Laporan tentang onar yang dilakukan Segawa dan isterinya sampai kepada Ayame pada hari semalam, dilaporkan salah seorang dari jemaah nazir Ayame di sini selepas mendapat aduan dari salah seorang ahli rumah tersebut. Nazir-nazir (inspectorateofficer) ini tergolong dalam pasukan pengintip sama seperti Ayame, namun mereka digelar nazir kerana tugas mereka hanya mengintip dan memerhati penjaga rumah-rumah perlindungan Kogen. Mereka akan datang bertemu ahli rumah perlindungan Kogen sendiri dari masa ke semasa bertanyakan soalan-soalan, di luar pengetahuan penjaga. Mereka juga adalah ahli Kogen yang dibenarkan memasuki rumah perlindungan Kogen.
Aku pernah mendengar dari Chisato, ketika dia bermalam di pondok di tengah hutan sewaktu menjejakiku pada musim bunga 1871, dia berbual panjang dengan Azusa. Azusa memberitahu dia sering berbual dengan seorang gadis misteri yang bertandang di kuil patung Buddha dan patung singa. Gadis misteri itu mengatakan yang dia anak kepada pemburu yang tinggal di dalam hutan tidak jauh dari kuil itu. Dalam perbualan Azusa dengan gadis itu, dia kerap bertanyakan tentang kehidupan mereka di rumah Takasaki, dan pertanyaannya kadangkala amat terperinci, seperti menyoal siasat. Azusa masih ingat namanya dan memberitahu Chisato. Tidak silap aku, namanya Hotaru. Ya, Hotaru. Aku syak dia salah seorang dari ahli jemaah nazir kami.
Azusa juga memberitahu Chisato yang Saki tidak akan datang ke kuil itu jika Hotaru ada, namun dia sendiri tidak pasti mengapa. Aku fikir barangkali kerana dia mahu merahsiakan merpatinya itu dari Hotaru, dan mengesyaki Hotaru adalah pengintip yang dihantar Kogen atau mungkin, dihantar musuh kami iaitu keluarga Yoshitsugu.
Aku menyampaikan perkara berkenaan Hotaru itu kepada Takasaki. Namun Takasaki hanya tersenyum mendengarkannya, kemudian berkata kepadaku bahawa aku tidak perlu risau akan perkara tersebut. Kemudian dia tidak lagi membicarakannya. Takasaki seperti seolah-olah sudah mengetahuinya. Dan aku hampir-hampir melupakan perkara tersebut sejak hari itu.
Padaku, ia sebuah perancangan yang amat bagus oleh Kogen. Ia membuatkan ahli rumah perlindungan sentiasa terhubung kepada ibu pejabat Kogen yang kadangkala jauh dari lokasi rumah mereka, dalam zaman di mana komunikasi jarak jauh amat sukar dilakukan dengan pantas. Ia memberi harapan dan saluran komunikasi alternatif tanpa menggunakan merpati kepada mereka yang dianiaya penjaga mereka sendiri. Namun bukankah lebih baik jika kemaslahatan para penghuni diambil peduli seawal peringkat penapisan calon penjaga? Melapor kepada Kogen hanya setelah onar berlaku, tidak akan dapat menghilangkan parut di jiwa mangsanya. Ia sudah terlambat.
Pada masa ini Kod Kogen menggariskan bahawa penjaga rumah perlindungan yang terbukti menodai penghuninya dihukum bunuh serta merta. Ia juga terpakai pada nazir yang bersekongkol. Nazir adalah lapisan paling utama bagi memastikan penjaga rumah perlindungan boleh dipercayai. Kebanyakan nazir adalah dari kalangan petarung wanita yang dilatih oleh Ayame, seperti Hotaru. Sejak Ayame mengambil alih pasukan pengintip, semua nazir adalah dari kalangan wanita. Padanya, wanita lebih dipercayai. Ayame juga lebih condong kepada petarung wanita atas sebab-sebab tertentu yang akan diceritakan lebih lanjut dalam kisah ini, meskipun ada sebilangan kecil dalam kalangan petarung wanita juga bersekongkol dalam melakukan onar.
**
Ryouji dan Ayame berjalan menelusuri laluan kerikil dari gerbang buluh. Susun letak rumah ini benar-benar sama seperti rumah perlindungan Takasaki. Oleh itu, Ryouji dapat mengagak di mana lokasi tama-no-iwa.
Benar, ia terletak bersebelahan taman bonsai, dilindungi oleh semak-samun yang sengaja ditanam.
Batu itu tidak berkesan kepada kami. Penjaga rumah ini boleh membenarkan sesiapa sahaja masuk ke sini termasuk rakan sejenayahnya, dan juga menghalang mereka dari masuk dengan menyebut nama pada batu itu. Namun mereka tidak boleh menghalang mana-mana individu yang telah dibenarkan Omi atau ahli keluarga Shirasaka untuk masuk, kecuali ahli keluarga itu sendiri menghalang mereka dengan menyebut nama si fulan di batu tama-no-iwa utama di Shirasaka-no-Kogen.
Dan Shirasaka hanya membenarkan orang-orang tertentu sahaja memasuki semua rumah perlindungan kami, termasuklah para nazir. Aku berasa begitu bangga diberi kepercayaan begitu oleh Omi dari mula menyertai Kogen. Aku tidak pernah berkhidmat terus padanya. Namun mungkin dia menilaiku dari misi pertamaku itu. Mulut Takasaki, adalah mata-mata penting Omi.
“Ryouji!” Ayame menolak Ryouji ke tepi.
Seketika kemudian sebatang panah melayang benar-benar ke arah tempat Ryouji berdiri tadi.
“Cepat masuk ke dalam rumah!” Ayame pantas berlari. Ryouji menurut. Mereka membuka pintu gelangsar, mujur tidak berkunci.
Di hadapan mereka di dalam koridor anjung itu, kelihatan tiga orang budak perempuan masing-masing mengepung mereka dan menghunus tantou.
“Kalian jangan masuk ke dalam atau kami bunuh kalian!” Wajah mereka jelas ketakutan. Tangan mereka yang sedang memegang tantou terketar-ketar.
“Kalian, aku Ayame dan ini rakanku Ryouji. Kami dari Kogen mahu menyelamatkan kalian.”
“Tidak. Segawa-san, Masami-san dan Kogen semua sama. Mereka jahat. Mereka patut dihapuskan!”
“Ryouji.” Ayame memanggil Ryouji sedang matanya masih peka memerhati tiga orang budak perempuan itu.
“Ya.” Ryouji faham maksud Ayame. Mereka berdua pantas bergerak menyahsenjatakan ketiga-tiga budak perempuan itu, dan menolak mereka meniarap ke atas lantai.
Ketiga-tiga mereka menangis sekuat hati.
“Kalian diam!” Ayame berteriak.
Semua terkejut seraya diam serentak.
“Di mana Tokui Yuusuke?”
“Adakah kalian akan melindungi kami? Kalian bukan orang jahat? Tokui kata kalian jahat seperti Segawa-san dan Masami-san.”
“Tidak. Aku pasti akan menyelamatkan kalian.”
“Tunjuk bukti dahulu.” Yang paling tinggi badan di antara mereka,barangkali yang paling tua, meminta.
“Ini.” Ayame menunjukkan simbol Skuad Sakura, simbol yang sama yang pernah Ayako, iaitu salah seorang penghuni wanita rumah itu, tunjukkan kepada mereka. Simbol penyelamat dari pasukan nazir. Ia berupa sekuntum bunga sakura dengan lima kelompak dalam satu bulatan.
Mereka berbisik-bisikan. “Simbol inilah. Ia berlainan dari Kogen. Tiada gambar hayabusa melingkar mematuk ekor sendiri.”
Ryouji ternganga melihat simbol aneh itu. Ayame, apakah engkau punya perancangan rahsia? Apakah engkau masih bersama Kogen?
“Ryouji, aku akan terangkan kemudian.” Ayame mengesan riak wajah terkejut Ryouji seraya membisik.
“Lepaskan kami dahulu.” Pinta salah seorang budak perempuan itu.
“Baiklah, tapi kami akan mengambil tantou kalian.”
Ayame dan Ryouji mengumpulkan ketiga-tiga tantou mereka, dan bangun dari menindih mereka.
“Kami perlukan kerjasama kalian. Di mana penjaga kalian dan Tokui?”
“Segawa-san dan Masami-san di luar. Masami-san yang memanah kalian tadi.”
Bangsat engkau Segawa dan Masami! Engkau mahu membunuh kamikah?
Tidak lama kemudian, terdengar bunyi dentingan pedang sayup-sayup dari arah hutan buluh. Barangkali Touma dan Takumi sedang bertarung dengan pasangan suami isteri penjaga rumah itu. Adalah normal isteri kepada penjaga juga tahu bertarung, sepertimana Mariko. Namun mereka berdua telah menyalahgunakan kemahiran itu dan menjadi duri dalam daging. Isteri penjaga itu nampaknya sama bersubahat. Kedua-dua mereka akan dihukum bunuh mengikut Kod Kogen dan itu adalah pasti. Jika mereka menyerah diri, mereka akan ditangkap dan dibicarakan dahulu. Jika mereka melawan, maka pedang Kogen adalah jawapan.
Ayame mengulang sekali lagi soalannya, “Di mana Tokui Yuusuke?”
Salah seorang budak perempuan itu menunjuk ke arah simpang kiri anjung itu.
“Ayame-san, berhati-hati dengan Tokui. Dia masih tidak mempercayaimu. Engkau masih Kogen padanya.”
“Arigatou. Ryouji, engkau tunggu mereka di sini. Pastikan Masami dan Segawa tidak masuk ke sini dan mengapa-apakan mereka bertiga.”
“Baik, Ayame-san.”
Di rumah ini terdapat hanya lima orang anak yatim dan hanya seorang sahaja dari mereka lelaki, iaitu Tokui, seorang remaja lelaki berumur tujuh belas tahun. Ayame berhati-hati meredah koridor menuju ke arah bilik. Dia juga menengadah ke arah alang, takut-takut Tokui sedang cuba menyerang hendap.
Tepat telahannya. Tokui tiba-tiba terjun dari alang dengan pedang tidak bermata, cuba mendaratkan tetakan di kepala Ayame. Namun Ayame pantas menepis dengan pedangnya, bahkan kekuatan dan kepantasan tepisan itu langsung melepaskan pedang Tokui dari tangannya. Tokui terjatuh, sedang Ayame menghunus pedangnya ke dagu Tokui.
“Tokui.”
Tokui tunduk membisu dalam duduk.
“Tokui, mengapa engkau menyerangku?”
“Kerana engkau dari Kogen. Aku tidak mempercayai Kogen. Hari ini aku akan membunuh kalian kemudian Segawa-san dan Masami-san. Kemudian aku mahu lari bersama mereka bertiga!” Tokui menengking Ayame.
“Mengapa engkau tidak membunuh mereka awal-awal lagi sebelum kami tiba?”
“Lebih mudah untuk aku membunuh mereka sewaktu mereka bertarung dengan pasukanmu. Aku tidak mampu bertarung dengan mereka, namun serangan hendap mungkin lebih berkesan.”
“Tokui, kami datang untuk melindungi kalian.” Ayame menyarung kembali pedangnya, seraya memeluk Tokui, menepuk belakang kepalanya.
Tokui menangis. “Ayame-san, aku keliru. Aku keliru! Siapa yang harus aku percayai sekarang? Sedang Kogen begini...sedang Kogen yang sepatutnya melindungi kami, menjadi begini!” Tokui menyeka air mata dengan lengan yukatanya.
“Tokui, jangan percayakan Kogen. Percayai aku.”
“Engkau Kogen! Datukmu pengasasnya! Mustahil engkau bertindak sendiri!”
“Tokui, percayai aku. Pasukanku akan merayap di serata Honshu. Kami akan mencantas kepala-kepala pengkhianat begini! Satu persatu, sehingga tiada seorangpun yang tersisa!” Suara Ayame keras, tangannya memegang kepala Tokui yang masih di pelukannya.
