Kuro memerhati
Hisamiko dan Shiro dari balik pokok hutan gelap.
Tidak syak lagi,
gadis itulah yang menolak Nozomi ke dalam laut! Gerutunya dalam hati.
Setibanya aku di
tebing tinggi, aku nampak mayat Nozomi terbaring di atas kapal itu. Dia
menolaknya selamba bersama mayat-mayat lain. Aku bingkas terbang menjunam ke
dalam laut dan menarik keluar mayat Nozomi. Mujur aku sempat. Jika tidak
mereputlah ia di dalam.
Jelas gadis ini
yang membunuh Nozomi. Mengapa, apa salahnya? Apa salahnya?
Nozomi bangunlah...
Kuro menggoncang-goncang tubuh kaku beryukata putih itu.
Mengapa Nozomi
tidak lagi berbau buah momo?
Bahkan...
Kuro memerhati
mayat Nozomi yang dibiarkan di lantai hutan berhampiran tempat dia berdiri.
Rambut Nozomi kembali hitam seperti dahulu, seperti lima ratus tahun dahulu. Taringnya
sudah hilang. Baunya bau daging yang menyelerakan, namun dilapisi bau busuk mayat
tatkala ia mulai mereput. Ulat-ulat sudah mula mengerumuni dan berkenduri di sekeliling
tubuh dan menyelinap memasuki rongga-rongga tubuh.
Bahkan aku mengesan
bau momo itu dari tubuh gadis itu
pula. Bau yang sekian lama datang dan dihidu dari tubuh Nozomi, kini datang
dari tubuh gadis yang sedang duduk menangis di hadapan kubur-kubur itu.
Mengapa aku begitu
bodoh. Nozomi-ku telah mati lama dahulu. Dia telah mati lima ratus tahun
dahulu! Aku telah diperbodohkan oleh Kaisenjyo, penunggu pulau ini, nampaknya. Nozomi
telah mati selepas dia terjun dari tebing itu! Dia telah mati sejak kala itu
lagi!
Kuro menekup muka
pada tanah. Dia menderam geram. Tatkala reda sedikit gundah-gulana, dia ansur mengorek
tanah di sebelah jasad Nozomi.
Kuro menolak perlahan-lahan
mayat Nozomi dengan kaki hadapan dan mulutnya, dan mengambus jasad itu. Sebuah
pengebumian yang sepatutnya telah dilakukan lima ratus tahun dahulu, namun
tertangguh sehingga ke saat ini barulah dilangsaikan.
Kuro berbaring di
sisi kubur Nozomi.
Nozomi maafkan aku.
Maafkan aku, selepas lima ratus tahun engkau pergi baru sekarang engkau
bersemadi dengan aman di dalam perut bumi. Kerana mementingkan diri aku
membiarkan engkau dipergunakan Kaisenjyo selama lima ratus tahun. Aku
membiarkan jasadmu terseksa dipergunakan roh jahat itu semata-mata agar engkau
sentiasa berada di sisiku. Sungguh aku pentingkan diri! Sungguh aku tidak
menghormati pemergianmu!
Tiada nyawa kedua
di dunia ini. Hanya rasukan. Hanya semangat yang merasuk, semangat pulau ini
yang bernama Kaisenjyo itu. Nozomi mati kerana sumpahannya. Nozomi mati kerana
sumpahannya telah meragut aku dari hidupnya. Aku akan membunuh Kaisenjyo. Aku
tahu di mana semangat itu berada. Bau momo-nya.
Aku tahu Kaisenjyo
sedang menempati gadis itu separa. Dia sedang bertarung merebut jasad gadis itu
dengan rohnya.
Kaisenjyo di mana
engkau? Keluarlah. Jika engkau di dalam tubuh gadis itu sekarang, keluarlah.
Aku akan tamatkan riwayatmu. Atau aku terpaksa korbankan gadis itu. Tidak jika
aku korbannya, Kaisenjyo akan menempati tubuhnya penuh. Bagaimana aku harus
menghapuskannya?
**
“Oh, di sini engkau
Kuro?” Kedengaran suara Tomokazu menegur dari belakang. Kuro sedang berbaring
di atas tebing tinggi mengadap laut, di tempat Tomokazu tinggal.
Kuro memberitahu
dengan menulis pada tanah. “Gadis bertaring dalam yukata putih itu sudah
tiada.”
“Sou?” Riak wajah Tomokazu kehairanan.
Ada kegembiraan juga terselit kerana selepas ini tiada lagi kelibat itu yang
sekali-sekala muncul mengugutnya.
“Sou. Ia hanya jasad seseorang yang digerakkan
seolah boneka oleh penunggu pulau ini. Sekarang penunggu itu di dalam tubuh
jasad lain.”
“Jasad lain?”
“Salah seorang
gadis yang kitaperhati selama ini.”
“Oh begitukah?”
“Aku akan membunuh
gadis itu Tomokazu.”
“He? Engkau pasti penunggu itu akan turut
terhapus?”
Kuro terhenti
menulis pada tanah.
Hisamiko muncul di
hadapan mereka.
“Oh Tomokazu, Kuro.
Sekarang kalian telah mengetahui rahsiaku nampaknya.”
Kuro menggerutu.
Taringnya terserlah, rahangnya sedikit terangkat. Dia bangkit dari perbaringan.
Amarah menggelora, Kaisenjyo di hadapannya selama ini telah berdusta dan
memperguna jasad Nozomi demi memperdayanya.
“Kuro, engkau marah
denganku?” Kaisenjyo menyoal sinis dengan suara Hisamiko yang sedang bermata
putih. “Engkau mahu membunuhku sekarang? Cubalah. Jasad ini telah dijanjikan
Amaguri buatku. Aku tidak akan terkalahkan. Bahkan jika engkau membunuhnya, aku
dapat menempatinya penuh!”
Mata hitam Hisamiko
kembali memusat dan dia terkesima melihat haiwan hitam dan seorang lelaki yang
tidak pernah dilihatnya, di atas tebing tinggi berlainan dari yang selalu
dilawati, yang ada kubur abangnya itu. “Eh, di mana aku? Kalian? Siapa kalian?”
Soal Hisamiko.
“Engkau duduk diam
Hisamiko!” Kaisenjyo kembali menengking dengan suara Hisamiko. Mata Hisamiko
kembali memutih. Kaisenjyo kembali menguasai jasadnya.
Tomokazu memerhati
dalam keanehan. Dia faham kini. Dia tabib dan pernah menghadapi situasi sama.
Ia rasukan. Hisamiko sedang dirasuk.
“Kaisenjyo sedang
merasuk jasad gadis itu.” Ujar Tomokazu kepada Kuro. “Aku akan cuba
mengeluarkannya. Selepas itu aku akan tamatkan riwayatnya sendiri.”
Kuro menyoal dengan
menulis pada tanah, “Engkau yakin boleh melakukannya?”
“Aku cuba. Sekarang
dengar perancanganku. Umpan dia sehingga ke tepi lubang itu. Di tempat di mana banyak
pokok yang berbuah lebat dengan buah seperti momo tumbuh berkelompok. Engkau bawakan budak perempuan ini ke
sana, aku akan menunggu kalian di sana.” Hanya di sana sahaja aku dapat
menerobos ke dalam benak Hisamiko dan mencungkil Kaisenjyo keluar. Jika sebelum
ini Kaisenjyo bebas bergerak dalam jasad Nozomi, maka sekarang tidak lagi
tatkala Hisamiko koma dan Kaisenjyo bertarung dengan rohnya. Aku boleh
melakukannya di bawah pokok momo.
Seperti rahsia Amaguri yang kubaca di dalam kitab tinggalannya itu, di sinilah
sihir Kaisenjyo akan dipatahkan.
Kuro mengangguk.
Pokok yang berbuah
seperti momo? Di tepi lubang itu? Ia
seperti pernah kulawati di sini. Oh ya, aku teringat, getus Kuro. Ia kisah lama
dahulu, terlalu lampau, terlalu dalam di dalam gaung memori. Aku hampir
melupakannya kisah lima abad lalu. Di situlah, di situlah aku pernah memetik
buah-buah untuk Nozomi, getus Kuro. Dan di lubang itulah aku telah terjatuh dan
disumpah sehingga menjadi haiwan ini.
Kuro melompat dan
cuba menerkam Hisamiko yang sedang dirasuk Kaisenjyo. Hisamiko mengelak
sepantas kaminari jurus empat.
Ternyata Kaisenjyo arif memanfaatkan tubuh Hisamiko beserta kemahiran
bertarungnya.
Namun Kuro lebih
pantas dan tubuh besarnya mudah memerangkap tubuh kecil Hisamiko. Kaisenjyo
yang masih membiasakan diri dengan tubuh baru itu tersilap satu dua langkah. Sebaik
kesempatan tiba, Kuro menerkam dan memeluk Hisamiko. Gadis yang masih dirasuk
itu meronta-ronta namun sebaik Kuro menekup mulutnya beberapa ketika dia
pengsan. Kuro kemudian terbang membawa Hisamiko ke tempat yang dinyatakan
Tomokazu, iaitu kawasan di mana pokok berbuah tumbuh berkelompok di dalam hutan
gelap itu.
Shiro tiba-tiba
datang melompat dari atas dan merempuh Kuro. Kuro terbaring sedang Hisamiko
masih kejap dalam pelukannya.
Kuro terkesima. Dia
memandang haiwan putih itu yang sedang menayang taring dan bersedia bertempur,
di hadapannya. Matanya berkilau disinar mentari kelam dari celah kanopi rapat.
Bulunya putih bersih. Ada sayap di belakang badannya yang sedang cuba
disorokkan selepas digunakan bagi memperlahankan impak terjunan. Haiwan putih
ini serupa benar dengan dirinya. Pertama kali Kuro bertemu haiwan serupa di
pulau ini, meski warna berlainan.
Shiro bersedia
bertempur bila-bila masa. Dalam berdiri dia mengamati haiwan hitam di
hadapannya yang belum pernah ditemukan itu. Ia serupa dengan dirinya, meski
warna berbeza. Mengapa Hisamiko berada bersamanya?
“Serahkan gadis itu
kepadaku.” Dengus Shiro, namun ia difahami Kuro.
“Siapa engkau?”
Soal Kuro, juga berbunyi dengusan seperti serigala namun difahami Shiro.
“Aku rakannya.”
“Oh rakannya?
Dengar sini, anjing –”
“–Aku bukan anjing.
Namaku Shiro. Dan aku pasti engkau punya nama juga bukan? Siapa namamu?”
“Kuro.”
“Kuro-san, serahkan gadis itu kepadaku
sekarang.”
“Serahkan kepadamu?
Dan engkau mengaku engkau rakannya? Apa buktimu?”
Grrr... gerutu Shiro.
“Baiklah, baiklah
Shiro.” Kuro beralah, enggan memanjangkan pertelingkahan. “Rakanmu ini sedang
dirasuk. Aku mahu membawanya untuk dirawat.” Kuro mencipta alasan. Dia mahu ke
pokok itu secepat mungkin demi mengeluarkan Kaisenjyo dari jasad Hisamiko dan
membalas dendam untuk Nozomi.
“Di mana?”
“Ikutku.”
“Mengikutmu?
Mengapa aku perlu mempercayaimu?”
“Shiro-san, ikutku sahaja. Aku tidak akan
mengapa-apakan gadis ini.” Kuro menegaskan dengan bersungguh-sungguh.
Shiro memaksa diri
mempercayai haiwan hitam seperti dirinya itu. Berbagai persoalan bermain di
benak. Apakah haiwan hitam itu? Mengapa fizikalnya benar-benar serupa dengan
dirinya? Mengapa ia boleh bertutur bahasa sama dengannya dan ia dapat
memahaminya? Bahkan haiwan hitam itu satu-satunya makhluk yang dapat bertutur
langsung dan memahami pertuturannya sejak ia disumpah menjadi anjing putih
berbulu lebat ini.
“Dari mana asalmu,
Kuro-san?” Soal Shiro.
“Aku terdampar di
sini lama dahulu.”
“Bila?”
“Era Ashikawa.”
Kuro menceritakan kisahnya yang dibuang ke laut bersama Nozomi sehingga kisah
mereka terdampar di pulau ini.
“Aku terjatuh ke
dalam lubang itu dan aku dikambus entah siapa.” Kuro menuding dengan kaki
hadapan ke arah lubang tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Mereka sudah tiba
berhampiran kawasan yang ditumbuhi pokok-pokok berbuahkan buah serupa momo.
“Maka engkau
berusia sekurangnya lima ratus tahun?”
“Benar.”
Melopong Shiro. Ini
bererti sumpahan itu bakal memanjangkan umurnya. Dia pasti dia turut disumpah
seperti Kuro. Kejadian yang dialami puluhan tahun lampau amat serupa seperti
kisah Kuro.
**
Tiada ulasan:
Catat Ulasan