Novel: Kaisenjyo (Bab 62)

Sebelum Tatsuhiro bertemu Tsuneki di luar Shirasaka-no-kogen, dia telah terlebih dahulu bertemu Shinji.

 

Suatu hari, Shinji berseorangan di perpustakaan di tingkat paling bawah di bawah tanah, sedang asyik membaca buku.

 

Perpustakaan besar itu terdiri dari empat buah tingkat. Tingkat pertama terletak di atas tanah. Sementara tiga lagi tingkat yang lainnya terletak di bawah tanah. Tingkat ketiga di bawah tanah ialah tingkat yang menempatkan pelbagai jenis buku-buku trivia. Ia menjadi kegemaran Shinji. Ia juga tingkat yang menempatkan karya-karya penting berkenaan senjata kuno. Namun selain daripada buku-buku itu, terdapat sebuah rahsia besar yang disimpan Kogen di dalam tingkat ini.

 

Shinji sedang membelek-belek buku berkenaan perisikan dan ninja pabila dia didatangi seorang budak lelaki, kelihatan sebaya Tsuneki dan rendah fizikal sepertinya.

 

“Engkau baru disini?” Budak itu menegur. Aneh. Suaranya garau seperti seorang dewasa berumur dua puluhan. Shinji menoleh sedikit terperanjat. Wajah dan ketinggiannya pula persis kanak-kanak seperti Tsuneki. Hanya suara yang berlainan.

 

“Ah, hai (ya). Siapa engkau?” Shinji menutup halaman buku yang dibukanya, kemudian meletakkan kembali ke dalam rak.

 

“Aku Tatsuhiro.Yamada Tatsuhiro. Namamu?”

 

“Aku Shinji. Takeuchi Shinji. Di mana engkau tinggal di sini? Aku tidak pernah melihatmu.”

 

“Rumah perlindungan di sebelah rumahmu.”

 

Aneh. Di rumah itu setahu aku hanya ada penghuni perempuan.

 

E to, Yamada-san...”

 

“Panggil aku Tatsuhiro.”

 

“Tatsuhiro, aku fikir rumah itu hanya ada penghuni perempuan.”

 

“Aku memang tinggal di situ, lama dahulu.”

 

“Lama dahulu?”

 

“Ya, sebelum mereka tiba.”

 

“Jadi sekarang di mana engkau tinggal sebenarnya?!” Shinji mula terasa diperbodohkan.

 

“Masih di situ.”

 

“Jika benar engkau masih di situ, pasti aku akan melihatmu.”

 

“Namaku masih didaftar pada rumah itu.”

 

Shinji menepuk kepalanya. Apalah budak kecil ini cakap berbelit-belit!

 

Ne budak.Betul-betul denganku boleh?”

 

“Aku bukan budak. Umurku dua puluh empat tahun.”

 

Patutlah suaranya seperti suara orang dewasa! Tetapi dengan saiz tubuh begini seperti Tsuneki, amat mudah untuk dikesilapkan dengan seorang budak.

 

“Tatsuhiro, beritahu jujur denganku di mana engkau tinggal sebenarnya. Atau aku akan laporkan kepada Kogen yang engkau menceroboh kawasan ini.”

 

“Dipersilakan beritahu. Aku bekerja untuk Kogen.”

 

Bekerja untuk Kogen? Sebagai apa?

 

“Apa buktimu?”

 

Tatsuhiro menunjukkan simbol Kogen yang ditatukan pada lengannya. Apabila dia memusing-musingkan lengannya sedikit, tatu itu memberikan imej yang berbeza-beza, iaitu imej burung hayabusa melingkar dengan paruhnya menyentuh ekor dalam satu bulatan, dan imej dua pedang samurai dalam corak in dan you (yin dan yang). Imej pertama itu adalah simbol Kogen, sementara imej kedua ialah bagi menjadikan logo tersebut lain dari yang lain. Ia salah satu ciri unik simbol Kogen yang tidak membenarkan ia ditiru. Ada banyak lagi cirian unik simbol Kogen seperti contohnya imejnya hanya timbul apabila diletakkan di bawah cahaya matahari.

 

“Maknanya engkau berkhidmat selepas keluar dari rumah itu?”

 

“Benar.”

 

“Sekarang di mana engkau tinggal? Jawab betul-betul!”

 

“Aku tiada tempat tinggal tetap di sini. Aku merayau-rayau di hutan di luar. Namun jika engkau mahu alamatku, ia di sebelah rumahmu. Atau tunggu di sini atau di tepi lagun untuk bertemuku. Namun aku sibuk dan tidak selalu di situ.”

 

“Untuk apa engkau merayau?”

 

“Mengakap (scouting).”

 

“Mengakap?”

 

“Mengakap untuk mengesan mana-mana penceroboh yang cuba mengepung tempat ini dan menghalang logistik Kogen.”

 

Giliran Tatsuhiro pula ‘menyoalsiasat’ Shinji.

 

“Shinji, bagaimana engkau menyertai Kogen?”

 

“Mengapa engkau mahu tahu?”

 

“Tidak ada apa-apa.”

 

Shinji menunggu beberapa ketika. Tidak ada apa yang perlu dirahsiakan, mungkin aku boleh berdagang maklumat dengan ‘budak’ ini. Bukankah dia pengakap Kogen? Aku mahu tahu lebih berkenaan mereka yang bertarung di hutan luar kawasan ini. Dan juga mungkin, kebarangkalian wujudnya kawasan tersembunyi Kogen yang lain di sini seperti lembah tinggi ini.

 

“Aku mengikut Takasaki-san.” Shinji menjawab ringkas.

 

“Takasaki-san ka? Semoga rohnya tenang di sana.”

 

“Nampaknya engkau sudah tahu.”

 

“Dia rakan kami, sudah semestinya kami perlu tahu.”

 

Rakan? Tidak, Takasaki seperti datuknya. Dia cucu! Atau mungkin cicit!

 

“Aku lihat engkau kerap di sini. Engkau tiada kawan?” Tatsuhiro selamba bertanya begitu.

 

“Aku ada kawan, cuma tidak ramai. Aku gemar membaca buku di sini, lagi banyak berbanding di rumah Takasaki. Terutama buku-buku trivia di tingkat ini.”

 

“Oh, begitu rupanya. Engkau mahu berkawan denganku?”

 

“Itu bergantung.”

 

“Bergantung kepada apa?”

 

“Engkau hanya perlu mendengarku membebel. Sudi?”

 

“Itu mudah sahaja. Aku pendengar yang bagus. Cuma aku akan tertidur jika engkau membebel perkara yang aku tidak faham.”

 

Bagus. Asalkan engkau mendengar. Seperti Tsuneki yang mendengar kemudian tertidur kerana tidak faham. Namun aku tidak gemar betul jika dia menggangguku ketika nafsu membacaku datang.

 

“Apa kau buat di sini Tatsuhiro? Engkau kata tadi engkau mengakap di luar.”

 

“Mengendapmu.”

 

“Engkau bernafsu songsangkah?!”

 

“Aku normal. Aku sudah berkahwin.”

 

Melopong Shinji mendengarnya.

 

"Mengapa engkau mengendapku pula?"

 

“Mari, ikuti aku.” Tatsuhiro tidak menjawab, sebaliknya mengisyaratkan kepada Shinji agar mengikutinya.

 

“Ke mana?”

 

“Diam sahajalah, dan ikut aku.”

 

Shinji mengikut ‘budak tua’ itu ke satu sudut tersembunyi.

 

Setibanya mereka di sudut itu, Tatsuhiro menekan-nekan dinding kayu di situ, dan ia terbuka, menampakkan satu unjuran tersembunyi yang berbentuk bilik, di mana di kedua-dua belahnya adalah rak-rak buku dari lantai sehingga ke bumbung. Semua rak-rak itu dipenuhi dengan buku. Namun yang berlainannya, buku-buku di dalam ruangan ini hanya berkisar tentang topik-topik senggama sahaja.

 

Shinji menarik salah satu dari buku-buku itu keluar. Dia langsung membuka dan membelek-belek beberapa halaman. Terbelalak biji matanya melihatkan buku-buku itu sebenarnya adalah buku-buku perihal senggama. Mengapa baru sekarang aku tahu tempat ini? Bagaimana Kogen juga menyimpan buku-buku begini? Adakah Takasaki-san yang mencadangkannya?

 

“Shinji, bukan itu tujuannya aku bawa engkau ke mari. Lihat sini.”

 

Tatsuhiro berjalan terus sehingga tiba di tengah-tengah rak. Dia kemudian mencangkung di tepi bahagian lantai yang sedikit tidak sekata susunan kayunya. Dia menekan lantai itu sedikit dengan kaki, dan kayu yang tidak sekata itu langsung menjungkit sedikit dari letaknya dan timbul. Dia memegang kayu itu dengan kedua-dua belah tangan, mengangkat dan meletakkannya ke tepi. Maka terpampanglah di hadapan mereka sebuah lubang yang gelap menuju ke dalam tanah. 


Tatsuhiro menyeluk dada yukatanya dan mengeluarkan objek berupa sepotong batu berwarna putih. Dia menggerak-gerakkan batu itu di dalam gelap lubang dan ia mula mengeluarkan cahaya yang malap menerangi lubang itu. Kian jelas di hadapan mereka anak-anak tangga bermula dari lubang itu mengunjur ke dasar lubang.

 

“Aku akan turun dahulu, engkau tolong pegang batu ini.” Tatsuhiro memberikan batu itu kepada Shinji. Batu apakah ini?

 

Tatsuhiro turun dahulu, Shinji memegang batu itu, sedang masih takjub dengan kebolehannya memancarkan cahaya. Kemudian sebaik Tatsuhiro mencecah dasar lubang, Shinji mencampakkan batu itu, Tatsuhiro menyambut dan dia memegang batu itu dan Shinji turun mengikutnya.

 

“Ke mana engkau mahu bawakan aku?”

 

“Diam sajalah, dan ikuti aku.”

 

Dalam kelam terowong itu Shinji dapat melihat dinding-dindingnya dilapisi batu-bata yang disusun dengan kemas, bahkan permukaan tempat dia berpijak dan bumbung dan dindingnya licin tanpa habuk tanah dan akar rumpai. Amat bersih, seperti kerap dibersihkan. Bagaimana mereka melakukannya? Pastinya ia memerlukan tenaga buruh dan logistik yang kemas dan selamat bagi membawa bahan-bahan binaan ke sini. Aku tidak yakin mereka mampu menghasilkan batu-bata ini di sini. Batu-bata ini amat licin, seperti batu kerikil besar yang dipotong dengan alatan khas. Terowong ini begitu sempurna sekali bulatnya. Hanya bahagian lantainya sahaja yang rata.

 

Selepas beberapa minit berjalan, cahaya mula kelihatan di hujung terowong.

 

“Kita sudah sampai, Shinji.” Suara Tatsuhiro perlahan namun masih bergema.

 

Rupanya cahaya itu datang dari sejenis bahan yang menyelaputi permukaan penutup terowong, di mana bahan itu memantulkan cahaya dari batu Tatsuhiro. Tatsuhiro mendaki tangga disitu dan menolak buka penutup terowong di atasnya. Dia memanjat sehingga ke permukaan, dan membantu Shinji memanjatnya.

 

Shinji kaget memerhati keadaan di luar terowong. Ia tidak banyak bezanya dengan Kogen-no-shita ataupun pergunungan Hidagawa, namun tempat itu cukup cantik sekali. Ia punya lagun dan air terjun serta perbukitan sama seperti di Kogen-no-shita, namun di sini tiada langsung binaan manusia seperti taman zen dan rumah. Hanya alam semulajadi. Juga anehnya, tiada langsung binatang di sini, hatta serangga sekalipun. Hanya pohon-pohon hutan. 

 

“Di manakah kita?”

 

Tatsuhiro tidak menjawab. Dia masih terus berjalan menelusuri sebuah denai berumput di tengah padang yang penuh bungaan liar.

 

Kemudian langit yang sedari tadi cerah berubah keunguan. Keadaan sekeliling menjadi kelam. Shinji kaget. Dia yang rabun bertambah rabun, mula meraba-raba lokasi Tatsuhiro yang masih di depannya. Dalam kelam itu dia sempat mendongak ke langit, dan alangkah terkejutnya dia mendapati di sebelah matahari yang menyinar langit terdapat satu lagi matahari, namun berwarna biru pekat. Di sekeliling matahari itu kelihatan runut-runut seperti lonjakan lautan api di permukaannya berwarna biru terang. Langit di sekeliling matahari biru itu gelap dan diterangi malap oleh runut biru, namun jika bertemu dengan cahaya dari matahari biasa di sebelahnya, maka ungulah jadinya.

 

Dia mengalih pandangan ke hadapan, mencari Tatsuhiro. Tatsuhiro hilang!

 

“Tatsuhiro,Tatsuhiro!”

 

“Apa? Aku di sini, Shinji.” Tatsuhiro mencuit pinggang Shinji. Dia di belakangnya. “Shinji, engkau memintasku.”

 

“Engkau tidak lihat langit Tatsuhiro?”

 

“Ada apa di sana?”

 

“Matahari biru.”

 

“Aku hanya nampak satu matahari sahaja.”

 

“Aku melihatnya sekarang! Dan di sekelilingku semuanya berwarna ungu!” Shinji mengadapTatsuhiro dan memegang bahunya, menggoncangkan tubuhnya ketika dia berkata-kata. Tatsuhiro tenggelam dalam rabun dan gelap ungu di mata Shinji.

 

Benarlah, budak inilah yang dikatakan Kotobuki, getus Tatsuhiro. Budak yang mampu mengamati jurus tinggi kaminari dengan penglihatannya yang setajam burung hayabusa,dan kemudian pendengarannya pula yang akan ditajamkan. Dia berdarah kacukan dengan puak Emishi itu. Nenek moyangnya ialah Amaguri, seorang ahli sihir wanita dari puak Emishi yang mencipta tama-no-iwa dan membuangnya merata-rata sehingga dimanfaatkan Fujiwara dan gadis petani bernama Higashihara Hiiragiko itu.

 

Kami harus menjaga budak ini di sini. Jika tidak dia pasti akan dipujuk Hamada menyertainya. Dia suka membaca bukan? Dan suka mengkaji? Kami akan berusaha menambat hatinya di sini. Kami akan cuba menegahnya menyertai rombongan Maharaja ke Eropah. Jika tidak berhasil, kami akan pastikan dia kembali pulang ke sini, dan berbakti kepada Kogen.

 

“Shinji, kunyah ini. Penglihatanmu akan pulih seperti normal.”

 

“Pulih seperti normal?”

 

“Ya.” Tatsuhiro menghulurkan sejenis kudapan seperti halia kering yang besar. Shinji mengambil dan mengunyahnya. Pedas berangin!

 

“Telan Shinji, telan!”

 

Shinji menelannya. Sekelip mata langit di atas kembali cerah dan pandangan sekeliling kembali kepada asalnya.

 

Benda apakah ini? Ia seperti mengunyah halia muda bercampur madu dan asam ume! Tetapi sedap juga.

 

“Tatsuhiro engkau ada lagi benda ini? Sedap juga rasanya.”

 

“Ada. Aku ada sekantung lagi. Makanlah semuanya.” Tatsuhiro menghulurkan sekantung gula-gula halia itu kepada Shinji. Shinji pantas merenggutnya dari tangan Tatsuhiro dan makan dengan lahapnya, seperti sudah seharian kelaparan.

 

Itu cuma halia kering yang telah dihalwakan dan dijerukkan dalam asam ume, kemudian dikeringkan. Ia berkesan merendahkan kuasa Shinji. Namun itu juga kelemahannya, ketikamana kuasanya diperlukan.

 

Tetapi kawasan apakah ini?

 

“Shinji, tempat ini sebenarnya titik tengah pulau Honshu. Kita sekarang berada di tengah-tengah pergunungan Hidagawa.”

 

“Hah? Tatsuhiro engkau mengarut. Jika benar katamu, bererti aku boleh pulang ke rumah Takasaki dari sini?”

 

“Tidak.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Tempat ini telah disihir moyangmu, Emishi-no-Majou-no-Amaguri (Amaguri Sang Ahli Sihir Emishi.) Sekali masuk engkau tidak akan boleh keluar, kecuali melalui terowong tadi. Hanya terowong itu yang bebas dari sihir moyangmu.” Sebenarnya hanya keturunan Amaguri sepertimu yang boleh keluar masuk tanpa melalui terowong itu, namun aku terpaksa berbohong buat sementara waktu. Aku bimbang engkau yang bijak ini akan merancang sesuatu jika aku mendedahkannya. Aku membawamu ke sini hanya untuk satu tugasan Kotobuki.

 

“Moyangku? Emishi? Tatsuhiro, apa yang engkau mengarut denganku? Aku bersusur galur dari puak Emishi?”

 

“Benar. Engkau keturunan ahli sihir Emishi bernama Amaguri. Buktinya engkau telah melihat matahari biru.”

 

Sebentar. Satu persatu. Dia kata aku berketurunan Emishi. Kerana aku telah melihat matahari biru? Dan satu persoalan lagi, tempat ini titik tengah Honshu?

 

“Dan...berkenaan tempat ini, bagaimana pula ia terhubung ke perpustakaan Kogen? Dengan terowong sesingkat beberapa minit perjalanan? Sedang aku berkuda separuh hari dari Hidagawa ke Kogen.”

 

Tatsuhiro tidak menghiraukan soalan Shinji, dan dia bertanya, “Shinji, engkau ingat apa-apa berkenaan ibu bapamu?”

 

Kono gaki! (Budak ini)! Dia menjawab soalanku dengan soalan!

 

“Aku tidak ingat wajah ibuku. Pengasuhku memberitahu ibu meninggalkan aku kepada seorang paderi Jesuit di sebuah gereja di Kyoto ketika aku masih terlalu kecil. Paderi Jesuit itu mengupahnya mengasuhku. Tatsuhiro, engkau belum menjawab soalanku.”

 

“Engkau rindukan ibumu?” Masih, Tatsuhiro tidak menghiraukan soalan Shinji.

 

“Aku tidak punya rasa apa-apa. Memori sebelum aku ditinggalkan di gereja itu hilang, dan aku hanya mendengarnya dari pengasuhku. Mengapa engkau bertanya?”

 

“Aku akan beritahu mengapa selepas kita tiba ke tempat ini. Ikut aku. Ia ada kaitan dengan Amaguri nenek moyangmu, dan juga mengapa terowong itu mampu membawa kita ke tempat yang jauh ini.”

 

Engkau menyedihkan, Shinji. Sekurang-kurangnya aku masih mengingat wajah ibuku yang terlantar sakit sebelum dia meninggal dunia. Bapaku sudah lama tiada sejak aku dilahirkan, maka aku mengemis di pekan sejak kematian ibuku sebelum diambil Kogen ke sini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...