“Pasukanmu? Apa maksudmu, Ayame-san?”
“Skuad Sakura.”
“Aku tidak pernah mendengarnya.”
“Ini simbol Skuad Sakura, ingatinya. Nanti akan kuperjelaskan. Sehingga itu, aku mohon engkau percayai aku, Tokui!”
Tokui memandang simbol itu. Ia sama seperti yang pernah ditunjukkan Ayako, rakan penghuni wanitanya yang sudah mati itu.
Masih memeluk Tokui, Ayame bersuara separa berbisik, “Tokui, aku mahu engkau pertahankan rumah ini, bersama rakanku Ryouji, remaja lelaki sebayamu itu. Aku dan dua lagi rakanku di luar akan menangkap Segawa dan Masami.”
Tokui mengangguk. “Ryoukai desu!”
Meski menyahut arahan Ayame, Tokui tidak terus mempercayainya. Tetapi dia mahu mempercayainya. Fikirnya, mungkin dia dan rakan-rakan penghuni yang tinggal masih punya harapan dengan Skuad Sakura.
Ayame, aku akan cuba mempercayaimu, demi rakan-rakan penghuni wanita yang masih muda itu, dan demi masa depanku. Aku akan memerhati gerak-gerimu pada hari ini. Sekali aku terhidu bibit pengkhianatan, aku tidak akan teragak-agak untuk menentangmu juga.
Aku sudah letih. Amat.
Di hutan buluh tidak jauh dari rumah tersebut, Takumi sedang dalam posisi bertarung dengan Segawa. Touma pula sedang di bahagian lain hutan tersebut berhadapan dengan Masami, isteri Segawa yang tadinya memanah Ayame danRyouji.
Di tempat Segawa dan Takumi bertarung...
“Takumi-san, aku tidak melakukannya.”
“Segawa-san, jika engkau tidak melakukannya, mengapa engkau menyerang kami? Segawa-san, Kogen boleh membicarakan jika engkau mahukan perbicaraan.” Takumi cuba menjernihkan keadaan. Dia selagi boleh tidak mahu menumpahkan darah. Selagi boleh berdiplomasi, selagi itulah dia akan cuba menyusun kata.
“Aku tidak mahu perbicaraan, Takumi-san.”
“Segawa-san, nazir kami telah merakam kesaksian dari penghuni rumah kalian. Disebabkan itu kami datang ke mari. Sama ada engkau rela hati menyerah diri untuk dibicarakan, atau kami terpaksa menggunakan kekerasan. Buat pilihan sekarang Segawa-san. Jangan membuang masa kami.”
“Engkau pasti dakwaan penghuni rumah ini kebenaran? Atau sekadar fitnah mereka demi menghalauku dari rumah itu hanya kerana aku tidak memperkenan permintaan mereka?”
“Seperti kukatakan, jika engkau punya hujah, engkau boleh memilih untuk dibicarakan. Namun engkau harus menyerah diri kepada kami dahulu. Segera simpan senjatamu, Segawa-san.”
“Aku tidak akan menyerah diri. Aku mahu engkau dengar dahulu kata-kataku.”
“Baiklah. Apa maksudmu ‘permintaan mereka’?” Takumi sebenarnya tidak mahu memanjangkan cerita namun dia memilih untuk mendengar dahulu, bagi mengesan kepincangan dalam kata-kata Segawa.
Aku fikir mungkin ini muslihat, getus Takumi. Bahkan mereka hampir membunuhku jika aku tidak peka. Mereka sememangnya mahu membunuh kami. Aku akan mendengarnya tetapi aku perlu berhati-hati. Lihat kedudukan tangannya di mana jika dia mahu mengeluarkan pedangnya.
Di bahagian hutan buluh yang lain, Masami memberikan jawapan kepada Touma seolah-olah serentak dengan Segawa.
“Mereka mahu menyingkirkan kami berdua.”
Benarkah begitu? Dan mengapa mereka mahu membunuh kami, malah memanah Ryouji dan Ayame? Bukankah perkara begini boleh dibawa berbincang di Kogen?
“Atas sebab apa?”
“Mereka tidak menyukai tindakan kami yang mengongkong mereka di sini. Mereka mahu bebas seperti kanak-kanak lain. Dapat ke mana-mana, berjalan di pekan-pekan bersama ibu bapanya. Sedangkan kami mengurung mereka di sini.”
“Bukankah itu normal? Bukankah telah berpuluh tahun kami mengurung anak-anak kami sehingga umur lapan belas tahun baru dibenarkan keluar?”
“Itulah kelemahan kalian. Zaman sudah berubah, Touma. Anak-anak ini hidup di zaman di mana anasir dari Barat sudah meresap jauh ke ceruk tanah Yamato. Mereka mahukan kebebasan, bukan dikurung begini.”
“Engkau bohong. Pengintip kami mengesan engkau membawa keluar mereka seorang demi seorang di tengah malam. Untuk dilacurkan!”
Masami berubah wajah mendengarnya. Nampaknya nazir yang cuba kubunuh malam itu sudah berjaya membocorkannya. Mungkin nazir lain juga telah membocorkannya tanpa dapat aku kesani.
“Dilacurkan, dan masa depan mereka dimusnahkan lelaki hidung belang. Itu kebebasan yang engkau maksudkan? Itukah kebebasan, Masami-san?”
Masami tidak berlengah menyarung panah pada busur dan menghala ke arahTouma, melepaskannya. Touma bertindak pantas mengelak dan mencantas panah itu kepada dua, dan melompat ke atas, dalam jurus kaminari. Dia kini tinggi di atas pokok shirakaba.
**
Ayame segera ke koridor utama menuju pintu gelangsar depan.
“Kalian, berlindung di dalam bersama Tokui.” Pinta Ayame kepada tiga budak perempuan itu. Dia memandang Ryouji seraya menyambung, “Ryouji, bagaimana dengan panah itu?”
“Kita perlu berhati-hati. Ini racun torikabuto.”
Mujur aku ditolak oleh Ayame tadi. Jika tidak mungkin nyawaku sudah melayang akibat racun ini.
“Ryouji, engkau tunggu di dalam, lindungi Tokui dan lainnya.” Ayame mengarahkan, sambil berjalan separa mengitik keluar. Ryouji mengekorinya dan berjaga di hadapan rumah.
Tap!
Bunyi objek tumpul menghentak sesuatu.
Ryouji telah mengeluarkan pedang tumpul Saishi-tou-nya dan pantas menetak panah yang menyasar ke Ayame. Sebatang lagi muncul, sekali lagi Ryouji mengulang libasan, langsung mengena, mematahkan panah itu kepada dua.
“Ara, aku bilang engkau Okuhida Ryouji.” Suara seorang wanita separuh abad kedengaran. Ryouji pantas memaling ke arah punca suara itu. Seorang wanita dengan dua kelongsong panah di belakangnya, wajahnya bengis seperti ahli sihir, berkedut seperti kulit buah pisang kaki yang dikeringkan (dried persimmon), rambutnya panjang diikat ekor kuda dengan jalur-jalur uban jelas kelihatan, dan dia memakai topi kon. Bajunya yukata ungu dengan umanori dari kain kapas bertenun, berwarna kelabu, lusuh dengan seratnya tercarik keluar di sana sini. Barangkali baju bertarung atau bertani. Mana mungkin mereka, penjaga rumah perlindungan, terlalu papa sehingga tidak mampu membeli pakaian yang lebih elok.
“Masami-san.” Ayame berdiri bersebelahan dengan Ryouji, mengadap wanita separuh abad itu, di hadapan pintu rumah.
“Okuhida-san, aku dengar kalian seperti keluarga Shirasaka itu.” Masami meneruskan kata-kata sambil memandang Ryouji, tidak menghiraukan Ayame.“Aku ingin sekali bertarung denganmu.”
“Masami-san, bertarung denganku. Dia masih baru.”
