Novel: Yoru-no-kaze (Bab 3)

Kiku tinggal bersama ibunya yang uzur. Bapanya seringkali ke luar daerah kerana menguruskan syarikat perdagangan sutera keluarga mereka. Bapanya berulang-alik dari Osaka ke Tokyo memperdagangkan kain sutera yang akan digunakan oleh para pelanggan bagi membuat kimono.

 

Tokizawa Kiku nama penuhnya, getus Ryouji. Agak cantik seperti bunga kekwa bunga diraja itu (‘kiku’ bermaksud kekwa). Matanya cantik dan kulitnya putih mulus. Kiku amat berlainan dari Chisato. Chisato ada lembut dan ada kasarnya. Dia lebih keibuan. Dia akan berubah menjadi harimau betina jika melindungi adik-adiknya, dan Chisato sedikit pendiam, wajahnya manis namun redup, tenang, ayu, keibuan dengan matanya ruyup. Namun Kiku lebih petah berkata-kata. Wajahnya tidak seredup Chisato, matanya menambah seri dan senyumannya penuh ceria seperti rimbunan sakura di musim bunga. Mungkin Kiku tidak pernah melalui apa yang Chisato lalui sebelum dia menyertai rumah perlindungan kami. Ah, mengapa aku kerapkali membanding-bandingkan Kiku dengan Chisato?

 

Ne, Ryouji. Boleh aku bertanyakan sesuatu?”

 

“Tanyalah.”

 

“Mengapa Hisamiko amat pendiam?”

 

Ryouji sedikit tersentak mendengarnya. Dia bertenang menunggu Kiku meneruskan kata-kata.

 

“Aku cuba membuka perbualan. Sepatah yang kutanya, sepatah yang dijawabnya. Kemudian dia mengelamun jauh, seperti orang angau. Selagimana aku tidak bertanya, dia akan kekal begitu.”

 

“Dia memang begitu.” Lancar Ryouji berbohong.

 

“Ryouji, remaja seumurnya tidak akan begitu tanpa ada penyebab yang mendahului.”

 

Ryouji membisu, masih membelai-belai Kuneko.

 

Kiku tidak bertanya lanjut. Mungkin Ryouji tidak senang dengan pertanyaannya. Lantas dia hanya meneruskan menyelesaikan kerja-kerjanya di dapur, membiarkan persoalan demi persoalan tenggelam dalam kejanggalan.

 

Sambil membelai Kuneko, Ryouji berbisik dalam hati. Aku ingin sekali meluahkan kepada seseorang seperti Kiku. Hanya Kiku rakan yang tinggal yang aku senang berbicara. Shinji masih kekal di Kogen. Tsuneki dan Kobato sudah pun tiada, mereka telah pergi buat selama-lamanya. Chisato pula terpaksa aku lepaskan di Kogen demi keselamatannya dan adik kembarnya. Cinta pertama itu aku terpaksa lepaskan dahulu di sana. Chisato maafkan aku yang pengecut ini.

 

Namun aku tidak tahu bagaimana memulakan ceritaku pada Kiku. Aku tidak sanggup membiarkan Kiku mendengar kisah-kisah pahit kami. Dia terlalu murni. Dia seolah-olah tidak pernah disentuh nestapa dan pancaroba dunia di luar. Aku mahu dia kekal begitu, dengan wajah cerianya itu, dengan senyuman manisnya itu. Aku tidak mahu ia luntur dari wajahnya sepertimana yang berlaku pada Chisato dan Hisamiko.

 

Kiku, kisah-kisahku dipenuhi kematian demi kematian. Pengkhianatan demi pengkhianatan. Dari pengkhianatan seorang sahabat, dari pengkhianatan pelindung-pelindung anak yatim kami, kepada pengkhianatan seorang sami yang merupakan rakan baik Koichi sendiri, yang berakhir dengan kebakaran besar di Narai-juku. Dunia di luar sungguh merengsakan, memenatkan, menghampakan! Dan sehingga kini aku belum pasti apakah ia telah benar-benar berakhir, dengan aku memilih untuk bersembunyi di sini, dengan menurut tawaran dan nasihat Koichi selepas berakhirnya misi menewaskan Hamada. Aku yakin, aku masih sedang diburu. Sekurang-kurangnya oleh mereka yang risaukan kami yang mengancam kedudukan dan kuasa mereka. Seperti anak Hamada, Daimyo Yoshinobu.

 

“Boleh aku datang ke rumahmu, petang ini Ryouji?”

 

“Jemputlah.” Balas Ryouji, pendek. Kali ini dia turut membelai Igirisu yang menggesel-gesel badan di kakinya.

 

Kuneko melihat Igirisu dan naik dengki. Kuneko mengiau kuat dan cuba menerkam Igirisu. Igirisu meloncat mengundur sehingga ke belakang Ryouji. Kuneko mengambil tempat dan menggesel-gesel badannya di kaki Ryouji. Igirisu mengalah dan menjauhi mereka. Ryouji hanya tersenyum melihat gelagat dua ekor kucing itu, sedikit sebanyak meredakan gundah-gulana yang menguasai benaknya.

 

**

 

Selesai menguruskan ibunya, Kiku berangkat ke rumah Ryouji pada waktu petang. Rumah Ryouji hanya berjarak beberapa ratus meter dari rumahnya. Dia membawa bersama bekas-bekas berisi makanan dan minuman.

 

Hisamiko sedang duduk-duduk di atas dahan pokok keyaki yang rendang dan sudah kuning daunnya sambil merenung jauh ke ufuk merentas bendang yang luas hitam kerana habis semua pokok padi telah dituai di hadapannya, ditemani Azuchi yang duduk di atas pehanya. Dia mengusap-usap jemala burung hayabusa kesayangannya itu.

 

“Hisamiko, aku nak makan senbei (keropok beras).” Azuchi meminta dari Hisamiko tiba-tiba.

 

“Mana mungkin aku dapat mencarinya di sini Azuchi.”

 

“Aku mahu makan di Nara.”

 

“Nara?”

 

“Dahulu, lima ratus tahun lepas, ketika aku menjadi pengiring pemedang handal dari keturunan Okuhida yang tinggal di Nara, dia sering memberikan aku senbei. Sekarang sudah lima ratus tahun aku tidak memakannya.”

