Novel: Yumejima (Bab 28)

Dengan berpandukan tunjuk ajar Hisamine, mereka berdua berjaya menyiapkan pengipas. Pengipas itu dipusingkan dengan kaki, sepertimana mesin jahit digerakkan oleh jongkang-jongket di bawah kaki.

 

“Wah...”

 

“Inspirasi dari mesin jahit, Miko-chan. Kakakku gemar menjahit. Bapa menghadiahinya mesin jahit dari Barat. Namun aku lebih gemar memahami sistem mekanikalnya.”

 

Pengipas itu menyalur angin kepada satu salur daripada tanah liat berbentuk cengkerang siput atau mungkin rumah salji orang Inuit yang berlubang besar di satu hujung dan berlubang kecil di satu lagi hujung. Atau seperti sangkakala perang. Pengipas akan mendorong angin masuk melalui lubang besar ‘cengkerang’ siput itu, dan angin akan bergerak ke muncung kecilnya yang terhubung kepada pintu masuk di bawah cerobong silinder tanah liat yang dibina Hisamine sebelumnya.

 

Pengipas itu boleh digerakkan bersama-sama. Maka Hisamiko duduk di atas batu di satu sisi dan mengayuh, diikuti Hisamine duduk di atas batu di satu lagi sisi.

 

“Seronok bukan?” Hisamine memandang Miko sambil tersenyum.

 

Hisamiko membalas senyum. Bahagia.

 

Beberapa hari kemudian, keseluruhan struktur tanah liat itu mulai kering dan mengeras. Hisamine fikir sudah tiba masanya untuk dia memulakan proses mengeluarkan besi tulen dari bijihnya.

 

Hisamine menuangkan pasir bijih besi yang diangkut dari kaki bukit hitam ke dalam silinder tanah liat, dan kemudian arang kayu. Dia memasukkan dua ramuan utama itu bergilir-gilir sehingga penuh silinder itu. Kemudian dia menuangkan sedikit sahaja minyak dari pelita yang ditemui di pantai (yang digunakan Hisamiko melawat kubur abangnya tempoh hari) dan menyalakan api. Selepas pengipas dikayuh beberapa kali, api kian marak.

 

Shiro hanya memerhati sedang mulut asyik mengunyah isi kelapa. Ternyata ia lebih menggemari kelapa berbanding buah merah kuning yang tumbuh banyak di lembah itu.

 

Beberapa kali mereka gagal. Hisamine tidak berputus asa. Dia tidak memecahkan keseluruhan tanah liat itu, sebaliknya hanya bahagian silinder. Setiap kali dia gagal mendapatkan besi tulen, dia akan membina kembali silinder baru dari tanah liat dan mengulang proses yang sama. Hisamine meskipun dia tidak setajam dan memiliki ingatan fotografik seperti Hisamiko, dia punya kesungguhan, satu sikap yang amat diperlukan oleh seorang penyelidik atau sesiapa sahaja yang ingin menjadi penyelidik.

 

Hisamiko mengamati perlakuan Hisamine sehari-hari. Gigih Hisamine terlalu gigih sehingga merisaukan Hisamiko kerana dia melangkau waktu makannya. Hisamiko menghulur buah merah kuning kepada Hisamine. Hisamine memandang sejenak sedang dia sibuk bekerja, kemudian matanya beralih kepada kerja-kerjanya sedang mulutnya berkata, “Hisamiko suapkan aku boleh? Tanganku kotor.”

 

Hisamiko tidak bertingkah, selamba mencubit buah lembut manis masam berair itu ke mulut Hisamine, sedang tangan Hisamine sibuk menempek-nempek tanah liat. Hisamine hanya tersenyum nakal selepas Hisamiko menyuapnya.

 

“Mengapa engkau senyum?”

 

“Tiada apa-apa.” Hisamine cuba menahan dari terus senyum, bimbang mengecilkan hati Hisamiko.

 

Tatkala Hisamiko beredar memetik buah merah kuning seterusnya, Hisamine ketawa kecil. Engkau memang budak-budak masih, Hisamiko!

 

Hisamiko tatkala memetik buah, hatinya bermonolog. Aku melihat Hisamine begitu gigih. Jika dia letih dia hanya akan berbaring sebentar dan kemudian terus sambung bekerja. Aku lihat dari sinar matanya seperti sesuatu yang besar sedang dikejarnya. Apa yang telah engkau lalui sebelum ke sini Hisamine? Apa yang mendorongmu sehingga engkau tidak putus-putus bekerja? Engkau tidak pernah memberitahuku selain daripada engkau pernah bekerja di atas kapal sebagai pelacur.

 

Kadangkala aku lihat matamu tajam merenung langit seolah-olah engkau sedang menyembunyikan amarah yang besar. Apakah engkau masih memarahi lelaki yang menyerangmu itu? Yang membaling pisau ke kakimu itu? Tidak, aku yakin bukan itu. Mata itu cukup tajam, cukup bisa dan cukup membunuh. Marahnya marah yang dihamburkan dari mata kepada seribu ekor syaitan yang sedang berhimpun di hadapannya dari neraka. Renungannya seperti renungan seekor ular. Renungannya seolah-olah mampu merobek segala isi langit. Sesiapa yang direnung begitu tidak layak dipanggil manusia. Ia renungan seribu satu kebencian yang terpendam sekian lama. Kadangkala aku gentar melihatmu. Andai engkau pernah menjadi lawanku, mungkin aku sudah tertewas hanya dengan renunganmu itu. Hatta kaminari pun tidak ampuh olehnya.

 

Suatu malam, aku baring di sisi Hisamine. Aku sedar dia belum tidur, aku dengar sedu-sedan. Aku miring mengadap tubuhnya yang membelakangiku. Aku peluk dan usap ubun-ubunnya.

 

“Mengapa engkau menangis, Hisamine?”

 

Hisamine cuba melepaskan diri kerana tidak menyangka aku belum lena. Aku mengetatkan pelukan.

 

“Hisamine, aku tidak memaksa. Aku hanya ingin memelukmu. Engkau menangislah sehingga puas. Aku memelukmu, boleh kan?”

 

Dia memegang tanganku. Mungkin dia malu kerana umurnya jauh lebih tua dariku. Namun siapa aku untuk menghakimi. Mungkin hari-hari neraka yang dilaluinya dahulu jauh lebih perit dari apa yang aku lalui. Aku tidak tahu Mine, aku langsung tidak tahu. Namun aku mahu bersamamu. Aku mahu meleburkan nestapa yang membelenggu jiwamu. Andai suatu hari nanti engkau bersedia meluahkan, maka kisahkanlah. Aku tidak memaksa.

 

**

 

Akhirnya, ketulan-ketulan besi tulen pertama terhasil. Penah lelahnya berbayar. Ketika itu sudah enam bulan dia mendiami lembah tersebut bersama Hisamiko dan Shiro. Musim sejuk yang tidak terlalu dingin di sini membolehkan dia menghabiskan masa di luar mencubajaya pelbagai kaedah dan binaan tanah liat demi mengekstrak besi.

 

“Huah.” Hisamine mengesat peluh. “Ia besi, Miko. Ia besi!” Dengan tangan yang masih kotor kesan jelaga dan sanga dia memegang kedua-dua tangan Hisamiko sambil meloncat kegirangan. Tidak semena-mena air matanya mengalir.

 

Hisamiko hanya memandang dalam keanehan. Mine, gembiranya engkau. Aku tidak pernah melihat engkau seriang ini sejak tibamu di sini. Namun aku bimbang. Aku faham niat murnimu mahu mempertahankan tempat berdiam kita ini dari pencerobohan. Namun aku tidak mahu berperang. Perang terlalu menyakitkan. Kami dihambat tentera Maharaja sehingga terpaksa melarikan diri ke pulau ini pun kerana penglibatan kami dalam perang. Aku kehilangan Tsuneki kerana pertikaian, kerana kami berperang dengan Hamada. Aku kehilangan abangku kerana pertikaian dengan pelombong emas itu. Aku hilang tanah air kerana Maharaja memerangi kami. Aku hilang bapaku kerana sengketa dengan bekas daimyo-nya. Aku tidak mahu kehilanganmu Mine. Aku tidak mahu kehilangan sesiapapun lagi, hatta Shiro sekalipun.

 

**

 

Tomokazu berbaring di atas lapisan yang dibentuk batu-batu kecil yang licin dan tidak berbaju, hanya bersarung hakama. Baju dijemur pada pokok. Tangan membantal kepala, mata memandang langit. Kuro sedang tidur di sebelah enak berjemur di bawah sinar mentari yang redup. Angin laut berpuput menghantar sejenak kedinginan dan menghasilkan bunyi menyeramkan tatkala masuk ke pintu gua di belakang mereka.

 

Lama benar mereka tidak keluar dari lubang itu, bisik Tomokazu dalam hati. Mulutnya mengunggis batang kemuncup, dan sekali-sekala batang kemuncup itu berpusingan. Sudah enam bulan kukira, maka masih ada lagi enam bulan sebelum Nozomi datang bertemuku menuntut hutang. Aku telah menjamin akan menyelesaikannya dalam masa kurang dari setahun, namun melihatkan keadaan sekarang, apakah aku masih punya banyak masa? Aku masih enggan memasuki lubang itu atau aku akan dikambus entah siapa pula. Itu fobia yang sukar aku ceraikan dari benak. Bagaimana gadis berdua itu boleh keluar masuk dengan selamat? Apakah aku harus mencuba?

 

Tidak, jika aku gagal kali ini, Nozomi akan membunuhku. Dia akan mencari jalan lain, mungkin mereka yang akan terdampar di pulau ini sebagai kambing hitam seterusnya.

 

Apakah aku harus memasuki lubang itu? Tidak, tidak. Binatang putih itu masih di dalamnya. Jika aku mahu mengharapkan Kuro, aku hanya mampu bermimpi. Kuro degil dan enggan memasukinya. Semua kini berada di bahuku. Ah, celaka engkau Kaisenjyo!

 

Gadis berdua itu pasti akan keluar, pasti. Aku hanya perlu menunggu, menunggu dan berharap. 

Novel: Yumejima (Bab 27)

“Banyaknya tanah merah.” Ujar Hisamiko sebaik tiba di kaki bukit hitam itu.

 

“Inilah bijih besi.” Tambah Hisamine. “Aku sudah ke sini tempoh hari. Sebab itu aku mahu tunjukkan pada engkau.”

 

“Bijih besi?”

 

“Ya Miko-chan. Dengan bijih ini, kita boleh menghasilkan banyak peralatan. Seperti senjata, seperti pisau untuk memotong ikan, jarum untuk menjahit pakaian dan periuk untuk meletak makanan! Miko-chan, engkau sudah lama di sini, alangkah baiknya jika engkau tahu perkara ini lebih awal...”

 

“Jika aku tahu sekalipun apa gunanya. Aku tidak tahu mengolah bijih ini menjadi alat-alat yang kausebut itu.”

 

“Hmm. Aku tahu!”

 

“Hmm?”

 

“Aku tahu bertukang. Nanti aku tunjukkan bagaimana.”

 

**

 

Dari Hisamine, Hisamiko belajar pelbagai perkara. Dari cara membuat api, kepada memasak. Dari melombong, kepada pembuatan senjata. Tidak disangka-sangka, pulau ini kaya dengan sumber alam. Makanan dan bijih. Ia hanya memerlukan seseorang yang berilmu untuk mengolahnya menjadi bahan yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan sehari-hari.

 

Namun satu-satunya kekurangan pulau ini ialah sumber yang boleh dijadikan kain dan pakaian. Tiada ulat sutera dan kapas di sini. Pakaian mereka tidak banyak. Selimutpun dibuat daripada rumput-rumput yang dipotong dan dikeringkan, kemudian diikat-diikat sehingga membentuk kepingan lebar.

 

Hisamine menemui beg-beg pakaian rakan-rakannya yang terdampar di pantai beberapa minggu kemudian. Namun pakaian di dalamnya besar-besar dan dia memerlukan jarum dan pisau untuk mengolahnya agar sesuai dengan saiz tubuhnya.

 

Dia sudah ada pisau, iaitu tantou yang dibaling Kazumasa ke kakinya itu. Namun di mana dia boleh mendapatkan jarum?

 

Hisamine memberitahu ketikamana kelananya sewaktu diperdagang ke serata dunia, dia belajar dan melihat pelbagai perkara. Kadangkala dia menggunakan wang yang ada membeli buku dan membaca. Dia juga banyak bertanyakan para pedagang. Para pelayar yang pernah bersamanya punya banyak pengalaman dari pelbagai bidang.

 

Hisamine juga mempelajari perkara baru dari Hisamiko, iaitu kaedah bertarung. Dari Hisamiko, Hisamine belajar mempertingkat had tampungan tenaga dan kemudiannya kaminari. Bahkan keserasian mereka membolehkan jurus kedua dilakukan, sesuatu yang jarang boleh dicapai mereka yang bukan kembar.

 

**

 

Membina relau.

 

Bagaimana relau dibina? Relau besi Jepun atau tatara dibina daripada tanah liat. Di tepi sungai air panas di sini ada banyak tanah liat. Sungai yang mengalir dari atas sana juga menghakis lahar-lahar beku yang kaya unsur besi sehingga menjadi pepasir yang diseret jatuh ke kuala. Sifat besi yang lebih berat dari kebanyakan unsur lain memaksa ia dimendapkan di selekoh tajam sungai, dan daya magnet dari bukit hitam berhampiran dan bayu laut telah mendaratkan debu-debu kering hitam ini ke kaki bukit tersebut. Bijih hitam ini lebih kaya unsur besi dari bijih merah. Debu merah, iaitu bijih besi yang bercampur unsur lain seperti mangan, juga ditarik ke kaki bukit hitam oleh daya tersebut dan membentuk bijih merah.

 

Hisamine mengambil dan membentukkan kebuk relau dari tanah liat itu. Ia berbentuk silinder menegak dan tinggi, dengan lubang pintu di kakinya. Lubang pintu ini dibuat bagi membekal udara kepada isi relau.

 

Hisamiko memerhati seperti biasa. Ingatan fotografiknya dimanfaatkan sepenuhnya. Sekali-sekala dia bertanyakan Hisamine dan Hisamine tidak jemu dan penat menjawab. Soalan-soalan Hisamiko bijak belaka menyebabkan Hisamine tidak radang atau penat menjawabnya. Ketika kelana Hisamiko dengan abangnya di sepanjang Nakasendo selepas kematian Tsuneki, dia banyak membaca dan dari situ dia mempelajari cara-cara memproses bijih besi. Namun inilah kali pertama dia berpeluang menyaksikannya secara langsung dengan mata kepala sendiri.

 

“Aku ingat tugas begini hanya dilakukan lelaki.” Tebak Hisamiko.

 

“Di kampungku wanita turut sama memproses besi. Kami hidup dalam perang dengan orang asli di sana. Aku melihat tukang besi memproses besi dan aku selalu melihat kerja-kerjanya mengikut bapa. Nak harapkan besi-besi dari Shimagane, amat jauh sekali dari kami. Sedang keperluan mendesak perang menuntut kami melombong sendiri di Morioka.” Panjang celoteh Mine.

 

“Oh.” Melongo Hisamiko mendengar penjelasan Mine. Matanya yang membulat seolah-olah menagih Mine agar bercerita lanjut.

 

“Ah, lagipun lahar dari Gunung Iwate itu kaya bijih besi. Kami pun gunakan sajalah.” Hisamine mengukir senyum yang sungguh manis sekali sekilas memandang Hisamiko sambil tangan kecil dan putih itu menempek-nempek tanah liat. Cerobong silinder tanah liat yang tebal separuh kaki siap akhirnya. Hisamiko melihat senyuman yang indah seindah lengkung pelangi. Hisamine engkau sungguh indah.

 

“Di sini banyak bijih besi juga. Butir-butir hitam dan kelabu di kaki bukit hitam itulah, yang sudah aku angkut ke sini. Hisamiko, aku mahu mencipta senjata baru untukmu, untuk kita.”

 

“Untuk apa, Mine-chan? Aku sudah punya pedang. Aku tidak mahu berperang.” Aku sudah penat berperang. Aku hanya mahu berdamai.

 

“Aku tidak mahu penceroboh datang ke lembah ini. Kita perlukan lebih dari pedang.”

 

“Mengapa, Mine-chan? Mengapa engkau mahu melindungi tempat ini?”

 

“Aku mahu hidup di sini, denganmu Miko. Aku fikir kita perlu siap-siaga pertahanan kita.”

 

Hontou? Hontou yo, Mine? Yang engkau mahu tinggal di sini?” Hisamiko menyoal penuh teruja.

 

Un. Hontou da.”

 

Hisamiko meluru dan memeluk Hisamine pada bahunya dari belakang sedang Hisamine berdiri. Air matanya mengalir deras. Hisamine sudah mengesahkan yang dia akan tinggal di sini buat kali ketiga. Hisamiko fikir ia muktamad.

 

Arigatou Mine. Arigatou.”

 

Hisamine hanya tersenyum sambil melihat-lihat silinder tanah liat yang baru siap. Dia menepuk-nepuk tangannya dan mengesat sisa tanah pada kain yukata, kemudian memegang tangan Hisamiko yang masih memeluknya. “Kimi wa atashi no tomodachi jyanai? (Bukankah engkau sahabatku?)”

 

Hisamine menengadah langit sedang Hisamiko menyandarkan kepala ke belakang tubuhnya. Dia sedar, di balik kata-kata itu terselindung keperitan yang amat melukakan. Rindu terhadap kakaknya bukan kepalang dan mahu sahaja dia menangis semahunya. Namun sejak dia tiba di sini, dia tidak berasa sebegini gembira, sebegini indah hidupnya. Noda diperlakukan bangsat binatang hidung belang di merata pelusuk benua dan belahan bumi menanam rasa benci terhadap lelaki, rasa benci terhadap dunia luar, dan pulau ini seolah menawarkan harapan, syurga yang baru untuk lari dari neraka di luar. Pedih memang pedih, dia sangat berharap Saaya datang ke dalam mimpinya barang sekali cuma. Kerana sudah terlalu lama dia diculik dan dilambung dikeronyok seperti barang mainan, dia sudah lupa akan rupa kakak kesayangannya itu.

 

“Hisamiko, ayuh, aku akan mengorek lubang di kaki silinder ini. Selepas itu engkau boleh membantuku membina pengipas.”

 

“Pengipas?”

 

“Untuk mendorong udara masuk ke kakinya. Hanya dengan itu suhu api dapat dipertingkatkan.”

 

“Bagaimana kita membuat pengipas?”

 

“Dengan daun-daun pokok kipas yang kita tebas hari semalam itu.” Mine menunjuk ke arah daun-daun pokok kipas, sejenis pokok palma, yang diangkut Shiro ke satu tempat berhampiran rumah mereka. “Kita akan ikat daun-daun ini pada satu batang kayu.”

Novel: Yumejima (Bab 26)

Hisamiko mencampakkan pedangnya dan menggunakan sarung pedang. Pedang Saisho-tou yang sudah ditajamkan itu dibimbangi akan mencederakan jika digunakan ketika berlatih.

 

Hisamiko pantas menyelinap dan kurang sesaat berada di belakang Hisamine dengan sarung pedang di lehernya, sedang tangannya memegang tangan Hisamine yang memegang kayu. Hisamine terbeliak mata.

 

“Selangkah demi selangkah Mine-chan.” Suara tegas Hisamiko mengingatkan. Namun di telinga Hisamine, suara itu sungguh comel bunyinya.

 

Sou.” Merah padam muka Hisamine menyedari dia dipeluk ‘adik’ yang comel. Adik comel yang sungguh berbahaya, seperti seekor kucing dengan kuku tajam yang jika diuja dan anginnya kurang baik, bakal mencungkil biji matamu keluar bila-bila masa.

 

Hisamiko meleraikan pegangannya dan berundur. Hisamine cuba menghayun menetak Hisamiko sekali lagi namun Hisamiko bergerak pantas ke belakang dan mengulang gerakan sama. Sekali lagi sarung pedang Hisamiko di leher Hisamine.

 

“Cukuplah untuk hari pertama.”

 

Sugoi ne! Di mana engkau mempelajarinya?”

 

“Dari pemerhatian. Abangku selalu berlatih bertarung dan aku memerhati.”

 

Anehnya, getus Hisamine. Bagaimana seseorang boleh belajar bertarung dari pemerhatian?

 

Dalam beberapa minggu berikutnya, Hisamine hanya memerhati Hisamiko berlatih. Hisamine menolak berlatih melalui bertarung kerana melihatkan Hisamiko tidak cekap mengajar. Jelas di matanya, Hisamiko tidak arif memperlahankan pergerakannya ke peringkat asas yang mudah ditanggap pelajar baru. Hisamiko seolah-olah belajar tanpa perlu menguasai asasnya seolah-olah, asasnya itu sudah lama tertanam sejak lahir dan dia hanya mempertingkatkan kemahiran dengan melihat orang lain berlatih.

 

Hisamine cuba menggunakan kata-kata Hisamiko sebagai motivasi bagi mendorongnya mempelajari dari sekadar pemerhatian. Dalam beberapa minggu memerhati, ternyata amat sukar mengikuti Hisamiko. Satu, kerana kepantasannya. Dua, kerana Hisamine sendiri tidak terlalu fotografik dan lemah dalam menghafal pergerakan.

 

Dalam memerhati dan tatkala dia kebosanan kerana asyik terlepas pergerakan Miko, dia merenung bukit hitam yang terletak di antara bukit-bukit volkanik yang mengelilingi dan membenteng lembah rendah itu. Terdetik di hatinya mahu ke kaki bukit hitam. Bukit hitam itu setahunya berupaya menarik besi. Pasti banyak besi di kakinya.

 

Tatkala Hisamiko sibuk dan asyik dalam berlatih, dia bergerak ke kaki bukit tanpa pengetahuannya. Dia redah batu-batu dan lembah berumput dan berbunga liar, dan kemudian hutan kecil pokok-pokok tinggi entah apa. Di kaki bukit hitam itu banyak debu-debu berwarna merah melekat.

 

“Ini bijih besi.” Getusnya. “Ini bijih mentah. Aku akan membawanya pulang.”

 

**

 

Kaminari? Apakah itu?”

 

“Ia seni bertarung yang mempercepat pergerakan.”

 

“Maka engkau selalu menggunakannya?”

 

“Ya. Namun yang kaulihat selalu itu jurus kedua dan ketiga sahaja. Jika aku naik lagi tinggi, engkau tidak akan dapat melihatku. Kecuali seseorang.”

 

“Siapa?”

 

“Rakanku yang bernama Takeuchi Shinji.”

 

“Shinji? Lelakikan? Apakah dia teman lelakimu?”

 

“Tidak. Bukankah telah aku katakan teman lelakiku Tsuneki?”

 

“Oh hoh hoh. Aku bergurau saja Miko. Mungkin muka secomelmu menarik ramai lelaki.”

 

Hisamiko malas berbasa-basi lebih panjang seraya menangkap tangan Hisamine dan memusingkan badannya. “Hei Hisamiko apa kaubuat ni?!”

 

“Begini. Aku akan turut berpusing juga.”

 

Hisamine terkejut. Dia menyedari sekelilingnya berpusing dalam kawalan Hisamiko. Dia amat risau sekiranya tubuhnya terpelanting dan menghentam pokok.

 

Dalam kedua-dua berpusing pada kaki Hisamiko, dia mengingatkan, “Hei Hisamine, tenung mataku. Percayai aku. Untuk belajar kaminari, had tampungan tenagamu harus ditingkatkan dahulu melalui kaedah ini.”

 

Hari demi hari, Hisamiko meningkatkan kelajuan pusingan itu sehingga Hisamine mampu mengikutnya. Ternyata tubuh Hisamine serasi dengan Hisamiko, membolehkan mereka melakukan jurus kedua tanpa membazirkan tenaga, sepertimana kembar Ogasawara.

 

Lama-kelamaan Hisamine mampu meningkatkan had tampungan tenaga sehingga membolehkannya naik ke jurus kesembilan, iaitu jurus eksklusif untuk puak Okuhida dan Shirasaka.

 

**

 

Hisamiko baring merenung langit malam yang tampak menghitam di muka pintu rumah. Hisamine sudah berdengkur di sisinya.

 

Apakah benar aku ingin meninggalkan pulau ini? Aku senang sahaja mengakuinya pada Hisamine, kerana aku benar-benar tidak mahu kehilangannya!

 

Namun bagaimana dengan onii-san? Bagaimana dengan Shiro?

 

Hisamiko bangkit perlahan-lahan dari perbaringan. Dia memeriksa Saishi-tou, dan menyisipnya pada pinggang. Dia keluar menuju terowong. Shiro juga sedang berdengkur di luar, putih terang bulunya disinar bulan mengambang.

 

Setibanya di hutan gelap, dia menerangkan pelita dengan memulas sejenis tombol yang membesarkan api dengan mengeluarkan sumbu lebih dari kelongsongnya. Pelita ini diambil dari sebuah peti yang terdampar di pantai. Hisamine mengatakan peti itu dari kapalnya. Mujur minyaknya masih berbaki.

 

Gelap hutan dan bunyi unggas malam benar-benar menyeramkan. Hisamiko sekali-sekala ada terdengar bunyi ranting patah di belakang, seolah-olah dia diekori, namun dia mengabaikan sahaja dan mempercepat larian.

 

Hisamiko berlari pantas keluar dari hutan gelap menuju ke tebing tinggi mengadap laut lepas. Setiba di sana, dia bergegas menuju ke kubur Ryouji.

 

Dia duduk di sisi kubur abangnya itu dan memalapkan pelita.

 

Onii-san. Aku bertemu seorang rakan baru. Kami akan meninggalkan pulau ini dan kembali ke Jepun. Onii-san, arigatou kerana mempertemukan aku dengan Hisamine. Arigatou, kerana mempertemukan aku dengan Shiro. Onii-san, aku berjanji akan terus hidup.”

 

Saat itu, air matanya mengalir sendiri. Dia mengesat dengan lengan yukatanya. Dia menanggalkan loket pada lehernya yang diberikan Ryouji, seraya menanamnya di atas kubur itu.

 

Dia berjalan meninggalkan kubur meredah hutan gelap untuk kembali ke lembah.

 

Sementara itu di pintu gua...

 

“Bertafakur dia nampaknya. Mereka akan meninggalkan pulau ini nampaknya.” Ujar Tomokazu pada diri sendiri. Kuro di sisinya sedang mengunyah sesuatu. Di sebelah mereka mayat seorang lelaki yang perutnya sudah terburai.

 

“Aku tidak akan lepaskan kalian. Sebelum sempat kalian keluar dari sini, aku akan membunuh rakan gadis ini. Aku akan membiarkan dia sekali lagi berduka sepertimana sewaktu kematian abangnya itu. Aku akan pastikan jiwa gadis ini terseksa dan dia membunuh dirinya.”

 

 

**

 

Pagi menjelma. Musim sejuk kian bertemu penghujung. Cahaya matahari semakin galak menyinar lembah itu dan awan putih yang suram yang menyeluruhi hampir setiap hari musim sejuk kini beransur kurang. Tirai musim bunga dibuka. Putik-putik bunga liar di lembah itu kini memunculkan diri. Yang paling awal muncul ialah bunga serupa hepatica, di balik timbunan batu-batu sungai. Namun hepatica di sini berwarna kuning, sedang yang biasa berwarna ungu. Bentuknya sahaja sama seperti hepatica.

 

Kemudian terbitlah sakura. Ada sebatang pokok yang sudah tinggal ranting di bahagian yang paling dekat dengan bukit hitam. Pokok itu kini berbunga sakura selebatnya. Angin laut bertiup dan menerbangkan haruman beserta putik-putik sakura yang lembayung ke segenap penjuru lembah.

 

“Hisamiko, bangun, bangun!” Hisamine menggoncang-goncang tubuh Hisamiko yang tidur mati.

 

Nani yo?” Soal Hisamiko bagai terpaksa nadanya. Mata masih terpejam, yukata berkeronyok, tubuh masih lembab di perbaringan.

 

“Lihatlah di luar.”

 

Hisamiko yang masih mamai dan kabur mata, bangkit malas-malas sambil menyelak selimut dari rumput kering. Dia memerhati ke luar pintu masuk rumah. Mata terbeliak melihat bintik-bintik warna-warni di hadapannya. Dia menenyeh-nenyeh mata yang berkerak bagi menghilangkan kabur.

 

Rama-rama berterbangan di atas kumpulan bunga-bunga. Air panas yang terjun dari puncak bukit masih jernih dan sungai di bawahnya kehijauan menampakkan ikan yang berenang di dasar.

 

Mereka berdua bermain berkejaran di tengah-tengah padang bunga liar yang berwarna-warni beberapa ketika, sebelum berehat melepaskan penat. Sedang duduk-duduk, Hisamine mengajak Hisamiko ke bukit hitam.

 

“Engkau pernah ke bukit hitam itu Miko?”

 

“Tidak pernah.”

 

“Bagaimana mungkin? Sedang engkau sudah lama di sini?”

 

“Aku tidak berminat. Entah apa bahaya yang menanti di sana.”

 

Hisamine bangkit. “Aku mahu melihat tanganmu Miko.”

 

“Mengapa tiba-tiba..” Miko menyoal sambil menghulur tangannya acuh tak acuh.

 

“Mari, aku mahu tunjukkan sesuatu!” Pantas Hisamine merentap tangan Hisamiko sehingga terbangun dia.

 

“Eh, mengapa Mine?”

 

“Marilah!” Hisamine menegas, masih menarik-narik tangan Hisamiko. “Aku mahu melihat bukit hitam itu lebih dekat.”

 

Hisamine lantas berlari sambil menarik Hisamiko yang menurut dalam keterpaksaan.

Novel: Yumejima (Bab 25)

Seminggu berlalu, Kuro bangkit menuju lelaki petapa. Dia menegur lelaki itu dengan menulis menggunakan ranting di atas tanah. Tulisan itu berbunyi “Tomokazu, aku kesan bau tiga orang lagi.”

 

“Apakah bau itu dari lubang di lantai hutan gelap?”

 

“Tidak, ia dari lombong emas.” Balas Kuro dengan menulis.

 

Tomokazu tersenyum sinis. “Mengapa kalian begitu kepingin benar mahu menjadi santapan Kuro? Beruntunglah rakan kalian yang mati lemas di lautan. Sekurang-kurangnya jasad mereka masih sempurna.”

 

Jika dari lombong emas, bererti ia rombongan lelaki yang aku bunuh tempoh hari. Genjirou masih di dalam lubang. Genjirou, keluarlah.

 

Kala itu dia teringat bagaimana ketika kapal mereka terdampar di Taiwan, puluhan tahun lampau. Bagaimana ketika beruang di pulau itu cuba menyerang, dia menjadi pembenteng utama yang menundukkan haiwan itu dengan renungan mata dan kebolehan bahasa badannya. Dia fikir jasa-jasanya dikenang. Dibalas. Namun susu nyata dibalas tuba. Genjirou bukan dari jenis manusia begitu. Genjirou ialah seorang yang mengemis namun meludah pada tangan yang menghulur.

 

“Apakah benar engkau masih belum berjaya mengesannya bau manusia dari lubang itu Kuro?” Soal Tomokazu.

 

Kuro menulis, “Aku bau binatang sahaja. Dan dua orang gadis.”

 

“Binatang apa?”

 

“Aku tak tahu. Hanya binatang. Baunya aneh.”

 

Tidak, tidak mungkin! Gadis-gadis itu dan kemudian binatang pula? Apakah dia sudah benar-benar mati? Aku hairan. Jika benar mati mengapa Kuro tidak bau mayat? Sepatutnya Kuro masih boleh menghidu bau mayat.

 

“Kuro, boleh engkau masuk ke dalam lubang itu?”

 

“Aku tidak akan memasukinya lagi. Kerana lubang itulah aku dikambus dan menjadi seperti sekarang, dan kekasihku meninggalkanku. Dan mengapa tidak sahaja engkau sendiri masuk ke dalam lubang itu?” Begitulah bunyi soalan Kuro pada tulisan di tanah.

 

“Aku masih takut.”

 

“Hah, tikam orang berani pula.” Seloroh Kuro.

 

Aku bukan takut. Aku tidak percayakan Kuro. Kuro mungkin akan melakukan perkara sama kepadaku, menyumbat tanah tatkala aku di dalam. Atau mungkin, haiwan aneh seperti anjing putih itu akan menyerangku. Namun tidak, haiwan aneh itu seringkali bersama dua gadis itu. Apakah ia haiwan yang memang boleh berdamping aman dengan manusia, seperti Kuro? Tidak, Kuro berdamping denganku kerana sihir Kaisenjyo. Binatang putih itu belum tentu. Aku tidak mahu mengambil risiko.

 

“Bukankah aku ada di sini? Aku akan melindungi dan menyelamatkanmu.” Kuro mencadangkan dengan tulisan di atas tanah.

 

Tomokazu tidak mengendahkan. Dia menyoal, “Engkau kata dahulu engkau tiada kaitan dengan anjing putih itu. Namun mengapa rupa kalian serupa?”

 

“Engkau masih bertanyakan soalan sama. Memang rupa kami sama, namun aku tidak pernah bertemu dan tiada kaitan dengannya.”

 

“Kuro, siapa sebenarnya engkau? Bagaimana engkau boleh faham bahasa kami dan tahu menulis?”

 

“Beritahu aku Tomokazu, apa di pulau ini yang tidak aneh?”

 

Tomokazu tidak membalas. Dia merenung Kuro, tidak memahami soalannya dan menunggu dia melanjutkan bicara.

 

“Banyak bukan? Jadi, usah kaugunakan apa yang kaulihat di dunia luar sebagai sandaran perbandingan. Di sini segalanya aneh. Aku begini sejak lahirku.”

 

“Lahir? Bererti kaupunya ibu bapa?”

 

“Tidak ada. Aku dilahirkan dari perut bumi dan aku tidak tahu dan tidak ingat apa yang berlaku sebelum itu.” Kuro pantas meninggalkan Tomokazu sebaik menghabiskan kata-kata, seolah-olah enggan meneruskan bicara. Sama ada dia punya hal lain yang perlu dilunaskan atau dia enggan perbualan itu melarat sehingga terbongkar rahsianya. Mungkin dia juga menipu?

 

Tak guna. Mengapa aku tidak membunuhnya dahulu tatkala dia terjatuh dari bukit hitam itu? Bisik Tomokazu kekesalan. Genjirou, aku akan cari engkau sehingga ke lubang cacing. Usah ingat engkau boleh selamanya bersembunyi dariku.

 

**

 

“Di mana rakan-rakanmu Hisamine?”

 

“Semuanya hilang.”

 

“Tentang anak kapal yang lain?”

 

“Aku tidak pasti. Hanya lelaki itu yang berjaya kukesan.”

 

Mereka duduk-duduk di atas batu di tepi sungai air panas. Hingar dari air terjun panas yang menuruni salah satu bukit di situ sungguh menenangkan, mengingatkan Hisamiko dengan air terjun di Shirasaka-no-Kogen. Juga memori lama bermain air bersama kembar Ogasawara di lagun. Memori indah yang bermain di fikiran telah beransur-ansur menjadi racun yang menyengat jiwa dan menghiris sanubari, hari demi hari tatkala memikirkan dirinya yang terpenjara di sini. Namun kehadiran Hisamine sedikit sebanyak memecah sunyi yang menyelubung, menghantar pelangi dan mentari persahabatan dan menyingkir awan kelabu suram dan sedih. Hisamine adalah alasan yang kian mengukuh untuk dia terus hidup di sini.

 

Namun Hisamine punya beban emosi yang menuntutnya pulang. Sebentar, mengapa aku memanggilnya beban? Beban adalah sesuatu yang menghalangmu dari melakukan perkara yang lebih penting. Apakah perkara yang lebih penting? Hisamine bersamaku? Tidak, itu pandanganku. Padaku, Hisamine bersamaku adalah lebih penting dari bersama kakaknya. Di mataku, kakaknya adalah beban emosinya. Namun di mata Hisamine, kakaknya adalah pendorong, sinar harapan untuk dia terus mencari jalan keluar dari sini. Di matanya, kakaknya bukanlah beban emosi, namun pendorong.

 

Ah, sungguh aku pentingkan diri. Aku hanya melihat dunia harus berputar di sekelilingku sahaja. Aku terlalu biasa begitu, terlalu biasa menerima curahan kasih sayang dari onii-san, dimanja-manja nee-chan, dibelai digurausenda kembar Chiho dan Chinami, dan dicintai Tsuneki. Aku terlalu biasa menerima. Sungguh aku pentingkan diri.

 

“Jadi Hisamine, apakah engkau masih mahu pulang?” Hisamiko memecah sunyi.

 

Mata sono mondai... (soalan itu lagi).” Hisamine mencebik.

 

Janggal seketika. Hisamiko dirundung rasa bersalah. Hisamine pula bimbang dianggap dirimaskan soalan itu seraya memecah sunyi.

 

“Aku sudah katakan aku akan menemanimu di sini. Namun aku tidak boleh nafikan yang aku masih rindukan kakak.”

 

“Jika engkau pulang, aku mahu mengikutmu.”

 

“Bukankah telah aku katakan yang aku akan membawamu pulang?”

 

Sou ka...” Gumam Hisamiko perlahan. Dalam hati dia senyum berbunga-bunga.

 

“Bagaimana dengan pusara abangmu?” Soal Hisamine.

 

“Aku sudah tidak kisah.” Hisamiko sedang membuat gerakan tarung dengan pedangnya, berlatih.

 

Onii-san sudah lama pergi.” Ada sendu yang cuba ditahan di dada. Matanya meredup.

 

Hisamine hanya tersenyum sendirian, seolah-olah dia sudah tahu Hisamiko pasti akan mengubah keputusannya.

 

Hisamine tertarik dengan gerakan demi gerakan yang dipamerkan Hisamiko. Sekali-sekala dia melompat seperti menyusur bersama angin laut yang bertiup.

 

“Apa yang sedang kaulakukan?”

 

“Berlatih.”

 

“Berlatih?”

 

“Engkau harus selalu berlatih atau engkau akan melupakannya.”

 

Terdetik di hati Hisamine bertanya.

 

“Sudi engkau ajarkanku bertarung?”

 

“Hmm.” Jawab Hisamiko ringkas, sedang asyik dalam gerakan-gerakannya.

 

“Namun engkau perlukan pedang.” Sambung Hisamiko tatkala dia berhenti sejenak.

 

“Pedang? Aku tak memilikinya. Namun dahulu aku pernah melihat tukang pedang membuatnya.”

 

“Jadi, engkau tahu bagaimana membuatnya?”

 

“Sedikit.”

 

Hisamine melihat sekeliling. Ada kayu sisa rumah. Dia mengambil dan menghunus ke arah Hisamiko.

 

“Hisamiko, gunakan sarung pedangmu.

 

“Engkau mahu berlatih sekarangkah?”

 

“Ya.” Jawab Hisamine nekad.

Novel: Yumejima (Bab 24)

Seorang lelaki dengan yukata perang penuh kesan koyak dan tanah-tanah keras degil melekat sana-sini, duduk bertapa di atas batu di luar pintu gua, mengadap laut lepas. Pedang bersarung diletak di atas ribanya. Rambut panjang keriting sekali-sekala menutup mata tatkala angin laut berpuput.

 

Dari atas dia dapat melihat dua orang gadis sedang berjalan beriringan di sepanjang pesisir pantai. Dia tahu, gadis-gadis itulah yang ‘diselamatkannya’ dari seorang pengendap yang memegang tantou. Pengendap itu telah dibaham haiwan peliharaannya Kuro. Dengan santapan itu, Kuro tidur lena untuk seminggu. Namun tanpa daging manusia, Kuro hanya memakan ikan dan perlu memakannya setiap hari. Daging manusia adalah satu kemewahan buat Kuro, sepertimana sebuah jamuan perayaan. Perayaan harus dilakukan jarang-jarang. Jika dilakukan setiap hari, bukanlah perayaan namanya. Jika Kuro dibiarkan ‘beraya’ setiap hari dengan daging manusia, dibimbangi dia mahu ‘beraya’ selama-lamanya.

 

Sudah sekian lama dia bertapa di sini, sejak puluhan tahun lalu lagi. Setiap kali dia memejam mata, mimpi itu pasti datang kembali. Bagaimana dia ditikam rakan sekapalnya di pinggang. Dia tahu dia tidak tahu bertarung. Dia harus melarikan diri. Tidak pernah terlintas di fikiran bagaimana tabib kapal sepertinya turut menjadi mangsa kepada rakan sekapalnya itu. Rakan sekapalnya itu telah membunuh semua ahli kapal kecuali dirinya dan Yoshihisa. Yoshihisa pula melarikan diri dan membiarkan dia berseorangan di sini.

 

Dia tidak langsung menaruh minat terhadap emas-emas itu. Baginya dia sudah cukup puas dengan upahnya sebagai tabib. Dia sudah cukup puas jika rawatannya berjaya menyelamatkan manusia dari ambang maut atau sembuh dari gering. Mujur dia tabib, dia tahu merawat luka tikaman itu. Mujur Kuro datang menyelamatkannya hari ini, jika tidak entah apalah nasibnya jika Genjirou berjaya menangkapnya.

 

Di mana engkau Genjirou?

 

Dan anehnya, mengapa gadis berdua itu boleh keluar masuk dari lubang itu sesuka hati? Sedang engkau Genjirou telah dia, gadis uban dan bersiung itu, sumbatkan ke dalamnya sehingga engkau hilang tidak keluar-keluar? Di mana engkau Genjirou? Keluarlah, aku tahu engkau masih hidup! Aku belum puas menyeksamu. Aku belum puas membalas dendamku!

 

Aku menyesal kerana tidak membunuhmu selepas aku temui engkau rebah di kaki bukit hitam itu. Aku menangguhkan kerana ingin menyeksa dan mempermainkanmu, dan membalas dendam nyawa rakan-rakan sekapal yang telah engkau bunuh dan juga perdayakan mereka ke dalam perangkapmu.

 

Namun gadis uban datang dan mengambus engkau kala di dalam lubang itu. Kaisenjyo tak guna. Kala dia mengambusmu, aku tidak dapat berbuat apa-apa. Dia roh yang berkuasa, semangat abadi pulau ini yang juga telah menyelamatkanku dari Kuro dan menjadikan ia jinak di bawah telunjukku.

 

Apa kaitan engkau dengan gadis-gadis itu, Genjirou?

 

Masih dalam pertapaan, dia menerawang mencari penyelesaian, cuba merungkai agar hidupnya tidak diselubungi misteri. Dia tidak boleh memunculkan diri. Dia telah melihat sendiri bagaimana salah seorang dari gadis itu merupakan pemedang handalan yang memotong jari lelaki itu. Dia tidak pernah melihat petarung sepantas itu. Bahkan, pergerakannya setara anjing putih itu. Dia telah melihat bagaimana anjing putih itu mengambil masa menewaskan gadis itu sebelumnya.

 

Aku melihatnya sendiri. Aku perlu berhati-hati atau aku pula yang akan ditangkapnya. Gadis petarung itu bukan sembarangan. Aku tidak menyangka dia masih bertahan meskipun abangnya telah mati. Kaisenjyo, nampaknya engkau harus menunggu sedikit masa lagi sebelum berjaya menempati jasad gadis ini.

 

“Engkau menyeru namaku, Tomokazu?”

 

Terkejut beruk, darah menderu laju ke benak lelaki petapa itu tatkala namanya diseru suara lunak seorang wanita muda. Dia menoleh. Seorang wanita beryukata serba putih berdiri, dengan rambut putih panjang mengurai dan wajah muda jelita namun menggerunkan dengan siung kelihatan terkeluar dari bibir atas. Wanita itu mengukir senyum. Tomokazu memandang bermula pada wajah, dan tanpa sedar mata melarat merayap menuruni ke sepasang buah dada yang tersembul di celah yukata dan pinggang dan peha dan kaki yang tidak bercapal, putih melepak. Oh, indah tubuhnya, dengan lengkuk menggiurkan seperti bidadari. Ingin sekali dia menyentuh wanita ini namun dipendamkan keinginan itu atau pertapaannya akan jadi sia-sia seperti buih-buih yang berpecahan di lautan. Dan bukanlah jiwanya berani cukup untuk mendekatinya tatkala melihat siung itu dan oh ya, telinganya tajam dan besar menikam udara dari celah rambut yang mengurai putih.

 

Wanita ini kurang manusia penampilannya. Kenyataan itu sudah cukup mengendurkan segala urat syahwat Tomokazu.

 

Pandangan Tomokazu kembali ke wajah gadis rambut uban itu. Dia masih mengukir senyum, Tomokazu merenungnya. Sinisnya dapat dibaca. Ada seribu satu makna tersimpan. Senyuman itu menuntut sesuatu seperti ceti menuntut hutang. Satu kemustahilan pabila ceti yang datang senyum kepadamu, namun satu kebiasaan adalah senyuman itu menikam dan punya seribu satu perkhabaran yang mengancam sukma, bahawa engkau harus sedia membayar hutangmu bersekali dengan bunga dan harus sentiasa beringat dengan janji-janji semanis tebu pada lembaran kontrak yang kautandatangani. Biasanya manusia berjanji pabila terdesak dan pabila datang senyuman begitu, barulah dia gelabah menggodek-godek kotak memori akan isi perjanjian.

 

“Luar biasa gadis itu.”

 

“Ia di luar kuasaku Nozomi.”

 

“Kaisenjyo.”

 

“Oh ya, Kaisenjyo. Maaf.”

 

“Ingat Tomokazu. Nozomi adalah jasad yang kutempati ini, gadis buangan Maharaja Yamato itu. Sedang Kaisenjyo adalah aku, yang telah lama menghuni pulau ini. Apa maksudmu ia di luar kuasamu?” Jelas amarah mengukir pada wajahnya. Taringnya putih jelas disinar mentari. Matanya membulat bersinar merah semerah garis senja dan dahi berkerut seribu melangkau umur.

 

“Binatang putih itu menghalangnya dari membunuh dirinya. Hari itu perancanganku hampir berjaya. Andai binatang putih itu tiada di situ –”

 

“ – aku berikan sedikit masa lagi.” Potong Kaisenjyo, enggan mendengar lanjut alasan Tomokazu.

 

“Kaisenjyo, aku fikir aku perlukan lebih.”

 

Gadis uban itu merenung Tomokazu, menagih penjelasan lanjut. Jantung Tomokazu berdegup kencang, perasaan gerun bercampur teruja merasuk diri. Gerun kerana renungan serupa harimau, teruja kerana wajah jelita seorang gadis.

 

“A...Aku mahu biarkan dia membina persahabatan dahulu dengan gadis yang baru tiba itu. Kemudian aku akan membunuh sahabatnya. Se...sedang anjing putih itu, aku serahkan pada Kuro.”

 

“Engkau pasti gadis petarung itu akan cuba membunuh dirinya sekali lagi?”

 

“Pasti. Namun aku harus lakukan sesuatu yang lebih perinci untuk membasmi anjing putih itu. Ia sukar ditewaskan.”

 

Kaisenjyo tersenyum. Dia hanya boleh menempati jasad baru hasil bunuh diri akibat keputusasaan dengan hidup dan manusia. Namun keputusasaan itu harus benar-benar kukuh dan ia rasa yang benar, yang tidak boleh lagi disembuhkan. Seperti penyakit yang tiada penawarnya. Seperti penyakit gila.

 

“Aku telah berikan kau setahun lebih. Berapa lama lagi yang kauperlukan?” Kaisenjyo membelakangi Tomokazu dan berdiri mengadap lautan. Tangan kedua belah diletak di belakang badan. Jelas bentuk tubuhnya yang langsing dan punggung besar menggamit gelora nafsu Tomokazu. Namun tidak, gadis ini bukan manusia. Bukan manusia. Aku tidak harus bernafsu padanya.

 

“Hanya lagi setahun. Aku pastikan aku akan menjayakannya dalam masa kurang setahun.”

 

“Baiklah. Ingat janjimu Tomokazu, atau engkau aku bunuh. Ingat siapa yang menyelamatkanmu dari rakan gilamu itu.”

 

Berlaga gigi Tomokazu, geram kala mengingat kembali ugutan Kaisenjyo tempoh hari. Ingatan begini bersilih ganti mengganggu zen yang cuba dicapai kala duduk bertapa di atas batu. Angin laut bertiup menghantar kedinginan bercampur-baur dengan seram sejuk dari gadis uban bersiung yang menuntut ‘hutang’ seperti ceti itu.

Novel: Yumejima (Bab 23)

“Lombong emas? Di sini?”

 

“Hmm.”

 

“Hisamiko, bawakan aku ke sana!”

 

“Bukan aku tak mahu, tapi engkau tangkap bukan cerita aku tadi?”

 

“Hmm.”

 

“Aku bilang mereka masih di sana, menjaga lombong itu. Aku bimbang nasib yang menimpa abangku akan berulang pada kita.”

 

Hisamine menguis-nguis pasir dengan kakinya yang tidak bercapal itu.

 

“Di mana kubur abangmu?” Hisamine mahukan kepastian akan kisah Hisamiko. Maka dia membelok kepada soalan lain.

 

“Di sana, di balik batu besar itu.”

 

“Aku mahu melihatnya. Boleh kan? Maafkan aku Hisamiko.”

 

“Ikut aku.”

 

Hisamiko membawa rakannya itu ke kubur Ryouji.

 

Hisamine masih tidak berpuas hati. Ia tidak kelihatan seperti kubur. Tiada tanda yang mengesahkan itu kubur abang Miko, seperti batu nesan.

 

“Selagi mana dia berada di sini, aku tidak mahu meninggalkan pulau ini.” Tutur Hisamiko perlahan, nadanya sayu. Dari riak Hisamiko, jelas dia tidak menipu. Nesan yang mengabadi bukanlah nisan yang nyata, tapi sebuah binaan berbentuk ukiran wajah nestapa mereka yang ditinggalkan. Pada wajah-wajah yang sedih dan menangisi kematian seseoranglah, seseorang yang pergi itu dinesankan, dihidupkan dan diabadikan.

 

“Maka aku terpaksa pulang seorang dirilah...”

 

“Mine, aku pun tak pasti sama ada kakakmu di Honshu. Paling akhir kami bertemu di Kobe, katanya dia mahu ke Joseon mencarimu. Aku tidak pasti di mana dia sekarang.”

 

“Miko...”

 

“Aku hanya menyatakan realiti. Apa kata engkau lupakan saja Jepun? Kita tinggal di sini...”

 

“Miko!”

 

“Ah, gomennasai...” Hisamiko seolah-olah baru sedar dari rasukan, baru tersedar dia keterlaluan dalam mengharap sehingga terzahir pada kata-kata.

 

Hisamine melarikan diri jauh ke hujung pantai membawa rajuk. Hisamiko mengekorinya, dia sempat meraba Saishi-tou di pinggang. Kawasan selain hutan gelap dan tebing tinggi adalah had keselamatan mereka. Pada hemat Hisamiko, kawasan di luar hutan gelap iaitu pantai, dan lombong emas, kurang selamat dan orang-orang Yato mungkin masih hidup dan berkeliaran. Juga rakan kepada lelaki yang mengejar Hisamine tempoh hari. Maka dia harus sentiasa bersedia.

 

“Maafkan aku Mine.” Tegur Miko.

 

“Aku mahu melihat lombong emas.” Pinta Hisamine tanpa menoleh.

 

“Mine...”

 

Hisamine menoleh.

 

“Jika aku dapat melihatnya, aku tidak akan pulang ke Jepun.” Hisamine memandang Hisamiko dengan mata penuh mengharap. Angin laut menerbangkan rambutnya, sedikit menutup dahi sekali-sekala. Cantik, getus Hisamiko.

 

Hisamiko serba salah. Apakah Hisamine sedang mengujiku?

 

“Apakah kau benar-benar maksudkannya?” Soal Hisamiko.

 

Hontou da.”

 

Hontou ka (sungguhkah)?”

 

Hontou da (sungguh)!” Tegas Mine.

 

Hisamiko diam serba salah. Dia bersuara akhirnya, “Baiklah.”

 

Hisamine tersenyum.

 

Hisamiko berjalan dahulu diikuti Hisamine.

 

Mereka tiba di lombong emas selepas menyusur tebing sebatang anak sungai yang airnya jernih kehijauan.

 

Hisamiko dan Hisamine bersembunyi di balik belukar, berwaspada. Hisamiko di hadapan Hisamine. Matanya meliar memerhati sebarang petanda kehadiran manusia di sekitar lombong.

 

Mereka melangkah perlahan-lahan menuju bongkah-bongkah emas yang besar-besar belaka, berkilau disinar mentari yang menerobos celah-celah kanopi pokok-pokok hutan yang tinggi merimbun.

 

“Dengan bongkah sebesar penumbuk aku yang kecil ini sahaja, engkau boleh bertahan sehingga ke hari tua. Engkau boleh membeli makanan selama tujuh puluh tahun. Bayangkan nilainya.” Jelas Hisamiko.

 

Hisamine tidak berkedip mata membulat memandang bongkah-bongkah besar yang berbaris di hadapan mereka. Mulutnya menuturkan perlahan namun jelas di telinga Hisamiko, “Namun tiada gunanya emas ini selagimana kita terperangkap di sini. Nilainya hanya terzahir pabila ia dijual di luar.”

 

Tatkala mereka berjalan pulang di sepanjang pesisir pantai, Hisamine menyuarakan buah fikirnya.

 

“Aneh bukan Hisamiko? Bagaimana nilai sesuatu itu nampak pabila ia jauh dari mata kita?”

 

“Maksudmu?”

 

“Kita yang terperangkap di pulau ini tidak akan memandang emas itu bernilai. Pada kita, makanan dan nyawalah yang lebih bernilai di sini. Namun di mata mereka yang jauh dari sini, mereka amat menghargai emas-emas itu. Dari emas inilah mereka membeli persaraan mereka, rumah dan tanah, dan segala macam kehendak dalam benak.”

 

“Hmm. Engkau tahu berfalsafah juga ya. Aku ingat engkau hanya tahu mengkaji.” Seloroh Miko.

 

Hisamine seolah-olah tidak mendengar Miko, sebaliknya terus berbicara, “Aku tidak pernah sebegini rindu pada kakak sehinggalah aku terpisah darinya. Rindu pada saat dia ada di sisi langsung tak sebanding dengan apa yang aku rasai sekarang.”

 

Hisamine menyambung selepas berhenti sejenak, “Miko, apa gunanya emas-emas itu jika tidak dapat mempertemukan aku dengan kakakku?”

 

Hisamiko mengulang ayat Hisamine dalam hati dan disuaipadan dengan dirinya – Apa gunanya emas ini jika tidak dapat menghidupkan kembali abangku?

 

Namun engkau jua yang berkata jika aku membawamu ke sini, engkau tidak akan meninggalkan pulau ini? Hisamine, apa maksudmu?

 

“Jadi, Mine-chan. Apakah engkau masih mahu pulang?”

 

“Erm. Tidaklah. Usah risaulah Miko!” Hisamine menampar lembut belakang Hisamiko dan tersengih memandangnya.

 

“Sakitlah!”

 

Hisamine menjelir lidah. Hisamiko mengejarnya sepanjang pantai. Mereka menghabiskan masa di tepi pantai sebelum pulang ke lembah. Mentari dan laut menjadi saksi persahabatan yang kian bertaut.

 

**

 

Di dalam hutan gelap ada pintu masuk ke sebuah gua, gua lain dari yang berhampiran dengan kubur Ryouji. Laluan gua itu membawa pengembara ke satu puncak. Cahaya matahari masuk melalui lubang gua di puncak itu, dan memalap ke pedalaman gua, sehingga lenyap sepenuhnya di pintu masuk satu lagi di hutan gelap.

 

Kedengaran bunyi dengkuran kuat seperti seekor kucing besar yang sedang tidur lena, diselang-seli dengan bunyi kelawar mencicit dan air dari bumbung gua menitik ke dalam takungan di bawah.

 

Angin menderu di pintu gua menghasilkan bunyi yang menyeramkan seperti jeritan dan lolongan puaka, seolah-olah himpunan bunyi ratapan dan seksaan roh-roh mereka yang terkorban di pulau ini. Setiap mereka datang dengan harapan besar mahu memulakan hidup baru dengan emas yang dilombong. Ada yang berjaya pulang, dan ada yang mati di sini atas pelbagai sebab. Ramai dari mereka tidak mati dengan tenang, kerana hajat mereka belum dicapai. Nyawa mereka direnggut mudah oleh mereka yang tamak dan menggunakan kekerasan. Tatkala jasad membusuk dan mereput dan dimamah ulat-ulat, harapan mereka masih menerawang langit dan mengitar alam, tergantung sepi tanpa penyudah yang menenangkan.

Novel: Yumejima (Bab 22)

Shiro turut sama melahap ikan namun dia hanya gemar yang mentah sahaja. Sedang mereka makan, Hisamine mengesan stim tiba-tiba menerobos keluar dari rekahan tanah tidak jauh dari tempat mereka. Dia tersenyum. Dia mengambil batu-batu sungai dan menghimpunkannya sekeliling rekahan tersebut. Kemudian dia meletakkan satu batu leper di atas himpunan batu-batu itu bagi memerangkap stim yang terlepas, dan membiarkan sedikit lubang terbuka bagi melepaskan stim berlebihan. Dia mengambil ikan mentah berbaki dan meletakkan di atas batu leper itu demi memasaknya. Bunyi berkerutuk kedengaran tatkala ikan dibakar oleh haba bumi di atas batu leper itu.

 

“Kaedah lain tanpa menggunakan api, Hisamiko! Tidak perlu menggosok buluh, hanya guna sahaja haba dari bumi.”

 

“Oh.” Melongo Hisamiko. Shiro hanya memandang sedang mulut masih mengunyah ikan-ikan mentah. Apa dia peduli, hanya manusia sahaja perlu memasak makanan.

 

“Mana engkau tahu semua ini, Mine?”

 

“Kakakku yang mengajar. Di utara berhampiran Gunung Iwate, ada satu tempat yang mengeluarkan wap panas seperti ini.”

 

“Gunung Iwate?”

 

“Ya. Nama lainnya Gunung Fuji Utara. Ia seperti Gunung Fuji dengan salji di puncak dan bentuknya kon. Kakakku pernah memasak menggunakan kaedah ini. Kami membakar Satsuma imo (keledek). Manis rasanya Miko! Andai di sini ada ubi-ubi...”

 

“Mine, aku belum meneroka habis kawasan ini. Aku bilang mungkin ada tumbuhan lain yang boleh dimakan juga. Seperti ubi-ubian.”

 

“Dan nasi?”

 

“Barangkali.”

 

“Ah, sudah lama aku tidak memakan nasi.”

 

Sepanjang setahun Hisamiko tinggal di lembah itu tanpa Hisamine, dia jarang bergerak jauh. Dia hanya duduk menangisi dan mengenang kematian Ryouji. Bermusim-musim dia menangis. Tidak terfikir sekalipun dia akan membina rumah dan menyalakan api. Shirolah yang menjaga makannya dengan memetik buah. Shirolah yang memandikan dia dengan air sungai tatkala musim berubah panas. Namun kedatangan Hisamine mulai mengubahnya sedikit demi sedikit. Hisamiko mula membuka mata kepada sekelilingnya. Hisamiko mula membuka hati kepada insan lain.

 

Hisamine seorang yang teliti dan banyak bertanya. Ada sahaja perkara di lembah itu yang mengujanya. Dia ada bertanya tentang bukit hitam yang aneh dalam barisan bukit yang mengelilingi lembah itu, juga bertanya berkenaan mengapa besi tertarik kepada bukit hitam itu tatkala dia meletakkan pisaunya di atas batu dan mendapati pisau itu berpusing dan hanya berhenti menghala ke bukit hitam itu. Sesuatu yang selalunya dipandang remeh Hisamiko, dipandang berat dan didalami oleh Hisamine. Hisamiko sedar, Hisamine seorang yang bijak. Mungkin, dia sebijak Takeuchi Shinji. Namun malangnya, Hisamine tidak bernasib baik. Kebijaksanaan tanpa nasib yang baik tidak akan mendatangkan keuntungan dan kejayaan. Andai kata, andai kata Hisamine diberi peluang bersekolah, menelaah buku-buku di perpustakaan Kogen, bahkan diberi peluang menjadi penyelidik Kogen sepertimana Shinji, bayangkan sumbangannya...

 

“Hisamiko, tahu apa ini?”

 

Hisamiko sedikit tersentak tatkala ditegur Mine. Dia kembali ke bumi.

 

“Oh ya. Maaf?”

 

“Ini. Fikiran kau ke mana tadi?” Seloroh Hisamine.

 

“Oh, bukankah ini kompas? E to, aku pernah melihat Tsuneki menggunakannya.”

 

“Tsuneki?”

 

“Rakanku dulu. Dia membawa kami ke gunung Yokuma menggunakan kompas dan peta.”

 

“Oh, dan ia hanya menunjuk ke utara bukan?”

 

“Ya.”

 

Hisamine tidak bertanya lanjut. Dia membawa kompasnya berhampiran kaki bukit hitam dan Hisamiko menurut.

 

“Lihat ini. Kompas ini asalnya seperti katamu, menunjuk ke utara seperti normal. Namun sejak aku tiba di lembah ini, ia hanya menunjuk ke arah bukit hitam itu. Ini bermakna sebarang kapal yang menggunakan kompas akan terarah ke sini. Kita mungkin boleh mengharapkan mereka untuk pulang ke Jepun!”

 

“Engkau pasti?”

 

Mochiron! Ah, aku ingin berjumpa kakakku. Miko, aku akan dapat berjumpa kakakku!”

 

Hisamiko gusar. Entah apa yang menggusarkannya tidaklah dia pasti. Namun tatkala dia memikirkan kembali rasa itu sebelum tidur pada malamnya, dia mulai faham. Dia merasakan bahawa Hisamine bukan lagi dalam lingkungan jangkauannya. Jika Hisamine dan dia pulang ke Jepun, Hisamine akan bertemu kakaknya dan akan mengikutnya. Dan dia? Bagaimana dengan dirinya? Siapa lagi yang akan menemaninya di Jepun nanti? Apakah mereka sudi membawanya tinggal bersama?

 

Esoknya Mine mengajak Miko keluar dari lembah.

 

“Untuk apa?”

 

“Aku mahu memerhati kapal.” Singkat Hisamine menjelaskan tujuannya.

 

Hisamine berjalan laju. Hisamiko hanya mengekor dari belakang. Mereka sampai di tebing tinggi menghadap laut lepas.

 

“Mine, andai kata ada kapal tiba ke sini, apakah engkau benar-benar ingin meninggalkan pulau ini?” Hisamiko menyusup halus soalan itu, nada suara perlahan. Selagi boleh dia tidak mahu Hisamine menghidu motif soalannya, bahawa dia bimbang kehilangannya.

 

“Ya.”

 

“Mine –”

 

“– Aku mahu pulang. Aku akan menumpang mana-mana kapal. Engkau pun ikut aku sekali.”

 

Hisamiko diam. Mine merenung Miko.

 

“Mengapa Miko? Engkau tak mahu pulang? Oh ya... mengapa sekarang baru kuterfikir? Aku ingin sekali bertanya bagaimana engkau boleh berada di sini?”

 

Sejak di awal perkenalan mereka, Hisamine sudah berasa aneh bagaimana Hisamiko boleh berada di pulau ini berseorangan dan ditemani pula haiwan aneh itu. Namun soalan-soalan itu dipendamkan. Dia mahu memahami Hisamiko terlebih dahulu dengan memerhati tindakannya. Dia dapat melihat kebaikan hati Hisamiko yang menyelamatkannya dan menjaganya ketika tercedera. Dari cerita-ceritanya yang sedikit dan berpecah-pecah, dia tahu Hisamiko pernah tinggal di Honshu, bahkan bekerja lagi.

 

Dia mahu Hisamiko membuka kisahnya sendiri bagaimana dia tiba di sini, tanpa perlu disoal. Selama mereka berkenalan, Hisamiko dia dapati agak pendiam. Jika mereka berbual, dia merasakan seperti dia bercakap seorang diri. Hisamiko hanya bercerita pabila disoal, sedang dia bercerita rela hati dan juga ketika disoal. Bahkan dia mampu memanjangkan ceritanya. Sedang Hisamiko hanya bercerita sepatah dua kemudian kembali membisu. Seolah-olah ada had untuk patah perkataan yang boleh dikeluarkan dalam sehari.

 

Namun hari demi hari, Hisamiko masih ketat mulut. Meski sudah banyak dia kisahkan dan kongsikan kepada Hisamiko, Hisamiko amat sedikit berkongsikan kisahnya. Hisamine tertanya-tanya mengapa berat benar mulutnya.

 

Kali ini dia tidak lagi boleh bertahan. Tindakan Hisamiko menggesa rasa ingin tahunya yang terpendam sekian lama agar dizahirkan. Hisamiko jelas tidak mahu kehilangannya. Dia dapat merasakan dari sinar mata dan riak wajahnya. Juga dari kata-katanya yang pendek dan ringkas seperti selalu. Dan soalan tadi terpacul dari Hisamiko saat ini. Mengapa saat ini? Mengapa tatkala dia tergerak hati mengintai kapal, dia bertanya soalan ini?

 

“Oh ya Miko, engkau tidak pernah memberitahuku. Sekarang giliranku bertanya. Bagaimana engkau tiba di sini?”

 

Hisamiko menceritakan kisahnya tanpa teragak-agak. Mudah. Dia hanya bercerita pabila ditanya.

 

Sebenarnya, tiada halangan untuk dia berkisah, cuma dia sengaja membisu kerana tidak berminat bercerita kepada sesiapa yang tidak mahu mendengarnya. Tiada alasan mengapa dia harus berahsia dengan Hisamine, Hisamine rakannya.

 

Mungkinkah dengan memberitahu kewujudan emas itu dapat menambat Hisamine di sini?

 

Ah, mengapa aku terlalu bercita-cita mahu menahan Hisamine di sini, getus Hisamiko. Masih dia meragui sunyi yang rasanya telah dimuktamadkan pada malam itu.

 

Hisamine pula terpana. Begitu mudah pula Hisamiko mendedahkan kisahnya? Ah, ini peluang, fikirnya. Ini peluang. Aku boleh mengorek lebih dalam lagi. Mungkin mempergunakan Hisamiko? Dia nampak naif dan kebudakan, meski tahu bertarung. Oh, tidak. Hisamiko terlalu baik, terlalu kasihan. Dia seorang adik yang sungguh kasihan.

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...