Novel: Kaisenjyo (Bab 60)

Di Kogen, Tokui mula disoal siasat oleh Kogen. Ryouji, Goryuuin dan Ayame duduk berhadapan Tokui di dalam bilik soal siasat, di dalam sebuah kompleks penjara bawah tanah di Shirasaka-no-Kogen.

“Aku seorang penghuni yang dilatih Segawa sebagai saintis rekrut di rumah tersebut.”

Tokui dilatih sebagai saintis lantaran minatnya, sama seperti Shinji dilatih oleh Takasaki.

“Aku sudah lama menaruh hati terhadap Ayako dan telah mengakui perasaanku. Namun Ayako telah menolaknya. Aku bertanya dia adakah dia sudah mencintai seseorang. Dia tidak menjawab.”

Kami tetap bersahabat seperti biasa. Ayako sebaya aku iaitu tujuh belas tahun umurnya. Yang tiga lagi penghuni perempuan masih budak-budak. Maka masaku banyak dihabiskan berbual dengannya jika aku tidak di bengkel relau.

Ayako mulai berubah sejak belakangan ini. Aku tidak tahu apa alasannya. Dia mengelakkan diri dariku setiap kali aku mendekatinya. Ia berlarutan berminggu-minggu. Aku faham perempuan ada masa-masanya. Namun ini berminggu-minggu. Ia meragukan.

Aku mula mengurangkan masa di bengkel relau bagi mengamati perlakuan mereka. Ia tidak hanya berlaku pada Ayako, bahkan penghuni lain yang masih budak itu. Aku lihat Ayako dan penghuni wanita kerap mengantuk di siang hari. Kadangkala mereka terlelap ketika melakukan aktiviti di rumah seperti membasuh pakaian dan membersihkan rumah. Aku hairan. Mereka tidak tidur malamkah? Aku sering tidur awal dan selalunya aku akan tidur di dalam bilik relau di dalam bilik stor yang punya tandas dan kolah mandi sendiri itu, maka aku tidak tahu-menahu apa yang sebenarnya berlaku pada waktu malam. Bahkan, perpustakaan kami terletak berdekatan dengan bengkelku memudahkan rujukanku, maka aku tidak banyak berada di sekitar rumah. Hanya apabila aku berada di sekitar rumah seperti ketika makan dan melepak di taman bonsai, aku lebih kerap berkomunikasi dengan Ayako berbanding penghuni lain.

Aku tidak berani bertanya pada Masami yang berwajah menakutkan seperti ahli sihir tua itu dan Segawa yang kerap tiada di rumah tersebut pada waktu siang. Aku jarang sekali berbual dengan Masami. Jika aku ada sesuatu yang ingin dibincangkan, aku lebih gemar mendekati Segawa.

“Suatu malam aku cuba menyiasat gerak geri mereka. Aku terdengar bunyi seseorang di dalam bilik pejabat. Pintu gelangsar terbuka sedikit, dan aku menolaknya perlahan. Aku terkejut mendapati Ayako sedang bersenggama dengan Segawa-san.”

Aku amat marah berbaur terkejut, seraya lari ke hutan buluh. Wajah Ayako yang dinoda Segawa bermain-main di benakku. Aku hanya sempat memandang seimbas dari balik celah pintu gelangsar yang terbuka sedikit, aku tidak sanggup melihatnya lama sebelum melarikan diri. Ia sungguh menyakitkan hatiku. Namun jelas di mataku saat itu yang dia tidak langsung merelakannya, wajahnya penuh kejijikan dan keengganan. Jelas dia dinodai. Barangkali diugut Segawa-san atas perkara yang tidak aku maklum. Aku akan bertanya kepada Ayako sendiri kelak.

Esoknya Segawa-san bertemuku dan rupanya dia menyedari aku telah mengintai mereka. Segawa-san meminta aku merahsiakan hubungannya dengan Ayako. Sebagai balasan, aku akan disarankan nama kepada Kogen sebagai calon saintis mereka. Tawaran itu amat berat untuk kutolak, kerana aku sememangnya berminat untuk menjadi penyelidik sejak sekian lama. Aku fikir adalah lebih baik aku menerimanya. Aku fikir tawaran itu lebih bernilai dari mengharapkan cinta Ayako yang mustahil akan aku miliki.

Namun sebelum itu, aku harus benar-benar memastikan apa yang kulihat. Adakah Ayako memang mencintai Segawa atau telah diperdayakannya? Hubungan apakah yang dimaksudkan Segawa?

Aku lantas bertemu Ayako sendiri. Pada mulanya Ayako enggan memberitahu. Aku mendesak sekeras-kerasnya, bahkan menarik tangannya ke hutan buluh, jauh dari pendengaran sesiapapun.

Selepas aku mendesaknya berkali-kali, Ayako akhirnya memberitahuku segala-galanya. Segawa telah mengugutnya. Masami yang menghasut Segawa agar mengugut Ayako yang mereka akan membunuhnya jika dia memberitahu Kogen akan jenayah mereka. Ayako memohon agar penghuni-penghuni wanita yang masih muda itu dilepaskan dari dilacurkan, hanya itu yang dia mahukan. Segawa dan Masami bersetuju, dengan syarat Ayako mesti menyerahkan tubuhnya kepada Segawa.

Aku terkejut mendengarkan penjelasan Ayako. Aku harus laporkan kepada Kogen namun bagaimana? Bagaimana jika Masami membunuh kami? Ayako memberitahuku Masami senantiasa memerhati sekeliling hutan buluh dan memanah curi mana-mana nazir yang cuba mendekati rumah itu. Risikonya amat tinggi. Rumah merpati mereka juga dikawal. Kami tidak dibenarkan mendekati rumah merpati itu, atau kami akan dipanah. Bahkan kami tidak dibenarkan keluar dari rumah itu langsung.

Tidak lama selepas itu, Ayako mengandung. Dia tidak memberitahu sesiapapun kecuali aku. Demi kandungan itu, Ayako nekad meminta pertolonganku membantunya melarikan diri dari rumah itu, sedang aku tidak dibenarkan mengikutnya. Dia yakin Masami dan Segawa pasti akan menamatkan riwayatnya sekiranya mereka mendapat tahu perkara itu.

Aku bimbangkan dia. Aku masih cintakan dia. Aku harus memilih, sama ada menyertainya melarikan diri, atau kekal di sini demi masa depanku dan para penghuni lain yang masih budak.

Aku akhirnya memilih Ayako. Pada mulanya dia masih enggan membenarkan aku mengikutnya, kerana bimbang rakan-rakan penghuni wanita yang masih budak yang ditinggalkan di situ kembali dilacurkan. Dia mahu menyerahkan kepadaku nasib tiga budak perempuan itu.

Kemudian dia mengubah fikiran dan membenarkan, dengan satu syarat. Ayako memberitahuku dia sudah hilang keyakinan terhadap Kogen dan menyarankan agar kami tidak melaporkan kepada mereka onar Segawa dan Masami. Dia mendapat mesej bertulis yang dipanah salah seorang nazir Kogen ke sebatang pokok tatkala dia menjemur futon, memberitahu dia mewakili sebuah unit rahsia baharu ditubuhkan di bawah Kogen, yang digelar Skuad Sakura. Juga dalam mesej tersebut nazir itu memberitahunya mahu mendapatkan maklumat perinci berkenaan kegiatan Segawa dan Masami dan akan menunggunya di sebuah tempat di hutan buluh. Ayako mensyaratkan sekiranya aku mahu mengikutnya, kami perlu bertemu nazir tersebut terlebih dahulu dan mendedahkannya. Sekurang-kurangnya jika kami mati dibunuh Masami, Skuad Sakura sudah diberitahu. Dalam surat tersebut turut diselitkan simbol Skuad Sakura. Ayako mendedahkan simbol tersebut kepada tiga lagi penghuni lainnya dan menasihati mereka agar hanya mempercayai unit baharu itu dan melupakan Kogen.

Aku memerah otak mencari jalan bagaimana mengelak dari diperhatikan Masami. Suatu malam aku bersama Ayako keluar ke hutan buluh bertemu nazir Kogen dari Skuad Sakura yang sekian lama cuba menyelinap masuk ke situ bagi mendapatkan kisah sebenar. Aku mengekori Ayako jauh dari belakang.

Masami yang mengekori kami cuba memanah nazir tersebut, namun disedari Ayako. Ayako sempat melindungi nazir berkenaan dengan tubuhnya, dan panah itu mengenai jantungnya tepat. Ayako sempat menggesa nazir itu melarikan diri secepat mungkin ke Kogen. Ayako meninggal dunia tidak lama kemudian, mengisyaratkan kepadaku dengan isyarat mata agar segera melarikan diri dari situ agar tidak disedari Masami. Namun aku enggan, dan memerhati Masami mengebumikan mayat Ayako di situ.

Aku memberanikan diri turun mengadap ‘ahli sihir tua’ itu.

“Masami-san, apa yang engkau lakukan?”

“Tokui?”

“Engkau telah membunuh Ayako...Engkau pembunuh!”

“Ya.” Masami kemudian menyambung dengan ketawa terbahak-bahak. “Jadi, engkau mahu menuntut bela nyawanya? Dipersilakan.”

Aku mengeluarkan pedangku. Namun Masami pantas memanah betisku.

“Panah ini telah dicalit racun torikabuto yang kuolah sendiri yang tidak pantas membunuh.” Dia ketawa lagi.

“Dan engkau menggunakan racun lain memanah Ayako?”

“Kerana aku mahu membunuh nazir itu, aku menggunakan celupan lain. Namun Ayako menggunakan badannya sebagai perisai. Zannen datta.”

“Jawab aku, Tokui. Engkau mahu lari, atau kekal di sini? Pilih, Tokui. Buat pilihan yang tepat.”

Sial. Aku tidak mahu mati sekarang.

“Fikir Tokui. Racun itu telah kuolah agar serapannya lambat. Engkau membuat pilihan yang salah, dan aku akan biarkan engkau mati di sini.”

Akhirnya aku terpaksa memilih untuk hidup. Ayako sudah mati, dan aku mahu hidup demi menuntut bela nyawanya dan melindungi tiga budak perempuan itu. Dan Skuad Sakura pun akan tiba tidak lama lagi. Pasangan sial ini akan mendapat balasan mereka. Aku harus berpura-pura dahulu sementara menanti Skuad Sakura tiba. Aku melihat unit baharu itu sebagai harapan. Lupakan Kogen. Masami dan Segawa telah lama berkhidmat kepada Kogen dan rapat dengan Omi dan Kotobuki, Kogen pasti akan mendengar mereka dan jenayah mereka pasti akan disorong di bawah lantai.

Aku tertekan dengan kematian Ayako, namun aku perlu menyembunyikannya. Segala harapanku telah musnah. Aku mahu membina kehidupan dengan Ayako namun segalanya berakhir sekelip mata.

Saat itu, aku mula menaruh dendam terhadap Kogen. Aku akan membunuh Kogen, tidak, aku akan membiarkan Kogen datang dan menangkap Segawa dan Masami. Kemudian aku akan mencuri peluang menamatkan riwayat mereka, dan petarung Kogen itu, demi menuntut bela Ayako. Dan aku akan melarikan diri bersama-sama penghuni rumah ini. Aku tidak akan tinggal di Shirasaka-no-Kogen. Di sana mungkin aku akan menerima takdir yang sama, diperalat, rakanku dilacurkan. Kogen lemah dan tidak boleh dipercayai.

Aku fikir aku mahu melepaskan diri secepat mungkin dari kehidupan di rumah ini, dan lari. Namun Masami dan Segawa sentiasa memerhati gerak-geriku. Selangkah aku keluar dari sini, nyawaku melayang. Aku mahu hidup. Aku mahu menuntut bela kematian Ayako. Siapa yang boleh diharapkan? Adakah nazir yang menghantar laporan dari Ayako itu boleh dipercayai?

Siapa yang boleh menolong kami di sini?

**

Ayako mengesyaki ketiga-tiga penghuni perempuan yang masih berumur di bawah dua belas tahun itu berubah sikap belakangan ini. Mereka tidak banyak berbicara dan kerap termenung muram, dan kadangkala mengantuk sehingga tertidur ketika sedang melakukan kerja-kerja rumah. Apabila dia cuba mengorek, mereka hanya mendiamkan diri. Kata mereka otou-san meminta mereka merahsiakannya.

Ayako mencuba berkali-kali, sehingga keadaan mengizinkan pada suatu hari, salah seorang dari mereka membuka pekung Segawa. Ayako menekup mulut menahan rasa terkejut.

Aku mesti melaporkan perkara ini kepada Kogen!

Ayako bertemu Masami meminta penjelasannya. Namun lebih mengejutkan, Masami pula menegahnya dari melaporkan kepada Kogen. Malah Masami mengugut akan membunuhnya sekira mendapati dia melaporkan kepada nazir Kogen yang seringkali memerhati rumah itu dari luar, namun kerap dihalau Masami dengan panahan curi sejak Segawa mula melacurkan anak-anak di rumah itu.

Malam itu ketiga-tiga penghuni perempuan yang masih budak itu dipukul oleh Masami kerana memberitahu perbuatannya kepada Ayako.

Sejak itu, Ayako tidak mempercayai pasangan penjaga rumah tersebut. Pada ketika itu, Tokui mula mengesyaki perubahan sikap keempat-empat penghuni wanita di situ. Dia sering di bengkel relau dan jarang bersama mereka. Namun dia seringkali bersama Ayako dan tatkala melihat Ayako juga begitu, dia mengesyaki sesuatu.

Ayako datang merayu kepada Masami agar melepaskan penghuni-penghuni wanita yang masih budak itu dari dilacurkan.

Onegai, Masami-san! Jangan jual mereka lagi, aku mohon sungguh-sungguh! Mereka hanyalah budak, Masami-san!”

“Baiklah. Aku tidak akan menjual mereka, dengan satu syarat.”

Segawa muncul dengan muka menyeringai.

“Engkau perlu ‘menghiburkan’ suamiku bila-bila masa dia mahu.”

“Apa maksudmu Masami-san?”

“Engkau tidak fahamkah? Engkau perlu menyerahkan tubuhmu kepadanya.” Dengan cara ini, Tasutake akan tunduk kepada segala kemahuanku.

Ayako terdiam lama. Kemudian dia bersuara.

“Baiklah. Namun kalian mesti berpegang pada janji kalian. Jangan apa-apakan lagi adik-adik kami itu.”

**

Sebaik mendapat laporan dari Skuad Sakura, Kogen menghantar beberapa pegawainya bagi membawa Tokui dan penghuni lain ke Shirasaka. Kogen turut menghantar tabib bagi merawat Ayame dan Touma. Keadaan kedua-dua mereka sudah beransur pulih. Mujur dos yang masuk ke dalam tubuh Touma sedikit. Namun kes Ayame berbeza dan aneh. Tabib tidak dapat menjelaskan mengapa.

Nazir Kogen di sekitar kawasan itu membantu dengan membekalkan ubat-ubatan dan makanan. Ayame, Ryouji, Touma dan Takumi tinggal di situ selama seminggu sebelum rumah perlindungan itu ditutup sepenuhnya.

Pada hari keenam Ayame terlantar, dia bangun.

“Ruka-san, ambilkan mangkuk.” Ayame meminta kepada tabib perempuan yang merawatnya, bernama Ruka. Ruka seorang tabib berusia empat puluhan.

“Baiklah.” Ruka menurut, tidak bertanyakan alasannya.

Ayame mengambil mangkuk dari Ruka, meletakkan di bawah hidung dan menghembuskan darah merah pekat dari hidungnya. Ruka terperanjat. Apa yang sedang berlaku?

“Ayame... engkau tidak apa-apa?”

“Tidak. Aku rasa sungguh lega sekali. Benar-benar seperti sebelum aku dipanah itu. Hanya kawasan cedera di pinggang masih sedikit sakit.”

Darah apakah ini? Getus Ruka.

Ruka memeriksa Ayame. Dia sihat, seperti dia langsung tidak pernah dipanah Masami. Aneh. Mungkinkah Ayame mengumpulkan racun itu ke dalam darah pekat itu dan mengeluarkannya, selama dia pengsan hampir seminggu? Namun bagaimana dia melakukannya?

Esoknya, mereka berempat meninggalkan rumah itu. Rumah tersebut dibakar sepertimana arahan Omi. Batu tama-no-iwa-nya dibiarkan runtuh sendiri menjadi abu. Dalam masa tiga tahun dari sekarang, kawasan ini akan dibuka kembali, dihuni oleh penghuni baru, penjaga baru dengan kenangan baru, atau mungkin, tragedi sebegini.

Ryouji merenung rumah itu tatkala api marak menjilatnya. Aku berharap tragedi begini tidak akan berulang lagi. Api begini marak sekalipun tidak akan dapat memadamkan memori hitam dalam benak para penghuni yang telah dimangsakan Segawa dan Masami. Ia akan berparut di hati mereka buat selama-lamanya.

Takumi bertemu Ayame.

“Ayame-san, engkau bolehkah menunggang kuda? Bagaimana dengan pinggangmu?”

“Ya, sakit di situ sudahpun hilang. Aku fikir goncangan kuda tidak akan menyakitkanku.”

Takumi berbisik sendirian. Ayame sungguh aneh. Dia berjalan normal tanpa menundukkan sikit pinggangnya tanda kesakitan. Padahal semalam dia mengatakan pinggangnya masih sakit. Tabib itu juga mengatakan tahap kesihatannya normal, seperti seolah-olah racun itu langsung tidak memberi kesan kepadanya, selepas dia menghembus keluar darah pekat itu. Apapun, aku gembira sekiranya dia sihat kembali. Hanya itu yang mahu kupastikan.

Dalam perjalanan pulang ke Kogen, Ayame melihat Ryouji seperti tidak bermaya.

“Ryouji, engkau tidak apa-apa?”

“Aku pening sedikit.”

Ayame meminta Takumi dan Touma meneruskan perjalanan, sementara dia membiarkan Ryouji berehat dahulu. Mereka bersetuju.

Sebaik mereka jauh meninggalkan Ayame dan Ryouji, Touma menegur Takumi.

“Takumi, relakah engkau membiarkan mereka berdua?”

“Budak itu masih perlu bimbingan. Banyak perkara mengejutkan dalam seminggu lepas sedang Ayame masih terlantar. Ada baiknya Ayame bercakap dengannya sekarang.”

“Maksudku, perasaanmu terhadap Ayame. Engkau tidak cemburu?”

“Mana mungkin, Ryouji di bawah umur lagi. Sudahlah, aku tidak mahu fikirkannya sekarang. Ayuh!” Takumi memecut kudanya.

Touma menurut di belakang. Takumi, aku berharap engkau punya kekuatan untuk mengakui perasaanmu terhadap Ayame satu hari nanti.

Sementara itu, jauh di belakang...

“Ryouji, kita rehat sebentar di sini.” Ayame berkata kepada Ryouji tatkala kuda mereka melintas laluan yang di kanannya ada sebatang sungai kecil. Nun jauh di ufuk jelas kelihatan Gunung Fuji di hari yang cerah tanpa awan itu.

Ryouji menurut. Sebaik turun dari kuda, dia tiba-tiba rebah.

Ryouji! Ryouji! Ayame menggoncang-goncangkan tubuh itu. Kaku. Namun nafasnya masih dihela. Nadi masih berdenyut. Ayame menyandarkan Ryouji pada sebuah batu besar. Dia meletakkan tangan pada dahinya. Tiada tanda-tanda demam. Aku fikir dia keletihan, getus Ayame.

Apapun aku biarkan dahulu dia tidur di sini.

**

“Keisuke! Keisuke! Keisuke!” Ryouji memanggil-manggil nama rakan karibnya itu. Ketika itu dia berumur sembilan tahun. Dia berlari-lari merentas laluan di tengah-tengah bendang yang sudah kering dituai padinya.

Ia musim luruh, 1864.

Dia ternampak Keisuke sedang terbaring berlumuran darah di kepalanya, di tepi tali air. Bersamanya, tiga orang budak lelaki yang amat dikenali Ryouji, salah seorang dari mereka sedang memegang kayu dengan kesan darah padanya.

“Kalian!” Ryouji bergegas menuju ke arah mereka. Mereka pantas melarikan diri.

Ryouji beralih kepada Keisuke yang sedang terbaring.

“Keisuke! Keisuke!”

Keisuke tidak sedarkan diri. Dia seorang budak sebaya Ryouji namun bertubuh kecil, dan kurus. Dia kerap dibuli oleh tiga budak lelaki tadi, sejak tiba di sini tahun lepas bersama bapa dan ibunya yang bekerja di sawah di sebelah sawah bapa Ryouji. Namun sejak Ryouji menyelamatkan dia dari dibuli pada suatu hari pada tahun lepas oleh tiga budak itu, dia tidak lagi dibuli mereka, hanya tiga budak itu berani mengejeknya dari jauh, kerana takut dengan Ryouji yang tahu bertarung.

Setiap hari Keisuke akan datang bertemu Ryouji. Ryouji tidak lagi kesunyian selepas kematian kucingnya. Namun pada hari ini, Keisuke tidak datang-datang. Ryouji kerisauan seraya menjejakinya.

Keisuke, Keisuke! Ryouji menggoncang-goncang tubuh kecil itu. Masih, tiada jawapan.

Dia mengendong Keisuke bertemu bapanya. Selepas dibawa bertemu tabib, dia mengesahkan Keisuke sudah meninggal dunia.

Ryouji tidak dapat menahan amarah. Esoknya, dia keluar sambil membawa sebatang kayu yang besar.

“Engkau hendak ke mana, Ryouji dengan kayu itu?” Miura menegurnya.

“Aku mahu menuntut bela kematian Keisuke.”

“Ryouji, bersabar. Aku sudah melaporkan kepada Daimyo Kimura. Dia akan menghantar polis menahan budak-budak itu.”

Ryouji tidak mempedulikan kata-kata Miura. Dia berjalan laju menuju ke laluan di tengah-tengah bendang sambil membawa kayu besar itu. Beberapa orang petani yang sedang membersihkan sawah-sawah yang kering kontang itu terkejut dan berdiri memerhati Ryouji. Miura mengekorinya di belakang.

“Ryouji! Dengar dahulu kataku!”

Miura memegang kedua-dua belah tangan anak lelakinya itu, memandang tepat menembusi anak matanya.

“Pandang otou-san, Ryouji. Pandang otou-san!”

Ryouji memandang Miura. Kemarahan masih jelas tertera di wajahnya, matanya merah, dahi berkerut.

“Tenangkan dirimu Ryouji. Adakah engkau mahu menjadi pembunuh seperti mereka juga? Ryouji, pembunuhan itu sudah berlaku. Kita tidak dapat mengubahnya. Biarlah undang-undang yang menghukum mereka.”

“Hanya jika aku lebih cepat tiba di situ... hanya jika aku lebih cepat, Keisuke pasti masih hidup!”

Miura memeluk anak lelakinya itu.

Sejak hari itu, Ryouji kemurungan. Dia duduk di dalam rumah berminggu-minggu lamanya. Pada suatu hari, dia bangun seperti biasa, normal. Bertutur dengan ibunya normal.

Ibu Ryouji, Ritsuko hairan melihatnya.

“Miura, apakah anak kita itu sudah pulih?”

“Ada apa dengannya?”

“Aku lihat dia bertutur seperti biasa denganku.”

“Biar aku periksa.”

Miura menemui Ryouji sedang duduk merenung ke arah bendang di bawah pokok sakura di depan rumah.

“Buat apa Ryouji?”

“Ah, otou-san. Tiada apa-apa. Aku teringin melihat matahari. Lama sudah aku berkurung.”

“Masih rindukan rakanmu?”

“Rakan? Otou-san apa yang engkau mengarut?”

Miura terperanjat mendengar kata-kata Ryouji.

“Rakanmu yang bernama Keisuke itu.”

Otou-san, aku tidak pernah punya rakan bernama Keisuke. Apa yang engkau karutkan ini?”

Miura tidak mengesan sebarang riak lakonan. Ryouji nampaknya berkata benar. Barangkali dia terlupa kerana kerap tidur di dalam rumah. Atau dia memang hilang ingatan?

Miura membawa Ryouji bertemu tabib. Tiada apa-apa sakit. Normal.

“Mungkin ingatan terhadap rakannya itu hilang akibat tekanan emosi.” Kotobuki menyuarakan pandangannya ketika Miura bertemunya di kuil Furukawa beronsen.

“Seseorang boleh hilang ingatan terhadap satu peristiwa pahit yang menekan emosinya.”

Maka fahamlah Miura.

“Namun kesan dari peristiwa itu kekal. Cuma pesakit tidak akan tahu darimana punca kepada kesan itu. Contohnya, dia akan bermati-matian melindungi seseorang yang rapat dengannya dan tidak mampu bertarung, namun dia tidak akan tahu mengapa dia cenderung melakukannya.”


 

Novel: Kaisenjyo (Bab 59)

Sementara itu di taman bonsai...

“Masami-san, aku masih memberi engkau peluang. Serah diri dan relakan dirimu dibicarakan kami.”

“Untuk apa? Untuk akhirnya dipenjarakan kalian? Aku lebih rela mati dari dipenjarakan!”

“Jika mati yang kau mahukan, aku akan mempercepatkan engkau mendapatkannya.”

“Dipersilakan. Aku tidak gentar meskipun engkau pemedang handal. Namun aku tidak akan menyerah sewenang-wenangnya!”

Mereka naik jurus demi jurus. Namun hanya Ayame yang naik ke jurus kesembilan, sementara Masami hanya mampu menggunakan jurus kelapan, dibimbangi dia tidak dapat mengawal rusuhan tenaga. Keadaan di taman bonsai itu jika dilihat dari jauh oleh mereka yang tidak dapat mengesan Ayame dan Masami, seperti dilanda puting beliung yang bersaiz kecil dan bergerak buas melantun ke sana ke mari melanggar dahan-dahan pokok momijisakurashirakaba dan keyaki yang ditanam melata di situ, dan memotong daun-daun setiap kali ia melanggar dahan.

“Engkau ingat dengan mengatasi satu jurus di atasku, engkau mampu mengalahkanku?”

“Aku tidak pernah fikir aku mampu mengalahkan sesiapa, pisang kaki kering. Aku perlu menumpaskanmu demi Kogen, demi anak-anak kami!”

Masami mengambil kesempatan membunuh seekor tupai. Dia berjaya mengelak Ayame dan melompat sehingga ke dahan tertinggi pokok keyaki.

Dia mencampakkan bangkai tupai itu ke tanah. Ayame kebingungan. Apa yang cuba dilakukannya?

Tidak semena-mena, Momoyama burung hayabusa pengiring Ayame, turun menyambar tupai itu. Namun Masami sudah bersedia menarik panahnya dan melepaskan ke arah Momoyama.

Ara! Dia menyambarnya. Seperti kujangkakan. Burung gemuk dan pemalas begitu manalah mahu menangkap makanan sendiri, setelah biasa diberi makan tuannya. Sedari tadi aku lihat dia memerhati tupai itu namun tidak pula terbang menangkapnya.

Yamero! (Hentikan)” Ayame pantas bergerak membentengi Momoyama. Panah Masami mengenai pinggangnya. Momoyama terbang ke atas pokok shirakaba membawa bangkai tupai itu.

Masami ketawa terbahak-bahak, masih di atas pokok keyaki.

“Engkau bilang dengan kepantasanmu itu engkau tidak akan dapat dikalahkan? Guna otaklah, anak dara tua!”

“Tak...guna...” Ayame mengerang kesakitan, dia mencabut perlahan-lahan panah beracun itu dari pinggangnya. Darah mengalir deras. Racun torikabuto sudah mula meresap ke dalam tubuhnya. “Aku... tidak...boleh...mati...” Ayame pengsan.

Masami melompat turun dari pokok keyaki. Dia mengeluarkan pedangnya.

“Aku bilang tugasku menamatkan penderitaanmu, Ayame-san. Mati dengan dipancung itu lebih lekas dari menanggung derita dari racun itu.” Gumamnya. Dia kini berdiri di sebelah Ayame yang sedang pengsan. Dia mengangkat pedangnya dan bersedia melibas ke leher Ayame.

Yamerou (hentikan), Masami-san.” Ryouji di belakang menegah. Dia keluar memerhati pertarungan mereka lebih rapat selepas mendapati Touma tercedera.

Masami pantas memusing dan melibas pedangnya. Ryouji mengelak. Ryouji mengeluarkan Saishi-tou dan cuba mengalih perhatian Masami, memberi peluang kepada Tokui yang mengikutnya memapah Ayame masuk ke dalam rumah untuk dirawat.

Bagus Tokui. Engkau amat membantu.

Pertarungan kini beralih kepada pertarungan di antara Masami dengan Ryouji.

“Masami-san, aku menggantikan Ayame membawa pendirian Kogen. Serah diri untuk perbicaraan, atau aku terpaksa berkeras denganmu.”

Panah itu beracun torikabuto. Dan ia menusuk pinggang Ayame, dalam kulihatnya. Mampukah Ayame bertahan? Mampukah? Melihatkan racun itu torikabuto, aku fikir amat tipis peluangnya, kerana dos yang masuk lebih tinggi nampaknya dari Touma. Akan berkesankah antidot itu?

Aku perlu fokus. Aku berharap Tokui melakukan apa yang patut. Tugas Ayame perlu kugalas sekarang. Hanya aku yang masih berupaya bertarung di sini.

Ara... ini misi pertamamu bukan? Engkau fikir semudah itu aku akan mengalah, Ryouji?” Masami ketawa sebaik menghabiskan sindirannya.

Dia menyambung, “Ryouji, apa kata engkau berpakat denganku? Kita hapuskan keluarga Shirasaka dan mengambilalih Kogen. Ayame sudah kubunuh. Yang tinggal dua orang tua kutuk itu sahaja, amat mudah menewaskan mereka. Dou?”

“Aku tidak punya angan-angan begitu. Aku tidak akan mengkhianati mereka. Merekalah yang menjagaku selepas kematian bapaku.”

Ara ara, setia benar engkau. Fikir Ryouji. Engkau belum pernah memegang kuasa bukan? Engkau akan mendapat kembali harta peninggalan bapamu yang disimpan dalam perbendaharaan Kogen oleh keluarga Shirasaka itu.”

Apa permainanmu, Masami-san? Aku maklum bapaku menyimpan sejumlah dana peribadi di perbendaharaan Kogen. Ia bukan seperti yang selalu disalurkan kepada Kogen, ia wang terkumpul peribadi. Aku masih belum melihat sendiri wasiatnya. Takasaki memberitahuku wasiat itu dalam simpanan keluarga Shirasaka. Maka aku masih belum dapat memastikan sama ada dana itu diwasiatkan kepadaku dan Hisamiko, atau kepada Kogen.

“Mereka telah menyeleweng wang bapamu. Berpakat denganku, dan engkau akan mendapatkannya kembali.”

Apakah Omi menyeleweng wang bapaku? Tidak, wanita tua ini sedang cuba memperalatku. Aku memerhati Kotobuki dan Omi beberapa kali. Mereka bukan orang begitu.

“Apa buktimu?”

“Engkau masih tidak tahu? Mereka menggunakannya untuk perang yang bakal meletus. Perang menentang saki-baki samurai yang tidak berpuas hati dengan Pembaharuan oleh Maharaja.”

Shinji ada meramalkan perkara sama. Perang itukah? Yang mungkin meletus di Kyushu atau di sini?

“Bahkan semua wang Kogen juga diperuntukkan untuk itu. Sehingga gaji kami, penjaga rumah perlindungan juga dipotong mereka. Demi meningkatkan bekalan senjata.”

“Bohong! Jika engkau punya bukti, kemukakannya!”

“Engkau masih baru, Ryouji. Engkau belum benar-benar mengenali Kogen. Ayuh sertaiku. Dengan kuasa di tanganmu, engkau akan dapat mengubah Kogen. Dana Kogen akan sepenuhnya di bawah kawalanmu. Juga orang-orangnya, para petarung kami.”

Dou? Siapa lagi yang boleh mengawalmu? Engkau punya kuasa seperti Shirasaka bukan? Dan semua yang berada dalam Kogen pasti akan gerun dan patuh lalu menurut arahanmu. Ryouji, dunia ini dalam genggamanmu jika engkau punya kuasa.”

“Ryouji, jangan mudah tertipu dengan jasa mereka sehingga engkau sanggup berkhidmat kepada mereka demi membalas budi. Kelak mereka akan membuangmu sepertimana yang telah aku lalui.” Masami menyembunyikan seringainya dengan menoleh sejenak.

Tidak, Kogen tidak begitu. Kogen tidak begitu! Sebentar, mengapa Ayame membentuk pasukan berasingan dari Kogen? Apakah kerana ia ada kaitan dengan dakwaan-dakwaan Masami ini?

Ryouji, tenangkan dirimu. Abaikan Kogen. Abaikan Masami. Abaikan Ayame. Abaikan Skuad Sakura. Apa yang engkau mahu capai di sini? Apa pendorongmu yang menggerakkan dirimu sehingga ke saat ini? Para penghuni malang itulah. Gadis-gadis di bawah umur itu. Yang terketar-ketar menghunus tantou itu, mereka yang masih belum matang namun telah mencurigai kami yang melindungi mereka. Yang sewenang-wenangnya dilacurkan penjaga rumah ini.

“Masami-san. Walau apapun katamu, engkau telah merosakkan penghuni rumah ini. Mereka hanyalah budak, Masami-san. Mereka hanyalah budak! Bayangkan jika mereka anakmu, dilacurkan begitu...”

“Aku tidak pernah menyayangi sesiapapun yang pernah berlindung di sini. Jika Kogen memotong pendapatanku, maka mereka layak dijual demi menampung jurangnya!”

“Maka engkau tidak layak menjaga rumah perlindungan kami sejak dari mula lagi!” Ryouji dikuasai amarah. Pertarungan yang berselang seli dengan perbualan itu semakin ke penghujung. 

Pada suatu ketika, Ryouji naik ke jurus sembilan dan berjaya menetak buku lali wanita tua itu. Dia rebah. Ryouji berdiri dengan Saishi-tou masih terhunus.

Pantas. Dia lebih pantas dari Ayame! Meskipun dia naik ke jurus sembilan lebih lambat, pedang itu menambahkan kelajuannya  ketika bertarung di jurus tersebut. Jika dia masih pada kelajuan jurus sembilan Ayame, mungkin aku dengan dia setara, sepertimana aku dengan Ayame sebelumnya. Hanya dia dibodohkan oleh taktik bangkai tupai itu. Sial. Pedang apakah di tangan Ryouji itu? Buku laliku seperti sudah dipecahkannya.

“Masami-san, aku tidak mahu mereka yang sepatutnya mendapat perlindungan di sini, dirosakkan. Ia tidak sepatutnya berlaku, Masami-san. Engkau telah melampaui batas! Kogen ialah harapanku, bangsa ini, rakan-rakanku, Tokui dan rakan-rakannya. Jika engkau tidak berpuas hati, bantahlah di Kogen. Bukan merosakkan anak-anak kami!”

“Apa lagi Ryouji, lakukan, usah bersyarah lagi. Bunuhlah aku.”

Ryouji berbolak-balik. Tangannya masih terketar-ketar. Pedang bermata Ayame sudah di tangannya. Dia hanya perlu melibas merentas perut Masami yang terbaring itu.

Zass!

Darah mengalir deras dari leher Masami tatkala sebatang panah menerobosnya. Siapa yang memanahnya?

Masami terkulai. Kelibat Tokui berdiri memegang busur yang kosong di atas bumbung. Dia lebih pantas memutus berbanding Ryouji nampaknya.

“Ayame-san, aku percayakan engkau. Aku percayakan engkau!” Gumam Tokui.

“Tokui...engkau...”

Tokui turun mendekati Ryouji seraya berkata, “Dia telah membunuh Ayako, aku saksinya malam itu. Dan jika dibiarkan dia mungkin akan mengambil kesempatan untuk membunuh engkau juga.”

Ryouji tidak berkenan akan perbuatan Tokui yang membalas dendam begitu. Adalah lebih sesuai Masami dibicarakan dahulu dan dihukum bunuh, sekiranya didapati bersalah, oleh Kogen. Adalah satu kepastian bahawa pembunuh dihukum bunuh di bawah Kod Kogen. Namun siapalah dia untuk menghakimi mereka, fikir Ryouji. Mungkin mereka lebih lama menanggung derita sementara menanti Kogen tiba di sini. Apapun, aku perlukan Tokui memberikan maklumat penuh di Kogen nanti. Namun aku pasti akan dihukum kerana membiarkan tugas yang sepatutnya dilakukanku, dilakukan penghuni rumah perlindungan.

Sementara itu di hutan buluh...

Segawa dan Takumi pegun, masing-masing bersedia dengan gerakan seterusnya. Buluh-buluh di sekeliling banyak yang terpotong.

Sepertimana Masami, Segawa juga menuduh anak-anak di rumah itu mahu menyingkirkan mereka.

“Mereka tidak menyukai tindakan kami yang mengongkong mereka di sini. Mereka mahu bebas seperti kanak-kanak lain. Dapat ke mana-mana, berjalan di pekan-pekan bersama ibu bapanya. Sedangkan kami mengurung mereka di sini.” Demikianlah dakwaan Segawa.

“Bukankah itu normal? Bukankah telah berpuluh tahun kami mengurung anak-anak kami sehingga umur lapan belas tahun baru dibenarkan keluar? Bahkan jika mereka mahu keluar mereka dibenarkan namun akan diekori kami demi keselamatan. Di manakah kami mengongkong mereka?”

“Itulah kelemahan kalian. Zaman sudah berubah, Takumi. Anak-anak ini hidup di zaman di mana anasir dari Barat sudah meresap jauh ke ceruk tanahYamato. Mereka mahukan kebebasan, bukan dikurung begini. Jika keluar diekori, bukankah sama dengan dipenjarakan?”

“Engkau bohong. Pengintip kami mengesan engkau membawa keluar mereka seorang demi seorang di tengah malam. Untuk dilacurkan!”

Segawa tidak berlengah. Dia tahu dia kehilangan hujah, apabila Takumi mula mengeluarkan dapatan dari pengintip mereka. Dia menyerang Takumi, danTakumi sempat mengelak, dan mengerling ke arah tepi taman bonsai dari celah-celah hutan buluh itu. Dia mendapati Masami sedang terbaring.

“Segawa, isterimu sudah ditewaskan. Menyerah diri sahajalah.”

Segawa pantas mengelak dari Takumi, dan cuba mendapatkan pemandangan di taman bonsai. Benar kata Takumi. Dia pantas berlari menuju ke taman bonsai. Takumi mengejarnya.

Segawa sampai di sebelah Masami dan menggoncangkan jasadnya.

Takumi mencari kelibat Ayame. Ayame, di mana engkau? Dia mula gelabah.

“Tuan, Ayame-san ada di dalam.” Tokui menegur Takumi.

Takumi masuk ke dalam, mendapati Ayame sedang terbaring, sedang Touma bersandar pada tiang dengan kaki berbalut. Ryouji, Tokui dan tiga budak perempuan itu duduk di tepi Ayame.

“Takumi-san, pendarahannya sudah berhenti. Aku sudah membalutnya.” Ryouji memberitahu.

Tokui menambah, “Aku telah menyuntik antidot. Aku tidak pasti apa yang aku lihat, namun racun itu seperti tiada kesan ke atasnya. Mungkin kuantitinya sedikit.”

“Bagaimana dengan Segawa?” Ryouji bertanya kepada Takumi.

“Dia sedang meratapi isterinya. Dia tidak akan lari dan akan membalas dendam.”

“Biar aku yang selesaikan dia. Takumi-san, engkau lihatkan Ayame-san.”

Takumi mengangguk, wajahnya sugul. Dia benar-benar risaukan gadis sebayanya itu nampaknya.

