BAB 30
Chisato merenung wajah Ryouji lama, seraya mengalirkan air mata. "Baka! (bodoh!)" dia menjerit lalu meninggalkan Ryouji, berlari menuju ke hutan buluh sambil menekup mata dengan lengannya, sambung tangis di sana.
Maafkan aku Chisato! Hontou ni!
Mendengarkan jeritan Chisato itu, seorang demi seorang mula berkumpul di teratak kerikil. Hisamiko sedang duduk di taman bonsai dan tidak berganjak sedikitpun, merenung Ryouji dari jauh. Ryouji memandangnya. Namun Hisamiko pantas memalingkan mukanya sambil mendengus ‘huh!’ penuh meluat, merajuk nampaknya. Aku akan memujuknya nanti, bilang Ryouji. Namun bagaimana harus aku memujuk Hisamiko yang sudah berusia sebelas tahun itu? Dia bukan lagi budak kecil, mungkin lebih sukar.
Tsuneki yang mula-mula keluar dari rumah lalu memeluk Ryouji. "Ryouji engkau ke mana? Mengapa engkau tidak memberitahuku?"
"Maafkan aku Tsuneki. Nanti kita berbual panjang di bilik, ne?" Ryouji membuat janji dengan Tsuneki.
Shinji pula tercegat seperti batu sambil menyilang lengannya.
"Panjang umurmu Ryouji. Bagaimana kakimu?" mata Shinji pantas menangkap luka berbalut di kaki Ryouji.
"Hanya luka kecil."
"Ditembak? Atau dihiris?"
"Nanti aku kisahkan."
Azusa mengintai dari dataran luas. Dalam hatinya menjerit ‘baka’ juga, namun masih ada buih-buih
kegembiraan. Aku sudah dapat meneruskan hidupku sehari-hari seperti biasa, hanya
dengan melihatmu Ryouji!
Ryouji datang berjumpa Takasaki di pejabat.
“Takasaki-san,
maafkan aku. Aku terlalu mengikut emosi. Adakah engkau masih marah denganku?”
“Aku masih marah.
Amat! Ryouji, ke sini sedikit muka engkau. Mari!” Takasaki meminta Ryouji
menyuakan mukanya sedikit. Mereka sedang duduk bersila di dalam pejabat, sambil
dipisahkan sebuah meja. Takasaki mahu menampar mukanya menggunakan kedua-dua
belah tangan seperti memukul gendang taiko.
Dia mengangkat tangannya.
Ryouji bersedia menerima hukuman, seraya menadah muka dan memejamkan matanya.
Dia sedar kesalahannya. Hukuman sebegini lebih baik dari seppuku.
“Pap!” kedua-dua
tangan Takasaki itu hinggap di bahu Ryouji. Dia memandang Ryouji tepat ke dalam
anak matanya. Air matanya mengalir menuruni wajah tua yang hanya berkedut
sedikit.
“Bodoh engkau
Ryouji. Aku amat risaukan engkau!”
Ryouji tersentak
melihatkan Takasaki. Pertama kali dia melihat Takasaki menangis. Patutlah dia
mahu berjumpa aku di dalam pejabat sahaja!
Setelah keadaan
kembali reda, Ryouji memulakan bicara tentang kejadian di Furukawa.
“Sonzaemon mengaku
dia terlibat membunuh bapaku. Motifnya dengki. Namun aku tidak membunuhnya
meskipun aku mampu. Aku hanya mahu dia meminta maaf dan menyedari
kesalahannya.”
Aku sudah agak,
getus Takasaki di dalam hati. Disebabkan itu aku amat mempercayaimu Ryouji. Aku
tahu benar engkau tidak akan melakukannya. Aku mempercayai pertimbanganmu.
“Takasaki, aku mahu
siasat Hamada lebih lanjut. Kesemua perniagaan keluarga Yoshitsugu. Mereka
sebuah keluarga yang amat membingungkan. Mengelirukan. Bahkan jaringan
orang-orang mereka di mana-mana.”
“Mengapa Ryouji?
Adakah kerana didorong oleh kematian bapamu?”
“Ia salah satu
sebab. Namun aku dapati sejak menghuni di sini, ramai di antara kami menjadi
mangsa mereka. Ogasawara, Kobato, Tsuneki, dan juga kami Okuhida. Bahkan bukan
setakat mereka, orang-orang di kampung Tsuneki juga menjadi mangsa taun. Aku
juga mendengar berapa banyak rumah petani di wilayah Shinagawa dibakar atau
mereka dihalau kerana tidak menjelaskan cukai kepada Hamada.”
Takasaki terpegun
mendengarnya sendiri dari Ryouji. Dia peduli! Dia pedulikan penghuni lain! Aku
sengaja meletakkan kesemua hasil siasatanku di dalam perpustakaan itu, yang
semuanya disalin dari naskhah asal di Shirasaka-no-Kogen.
Dan Ryouji penghuni pertama yang menyuarakan kebimbangannya.
“Ryouji, apakah
engkau ingin melakukan perubahan?”
“Aku tidak pasti lagi, Takasaki. Tetapi bukankah apa yang dilakukan keluarga Yoshitsugu itu salah? Aku tidak faham bagaimana mereka masih dibenarkan melakukan kegiatan mereka tanpa ada undang-undang yang menyiasatnya. Bukankah baru-baru ini Hamada dan anaknya Hagiura dikekalkan sebagai gabenor di wilayah masing-masing? Aku bingung bagaimana mereka masih dikekalkan kuasa masing-masing.” Ryouji memberitahu khabar yang diterima dari Shinji. Takasaki tidak terkejut. Shinji sebenarnya mendapatkan maklumat itu darinya.
“Benar. Kerana
mereka bukan lagi daimyo dan hanya
gabenor, mereka kini tidak lagi memiliki tanah-tanah di Shinagawa dan Yozehama.
Maka para petani sudah sepatutnya boleh menarik nafas lega kerana tiada lagi
pemaksaan cukai ke atas mereka. Malah, tanah-tanah di Shinagawa dan Yozehama
juga telah disempadankan semula bagi mengurangkan pengaruh mereka.
Mereka berdua kini hanya menerima gaji dari istana sebagai sumber pendapatan.”
“Namun apa yang
ditakuti sekarang ialah, meski kuasa mereka dihadkan dan hanya memakan gaji,
bekas-bekas samurai mereka masih berada di segenap pelusuk wilayah-wilayah
tersebut, memerhati masyarakat dan memeras ugut mereka agar menjelaskan ufti
senyap-senyap tanpa diketahui istana. Para petani ini pula tidak berani mengadu
kerana bimbang nyawa mereka diancam. Mereka perlu hidup. Sesetengah dari mereka menjaga tanggungan yang ramai dan
sukar melarikan diri. Maka, keadaan tidak banyak berubah berbanding sebelum
ini. Kecuali jika istana memindahkan Hamada dan Hagiura ke Kyushu, seperti yang
telah dilakukan kepada Taishii Kimura.” Takasaki menerangkan panjang lebar
keadaan semasa kepada Ryouji. Dia merasakan sudah tiba masanya menyerap masuk
Ryouji ke dalam pasukan penyiasat pertubuhannya.
“Namun
jenayah-jenayah lepas yang mereka telah lakukan atau terlibat tidak boleh
semudah itu ditutup."
“Maka apa strategi
engkau dan pertubuhanmu, Takasaki-san?”
“Hamada adalah
penguasa. Dia melakukan jenayah seperti pembunuhan, pembakaran dan sebagainya
adalah dengan menggunakan boneka-bonekanya, iaitu samurai-samurainya yang
setia. Mencari bukti jenayah hanya membawa kita kepada bonekanya, bukannya dia.
Seperti dalam kes engkau, bukti itu hanya membawamu kepada Sonzaemon. Tidak
menuding kepada Hamada. Dan...”
“Dan?” Ryouji tidak
sabar.
Takasaki hampir
menceritakan kisah Kobato, dan dia sempat menahan dirinya. Dia adalah boneka
Hamada dahulu, dan kata-katanya itu dirasakan sungguh memilukan hatinya, atas
apa yang telah dilakukan terhadap Kobato. Dia cuba menahan sakit di jiwa, dan
menyambung penerangannya.
“Tidak ada apa-apa.
Jika engkau mengumpul segala bukti yang engkau ada sekalipun, kebarangkalian
untuk berjaya mempersalahkan Hamada di atas jenayahnya amat tipis. Strategi
kami di Kogen ialah dengan melobi Maharaja, agar Hamada keluar dari
kepompongnya.”
Takasaki menelan
air liur, kemudian menyambung.
“Kekuatan penguasa
adalah orang bawahannya. Untuk mengeluarkan penguasa, kita melemahkan orang
bawahannya. Dorongan orang bawahan Hamada, iaitu pada masa ini bekas-bekas
samurainya, ialah wang.”
“Dengan melobi Maharaja,
kami mendapat kepercayaan baginda, dan dengan kepercayaan, baginda akan mula
mendengar kami. Pada masa itulah kami akan membongkarkan kepada baginda aduan
petani dan nelayan yang diugut menjelaskan wang perlindungan atau ufti oleh bekas-bekas
samurai Hamada yang masih setia dengannya.”
“Kami jangkakan
dari aduan itu, Maharaja akan menyiasat dan menekan Hamada bagi mendapatkan
sokongan orang kampung yang teraniaya dan juga bagi mengukuhkan Pembaharuannya.
Hamada akan mengurangkan aktiviti-aktiviti pungutan ufti, sawah demi sawah, dan
kampung demi kampung. Dengan itu, pendapatannya berkurang dan dia akan mula
culas membayar bekas-bekas samurainya. Tanpa bayaran, bekas-bekas samurai ini
akan meninggalkan Hamada. Tanpa mereka, petani dan nelayan tidak akan diugut
lagi bahkan mereka akan lebih berani melawan Hamada yang semakin kurang
pengugut. Ketika ini kami akan membantu golongan petani dan nelayan ini, dan
jika perlu, melatih mereka bertarung dan membekalkan senjata.”
“Semakin kurang
orang bawahannya, semakin kuranglah kuasa Hamada. Dia akan keluar akhirnya dari
‘istana’ persembunyiannya dan melarikan diri. Pada ketika itu, kami akan
mengejar dan menangkapnya dan membawa dia ke Tokyo di hadapan Maharaja untuk
diadili.”
“Semudah itu?
Mengapa Kogen tidak melakukan sejak dahulu lagi?”
“Sistem sudah
berubah, Ryouji. Dahulu, Hamada adalah daimyo.
Dia ada hak mengutip cukai dari petani. Sekarang, perbuatan itu dikira jenayah
oleh Maharaja dan Hamada hanya berhak ke atas gajinya sahaja, tidak lebih dari
itu. Kami menggunakan sistem baru ini sebagai alat bagi mendakwa Hamada. Itulah
gunanya Pembaharuan. Membaharui sistem yang menindas, yang digunakan oleh
sebahagian daimyo untuk mengambil
kesempatan di atas kesusahan para petani.”
“Maksudku, mengapa
kita kekal dalam sistem sebegini berkurun lamanya? Mengapa baru sekarang
Pembaharuan itu berlaku?”
“Telah ada beberapa
pembaharuan yang berlaku dalam masa seribu tahun lepas. Namun ia tidak lebih
dari pemulangan kuasa kepada Maharaja, atau penyatuan wilayah kepada seorang daimyo tunggal yang digelar shogun. Kuasa bertukar tangan dari
Maharaja ke shogun, kembali ke
Maharaja, kembali ke shogun, kemudian
ke shogun yang lebih berpengaruh, dan
yang terbaru, kembali kepada Maharaja. Hanya yang terakhir itu, yang kulihat bakal
membawa perubahan besar kepada masyarakat kita.”
“Jelaskan mengapa
Takasaki-san. Mengapa engkau berfikir begitu?”
“Pembaharuan yang
terakhir itu menghapuskan sama sekali sistem samurai. Bererti cara hidup kita
yang sudah sebati berkurun lamanya di tanah Yamato ini akan berubah. Tiada lagi
samurai yang berkuasa. Kita semua sama. Hanya yang berusaha keras akan mendapat
ganjaran setimpal. Hanya yang benar-benar berbakat dalam kepimpinan dan seni
pertarungan akan diterima memasuki pasukan keselamatan dan tentera. Sesiapapun
kini boleh menjadi seperti ‘samurai’, maksudku seorang yang tahu bertarung,
asalkan dia berusaha dan memiliki bakat. Dan yang paling penting, hanya
Maharaja dan kerajaannya yang berhak memungut cukai. Selain dari itu, mereka
tidak layak dan akan diperangi.”
Ryouji khusyuk
mendengar kuliah Takasaki. Takasaki terlihat bayang-bayang Shinji sedang duduk
di pintu gelangsar di luar. Takasaki tidak kisah, dia melastik dua burung dalam
satu lastikan. Dia juga mahu Shinji mengetahuinya. Bahkan aku sendiri akan memanggilnya kelak dan menerangkan kembali apa yang tidak dia fahami.
Maka, untuk
memerangkap dan membawa keluar Hamada dan keluarganya, aku perlu menyertai
Kogen, fikir Ryouji.