“Engkau diam, Ayame! Aku sudah berpuluh tahun di dalam Kogen. Dan hanya kerana engkau dari keturunan itu engkau mendapat kedudukanmu.”
“Aku tidak mengidamkan semua ini, Masami-san. Aku hanya menjalankan tugas yang telah mereka amanahkan kepadaku. Engkau telah menghancurkan masa depan anak-anak kami.”
“Itu balasan kalian. Aku hanya mahu sedikit imbuhan dari kalian kerana aku sudah lama berkhidmat. Takkan itu pun kalian tidak mampu? Bukankah Maharaja telah menambah dana kalian? Namun kalian terlalu kedekut bahkan mengurangkan gaji kami.”
“Dana itu akan digunakan bagi menambahkan lagi rumah kami. Masami-san, kami mahu menempatkan anak-anak orang miskin juga, bukan hanya anak yatim. Kami tidak mahu mereka dijual ibu bapa mereka lagi.”
“Aku tidak mahu lagi mendengar alasan kalian. Aku akan hapuskan engkau hari ini Ayame, dan aku akan mengambilalih Kogen.”
“Aku amat berharap, engkau menyerah diri sahaja Masami-san dan engkau akan dibicarakan. Ada peluang juga hukuman terhadapmu akan diringankan.”Ayame bersedia, dia sudah mengeluarkan pedangnya.
Masami meluru dan cuba menebas Ayame. Ayame melompat dan naik ke atas bumbung rumah.
Ryouji sedikit terperanjat, kerana pergerakan mereka amat pantas. Mereka naik ke jurus tinggi tanpa bermula dengan jurus rendah dahulu. Pada mulanya dia masih dapat melihat kedua-duanya naik di atas bumbung, namun sesaat selepas itu, hanya berbunyi angin berdesus dilibas pedang dan bunyi bumbung dipijak. Semakin lama bunyi itu semakin sukar dikesan dan kepantasannya meningkat, hanya sekali sekala Ryouji mengesan kulit pokok di tepi teratak menerima kesan hirisan pedang dan daun-daun terpotong olehnya.
Ryouji tidak mahu masuk campur. Biarlah Ayame yang menyelesaikannya. Dia berundur ke anjung rumah kerana tugas utamanya ialah melindungi tiga budak perempuan itu bersama Tokui. Segawa masih di luar bertarung dengan Takumi. Sementara Touma turun kembali dan bertemu Ryouji dan Tokui di hadapan rumah, berjalan separa mengitik dengan menutup wajah menggunakan dua bilah pedang,salah satunya tidak bermata iaitu pedang rasmi Kogen, bagi mengelakkan diri dari terkena libasan pedang Masami dan Ayame yang bertarung di jurus tinggi.
“Maafkan aku Ryouji. Masami terlepas dariku. Di mana dia sekarang?”
“Di atas bumbung bertarung dengan Ayame. Aku nasihatkan engkau jangan keluar atau akan terkena libasan pedang mereka. Mereka kulihat di jurus lapan.” Ryouji hanya mengagak melihatkan dia tidak dapat mengesan mereka.
“Usah bimbang, aku tahu kaedah mengesan petarung pada jurus tinggi kaminari.”
“Dengan naik ke jurus tinggi juga?” Ryouji cuba mengagak, spontan.
“Ya.”
Touma memusingkan tubuhnya dengan sebilah pedang terhunus. Beberapa saat selepas itu, dia sudah berpusing pantas seperti puting beliung, memasuki jurus kelapan, jurus terpantas untuk mereka yang bukan dari puak yang dua itu. Ryouji tidak lagi dapat melihatnya.