“Ryouji, sebentar.” Takumi memanggil Ryouji seraya membisikkan sesuatu. Ryouji mengangguk, seraya keluar dari rumah. Dia bersenjatakan pedang Saishi-tou-nya dan membawa bersama pedang Ayame yang bermata sekiranya Segawa terlalu berbahaya, atas nasihat Takumi. Matlamat utama Ryouji ialah menangkap Segawa untuk dibicarakan di Kogen. Tentang peranan Ayame yang menuntutnya membunuh itu, dia sebenarnya masih berbolak-balik.

Tokui keluar mengikut Ryouji.

Aku tidak yakin Ryouji akan mampu membunuh Segawa. Aku harus membantunya.

Matte, Tokui. Doko iku no? (Tunggu, Tokui, engkau mahu ke mana?)”

Tokui tidak mengendahkan soalan Touma. Touma cuba bangkit namun kakinya yang masih kekejangan menghalang. Sedang Takumi masih duduk kaku mengadap tubuh Ayame yang terbujur kaku itu. Ayame, jangan mati! Wajah Takumi pucat seperti mayat. Dia benar-benar risaukan Ayame nampaknya.

Di kejauhan, kelihatan mayat Masami sudah dialihkan. Di mana Segawa?

Ryouji berasa tidak sedap hati. Dia tahu Segawa sedang menunggunya. Dia keluar berhati-hati, mengamati dengan penuh teliti segenap pelusuk rumah perlindungan itu.

Ryouji pantas menghayun pedang Ayame membelah sebatang panah yang tiba-tiba melayang entah dari mana.

“Engkau mencariku, budak?” Segawa sedang berdiri di atas bumbung.

“Segawa-san, serah diri sahaja.”

“Engkau bilang begitu mudah aku menyerah diri? Setelah kalian membunuh isteriku?”

“Dia telah memanah Ayame. Kami hanya bertindak balas. Segawa, turun dan bertarung denganku.”

“Tidak, aku akan memanahmu sehingga mengena.”

Satu-persatu panah dilepaskan, semua tidak mengenai Ryouji. Semua panah dalam kelongsong sudah kehabisan.

Lelaki separuh abad itu akhirnya turun.

“Ryouji, aku akan bertarung bermati-matian.”

“Aku pasti akan menangkapmu untuk dibicarakan di Kogen.”

Kedua-dua bergerak ke dataran dan mula bertarung. Ryouji tahu keputusannya, namun dia harus berwaspada. Segawa mahir kaminari. Amat mahir, sehinggakan dia mampu berlari pantas ketika membawa keluar anak-anak dari rumah itu untuk dilacurkan, demi mengelak diekori nazir. Takumi juga tidak dapat menewaskannya meskipun bertarung agak lama.

Tak guna! Aku langsung tidak berjaya mendekatinya. Jurus apakah ini?

Dou, Ryouji?”

Dia seperti berada dua, tiga langkah di hadapanku. Dan dia hanya menepis dan mengelak. Hanya aku yang bergerak. Dan pergerakan pantasku seperti langsung tidak berguna. Meskipun dia hanya menggunakan jurus lapan dan aku menggunakan jurus kesembilan dengan Saishi-tou, dia tampak lebih mahir berbanding Masami.

“Apa tujuan engkau mengelak dariku Segawa? Bertarunglah seperti lelaki!”

Segawa tidak membalas. Dia masih mengelak, tidak langsung mengeluarkan pedangnya.

Bagaimana aku boleh mendekatinya?

Pada satu ketika, Segawa berjaya mendekati Ryouji dan menyahsenjatakannya. Ryouji dijatuhkan dan ditindih oleh Segawa dengan lututnya sedang lengan kirinya mengunci lengan Ryouji ke belakang. Tangan kanannya menyeluk saku dan mengeluarkan tantou.

“Ryouji, tidak mudah mengalahkanku. Engkau fikir kerana engkau Okuhida, engkau boleh menewaskanku? Engkau boleh tewaskan Masami yang belajar dariku, namun menewaskan gurunya memerlukan lebih latihan.”

Aku tidak boleh mati sekarang. Aku tidak boleh mati sekarang! Mengapa pada saat itu tanganku kaku sejenak? Mengapa, mengapa, mengapa, mengapa, mengapa! Sekian lama ia tidak berlaku dan saat ini ia datang kembali? Mengapa, hayabusa-no-kami?!

Momoyama yang sedang berlegar-legar di atas bumbung mencari Ayame, hinggap di atas bumbung untuk memerhati mereka berdua dengan tumpuan penuh. Dia terbatuk-batuk, kemudian meludah sesuatu, ludahan itu berupa darah merah pekat. Ada tulang tupai sekali keluar bersamanya.

Tokui pula yang berdiri tidak jauh dari tempat Momoyama bertenggek, sedang menyarung panah pada busur, bersedia menarik dan melepaskannya ke arah Segawa.

“Tokui, sekarang!” Laung Ryouji sebaik melihat Tokui di atas bumbung. Dia sudah hilang harapan. Dia tidak boleh mati sekarang. Hanya Tokui pada saat itu yang masih boleh diharapkan, meskipun dia tidak langsung menyangka Tokui akan membantunya lagi.

Panah itu hampir mengenai Segawa sebelum dia berjaya mengelaknya. Ryouji pantas menolak Segawa dan bangun, mencapai senjatanya.

“Segawa, jangan terlalu yakin dengan kemahiranmu.” Ryouji menghunus pedang dengan tangan kiri. Dia teragak-agak, dan mula dikuasai gentar.

Bolehkah aku menewaskannya? Hanya tangan kiriku yang mampu kumanfaatkan. Aku tidak yakin, amat. Meskipun jurus kesembilan mampu kulakukan, aku tidak yakin dengan tangan kiriku. Tadi ketika aku di jurus sembilan sumpahan celaka itu kembali datang tiba-tiba, dan akibatnya aku ditindih Segawa semudah katak.

Aku fikir, sudah tiba saat aku perlu melakukannya. Aku sangat tidak ingin melakukannya, namun aku tiada pilihan. Jika aku naik ke jurus kesembilan tanpa sedar, tangan aku akan pulih kembali. Dahulu ketika di Hidagawa, kakiku yang tercedera kembali pulih meskipun sementara. Itu yang kudengar dari Shinji.

Momoyama, di mana engkau?

Ryouji mengerling ke atas bumbung.

Sekarang aku perlu mencari mana-mana haiwan kecil untuk mengumpannya sepertimana yang dilakukan Masami tadi. Aku akan membawa lelaki tua tak guna ini ke taman bonsai.

Ryouji terus-terusan bertarung pedang dengan Segawa, sedikit demi sedikit menganjak sehingga ke taman bonsai. Disebabkan berada pada jurus pantas, dia berjaya menangkap seekor katak yang sedang tidur di atas batu di taman itu, seraya menggenggam sedaya-upaya dengan tangan kanan yang kaku namun masih boleh menggerakkan sedikit jari.

Momoyama tertarik dengan tangkapan Ryouji. Burung gemuk itu masih lapar nampaknya. Tupai sahaja tidak cukup untuk makan tengahari.

Sebaik Ryouji di jurus kelapan, dia mencampakkan katak itu ke udara, pantas disambar Momoyama. Sejurus itu, Ryouji dirasuk sumpah hayabusa dan bertarung pantas di jurus kesembilan. Sedar dari pukau tersebut, Segawa rebah. Ryouji dapat mendengar suara Tokui memekik menyebut namanya pada ketika itu.

Sebelumnya, ketika keluar dari rumah bersama Tokui...

“Tokui, jika engkau lihat aku seperti dirasuk dan terus-terusan mengamuk tanpa tujuan, laung namaku sekuat hatimu. Aku akan kembali sedar.”

“Apa maksudmu?”

“Aku tidak tahu. Ia berlaku sekali-sekala ketika aku bertarung.” Aku sengaja berbohong kepada Tokui, demi merahsiakan sumpahan itu. Dahulu Goro menjerit dan aku sedar kembali. Aku fikir mungkin sebarang jeritan mampu menghilangkan kembali sumpahan itu.

“Namun jika aku masih tidak sedar, engkau masuk dan berlindunglah di dalam rumah. Kunci pintu hadapan sehingga aku pulih.”

“Baiklah.”

Aku tidak tahu dengan apakah aku mampu naik ke jurus sembilan tanpa sedar. Mungkinkah dengan Momoyama? Selagi boleh aku tidak mahu melakukannya di bawah sedar. Ia terlalu berbahaya kepada semua mereka yang berada di sini. Namun jika tangan kananku tiba-tiba kaku, aku tiada pilihan lain.

Aku sudah menumpaskannya. Bermulalah perhitungan terakhirmu, Segawa. Serah diri sahaja. Aku sangat tidak ingin menumpahkan darahmu.

Segawa luka-luka di kaki dan tangannya hasil tetakan demi tetakan pedang tumpul Saishi-tou. Dia terduduk. Pedangnya sudah jauh tercampak. Ryouji mendapati sumpahan hayabusa menghilang dan tangan kanannya kembali pulih.

“Bunuhlah aku sekarang. Jika engkau tidak lakukan sekarang, aku akan mencari ruang untuk membunuhmu juga.”

Ryouji berdiri pegun. Sekali lagi, hatinya berbolak-balik. Lama dia membisu tidak melakukan apa-apa.

“Mengapa Ryouji? Aku telah menodai ahli rumah ini. Jika aku dibicarakan pun, hukumannya tetap hukuman mati. Aku mengakui kesalahanku. Bunuh aku, bukankah itu tujuan Ayame datang ke mari?

“Diam, Segawa...”

Tidak. Aku tidak mahu membunuhnya. Aku mahu dia dibawa ke Kogen. Aku mahu mendengar pandangannya, mengapa dia melakukan semua onar-onar ini. Kemudian terserah kepada Kogen bagaimana menghukumnya mengikut Kod Kogen. Yang pastinya mengikut kod itu, Segawa akan dihukum bunuh.

Namun aku sedang menjalankan tugas Ayame. Jika dia mengaku telah menodai ahli rumah ini, kod Kogen menghalalkan darahnya dan Ayame dibenarkan menjatuhkan hukuman terus tanpa perbicaraan. Dan aku dibenarkan melakukannya sekarang, menggantikan Ayame.

Mengapa tanganku masih kaku?

Tidak, aku patut mengikat tangannya sekarang, dan membawa dia ke Kogen.Aku sangat tidak ingin membunuhnya.

Tangan Ryouji bukan lagi kaku kerana sumpah hayabusa, namun dikakukan hatinya yang berbolak-balik. Perasaan ketika mahu menamatkan riwayat Sonzaemon datang kembali. Ia seperti sebuah kata-kata yang terlekat di tenggorok dan tidak mampu diluahkan, entah apa yang menyekatnya.

Perasaan yang sama ketika aku di Furukawa menerpa kembali. Namun kini, ia datang bersama sebuah kenangan pahit yang sekian lama hilang dari ingatanku. Kenangan yang amat pahit.

Dalam kenangan itu, Otou-san menenangkan aku dengan mengatakan “Ryouji, kawal amarahmu!” sambil memegang tanganku yang sedang memegang kayu besar sekuat-kuatnya, cuba menghalang aku dari pergi memukul seseorang.

Memukul siapa? Siapa?

Tanpa disedari, air matanya mengalir. Pegangan ke atas pedangnya mulai longgar, dan pedang Ayame itu gugur ke bumi. Segawa perasan itu, seraya mencapai pedangnya pantas dan cuba menerpa dengan menghunus ke dada Ryouji.

Perut Segawa pantas dirobek oleh libasan pedang bermata Ayame. Ryouji terbelalak memerhatinya. Segawa tersungkur langsung, tangannya menekup perut sedang darah merah pekat keluar dari celah-celah jari.

Tokui berdiri di tepi Segawa yang sudah nyawa-nyawa ikan dengan memegang pedang Ayame yang tadi terlepas dari sarung Ryouji ketika bertarung, berlumuran darah, memastikan yang Segawa tidak mencapai kembali pedangnya.

“Segawa-san, terima kasih atas jagaanmu selama ini. Namun aku tidak akan memaafkan engkau atas apa yang telah engkau lakukan terhadap Ayako dan penghuni rumah ini.”

“Tokui. Maafkan aku.”

Serentak itu Segawa kaku.

Ryouji bertambah terkejut. Ia kali kedua Tokui campur tangan tugas Kogen. Tokui memandang Ryouji.

“Apa kau kelamun Ryouji? Jika aku tidak pantas dia sudah pasti telah membunuhmu.”

Ryouji tidak menjawab, berdiri kaku seperti patung batu. Benaknya masih dikuasai kenangan pahit yang datang menerpa tiba-tiba.

Novel: Kaisenjyo (Bab 58)

Laporan tentang onar yang dilakukan Segawa dan isterinya sampai kepada Ayame pada hari semalam, dilaporkan salah seorang dari jemaah nazir Ayame di sini selepas mendapat aduan dari salah seorang ahli rumah tersebut. Nazir-nazir (inspectorateofficer) ini tergolong dalam pasukan pengintip sama seperti Ayame, namun mereka digelar nazir kerana tugas mereka hanya mengintip dan memerhati penjaga rumah-rumah perlindungan Kogen. Mereka akan datang bertemu ahli rumah perlindungan Kogen sendiri dari masa ke semasa bertanyakan soalan-soalan, di luar pengetahuan penjaga. Mereka juga adalah ahli Kogen yang dibenarkan memasuki rumah perlindungan Kogen.


Aku pernah mendengar dari Chisato, ketika dia bermalam di pondok di tengah hutan sewaktu menjejakiku pada musim bunga 1871, dia berbual panjang dengan Azusa. Azusa memberitahu dia sering berbual dengan seorang gadis misteri yang bertandang di kuil patung Buddha dan patung singa. Gadis misteri itu mengatakan yang dia anak kepada pemburu yang tinggal di dalam hutan tidak jauh dari kuil itu. Dalam perbualan Azusa dengan gadis itu, dia kerap bertanyakan tentang kehidupan mereka di rumah Takasaki, dan pertanyaannya kadangkala amat terperinci, seperti menyoal siasat. Azusa masih ingat namanya dan memberitahu Chisato. Tidak silap aku, namanya Hotaru. Ya, Hotaru. Aku syak dia salah seorang dari ahli jemaah nazir kami.


Azusa juga memberitahu Chisato yang Saki tidak akan datang ke kuil itu jika Hotaru ada, namun dia sendiri tidak pasti mengapa. Aku fikir barangkali kerana dia mahu merahsiakan merpatinya itu dari Hotaru, dan mengesyaki Hotaru adalah pengintip yang dihantar Kogen atau mungkin, dihantar musuh kami iaitu keluarga Yoshitsugu.


Aku menyampaikan perkara berkenaan Hotaru itu kepada Takasaki. Namun Takasaki hanya tersenyum mendengarkannya, kemudian berkata kepadaku bahawa aku tidak perlu risau akan perkara tersebut. Kemudian dia tidak lagi membicarakannya. Takasaki seperti seolah-olah sudah mengetahuinya. Dan aku hampir-hampir melupakan perkara tersebut sejak hari itu.


Padaku, ia sebuah perancangan yang amat bagus oleh Kogen. Ia membuatkan ahli rumah perlindungan sentiasa terhubung kepada ibu pejabat Kogen yang kadangkala jauh dari lokasi rumah mereka, dalam zaman di mana komunikasi jarak jauh amat sukar dilakukan dengan pantas. Ia memberi harapan dan saluran komunikasi alternatif tanpa menggunakan merpati kepada mereka yang dianiaya penjaga mereka sendiri. Namun bukankah lebih baik jika kemaslahatan para penghuni diambil peduli seawal peringkat penapisan calon penjaga? Melapor kepada Kogen hanya setelah onar berlaku, tidak akan dapat menghilangkan parut di jiwa mangsanya. Ia sudah terlambat.


Pada masa ini Kod Kogen menggariskan bahawa penjaga rumah perlindungan yang terbukti menodai penghuninya dihukum bunuh serta merta. Ia juga terpakai pada nazir yang bersekongkol. Nazir adalah lapisan paling utama bagi memastikan penjaga rumah perlindungan boleh dipercayai. Kebanyakan nazir adalah dari kalangan petarung wanita yang dilatih oleh Ayame, seperti Hotaru. Sejak Ayame mengambil alih pasukan pengintip, semua nazir adalah dari kalangan wanita. Padanya, wanita lebih dipercayai. Ayame juga lebih condong kepada petarung wanita atas sebab-sebab tertentu yang akan diceritakan lebih lanjut dalam kisah ini, meskipun ada sebilangan kecil dalam kalangan petarung wanita juga bersekongkol dalam melakukan onar.


**


Ryouji dan Ayame berjalan menelusuri laluan kerikil dari gerbang buluh. Susun letak rumah ini benar-benar sama seperti rumah perlindungan Takasaki. Oleh itu, Ryouji dapat mengagak di mana lokasi tama-no-iwa.


Benar, ia terletak bersebelahan taman bonsai, dilindungi oleh semak-samun yang sengaja ditanam.


Batu itu tidak berkesan kepada kami. Penjaga rumah ini boleh membenarkan sesiapa sahaja masuk ke sini termasuk rakan sejenayahnya, dan juga menghalang mereka dari masuk dengan menyebut nama pada batu itu. Namun mereka tidak boleh menghalang mana-mana individu yang telah dibenarkan Omi atau ahli keluarga Shirasaka untuk masuk, kecuali ahli keluarga itu sendiri menghalang mereka dengan menyebut nama si fulan di batu tama-no-iwa utama di Shirasaka-no-Kogen.


Dan Shirasaka hanya membenarkan orang-orang tertentu sahaja memasuki semua rumah perlindungan kami, termasuklah para nazir. Aku berasa begitu bangga diberi kepercayaan begitu oleh Omi dari mula menyertai Kogen. Aku tidak pernah berkhidmat terus padanya. Namun mungkin dia menilaiku dari misi pertamaku itu. Mulut Takasaki, adalah mata-mata penting Omi.


“Ryouji!” Ayame menolak Ryouji ke tepi.


Seketika kemudian sebatang panah melayang benar-benar ke arah tempat Ryouji berdiri tadi.


“Cepat masuk ke dalam rumah!” Ayame pantas berlari. Ryouji menurut. Mereka membuka pintu gelangsar, mujur tidak berkunci.


Di hadapan mereka di dalam koridor anjung itu, kelihatan tiga orang budak perempuan masing-masing mengepung mereka dan menghunus tantou.


“Kalian jangan masuk ke dalam atau kami bunuh kalian!” Wajah mereka jelas ketakutan. Tangan mereka yang sedang memegang tantou terketar-ketar.


“Kalian, aku Ayame dan ini rakanku Ryouji. Kami dari Kogen mahu menyelamatkan kalian.”


“Tidak. Segawa-san, Masami-san dan Kogen semua sama. Mereka jahat. Mereka patut dihapuskan!”


“Ryouji.” Ayame memanggil Ryouji sedang matanya masih peka memerhati tiga orang budak perempuan itu.


“Ya.” Ryouji faham maksud Ayame. Mereka berdua pantas bergerak menyahsenjatakan ketiga-tiga budak perempuan itu, dan menolak mereka meniarap ke atas lantai.


Ketiga-tiga mereka menangis sekuat hati.


“Kalian diam!” Ayame berteriak.


Semua terkejut seraya diam serentak.


“Di mana Tokui Yuusuke?”


“Adakah kalian akan melindungi kami? Kalian bukan orang jahat? Tokui kata kalian jahat seperti Segawa-san dan Masami-san.”


“Tidak. Aku pasti akan menyelamatkan kalian.”


“Tunjuk bukti dahulu.” Yang paling tinggi badan di antara mereka,barangkali yang paling tua, meminta.


“Ini.” Ayame menunjukkan simbol Skuad Sakura, simbol yang sama yang pernah Ayako, iaitu salah seorang penghuni wanita rumah itu, tunjukkan kepada mereka. Simbol penyelamat dari pasukan nazir. Ia berupa sekuntum bunga sakura dengan lima kelompak dalam satu bulatan.


Mereka berbisik-bisikan. “Simbol inilah. Ia berlainan dari Kogen. Tiada gambar hayabusa melingkar mematuk ekor sendiri.”


Ryouji ternganga melihat simbol aneh itu. Ayame, apakah engkau punya perancangan rahsia? Apakah engkau masih bersama Kogen?


“Ryouji, aku akan terangkan kemudian.” Ayame mengesan riak wajah terkejut Ryouji seraya membisik.


“Lepaskan kami dahulu.” Pinta salah seorang budak perempuan itu.


“Baiklah, tapi kami akan mengambil tantou kalian.”


Ayame dan Ryouji mengumpulkan ketiga-tiga tantou mereka, dan bangun dari menindih mereka.


“Kami perlukan kerjasama kalian. Di mana penjaga kalian dan Tokui?”


“Segawa-san dan Masami-san di luar. Masami-san yang memanah kalian tadi.”


Bangsat engkau Segawa dan Masami! Engkau mahu membunuh kamikah?


Tidak lama kemudian, terdengar bunyi dentingan pedang sayup-sayup dari arah hutan buluh. Barangkali Touma dan Takumi sedang bertarung dengan pasangan suami isteri penjaga rumah itu. Adalah normal isteri kepada penjaga juga tahu bertarung, sepertimana Mariko. Namun mereka berdua telah menyalahgunakan kemahiran itu dan menjadi duri dalam daging. Isteri penjaga itu nampaknya sama bersubahat. Kedua-dua mereka akan dihukum bunuh mengikut Kod Kogen dan itu adalah pasti. Jika mereka menyerah diri, mereka akan ditangkap dan dibicarakan dahulu. Jika mereka melawan, maka pedang Kogen adalah jawapan.


Ayame mengulang sekali lagi soalannya, “Di mana Tokui Yuusuke?”


Salah seorang budak perempuan itu menunjuk ke arah simpang kiri anjung itu.


“Ayame-san, berhati-hati dengan Tokui. Dia masih tidak mempercayaimu. Engkau masih Kogen padanya.”


Arigatou. Ryouji, engkau tunggu mereka di sini. Pastikan Masami dan Segawa tidak masuk ke sini dan mengapa-apakan mereka bertiga.”


“Baik, Ayame-san.”


Di rumah ini terdapat hanya lima orang anak yatim dan hanya seorang sahaja dari mereka lelaki, iaitu Tokui, seorang remaja lelaki berumur tujuh belas tahun. Ayame berhati-hati meredah koridor menuju ke arah bilik. Dia juga menengadah ke arah alang, takut-takut Tokui sedang cuba menyerang hendap.


Tepat telahannya. Tokui tiba-tiba terjun dari alang dengan pedang tidak bermata, cuba mendaratkan tetakan di kepala Ayame. Namun Ayame pantas menepis dengan pedangnya, bahkan kekuatan dan kepantasan tepisan itu langsung melepaskan pedang Tokui dari tangannya. Tokui terjatuh, sedang Ayame menghunus pedangnya ke dagu Tokui.


“Tokui.”


Tokui tunduk membisu dalam duduk.


“Tokui, mengapa engkau menyerangku?”


“Kerana engkau dari Kogen. Aku tidak mempercayai Kogen. Hari ini aku akan membunuh kalian kemudian Segawa-san dan Masami-san. Kemudian aku mahu lari bersama mereka bertiga!” Tokui menengking Ayame.


“Mengapa engkau tidak membunuh mereka awal-awal lagi sebelum kami tiba?”


“Lebih mudah untuk aku membunuh mereka sewaktu mereka bertarung dengan pasukanmu. Aku tidak mampu bertarung dengan mereka, namun serangan hendap mungkin lebih berkesan.”


“Tokui, kami datang untuk melindungi kalian.” Ayame menyarung kembali pedangnya, seraya memeluk Tokui, menepuk belakang kepalanya.


Tokui menangis. “Ayame-san, aku keliru. Aku keliru! Siapa yang harus aku percayai sekarang? Sedang Kogen begini...sedang Kogen yang sepatutnya melindungi kami, menjadi begini!” Tokui menyeka air mata dengan lengan yukatanya.


“Tokui, jangan percayakan Kogen. Percayai aku.”


“Engkau Kogen! Datukmu pengasasnya! Mustahil engkau bertindak sendiri!”


“Tokui, percayai aku. Pasukanku akan merayap di serata Honshu. Kami akan mencantas kepala-kepala pengkhianat begini! Satu persatu, sehingga tiada seorangpun yang tersisa!” Suara Ayame keras, tangannya memegang kepala Tokui yang masih di pelukannya.


“Pasukanmu? Apa maksudmu, Ayame-san?”


“Skuad Sakura.”


“Aku tidak pernah mendengarnya.”


“Ini simbol Skuad Sakura, ingatinya. Nanti akan kuperjelaskan. Sehingga itu, aku mohon engkau percayai aku, Tokui!”


Tokui memandang simbol itu. Ia sama seperti yang pernah ditunjukkan Ayako, rakan penghuni wanitanya yang sudah mati itu.


Masih memeluk Tokui, Ayame bersuara separa berbisik, “Tokui, aku mahu engkau pertahankan rumah ini, bersama rakanku Ryouji, remaja lelaki sebayamu itu. Aku dan dua lagi rakanku di luar akan menangkap Segawa dan Masami.”


Tokui mengangguk. “Ryoukai desu!”


Meski menyahut arahan Ayame, Tokui tidak terus mempercayainya. Tetapi dia mahu mempercayainya. Fikirnya, mungkin dia dan rakan-rakan penghuni yang tinggal masih punya harapan dengan Skuad Sakura.


Ayame, aku akan cuba mempercayaimu, demi rakan-rakan penghuni wanita yang masih muda itu, dan demi masa depanku. Aku akan memerhati gerak-gerimu pada hari ini. Sekali aku terhidu bibit pengkhianatan, aku tidak akan teragak-agak untuk menentangmu juga.


Aku sudah letih. Amat.


Di hutan buluh tidak jauh dari rumah tersebut, Takumi sedang dalam posisi bertarung dengan Segawa. Touma pula sedang di bahagian lain hutan tersebut berhadapan dengan Masami, isteri Segawa yang tadinya memanah Ayame danRyouji.


Di tempat Segawa dan Takumi bertarung...


“Takumi-san, aku tidak melakukannya.”


“Segawa-san, jika engkau tidak melakukannya, mengapa engkau menyerang kami? Segawa-san, Kogen boleh membicarakan jika engkau mahukan perbicaraan.” Takumi cuba menjernihkan keadaan. Dia selagi boleh tidak mahu menumpahkan darah. Selagi boleh berdiplomasi, selagi itulah dia akan cuba menyusun kata.


“Aku tidak mahu perbicaraan, Takumi-san.”


“Segawa-san, nazir kami telah merakam kesaksian dari penghuni rumah kalian. Disebabkan itu kami datang ke mari. Sama ada engkau rela hati menyerah diri untuk dibicarakan, atau kami terpaksa menggunakan kekerasan. Buat pilihan sekarang Segawa-san. Jangan membuang masa kami.”


“Engkau pasti dakwaan penghuni rumah ini kebenaran? Atau sekadar fitnah mereka demi menghalauku dari rumah itu hanya kerana aku tidak memperkenan permintaan mereka?”


“Seperti kukatakan, jika engkau punya hujah, engkau boleh memilih untuk dibicarakan. Namun engkau harus menyerah diri kepada kami dahulu. Segera simpan senjatamu, Segawa-san.”


“Aku tidak akan menyerah diri. Aku mahu engkau dengar dahulu kata-kataku.”


“Baiklah. Apa maksudmu ‘permintaan mereka’?” Takumi sebenarnya tidak mahu memanjangkan cerita namun dia memilih untuk mendengar dahulu, bagi mengesan kepincangan dalam kata-kata Segawa.


Aku fikir mungkin ini muslihat, getus Takumi. Bahkan mereka hampir membunuhku jika aku tidak peka. Mereka sememangnya mahu membunuh kami. Aku akan mendengarnya tetapi aku perlu berhati-hati. Lihat kedudukan tangannya di mana jika dia mahu mengeluarkan pedangnya.


Di bahagian hutan buluh yang lain, Masami memberikan jawapan kepada Touma seolah-olah serentak dengan Segawa.


“Mereka mahu menyingkirkan kami berdua.”


Benarkah begitu? Dan mengapa mereka mahu membunuh kami, malah memanah Ryouji dan Ayame? Bukankah perkara begini boleh dibawa berbincang di Kogen?


“Atas sebab apa?”


“Mereka tidak menyukai tindakan kami yang mengongkong mereka di sini. Mereka mahu bebas seperti kanak-kanak lain. Dapat ke mana-mana, berjalan di pekan-pekan bersama ibu bapanya. Sedangkan kami mengurung mereka di sini.”


“Bukankah itu normal? Bukankah telah berpuluh tahun kami mengurung anak-anak kami sehingga umur lapan belas tahun baru dibenarkan keluar?”


“Itulah kelemahan kalian. Zaman sudah berubah, Touma. Anak-anak ini hidup di zaman di mana anasir dari Barat sudah meresap jauh ke ceruk tanah Yamato. Mereka mahukan kebebasan, bukan dikurung begini.”


“Engkau bohong. Pengintip kami mengesan engkau membawa keluar mereka seorang demi seorang di tengah malam. Untuk dilacurkan!”


Masami berubah wajah mendengarnya. Nampaknya nazir yang cuba kubunuh malam itu sudah berjaya membocorkannya. Mungkin nazir lain juga telah membocorkannya tanpa dapat aku kesani.


“Dilacurkan, dan masa depan mereka dimusnahkan lelaki hidung belang. Itu kebebasan yang engkau maksudkan? Itukah kebebasan, Masami-san?”


Masami tidak berlengah menyarung panah pada busur dan menghala ke arahTouma, melepaskannya. Touma bertindak pantas mengelak dan mencantas panah itu kepada dua, dan melompat ke atas, dalam jurus kaminari. Dia kini tinggi di atas pokok shirakaba.


**


Ayame segera ke koridor utama menuju pintu gelangsar depan.


“Kalian, berlindung di dalam bersama Tokui.” Pinta Ayame kepada tiga budak perempuan itu. Dia memandang Ryouji seraya menyambung, “Ryouji, bagaimana dengan panah itu?”


“Kita perlu berhati-hati. Ini racun torikabuto.”


Mujur aku ditolak oleh Ayame tadi. Jika tidak mungkin nyawaku sudah melayang akibat racun ini.


“Ryouji, engkau tunggu di dalam, lindungi Tokui dan lainnya.” Ayame mengarahkan, sambil berjalan separa mengitik keluar. Ryouji mengekorinya dan berjaga di hadapan rumah.


Tap!


Bunyi objek tumpul menghentak sesuatu.


Ryouji telah mengeluarkan pedang tumpul Saishi-tou-nya dan pantas menetak panah yang menyasar ke Ayame. Sebatang lagi muncul, sekali lagi Ryouji mengulang libasan, langsung mengena, mematahkan panah itu kepada dua.


Ara, aku bilang engkau Okuhida Ryouji.” Suara seorang wanita separuh abad kedengaran. Ryouji pantas memaling ke arah punca suara itu. Seorang wanita dengan dua kelongsong panah di belakangnya, wajahnya bengis seperti ahli sihir, berkedut seperti kulit buah pisang kaki yang dikeringkan (dried persimmon), rambutnya panjang diikat ekor kuda dengan jalur-jalur uban jelas kelihatan, dan dia memakai topi kon. Bajunya yukata ungu dengan umanori dari kain kapas bertenun, berwarna kelabu, lusuh dengan seratnya tercarik keluar di sana sini. Barangkali baju bertarung atau bertani. Mana mungkin mereka, penjaga rumah perlindungan, terlalu papa sehingga tidak mampu membeli pakaian yang lebih elok.


“Masami-san.” Ayame berdiri bersebelahan dengan Ryouji, mengadap wanita separuh abad itu, di hadapan pintu rumah.


“Okuhida-san, aku dengar kalian seperti keluarga Shirasaka itu.” Masami meneruskan kata-kata sambil memandang Ryouji, tidak menghiraukan Ayame.“Aku ingin sekali bertarung denganmu.”


“Masami-san, bertarung denganku. Dia masih baru.”


“Engkau diam, Ayame! Aku sudah berpuluh tahun di dalam Kogen. Dan hanya kerana engkau dari keturunan itu engkau mendapat kedudukanmu.”


“Aku tidak mengidamkan semua ini, Masami-san. Aku hanya menjalankan tugas yang telah mereka amanahkan kepadaku. Engkau telah menghancurkan masa depan anak-anak kami.”


“Itu balasan kalian. Aku hanya mahu sedikit imbuhan dari kalian kerana aku sudah lama berkhidmat. Takkan itu pun kalian tidak mampu? Bukankah Maharaja telah menambah dana kalian? Namun kalian terlalu kedekut bahkan mengurangkan gaji kami.”


“Dana itu akan digunakan bagi menambahkan lagi rumah kami. Masami-san, kami mahu menempatkan anak-anak orang miskin juga, bukan hanya anak yatim. Kami tidak mahu mereka dijual ibu bapa mereka lagi.”


“Aku tidak mahu lagi mendengar alasan kalian. Aku akan hapuskan engkau hari ini Ayame, dan aku akan mengambilalih Kogen.”


“Aku amat berharap, engkau menyerah diri sahaja Masami-san dan engkau akan dibicarakan. Ada peluang juga hukuman terhadapmu akan diringankan.”Ayame bersedia, dia sudah mengeluarkan pedangnya.


Masami meluru dan cuba menebas Ayame. Ayame melompat dan naik ke atas bumbung rumah.


Ryouji sedikit terperanjat, kerana pergerakan mereka amat pantas. Mereka naik ke jurus tinggi tanpa bermula dengan jurus rendah dahulu. Pada mulanya dia masih dapat melihat kedua-duanya naik di atas bumbung, namun sesaat selepas itu, hanya berbunyi angin berdesus dilibas pedang dan bunyi bumbung dipijak. Semakin lama bunyi itu semakin sukar dikesan dan kepantasannya meningkat, hanya sekali sekala Ryouji mengesan kulit pokok di tepi teratak menerima kesan hirisan pedang dan daun-daun terpotong olehnya.


Ryouji tidak mahu masuk campur. Biarlah Ayame yang menyelesaikannya. Dia berundur ke anjung rumah kerana tugas utamanya ialah melindungi tiga budak perempuan itu bersama Tokui. Segawa masih di luar bertarung dengan Takumi. Sementara Touma turun kembali dan bertemu Ryouji dan Tokui di hadapan rumah, berjalan separa mengitik dengan menutup wajah menggunakan dua bilah pedang,salah satunya tidak bermata iaitu pedang rasmi Kogen, bagi mengelakkan diri dari terkena libasan pedang Masami dan Ayame yang bertarung di jurus tinggi.


“Maafkan aku Ryouji. Masami terlepas dariku. Di mana dia sekarang?”


“Di atas bumbung bertarung dengan Ayame. Aku nasihatkan engkau jangan keluar atau akan terkena libasan pedang mereka. Mereka kulihat di jurus lapan.” Ryouji hanya mengagak melihatkan dia tidak dapat mengesan mereka.


“Usah bimbang, aku tahu kaedah mengesan petarung pada jurus tinggi kaminari.”


“Dengan naik ke jurus tinggi juga?” Ryouji cuba mengagak, spontan.


“Ya.”


Touma memusingkan tubuhnya dengan sebilah pedang terhunus. Beberapa saat selepas itu, dia sudah berpusing pantas seperti puting beliung, memasuki jurus kelapan, jurus terpantas untuk mereka yang bukan dari puak yang dua itu. Ryouji tidak lagi dapat melihatnya.


Aku tahu kaedah ini. Namun ketika pertarungan Mariko-san dengan Tsugiyama dahulu, aku tidak pasti di mana mereka ketika aku di dataran, dan hanya duduk menunggu. Ketika itu, aku langsung tidak mengesan tanda-tanda seperti desus angin dan hentakan pada bumbung, mungkin deruan angin musim bunga lebih menabirnya. Hanya selepas Mariko-san berjaya menumpaskan Tsugiyama barulah aku menyedari mereka di situ. Dia sudah berjaya menewaskan Tsugiyama, dan telah muncul di hadapanku. Namun dia diserang hendap oleh panah berapi. Strategi kotor, dan pengecut itu, benar-benar seperti mereka yang telah membunuh bapaku dengan fukiya. Sesiapapun, akan tewas dengan strategi begini. Dan aku telah tewas dua kali, mengorbankan bapaku dan Mariko-san. Namun aku berikrar, aku tidak akan tewas untuk kali ketiga. Aku berikrar.


Touma dapat melihat di mana lokasi Ayame dan Masami. Mereka berdua sudah berada di bawah, di taman bonsai. Masing-masing sudah berhenti bertarung. Ayame berdiri berhampiran bangku, sementara Masami sedang berdiri di atas dahan pokok keyaki (zelkova) yang rendang. Mata mereka masing-masing merenung satu sama lain,berwaspada.


“Ahli sihir berkedut seperti kulit pisang kaki kering, engkau masih tidak mahu menyerah kalah?”


Masami ketawa mendengarkan kutukan Ayame itu seraya membalas, “Engkau pun akan tua berkedut juga suatu hari nanti. Dan sekurang-kurangnya aku tua dengan bersuami.”


“Mujur juga aku belum berkahwin. Agar aku tidak dijodohkan dengan sampah seperti suamimu. Yang menghancurkan maruah anak-anak kami!”


Masami geram seraya menyarung panah pada busur dan melepaskannya. Namun dia melepaskannya bukan pada Ayame, namun pada Touma yang sedari tadi berdiri tidak jauh dari mereka dan dia telah berpura-pura tidak menyedarinya. Touma sempat mengelak, dan mata panah itu menghiris betisnya. Mata itu telah dicalit racun torikabuto, yang mana Touma dapat melihat racun itu sedikit mengena kulitnya yang dihiris. Dia cepat-cepat memicit keluar darah beracun dari luka itu dan mengelap sisa racun yang berwarna biru dengan pakaiannya. Sedikit sahaja racun itu sudah mampu membunuh sasaran.


Melihatkan Ayame leka memandang Touma, Masami bersedia memanahnya pula.


“Ayame!” Teriak Touma.


Ayame sempat memotong panah itu, menggunakan pedang bermatanya. Pedang itu sering dibawa untuk tujuan hukuman bunuh mengikut Kod Kogen (Kougen-dou/ ‘the Way of Kogen’).


Sasuga Hitokiri Ayame da ne. (seperti kujangka, Ayame Sang Pembunuh).” Gumam Masami sebaik melihat panahnya dipotong licin oleh pedang bermata Ayame.


Ayame digelar Hitokiri oleh ahli Kogen disebabkan peranan utamanya sebagai penjatuh hukuman bunuh Kogen. Selain dia, ada beberapa ahli Kogen yang juga memegang jawatan penjatuh hukuman tersebut namun mereka hanyalah pengganti Ayame dan identiti mereka dirahsiakan.


“Ya, dan engkau juga pembunuh. Engkau membunuh masa depan dan maruah anak-anak kami!”


Mereka kembali bertarung. Touma sudah berada di dalam rumah, kakinya kekejangan. Racun itu telah mula mendatangkan kesan. Dia mungkin akan lumpuh jika tidak dirawat segera dengan antidot.


Touma berkata kepada Tokui, “Budak lelaki, tolong aku. Torikabuto memasuki sedikit badanku. Jika Masami ada menyimpan antidot...”


“Ada, dia pernah merawatku menggunakannya. Sebentar ya.”


“Bawakan aku air minum juga.”


“Baiklah.” Tokui menurut.


Touma segera meminum air bagi melawaskan racun itu, yang hanya sedikit memasuki tubuhnya. Dia perlu berwaspada. Racun torikabuto bukanlah sebarangan racun. Antidot hanya berkesan pada dos rendah torikabuto, namun tidak pada dos yang lebih tinggi, atau pada ketika racun itu sudah jauh meresap ke dalam tubuh.

Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...