Novel: Yumejima (Bab 40)

 

Kisah Genjirou (sambungan)

 

Suatu hari, aku tergerak hati untuk melawat satu bukit yang misteri, yang sering menarik perhatianku sejak tiba di sini namun tidak pernah sekalipun aku menjejakinya. Bukit itu hitam legam dan menirus ke udara. Ia struktur paling tinggi di sini. Pabila disinar mentari, ia berkilau sehingga menyilaukan mataku. Sekali pandang, ia seolah-olah menjaga pulau ini dari dijejaki. Dari silaunya, aku dapat merasakan bahawa ia punya kuasa lebih dari itu. Sesuatu yang belum aku ketahui. Barangkali, kuasa itu jugalah yang menghindar kapal dari menemui pulau ini, selain badai lautan.

 

Aku mendaki dan terus mendaki sehingga ke puncak. Namun permukaannya licin amat. Aku tergelincir dan terjatuh bergolek seperti batu menuruni cerun dan berhenti ditampan belukar yang tebal. Aku pengsan dan hanya tersedar esok paginya, namun aku bukan lagi berada di situ.

 

Aku berada di atas tebing tinggi tempat aku selalu melihat laut. Aku terpinga-pinga. Tertanya-tanya, bagaimana pula aku boleh berada di sini? Aku ingat benar, aku tidak mabuk. Tiada sake di sini untuk memabukkan diri. Aku tidak keracunan. Aku tidak memakan buah beracun. Aku hanya memakan ikan mentah yang kukail di sungai itu. Aku juga menjamah buah momo yang kupetik di tepi hutan tebing tinggi.

 

Aku melihat tapak-tapak kaki menjauhiku, dan menghilang ke arah...

 

Aku geram. Ia terpadam selepas hanya beberapa langkah aku menjejakinya. Sama ada ia sengaja dipadamkan, atau terpadam oleh kuasa alam seperti angin, aku tidak tahu.

 

Apapun, jelas, aku telah diangkat seseorang ke sini!

 

Siapa yang membawaku ke sini? Apakah, apakah ada insan lain yang turut hidup bersamaku di sini? Tomokazu? Tidak, Tomokazu sudah dibaham haiwan hitam itu.

 

Tidak semena-mena, air mataku mengalir menuruni pipi. Setelah sekian lama, setelah sekian lama! Akhirnya, akhirnya aku akan bertemu insan lain di sini.

 

Aku cuba mencari-cari jikalau insan lain itu berada di kaki bukit hitam legam itu.

 

Tiada. Nai.

 

Aku melangkah mengitar hampir segenap pelusuk pulau. Nai. Dare mo inai. Inai!

 

Di mana engkau manusia, keluarlah! Aku berjanji aku tidak akan membunuh  sesiapapun lagi. Keluarlah, aku damba bicara denganmu. Aku benar-benar menyesal... aku benar-benar sengsara.

 

Saat itu aku terlentang di atas pepasir pantai, keletihan jasad dan jiwa. Aku kembali merenung langit. Sepertimana hari itu, hari si tak guna Yoshihisa itu meninggalkan aku berseorangan di sini dengan rakitnya, langit membiru tanpa awan sekosongnya. Aku bertutur berseorangan lagi.

 

Tuhan, apakah Engkau sedang menghukumku sekarang?

 

Beberapa purnama sudah berlalu. Musim beransur dingin. Daun-daun di hutan itu sudah memerang dan gugur. Aku harus mencari perlindungan. Lalu aku melangkah menuju hutan yang gelap. Aku jarang ke hutan ini sejak aku menanam mayat-mayat rakan sekapal yang telah kubunuh di tapak hutan ini, namun kebosanan mendorong aku menerjah menerawang menerokanya lebih perinci, lebih dalam. Meneroka khazanah dosa-dosa hitamku, cuba mencari saki-baki, mengharap jika ada di antara mereka yang kubunuh itu bertahan dan masih hidup. Seperti Tomokazu, yang kutikam di pinggang. Tomokazu melarikan diri kegelabahan tatkala mendapati dirinya berdarah. Aku mengejar namun dia diterkam dan dibawa lari kelibat hitam amat pantas sekali, seperti binatang buas, di hutan ini juga. Aku anggap dia sudah mati dibahamnya.

 

Hutan ini terletak di atas tebing tinggi, hanya beberapa meter di belakang tempat aku selalu melihat laut. Jujurnya aku sedikit gentar. Aku tidak takut sebarang manusia pun kerana aku lebih kuat dari mereka, namun aku tidak betah bertarung dengan binatang buas. Seperti kelibat hitam itu.

 

Aku beranikan diri jua. Kerana bosan, dan kerana aku ingin menjejaki manusia misteri itu. Mungkinkah, mungkinkah insan itu menghuni hutan ini? Aku harus cuba mencarinya. Kala itu, aku sudah tidak mampu memikirkan marabahaya yang mengocak jiwa tempur yang sering memandu aku bergelut dengan manusia lain.

 

Tiada. Aku menunggu. Hari demi hari, aku sabar menghabiskan masa di dalam hutan itu. Aku belajar memanjat pokok-pokok yang tinggi seperti gergasi. Pokok-pokok di sini berdaun luruh, namun tingginya luar biasa. Dan kanopinya melitup lemas rapat-rapat sehingga rumpai-rumpai sukar tumbuh di lantai hutan. Pokok momiji sahaja sama tinggi dengan pokok shirakaba. Namun itu tidak menghalang aku dari memanjat sehingga ke puncak dan menerawang laut lepas. Di atas sebatang pokok, aku melihat jauh sehingga ke tengah laut, dan ia menjadi rutin baruku sejak meneroka hutan itu.

 

Suatu hari, aku nampak sebuah kapal, dan melambai-lambai tangan. Namun malangnya kapal itu terlalu jauh dari pesisir, terlalu kecil seperti semut. Aku geram, dan melambai sekuat-kuat hati, dan melaung sekuat hati, sehingga patah dahan tempatku berdiri akibat goncangan tubuhku, dan aku terjatuh. Aku bernasib baik, kerana jatuh ke dalam lubang yang ditimbun daun-daun kering.

 

Sebaik aku berjaya mengeluarkan diri dari lubang itu, terdetik di fikiran satu persoalan. Mengapa lubang ini boleh berada di sini? Ia sempurna, seperti dikorek manusia. Binatang tidak mengorek lubang sebegini besar. Dan ditutup daun-daun kering?

 

Aku mengorek daun-daun kering itu keluar, dan masuk ke dalam lubang. Lagi dikorek daun keluar, lagi dalam aku memasuki lubang. Tatkala aku cukup dalam dan gelap di bawah tanah, aku menyedari ada tanah-tanah dicampak ke dalam lubang dari luar. Aku menjerit memberitahu ada manusia di dalam. Aku berundur menuju ke permukaan namun tanah-tanah itu disumbat semakin banyak dan melemaskan. Aku menjerit dan memaki-hamun namun jeritanku tidak diendahkan. Tanah tetap disumbat dan ditekan.

 

Siapakah dia yang berani memerangkapku begini? Barangkali dialah manusia sama yang mengangkatku dari bukit hitam pada hari itu! Tidak, jika dia, mengapa pula dia cuba menanamku hidup-hidup selepas menyelamatkanku? Atau, apakah ada lebih dari seorang di sini?

 

Aku yakin benar aku sudah membunuh semua rakan sekapalku sini selain Yoshihisa yang berjaya melarikan diri. Apakah masih ada yang menyorok, seperti, Tomokazu? Hanya Tomokazu yang tidak aku pastikan betul-betul mati hidupnya, yang diserang binatang hitam itu. Atau, katakan Tomokazu mati, apakah pulau ini benar berpenghuni, oleh mereka yang tiba ke sini sebelum kami, jika benar mereka wujud? Jika benar pulau ini pernah dilawati sebelum kami?

 

Aku hilang tujuan. Tanah-tanah yang dicampakkan bedebah itu dimampatkan pula, menyebabkan aku tersepit. Aku lihat dalam kesamaran cacing dan ulat bergerak-gerak, ada yang memasuki bajuku. Aku seriau. Udara di dalam memanas, oleh haba bumi dan nafasku. Nafasku semakin sesak. Bau tanah yang meloyakan menusuk hidung.

 

Aku harus mencari jalan keluar segera. Namun bagaimana harus kujejaki jalan keluar dalam gelita ini? Aku mengorek-ngorek. Aku tidak pasti apakah ini tanah yang ditimbus si bedebah itu. Aku hilang punca dan arah oleh gelita yang menyelubung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...