlalu. Aku mahu melupakannya dan aku
mahu engkau turut melupakannya. Usah kerana dia menyelamatkanmu dari Kaisenjyo
maka engkau terhutang budi dengannya. Lupakan dia Hisamiko dan hanya fikirkan
aku dalam benakmu. Lupakan segalanya di sini dan kita hanya berdua hidup di
sini. Aku akan sentiasa menyokong apa sahaja tindakanmu, asalkan kita tetap
berdua di pulau ini.
“Kuro? Haiwan hitam
itukah?”
“Benar.”
“Ia membaham
Tomokazu...”
“Ia sudah hilang
kemanusiaan. Aku baru bertemu dan sempat bercakap dengannya dalam bahasa kami,
namun aku tidak tahu mengapa, tiba-tiba ia menerkam Tomokazu. Hisamiko, apa
yang berlaku dalam mimpimu?” Shiro mengalih topik.
“Aku menolak
Kaisenjyo bersekutu denganku. Dia telah melenyap dalam sinar cahaya yang amat
terang. Tanpa Tomokazu, mungkin aku tidak akan dapat diselamatkan.”
**
Kuro mengambus
tulang-temulang Tomokazu dalam lubang yang digali. Dia bingkas berbaring dalam
gua dan tidur selama seminggu, seperti selalu tatkala dia kekenyangan.
Seminggu berlalu,
dia kembali lapar. Hanya daging manusia yang menjadi pilihan kini. Dia terbau
manusia, namun bau itu cukup jauh dan dikit. Tatkala angin bertiup, bau itu
menguat. Dia menyusur arah angin, membawanya ke lubang di lantai hutan gelap.
Tiada gentar lagi
yang menghantui dirinya. Menjadi binatang, maka hanya lapar dan dahaga
mendorongnya, tiada lagi memori sebagai manusia memandu tulang empat kerat.
Kuro menelusuri dan menggelungsur sepanjang terowong bawah tanah sehingga
bertemu lembah rahsia.
**
Tiada ulasan:
Catat Ulasan