Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.

 

Maka dengan ini, telah sempurnalah sebuah novel trilogi bertajuk Kaisenjyo, selepas berhempas-pulas selama hampir empat tahun, dari Ogos 2020 hingga Julai 2024. Aku bersyukur kerana masih belum dijemput ajal sehingga berjaya menerbitkan buku terakhir iaitu Yoru-no-kaze ini. Rezeki aku, dan kalianlah agaknya.

 

Aku tidak pernah terfikir akan menulis sebuah novel trilogi sepanjang ini. Mulanya aku menulis kerana mahu menjualnya. Kemudian berharap dapat membina nama, dan diupah syarikat agar menerbitkan lebih banyak karya yang menguntungkan dan akhirnya mampu berhenti dari kerja sekarang dan menyara hidup sebagai novelis. Itu adalah daya gerak utama mengapa aku menulis pada mulanya.

 

Namun dalam hari demi hari menulis itulah, aku semakin kenal diri dan akhirnya mengubah hala tuju. Aku fikir, aku menulis kerana mahu meninggalkan legasi. Dan di dalam legasi ini terkandung apa yang aku pelajari dari sebuah kehidupan yang singkat, untuk dikongsikan kepada generasi sekarang dan akan datang.

 

Idea Kaisenjyo ini sebenarnya telah bermula lama sejak 2018 lagi, namun ditangguh-tangguh kerana aku masih belum berminat menulis. Selepas pandemik, dan dipaksa syarikat kembali bekerja di kantor, aku mula berfikiran alangkah baiknya jika aku dapat berhenti dari kerja dan persekitaran yang membosankan dan merimaskan introvert seperti aku ini. Maka terbitlah rasa mahu mencipta untung sendiri, dengan menjual cerita, dan akhirnya aku pun mula menulis pada Ogos 2020, dan menerbitkan Buku 1 sedikit demi sedikit bermula Februari 2021.

 

Tidak dinafikan aku rasa gembira bila kiraan baca naik, namun pabila aku menyelidik berkenaan novel-novel yang laris di pasaran, aku rasa Malaysia belum bersedia menerima novel seperti yang aku tulis ini. Pasaran Malaysia, para pembeli dan pembacanya masih lagi hanya berminat dengan genre cinta, seram dan sejenisnya. Aku akui, aku tak mampu menulis genre-genre begini. Aku boleh mempelajarinya, namun aku tidak berminat. Dari situ, aku dapati minatku hanya pada menulis genre fantasi yang ada kaitan dengan sejarah, iaitu fiksyen fantasi sejarah, atau menulis perkara serius sahaja. Maka aku memutus, aku hanya akan menulis apa yang aku minati, dan persetankan cita-cita mengejar untung. Persetankan pasaran Malaysia.

 

Lalu kalau menulis kerana minat, apa gol akhirku? Jika wang pun bukan gol, apa gol sebenar aku? Sesuatu yang telah menuntut pelaburan masa dan tenaga yang begitu besar mestilah ada manfaatnya, jika tidak sesuatu itu hanyalah perkara sia-sia. Jika bukan wang, maka aku fikir mesej adalah manfaat yang boleh diterapkan ke dalam novel ini. Maka aku cuba terapkan mesej dan cantikkan dan perjelaskannya, cuba jadikan mesej itu sedekat mungkin dengan pembaca, supaya bukan setakat pembaca pada era ini sahaja yang boleh memanfaatkannya, tetapi anak dan cucu dan cicit pembaca itu juga.

 

Mesej paling besar dari trilogi Kaisenjyo ini ialah keburukan perang. Tiada kebaikan walau secebis pun dari peperangan, kecualilah pada pihak yang mengambil manfaat dari perang itu, seperti Belanda contohnya. Namun kebaikan itu hanya akan dinikmati oleh segelintir, sebahagian besar jiwa yang terlibat akan merana. Aku terapkan perang antara Yamato dan Emishi, antara sesama Yamato sendiri, dan juga antara individu (Ryouji dan lainnya, Hisamiko dengan lainnya). Selain itu, aku turut menjual apa yang aku percaya: bahawa kebaikan akan sentiasa mengatasi kejahatan. Juga, aku turut canangkan bahawa kita sebagai manusia sentiasa diberi pilihan, namun kadangkala kita tidak mampu memilih apa yang lebih besar manfaatnya kepada masyarakat kerana kita perlu mempertahankan pilihan yang melebihkan diri kita, itu adalah antara kelemahan utama manusia.

 

Sepatutnya penulisan novel ini tidak perlulah memakan masa sehingga empat tahun. Namun disebabkan aku tidak gemar memaksa diri, dan menulis dalam santai, ia memakan masa sehingga sepanjang itu. Aku belajar sesuatu sejak menulis; bahawa ada tiga rukun yang mesti dipenuhi jika engkau mahu menulis: iaitu masa, mood dan idea. Aku percaya tanpa salah satu dari ketiga-tiga rukun ini, engkau tidak akan mampu menulis. Inilah yang memanjangkan masa pembikinannya.

 

Selepas tamatnya novel ini, aku jujurnya rasa seperti sudah hilang segala beban menyelesaikannya. Mula memang aku fikir menulis ini menggembirakan, di mana bila engkau berjaya mencipta penyelesaian untuk satu-satu masalah yang timbul, seperti masalah plot. Namun bilamana novel ini jadi terlalu panjang, kadangkala aku rasa terbeban juga. Apapun, novel ini sudah tamat dan aku harus bergerak ke depan, kerana sebenarnya ada lebih kurang lapan novel lain yang sedang aku kerjakan sekarang. Aku berharap dengan sokongan berterusan dari para pembaca Portal Cinta Ilham yang menaikkan kiraan baca, akan terdoronglah lagi diriku untuk terus memuatnaik lebih banyak karya-karya ke sini.

 

Akhirkata, terima kasih semua di atas sokongan kalian. Sayounara!

 

meddmenov

 

“MEnakluk Dunia Dengan Menulis NOVel”

 

 

 

 

 

 

 

Novel: Yoru-no-kaze (Bab 69 - Akhir)

Ryouji dan Hisamiko berjaya menumpang sebuah kereta kuda pengangkut barang dagang di Nakasendo. Mereka terpaksa berhenti dan menyambung menggunakan kereta kuda lain di sepanjang perjalanan, pabila diekori polis. Mereka berhenti di banyak hentian sepanjang Nakasendo untuk mandi dan mendapatkan bekalan makanan.

 

Selepas dua minggu, mereka akhirnya sampai dan bersembunyi buat sementara waktu di lembah Okuhida. Namun penemuan mayat Koichi di sebelah kubur Ayame, yang kini sudah tinggal rangka dalam yukata, mengejutkan mereka. Benarlah Koichi telah meninggal dunia.

 

Mereka mengebumikan rangka dan yukata Koichi itu bersebelahan kubur Ayame.

 

“Aneh onii-san.”

 

“Mengapa?”

 

“Bagaimana mayatnya boleh reput sedangkan lembah ini tiada kehidupan.”

 

“Mungkin serangga dibenarkan memasukinya. Engkau pernah mengejar kunang-kunang di sini, bukan?”

 

“Oh, betul juga.”

 

“Aku ingin melakukan sesuatu di tiang batu itu. Engkau boleh mengambil angin di sana dahulu.” Ryouji menuding ke arah sebatang pokok momiji biru yang penuh dengan kesan torehan. Ia torehan yang sering dilakukan Koichi, demi mengeluarkan resinnya, membekukannya dan menjualnya. Resin itu juga digunakan Shinji dalam ramuan pedangnya.

 

“Baiklah.” Hisamiko tidak berlengah seraya berlalu ke arah pokok itu, berteduh di bawahnya. Ryouji ke tiang batu Okuhida yang berwarna putih itu, dan meletakkan tangannya pada tanda bulat, dan membaca mantera yang pernah diajar Koichi.

 

Serta-merta, sekelilingnya menjadi gelap. Muncul satu titik cahaya putih dan keluarlah suara.

 

“Okuhida Ryouji, engkau menyeruku?”

 

“Ya. Mengapa engkau hanya muncul sebentar tempoh hari? Aku belum sempat bertanyakan engkau.”

 

“Jika aku menawarkan jawapannya pada hari itu, sudah pasti engkau tidak akan datang ke sini.”

 

“Mengapa engkau mahu aku datang ke sini?”

 

“Kerana Koichi. Dia mati di sini. Demi menjawab soalanmu pagi itu, tentang bagaimana dia mati.”

 

Ne, kami-sama. Beritahu aku apa yang telah berlaku pada Hisamiko? Apa maksud dia tentang gelora itu?”

 

“Seperti yang kukatakan, kalian telah mendapat pecahan kuasa hayabusa puak Shirasaka.”

 

“Apakah gelora yang diperkatakan Hisamiko itu berbahaya?”

 

“Ya, jika engkau mahu tahu jawapannya. Hisamiko kini adalah petarung yang tidak akan dikalahkan sesiapa. Kecuali jika seseorang mampu mencipta senjata yang menyekat kepantasannya.”

 

“Seperti bom? Atau jaring?” Ryouji teringat yang Ayame ditewaskan oleh bom, dan Hisamiko pernah dijaring penjenayah dahulu.

 

“Mungkin. Namun dengan latihan yang cukup, mereka boleh mengelak semua itu.”

 

“Jadi...jadi... apakah yang kau boleh cadangkan agar dia tidak menggunakan kuasa itu?”

 

“Halang dia dari bertarung. Cegah dia dari diprovokasi terutama tentera Maharaja yang sedang mengejar kalian. Ryouji, berhati-hati dengan adikmu.”

 

“Apakah ia turut memberi kesan kepadaku?”

 

“Ya. Dengan kalian memegang penuh kuasa hayabusa, engkau tidak akan dimamah rusuhan tenaga lagi pada jurus sembilan kaminari. Sedang Hisamiko dia akan mampu naik ke jurus kesepuluh, seperti Shirasaka Ayame.”

 

“Ryouji, jika engkau tidak mengawal adikmu, kalian adalah dua malapetaka yang paling bahaya kepada Jepun sekarang.”

 

Sejurus selesai perbualan, bintik cahaya itu menghilang, kegelapan menyingsing lalu dan Ryouji kembali ke alam nyata. Dia memandang Hisamiko yang sedang berteduh di bawah pokok momiji biru. Dalam hatinya dia berkata, kami tidak boleh berada di sini lagi. Lari sejauhnya, atau Hisamiko akan membunuh tentera Maharaja dan menambahkan masalah di sini.

 

Mulanya Ryouji berfikiran mahu tinggal di situ bersama Hisamiko dan bersembunyi dari Maharaja untuk selama-lamanya kerana tentera Maharaja tidak boleh memasuki lembah itu, namun melihatkan lembah itu tiada apa-apa kehidupan dan sumber makanan, dia membatalkan hasratnya. Mereka menyusup keluar dan bersembunyi di lembah Amaguri yang terletak berhampiran lembah mereka.

 

Ryouji memandang ke arah tapak di mana pokok gergasi yang menelan Ayame itu pernah berdiri. Ia hanya tinggal tanah yang baru ditumbuhi rumput muda. Ryouji sebak mengenangkan nasib Ayame.

 

Mereka ke bahagian batu-batu putih disusun membulat dan menggunakan teknik yang pernah ditunjukkan Shinji. Portal ke perpustakaan Kogen dibuka, dan mereka menuruni dan menyusur terowong portal itu sehingga ke perpustakaan Kogen.

 

“Kaho-san!” Tegur Hisamiko dengan suara perlahan tapi keras, dari balik celah rak buku. Kaho sedang tekun membaca sebuah buku di mejanya.

 

Kaho menoleh, matanya membulat mendapati Hisamiko ada di situ.

 

“Hisamiko!”

 

“Shhh!” Hisamiko memberi isyarat diam. Kaho menurut.

 

Hisamiko datang menghampiri. Namun Kaho cepat meluahkan fikirannya, “Ne, Miko. Apa kaubuat di sini? Mati engkau kalau orang Maharaja nampak, tahu tak? Seluruh Jepun sedang mencari kalian, tahu?”

 

“Aku perlukan bantuan kau.”

 

“Bantuan? Hisamiko, ini tempat paling akhir kau boleh minta bantuan. Kogen sekarang di bawah Maharaja. Orang baginda ada di mana-mana di sini.”

 

“Namun bantuan itu hanya ada di sini.”

 

“Bantuan apa?”

 

Ryouji menyampuk tiba-tiba dari belakang, “Hubungi Shinji. Kami perlukan bantuannya.”

 

Kaho memandang Ryouji dengan wajah terkejut. Dia menelan liur. “Miko, kau tak cakap abang kau ada sekali.”

 

“Maaf, aku mahu beritahu kemudian tapi dia menyampuk pula.”

 

“Okuhida-san, ohisashiburi. Berkenaan permintaanmu, maaf, aku tidak mahu dituduh bersekongkol dengan pelarian Maharaja.”

 

“Sekurang-kurangnya, bolehkah engkau bantu hubungi isterinya?”

 

“Aku tak mahu.”

 

“Kaho, aku harap kau faham. Bukan niat kami membantu pemberontak. Kau tahu bukan kenapa kami disalahfaham pihak Maharaja? Kami terpaksa melepaskan Chisato dan Chiho kerana mereka dianiaya Ayame-san. Mereka dikerah menyertai perang di luar kawalan diri sendiri, namun mereka berjaya melepaskan diri dan lari ke pelabuhan. Kami membantunya mendapatkan kapal. Apakah engkau faham?”

 

Kaho terdiam. Dia mengenali Chisato dan meskipun dia kurang rapat, dia berasa kasihan dengan Chisato yang terlantar sejak memasuki Kogen dan kisah silamnya yang diketahui dari rakan-rakannya. Sekali-sekala dia ada berbual dengan Chisato dan padanya, Chisato seorang yang lemah lembut dan menyayangi adik-adiknya. Bahkan ramai ahli perempuan di Kogen-no-shita menganggap Chisato seperti kakak besar mereka kerana umurnya.

 

“Kaho, kami merayu. Hanya engkau satu-satunya saluran kepada Shinji. Dan hanya perpustakaan ini saluran yang terhubung kepada kami. Kami tahu bahaya berada di sini.”

 

Kaho mengeluh dan mengalah, “Aku cuba. Kalian dari portal itukan?”

 

“Ya, portal Hidagawa, lembah Amaguri.”

 

“Kalian tinggal di sana dahulu. Namun aku nasihatkan kalian usah lama-lama di sini. Aku bimbang andai wakil Maharaja tahu...habis kerjayaku.”

 

Esoknya, Shinji turun ke tingkat bawah dan bertemu Ryouji dan Hisamiko selepas menyusur portal. Dia memeluk Ryouji dan masing-masing bergurau senda seperti biasa sebelum Ryouji menceritakan tujuan sebenarnya ke lembah Amaguri itu.

 

“Agak sukar juga mengatur semua itu. Namun aku akan cuba demi engkau Ryouji.”

 

“Engkau tak takutkah dengan wakil Maharaja?” Soal Ryouji, agak kaget dengan semangat dan keberanian luar biasa Shinji.

 

“Aku tak takut!” Tegas Shinji. “Ini Shinjilah. Usah kau risau, Ryouji, Hisamiko.”

 

Arigatou, Takeuchi-san.” Hisamiko tunduk hormat pada Shinji, Shinji tersipu-sipu malu dan ditampar bahunya oleh Ryouji.

 

“Kau tak payah nak malu-malu dengan adikku!” Sergah Ryouji. Shinji hanya ketawa kecil.

 

“Bukan malu, tapi adikmu makin cantik sekarang.” Balas Shinji memuji gatal. Hisamiko hanya menjeling namun senyumnya dapat dilihat, terhibur barangkali dengan keletah Shinji.

 

“Shinji, barangkali ini pertemuan kita yang terakhir. Paling akhir.” Ryouji menekan kata-katanya. Matanya merenung sahabatnya itu dalam-dalam seolah mahu merakamkan benar-benar wajah Shinji demi memori.

 

“Ah kau ni. Nanti kita akan bertemu lagilah! Bukankah aku akan bertemu kalian lagi pada hari kalian bertolak meninggalkan sini?”

 

“Oh ya. Betullah tu.” Ryouji menepuk dahi.

 

“Apapun Ryouji, boleh aku bercakap sesuatu denganmu?”

 

Ryouji mengisyaratkan kepada Hisamiko yang mereka mahu berbincang sesuatu. Hisamiko beredar jauh sedikit dari mereka.

 

“Aku dengar dari Shiori, engkau menghantar Chisato dan Chiho ke pelabuhan? Disebabkan itu kau dikejar Maharaja?”

 

“Benar.”

 

“Jadi kau betul-betul bertemu Chisato?”

 

“Yalah. Kenapa?”

 

“Erm, Ryouji. Maafkan aku.”

 

“Kenapa kauminta maaf?”

 

“Aku terbocorkan rahsia engkau. Aku telah berjanji takkan beritahu Chisato yang kau masih hidup. Tapi aku fikir aku harus beritahu dia. Dia mendesakku selepas mendapat tahu aku keluar ke Gero bertemu kau.”

 

“Maknanya dia tahu yang aku masih hidup sejak sekian lama. Namun memilih untuk tidak menyambung cintanya selepas tahu aku sudah berkahwin.” Gumam Ryouji.

 

“Ya benar. Maafkan aku terbocorkan rahsiamu Ryouji! Chisato terlalu memaksa. Entah siapa yang membocorkan rahsia aku keluar ke Gero kepadanya!” Ujar Shinji dengan penuh geram.

 

“Ah, tak perlu minta maaflah Shinji. Semua itu sudah pun berlalu.”

 

“Jadi, Ryouji. Bagaimana dengan pertemuan kalian? Apakah berlangsung dengan baik?”

 

“Dia sudah hilang kewarasan. Adiknya Chinami terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Maharaja.”

 

Sou ka... Chinami-chan ka...

 

“Dia menyebut-nyebut namaku. Namun dia tidak berperlakuan normal. Chiho menariknya dariku. Aku fikir ada baiknya begitu. Mudah dia melepaskanku.”

 

“Dan dengan mendiang binimu yang bernama Kiku itu, engkau sudah pulihkah?” Soal Shinji penuh simpati terukir pada wajahnya merenung Ryouji.

 

“Sedikit. Amat sukar melupakan Kiku. Namun selepas semua ini, aku hanya mahu melarikan diri sejauh-jauhnya. Mungkin di Kyushu nanti ada sinar harapan baru.”

 

Mereka beredar tidak lama kemudian. Shinji berpatah balik ke Kogen. Shinji akan menentukan hari sesuai mereka boleh keluar dari lembah Amaguri dan menunggu di Nakasendo, iaitu pabila tentera Maharaja sudah reda sedikit pencarian mereka dan berundur. Dalam tempoh masa sehingga hari itu tiba, Shinji menghantar bekalan makanan kepada Ryouji dan Hisamiko senyap-senyap di waktu malam, dengan bantuan Kaho dan Shiori.

 

Pabila hari yang sesuai tiba, Shinji menggunakan jaringan pengangkut barang Kogen yang dibina selepas bertahun bekerja di Kogen. Pengangkut barang itu disogok dan Ryouji dan Hisamiko hanya perlu menunggu di satu kawasan sebelum mereka menumpangnya. Shinji yang bekerja di makmal Kogen sekian lama, juga bertanggungjawab menjaga inventori barangan mentah maka dia telah membina jaringan dengan para pengangkut barang yang ramai, seperti yang pernah dia rasuahkan baju besi itu dan juga yang pernah ditumpangi sewaktu melawat Ryouji di Gero dahulu.

 

Shinji bertemu mereka berdua buat kali terakhir pada hari mereka dibenarkannya keluar dari lembah Amaguri. Pada hari itu, Shinji menghadiahkan Ryouji seekor burung merpati kecil yang boleh digunakannya untuk menghantar khabar. Shinji juga berjaya memindahkan simpanan Ryouji dan Hisamiko warisan bapa mereka dari akaun mereka ke akaun baru di bawah nama palsu, supaya mereka berdua dapat mengeluarkan wang di Kyushu nanti tanpa dijejaki tentera Maharaja, dan tanpa mereka terkesan dengan pembekuan aset oleh Maharaja.

 

Ryouji dan Hisamiko berjaya melepaskan diri dari pengejaran tentera baginda, dengan menyamar, sehingga mereka sampai ke hujung Honshu, di Shimagane. Di sana mereka meneruskan perjalanan merentas Selat Shimonoseki dengan menaiki feri, sehingga ke pulau Kyushu. Dan di Kyushu, mereka berkejaran menumpang sana menumpang sini sehingga ke Nagasaki. Di Nagasaki, mereka melepaskan merpati yang dibekalkan Shinji, demi menghantar khabar mereka sudah selamat tiba di sana.

 

Shinji yang menerima merpati dan khabar yang diikat pada kakinya, membuka surat itu dan membacanya. Air mata kegembiraan mengalir. Segala usahanya tidak sia-sia. Namun air mata itu juga mengandung seribu satu kesedihan. Shinji yakin dia tidak akan menemui Ryouji lagi, buat selama-lamanya. Buat selama-lamanya.

 

Selamat jalan, sahabatku!

 

**

 

“Seiji, bagaimana dengan mereka?” Soal Maharaja kepada pembantunya.

 

“Oh, Koisou dan Sarumichi selamat memastikan mereka naik ke atas feri, Heika. Berita dari pengintip kita di Shimagane baru sampai tadi dengan merpatinya. Mereka hampir terdedah di jeti feri Shimagane, namun semuanya berjaya dibereskan.”

 

“Ceritakanlah.”

 

“Ryouji dan Hisamiko hampir terdedah ketika sedang membeli tiket feri ke Kyushu. Sarumichi dan Koisou mendapat tahu penjual tiket itu cuba melapor kepada pengintip kazoku, namun Sarumichi dan Koisou sempat menyogoknya agar menutup mulut.”

 

“Baguslah. Dan mereka sudah aturkan seseorang memerhatikan penjual tiket itu?”

 

“Ya, Heika. Seseorang yang amat dipercayai mereka.”

 

“Di mana Sarumichi dan Koisou sekarang?”

 

“Seperti perintah Heika, mereka mengikut beradik Okuhida itu ke Kyushu.”

 

“Bagus. Peringatkan mereka agar tetap pada perintahku: mengelakkan sebarang provokasi antara beradik Okuhida itu dengan tenteraku dan mana-mana pengintip kazoku. Kerana provokasi hanya akan mendedahkan mereka pada umum.”

 

“Perintah dijunjung, Heika.”

 

Maharaja mengusap-usap dagu. Baginda masih tidak sedap hati selagimana Ryouji dan Hisamiko terdedah kepada pengintip kazoku dan tenteranya, sehinggalah mereka berdua benar-benar tersembunyi. Baginda teringat dalam dua bulan Hisamiko dan Ryouji berada di Tokyo sebelum ini, mereka menjalankan tugas melindunginya dengan penuh dedikasi. Ada beberapa insiden cubaan membunuh baginda yang dilakukan bekas pengikut Yoshinobu dan juga Saisho yang menyelinap masuk ke istana, namun dipatahkan dengan mudah oleh duo itu. Ketiadaan beradik Okuhida itu satu kehilangan yang tidak mudah digantikan. Namun baginda perlu menghilangkan mereka dari Tokyo sekarang, kerana desakan kazoku yang mendapat berita mereka membantu pemberontak, dan demi kuasa yang dipegangnya juga demi reputasi baginda. Baginda tidak sanggup mereka dibunuh oleh jasa-jasa yang telah duo itu taburkan. Baginda sedar mereka bukan penderhaka, mereka membantu Chiho dan Chisato kerana mereka itu rakan mereka dan beradik Ogasawara itu telah disihir Ayame. Mereka bukan penderhaka seperti Ayame, getus baginda.

 

Beta akan terpaksa lebih kerap berkurung dalam istana ini, keluh baginda dalam hati. Siapa lagi yang mampu melindungi beta secekap mereka.

 

“Erm, Heika.”

 

“Ada apa?”

 

“Patik ingin melaporkan, Sarumichi dan Koisou ada bertembung dengan ahli Kogen yang membantu Ryouji dan Hisamiko keluar dari Hidagawa sehingga berjaya ke Shimagane.”

 

“Siapa?”

 

“Mereka pengangkut barang Kogen. Kata mereka, mereka diupah Takeuchi Shinji.”

 

“Oh... bawa Takeuchi- itu ke sini.”

 

“Heika, apa yang Heika mahu lakukan ke atasnya?” Soal Seiji cemas.

 

“Engkau fikir beta mahu menghukumnya? Tidak! Beta mahu memberikan ganjaran!”

 

“Oh, oh. Baik, perintah dijunjung, Heika!” Ujar Seiji penuh lega.

 

**

 

Angin samudera bertiup lembut menyejukkan pelipis dan menerbangkan rambut mereka berdua. Ryouji dan Hisamiko menggeletar kesejukan. Berlayar pada musim sejuk memang mencabar. Mereka mengenakan topi kon dan menutup separuh bawah wajah agar tidak dikesan mana-mana pengintip Maharaja di atas feri itu. Di belakang mereka, gunung-ganang San’yo membarisi Shimagane yang kini kian menjauh dan berbalam-balam. Ini kali terakhir mereka dapat melihat pulau tempat mereka dilahirkan, pulau Honshu. Mereka tidak akan dapat kembali lagi, sekurang-kurangnya pada era Maharaja kini. Mungkin jika umur mereka dipanjangkan, mereka akan kembali ke sini, itupun jika Maharaja sekarang mangkat dan puteranya mengampunkan mereka.

 

Ryouji berperang dengan bisikan-bisikan dalam dirinya ketika merenung laut. Dia merasakan segala apa yang diusahakan untuk Hisamiko kini seolah sia-sia, seolah tiada hasil langsung, seolah ketentuan Tuhan itu lebih mendahului. Semakin dia cuba mengelakkannya, semakin Hisamiko dekat dengan ketentuan itu, bahawa dialah Kaisenjyo, bahawa dialah pembunuh yang tidak akan dikalahkan. Maka persoalan yang sama berulang-ulang dalam kepalanya; apa gunanya menjadi manusia yang berakal, andai usaha jadi sia-sia? Andai ketentuan dalam hidup ini sudah pun tertulis, buat apa menabur usaha? Apa maknanya semua ini?

 

Namun kata-kata Inspektor Kasukabe kembali menerpa benak, yang maknanya lebih kurang begitu, yang dia sudah lupa ayat tepatnya.

 

“Dengan belajar dari kegagalan, kita akan lebih faham bagaimana permainan Tuhan. Kita akan lebih bijak menanganinya di masa akan datang.”

 

Ryouji hanya mampu menyimpulkan, bahawa menjadi manusia itu hanyalah dengan berusaha dan menghadapi kegagalan dan berusaha lagi, belajar dari kegagalan itu dan menambahbaik. Dia memandang ke hadapan, daratan yang berbalam-balam kian jelas dengan gunung-ganangnya yang perang di musim sejuk.

 

Onii-san. Lihatlah, itu Kyushu. Kyushu!” Hisamiko bersorak girang.

 

Ryouji hanya mampu tersenyum. Mungkin di Kyushu masih ada harapan. Walau apapun permainan Dia, aku yakin suatu hari nanti aku pasti akan memahaminya, dengan syarat aku berani menghadapi kegagalan demi kegagalan, dan belajar darinya dan menambahbaik.

 

Walau sudah berkali-kali aku ‘dipermainkan’-Nya. Dia senyum lagi, dengan keyakinan dan kekuatan baru terbit di ufuk hati.


**TAMAT**

Novel: Yoru-no-kaze (Bab 68)

“Demikianlah kisahnya bagaimana Ayame-san dibunuh.” Saionji, shugenja yang dipertanggungjawabkan meronda lembah Amaguri dan Gunung Kogen, menamatkan perkhabarannya kepada Koichi berkenaan apa yang berlaku kepada Ayame selepas masuk ke lembah Amaguri itu selepas dikejar tentera Maharaja.

 

“Maafkan aku, Koichi-san. Aku hanya memerhati dari atas pokok dan bersembunyi dan tidak melakukan apa-apa, seperti arahanmu. Maafkan aku!”

 

“Tak perlu meminta maaf Saionji. Engkau telah menuruti segala arahanku. Dan arahanku itu adalah arahan dari baginda juga.” Meskipun berat. Aku terpaksa melakukannya.

 

Saionji meminta izin beredar dari lembah itu, demi meneruskan tugasnya meronda Gunung Kogen, dan Koichi membenarkan. Koichi turut beredar, keluar dari lembah Amaguri itu dan terus berkuda ke lembah Okuhida.

 

Sebaik tiba di lembah itu, dia berjalan menuju ke tiang batu putih Okuhida. Di sebelah tiang batu itu bersemadinya Ayame. Sudah dua bulan Koichi berulang-alik begini dari Kogen ke lembah Okuhida demi melawat kubur Ayame. Semakin hari, dia semakin lama dan kerap ke sini. Jika dahulu hanya seminggu sekali, namun kini, dia akan datang seminggu tiga kali. Kogen telah diserahkan beransur-ansur kepada majlis yang dilantik Maharaja. Ryouji sudah pun berpindah ke Tokyo bersama Hisamiko. Ryouji enggan mewarisinya.

 

Apa boleh dilakukan, getus Koichi. Aku tidak menyalahkan Ryouji atas pilihannya. Dia menerima tugas membunuh Ayame dariku dan dari baginda agar dia mendapat habuan dari Maharaja, dan salah satunya ialah rumah di Tokyo. Lagipun, melihatkan keadaan Kogen yang semakin berpecah-belah dan ramai yang tidak bersetuju dengan perlantikannya, adalah lebih baik dia tidak menerima jawatan itu. Aku memilih Ryouji kerana keperibadiannya. Namun tidak sekali-kali aku menyangka, hanya aku yang kenal Ryouji. Rata-rata mereka di sini tidak kenal Ryouji meski namanya diketahui ramai ahli Kogen, mungkin mereka hanya kenal pada namanya. Disebabkan itu, mereka enggan menerima Ryouji menjadi pemimpin mereka. Mereka mengenali aku lebih dari itu, sebelum aku menjadi ketua Kogen lagi, aku berkecimpung sebagai pengintip dan membina jaringan dengan banyak penjaga rumah perlindungan. Ryouji mungkin ada melawat banyak rumah perlindungan sewaktu misinya, namun itu misi menghukum, bukan membina jaringan dengan penjaga rumah.

 

Aku tidak tahu siapa lagi yang boleh dipercayai selain Ryouji demi mewariskan Kogen. Namun sekarang masalah itu sudah pun diselesaikan. Maharaja sudah pun mengambilalihnya. Biarkanlah baginda dan perdana menterinya bertungkus-lumus mentadbir dan mengubah Kogen. Aku hanya mahu bersara. Aku hanya mahu bersama Ayame. Sekarang aku sudah pun berjaya menyerahkan hampir seratus-peratus tugasku kepada penjawat baru, iaitu wakil yang dilantik Perdana Menteri Ito. Lagi beberapa hari, akan diadakan majlis bagi meraikan perpisahan dan persaraanku dari Kogen. Ah, andai masih ada Tsubomi dan Ayame. Namun siapa lagi yang ada. Aku tidak ada ahli keluarga lagi. Aku adalah ahli terakhir puak Shirasaka. Aku mahu berseorangan di lembah ini sehingga hari matiku.

 

Koichi menyapu daun-daun dan lalang kering yang bertaburan di atas batu hampar di atas kubur Ayame dengan tangannya. Di tengah hamparan itu adalah nisan bertuliskan nama Ayame dalam kanji. Koichi merenung batu itu lama, seolah cuba memanggil roh Ayame agar datang mempersilakan dirinya.

 

Sejak dua bulan lalu, entah berapa kali dia mengulangi perbuatan itu. Pabila dia merenung dan perlahan-lahan matanya terpejam, segala memori bersama Ayame kembali bertandang ke benak. Namun memorinya terlalu sedikit. Memori yang banyak bertandang adalah memori yang berkait dengan kerjayanya sebagai pengintip Kogen. Dengan memori yang sedikit, mana mungkin seseorang boleh kekal hidup dalam sanubari meskipun dia sudah lenyap dari pandangan mata. Dengan memori yang sedikit, ia diulang-ulang berkali-kali sehingga membosankan dan memualkan. Hanya yang berulang-ulang itu memori dia duduk-duduk melayan celoteh Ayame di bawah pokok di sebelah pejabatnya. Dia mendengar namun tidak mendengar. Dia mendengar namun yang kedengaran hanyalah masalah-masalah Kogen yang dibincangkan dalam Majlis Tertinggi, menanti buah akalnya dikeluarkan. Pabila disoal Ayame dia hanya ber’hah’, ‘ya’, atau ‘wakatta’ atau ‘souka’. Sehingga patah-patah jawapan itu sudah dihafal dan dihafal juga bila waktu yang tepat untuk dikeluarkan agar Ayame tidak merasakan bahawa jawapan itu sekadar jawapan kosong yang tiada makna apa-apa. Bahkan intonasinya juga mestilah nampak bahawa patah-patah itu dikeluarkan dari hati dan bersungguh dan bukannya sekadar lafaz di mulut.

 

Tsubomi sesungguhnya adalah isteri yang tidak dimahukan. Ia adalah isteri yang dipaksakan ke atasnya oleh Omi yang mahukan zuriat, meskipun dia enggan berkahwin pada ketika itu. Dan ia berturutan kepada Ayame, yang juga anak yang tidak dimahukan. Selepas pemergian Tsubomi, Koichi menyesal kerana mengabaikannya. Namun Koichi tidak mengambil pengajaran dari itu. Meski dia mengambil pengajaran sekalipun, Ayame sudah liat dan sukar dilenturkan lagi. Ayame sudah dewasa ketikamana dia menjadi penjatuh hukuman bunuh. Koichi sudah terlambat mendidiknya. Yang tinggal pada waktu itu hanyalah satu matlamat; iaitu Ayame yang dicop sebagai ‘penyakit’ Kogen mesti dihapuskan sebelum ia melarat. Namun dia enggan, kerana jauh di sudut hati dia terlalu menyayangi Ayame. Hanya satu sahaja yang mampu memaksanya membunuh Ayame, iaitu Maharaja. Meski begitu, dia masih tidak sanggup melakukannya dengan tangannya sendiri. Maka Ryouji dan Hisamiko diupah melakukannya.

 

Apakah manusia boleh mengubah ketentuan-ketentuan Tuhan? Soal Koichi dalam hatinya. Jika semuanya sudah tertulis, seperti ramalan Amaguri itu, maka apa maknanya usaha dan ikhtiar? Apa maknanya menjadi manusia yang berakal di dunia ini? Aku sudah cuba mengelak dari takdir-takdir itu selepas mengetahuinya, namun bagaimana otou-san masih mampu memaksakan jodoh ke atasku dan aku pula ditelan paksaan itu? Pastinya ada campur tangan Tuhan bukan? Dan ia berlarutan sehingga lahirnya calon Kaisenjyo dari keturunanku sendiri yang aku sudah lama ingin elakkan dari ia berlaku. Jika benar Tuhan memberikanku pilihan, mengapa aku disibukkan dengan Kogen sedangkan aku patut menumpu pada keluargaku dan mendidik Ayame?

 

Apakah semua yang telah berlaku ini salahku, atau salah Tuhan yang telah mentakdirkannya ke atasku?

 

Aku tidak tahu jawapannya. Apa yang kutahu, takdir itu sudah pun berlaku dan ia sudah pun tamat, sekurangnya pada saat ini. Maka isyarat darinya jelas di sini, Ayame bukanlah Kaisenjyo. Kaisenjyo pasti akan datang dari keturunan lain, seperti Okuhida, atau jika aku melahirkan zuriat lagi, dari keturunanku. Namun jika aku mati sekarang, bukankah yang tinggal hanya Okuhida sahaja? Bukankah Kaisenjyo akan datang dari kalangan mereka jika itu kesudahannya?

 

Alangkah baiknya jika aku mati sekarang. Dengan matinya diriku, bebaslah aku dari takdir Dia yang sungguh tidak aku fahami. Lagipun apa gunanya hidup lagi, kerana hidupnya aku di dunia ini hanya akan meneruskan ramalan itu walau apa sekalipun usaha yang aku lakukan. Permainan Dia paling sukar sekali kutelah dan kuelakkan, meski sekuat mana sekalipun usahaku. Maka Tuhan, cabutlah nyawaku sekarang. Aku mohon, Engkau tamatkan penderitaanku ini.

 

Koichi begitu dalam menghayati doa dan ratibnya di depan nisan Ayame itu, sebelum tiba-tiba dirasakan ada pedih pada dada belah kirinya. Pedih itu mencucuk seperti mata pedang menerjah ulu jantung, mulanya sakit pada satu titik, namun merebak bak akar pisang, menjalar dari kiri dada, ke bahu dan hujung lengan dan ke perut dan ari-ari dan menuruni sehingga ke peha dan kakinya. Seluruh anggotanya menjadi kejang, tangannya memagut dada kiri. Koichi membulat mata, dia terlentang ke atas rumput, matanya menjegil menentang langit biru. Wajahnya dari putih bertukar biru, mata putih memenuhi bebola mata sedang mata hitam sudah ke atas. Jasadnya kaku dan membiru dan kejang  dan mengeras, tidak semena-mena nafasnya terhenti, dengan mulut menganga, mata terbuka.

 

**

 

“Huah!” Hisamiko bangun mengejut dari futon-nya, gebar diselak. Peluh memercik membasahi ubun-ubun. Rambut panjangnya yang mengurai diselak ke belakang bahu. Yukata putih yang dipakainya lencun di bahagian dada dan leher.

 

Dia bingkas bangun dan bersandar pada dinding. Pintu gelangsar dibuka, membenarkan bayu malam sejuk musim sejuk menderu masuk, mengeringkan peluhnya. Selepas beberapa ketika dia berehat, dia merasakan tidak semena-mena satu lonjakan tenaga menderu dari dada hingga ke kepalanya. Dia berasa sungguh bertenaga dan seolah mahu melompat keluar dari bilik itu terus terbang ke gunung dan menghamburkan api ke seluruh kota Tokyo. Hisamiko menyarungkan yukata biasanya, dan mencapai pedangnya, dia berlari keluar dari rumahnya.

 

Ryouji yang berada di bilik sebelah dan tidak tidur, sejak tadi menyedari Hisamiko bangun tiba-tiba dan bila dia keluar sahaja, Ryouji turut bergegas keluar cuba mengejar adiknya. Hisamiko sudah hilang ditelan pekat dinihari.

 

Pada waktu itu juga Ryouji merasakan kekuatan luar biasa mengalir dalam jasadnya. Dia naik ke jurus kesembilan demi mengejar Hisamiko, dan dirasakannya peningkatan ke jurus itu terlalu mudah berbanding biasa. Dia tidak tahu dan enggan memikirkannya lebih-lebih kerana dia lebih memikirkan Hisamiko.

 

Dia dapati Hisamiko sedang bertenggek di atas sebatang dahan tinggi pokok keyaki yang sudah gugur semua daunnya. Malam dingin musim sejuk mencengkam tulang, namun Ryouji menahan diri demi adiknya, dia redah kesejukan itu dan cuba memanjat pokok tersebut. Namun belum pun dia cecah dahan tersebut, Hisamiko terjun menjunam dan mendarat di atas tanah. Ryouji mengeluh, dia turun perlahan-lahan.

 

Hisamiko sudah memecut berlari meredah hutan konifer di pinggir Tokyo. Ryouji mengejar dengan jurus tinggi menyedari Hisamiko menggunakan kaminari. Namun dia kembali diselubung kegelapan hutan konifer, meski fajar sudah mula menyingsing dan langit membiru. Dalam kegelapan itu dia ditendang Hisamiko dari belakang. Mereka bertarung dengan lengan sahaja, sehingga Ryouji yang keletihan dan mahu ia segera dihentikan, berteriak nama Hisamiko.

 

Hisamiko seolah disentak suara Ryouji yang menengking itu seraya terhenti. Mata hitamnya yang tadi membesar kian mengecil. Nafasnya mula mencungap sebaik dia ansur sedar.

 

“Apa dah berlaku, Hisamiko?” Ryouji memegang kedua-dua belah bahu Hisamiko yang berpeluh dan mencungap dan menggoncang-goncangkannya.

 

“Aku tak tahu. Tiba-tiba ada gelora dalam tubuhku ketika bangun tadi.”

 

“Gelora?”

 

“Aku teringin berperang dan bertempur tiba-tiba.”

 

Hisamiko dan Ryouji mendengar bunyi klik dalam benak mereka, dan sejurus itu, segala bunyi unggas malam di hutan itu juga apa-apa bunyi lain hilang sekelip mata. Pemandangan di sekeliling mereka gelap dan hitam dan ada satu bintik cahaya muncul di atas kepala. Mereka memandang ke atas.

 

“Wahai anak-anak Okuhida. Aku hayabusa-no-kami.”

 

“Apa yang kau mahu dari kami?” Soal Ryouji. Hisamiko masih mendengar suara Ryouji dalam situasi ini, selain suara semangat itu.

 

“Pewaris terakhir puak Shirasaka, Shirasaka Koichi baru sahaja meninggal dunia semalam. Dengan itu, enam persepuluh kuasa hayabusa diserahkan kepada kalian, puak Okuhida yang merupakan puak terakhir yang membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami. Kalian kini adalah pemegang penuh kuasa hayabusa. Dan calon Kaisenjyo adalah Okuhida Hisamiko.”

 

Chotto matte, kami-sama.”

 

“Sekian, Ryouji. Sayonara.” Sejurus itu bintik cahaya hilang dan kegelapan bubar, mereka kembali ke alam nyata. Bunyi unggas dinihari dan bayu bertiup kembali menerjah telinga.

 

“Koichi-san sudah meninggal dunia. Namun di mana? Dan bagaimana dia mati?” Soal Ryouji sendirian.

 

“Kita boleh tanyakan orang-orang di Kogen. Mereka pastinya tahu ke mana perginya Koichi-san paling akhir.”

 

Ryouji beralih pandangan ke arah Hisamiko. Segalanya terang kini. Dia faham kenapa Hisamiko tiba-tiba menyatakan berkenaan gelora. Ia pastinya kerana dia telah dicalonkan sebagai Kaisenjyo.

 

Omaera! Di sini kalian rupanya. Usah lari!” Kedengaran suara dari kejauhan. Kelibat tentera berkuda, dalam dua ke tiga orang di hujung hutan itu kelihatan berlatar dinihari yang biru gelap.

 

Hisamiko menarik tangan Ryouji seraya mengisyaratkannya agar mengikutnya berpusing. Ryouji tidak mampu berfikir panjang, dia mengikut sahaja permintaan Hisamiko dan mereka melakukan jurus kedua. Ribut yang berpusaran melontarkan pengejar mereka itu ke pinggiran hutan. Mereka pula telah keluar dari hutan itu menuju ke satu kawasan di celah gunung.

 

“Siapa mereka? Kelibat yang mengikut kita akhir-akhir ini seperti aduanmu?” Soal Ryouji. Mereka duduk berlindung di balik batu-batu besar di tepi sebatang sungai glasier. Hingar dari sungai itu boleh menabir suara mereka dari didengari sesiapa.

 

“Mungkin.”

 

“Hisamiko, jujur denganku. Engkau tahu bukan siapa mereka?”

 

Hisamiko diam.

 

Siapa yang mengintip kami? Aku boleh senaraikan satu-persatu kemungkinannya, getus Ryouji. Pertama, ahli Kogen yang tidak berpuashati denganku. Namun aku pun sudah lari dari sana dan Kogen sudah pun diuruskan Maharaja. Tidak ada maknanya mengejarku. Atau barangkali ada tentera atau pengintip Maharaja yang tahu Hisamiko telah menyelamatkan Chiho dan Chisato, yang terlibat dalam pasukan Ayame menentang baginda? Ya, itu kemungkinan yang amat kuat! Dan dari dalam gelap itu, aku perasan mereka berpakaian seragam polis. Polis tidak akan mengejar atau mengintip kami kecuali ada bukti yang sahih, itu etika kepolisan yang aku fahami dari Kasukabe. Oleh itu, mereka tidak akan mengintip kami hanya berdasarkan pemerhatian, sebagai contoh, mata-mata mereka nampak Hisamiko menghantar Chisato dan Chiho ke pelabuhan. Sesuatu bukti mesti dalam bentuk yang tidak boleh disangkal (incontrovertible proof), baru polis akan bertindak. Pastinya Hisamiko ada terlepas sesuatu, ketika menghantar Chisato dan Chiho.

 

“Hisamiko... apa kau lakukan di pelabuhan Wakayama?” Ryouji menekan lagi, kali ini dia cuba mengorek sesuatu yang paling hampir dengan tercetusnya intipan misteri demi intipan misteri yang mereka hadapi di Tokyo sejak berpindah ke sana dua bulan lepas. Ini kerana Hisamiko hanya berpisah dengannya ketika ke pelabuhan Wakayama itu sahaja. Sejak pertarungan dengan Ayame di lembah Amaguri, mereka sentiasa bersama sehingga menetap di Tokyo kini.

 

“Aku hanya menghantar Chiho dan Chisato nee-chan. Oh ya, aku gunakan duit simpanan kita sedikit membayar kapal mereka. Bukankah sudah aku beritahu itu?”

 

“Oh ya. Abang baru terdetik bertanyakan sesuatu. Tambang kapal itu bukannya murah. Tak kan kau membayarnya tunai?”

 

“Aku bayar dengan cek...”

 

Sebaik mendengarnya, mata Ryouji membulat, benaknya seolah baru dijentik pencerahan, “Itulah dia! Itulah silapmu, Hisamiko!”

 

“Mengapa? Apa silapnya?”

 

“Di atas cek itu kau ada tulis namamu bukan?”

 

“Ya.”

 

Ryouji menepuk kepalanya. Bukan dia menyalahkan Hisamiko sahaja, dia menyalahkan dirinya juga. Kerana melepaskan Hisamiko ke Wakayama itu juga cadangannya.

 

“Aku sudah dapat mengagak penyebab kita dijejaki. Pegawai sempadan akan menyimpan rekod setiap anak kapal di pejabat sempadan seperti di pelabuhan. Pembayaran dengan cek akan mendedahkan namamu dalam buku rekod butiran anak kapal sehinggalah cek itu ditunaikan. Jika pegawai di pelabuhan korup, namamu dan anak kapal yang dibiaya akan terdedah kepada pengintip Maharaja atau mana-mana pihak luar. Cek itu, adalah bukti yang tidak boleh disangkal dan sahih dan boleh digunakan polis sebagai asas untuk mengintip kita.”

 

“Mana onii-san tahu semua ini?”

 

“Aku pernah dibawa otou-san ke pelabuhan di utara (Laut Jepun) sewaktu kecil dan tahu bagaimana aktiviti mengangkut barang dan manusia di pelabuhan dilangsaikan.” Sepertimana Mitsuo selalu membawa Ryouji ke Furukawa, dia juga pernah membawanya melihat-lihat pelabuhan di utara yang merupakan nadi utama bekalan senjata Kogen.

 

“Mana mungkin pengintip Maharaja tahu Chiho dan Chisato-nee chan terlibat dalam pertempuran menentang baginda?”

 

“Nama semua ahli Skuad Sakura satu-satu telah dihantar kepada Maharaja oleh Kogen. Sedang tentera lain yang direkrut lewat oleh Ayame tidak ada dalam senarai itu.” Tambah Ryouji. “Aku tahu selepas perang berakhir, selepas aku selidik dalam pejabat Koichi. Juga aku dapat tahu, selepas pertempuran pertama di timur Nakasendo, Maharaja turut menghantar pengintipnya ke semua pelabuhan keluar masuk negara demi menangkap tentera Ayame dan Yoshinobu yang melarikan diri merentas hutan.”

 

“Maafkan aku onii-san. Tiket mereka mahal kerana dibeli di saat akhir. Aku terpaksa membayar dengan simpanan sekaligus terpaksa menulis cek itu...” Segera Hisamiko meminta maaf menyedari kesilapannya.

 

“Salahku juga, Hisamiko. Salahku juga menghantarmu ke Wakayama.” Ryouji mengeluh di hujungnya. “Apapun, perkara yang sudah berlaku tak perlu dikenang-kenang lagi.”

 

“Tak syak lagi, telahanmu benar onii-san.”

 

“Kenapa?”

 

“Aku perasan tentera yang kejar kita tadi memakai pakaian ala tentera Prussia, pastinya polis Maharaja.”

 

Ryouji mengangguk perlahan.

 

“Nampaknya kita kena melarikan diri dari Tokyo dan tidak akan kembali lagi ke sana. Menyerah diri kepada Maharaja hanyalah akan dihukum bunuh kerana membantu pemberontak. Kita akan berundur ke lembah Okuhida dahulu.” Cadang Ryouji.

 

“Dengan apa? Tak kan dengan berlari?”

 

“Selepas kita hilang penat di sini, kita akan ke Nakasendo. Di sana kita akan tumpang mana-mana kereta kuda.” Ryouji mencadangkan, melihatkan mereka baru sahaja melakukan jurus kedua yang memakan tenaga.

 

“Baiklah.”

 

“Hisamiko, engkau sudah tidak apa-apa? Pagi tadi engkau...”

 

“Aku tidak apa-apa, onii-san. Cuma aku bimbang andai ia berlaku lagi...”

 

“Usah kau risau. Rehatlah. Aku perhatikan sekeliling.”

 

**

 

“Tak guna!” Polis berpakaian ala tentera Prussia itu mendengus. “Mereka menggunakan kaminari pula.”

 

“Agak-agak ke manakah mereka akan lari, Kamimura?” Soal salah seorang dari pengikutnya, kepada pegawai yang mendengus itu.

 

“Mereka akan mencari pelabuhan. Mereka pastinya sudah tahu. Aku hairan, apa yang mereka takut sangat? Maharaja hanya mahu mereka dilokapkan dan disoalsiasat.”

 

“Jika takut, bererti benarlah mereka bersalah. Benarlah mereka membantu pemberontak lari dari sini.” Saenuma memberi pandangan.

 

“Jika benar begitu, hukumannya amatlah berat. Barangkali hukuman mati.”

 

“Aku fikir, mereka lari sebab rancangan engkau menggunakan pengintip itulah, Kamimura. Andai ditangkap terus, pastinya mereka tidak akan ada ruang melarikan diri. Bukti dari pengintip upahan kazoku itu sudah memadai untuk kita menangkap mereka.”

 

“Sepatutnya sudah berjaya ditangkap. Namun entah mengapa baru dua ke tiga hari lepas bukti itu tiba dan didedahkan. Selama dua bulan selepas perang itu, senyap saja. Entah apa punya lembab penyiasat upahan kazoku itu. Dengan dua tiga hari sahaja masa diberi, mana mungkin kita mampu menangkap mereka.”

 

“Barangkali harga upah tidak dipersetujui.” Saenuma mencadangkan. “Selalunya begitulah. Tak guna punya penyiasat. Fikir duit saja.”

 

“Yang menyukarkan kita ialah burung bangsat itu sentiasa ada. Jika pengintip kita mengintip gadis Okuhida itu pada jarak yang cukup jauh, beberapa saat selepas itu, pasti dia sudah tiada. Padahal jarak pengintip kita dari tempatnya agak jauh, dalam satu perenam ri. Aku tak fikir gadis itu boleh mengesan kita pada jarak itu. Dan pastinya ada burung itu terbang melintas depan mata pengintip kita!” Jelas Kamimura sambil menggenggam penumbuk, jelas dia geram dengan kegagalan menangkap Hisamiko berkali-kali.

 

“Kau yakin ke ‘ninja’ kita tu boleh tangkap dia jika diintip dari dekat?”

 

“Ninja kita tu tahu kaminari juga. Namun jika bukan kerana burung bangsat itupun, budak perempuan Okuhida itu sungguh peka seperti kucing! Pengintip itu juga tahu kaminari, mampu berlari lagi pantas dari ninja biasa. Namun masih juga terdedah pada pancainderanya!” Kamimura menggenggam penumbuk lagi menahan geram. “Maka kita tak boleh intipnya dari dekat.”

 

“Sebentar. Mengapa tak diminta sahaja berdepan-depan agar mereka menyerah diri? Burung itu takkan tahu dan curigakan kita jika guna cara baik. Selepas mereka leka, kita kepung dan jaringkan mereka.”

 

“Burung itu cerdik, Saenuma. Ia bukan calang-calang burung. Bahkan sangat pandai mengelak panah dan menyerang pemanah kita. Barangkali gadis itu telah berbincang dengannya dan memintanya menegah sekiranya wajah kita dan mana-mana polis cuba mendekatinya. Atau jika kita bersedia dengan jaring, akan diberitahu awal-awal kepada mereka.”

 

Saenuma mengeluh, “Bagaimana dengan abangnya? Peka seperti gadis itu jugakah?” Soal Saenuma.

 

“Aku tak rasa abangnya sepeka itu.” Jawab Kamimura. “Mungkin hanya adiknya sahaja, kerana yang kudengar, adiknya itu salah seorang dari calon Kaisenjyo. Namun mereka sentiasa bersama. Agak sukar sebenarnya. Mahu gunakan bom dan cederakan mereka agar tidak melarikan diri, berisiko membunuh mereka, sesuatu yang baginda tidak mahukan.”

 

“Nampaknya fikir panjang pun dah tak guna lagi. Mereka pun dah benar-benar lari dari kita. Sekarang kita perlu mencari di semua pelabuhan di Honshu ini.” Saenuma mengeluh di hujung ayat.

 

“Saenuma, kerahkan orang-orang kita berkawal di semua pelabuhan di barat Honshu.”

 

Ryoukai.”

Novel: Yoru-no-kaze (Bab 67)

Ia memakan masa sehari juga sebelum aku memutus mengetuai mereka. Abashiri tidak punya anak dan saudara maka tiada sesiapa yang menentang keputusannya menjadikan aku, orang Yamato, ketua mereka. Mungkin juga kerana ramalan Amaguri itu yang mereka taati seperti mentaati agama atau dikri Maharaja, menyelamatkanku dari menjadi tentangan mereka yang tidak berpuas hati – jika ada – dan juga membuatkan mereka sebulat suara menyokong keputusan Abashiri. Aku menjadi raja mereka secara rasmi selepas Abashiri meninggal dunia akibat sakit tua. Aku menyedari tanpa batu pemberian nee-chan itu, sudah pasti aku tidak akan bertahan di sini, sudah pasti aku masih di dalam pelarian. Sungguh engkau berjasa padaku, nee-chan.

 

Tahun demi tahun, aku membesar menjadi wanita dewasa sedang masih mengetuai mereka. Aku dipandu oleh Komori dalam selok-belok pentadbiran, dan Komorilah yang banyak membentuk jiwa pemimpinku selepas itu, sebagaimana dia pernah menasihati Abashiri. Kemudian Komori pergi selama-lamanya dan aku dibiarkan bersendirian mengemudi mereka. Aku tidak dikahwini kerana mereka menganggapku Tuhan. Bahkan mereka menyembahku. Mereka fikirkan aku jelmaan semangat raya hutan mereka yang mereka panggil Kamui itu.

 

Aku lewat menyedari akan hakikat kuasa kerana aku hanyalah seorang remaja bawah umur ketikamana tampuk ini disuguh kepadaku. Tetapi pabila mereka mula menyembahku, aku fikir tiada risiko untuk aku melakukan sedikit kekerasan. Mula aku memberanikan diri menjatuhkan hukuman mati ke atas kesalahan membocorkan rahsia kami kepada pengintip Yamato. Pembelot itu dipanah di hadapanku, dengan panah beracun, sebelum ia mati mulutnya mengeluarkan buih putih. Aku menahan trauma di jiwa melihatkan kematian di hadapanku, namun lama-kelamaan aku jadi terbiasa, jiwaku mengeras seperti lahar di kaki Gunung Iwate. Dari setia, mereka jadi takut denganku. Kata-kata dari mulutku adalah undang-undang segera. Namun aku tahu, pabila aku mula mengesan bibit-bibit pemberontakan, aku hapuskan bibit-bibit itu dan aku ringankan hukuman-hukumanku agar mereka tidak marah dan kekal setia dan kekal TAKUT.

 

Dengan momokan bahawa akulah Kamui Besar, akulah raja, dan akulah yang patut ditakuti, memimpin mereka menjadi mudah. Aku mengekalkan keamanan dan mereka membiak dan bertambah bilangan. Aku latih mereka menjadi tentera sepertimana Yamato. Mereka sudah memiliki teknologi seperti penjinakan kuda dan pemanahan, namun aku tambahbaik senjata mereka dengan besi berkualiti dengan ilmu penempaan besi yang aku raih dari tawanan Yamato kami. Kami menjadi kelompok penakluk, aku mengembangkan empayar kami lebih dari kampung itu. Sempadan aku buka, dan batu nee-chan di atas menara itu aku ambil kembali agar aku dapat melindungi diriku kelak. Kami telah kuat, tiada sesiapa mampu menumpaskan kami dan mereka tidak perlu lagi batu nee-chan itu, maka kampung kami telah kembali terbuka seperti dahulu. Sehinggalah ke satu tahap, di mana keseluruhan utara Honshu ini berada di bawah telapak kakiku dan Maharaja Yamato di Kyoto hanyalah tinggal satu sahaja figura tunggal yang harus aku tumpaskan sebelum seluruh Jepun jatuh ke tanganku.

 

“Mengapa engkau mengambil kembali batuku itu?” Soal nee-chan kepadaku dalam satu mimpi.

 

“Ini pemberianmu kepadaku. Aku mahukan ia kembali.”

 

“Bagaimana dengan kampungmu itu nanti? Bagaimana jika tentera Yamato menyerang mereka?”

 

“Mereka sudah kuat, mereka tidak akan dapat dikalahkan. Nee-chan, aku mahu menakluk seluruh Jepun.”

 

“Apakah engkau membunuh orang-orang awam Yamato demi mencapainya?”

 

“Ya. Itu tidak dapat dielakkan.”

 

“Nadeshiko! Aku tidak pernah mengajarmu membunuh mereka yang tidak bersalah!”

 

Nee-chan, aku hanya membalas dendam. Bukankah dahulu mereka membunuh orang awam Emishi di kampungmu?”

 

“Engkau Nadeshiko. Apakah kerana darahmu... kerana engkau memang lahir dari bangsa itu...”

 

Nee-chan...”

 

“Nadeshiko, aku mengambilmu dahulu dengan harapan aku dapat mengubahnya, mengubah tanggapanku. Namun sayang, engkau sama sahaja dengan bangsamu. Bangsa penghisap darah, bangsa pembunuh! Dan engkau membawa dan mendidik tabiat pembunuh itu ke dalam bangsaku!”

 

Nee-chan, sungguh aku tidak berniat... Nee-chan...”

 

“Mulai hari ini, roh engkau akan dicampakkan ke sebuah pulau sebagai gadis perang laut (Kaisenjyo). Jasadmu pula akan kekal terbaring di dalam khemahmu, kekal dalam lenamu sekarang sehingga ia mereput sendiri. Engkau akan diberi peluang menempati jasad seorang wanita yang akan datang ke pulau itu. Dan engkau akan sentiasa menghalang mana-mana penceroboh pulau itu dari mendekatinya. Itu tugasmu selaku Kaisenjyo.”

 

Nee-chan!!!!!” Aku meraung.

 

“Dan aku bersumpah, bangsa Yamato akan dihukum dengan ‘dua matahari’ yang akan gugur di tempat asal tamadun mereka dilahirkan, sekiranya mereka kekal dengan kekejaman mereka. Sayonara!”

 

Kata-kata Amaguri yang terakhir itu bergema, paling tajam dan menikam-nikam telinga dan hatiku. Ia sebuah sumpahan yang menggerunkan. Apa yang nee-chan maksudkan dengan ‘dua matahari’? Dua matahari yang akan digugurkan? Apa maksudmu, nee-chan?

 

Nee-chan.... nee-chan!”

 

Aku melihat batu itu tiba-tiba berada di dalam tanganku, ada cahaya keluar darinya dan memecahkannya kepada tiga bahagian. Ketiga-tiga belah batu itu berhamburan ke udara dan menghilang, tercampak entah ke mana.

 

Kemudian segalanya jadi gelap. Sedar dari mimpi, aku tiba di sebuah pulau terbaring di atas pasir pantai yang memutih sejauh mana memandang. Angin laut bertiup menghantar bau masin dan hanyir laut.

 

Aku memegang diriku. Namun hampa, aku tidak berjasad. Tanganku menyentuh pasir pantai yang melapik. Segalanya boleh ditembusi. Aku bahkan boleh terapung dan terbang seperti bulu burung. Aku terapung dan menerawang bahagian atas pulau itu. Ia bergunung-ganang dan ada yang mengeluarkan asap.

 

Aku tidak lagi maklum akan apa yang berlaku di kampung Emishi itu. Mungkin jasadku di sana masih dalam tidur dalam khemah? Aku tidak tahu. Mungkin jasadku sudah tidak bernyawa, berbau dan akhirnya dikebumikan? Aku tidak tahu. Mungkin bangsa Emishi di sana sudah ditewaskan Yamato? Aku tidak tahu. Segalanya berlaku terlalu pantas, sedang aku di kemuncak kuasa mengembangkan empayar Emishi.

 

Aku terkurung dan terpenjara di sini. Aku tidak lapar dan tidak makan. Aku hanya terapung dan menunggu sehingga wanita yang dijanjikan nee-chan itu sampai dan aku dapat menakluk tubuhnya. Hanya dengan itu aku akan dapat kembali ke Jepun dan meneruskan agendaku menaklukinya. Hanya dengan berjasad sahaja mereka para pengikutku akan dapat melihatku seperti biasa dan menanggap kewujudanku, dan merasa gerun denganku.

 

Tamat kisah Yamato Nadeshiko

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...