Aku tahu kaedah ini. Namun ketika pertarungan Mariko-san dengan Tsugiyama dahulu, aku tidak pasti di mana mereka ketika aku di dataran, dan hanya duduk menunggu. Ketika itu, aku langsung tidak mengesan tanda-tanda seperti desus angin dan hentakan pada bumbung, mungkin deruan angin musim bunga lebih menabirnya. Hanya selepas Mariko-san berjaya menumpaskan Tsugiyama barulah aku menyedari mereka di situ. Dia sudah berjaya menewaskan Tsugiyama, dan telah muncul di hadapanku. Namun dia diserang hendap oleh panah berapi. Strategi kotor, dan pengecut itu, benar-benar seperti mereka yang telah membunuh bapaku dengan fukiya. Sesiapapun, akan tewas dengan strategi begini. Dan aku telah tewas dua kali, mengorbankan bapaku dan Mariko-san. Namun aku berikrar, aku tidak akan tewas untuk kali ketiga. Aku berikrar.
Touma dapat melihat di mana lokasi Ayame dan Masami. Mereka berdua sudah berada di bawah, di taman bonsai. Masing-masing sudah berhenti bertarung. Ayame berdiri berhampiran bangku, sementara Masami sedang berdiri di atas dahan pokok keyaki (zelkova) yang rendang. Mata mereka masing-masing merenung satu sama lain,berwaspada.
“Ahli sihir berkedut seperti kulit pisang kaki kering, engkau masih tidak mahu menyerah kalah?”
Masami ketawa mendengarkan kutukan Ayame itu seraya membalas, “Engkau pun akan tua berkedut juga suatu hari nanti. Dan sekurang-kurangnya aku tua dengan bersuami.”
“Mujur juga aku belum berkahwin. Agar aku tidak dijodohkan dengan sampah seperti suamimu. Yang menghancurkan maruah anak-anak kami!”
Masami geram seraya menyarung panah pada busur dan melepaskannya. Namun dia melepaskannya bukan pada Ayame, namun pada Touma yang sedari tadi berdiri tidak jauh dari mereka dan dia telah berpura-pura tidak menyedarinya. Touma sempat mengelak, dan mata panah itu menghiris betisnya. Mata itu telah dicalit racun torikabuto, yang mana Touma dapat melihat racun itu sedikit mengena kulitnya yang dihiris. Dia cepat-cepat memicit keluar darah beracun dari luka itu dan mengelap sisa racun yang berwarna biru dengan pakaiannya. Sedikit sahaja racun itu sudah mampu membunuh sasaran.
Melihatkan Ayame leka memandang Touma, Masami bersedia memanahnya pula.
“Ayame!” Teriak Touma.
Ayame sempat memotong panah itu, menggunakan pedang bermatanya. Pedang itu sering dibawa untuk tujuan hukuman bunuh mengikut Kod Kogen (Kougen-dou/ ‘the Way of Kogen’).
“Sasuga Hitokiri Ayame da ne. (seperti kujangka, Ayame Sang Pembunuh).” Gumam Masami sebaik melihat panahnya dipotong licin oleh pedang bermata Ayame.
Ayame digelar Hitokiri oleh ahli Kogen disebabkan peranan utamanya sebagai penjatuh hukuman bunuh Kogen. Selain dia, ada beberapa ahli Kogen yang juga memegang jawatan penjatuh hukuman tersebut namun mereka hanyalah pengganti Ayame dan identiti mereka dirahsiakan.
“Ya, dan engkau juga pembunuh. Engkau membunuh masa depan dan maruah anak-anak kami!”
Mereka kembali bertarung. Touma sudah berada di dalam rumah, kakinya kekejangan. Racun itu telah mula mendatangkan kesan. Dia mungkin akan lumpuh jika tidak dirawat segera dengan antidot.
Touma berkata kepada Tokui, “Budak lelaki, tolong aku. Torikabuto memasuki sedikit badanku. Jika Masami ada menyimpan antidot...”
“Ada, dia pernah merawatku menggunakannya. Sebentar ya.”
“Bawakan aku air minum juga.”
“Baiklah.” Tokui menurut.
Touma segera meminum air bagi melawaskan racun itu, yang hanya sedikit memasuki tubuhnya. Dia perlu berwaspada. Racun torikabuto bukanlah sebarangan racun. Antidot hanya berkesan pada dos rendah torikabuto, namun tidak pada dos yang lebih tinggi, atau pada ketika racun itu sudah jauh meresap ke dalam tubuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan