Novel: Kaisenjyo (Bab 25)

 BAB 25


“Takasaki-san, siapakah Tsugiyama?

 

Takasaki agak tersentak mendengar soalan Ryouji yang tiba-tiba. Dia baru sahaja pulang bersama Chisato dari kampungnya dan terus bertemu Takasaki di pejabat.

 

“Dia bekas anak muridku sewaktu aku berkhidmat kepada Hamada. Mengapa engkau bertanya, Ryouji?”

 

“Ketika aku di kampung Chisato, aku terserempak dengannya. Dia mahu menangkap Chisato. Katanya Chisato telah membunuh rakannya. Sefaham aku, dari kisah Chisato, dia cuma menyelamatkan Chinami dan Chiho dari mereka kerana mereka mahu menjual adiknya sebagai karayuki. Dia tiada pilihan dan harus pantas, jika tidak orang-orang di situ akan menangkap dia dan adiknya. Mungkin dalam proses bergegas itu dia tidak sengaja membunuh mereka.”

 

Takasaki teruja mendengarnya. Dia maklum yang keluarga Yoshitsugu punya hubungan dengan sindiket pemerdagang karayuki selepas dia meninggalkan Hamada, dan dia juga ada mendengar berita Tsugiyama dihantar Hagiura sebagai pemerhati kepada sindiket itu. Perkhabaran Ryouji itu membuktikannya. Takasaki sendiri ada bertemu Tsugiyama ketika menyelamatkan Chisato dan adik-adiknya, namun pada ketika itu dia tidak faham mengapa Tsugiyama berminat untuk menangkap Chisato dan adiknya.


Apa yang dibuatnya lagi di Kisennuma? Aku dengar dia merompak di Nakasendo selepas Hagiura memecatnya tahun lepas. Takasaki kebingungan.

 

Tsugiyama adalah anak murid kedua Takasaki. Kemahiran berpedang kaminari-no-kazenya adalah kedua terbaik selepas Saitou. Selepas dia meletak jawatan, Tsugiyama berkhidmat sebagai mata-mata kepada anak Hamada iaitu Hagiura. Saitou pula diambil oleh Hamada.

 

Mungkin di sepanjang ketiadaannya, Tsugiyama telah menambahbaik kemahiran berpedangnya. Mungkin dia belajar dari Saitou? Aku tidak tahu, bisik Takasaki.

 

“Aku tidak mewajarkan pembunuhan yang dilakukan Chisato jika benar, namun mungkin dia juga terpaksa. Maruah adiknya perlu dibela, dia tiada pilihan. Dia juga pasti dibelenggu rasa bersalah. Ryouji, apa telah berlaku pada kamu berdua semasa bertemu Tsugiyama?”

 

“Dia mahu menangkap Chisato, dan aku menghalangnya. Pergerakan Tsugiyama pantas dan dia tahu selok-belok kaminari-no-kaze. Aku terpaksa mengeluarkan jurus yang hanya kufahami secara teori, iaitu jurus ketiga dan keempat. Namun katanaku tidak dibuat untuk disesuaikan dengan jurus itu. Aku hampir ditewaskan ketika seekor burung hayabusa datang berteriak, dan dia berhenti tiba-tiba seraya beredar seperti bergegas mengejar sesuatu yang amat mustahak.”

 

“Takasaki-san, apa tujuan lain penjinakan hayabusa?” Ryouji mengalih topik.

 

“Yang aku tahu, ia dijinakkan untuk tujuan berburu, dan memintas burung merpati yang dihantar sebagai pengutus surat oleh pasukan musuh dalam peperangan. Ryouji, maaf aku ingin tahu, engkau sudah pandai membacakah?”

 

“Aku masih hanya mampu membaca dua ratus kanji sahaja.”Jawab Ryouji mendatar.

 

“Ryouji!” Takasaki menempik, Ryouji sedikit terkejut. Takasaki tiba-tiba berang, matanya merah menyala seperti daun momiji di musim luruh.

 

“Engkau perlu belajar membaca! Shinji, ke mari masuk!”

 

Shinji masuk dengan tersengih-sengih. Dia yang mengadu kepada Takasaki yang Ryouji memintanya membacakan kanji-kanji tertentu di perpustakaan. “Ajar Ryouji membaca! Sebelum musim panas, aku mahu dia hafal dua ribu kanji. Ajarnya mulai hari ini! Dua ribu kanji, atau lebih. Lebih banyak lebih bagus!”

 

Dua ribu atau lebih? Takasaki-san!

 

Ryoukai, Takasaki-san!” Shinji tersengih lagi, kali ini memandang Ryouji. Habislah engkau Ryouji!

 

Takasaki terpaksa bertegas. Ryouji perlu belajar membaca dan mengira. Dia adalah harapan Takasaki. Banyak maklumat dapat diteliti dari perpustakaan besarnya jika dia tahu membaca. Termasuk maklumat penjinakan hayabusa yang ditanyanya tadi!

 

**

 

Sebaik sampai di anjung, Chisato berlarian menuju ke bilik asramanya, tidak mengendahkan panggilan Mariko.

 

Dia meluru ke katil seraya meniarap sambil menyembabkan mukanya ke bantal.

 

Chinami dan Chiho berpandangan sesama sendiri, kebingungan.

 

Nee-chan, nee-chan...” Chinami menggoncang-goncangkan tubuh kakaknya itu.

 

Kemudian dia mendengar esakannya. Chisato memeluk mereka berdua sambil menangis. Kedua-dua mereka bingung.

 

**

 

Sementara itu, Hisamiko di luar di taman bonsai, bersama Ryouji.

 

Onii-san, engkau tidak apa-apa?” Hisamiko berdiri di depan Ryouji menjegilkan matanya memandang Ryouji penuh tumpuan, sambil tangannya di bahu Ryouji. Ryouji sedang duduk di bangku di taman itu, seperti selalunya.

 

“Aku tidak apa-apa, Hisamiko. Tiada Sonzaemon di situ.” Ryouji berhenti dari meneruskan kata-kata, dari bercerita tentang insiden bertemu Tsugiyama dan kesedihan Chisato.

 

Onii-san.” Hisamiko memeluk Ryouji, kemudian dia menangis. Ryouji agak terperanjat, dia perlahan-lahan menepuk kepala Hisamiko lembut. Pertama kali Hisamiko ditinggalkannya, mungkin disebabkan itu Hisamiko berperlakuan sedemikian.

 

Setelah tangisannya reda, Hisamiko duduk di sebelahnya.

 

“Bagaimana dengan nee-chan? Ada sesuatu berlaku di antara kamu?”

 

Merah padam muka Ryouji. “E...to... betsu ni. Kami bermalam di kuil. Kemudian ke kampungnya. Kemudian pulang.”

 

“Itu sahaja? Bosannya...” Selamba Hisamiko mengulas, sambil memuncungkan mulutnya. “Takkan tiada apa-apa berlaku? Hmmm...” Senyuman Hisamiko menggerudi wajah Ryouji. Lagi merah mukanya!

 

Bukan Ryouji tidak mahu bercerita, tetapi dia tidak mahu membuka kisah duka Chisato dan pertemuan dengan musuh yang tidak disangka-sangka. Chisato murung sepanjang perjalanan dan aku tidak berkesempatan membawanya singgah mengambil angin di mana-mana.

 

“Miko, koko mite (lihat ini)” Ryouji menunjukkan sesuatu, sesuatu yang telah dipesan Hisamiko sebelum dia pergi. Ryouji sempat membelinya ketika mereka melintasi seorang penjaja yang bergerak menuju ke pekan Kisennuma.

 

Hisamiko melihat pemberian itu dan mengambilnya dari tangan Ryouji. Matanya bersinar-sinar tatkala membelek-belek pemberian itu. Ia kalungan dengan manik-manik kayu berukir, dan terdapat sebiji manik besar di tengahnya yang boleh dibuka tutup yang diperbuat daripada gangsa, dan di dalamnya diisi dengan batu permata kuning berbentuk bujur, berkemungkinan batu resin. Di dalamnya kelihatan seekor rama-rama kecil yang telah mati lama dan difosilkan di dalam batu itu, menambahkan estetikanya.

 

Arigatou, onii-san!” Hisamiko memeluk Ryouji sekali lagi, kemudian kembali leka dengan kalungan itu.

 

Ryouji fikir dia tidak pernah menghadiahkan apa-apa kepada Hisamiko. Ini pemberian pertama dan mungkin yang terakhir. Apapun, dia harus berfikiran positif. Sumpahan hayabusa belum tentu akan menarik nyawanya. Namun semakin hari, dia semakin risau dan kerap melihat lengan kanannya, dan tanda hitam itu semakin ketara. Ia seperti malaikat maut yang datang menjengahnya mengingatkan dia akan ajalnya setiap kali dia melihat tanda hitam itu. Menakutkan. Dan ia membuatkan Ryouji semakin lebih menghargai saat-saat yang berbaki bersama Hisamiko.

 

Air matanya hampir menitis melihat Hisamiko, namun dia cuba menahan. Hisamiko masih leka dengan kalungan itu dan mencuba memakainya.

 

“Miko, mari, onii-san kalungkan untukmu.” Sengaja Ryouji memintanya agar Hisamiko membelakanginya, agar dia dapat menyembunyikan air matanya yang bertakung dari meleleh di depan Hisamiko. Namun Hisamiko pantas menoleh selepas kalungan dikemaskan, seraya terkejut.

 

Onii-san, engkau menangis.”

 

Nani mo. Hisamiko.” Ryouji mengesat air matanya, cuba mengelak dari meneruskan kata-kata.

 

“Engkau bersikap aneh hari ini. Onii-san, kisahkan kepadaku apa yang telah berlaku sepanjang kelanamu, Onii-san!”

 

“Aku tidak apa-apa, Miko, sungguh. Mataku pedih tiba-tiba dimasuki habuk.”

 

Onii-san pelik, Hisamiko menggumam di dalam hati. Dia jelas menyembunyikan sesuatu dariku. Ryouji pantas mengalihkan tumpuan kepada kalungan itu.

 

“Miko, cuba berdiri di hadapanku. Aku ingin melihat engkau dengan kalungan itu.”

 

Hisamiko bangun dan berdiri di hadapannya.

 

Onii-san, cantik kan!” Hisamiko tersenyum sambil memusing-musingkan tubuhnya, mempamerkan kalungan itu.

 

Cantik, sungguh. Ryouji turut tersenyum.

 

**

 

“Ohoho...aku sudah berjaya meracuni fikiran engkau.” Shinji tertawa dalam hati.

 

Sejak tahu membaca, Ryouji menjadi ulat buku pula. Tidurnya dengan buku. Di meja makan juga dia membawa buku di sebelahnya. Sehinggakan Takasaki terpegun dengan perubahan sikapnya. Sekarang barulah dia tahu betapa indahnya dunia ini jika tahu membaca! Namun keindahan yang dimaksudkan Takasaki itu adalah ‘berlainan’ sedikit.

 

Semakin banyak perkara yang diketahui, semakin tidak menang tangan pula Shinji menjawab soalan Ryouji yang bertubi-tubi mengenai pelbagai perkara. Tidak pernah dia berasa diperlukan sebegini hebat, malah dia mulai berasa kewujudannya di dunia ini penting sekali. Sekurang-kurangnya kepada Ryouji!

 

Tidak disangka juga, dalam perpustakaan besar sebegitu, ada juga bahan bacaan yang ‘dewasa’, iaitu di dalam rak rahsia yang pernah ditanyakan Tsuneki dahulu, yang dilipat ke dalam dinding. Dahulu, Shinji pernah meracuni fikiran Ryouji yang hijau itu dengan bahan-bahan bacaan dewasa, namun disebabkan Ryouji tidak tahu membaca sebahagian besar kanji, maka dia tidak mahu berbicara lanjut mengenainya. 


Kini, selepas Ryouji tahu membaca, Shinji membawanya kembali menelaah bahan bacaan itu.


"Jadi Shinji, dengan melakukan ini, maka kita akan dapat menghasilkan anak?" Tanya Ryouji, sambil menunjuk kepada tulisan-tulisan tumpat berselang seli dengan gambar perselingkuhan pada buku itu.


"Ya." Shinji menjawab pendek, kemudian ketawa kecil. "Mungkin engkau boleh cuba dengan Chisato sayangmu itu?"

"Baka! (Bodoh)!" Ryouji menepuk kepala Shinji dengan buku itu. "Chisato wanita suci, aku tidak akan sekali-kali melakukan perkara tak senonoh ini dengannya."


"Engkau tidak akan memperolehi zuriat, Ryouji jika engkau tidak melakukan selepas berkahwin dengannya. Engkau perlu belajar perkara ini." Shinji tersenyum seperti syaitan. 


Ryouji dengan muka merah padamnya meninggalkan Shinji di situ. Selain Tsuneki, rupanya ada seekor lagi makhluk tidak senonoh di sini! Oh ya, tak lupa si tua kutuk Takasaki itu pun, kerana buku itu bukunya juga!


Takasaki yang meletakkannya di situ secara sembunyi. Shinji menemuinya dan kemudian menemui Takasaki, memaksa dia mengaku. Orang tua itu tunduk mengakui, mukanya merah padam menahan malu setelah ditangkap siang-siang oleh seorang remaja. Orang tua miang!

 

Takasaki memberitahu Shinji bahawa Mariko belum tahu dan meminta Shinji merahsiakannya, sambil tunduk. Shinji setuju, dengan satu syarat. Takasaki membenarkan dia menggunakan bilik relau bila-bila masa sahaja jika dia mahu, dan dia mahu kunci bilik relau dipegang. Takasaki bersetuju!

 

**

 

Hidup Kobato sehari-hari di kedai membuat pedang itu semakin sibuk. Dia belajar lebih banyak perkara dari Mitsuhide berbanding ketika dia berada di rumah perlindungan. Ketika di rumah perlindungan, dia sibuk belajar seni kaminari dan tidak punya banyak masa menumpu ke arah seni membuat katana. Ini kerana hanya di rumah itu dia berpeluang belajar seni tersebut langsung dari penciptanya Takasaki dan anak pencipta keduanya Miura iaitu Ryouji.

 

Mitsuhide dan perantis di situ sudah sebati dengan Kobato dan ketika masa senggang, Kobato akan melatih mereka berpedang. Mereka bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan pedang-pedang yang dihasilkan ditambahbaik agar ia sesuai dengan seni kaminari-no-kaze, terutama jurus-jurus yang tinggi seperti jurus ketujuh dan ke atas. Namun ramuan bahan yang digunakan masih tidak cukup sesuai berbanding bahan yang digunakan Shinji. Shinji pada masa yang sama di rumah perlindungan sedang menambahbaik kemahiran menempa katana-nya.

 

Dalam kesibukan itu, Kobato terlupa akan pertemuan dia dengan Tsugiyama ketika musim sejuk, sehinggalah dia teringat kembali, ketika sedang senggang di awal musim panas, 1870. Tsugiyama pula tidak muncul-muncul. Mungkin dia telah muncul di situ pada awal musim bunga ketika pokok itu mula berdaun, namun beredar selepas mendapati aku tiada, Kobato mengagak.

 

Kobato tidak pernah lupa memberi makan kepada Kurobato, burung merpati hitam yang sentiasa mengiringinya setiap kali dia membawa pemberian Saki itu.

 

Sebentar, Saki? Ya, mengapa aku tidak terfikirkan idea sebegini! Kobato menepuk dahinya.

 

Aku boleh meminta Saki menyiasat bagi pihakku, akan kebenaran dakwaan Tsugiyama itu. Saki boleh menyelinap di segenap rumah perlindungan itu, dan mencari buktinya. Shinji pernah memberitahu yang Takasaki menyimpan pelbagai rekod penyiasatan pertubuhannya di dalam perpustakaan di situ. Termasuk penyiasatan ke atas Hamada, bekas daimyo-nya itu. Aku tidak sempat memeriksanya kerana sibuk berlatih kaminari sepanjang masa. 


Aku sedia maklum Hamada adalah bekas daimyo-nya namun aku tidak punya bukti yang menghubungkan Takasaki dengan kebakaran rumahku. Dia mungkin membakar kampung atau rumah-rumah orang lain sedang rumahku dibakar oleh pasukan lain di bawah Hamada. Aku mahu mencari pelaku sebenar. Aku hanya akan menghukum pelaku sebenar, kemudian barulah aku sasarkan kepada Hamada selaku pemberi arahannya.

 

Kobato mengutus segulung surat kepada Saki melalui Kurobato.


Novel: Kaisenjyo (Bab 24)

 BAB 24


Mereka keluar awal pagi esoknya. Mereka sampai di kampung Chisato, Kisennuma setelah menumpang sebuah kereta kuda membawa jerami yang melintas di kaki bukit yang menempatkan kuil itu. Chisato tidak mampu berjalan jauh dengan kaki yang masih tercedera.

 

Chisato sampai di rumahnya. Masih diingati laluan ke rumahnya yang merentas bendang. Sawah padi di situ baru bertanam, masih hijau. Ryouji berjalan di sebelahnya. Chisato masih boleh berjalan namun perlu berhenti kerap. Cuaca tidak terlalu panas pada hari itu di awal musim bunga. 

 

Sampai di rumahnya, Chisato terperanjat melihatkan rumahnya telah diubahsuai. Dia ingat benar inilah tapak rumah bapanya, meskipun dia meninggalkannya hampir empat tahun lepas. Dia bertanyakan seorang lelaki yang sedang duduk di depan rumahnya sambil mengukir patung.

 

“Ya, cik. Ini rumahku. Aku telah membeli tanah bendang dan rumah ini dari Maharaja. Tiada lagi daimyo. Bekas daimyonya telah berpindah ke Kyushu dan tempatnya diganti oleh gabenor.”

 

“Tuan masih ingat orang yang pernah tinggal di sini?”

 

“Aku tidak pernah menemuinya. Ketika aku sampai di sini pada tahun lepas, hanya kelihatan rumah dengan kesan terbakar. Tanah-tanah dipenuhi debu hitam. Tiang-tiang hanya tinggal separuh, habis semuanya rentung. Aku dengar ia terbiar begitu sejak tiga tahun sebelumnya.”

 

Chisato terpana mendengarkan kata-kata lelaki itu. Terbakar? Adakah rumah kami dibakar, dan bapaku dibunuh? Siapa yang melakukannya?

 

Chisato merayau-rayau di kawasan rumah lain di sekitar bendang itu. Namun semua petani di situ tidak pernah dilihatnya. Mereka semua petani yang baru di sini. Adakah aku tersilap kampung? Tidak, inilah kampungku! Jalan yang aku lalui tadi amat aku kenali.

 

Chisato menemui seorang lelaki yang selalu berjudi dengan bapanya. Dia sedang merayau-rayau tanpa arah tujuan di pertengahan jalan.

 

Ano sumimasen, encik Kazumi-san bukan?” Lelaki itu menoleh, rambutnya panjang dan kusut masai, pakaiannya compang-camping dan kotor, wajahnya penuh celoreng dan berkaki ayam. Dia nampak seperti kurang siuman, amat kurus seperti sudah sebulan tidak makan. Namun Chisato tiada pilihan, dia hanya mengenali lelaki itu sedikit sahaja ketika mana dia melawat rumah bapanya suatu ketika dahulu, maka mungkin dia orang yang tepat untuk ditanya.

 

“Chisato-chan, bukan?” tutur lelaki itu selepas menatap Chisato seketika.

 

“Ya.” “Engkau telah banyak berubah, semakin cantik!”

 

Chisato tersipu malu dipuji, namun terus bertanya, tidak mahu melengahkan masa, “Kazumi-san, masihkah engkau ingat apa yang telah terjadi kepada otou-san?”

 

“Minoru-san ka?” “Aku pergi ke rumahmu suatu hari, namun mendapati dia sudah rentung bersama rumahnya. Mayatnya kami bakar kerana tiada sesiapa yang menuntut.”

 

Rumah Chisato terletak jauh dari rumah-rumah petani lain maka kebakaran lambat dikesan. Lagi pula kejadian itu berlaku di waktu malam pada musim luruh, maka bau kebakaran itu mungkin disangka bau kebakaran akibat seseorang membakar daun kering.

 

“Benarkah begitu Kazumi-san?” Chisato masih tidak dapat mempercayai apa yang didengarinya.

 

“Ya, aku berada ketika upacara pembakaran. Malang nasib Minoru, seringkali kalah berjudi bahkan ditipu kerap.”

 

Chisato terdiam, fikirannya kaku. Dia tidak dapat mengungkapkan kesedihannya. Pilu kerana dia tidak sempat melihat bapanya buat kali terakhir. Pandangan terakhirnya yang dilihat Minoru adalah sebuah pandangan penuh kebencian dari seorang anak perempuan, bahawa perbuatannya adalah jijik dan tidak boleh dimaafkan. Aku bapa yang jijik! Aku tidak layak menjadi bapa! Aku layak ditinggalkan mereka!

 

"Chisato, pulanglah sejenak bersama adik-adikmu. Aku amat merindui kamu semua. Pulanglah Chisato! - aku kerap bermimpi bapamu menjerit kata-kata itu sedang api membakar tubuhnya." tutur Kazumi.


Setiap kali dia bertemu Minoru, Minoru kerap bercerita tentang mereka bertiga, betapa dia merindui mereka. Jika bukan kerana hutang berjudi dan pemiutang yang mengejarnya setiap hari bahkan mengancam untuk membunuh anak-anaknya, sudah pasti dia tidak menjual mereka.

 

“Aku bersedih dengannya. Dia pergi keseorangan. Aku tiada di sisinya semasa dia terperangkap di dalam kebakaran itu. Pasti dia terseksa benar. Tiada siapa yang mendengar jeritan terakhirnya akan betapa dia merindui anak-anaknya.”

 

Apakah itu yang otou-san fikirkan?

 

Chisato terduduk mendengarkan Kazumi. Dia amat membenci perbuatan bapanya, namun tidak sekali-kali dia terfikirkan untuk menghukum bapanya agar mati sebegitu kejam.

 

Apa yang telah aku lakukan? Adik-adikku seringkala bertanya bilakah mereka dapat pulang ke kampung bertemu otou-san. Otou-san amat merindui kami. Dan aku telah memisahkan mereka sehinggalah otou-san bertemu ajal.

 

Apa yang telah aku lakukan? Chisato menutup mukanya sambil menunduk mengadap bumi, masih melutut di atas tanah berdebu itu. Ryouji membiarkan dia melayan perasaannya. Dia juga sedih. Keperitan Chisato mungkin lebih lagi. Tidak, kisah Chisato sungguh mengelirukan. Insan yang menjadi darah dagingmu melakukan perkara yang memusnahkan hidup darah dagingnya sendiri. Dan engkau terpaksa bertindak, mungkin merentas batas kemanusiaan agar dapat melindungi darah dagingmu yang lebih memerlukan perlindungan. Natijahnya, adalah satu pengorbanan besar. Engkau mendapat sesuatu dengan kehilangan sesuatu.

 

Hati Chisato perit. Keliru. Sedih. Malu. Pelbagai perasaan menerjah mindanya. Dia bingung.

 

Mereka tiba-tiba ditegur seorang lelaki. Kazumi sudah jauh meninggalkan mereka.

 

Okaerinasai, Chisato-chan!” lelaki itu melaung sinis. Chisato tersentak. Lelaki inilah yang menyerangnya dan Ryouji di pekan yang ada kedai ramen! Dia lelaki berjanggut uban yang memakai happi bercorak sagi di belakangnya. Bagaimana dia mengetahui kampungku? Chisato mendiamkan diri sambil memandang lelaki itu penuh kemarahan.

 

“Apa yang engkau buat di sini, Chisato-chan. Engkau ingin melawat bapamu itukah? Dia sudah mati, sayang.”

 

Menyirap darah Chisato mendengarnya. Ryouji memegang bahu Chisato.

 

“Akulah Tsugiyama, orang yang membakar rumahmu itu.”

 

“Mengapa... mengapa engkau buat begitu?! Apa salahnya?”

 

“Aku telah membayarnya wang semasa aku mengambil adik-adikmu. Namun sejurus menerima dia terus menggunakan semua wang itu untuk membayar hutang-hutangnya. Kemudian engkau mengambil semula adik-adikmu dari orang-orangku tidak lama kemudian.”

 

“Jadi?”

 

“Maka aku mencari bapamu dan membakar rumahnya. Chisato-chan, tiada duit percuma di dunia ini.”

 

Chisato tidak dapat menahan sebak. Dia pulang ke kampung bersusah-payah, hanya mendapati bapanya sudah tiada.

 

“Chisato-chan, engkau masih berhutang nyawa denganku. Engkau membunuh rakanku ketika di jeti.”

 

“Chisato, engkau melindungi adik-adikmu. Ingat kata-kataku semalam di pekan? Jika aku dalam situasi begitupun aku pasti akan membunuh mereka. Mereka harus dibunuh atau kita yang akan dibunuh. Tiada pilihan.” Ryouji berkata kepada Chisato dengan nada perlahan, kemudian memandang Tsugiyama.

 

“Sebelum engkau apa-apakan Chisato, langkah mayatku dahulu!” Ryouji berteriak.

 

“Siapa engkau? Budak hingusan yang hanya tahu membuat ribut?” Tsugiyama masih ingat wajah Ryouji di pekan itu. Dia bertanggungjawab membuat ribut tiruan di sana.

 

“Beredar sekarang dari sini dan jangan mengganggu kami!” Ryouji memberi amaran keras.

 

“Budak hingusan, engkau tiada kena-mengena dalam hal ini. Ini antara aku dan keluarganya. Usah campur tangan, budak!”

 

Chisato, biarkan aku bertarung dengannya. Kaki engkau masih tercedera. Hayabusa-no-kami, jangan engkau kembalikan sumpahmu di saat-saat genting seperti ini, sekali lagi! Onegai! (Tolong!)

 

Selepas bangun dari tidur pagi itu, tangan kanan Ryouji kembali pulih. Namun tanda hitam seperti yang diberitahu Kotobuki telah mula muncul tanpa perlu ditekan. Ia agak pudar, dan saiznya sebesar bulatan separuh saiz kuku. Apapun, Ryouji bersyukur kerana masih boleh menggunakan tangan kanannya kembali.

 

Aku tidak boleh menggunakan jurus kedua. Hari ini masih panjang, aku perlu menyimpan tenagaku, fikir Ryouji. Kaminari-no-kaze, jurus pertama.

 

Tsugiyama mengelak dengan mudah. Pantas! Sepantas dirinya.

 

Kaminari-no-kaze? Siapa yang mengajarmu? Takasaki, atau Miura?” Tsugiyama bertanya soalan sama yang pernah ditanya kepada Kobato pada musim sejuk lepas. Tsugiyama ialah bekas samurai yang sekarang ini merompak di Nakasendo. Dia pernah bekerja bersama Takasaki untuk Hamada, kemudian ditukar berkhidmat kepada Hagiura dan kemudian dipecat selepas Pembaharuan. Dia datang ke pekan itu untuk mencari peluang pekerjaan baru dan tidak menyangka akan terserempak dengan Chisato, dendam lamanya.

 

Dia mengenali otou-san dan Takasaki-san? Siapakah lelaki ini sebenarnya? Bukankah dia orang keluarga Yoshitsugu melihatkan simbol sagi itu? Mungkinkah dia bekas anak murid mereka berdua?

 

“Wajahmu mengingatkan aku dengan Miura. Siapakah engkau wahai budak?”

 

“Aku anaknya.”

 

“Seperti aku telah agak.”

 

Sedang mereka sibuk bertarung, seekor burung hayabusa yang besar datang terbang sambil berteriak. Tsugiyama berundur dari situ, mengejut.

 

Mata ne. Sehingga kita berjumpa lagi. Aku tidak dapat meneruskan pertarungan ini. Dan perempuan itu, aku masih berdendam dengannya atas nyawa rakanku! Aku pasti akan kembali lagi!” Seraya menghabiskan kata-katanya dia beredar dari situ dengan pantas, mengikut arah terbangnya hayabusa itu.

 

Jika dia tangkas sebegitu bertarung, mengapa dia tidak bertarung begitu denganku di pekan?

 

Oh ya, aku lupa! Jurus kedua adalah jurus terkuat yang tidak boleh ditentang dengan jurus-jurus lain dan hanya boleh dilakukan bersama regu, satu-satunya jurus sebegitu dalam kesemua sepuluh jurus. Ia jurus untuk melarikan diri sahaja, bukan untuk bertarung. Namun tenaga engkau dibazirkan dan engkau tidak lagi boleh bertarung selepas melakukannya.

 

Belajar teori dari Takasaki memang berguna. Namun hanya di dalam dunia realiti sahaja barulah teori-teori itu mendatangkan makna, di mana dan pada ketika mana ia sesuai digunakan. Mungkin inilah tujuan Takasaki menghantarku keluar!

 

**

 

Chisato masih bersedih dan membisu sepanjang perjalanan pulang semula ke kuil.

 

Sampai di kuil, Ryouji memapah Chisato ke bilik mereka. Chisato masih membisu.

 

Masuk ke bilik, Chisato kemudian membuka pintu gelangsar perlahan-lahan dan duduk mengadap taman. Ryouji duduk di sebelahnya, dipisahkan sedikit jarak.

 

“Chisato, aku pergi keluar dahulu. Engkau tenangkanlah dirimu di sini.” Ryouji bangun meninggalkannya. Namun yukatanya ditarik Chisato. “Ryouji, tunggu.”

 

Ryouji kembali duduk. Chisato membisu. Kemudian dia menyandar kepalanya ke bahu Ryouji, dan menangis. Ryouji tidak pandai memujuk wanita. Dia hanya duduk pegun di situ seperti patung Buddha di seberang Sungai Miya, sambil memandang ke arah taman. Dia memegang bahu Chisato. Menangislah Chisato sepuas-puasnya. Sementara bahu ini masih utuh ditonggak nyawaku. 


Ryouji memandang tangan kanannya. Kotobuki, engkau satu-satunya sami yang sukar untuk tidak aku percayai kata-katamu. Apakah engkau benar seorang sami, atau sebenarnya seorang mistik yang tahu perkara ghaib?

 

**

 

“Hagiura-sama!” Tsugiyama melutut hormat kepada gabenor yang merupakan bekas daimyonya itu. Dia datang mengejut ke Kisennuma. Mengapa dia mencariku di sini? Bukankah dia telah memecatku? Dan disebabkan pemecatan itulah aku hidup dengan merompak di Nakasendo.

 

“Tiada salahnya aku melawat bekas samuraiku yang paling setia.” Dia mengangkat lengannya, dan seekor burung hayabusa datang bertenggek ke atasnya sedang dia masih utuh dan tenang berdiri, tidak seperti Ryouji yang terduduk mengaduh berat. Dia nampaknya seorang penjinak hayabusa yang mahir.

 

“Goro merampas surat ini dari seekor merpati pengutus.” Hagiura menyuguh sekeping surat kepada Tsugiyama

 

“Ia dari Maharaja kepada Taishii Kimura.” Tsugiyama memberitahu setelah membuka dan membaca surat yang dihulurkan Hagiura. Meskipun mesej yang tertulis di dalamnya dikodkan, Tsugiyama masih dapat membacanya kerana Maharaja menggunakan kod yang lama yang telah bocor kepada mereka.

 

“Ya, seteruku yang berpindah ke Kyushu itu,” Hagiura mengiyakan, sambil mengusap-usap jambul Goro, hayabusa kesayangannya itu.

 

“Orang tua kutuk itu tidak habis-habis menyusahkan aku. Dia mengumpul bekas-bekas samurai bapaku dan aku untuk berkhidmat di bawahnya sebagai petani. Untuk meluaskan pengaruhnya saja. Sekarang kerjanya melobi Maharaja pula!” wajah tembam Hagiura berkerut ketat, bonjol-bonjol lemak degil timbul di pipi. Wajahnya tidak langsung seperti bapanya Hamada si pondan tua itu.

 

“Hagiura-sama, berdasarkan kandungan surat ini Maharaja memperkenan pertubuhan Takasaki dan Miura nampaknya. Bukankah dahulu ia pertubuhan menentang baginda?”

 

“Jauh sekali dari apa yang engkau sangkakan. Ia hanya spekulasi bagi memburukkan mereka. Mereka menyokong kemasukan Barat, maka rata-rata akan berfikir mereka menentang Maharaja dan bersekongkol dengan Shogun Tetsugawa. Ini kerana mereka menyangka Maharaja memusuhi Barat dan Tetsugawa pula penyokong Barat. Ada pihak mahu mengambil manfaat dari kekeliruan itu agar nama bapaku diburukkan, kerana Takasaki dan Miura kedua-duanya bekas samurai bapaku. Dengan buruknya nama bapaku, mereka dapat merebut tempatnya dan menjadi daimyo paling berkuasa di sebelah Maharaja yang menguasai wilayah-wilayah tengah pergunungan ini.”

 

“Namun selepas perang dengan Tetsugawa, baginda terang-terangan mahu membuka pelabuhan-pelabuhan negara ini kepada Barat, mahu menterjemah karya-karya Barat yang disimpan pertubuhan Takasaki, bahkan mahu menghantar utusan kita mencedok ilmu di Barat. Segala usaha kita mengampu baginda selama ini sia-sia. Bahkan, tanah-tanah kita pula diambil dan kita dilantik sebagai gabenor dengan diberikan gaji.”

 

Sebentar, bapaku membunuh Miura bagi melumpuhkan pertubuhan itu yang disangkanya untuk merekrut tentera menyokong Tetsugawa. Miura adalah pembiaya utama pertubuhan itu. Namun sekarang Maharaja pula memperkenan pertubuhan itu, maka bekas-bekas daimyo yang menyokong pertubuhan itu sudah pasti akan mendapat keutamaan baginda. Tidakkah dia berasa terkilan kerana membunuhnya? Bodoh benar bapaku!

 

Namun apakah keutamaan dari baginda penting? Paling hebatpun engkau cuma dilantik sebagai gabenor dan diberikan gaji. Tiada lagi cukai dapat dikenakan ke atas petani kerana kami tidak lagi memiliki tanah. Perjuangan apakah yang kami telah lakukan?

 

Perjuangan yang sia-sia! Kami sepatutnya menentang Maharaja sedari awal lagi!


"Tsugiyama, aku mahu mempelawa engkau kembali kepadaku."


"Benarkah begitu, Hagiura-sama?"


"Untuk apa pula aku main-main? Aku hanya percayakan engkau. Engkau sudah terlalu lama berkhidmat kepada keluargaku, sejak bapaku mula mewarisi jawatan daimyonya."


"Arigatou, Hagiura-sama!" Pantas Tsugiyama menunduk hormat. Dia fikir hanya dengan cara ini sahaja hidupnya akan stabil, dengan pendapatan stabil, dalam era yang huru-hara begini. Berapa ramai samurai di luar sana yang terpaksa berkelana mencari pekerjaan baru. Tidak kurang yang merompak dan melakukan kegiatan lain seperti menjadi tentera upahan. 


Dengan kembalinya aku kepada Hagiura, lebih mudah untuk aku memujuknya menyewakan kepadaku Goro, hayabusanya itu. Sebentar, simpananku masih belum mencukupi untuk menyewanya. Mungkin aku harus menunggu beberapa minggu lagi. Dengan adanya Goro, aku pasti akan dapat menjejaki Takasaki, menangkapnya dan mendapatkan pulangan lumayan dari Hagiura atau Hamada. Selepas itu, aku mahu bersara di kampungku. 



Novel: Kaisenjyo (Bab 23)

 BAB 23


“Tatsuya, dapatkan berita dari orang-orangmu di Kisennuma. Aku yakin perempuan itu sedang ke sana.” Lelaki berhappi sagi itu mengarahkan salah seorang pengikutnya.

 

“Baik, Tsugiyama-san!” Balas Tatsuya.

 

**

 

“Nakatsu, apa perancanganmu sebenarnya?” Mariko bertanya malam itu.

 

“Aku hanya mahu melihat mereka berjaya mengharungi cabaran sebenar berdua. Bertarung bersama jantina lawan. Menghadapi musuh sebenar. Aku maklum pemburu Chisato masih berada di pekan pedagang berdekatan kampungnya.”

 

“Bukankah itu bahaya?” Mariko sedikit meninggikan suara, tidak bersetuju dengan tindakan Takasaki.

 

“Sabar. Bukankah telah aku katakan pengintipku di mana-mana? Komunikasi aku dan pengintipku menggunakan merpati. Mereka ada di mana-mana; sebagai pekerja kedai ramen, sebagai pembawa kereta jerami, dan sebagai sami di kuil Shinto. Mereka pasti selamat.”

 

“Tempoh hari Azusa melaporkan padaku yang mereka berdua senyap-senyap bertemu di malam hari di hutan buluh. Katanya mereka berlatih bertarung tanpa pengetahuan kita sejak sekian lama.” Mariko melangkau ke topik lain pula.

 

“Aku sudah tahu, Mariko. Aku sukar tidur malam, engkaupun tahu. Sejak Ryouji datang ke sini, dia mengambil tempatku di taman bonsai, maka aku mengalih tempat berdiamku di pondok merpati di atas pokok shirakaba yang di pinggir hutan buluh itu. Suatu malam, aku ternampak mereka lalu terus memerhati dari atas. Azusa seringkali mengintai dan Ryouji nampak seperti maklum akan Azusa. Dia sekali sekala melihat ke arah belukar di mana Azusa bersembunyi."

 

Mariko terpegun. Begitu cekap Takasaki memerhati penghuni-penghuni di rumah itu.

 

“Nakatsu, mengapa engkau menghalang pertarungan antara jantina? Adakah disebabkan pergaduhan Azusa dengan Kobato dahulu?”

 

“Aku tidak pernah menghalang. Aku ada menetapkan beberapa peraturan tetapi tidak bermakna ia tidak boleh disanggah atau didebatkan oleh mereka. Mereka perlu patuh akan tetapi sekiranya keadaan memerlukan sebaliknya, mereka boleh berbincang denganku."


"Bukankah itu akan memanjakan mereka? Melatih mereka agar mudah memberontak sekiranya keinginan tidak dipenuhi? Bagaimana mendisiplinkan mereka jika peraturan dilonggarkan dan boleh didebatkan?"


"Kelonggaran itu tidak memanjakan mereka, Mariko. Aku mahu mereka belajar mempersoal, bukan menurut membuta tuli. Ryouji adalah pelajar pertama di sini yang berani mengadapku meminta ‘membenarkan’ pertarungan antara jantina. Dia memberikanku alasan yang amat wajar. Aku perlukan keberanian sebegitu."


"Mengapa bukan Funazuki, sedangkan aku tahu benar Funazuki amat ingin bertarung dengan Kobato? Sehinggakan Kobato telah meninggalkan kita pun, Funazuki masih belum membuka mulut."


"Kerana pergaduhan dengan Kobato dahulu? Mungkin mereka masih gentar dengan Kobato dalam diam."


"Mariko, mereka sudahpun dewasa. Pergaduhan sewaktu kecil itu berlaku lama dahulu. Azusa dan Saki masing-masing sudah kuat setelah bekerja melombong belerang. Aku yakin mereka tidak lagi gentar dengan Kobato."


"Aku fikir Mariko,  Azusa dan Saki kurang dorongan bagi mempersoalkan peraturanku. Kerana mereka tidak pernah merasa kesusahan di dalam dunia kembara. Mereka hanya hidup di sini dan melombong belerang. Mereka tidak tahu kepentingannya lantas tidak terdorong. Mereka mahu mencabar diri dengan bertarung dengan Kobato, namun mereka tiada dorongan yang kuat.”

 

“Mariko, jika kita tandus golongan yang berani seperti Ryouji, pembaharuan yang dilakukan Maharaja ketika ini tidak akan menjadi realiti, atau mungkin berkubur dalam satu dua tahun sahaja.”

 

Mariko mengiyakan kata-kata Takasaki di dalam hati. Takasaki seorang yang demokratik. Pemikirannya seperti orang-orang Inggeris dan Belanda yang pernah aku temui, sewaktu belajar di England dahulu.

 

“Aku menyaksikan mereka berdua sekian lama. Mariko, apa kau fikir berkenaan mereka?” Takasaki melangkau ke topik lain pula.

 

“Seperti pinang dibelah dua. Sangat cocok.”

 

“Bukan, maksudku, perwatakan. Apakah engkau fikir penghuni di rumah ini telah banyak berubah sejak kedatangan beradik Okuhida itu?” Takasaki mahu mendengar pendapat Mariko.

 

“Ryouji berbakat pemimpin. Sejak dia sampai ke sini setahun lebih lalu, banyak yang berubah. Penghuni rumah yang dingin kini saling berinteraksi. Tsuneki dan Shinji sebelumnya payah benar membuka mulut kini ringan benar mulutnya membuka bicara. Kobato pun. Mungkin kerana jurang umur mereka. Ryouji seorang yang berumur muda tetapi berkematangan sebaya Kobato. Malah, sejak Ryouji tiba, Chisato sudah mula mempamerkan kemahiran sebenarnya ketika bertarung.”

 

“Chisato juga begitu. Namun aku melihat peranannya lebih kepada ibu kepada semua penghuni wanita di sini. Mungkin kerana fizikalnya yang paling tinggi. Sehinggakan Funazuki yang kelelakian itu pun tergerak olehnya, bahkan menghormati Chisato.”

 

“Apa perancanganmu sekiranya aku tiada, Mariko?”

 

Mariko terdiam sebentar. Mengapa engkau bertanyakan soalan ini?

 

“Aku cuma bertanya sahaja. Ajal maut di tangan kami, bila-bila masa sahaja kami akan mencabutnya.”

 

“Mungkin aku mewariskan kepada mereka berdua, Ryouji dan Chisato untuk menguruskan rumah ini dan penghuninya. Kita tiada anak. Merekalah anak-anak kita. Aku akan khabarkan kepada Kogen agar mereka diserap masuk ke dalamnya.”

 

“Aku pun fikir begitu. Chisato dan Ryouji yang paling sesuai.”

 

“Sebentar, Nakatsu. Bagaimana pula dengan Funazuki bersaudara? Bukankah tapak rumah ini asalnya tapak kuil di bawah seliaan keluarga mereka?”

 

“Sebetulnya mereka tiada apa-apa hak lagi ke atas tanah ini. Keluarga mereka sendiri berpindah ke seberang Sungai Miya, kerana mahu memudahkan pelawat mengunjungi kuil mereka. Sebelum ini, pelawat perlu menyeberang sungai tersebut untuk ke tapak kuil lama di sini. Jika air pasang, mereka tidak dapat menyeberang.”

 

“Namun itu keputusan yang sukar untuk keluarga Funazuki, kerana pelawat-pelawat tidak lagi dapat ke onsen. Namun akhir-akhir ini, permintaan terhadap belerang semakin meningkat, mungkin sedikit melegakan mereka.”

 

Takasaki masih risau. Dia memiliki ramai musuh yang sedang menanti untuk memenggal kepalanya. Dia tahu, rumah perlindungan itu dilindungi tama-no-iwa (monolith of the spirits / batu semangat) yang diletakkan di puing kuil Shinto lama di kawasan hadapan rumah itu. Namun, tama-no-iwa akan runtuh jua apabila dia meninggal dunia, dan para penghuni rumah tersebut harus melindungi diri mereka sendiri.

 

Jika aku merancang meninggalkan rumah ini kepada mereka semua, aku harus melatih mereka sehingga jurus kesembilan. Atau, aku mungkin terpaksa meminta Kogen memindahkan mereka ke tanah tinggi Shirasaka di utara. 

 

**

 

Mereka sampai ke sebuah kuil Shinto ketika hari hampir malam. Kuil itu terletak di atas bukit dan mereka harus mendaki anak tangga. Tangan kanan Ryouji masih kaku, dan kaki kiri Chisato masih tercedera. Namun dia tetap memapah Chisato mendaki anak tangga yang tinggi itu menuju ke puncaknya.

 

Tidak seperti kuil-kuil Shinto lain, kuil itu besar, seperti kawasan rumah perlindungan mereka. Bahagian kuil menempati satu pertiga dari keseluruhan kawasan. Selebihnya adalah rumah tumpangan dan kawasan onsen. Namun, tidak ramai yang menginap di kuil tersebut pada malam itu. Persekitarannya amat bersih menunjukkan ia dijaga rapi.

 

Ryouji bertemu penjaga kuil itu, seorang wanita berusia lima puluhan yang memakai kimono berwarna biru, diiringi pembantu-pembantunya, wanita-wanita belasan tahun yang memakai yukata putih dan hakama berwarna merah. Tidak seperti kuil lain, kuil ini dijaga oleh wanita sahaja. Wanita tua itu menerangkan dia hanya menjaga rumah tumpangan dan onsen, kuil ini dijaga oleh seorang sami wanita Shinto bersama pembantu berhakama merah itu. Ryouji dan Chisato diberikan sebuah bilik yang luas.

 

Sami wanita itu tiba kemudian dan merawat kaki Chisato. 


Jika bukan kerana sumpah hayabusa, mungkin aku sudah berjaya melakukan jurus kedua tanpa mencederakan Chisato. Mungkin ini pengajaran besar buatku. Bisik hati Ryouji.

 

“Anak dari mana?"

 

“Kami dari Hidagawa."

 

“Kamu berdua pasangan suami isteri?"

 

Kedua-dua mereka merah padam mukanya, sambil menjawab hampir serentak “Iye, fuufu jya arimasen. Koibito dake desu.(kami bukan pasangan suami isteri).”

 

Sami wanita itu tersenyum simpul.

 

“Jadi, tidak mengapakah bagi kami berdua bermalam di bilik yang sama? Atau kamu, Okuhida-san, mahukan bilik berasingan?”

 

“Tidak mengapa. Hanya satu bilik mencukupi.” Ryouji memberitahu penuh yakin. Chisato malu seraya memalingkan muka.

 

“Ogasawara-san, aku sudah selesai mencuci dan mengubati lukamu. Lukamu agak dalam juga. Berehatlah.”

 

“Terima kasih, obaa-san (mak cik).” 


Doumo. (sama-sama).”

 

Setelah kelibat sami perempuan itu benar-benar hilang dari pandangan, Chisato mula bertanya soalan-soalan yang masih bermain di fikirannya.

 

“Ryouji, apa yang berlaku siang tadi sebenarnya?”

 

“Aku tidak tahu Chisato. Tanganku tiba-tiba kaku, lantas aku tidak sempat menggerakkan pedangku ketika engkau bergerak.” Ryouji berpura-pura tidak tahu.

 

“Engkau tidak mahu memeriksa keadaanmu dengan obaa-san?

 

“Tidak mengapa. Tanganku mungkin kekejangan sahaja.” Sekali lagi, Ryouji cuba menyembunyikan perkara sebenar.

 

Chisato dapat menghidu Ryouji sedang menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya melihatkan matanya mengelak pandangannya ketika dia menafikan. Dia nampak Ryouji keletihan dan tidak mahu mendesaknya bercerita.

 

“Ryouji, engkau nampak amat lesu. Pergilah berehat.” “Engkau pun, Chisato.”

 

Oyasuminasai, Chisato.” “Oyasuminasai, Ryouji.”

 

Ryouji tidak menafikan. Memang benar. Jurus kedua mengeluarkan banyak tenaga sepertimana yang telah dinasihatkan oleh Takasaki. Percubaannya untuk menguji keberkesanan jurus itu memakan diri. Mujur sahaja tiada aral melintang selepas kejadian di pekan tadi. Jika tidak, mungkin dia dan Chisato dengan mudah dikalahkan oleh sesiapa sahaja yang bertarung dengan mereka selepas kejadian itu.

 

Aku akan menggunakan jurus ini di masa akan datang hanya ketika tiada lagi cara lain untuk menumpaskan musuhku, fikirnya. Namun itu juga bergantung sekiranya aku ada regu dan regu itu telah dilatih seperti Chisato. Lupakan saja jika aku berseorangan.

 

Dia melihat Chisato. Chisato di sebelahnya, bagaikan mimpi! 


Dia dan Chisato berbaring bersebelahan namun dipisahkan dengan jarak sedepa, dan mereka berbaring di atas tatami berasingan. Bilik itu mengadap sebuah taman, dipisahkan dari mereka oleh sebuah pintu gelangsar, dan sebuah lagi pintu gelangsar memisahkan mereka dari koridor. Memikirkan Chisato di sebelahnya, hatinya berdebar-debar. Mereka saling mencintai, namun masih belum bersedia. Lagipun, aku dan dia amat lesu hari ini. Mungkin di hari lain...

 

Aku sebenarnya ingin sekali menggembirakan Chisato dalam tempoh ini. Kerana mungkin ini kembara terakhir kami berdua. Aku tidak tahu bila aku akan mati sebelum umur kedua puluhku. Kerana tanda-tanda sumpahan itu sudah mula muncul. Aku amat tidak menyangka kejadian hari ini menjadikan kembara kami sebuah kembara yang menyakitkan.

 

Mungkin aku harus cuba lagi esok...


Novel: Kaisenjyo (Bab 22)

 BAB 22


Berjalan kaki sememangnya memenatkan. Tambah-tambah lagi jika cuaca cerah dan suhu yang suam. Ketika mereka sampai di sebuah pekan pedagang, mereka bercadang untuk berhenti berteduh di sebuah kedai ramen untuk meminum air.

 

Terdapat beberapa orang lelaki yang sedang duduk melepak di kedai itu. Ryouji dan Chisato masih tidak mengangkat topi kon mereka. Mereka duduk dan memesan air minum sahaja. Sekali sekala mata Ryouji meninjau di balik topi kon, kalau-kalau kedapatan seseorang yang mencurigakan.

 

“Chisato, aku fikir kita tidak perlu lama di sini.” Ryouji memberi isyarat menunjuk, sembunyi-sembunyi, ke arah kumpulan lelaki tersebut.

 

Chisato diam, sesekali mengintai. Dia terkejut, salah seorang dari lelaki itu ialah orang yang pernah mengejarnya dahulu bersama adiknya.

 

Namun Chisato masih tidak faham mengapa Ryouji mencurigai mereka. “Mengapa Ryouji?”

 

“Jika tidak silap mereka ini berkhidmat kepada Hagiura.”

 

“Hagiura?”

 

“Ya. Hagiura adalah daimyo yang memerintah wilayah di mana kampung Tsuneki terletak iaitu Yozehama dan bertanggungjawab ke atas wabak taun Yozehama akibat tindakannya membuang air sisa ladang ternakannya ke dalam sungai. Masih tiada tindakan diambil ke atasnya."

 

"Dia juga memerdagang gadis-gadis sebagai karayuki. Tsuneki ada memberitahuku kerapkali dia terserempak dengan kumpulan lelaki dengan simbol itu di kampungnya mengangkut anak-anak gadis untuk dijual.” Ryouji menunjuk ke arah simbol berbentuk burung pucung atau sagi, yang menjadi tatu pada leher mereka beserta simbol sama yang mencoraki lengan kimono dan belakang happi mereka.

 

“Bagaimana engkau tahu mereka berkait dengan Hagiura?”

 

“Simbol sagi itu ialah simbol keluarga Yoshitsugu. Keluarga penipu dan penindas, dan pembunuh.” Mata Ryouji dipenuhi api kemarahan ketika mengujarnya. “Aku beruntung ditempatkan di rumah perlindungan itu, Takasaki bukan setakat menempatkan pelbagai karya di dalam perpustakaan besarnya bahkan segala hasil-hasil siasatan pertubuhannya. Dia tidak menyembunyikan malah berkongsi dengan kita. Aku berterima kasih dengan Shinji yang menghafal selok-belok perpustakaan itu.”

 

Bahkan Chisato, mungkin engkau tidak perlu atau tidak ingin tahu, tetapi Hagiura itu juga anak kepada Hamada, daimyo Shinagawa yang telah bersubahat merancang membunuh bapaku. Aku pasti, meskipun bukti yang kuada mengarah kepada Sonzaemon, bahawa Hamada juga terlibat. 

 

Mereka lekas keluar dari kedai itu selepas membayar minuman. Ryouji harus bergegas demi keselamatan Chisato. Dia tidak mahu kejadian lepas yang menimpa dirinya dan Hisamiko berulang.

 

Namun, setelah beberapa langkah meninggalkannya, mereka ditahan salah seorang dari lelaki-lelaki itu. “Chotto matte, omaera! (kalian tunggu sebentar!)” Lelaki yang melaungkan kata-kata itu nampak seperti seorang yang berumur lima puluhan dan bertubuh sedang. Dia memakai happi bercorak sagi di belakangnya, dan memiliki janggut putih.

 

Mereka berhenti, namun tidak menoleh. Mereka menunggu lelaki itu meneruskan kata-kata. Di belakang lelaki itu ialah tiga orang lelaki lain, barangkali pengikutnya. Mereka semua adalah lelaki-lelaki dari kedai ramen itu!

 

“Aku seperti pernah melihat kalian, terutama perempuan itu!” lelaki berjanggut itu menyambung sambil menunjuk ke arah Chisato.

 

Chisato mulai gugup. Tangannya sudah memegang pedang pendek atau tantou, terketar-ketar.

 

Tangan Ryouji pula sudah di hulu katananya, bersedia menarik dari sarung bila-bila masa sahaja.

 

“Oh, ya. Baru kuingat. Engkau Chisato bukan? Anak Minoru, yang telah membunuh rakanku di jeti. Engkau semakin cantik sekarang.”

 

Chisato tersentak. Rupanya benar sangkaannya selama ini bahawa libasan pedangnya di jeti itu telah membunuh manusia. Dia benar-benar gugup. Dia langsung tidak berniat, dia hanya melibas bagi menyelamatkan adik-adiknya. Dia harus melakukannya dengan pantas kerana jika tidak, adik-adiknya bakal dijual dan dia tidak akan menemui mereka kembali. Mereka ramai dan aku hanya seorang, lagi pula wanita. Jika aku lambat pada ketika itu, mungkin aku juga turut ditangkap. 


Chisato serba salah. Adakah dia perlu mengakui kesalahannya dan menyerah diri sahaja? Bagaimana dengan Chiho dan Chinami nanti jika aku tiada?

 

Namun aku hanya ingin menyelamatkan maruah adikku. Aku tidak fikir ingin membunuh sesiapapun pada hari itu. Sebentar, bukankah aku telah nekad semasa meninggalkan rumah, bahawa aku akan membunuh jika perlu? Apakah aku bersalah? Apakah aku seorang yang membunuh sewenangnya? Aku bingung!

 

Nanda? (mengapa?) Engkau telah bertukar bisu setelah membunuh kawanku?!” bentak lelaki itu tiba-tiba. Orang ramai di kaki lima kedai-kedai di tepi mereka mulai berkerumun menyaksikan kekecohan itu.

 

“Chisato, bertenang. Aku ada di sini. Engkau tidak membunuh sewenangnya. Jika aku di dalam situasi tersebutpun aku pasti akan mengambil tindakan sama.” Ryouji cuba menenangkan Chisato.

 

“Bapaku pernah berpesan di zaman ini, kadangkala engkau harus memutus untuk membunuh. Tiada cara lain, kerana engkau wajib memutus pada saat genting itu atau insan tersayangmu tidak lagi kembali. Tiada cara lain Chisato.”

 

Chisato, kita di era baru. Sedikit demi sedikit, kuasa Maharaja dikembalikan, undang-undang akan ditegakkan. Namun sehingga saat di mana ia ditegakkan sepenuhnya, kita harus bertindak sendiri.

 

Percayai aku, Chisato!

 

Ryouji berpusingan dengan pantas menghayun pedangnya seperti pusaran air laut, cuba menelan sesiapa sahaja yang berada di pinggirnya. Orang ramai kaget, seraya menjauhi mereka.

 

Hayasugi! (amat pantas!)” salah seorang dari lelaki itu berteriak, terpesona dengan kepantasan Ryouji.

 

Pusingan Ryouji itu mengelilingi Chisato. “Chisato, ikuti aku! Ingat latihan kita di hutan bambu! Jurus kedua, ayuh!”

 

Chisato terpana sejenak. Mengapa jurus kedua? Bukankah jurus pertama sudah memadai? Adakah Ryouji sengaja mahu berlatih jurus kedua di saat genting sebegini?


Jurus kedua ialah satu-satunya jurus kaminari-no-kaze yang memerlukan regu.

 

Tidak mahu berfikir panjang, Chisato cuba mengamati dan menyerap gerakan Ryouji ke dalam mindanya. Dia mengamati gerakan pantas Ryouji yang sedang mengelilinginya, kemudian mencapai tangan kiri Ryouji dan berpusingan mengikutnya. Tangan kanan Ryouji sedang memegang pedang.


Tidak semena-mena tangan kanan Ryouji kaku ketika masih berpusar. Pedangnya terlepas dari tangan, dan terjatuh. Disebabkan mereka masih dalam berpusar, betis kanan Chisato terkena mata pedang itu sedikit. Darah mengalir dan berhamburan seperti titisan hujan meninggalkan pusaran yang dibentuk duo itu. Chisato kesakitan seraya tersungkur, melepaskan pegangan ke atas tangan Ryouji. 

 

Ryouji tersentak. Tangan kanannya yang memegang katana itu kaku tiba-tiba. Adakah ini sumpah hayabusa? Mengapa sekarang?! Mengapa ketika nyawaku di hujung tanduk engkau datang, sumpah hayabusa?! 


Disebabkan tanganku kaku, aku terlepaskan pedang itu tiba-tiba dan tidak dapat mengelak betis Chisato lantas mencederakannya. Aku perlu berhenti sekarang. Aku perlu mengambil pedang itu menggunakan tangan kiriku.

 

Ribut Ryouji terhenti. Empat orang penyangak itu mendekati mereka dengan katana terhunus.

 

“Setakat itu sahajakah kemahiranmu?” lelaki berjanggut dengan happi bercorak sagi menyambung bicara yang tergendala dek ribut Ryouji. “Engkau mencederakan rakanmu sendiri?” Mereka ketawa berdekah-dekah.

 

Ryouji kaget. Dia ada Chisato yang sedang tercedera. Darah mengalir semakin deras dari betis Chisato membasahi tanah berdebu di tengah-tengah pekan pedagang itu. Dan masa begitu suntuk. Empat lawan dua. Bukan, empat lawan satu! Dan satu yang harus aku lindungi.

 

Demi Chiho dan Chinami. Aku harus fikirkan strategi baru. Bertenang Ryouji. Perhatikan mereka betul-betul. Sasaran mereka Chisato. Seorang dari mereka sedang berdendam dengan Chisato. Sekiranya Chisato terbuka, habis!

 

Ryouji menunduk perlahan-lahan sambil matanya ligat memerhati sekeliling, cuba mengambil pedangnya yang telah dilepaskan ke tanah menggunakan tangan kirinya sedang tangan kanannya masih kaku. Dia pantas mengangkat pedang itu, dan memegangnya melintang, cuba mencari lokasi. Matanya masih melilau. Mereka pastinya berpecah. Dia memusing-musing bilah bagi memantul pandangan di belakangnya. Dua orang di belakang sedang bersedia untuk menyerangnya.

 

“Chisato, guna pisaumu, potong kain umanori, baluti betismu. Maafkan aku. Aku sepatutnya menggunakan jurus pertama. Aku fikir ini peluang terbaik mempraktikkan jurus kedua denganmu, namun aku silap! Gomenasai, hontou ni! (aku benar-benar meminta maaf!)”

 

Chisato menurut. Ryouji mendapati dua orang di belakangnya semakin dekat melalui pantulan bilah, lantas melibas katananya ke belakang. Mereka berundur. Sebentar, di mana dua orang lagi?

 

“Ryouji, belakangmu!” Chisato menjerit. Mendengarkannya, tanpa melihat dahulu, Ryouji menyambung libas katana ke belakangnya, masih menggunakan tangan kirinya yang bukan tangan dominan. Dua orang lagi penyangak yang sudah bersedia memenggal Ryouji, mengundur laju. Mujur, jika tidak mungkin perut mereka sudah dirobek. Ryouji membawa pedang bapanya dalam kembara kali ini atas nasihat Takasaki. Ini kerana pedang bapanya bermata. 

 

Gila, gila! Mereka berani untuk membunuhku! Ya, mereka orang-orang keluarga Yoshitsugu, ia sudah pasti. Aku tidak mahu menumpahkan darah selagi boleh. Aku bukan seperti mereka. Aku hanya mahu melindungi diriku dan Chisato. Disebabkan itu aku bertarung berhati-hati seperti kejadian lepas di Furukawa. Boleh sahaja aku memenggal kepala mereka satu persatu menggunakan kaminari-no-kaze jurus pertama sahaja. Namun aku tidak mahu membunuh, dan hanya bertarung demi seseorang yang harus aku lindungi. Chiho dan Chinami bergantung kepadanya. Hisamiko memerlukannya. Dan aku mencintainya. Aku atau dia, kedua-dua kami tidak boleh mati sekarang.

 

Aku tiada pilihan.

 

Dia masih berhati-hati, menghunus pedangnya sambil mengundur ke arah Chisato.

 

Ryouji menyuarakan perancangannya kepada Chisato sedang matanya masih mengekori musuh-musuhnya. “Chisato, aku tidak boleh menggunakan tangan kananku sekarang. Aku tidak pasti kenapa. Kita akan tetap melakukan jurus kedua, namun dengan cara berlainan, lain dari latihan kita."


"Ryouji, mengapa engkau tidak gunakan jurus pertama sahaja?"


"Tanganku kaku. Aku tidak yakin dengan tangan kiriku."


"Chisato, kita tidak akan berpusing bersama-sama, hanya aku yang akan berpusing mengelilingimu. Engkau perlu bertinggung di atas tumit kaki kirimu, dan lunjurkan kaki kananmu yang tercedera untuk melancarkan pengaliran darah. Aku tidak pasti sama ada cara ini akan berjaya atau tidak, namun kita harus mencuba. Hulurkan tangan kirimu."


Chisato melakukan seperti perancangan Ryouji, tangan kirinya memegang tangan kanan Ryouji. Ryouji mula berpusingan di sekeliling Chisato berpusatkan tumitnya, semakin lama pusaran itu semakin pantas dan membina momentum, menghamburkan debu-debu tanah di sekeliling mereka dan menyukarkan lelaki-lelaki itu mendekati mereka. 


Semua yang berada di situ menjauhi mereka, termasuk empat penyangak itu. Mereka tidak dapat membezakan Chisato dan Ryouji kerana pusaran yang dibentuk terlalu pantas.

 

Kaminari-no-kaze. Jurus kedua – pusaran membinasa. Jurus kedua adalah jurus pertama yang dicipta Miura dan memberi ilham kepada nama seni tersebut.

 

Taufan seringkali melanda Jepun setiap kali penghujung musim luruh, di kawasan pesisirnya. Namun taufan di tengah-tengah Kansai pada musim bunga adalah suatu keanehan. Atap-atap bumbung kedai berterbangan di sekeliling mereka. Angin halilintar atau kaminari-no-kaze, adalah seni pertarungan ciptaan Miura dan Takasaki yang mengambil perumpamaan dari gerakan angin yang pelbagai. Angin taufan, puting beliung dan ribut, digabungkan dengan kepantasan kilat dan halilintar, membentuk kumpulan gerakan yang pantas dan membinasakan. Ia terbahagi kepada sepuluh jurus utama. Setakat ini Ryouji hanya menguasai setakat enam jurus pertama.

 

Dilihat dari atas, pusaran itu tampak seperti in dan you, saling memerlukan, saling menguat. Pusaran itu semakin besar dan bergerak jauh meninggalkan pekan itu.

 

Ryouji tidak menyangka dia berjaya melakukannya. Jurus kedua kini adalah satu realiti. Lagi enam jurus hanya diketahui secara teori dan latihan kendiri, dan dia belum pernah mengeluarkannya dalam dunia nyata menentang musuh sebenar. 


Namun memikirkan kembali, adakah ini yang Takasaki mahukan? Agar aku berlatih di dunia nyata menghadapi musuh sebenar? Dan agar aku mengeluarkan jurusku bersama Chisato? Agar dia yakin aku boleh melatih jantina lawan dan sekaligus membenarkan pertarungan rentas jantina?

 

Mereka kini kembali di tengah laluan bendang yang jauh dari pekan itu, berdekatan Kisennuma.

 

“Ryouji, terima kasih. Jika bukan kerana engkau berada di situ, mungkin aku sudah ditangkap mereka.”

 

Doumo. Aku minta maaf Chisato."


"Iye, betsu ni. Luka ini sudahpun kering Hanya luka kecil."


Mereka menumpang sebuah kereta kuda yang melintas yang sedang mengangkut jerami, meneruskan perjalanan ke kuil Shinto terdekat yang ada penginapan. Balutan umanori pada kaki Chisato yang tercedera akibat terkena sedikit hirisan pedang Ryouji sudah mula kering. Ryouji mengoyak sedikit kain umanorinya.


Ryouji membuka balutan itu perlahan-lahan. Chisato mengaduh kesakitan. 

 

“Maafkan aku Chisato.” Ujar Ryouji sambil membuat balutan baru. 

 

Ryouji terpegun seketika melihat betis Chisato yang putih itu kemudian memandang ke arah lain. “Nande (mengapa), Ryouji?”

 

Iye... nandemo (Tiada apa-apa).”

 

Chisato tersenyum kecil sambil berkata, cuba mengusik, "Ryouji no ecchi! (Ryouji miang!)"


Ryouji merah padam.


Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...