BAB 35
Hari berikutnya...
Lelaki tinggi berkulit
gelap dan berlilit di kepala itu memandang sekeliling jeti. Tiada orang
mencurigakan berhampirannya.
Dua orang
pengikutnya menjengket turun dari kuda masing-masing. Ketiga-tiga budak
perempuan itu telah berada di dalam feri menuju Osaka.
“Bagaimana kamu
berdua? Masih sakit?” Lelaki berlilit kepala itu bertanya keadaan mereka.
“Aku rasa seperti
kepatahan. Argh!” salah seorang pengikutnya yang berbadan sedang dan bermisai
panjang mengaduh kesakitan. Ini semua angkara budak sial itu!
“Shizuo, apa
pendapatmu berkenaan budak sial itu? Aku tidak pernah melihat kepantasan
begitu.” Lelaki bermisai panjang bertanya kepada lelaki berlilit kepala,
Shizuo.
“Subarashii. Aku tidak pasti sama ada dia
menyedarinya. Itu sebenarnya jurus kesembilan. Jurus tersebut boleh dilakukan
tanpa sedar atau tidak sedar. Jurus kesembilan dan kesepuluh tidak diajar, dan
hanya boleh dicapai dari latihan yang kerap atau melalui pertarungan. Mereka
yang berada dalam perjanjian dengan hayabusa-no-kami,
seperti puak Miura, mudah mencapainya tanpa senjata khas.”
“Hayabusa-no-kami? Seperti yang aku
dengari ketika mempelajari kaminari
dahulu. Engkau masih percaya perkara begitu, Shizuo?”
“Ya, Takeo. Aku
percaya kami. Miura guru kita itu
berketurunan Okuhida. Puak mereka telah mengikat perjanjian itu. Dia bersama
Takasaki mencipta kaminari-no-kaze.
Namun hanya Miura yang boleh melakukan jurus kesembilan dan kesepuluh kerana
darah Okuhida-nya, dan aku pernah melihatnya sendiri melakukan jurus kesembilan.”
“Jadi, engkau fikir
budak itu anaknya? Yalah, lagipun wajah mereka amat serupa.” Pengikutnya yang
kedua pula bersuara. Dia seorang lelaki pendek dan berkulit cerah. Takeo
mengangguk bersetuju.
“Barangkali, Suneo. Benar wajah mereka hampir serupa. Namun darah keturunan hanyalah salah satu faktornya. Ia juga bergantung kepada jenis pedang yang digunakannya. Bilahnya kulihat amat ringan dan kuat. Aku tidak pernah melihat bilah sebegitu. Ringan dihayun, dan cukup kuat sehingga boleh mematahkan tulang. Bahan apa yang digunakan? Apa kaedah yang digunakan?”
“Shizuo, engkau
fikir patutkah kita melapor kepada Tsugiyama?” Takeo bertanya.
“Ya. Aku akan
melaporkannya sendiri.” Shizuo memutus. Dia perlu melaporkan kepada Tsugiyama
sekiranya berlaku serangan ke atas aktiviti mereka menghantar karayuki. Tsugiyama akan menasihati
Hagiura akan tindakan yang patut mereka ambil seterusnya.
Shizuo masih tidak
dapat menerima hakikat yang dia hampir dikalahkan Ryouji, jika bukan kerana
kegopohan budak itu, sudah pasti dia tidak akan dapat mencederakan kakinya.
Ryouji pantas, namun kurang berpengalaman. Dari pengamatannya, dia bertarung
pantas namun gopoh. Nafasnya tidak teratur. Dia mengelak dengan jurus kelima
bagi menjimatkan tenaga, kemudian entah mengapa dia terus melangkau terus ke
jurus kesembilan, iaitu jurus menyerang dan mengelak serentak dengan kepantasan
maksima tanpa sedikitpun menyentuh lawan dan mengawal rusuhan tenaga yang besar
di dalam tubuh dengan kecermatan tertinggi. Dia nampak tidak menyedari langsung
pergerakannya, tidak seperti Miura. Bahkan dia seperti dikawal oleh sesuatu, persis boneka.
Shizuo hanya faham kaminari sehingga jurus kelapan. Jurus
ketujuh, dan kelapan, adalah jurus menyerang dan mengelak dengan kepantasan
tertinggi. Jika petarung biasa yang tidak berada dalam perjanjian dengan hayabusa-no-kami melangkau ke jurus
kesembilan dan kesepuluh, dia boleh pengsan atau mungkin mati jika tidak
mengawal rusuhan tenaga di dalam badannya dengan rapi atau tidak menggunakan
senjata khas.
Mungkin dia anak
Miura, fikir Shizuo. Namun kebolehan mengawal rusuhan tenaga di dalam badan
hanya menjadi lebih cekap jika seseorang puak Okuhida itu mencapai usia dewasa.
Namun budak itu pada usia muda sebegitu sudah boleh mengawalnya meskipun pada
tahap yang rendah, sekadar mengelakkannya dari pengsan.
Pada fikirannya
juga, Ryouji mungkin dihantar oleh Kogen. Miura setahunya menyertai Kogen
bersama Takasaki selepas meletak jawatan dari Hamada. Namun dia tidak nampak
simbol Kogen pun pada pakaian Ryouji. Dia merasakan sedemikian melihatkan Kogen
kerapkali memintas mereka ketika menghantar karayuki.
“Aku lihat
pedangnya tidak bermata.” Suneo mengutarakannya, sambil menahan sakit di
kakinya. Mungkin kepatahan.
“Ya, kebiasaan
Kogen. Mereka tidak menumpahkan darah kecuali untuk mempertahankan diri atau menghukum pelaku jenayah berat seperti rogol atau menodai ahli rumah perlindungan mereka. Mereka
amat menghargai nyawa. Mungkin, budak itu dihantar Kogen.” Shizuo membuat
telahan.
“Takeo, Suneo, aku
mahu menangkap budak itu. Jika dia anak Miura, mungkin kita akan dapat menjejaki
di mana Takasaki. Hamada dan Hagiura amat berminat untuk mengetahuinya. Aku
yakin mereka tidak jauh dari tempat kita diserang semalam.”
“Shizuo, engkau
mahu melakukannya seorang diri?”
“Ya. Kamu berdua
harus berjumpa tabib, bukan? Aku lihat kalian seperti kepatahan teruk.”
Mereka mengakui
kebenaran nasihat Shizuo itu. Bagaimana untuk bertarung jika tidak boleh
berjalan dengan baik?
Shizuo menunggang
kudanya deras meninggalkan jeti itu. Dia mahu menangkap Ryouji secepat mungkin
sebelum dia beredar jauh dari lokasinya semalam.
**
Azusa dan Chisato
bangun awal keesokan harinya untuk mencari jalan pulang, seawal fajar
menyingsing.
Sedang mereka sesat
mencari jalan pulang, mereka terserempak sekali lagi dengan Tsugiyama.
Tsugiyama memegang Goro yang tidak boleh terbang, sedang yang lainnya, kali ini tiga orang sahaja
pengikut Tsugiyama, mengepung dua wanita itu.
“Pagi, kalian.
Nyenyakkah tidur kalian malam tadi? Atau termimpikan kami?” Tsugiyama memulakan
bicara sinis. Pengikut-pengikutnya yang lain tertawa.
“Chisato, aku akan
meluru ke lelaki yang memakai happi
bercorak sagi itu dahulu. Engkau
tumpukan seorang yang berada betul-betul di depanmu.” Azusa mengatur
strateginya. Lelaki yang memakai happi
itu ialah Tsugiyama, sedang pengikutnya yang berada di hadapan Chisato bernama
Tatsuya.
“Azusa, tidak
mahukah engkau menggunakan jurus kedua sahaja?”
“Bukan aku tidak
mahu, perjalanan kita masih jauh hari ini. Aku bimbang kita tidak berdaya untuk
sampai ke rumah sebelum malam.”
“Baiklah.” Chisato
menghunus pisau pendek atau tantou,
diikuti Azusa melakukan perkara sama, sedang orang-orang Tsugiyama tidak
seorangpun yang bersenjata. Mereka hanya mengepung. Apakah rancangan mereka?
Apakah mereka punya udang di sebalik batu?
Chisato cuba
membuka kepungan dengan meluru ke arah Tatsuya. Tatsuya mengelak. Namun elakan
Tatsuya jauh lebih lambat berbanding Ryouji. Berbekalkan latihan yang diberikan
Ryouji, Chisato tahu ke mana sasarannya akan mengelak, dan dia harus bertindak
pantas. Dia menyerang kaki Tatsuya dengan tantounya.
Azusa pula menunggu
peluang menyerang Tsugiyama. Dia sebenarnya menyasar kepada seorang pengikut
Tsugiyama di sebelah kanannya, bernama Tetsugi. Dia merapat ke arah Tsugiyama,
dan menyedari Tetsugi juga mendekatinya. Pantas dia merendahkan badan, memusing
dan menghentak rusuk Tetsugi. Tetsugi jatuh terjelepok ke tanah dan tidak
bangun-bangun. Rusuknya barangkali telah patah. Gerakan kaminari yang pantas membolehkan pukulan biasa dilakukan dengan
impak yang tinggi.
“Hebat. Tidak silap
aku engkaulah yang menewaskan tiga orang di antara kami semalam. Tsugaru,
ayuh!” Tsugiyama mengarahkan pengikutnya yang berada di sebelah kiri Azusa.
Tsugaru terketar-ketar.
Tangannya cuba menarik pedang dari sarungnya namun melihat jelingan tajam
Tsugiyama, dia tidak jadi mengeluarkannya. Azusa mendekati Tsugaru, dan dia
mengundur. Semakin Azusa mendekatinya, semakin jauh pula dia mengundur.
Kemudian dia cuba melutut Azusa. Namun Azusa menumbuk lutut Tsugaru seperti
karate. Tsugaru terduduk dengan lututnya yang kelihatan sudah patah.
“Sekarang biar aku
selesaikan.” Tsugiyama membuka pencak. Kali ini, Azusa dan Tsugiyama bertarung. Mereka beransur-ansur meningkat sehingga jurus kelapan. Tiada siapa dapat menangkap pergerakan pantas
mereka. Azusa dan Saki, adalah petarung wanita terbaik di rumah Takasaki pada
ketika ini. Maka tidak hairanlah sekiranya dia berjaya menguasai jurus
tertinggi yang boleh dikuasai manusia biasa yang tidak dikuasai sumpah hayabusa.
Azusa tidak boleh menggunakan kaedah rempuhan seperti semalam kerana keadaan yang cerah pada hari itu memudahkan lawan mengesannya, tambahan dengan fizikal Tsugiyama yang agak besar. Meskipun Tsugiyama seorang tua yang berumur sekitar lewat lima puluhan dengan janggut putihnya, badannya tegap seperti anak muda. Maka Azusa banyak mengelak dan cuba menyerang dengan tantounya. Namun Azusa bukanlah lawan setanding Tsugiyama. Azusa terlalu mudah untuk Tsugiyama. Dia berjaya diperangkap oleh Tsugiyama lalu disuntik sejenis cecair biru. Azusa memasuki alam separa sedar.
Tatsuya
terjengket-jengket dengan kakinya yang masih berdarah selepas menerima hirisan tantou Chisato. Dia cuba menyerang balas
Chisato, namun dihalang oleh seorang gadis bertopi kon secara tiba-tiba.
Pergerakan gadis itu pantas sekali dan kurang sesaat sahaja dia berjaya
mematahkan bahu Tatsuya menggunakan pedangnya yang tidak bermata itu.
“Chisato, berundur ke tepi dan bawa rakanmu keluar dari sini. Tunggu aku di pondok.”
Chisato tersentak, mendengarkan gadis itu menyebut namanya. Siapakah gerangan gadis ini?
“Pondok yang mana?”
“Hanya ada satu pondok berdekatan kawasan ini.”
Chisato teringat pondok tempat dia bermalam bersama Azusa.
Ketiga-tiga orang
Tsugiyama sudah rebah. Tsugiyama bergerak ke arah Chisato namun pantas dihalang
oleh gadis bertopi kon. Tsugiyama berubah posisi. Ketika itulah Chisato
terlihat Azusa, yang sebelumnya terhalang oleh kelibat Tsugiyama, sedang terbaring
di atas tanah tidak sedarkan diri. Tsugiyama mengeluarkan katananya, bersedia bertarung dengan gadis bertopi kon.
Chisato meluru ke
arah Azusa, cuba mengejutkannya, namun dia hanya mengumat-kamit dalam separa
sedar. Dia memapah Azusa kembali ke bangsal kuda tempat mereka bermalam, sedang
Tsugiyama terus bertarung dengan gadis bertopi kon.
“Siapakah engkau
wahai bijin (perempuan cantik)?”
Tsugiyama menyoalnya.
“Tinggalkan kami segera atau aku akan mencederakan engkau seperti rakanmu itu.”
“Engkau fikir mudah
menewaskanku. Aku antara petarung terbaik kaminari
selepas Takasaki-san!”
“Benarkah begitu?”
Gadis bertopi kon menduga Tsugiyama.
Gadis bertopi kon
mengeluarkan jurus kesembilan. Hayunan pedang tidak bermatanya mula meningkat.
Tsugiyama tidak berani meningkatkan dirinya ke jurus kesembilan ditakuti dia
tidak dapat mengawal rusuhan tenaga mendadak di dalam tubuhnya. Siapakah gadis
misteri ini, getus Tsugiyama. Adakah dia dari keturunan Okuhida?
Badan Tsugiyama
mula sakit-sakit setelah ditetak oleh pedang tidak bermata itu berkali-kali.
Gadis itu sengaja tidak mematahkan tulang Tsugiyama, agar dia dapat membawa
pulang para pengikutnya. Sebaik menyedari Azusa dan Chisato sudah jauh
meninggalkan mereka, dan Tsugiyama mengambil masa untuk bangkit, gadis bertopi
kon pantas menghilangkan diri dari situ.
“Chisato, mari aku
ingin periksa rakanmu.”
Gadis bertopi kon
memeriksa tubuh Azusa.
“Kesan suntikan aotsuyu.”
“Aotsuyu?”
“Cecair beracun
berwarna biru. Ia racun yang akan menghilangkan kewarasan dan menyebabkan mangsa
yang disuntik akan berperlakuan seperti dipukau.”
Gadis bertopi kon
menggoncang-goncangkan tubuh Azusa. Matanya separa terkatup dan mulutnya
terkumat-kamit, cuba berkata sesuatu namun tidak jelas pada pendengaran mereka.
“Ia digunakan ke
atas sebahagian karayuki yang degil
agar mereka patuh kepada para pelanggannya.”
“Maksudmu, karayuki-karayuki yang dijual keluarga
Yoshitsugu itu disuntik racun ini?”
“Benar.”
Seksa. Aku tidak
dapat menerimanya jika Chiho dan Chinami dijual dan diperlakukan begitu.
Tindakanku betul pada ketika itu dengan memaksa diriku keluar menyelamatkan
mereka. Mujur, mujur sahaja aku masih sempat dan berjaya mengesan mereka di
jeti.
“Chisato, bapaku
tahu bagaimana menyembuhkan rakanmu. Dia perlu dihantar ke sana untuk drawat segera,
jika tidak dia akan selama-lamanya hilang kewarasan.”
“Maaf cik, boleh
kutahu siapakah engkau? Bagaimana engkau mengenaliku?”
“Maafkan aku lewat memperkenalkan diri. Aku
Shirasaka Ayame dari Kogen. Engkau boleh memanggilku Ayame.”
Shirasaka Ayame
adalah seorang wanita berumur dua puluhan, tingginya lima kaki lima inci.
Kurus, dan berkulit cerah, dadanya sederhana besar, dan rambutnya panjang dan
hitam, diikat dan disorok di dalam topi kon yang dipakainya. Dia memakai baju yukata berwarna hitam dan seluar umanori kelabu dan but hitam dengan tabi
hitam. Semuanya serba hitam seperti ninja. Agak cantik, secantik Chisato. Di balik topi kon itu tertera logo Kogen.
Logo Kogen tidak dipamerkan kepada orang ramai kerana identiti ahlinya perlu
dirahsiakan. Ia hanya dipamerkan kepada orang-orang tertentu sahaja.
“Aku tahu namamu
dari Takasaki. Dia menemuiku di tebing Sungai Miya mengatakan ‘Gadis dengan
yukata bercorak sakura bernama Chisato dan rakannya sedang dikejar Tsugiyama’
lalu memberikanku cebisan pakaianmu untuk dihidu hayabusa peliharaanku. Dan siapa nama rakanmu itu?”
“Funazuki Azusa.”
“Azusa-san desuka. Ayuh, lekas bawa rakanmu
menerima rawatan. Engkau pandai menunggang kuda?”
Ada dua ekor kuda
yang ditambat Ayame berdekatan bangsal itu.
“Ya. Aku pernah
menjadi pengawal dahulu.” Balas Chisato.
Ayame meniup jarinya memanggil kuda-kuda yang dibiarkan tidak jauh dari situ.
“Chisato, cuba
kuda yang hitam itu. Ikut aku.”
Chisato mencuba
kuda hitam itu. Dia mengusap-usap kepala kuda itu bagi menenangkannya, kemudian
memanjat pelana seperti seorang penunggang yang berpengalaman. Kuda itu
berbunyi senang, seperti sesiapa jua yang berdekatan dengan Chisato yang pasti
cair dengan keayuannya.
“Oh, ya Chisato.
Pakai ini.” Ayame menyuakan dua utas kalungan berloket, satu kepada Chisato dan
satu kepada Azusa. Dia juga memakainya. Di dalam loket itu terdapat sejenis
batu resin kuning, sama seperti yang dihadiahkan oleh Ryouji kepada Hisamiko.
“Ia untuk menghalau
hayabusa yang dihantar mana-mana
pengintip. Terutama keluarga Yoshitsugu.”
Azusa yang masih
separa sedar dan tercedera membonceng Ayame. Chisato menunggang kuda hitam
tersebut mengikut Ayame merentas sungai Miya di bahagian cetek, dan berpatah
balik ke utara menuju Furukawa.
Ketika menunggang
kuda, mereka berbual-bual.
“Ayame-san,
bagaimana engkau mengenali Takasaki?” Chisato bertanya ingin mengenali Ayame
dengan lebih lanjut.
“Melalui penyertaan kami dalam Kogen.”
“Kogen? Maaf, aku baru teringat engkau ada menyebutnya tadi, namun aku tidak pasti apakah ia.”
“Takasaki tidak
memberitahumu?”
“Tidak pernah.”
“Ia pertubuhan yang
membiaya rumah perlindungan yang engkau huni. Ada banyak lagi rumah
perlindungan yang sama di serata Jepun.”
Chisato terpegun
mendengarnya. Takasaki tidak pernah menceritakannya dengan terperinci, hanya
sekali-sekala merujuk pertubuhan itu namun tidak memberitahu namanya.
Terima kasih
Takasaki kerana menyelamatkan kami!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan