Hai semua, izinkan aku menyibuk di sini untuk menerangkan sedikit sebanyak misteri di sebalik perkara-perkara yang aku terapkan dalam novel Kaisenjyo ini. Harap dengan semua trivia ini pembacaan kalian akan jadi lebih menarik dan kalian terdorong untuk mengkaji sendiri kelak (harapnyalah).
Disebabkan Kaisenjyo adalah karya fiksyen maka aku telah mereka-reka banyak perkara. Jadi untuk mengelakkan dari dituduh memutarbelit fakta dan sejarah, aku kongsikan perkara-perkara tersebut di bawah (aku ada sentuh juga di bahagian prolog novel ini semua yang aku kelentong, jadi mungkin ada yang berulang di sini):
Furukawa – pekan ini digarap berdasarkan sebuah pekan kecil bernama Hida-Furukawa, terletak dalam Wilayah Gifu di Jepun. Aku tak pernah sampai ke sini (walaupun pernah naik tren JR Central merentas Gifu), jadi banyak elemen yang aku tokok tentang Furukawa.
Wilayah Gizen/ Shinagawa – berdasarkan wilayah Nagano sekarang. Aku ada sebut
berkenaan onsen yang dilawati Kobato yang ada monyet salji itu. Ya, onsen itu (jigokudani) memang wujud dalam wilayah
Nagano dan saban musim sejuk monyet muka merah ini akan turun berpesta dalam
onsen di situ.
Wilayah Jooryoku/
Hidagawa – berdasarkan wilayah
Gifu/ Hida (nama lama). Wilayah Gifu ini memang bergunung-ganang dan
populasinya rendah.
Okuhida – Okuhida ialah nama satu lembah onsen yang terletak
dalam wilayah Gifu. Aku gunakan nama ini sebagai nama keluarga Ryouji dan
Hisamiko
Wilayah Kodama/ Yozehama – berdasarkan wilayah Toyama dan Niigata.
Wabak Taun Yozehama – wabak ini hanyalah dongengan dan aku sandarkan pada
wabak hampir sama yang melanda penduduk Toyama sekitar awal abad ke-20, di mana
sungai mereka dicemari bahan toksik dari perlombongan kadmium oleh syarikat
Mitsui. Penduduk yang menggunakan air sungai itu diserang penyakit itai-itai, iaitu sejenis penyakit kulit
disebabkan toksik itu.
Shogun Tetsugawa – berdasarkan Shogun Tokugawa yang pernah memerintah
Jepun (menggunakan mandat Maharaja) selama dua ratus tahun dan memaksa dasar
tutup pintu (sakoku).
Saisho Takanori – berdasarkan ‘samurai terakhir’ Saigo Takamori (bukan
Tom Cruise ya!)
Shirasaka-no-kogen – lembah misteri ini aku garap berdasarkan satu tempat
yang amat cantik di Switzerland bernama Lauterbrunnen dan juga satu tempat yang
cantik di Jepun bernama Shirakawa-go (rumah-rumah bumbung jerami di sini
menjadi prop untuk Shirasaka-no-Kogen).
Inotani – secara bahasanya bermaksud ‘lembah babi’. Inotani ini
memang wujud namun ia hanyalah sebuah stesen tren di sempadan wilayah Gifu. Kalau
kalian ambil tren JR West dari bandar Toyama ke Takayama, kalian perlu menukar
tren di stesen Inotani sebelum meneruskan perjalanan dengan tren JR Central ke
bandar Takayama di celah pergunungan Gifu. Cantik dengan hijau pokok-pokok dan
gunung-ganang keliling beserta sungai yang jernih, dan cuaca sejuk, walaupun
tengah-tengah musim panas.
Kawamoto - berdasarkan
satu tempat di Nagano bernama Matsumoto.
Daimyo Hamada – Watak ini sepenuhnya fiksyen. Watak daimyo jahat ini memang ada macam Ular
Mino (Google sendiri Viper of Mino). Dalam sejarah memang ada pemimpin yang
lakukan massacre atau pembunuhan
besar-besaran terhadap penduduk kawasannya sendiri atas macam-macam alasan (penghapusan
wabak, pembasmian etnik).
Kisennuma, Nambashi,
Yokuma – antara tempat-tempat
yang tak ada rujukan sebenar, yang aku sintesis sendiri dalam kepala.
Kesimpulannya, bolehlah dikatakan Jepun dalam novel aku ini adalah Jepun
versi aku. Kalau nak tahu versi sebenar, bolehlah kaji sendiri berdasarkan
trivia-trivia di atas. Selamat mengkaji!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan