BAB 52
Awal pagi itu,
mereka sudah bersedia.
Penunggang kuda
masing-masing sudah bersedia dengan para pembonceng. Tawanan mereka diikat
kemas agar tidak mudah melarikan diri.
“Kalian, jaga
diri.” Ryouji berkata sambil melambai tangan.
“Jaga dirimu, Ryouji!” Mereka
melaung hampir serentak.
“Onii-san, jaga dirimu. Kita jumpa di
Shirasaka.” Hisamiko memeluk Ryouji. Dia kemudian memanjat pelana dan membawa
naik Chinami, adik bongsu Chisato. Hisamiko adalah penunggang kuda termuda
dalam kalangan mereka. Dia mempelajarinya dengan mengamati Ryouji ketika
berlatih. Kemudian dia mencubanya tanpa kebenaran Takasaki dahulu. Melihatkan
dia mampu mengawal kudanya, Takasaki akhirnya membenarkan dia menunggang kuda.
Aku doakan mereka
selamat sampai.
Ryouji meninggalkan
gerbang buluh itu dan ke rumah. Mariko masih enggan dan berkurung di dalam
biliknya.
**
“Mariko-san,
Mariko-san!” Ryouji mengetuk pintu bilik Mariko.
“Maafkan aku biadap
denganmu semalam. Kami harus bergegas. Orang-orang Tsugiyama sedang menuju ke
sini.”
Tiada jawapan.
“Mariko-san, aku akan
memaksamu keluar. Kami juga tidak mahu kehilanganmu. Maafkan kebiadapanku.”
Ryouji menendang
pintu gelangsar bilik Mariko.
Mariko sudah
bersiap dengan pedangnya, terhunus.
“Mariko-san... apa yang engkau mahu lakukan?”
“Bertarung
denganku, Ryouji. Jika engkau menang, bunuh aku. Aku tidak akan meninggalkan
rumah ini. Roh Takasaki masih di sini. Aku mahu kehidupanku di sini. Aku juga
mahu kalian kekal di sini!” Mariko berkata dengan tangannya terketar-ketar,
masih berbolak-balik sama ada mahu bertarung atau tidak dengan Ryouji.
“Lupakan
cita-citamu Mariko-san. Kita sudah
kesuntukan masa.”
Sebaik Ryouji
menghabiskan kata-katanya, panah berapi menembusi dinding bilik itu, dan hampir
mengenai Mariko sebelum Ryouji menolaknya ke tepi. Api mula merebak.
Bangsat! Mereka
sudah sampai.
“Mariko-san, sertai kami. Atau engkau akan mati."
“Tidak! Aku akan
bertarung dengan mereka. Aku akan pertahankan rumah ini. Ryouji, hormati
keputusanku.”
“Jika itu yang
engkau inginkan, aku tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Mariko-san, aku amat
berharap, engkau tidak menyesal dengan keputusanmu.”
“Aku tidak
menyesal, Ryouji.”
“Jya, sayonara.” Sebaik menghabiskan
kata-kata, Ryouji bergegas meninggalkan rumah itu. Rumah itu mula dijilat api
yang semakin marak sedang Mariko masih berkeras mahu kekal di situ. Ia
terus-menerus dihujani anak panah berapi.
Ryouji terus ke
bilik bersebelahan bengkel relau. Dia tahu Tsugiyama pasti akan ke situ mencari
rakannya. Mujur tawanannya telah dihantar ke Kogen. Dia melihat Goro sedang terbang
berlegar-legar di atas bilik tawanan itu, mengisyaratkan kepada Tsugiyama di
persembunyiannya lokasi bau tawanan itu masih di situ. Ryouji bersembunyi
menunggu dia keluar.
Goro kemudian
bertenggek di bumbung bilik itu, sambil menggeleng-geleng kepalanya. Ryouji
menunggu lama namun Tsugiyama masih belum keluar.
Apakah Tsugiyama
sudah tahu tawanan mereka sudah dipindahkan? Ryouji melihat panah-panah berapi
yang dilancarkan sedari tadi sudah berhenti. Api di bangunan utama rumah itu
semakin marak. Apakah Mariko masih belum mengubah fikirannya?
Aku yakin, mereka
sekarang bersedia untuk mengejar tawanan kami atau rakan mereka itu. Aku harus
menghalang mereka.
Di persembunyian di
celah-celah belukar, Tsugiyama mendengus melihatkan gelengan Goro. Dia faham
itu tandanya Tsugaru dan Tetsugi telah dilarikan ke tempat lain. Bangsat engkau
Ryouji! Hanya jika aku datang awal sedikit ke sini.
Tsugiyama datang kembali bagi menyelamatkan Tetsugi dan Tsugaru dan menculik Chisato jika dia masih di situ.
“Tsugiyama, jika
engkau berjaya menculik Chisato, engkau tidak perlu membayar sewa menggunakan
Goro.” Tsugiyama terkejut mendengar kata-kata Hagiura tempoh hari. Tsugiyama tanpa banyak
soal mengucapkan terima kasih.
“Tatsuya, hentikan
panahan. Aku yakin rumah itu sudah hampir seratus peratus musnah. Rancangan
kita yang pertama berjaya. Sekarang kita akan mengejar Tetsugi dan Tsugaru. Aku
akan bergerak dahulu, dan sekiranya aku diapa-apakan, gunakan panahmu. Namun jangan sekali-kali engkau panah musuhku jika aku sedang bertarung dengannya.” Tsugiyama mengingatkan Tatsuya. Dia amat pantang sekiranya pertarungannya dibantu. Maruahnya cukup tinggi , hasil dari bertahun dididik sebagai samurai.
“Baik Tsugiyama!”
Tsugiyama
menunggang kuda menuju ke dataran di hadapan rumah yang sedang terbakar marak
itu. Itulah satu-satunya jalan pintas untuk ke tebing Sungai Miya, yang akan
membawanya ke utara di mana Shirasaka dan Furukawa terletak. Sedang dia melalui dataran itu
dengan pantas, tiba-tiba sebatang panah melayang hinggap pada kuda tersebut.
Kuda Tsugiyama tersungkur, dan Tsugiyama sempat melompat turun.
“Kita bertemu lagi,
Tsugiyama!”
Tsugiyama
menepuk-nepuk habuk pada kimononya dan bangun. Dia sedikit terperanjat melihat
pemanah yang berdiri di hadapannya.
“Engkau rupanya, Mariko-san. Setelah 25 tahun engkau
menghilangkan diri. Dunia ini sungguh kecil.”
“Aku tidak
menghilangkan diri. Aku berkahwin dengan Takasaki dan tinggal berdekatan Hamada
di Kawamoto selama dua tahun tanpa pengetahuannya. Bukankah engkau juga di situ
berkhidmat kepadanya?”
Tsugiyama ketawa
terbahak-bahak. “Kalian sungguh licik. Aku hairan bagaimana kalian boleh
melakukannya. Oh ya, tidak mustahil jika dengan Takasaki. Dia amat sukar
dikesan. Aku tidak pernah berjumpa tempat ini sehinggalah selepas kematiannya.
”
“Tsugiyama, aku
tidak akan melepaskan engkau seperti kali pertama kita bertemu.”
“Jangan lepaskan
aku, kerana selagi aku hidup akan aku musnahkan rumah ini sehingga tinggal abu
semuanya.” Tsugiyama ketawa lagi. Apakah dia fikir dia kelakar?
“Aku tidak risaukan
rumah ini kerana ia boleh didirikan baru di mana-mana. Aku tidak akan biarkan
engkau mengapa-apakan anak-anak kami.”
Tsugiyama
mengeluarkan katananya sedang Mariko
mengeluarkan Saishi-tou-nya. Mereka
berdua bergerak berpusingan, menanti gerakan serangan pemula.
“Mariko, aku
terharu dengan pemergian Takasaki bekas ketuaku itu. Dibunuh oleh kanak-kanak
yang diselamatkannya dahulu? Kelakar bunyinya.” Tsugiyama ketawa seraya
memulakan serangannya. Mariko pantas mengelak, kemudian cuba menyerang pinggang
Tsugiyama yang terbuka dengan Saishi-tou peninggalan Takasaki.
“Aku tidak mahu
mendengar simpati jijikmu.”
Tsugiyama menahan
dan mengilas pedang Mariko. Mariko terundur ke belakang, lengan Tsugiyama yang
besar tidak berdaya ditahannya.
“Akulah yang
membantu Takasaki membakar rumah budak itu. Tak sangka dia memilih untuk
membunuh Takasaki. Aku sungguh bernasib baik, Mariko.”
“Mariko, apa kata
engkau lupakan Takasaki, dan hidup denganku? Engkau pun masih cantik.”
“Tsugiyama, sama
ada aku, atau engkau yang akan mati hari ini.”
Mariko berhenti
untuk menarik nafas. Aku tidak boleh membiarkan dia mengejar anak-anak itu. Aku
harus bertenang dan tumpukan perhatian. Aku lihat, Tsugiyama seperti menahan
sakit badannya selepas melompat dari kudanya tadi, terutamanya di pinggang.
Pergerakannya tidak licin sewaktu bertarung denganku tadi. Apakah disebabkan
dia sakit bertarung dengan Ryouji kelmarin?
“Mariko, di mana
Chisato?”
“Aku tidak akan
memberitahumu.”
“Aku punya
penawarnya jika engkau memberitahu di mana Chisato.”
“Kami telah menahan
orang-orangmu untuk mendapatkan penawar itu. Aku tidak akan lepaskan engkau.
Atas apa yang telah engkau lakukan di kampung nelayan di Osaka itu dan juga
rumah-rumah petani yang telah kau bakar selama di bawah Hamada.”
Mereka sambung
berlawan. Mariko mengurangkan serangan dan banyak mengelak menggunakan jurus
lima bagi menjimatkan tenaga dan mencari titik kelemahan Tsugiyama.
Ryouji pula sedang
bergerak menuju ke belukar hutan untuk menjejaki Tsugiyama. Dia harus
berhati-hati atau dihentam panah. Bunyi dan api kebakaran di rumah perlindungan
itu menghalangnya dari mendengar bunyi dentingan pedang dan pemandangan
pertarungan Mariko dengan Tsugiyama di dataran.
Bahagian pintu
belakang bilik Mariko sudah berkurang apinya. Namun dia sudah tiada. Ke mana
dia menghilang?
Ryouji memasuki
rumah itu dan meredah asap tebal dan runtuhan yang sudah hangus. Dia
berhati-hati berjalan meredah menuju ke pintu hadapan, untuk ke dataran mencari
Mariko.
Sementara itu di
dataran...
Mariko mengingat
kembali pesan Takasaki beberapa minggu sebelum dia meninggal dunia.
“Mariko, Tsugiyama
adalah bekas samurai Hamada yang paling berbahaya. Jika ramai bekas samurai
lain telah meninggalkannya, Tsugiyama masih setia bersamanya. Dia mencariku dan
mahu memaksaku berkhidmat kembali kepada Hamada atau aku akan dibunuh bagi
melemahkan Kogen. Aku sendiri tidak mampu mengawalnya sewaktu bekerja dengan
Hamada. Bahkan dia lebih dipercayai Hamada dariku.”
“Nakatsu, engkau
takut dengan bekas pengikutmu?”
“Bukan Mariko. Aku
tahu aku boleh menewaskannya dengan bertarung. Namun Tsugiyama ini bukan
seperti samurai yang biasa. Dia gemar menggunakan taktik kotor, seperti yang
digunakan ninja. Sekarang ini dia bekerjasama dengan pakar ubat mencipta pelali
baru bagi memabukkan musuh-musuhnya. Maka engkau akan lebih mudah ditewaskan ketika bertarung, sama seperti senjata api pedagang Belanda di Furukawa itu, atau
penyumpit fukiya yang membunuh
Miura.”
“Mariko, jika aku
pergi bila-bila masa dari sekarang, engkau harus melindungi anak-anak kita ini
dengan nyawamu. Mereka adalah pelapis Kogen yang dipandang tinggi oleh Omi.
Okuhida bersaudara dengan kepantasan hayabusa
mereka, Shinji dengan kepakaran teknikal, Tsuneki dengan kemahiran memanah
tinggi. Chinami dan Chiho...” Takasaki teragak-agak, seperti sudah kehilangan
kata.
“Mengapa dengan
Chinami dan Chiho?”
“Engkau tahu apa
kebolehan mereka? Aku kurang memerhati mereka kerana menyerahkan sepenuhnya
kepadamu dan Chisato.”
“Chinami dan Chiho
ialah kembar. Engkau tahu bukan jurus kedua yang hanya boleh dilakukan bersama
regu? Mereka mampu melakukannya dalam satu sesi latihanku di dataran.
Disebabkan mereka kembar, jurus itu tidak memakan tenaga mereka sepertimana
pasangan-pasangan regu yang lain.”
“Benarkah begitu?”
“Ya. Dalam ilmu
saintifik Barat, ada disebut berkenaan resonans atau keserasian. Satu bandul
berayun jika dihubungkan dengan bandul kedua yang serupa, dan bandul ketiga
yang tidak serupa, bandul yang kedua itu berayun hampir sama kuatnya dengan
bandul pertama. Kerana kedua-duanya serupa, bandul kedua menerima tenaga
tertinggi dari bandul pertama.”
“Bagaimana dengan
bandul ketiga?”
“Bandul ketiga
hanya berayun namun sedikit dan tidak sekuat bandul kedua.” Mariko rancak
memberi kuliah fizik kepada Takasaki. “Banyak tenaga dari bandul pertama
terbazir keluar tanpa diterima bandul ketiga. Tanpa keserasian, pasangan yang
melakukan jurus kedua akan keletihan kerana banyak tenaga terbazir.”
“Nakatsu, kaminari-no-kaze tidak bercanggah dengan
sains dari Barat. Jika bercanggah, mana mungkin pedang Saishi-tou itu dapat membantumu mencapai jurus kesembilan? Ia
hanyalah permainan persamaan jisim.”
Aku fikir Chinami
dan Chiho juga aset berharga untuk Kogen.”
“Bagus. Mariko, aku
fikir aku sudah boleh berlapang dada. Aku yakin dengan mereka, terutamanya
Ryouji. Cuma Ryouji perlu belajar memimpin pasukan. Dia tahu bertarung, namun
kepimpinannya perlu diasah lagi. Ryouji terlalu risau akan keselamatan
rakan-rakannya sehingga dia tidak mahu melibatkan mereka dalam pertarungan.”
“Selain itu,
Nakatsu, adakah dia sudah mampu ke jurus kesembilan dalam sedar?”
“Ya. Disebabkan dia
puak Okuhida, maka mencapai jurus itu pada usia muda dan kurang latihan tidak
membahayakan nyawanya. Ditambah dengan pedang Saishi-tou ciptaan Shinji itu.”
“Bagaimana pula
denganmu?”
“Aku juga mampu
mencapainya, berkat latihan bertahun-tahun jurus kelapan dan pedang Saishi-tou yang ditempa Shinji itu. Jika
tidak mungkin aku tidak mampu mengawal rusuhan tenaga. Aku bukan dari puak
Okuhida atau Shirasaka.”
“Dan Mariko, satu
rahsia yang baru berkenaan jurus kesembilan kutemui. Tulisan Miura punya
kesilapan kecil yang perlu dibetulkan.”
“Apakah ia?”
“Tentang beban
emosi. Tentang keperluan membuang tuntutan emosi dan mengejar tujuan utama
pertarunganmu. Perkataan ‘beban’ itu sendiri kufikir hanya pandangan Miura. Aku
tidak pasti apa alasannya. Namun jika kita memandang tuntutan emosi itu sebagai
pendorong, fikiran dan penumpuan dalam pertarungan di jurus kesembilan menjadi lancar.”
“Mariko, Ryouji
benar. Kita tidak boleh membuang kehidupan. Mengapa aku tidak terfikirkan
perkara semudah itu?”
“Engkau telah
bertahun membunuh orang di bawah arahan Hamada, Nakatsu. Baru sekarang engkau
mencari kehidupan. Mana mungkin engkau mampu terfikirkannya. Sedangkan Ryouji
itu sendiri penuh dengan kehidupan. Dia datang ke sinipun telah memberi
kehidupan kepada penghuni rumah ini.” Mariko cuba mencucuk jarum dalam luka
lama Takasaki. Takasaki hanya mendiamkan diri, kerana ia sebuah kebenaran yang
pahit. Mariko benar.
Berbalik kepada
pertarungan dengan Tsugiyama dan Mariko di dataran...
Aku fikir mereka
sudah jauh dari sini. Aku perlu menamatkan riwayat Tsugiyama. Pinggangnya
kulihat bermasalah. Aku akan mencari peluang menyasarkan serangan ke lehernya,
dengan berpura-pura menyerang ke pinggang dahulu. Tsugiyama menggunakan jurus
ketujuh. Biarkan. Ikuti dia sehingga jurus kelapan.
Tenang, Mariko.
Engkau telah bersedia untuk mati di sini. Takasaki sudah tiada. Anak-anak itu
sudah diserahkan kepada Kogen. Sasaranmu ialah Tsugiyama. Tsugiyama perlu
dihapuskan atau lebih banyak kemusnahan yang akan dilakukan. Tuntutan emosi
engkau telah dikurangkan, maka mencapai jurus kesembilan menjadi mudah.