 

“Siapakah dia?”

 

“Seorang lelaki bernama Okuhida Hanzo. Moyang kesebelas dari sebelah bapamu.”

 

“Okuhida Hanzo? Mengapa namanya tidak pernah aku dengar?”

 

“Dia hidup di zaman Jepun sedang bergolak, berperang sesama sendiri. Tiada siapapun yang menjadi jaguh. Semua mati sia-sia, yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang. Tiada pemenang, maka tiadalah sejarah yang ditulis. Kerana sejarah hanya ditulis oleh pemenang.”

 

“Hmm. Ne Azuchi, kita pergi ke Nara.”

 

“Engkau tahu bagaimana ke sana?” Soal Azuchi teruja.

 

“Aku boleh berkuda ke sana, dan engkau tunjukkan jalan.”

 

“Bagaimana mungkin? Aku pun tak tahu di mana Nara.”

 

“Apa maksudmu tak tahu? Bukankah kau pernah tinggal di sana?”

 

“Benar. Namun itu lima ratus tahun lepas. Aku sudah lupa.”

 

“Di mana Okuhida Hanzo dikebumikan?”

 

“Jasadnya dibuang ke dalam laut oleh musuhnya. Maka bahan di belakang hidungnya ikut lesap sekali.”

 

“Jika begitu sukarlah engkau menjejaki di mana Nara. Aku fikir jika dia dikebumikan di sana, dapatlah engkau menjejaki menggunakan bahan itu. Namun tidak mengapa.” Hisamiko meloncat turun menuju ke dalam rumah. Dia kembali ke bawah pokok keyaki membawa segulung kertas.

 

“Azuchi, turun ke sini!”

 

“Ada apa?” Azuchi terbang turun.

 

Hisamiko mencangkung, seraya membentangkan sehelai peta Jepun yang besar di atas tanah. Dia menyendal setiap empat bucu dengan batu tatkala angin kuat bertiup cuba menerbangkannya.

 

“Engkau tahu kita di mana?” Soal Azuchi.

 

“Aku fikir aku boleh mengagak. Aku dapat rasakan seperti satu medan daya halimunan dikeluarkan bumi dari utara ke selatan.” Maklum Hisamiko.

 

“Aku pun.” Tambah Azuchi pada kata-kata Hisamiko. Azuchi menyambung, “Ia menganjur dari utara ke selatan. Burung-burung bermusim mengikut medan daya ini ketika berhijrah ke selatan tatkala musim sejuk menyelubungi utara.”

 

“Jadi aku sama dengan burung-burung?”

 

“Aku fikir engkau sama denganku. Aku ada deria sama di belakang paruhku. Aku mengesan lokasimu menggunakan deria itu.”

 

“Apa-apalah. Azuchi, kita berada di sini.” Hisamiko menunjuk ke arah satu tempat di atas peta, iaitu pekan Gero.

 

“Sini utara.” Hisamiko menunjuk pula anak panah utara di atas peta. “Aku akan pusingkan peta ini.” Hisamiko memusingkan peta agar utaranya selari dengan utara sebenar. Hisamiko dapat mengagak arah utara sebenar menggunakan derianya yang mirip kompas itu.

 

“Hmm...” Hisamiko mendapat pencerahan. “Ini bererti kita perlu menghala ke arah barat laut sahaja.”

 

“Bunyinya mudah. Namun engkau berkuda, Hisamiko, bukan terbang sepertiku.”

 

“Bukankah engkau yang mahu senbei sangat? Kita akan ikut jalan Nakasendo.”

 

“Engkau sanggupkah? Bahaya meredah Nakasendo berseorangan, lagi pula engkau perempuan.”

 

“Aku tak takut.”

 

“Aku cuma bimbang, andai kejadian dulu berulang lagi. Di Nambashi dulu...”

 

“Ah, itu dulu. Azuchi, aku mahu keluar lagipun. Bosanlah terperap di sini saja.”

 

“Apakah Ryouji akan membenarkan engkau keluar?”

 

“Aku akan memujuknya, Usah kau risau.”

 

Hisamiko ternampak Kiku berjalan memasuki perkarangan rumah. Dia baru sahaja selesai kerja memintal sutera di rumahnya. Pastinya mahu melawat Ryouji, fikir Hisamiko.

 

“Kiku nee-chan!” Pantas dia meluru ke arah Kiku. Azuchi turut sama terbang dan hingga di bahu Hisamiko. Matanya berubah terang.

 

“Oh, Miko-chan.” Kiku senyum lebar. Dia nampak Hisamiko mengerling ke bekas yang dibawanya. Pantas dia menyorokkan ke belakang badan.

 

Nee-chan... cari onii-san?”

 

“Aku mencari kalian.” Jawab Kiku sambil tersenyum.

 

Kiku melabuhkan punggung di anjung rumah dan meletakkan bekasnya. “Duduklah, Miko-chan.”

 

Azuchi terbang kembali ke atas pokok keyaki dan memerhatikan mereka dari sana. Hisamiko duduk di sebelah Kiku, dan Kiku membuka bekas yang dibawa, dan meletakkan bekas itu satu-persatu ke atas anjung yang sudah dilapik dengan kain, ia berisi pelbagai jenis makanan.

 

Mereka berbual-bual di anjung, sambil makan-makan dan menghirup udara petang. Ryouji masih di bendang, meronda-ronda cuba mengesan bibit-bibit kemunculan makhluk perosak dan memasang perangkap.

 

 

**

Seorang lelaki gemuk bersarungkan kimono mahal berwarna hijau, berdiri mengadap taman bonsai yang dipenuhi pohon momiji. Tangannya memegang curut. Disedutnya asap curut itu, memejam mata menikmatinya, kemudian melepaskan. Renungannya dilempar jauh-sejauhnya merentas barisan pohon momiji yang merah menyala, sehingga ke ufuk.

 

Otou-san. Sudah sebulan lebih engkau mati. Aku harus berterimakasih denganmu. Wilayahmu telah digabungkan bersama wilayahku dan aku kini gabenornya.

 

Lelaki gemuk itu tersengih, namun dimatikan sebaik perit tiba-tiba menusuk benaknya.

 

Sejak bapanya Hamada Yoshitsugu meninggal dunia, dia belajar menghisap curut dari pedagang Belanda yang bernama Pieter van Nekk itu. Curut adalah teman barunya, curut adalah ketagihan barunya. Curut menaikkan rasa gembira dan euphoria, menghindar dirinya dari cubaan membunuh diri. Tidak langsung dia berfikiran kehilangan Hamada adalah sebegitu perit, dan sebegitu sunyi. Sewaktu bapanya masih bernyawa, dia begitu kepingin melihatnya pergi, demi mendapatkan Wilayah Gizen. Bahkan dia menghantar orang mengejar bapanya yang lari ke Kobe selepas kuasa halimunannya dihilangkan Tsuneki dan Okuhida bersaudara.

 

Namun selepas semua ini berlaku, realitinya amatlah berlainan. Dia mendapat Gizen, namun dia juga mendapat keperitan. Juga, dapat dia mengesan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan samurainya, terutama yang setia kepada Yoshitsugu. Kesetiaan mereka diperlukan, namun keterlaluan setia kepada Yoshitsugu itu adalah racun. Racun yang boleh melarat membentuk barah dalam daging. Mereka sepatutnya setia dengan semua ahli keluarga Hamada, bukan hanya dengan Yoshitsugu!

 

Lelaki gemuk itu, Daimyo Yoshinobu atau sekarang lebih tepat digelar Gabenor Yoshinobu, menyedut lagi curut. Disebabkan itu, dia mengharap kepada seorang lagi bekas samurainya. Bekas samurai itu ditarik kembali agar berkhidmat dengannya. Ditawarkan gaji yang lumayan. Seperti pucuk dicita ulam mendatang, bekas samurai itu bersetuju menerima tawarannya hanya selepas sekali surat dihantar. Barangkali, kehidupan baru di Kyushu yang dikecapi tidak seindah yang dibayangkannya.

 

Seorang lelaki dengan pedang bersarung, tiba di perkarangan rumah.

 

“Saitou.”

 

“Yoshinobu-sama.” Saitou menundukkan badan tanda hormat.

 

“Terima kasih kerana sudi kembali berkhidmat dengan keluargaku.”

 

Doumo...” Saitou menjawab perlahan, mata merenung tanah.

 

“Bagaimana urusan perpindahanmu dari Kyushu?”

 

“Semua lancar. Barang-barangku akan tiba dalam masa beberapa hari lagi.”

 

“Isteri dan anakmu?”

 

“Isteri dan anakku akan tiba lusa jika tiada aral melintang. Mereka masih sibuk mengemas.”

 

“Bagus, lega aku mendengarnya. Saitou, dengar aku baik-baik. Ini ialah tugas pertamamu di sini.”

 

“Ya, Yoshinobu-sama. Apa tugas itu?”

 

“Jejaki Okuhida Ryouji dan adiknya Hisamiko.”

 

Saitou diam seketika, berfikir. Anak Mitsuo? Apa lagi yang keluarga Hamada mahukan dari mereka? Paling akhir aku bertemu mereka ialah di kuil Furukawa itu sejurus selepas bapa mereka dibunuh keluarga ini. Kemudian Takasaki datang dan menghalangku.

 

“Tuan, aku pasti akan menunaikan permintaanmu. Namun boleh kutahu apakah tujuanmu?”

 

“Merekalah yang bersekongkol dengan Kogen membunuh bapaku di Kobe. Ya, aku beroleh manfaat dari kematiannya. Namun aku bimbang kewujudan mereka bakal mengancam kedudukanku kelak. Juga perniagaan kita.”

 

“Apakah engkau mahu mereka dibunuh, atau dipenjarakan di dalam kurungan kita di sini?”

 

“Aku mahu mereka ditangkap hidup-hidup. Jika mereka mati atas kesilapanmu, engkau harus melakukan seppuku. Mengerti?!”

 

Menggeletar lutut Saitou tatkala mendengar perkataan ‘keramat’ yang sekian lama tidak didengarinya itu, iaitu ‘seppuku’. Dia menyangka dengan kembali bekerja bersama keluarga Hamada, seppuku tidak lagi diamalkan. Tambahan pula sistem samurai telah dihapuskan Maharaja. 

 

Aku datang sini untuk hidup. Di Kyushu pekerjaanku tidak bergaji lumayan. Aku datang ke sini bukan untuk mati. Bisik Saitou dalam hati.

 

“Baik Tuan Yoshinobu-sama.” Saitou menyahut arahan Yoshinobu, namun di dalam hatinya berbolak-balik. Apapun, dia akan cuba melaksanakan sebaik mungkin arahan tersebut, iaitu memastikan kedua-dua anak Okuhida Mitsuo bekas rakan sekerjanya yang pernah bersama-sama berkhidmat kepada keluarga Hamada itu ditangkap hidup-hidup.

 

Saitou Hajime ialah bekas samurai Hamada. Sewaktu peristiwa bapa Ryouji, Okuhida Mitsuo dibunuh, dia telah dihantar Daimyo Hamada Yoshitsugu bagi menangkap Ryouji dan adiknya. Namun Saitou telah membunuh penjaga sebuah kuil Shinto berhampiran Furukawa tatkala dia mendapati penjaga kuil itu menipu lokasi Ryouji dan Hisamiko. Peristiwa itu masih segar di ingatan Ryouji kerana ia berlaku benar-benar di hadapan matanya. Ryouji masih menyimpan tekad suatu hari nanti dia akan dapat menjejaki Saitou. Pada Ryouji, ia salah satu dari peristiwa memeritkan yang mana sehingga sekarang ia belum benar-benar diselesaikan. Ia seperti selumbar yang tertanam ke dalam daging di kaki dan amat sukar dikeluarkan dan pabila engkau melangkah mengharung kehidupan, sakit dari selumbar itu menusuk cuba mengingatkan engkau bahawa ada hutang yang belum dilangsaikan, ada bisikan dari roh si mati bahawa menjadi tanggungjawabmu sebagai saksi membela mereka yang dimangsakan.

 

Saitou gagal menangkap Ryouji dan Hisamiko pada ketika itu kerana campurtangan Takasaki, dan tidak lama selepas itu Saitou berpindah ke Kyushu meninggalkan Hamada tatkala Maharaja menarik balik semua pemilikan tanah di seluruh Jepun dan menghapuskan sistem samurai. Disebabkan itu Saitou sukar dijejaki.

 

Sekarang dia telah kembali ke pulau Honshu ini. Dan Ryouji juga masih berada di sini. Mungkin pertemuan antara mereka bakal menjadi kenyataan. Mungkin, pertemuan ini adalah pertemuan paling dinanti-nantikan mereka berdua. Masing-masing punya objektifnya. Saitou akan bertemu demi menangkapnya dan membawanya kepada Yoshinobu. Ryouji akan bertemu demi menangkapnya dan membawanya ke Kogen untuk dibicarakan.

 

Sekarang, Takasaki sudahpun tiada. Ryouji dan Hisamiko telah mendapat anugerah kuasa tambahan dari hayabusa-no-kami. Apakah keputusan bakal berpihak kepada Ryouji, atau Saitou?

Novel: Yoru-no-kaze (Bab 2)

Lewat musim luruh, 1874

 

Sudah sebulan setengah berlalu sejak Hamada ditumpaskan di kubu persembunyiannya di Kobe.

 

Ryouji dan Hisamiko kini tinggal jauh di sebuah kampung di pedalaman Wilayah Jooryoku (Hidagawa), di rumah yang telah dijanjikan Koichi selepas mereka berjaya menumpaskan Hamada. Kampung ini terletak berhampiran pekan Gero.

 

Ryouji mengusahakan bendang di hadapan rumah, dibantu Hisamiko. Kehidupan baru di sini sedikit sebanyak meredakan keperitan jiwa yang membelenggu mereka beberapa tahun belakangan ini.

 

Sejak Hamada ditumpaskan, dan kematian Sonzaemon yang menyusul, onar-onar semakin berkurangan meski masih wujud dan kadangkala meningkat dalam musim tertentu.

 

Penguatkuasaan undang-undang dan pemerkasaan pasukan polis masih diteruskan dan masih banyak yang perlu dipelajari polis. Sebahagian bekas-bekas samurai yang berkelayakan turut diserap masuk ke dalam pasukan polis dan tentera yang baru ditubuhkan Maharaja. Wilayah Gizen dan Kodama kini dipimpin anak Hamada, Daimyo Hamada Yoshinobu.

 

Ryouji masih ditebak kerisauan. Risau kerana dia mungkin akan diburu orang-orang Daimyo Yoshinobu kerana telah menyebabkan kematian Hamada. Daimyo Yoshinobu mungkin berdendam. Meskipun ada ura-ura mengatakan bahawa Daimyo Yoshinobu turut menghantar samurainya memburu Hamada bapanya sendiri itu pada hari-hari sebelum peristiwa di Kobe, di mana Ryouji mengambilnya sebagai petanda bahawa Daimyo Yoshinobu sememangnya mahu membunuh bapanya sendiri, namun mungkin, Daimyo Yoshinobu masih mahu memburu dia dan adiknya, kerana bimbang nasib yang menimpa bapanya bakal menimpa dirinya. Pendek kata, Daimyo Yoshinobu mungkin menyimpan niat mahu menghapuskan sebarang ancaman dan mengekalkan kuasanya. Tambahan, Daimyo Yoshinobu masih meneruskan perniagaan pemerdagangan karayuki.

 

Ryouji melepaskan keluhan berat, merenung menengadah pohon momiji yang merah menyala di bawah cerah sinar mentari musim luruh, di hadapan rumah barunya. Hisamiko masih nyenyak setelah kepenatan membanting tulang menampi padi semalam. Padi-padi itu telah dituai dan disimpan di bilik setor oleh seorang gadis bernama Kiku dan pekerjanya sebelum mereka tiba di sini sebulan setengah lepas, hanya menunggu untuk ditampi bagi membuang kulitnya. Angin gunung yang menyegarkan berhembus lembut merentas bendang yang kini hitam tanpa pokok padi, terbentang luas di hadapannya, menambah kedinginan suasana pagi musim luruh di sini.

 

Aku telah menjadi salah seorang pahlawan ulung. Aku dan Hisamiko, kami sekarang memegang empat persepuluh dari kuasa hayabusa, hampir menyamai kuasa Shirasaka yang memegang enam persepuluh, terima kasih kepada Tsuneki yang mewasiatkannya kepada hayabusa-no-kami sebelum kematiannya. Tsuneki, kami amat merinduimu, kenakalanmu pengubat sunyi kami semua. Engkau pergi kerana melindungiku Tsuneki! Engkau pergi pada usia yang begitu muda kerana melindungiku!

 

Air mata bergenang, Ryouji membiarkan ia mengalir menuruni pipi, pantas dikeringkan bayu musim luruh yang dingin dan kering itu.

 

Dengan matinya Hamada, sumpahan hayabusa ke atasku juga telah terlerai. Aku kini hidup normal seperti biasa, dan akan mati seperti manusia normal. Jika panjang umurku, panjanglah ia, jika pendek, pendeklah ia. Tiada had akibat apa-apa sumpahan. Juga aku diberikan rumah dan tanah oleh Koichi di atas usaha aku dan Hisamiko menumpaskan Hamada. Kami hidup di sini aman damai dan terlindung dari konflik.

 

Namun apa maknanya semua ini, kuasa magis, kemahiran bertarung dan wang dan tanah warisan bapaku dan ganjaran dari Kogen yang aku miliki, jika perniagaan haram Daimyo Yoshinobu itu masih dibenarkan berleluasa? Apakah aku hanya perlu berdiam diri di sini, membutakan mata hati dan membiarkan anak-anak gadis sebaya Hisamiko diperdagangkan seperti barang mainan? Menjadi saksi bisu keculasan pelaksanaan undang-undang? Apa maknanya semua kuasa yang telah Tuhan kurniakan kepadaku jika aku berdiam diri hidup penuh selesa di sini?

 

Suara-suara itu kerap bermain di fikirannya akhir-akhir ini, tatkala dia sendiri sudah sejak lama dahulu memutus mahu bersara dari dunia berdarah di luar sana. Bahawa dia telah memutus, penghapusan kuasa Hamada adalah misi terakhir yang disertainya, juga arahan terakhir Kogen yang dipatuhinya. Namun mengapa masih hatinya berbolak-balik? Apakah dia telah sebenar-benarnya berfikir dan memutus semasaknya? Atau lebih kepada risaukan Hisamiko bakal menjadi penumpah darah seperti ramalan Amaguri?

 

Secara rasminya, selepas dia tamat misi menumpaskan Hamada, dia bukan lagi ahli pasukan khas atau mana-mana unit yang dikendalikan Kogen, meskipun dia masih kekal ahli Kogen, seperti para pengintipnya yang ramai dan bertebaran di serata Jepun itu. Dengan status ini, Ryouji dan Hisamiko tidak lagi menerima tugas atau misi dari Koichi dan Kogen, namun masih kekal sebagai sumber maklumat dan penyumbang dana sebagaimana para pengintip Kogen disebabkan statusnya sebagai ahli.

 

Namun dalam bolak-balik hati Ryouji, ternyata ia masih tertambat di sana, Shirasaka-no-Kogen. Karisma Koichi menyerlah dalam kepercayaan yang semakin menebal dalam misi demi misi. Koichi yang dikatakan ramai sebagai seorang pendiam itu sebenarnya seorang pemimpin yang tahu mengemudi bahtera Kogen.

 

Aku percayakan Koichi. Aku juga percayakan Ayame. Namun masih, kapal yang mereka kemudi itu kini terumbang-ambing dipukul ribut kiri dan kanan, depan dan belakang, bahkan dari kacau-bilau dalaman juga oleh pengkhianat dari dalam kalangan ‘anak kapal’ itu sendiri. Bahkan bibit-bibit perpecahan mulai kelihatan. Ayame kulihat mulai menunjukkan tanda-tanda berontak. Skuad Sakura yang dikendalikannya itu, meskipun punya wawasan murni, masih berpotensi untuk dijadikan kuda tunggangannya bagi membawa gagasan baru, dalam satu pecahan Kogen yang bernaung di bawahnya, sebuah pasukan renegad, seterusnya membina dan memperkukuh tapak kuasanya di Kogen. Ayame juga punya karisma tersendiri. Dia lebih tegas, garang seperti singa betina dan sukar dikompromi, amat bertentangan dengan peribadi bapanya Koichi yang tenang seperti air mengalir. Namun karisma mereka sebagai pemimpin kufikir setara.

 

Meski semua ini, hatiku masih kepingin untuk menjadi salah seorang dari anak kapal itu, membantu mereka berdua sehingga ke puncak jaya. Koichi masih belum menyingkirkan namaku dan Hisamiko dari senarai mereka yang dibenarkan memasuki rumah-rumah perlindungan Kogen. Betapa mereka mempercayaiku. Dan hanya Kogen satu-satunya harapanku yang tinggal demi menegakkan kembali undang-undang di negara ini.

 

Dari jauh Ryouji dapat mengesan suara halus yang cuba menerobos kabut lamunannya, seperti seseorang mendendangkan lagu. Dia beredar, menelusuri perkarangan rumahnya menuju ke denai di hutan bambu kecil.

 

Ryouji menyusur denai sehingga ke kawasan penternakan ulat sutera berdekatan, di pinggir sebuah pekan kecil. Pekan kecil persinggahan pedagang ini dinamakan Gero. Di sinilah ulat sutera berkualiti dibiak dan diternak. Benang-benang sutera yang dihasilkan di sini akan dipintal dan ditenun menjadi kain-kain kimono akhirnya, diperdagangkan di sejauh-jauh Osaka dan Tokyo.

 

Semakin dia menghampiri, semakin jelas nyanyian halus itu. Suara seorang gadis.

 

Inochi, mijikashi

Koi se yo otome ya

Kokoro suzuro ni

Nani utau

Yosakoi, yosakoi

 

(Hidup ini singkat,

gadis, carilah cinta.

Dengan hati yang bergelora

lagu apa yang kau dendangkan?

Yosakoi, yosakoi.)

 

Jelas di mata Ryouji gadis itu sedang tekun memintal gentian sutera, memusing-musing mesin mekanikal pemintal sutera diperbuat daripada kayu dan logam, di atas anjung sebuah rumah. Jika lama dahulu, Jepun bergantung kepada kemahiran tangan dalam memintal dan menenun sutera, kini mereka menggunakan mesin mekanikal yang direkabentuk dan ditambahbaik dari mesin asal yang diimport dari Barat.

 

“Kiku...” tegur Ryouji perlahan. Pantas dendangan gadis itu terhenti. Dia turut berhenti mengendali mesin tenun itu, menoleh memandang Ryouji.

 

“Oh Ryouji, terkejut aku. Awal engkau bangun pagi ini.” Jelas merah mukanya menyedari nyanyiannya didengari seorang lelaki seusia. Namun senyuman tetap terukir di bibirnya. Kiku memakai pengikat rambut berwarna putih yang agak lebar sehingga menutup separuh kepalanya, membendung rambut hitam pekat dan panjang dari mengganggu kerjanya. Dia berwajah kecil, bujur, putih mulus, matanya kecil dan nipis namun lengkungannya halus dan cantik, keningnya tidak tebal, mengenakan jinbei berwarna biru air. Tubuhnya lebih rendah dan lebih kurus dari Chisato, langsing, sehingga jelas bentuknya di balik yukata. Masih muda, sekitar umur Ryouji sahaja.

 

“Lagu apa yang kau dendangkan itu?”

 

“Oh, itu lagu warisan. Yosakoi.”

 

“Yosakoi?”

 

“Lagu yang ibu ajarkan padaku.”

 

“Dendangkanlah lagi, Kiku, jika ia tidak memberatkanmu.”

 

“Oh...” Kiku menoleh. “Aku hanya menyanyikan untuk diriku. Tidak mengapa Ryouji. Aku sudi.” Tidak mahu menghampakan Ryouji, malah berasa bangga masih ada insan yang sudi mendengar lagu yang kian lapuk ditelan masa itu, dia kembali mengalunkan bait-bait itu, meski hatinya dirundung perasaan malu tidak terhingga, dan wajahnya masih merah. Ryouji mendengar penuh khusyuk, terpana dengan keindahan liriknya, dan mungkin juga, kemerduan suara Kiku. Mungkin juga, kerana kejelitaan gadis ini.

 

Ryouji mengenali Kiku seawal perpindahannya ke sini bersama Hisamiko. Sebenarnya, rumah yang diduduki Ryouji dan Hisamiko itu beserta bendangnya ialah bekas milik keluarga Kiku yang dijual kepada Kogen, sejak keluarga gadis itu berpindah ke sini demi meneruskan perniagaan sutera mereka. Kikulah yang banyak membantu Ryouji dan Hisamiko menyesuaikan diri dengan rumah tersebut beserta pengurusan bendang mereka.

 

Namun sejak mereka saling mengenali, inilah kali pertama Ryouji mendengar Kiku menyanyi. Kali pertama juga, Ryouji maklum akan lagu tradisi itu. Meski Jepun sudah membaharu, tradisi masih dikekalkan. Kerana dalam tradisi itu terkandung identiti mereka sebagai sebuah bangsa. Yang baik dikekalkan dan diteladani, yang buruk dijauhkan dan dihapuskan.

 

Hidup ini singkat. Ya, meskipun sumpahan itu telah berakhir, masih, hidup ini tetap singkat padaku. Seratus tahun sudah dikira terlalu lama umur seseorang di sini yang mampu dicapai. Hidup ini terlalu singkat untuk berduka lara dan berfikir panjang keterlaluan. Kebahagiaan itu lebih penting. Namun dengan kuasa yang aku miliki, mampukah aku bahagia? Sedang Daimyo Yoshinobu masih berwenang melakukan kegiatannya di luar sana. Sedang aku dikurniakan kuasa oleh hayabusa-no-kami.

 

Jika bukan aku yang sudi mengangkat pedang, siapa lagi?

 

Namun tiap kali aku memandang Kiku, aku lupa akan tingkah di luar. Onar-onar dan kejahatan itu. Di sini, jauh di celah gunung ini, kami agak terlindung, mungkin, untuk sementara waktu, ketikamana Daimyo Yoshinobu masih belum bersungguh memburuku. Kami agak terhindar dari para perompak dan penjenayah kerana di sini pergunungan, dan agak jauh dari laluan pedagang seperti lebuh Nakasendo di mana mereka selalunya menumpukan aktiviti jenayah mereka. Jika aku memilih untuk terus melupakan dunia di luar, di sinilah tempat yang sesuai. Amat sesuai untuk aku melindungi Hisamiko dari menjadi petarung yang digeruni seperti ramalan Amaguri. Dan memulakan hidup baru, dan melupakan Chisato yang aku tinggalkan di Kogen itu.

 

Chisato... maafkan aku. Maafkan aku kerana terpaksa meninggalkanmu. Pada saat itu aku fikir aku akan pergi awal dari dunia ini. Aku fikir aku akan pergi pada ulangtahun kelahiran kedua puluhku. Aku bimbang engkau akan berseorangan di luar ini dengan keluarga Hamada masih memburumu dan adik-adikmu. Dan sekarang, aku berasa serba salah sekiranya aku kembali bertemumu. Aku tidak mahu mempermainkan perasaanmu lagi. Engkau sudah pun bersedia melepaskanku. Apa yang berlalu biarlah berlalu pergi.

 

Dendangan Kiku masih berkumandang. Jari-jemarinya yang putih halus mengendali mesin pemintal sutera. Kenangan bersama Chisato tenggelam dalam lunak merdu suara gadis itu. Harum sisa-sisa bunga sakura di atas pepohon hangat menusuk deria hidu tatkala angin musim luruh bertiup, seolah-olah cuba meredakan bisa nestapa yang masih mencucuk sanubari.

 

Kiku berlainan dari Chisato. Cirinya tersendiri. Indah matanya, luhur tutur bicaranya, merdu suaranya, berlainan namun sama mengkhayalkan. Ah, Chisato. Mengapa masih belum mampu aku melupakanmu?

 

Carilah cinta, gadis. Koi se yo otome ya. Carilah cinta yang baru, Chisato. Semoga engkau berbahagia di sana bersama adik-adikmu, dan kekasih barumu.

 

Ryouji bersandar pada susur pemegang di tangga anjung. Kiku masih berdendang sambil terus menyambung kerjanya, sehingga Ryouji terlelap. Kiku berhenti tatkala dia pasti Ryouji sedang nyenyak. Dia bangun perlahan-lahan, melangkah menuju ke arah Ryouji.

 

“Sungguh elok.” Kiku menatap wajah Ryouji lama. Dia tersenyum manis. Tidak pernah semanis itu senyumnya sepanjang dua dekad umurnya.

 

Namun aku dapat mengesan garis-garis sengsara dari raut ini. Pipinya cekung. Ada kedutan sedikit di bawah matanya yang aku tidak jangka muncul pada raut wajah seorang yang berusia sebayaku. Apa yang telah engkau lalui Ryouji sehingga saat ini? Aku ingin sekali mendengar kisahmu. Mungkin, aku mampu merawat luka-luka itu? Atau mungkin sekadar menjadi pendengar setia?

 

“Kiku-chan!” Dari jauh kedengaran suara seorang lelaki tua. Penjaja ikan bernama Matsuda tiba, dan melaung nama Kiku sedari dalam hutan buluh.

 

Kiku turun ke perkarangan menunggunya, dan mengambil bekalan ikan dari penjaja itu sambil berbual-bual kosong beberapa ketika. Dia membawa ikan-ikan segar itu ke dapur untuk disiang. Sebaik sahaja dia mula menyiang, berduyun-duyunlah kucing datang mahu merembat sisa-sisa siangan ikan. Di sini banyak kucing, sengaja dipelihara keluarga Kiku. Tujuan mereka ialah agar kucing-kucing ini menangkap tikus-tikus yang seringkali menyerang ulat-ulat sutera mereka.

 

Ada enam ekor kucing semuanya. Semua berbulu lebat, mungkin kerana cuaca di celah pergunungan yang sejuk ini. Tiap mereka punya nama, diberi mengikut warna bulu masing-masing. Yang oren tanpa belang bernama Kuneko (‘kucing oren’’), yang hitam bernama Kurogane (‘emas hitam’), yang calico bernama San’iro (‘tiga warna’), yang belang kelabu bernama Saba (‘ikan mackerel’), yang belang oren bernama Tora (‘harimau’), yang berbulu hitam pada belakang dan putih depannya seperti memakai tuxedo bernama Igirisu (‘orang Inggeris’).

 

Kiku mengumpulkan sisa perut dan kepala ikan ke dalam satu bekas besar. Jika mana-mana bekas makan kucing itu licin, dia akan menambah sisa ikan yang baru dari bekas besar. Maka gemuk-gemuklah belaka kucing-kucing itu kerana saban hari diberi makan sisa ikan segar.

 

Jika tiada bekalan ikan, tikus-tikus di situ sudah mencukupi. Kadangkala Ryouji akan membawa ikan lebihan yang dipancing di bendangnya ke sini.

 

Nee-chan.” Kedengaran suara seorang budak lelaki.

 

“Takeru.” Takeru ialah adik kepada Kiku berusia enam tahun.

 

Nee-chan, aku mahu pergi sekarang.”

 

“Sebentar, Takeru. Ambil ini.”

 

Kiku menghulurkan kotak bambu berbalutkan kain kepada Takeru. Di dalamnya berisi makanan.

 

“Terima kasih nee-chan. Ittekimasu!”

 

Itterasshai.”

 

Ryouji terbangun dari lelap tatkala terdengar bunyi Takeru berlari menuruni tangga. Dek kerana laju berlari Takeru tidak perasan keberadaan Ryouji di situ dan dia terus berlalu menuju ke destinasinya, iaitu kelas membaca yang diadakan Kogen di pekan Gero.

 

Ryouji menggosok-gosok mata. Dia memandang ke anjung dan mendapati Kiku tiada. Mesin pemintal sutera telah ditutup dengan kain. Mungkin dia sedang sibuk di dapur.

 

Aku agak bosan sekarang. Kerja-kerja mengumpul jerami di bendang sudahpun selesai. Kerja menampi pun sudah hampir selesai. Selalunya jika aku bosan aku akan ke sungai memancing. Namun bosan juga jika selalu melakukannya. Oh ya, Kiku punya kucing. Mungkin mereka sedang sibuk makan sisa ikan siangan Kiku seperti selalu yang kulihat?

 

Ryouji ke belakang rumah. Tepat telahannya. Enam ekor kucing sedang sibuk melahap sisa ikan dari bekas masing-masing.

 

Ryouji datang ke belakang kucing oren bernama Kuneko dan membelai belakangnya. Kucing itu tidak terkejut, kerana ia sudah mengenali Ryouji.

 

“Engkau pasti mencari Kuneko.” Tegur Kiku sambil tersenyum, sedang membasuh ikan-ikan yang siap disiang.

 

“Kuneko serupa dengan kucing di kampungku dahulu.”

 

“Oh begitukah? Engkau tidak pernah memberitahuku pula. Ceritakanlah lagi, Ryouji.”

 

“Namanya Mio.”

 

Kiku ketawa kecil. Mungkin kelakar baginya.

 

“Mengapa engkau ketawa?”

 

“Namanya sama seperti nama anak gadis.”

 

“Aku petik nama itu kerana ia kucing betina. Warnanya oren seperti Kuneko.”

 

“Apa terjadi pada Mio-chan?”

 

“Aku temui dia mati tiba-tiba pada satu hari.”

 

Ara, maafkan aku!” Sayu tonanya suara Kiku.

 

“Tidak mengapa Kiku. Itu kisah lama.”

 

“Jika engkau sudi kisahkan, boleh kutahu apa penyebab kematiannya?”

 

“Aku tidak pasti. Tiada tanda-tanda cedera pada tubuh. Berkemungkinan dia termakan sesuatu yang telah diracun.”

 

“Diracun? Engkau ada mengesyaki seseorang?”

 

“Tidak ada. Yang anehnya aku temui jasad Mio berhampiran rumahku. Berkemungkinan dia sempat berjalan ke rumahku sebelum rebah. Ada buih pada mulutnya.”

 

“Racun apalah ya. Kejamnya.”

 

“Aku tidak pasti.”

 

Sugul wajah Ryouji tatkala menggali kembali kisah sedih itu.

 

“Engkau datanglah selalu ke sini. Engkau boleh bermain dengan Kuneko selalu.”

 

Dan aku boleh memandangmu sehari-hari! Bisik Kiku dalam hati.

 

“Hmm.” Ryouji masih menggosok-gosok dan mengelus bulu lebat oren Kuneko. Kuneko tidak menghiraukan, masih sedang asyik melahap sisa ikan.

 

“Engkau pun tidaklah sesibuk minggu-minggu sebelum ini bukan?” Tebak Kiku.

 

“Aku perlu melihat-lihat makhluk perosak di bendang.”

 

“Makhluk perosak? Ne, Ryouji. Padi pun sudah dituai semua. Apa yang kaurisaukan dengan makhluk perosak?”

 

“Oh, sekadar mahu memusnahkan sarang tikus. Waktu bendang kering beginilah mudah meracun mereka.”

 

“Hmm. Oh ya, di mana Hisamiko?”

 

“Dia masih tidur sewaktu aku keluar rumah tadi. Mungkin kepenatan semalam menampi padi.”

 

“Ajaklah dia ke mari. Aku bosan di sini.”


Novel: Yoru-no-kaze (Bab 1)

YORU-NO-KAZE (KAISENJYO: BUKU 2)

ARKA 1 DARIPADA 2: KIKU

** 

Sudah berpuluh petarung Kogen dan Maharaja yang dihantar ke kubu Hamada di Kobe dengan misi memecah masuk dan menangkapnya, gugur tanpa nesan, mayat bergelimpangan di atas jambatan yang merentangi parit mengelilingi kubu itu dengan darah bersimbah-simbah. Ada antara mereka yang tercampak ke dalam parit itu akibat hentaman peluru tentera Hamada yang berkawal di balik tembok. Sebarang usaha merentas jambatan merentangi parit dalam dan digenangi air ala jambatan di Kubu Ishida Mitsunari di Osaka dua ratus tahun lampau itu, dipatahkan pasukan Hamada yang bersenjata api dan bertahan di balik tembok-tembok tinggi kubu.

 

Kala pertempuran di kubu Hamada masuk hari ketiga, Ayame mengadap bapanya Koichi di Shirasaka-no-Kogen.

 

Otou-san, benarkan aku ke Kobe.” pinta Ayame tegas sebaik duduk di hadapan bapanya dalam pejabat kecil. Mereka berdua dipisahkan sebuah meja teh yang besar.

 

“Aku tidak akan benarkan engkau ke sana.”

 

Otou-san aku merayu. Tentera kita sudah ramai terkorban. Apakah engkau memandang enteng nyawa-nyawa mereka, otou-san? Aku yakin engkau pun tahu, hanya aku seorang yang mampu melepasi tembok Hamada itu. Mengapa engkau masih enggan melepaskanku? Mengapa engkau sanggup membazirkan nyawa tentera kita? Bukankah itu taktik samurai yang kita sudah lama singkirkan?”

 

“Ayame, mengapa engkau menghantar pasukanmu ke Yokuma?” Koichi mendadak beralih topik. Perancangan Ayame menghantar ahli Skuad Sakura, iaitu ahli Kogen yang bertugas sebagai nazir Kogen dan kebanyakannya wanita, ke Yokuma membantu Ryouji dan Hisamiko tiga bulan lepas, meruntun rasa ingin tahu Koichi.

 

Ayame terdiam. Bagaimana otou-san mengetahui rancangan sulitku menghantar pasukanku ke Yokuma, tiga bulan lalu? Ah, ini sudah pasti kerja Tatsuhiro penjilatnya itu! Di bawah meja, Ayame memusing-musing jarinya. Aku hanya menghantar mereka untuk membantu Ryouji dan Hisamiko. Mereka memerlukan bantuan tentera tambahan demi memusnahkan pusat kuasa Hamada.

 

“Aku lega engkau tidak ke sana sendiri. Jika engkau ke sana mungkin aku telah memenjarakanmu. Ayame, berehatlah.” Sambung Koichi, sambil mata merenungnya. “Berehatlah dari misi-misimu.”

 

“Mengapa otou-san mahukan aku berehat? Selepas jasa-jasa yang telah aku taburkan untuk Kogen?”

 

“Aku tidak mahu kehilangan engkau.”

 

“Jika engkau benar menyayangiku, mengapa engkau masih melepaskanku menjalankan misi-misi di rumah perlindungan Kogen sebelum ini?”

 

“Aku tidak pernah memintanya! Aku tidak pernah memaksamu ke sana Ayame. Bukankah engkau yang mendesakku agar membenarkan engkau menyertai misi-misi itu? Dan mengapa engkau begitu gemar menyertainya? Kerana berpeluang menjatuhkan hukuman bunuh? Kerana Kod Kogen membenarkan engkau membunuh orang asalkan ia punya sabitan jenayah? Engkau mahu menggunakan Kod Kogen agar engkau boleh menumpahkan darah?” Suara Koichi meninggi.

 

Otou-san! Aku membunuh demi menegakkan undang-undang. Apakah engkau tidak bersetuju dengan Kod Kogen yang sekian lama kita sendiri angkat?”

 

“Ayame, jika engkau masih waras, hentikanlah dan berehatlah. Aku akan menggubal Kod Kogen dan memansuhkan hukuman bunuh. Engkau berhentilah dari menyertai misi-misi itu. Hentikanlah dari permintaanmu menyertai misi menumpaskan Hamada.” Biarkanlah aku mengalihkan misi itu kepada Ryouji dan adiknya. Aku tidak mahu tanganmu Ayame, dikotorkan lagi. Semakin kotor tanganmu, semakin dekat engkau dengan ramalan Amaguri. Biar puak Okuhida yang melakukannya, biar ramalan Amaguri itu jatuh kepada Okuhida Hisamiko!

 

Ayame masih berang dengan keengganan bapanya. Dia berlalu tanpa kata keluar dari pejabat Koichi di Shirasaka-no-Kogen itu. Koichi memandang kelibat Ayame sehingga hilang dari pandangan. Dia menutup kembali pintu gelangsar pejabatnya, dan bersendiri di hadapan meja teh, bersila dan mengelamun.

 

Di luar cahaya mentari musim luruh 1874 [MSS(1] cerah menerangi segenap lembah terpencil itu dengan daun-daun kering terbang mengikut arah angin bertiup. Ada sedikit cahaya masuk dari celah-celah dinding kertas menerangi bilik pejabat itu.

 

Aku menyesal kerana kurang bertegas terhadap Ayame dahulu. Semua ini tidak akan dapat diundur lagi. Mengapa aku begitu cuai dahulu dengan membenarkan dia menjadi penjatuh hukuman bunuh, sedangkan aku sendiri sudah menyedari ramalan Amaguri itu? Mengapa aku masih tewas dengan desakannya?

 

Koichi teringat misi pertama yang disertai Ayame, di mana dia membenarkan Ayame menyertainya bagi menguji tahap kepimpinannya. Ayame tidak teragak-agak berbanding pasukannya dalam menjatuhkan hukuman. Dari situ, Koichi membiarkan sahaja dia menyertai misi-misi yang lain di rumah perlindungan Kogen. Namun, semakin lama, Ayame dilihat semakin ketagih. Dia jelas sudah mabuk darah, fikir Koichi. Koichi bimbang, Ayame semakin menghampiri ramalan Amaguri itu.

 

Ayame termenung di tempat dia selalu bersendiri di tepi Gaung Maut. Hotaru datang bersama Nariko menemani Ayame.

 

“Bapaku tidak membenarkan aku ke sana lagi.” Gumam Ayame, merenung kabus yang memenuhi ruang Gaung Maut di hadapan. “Namun aku tidak akan mematuhinya. Kita mesti membantu Ryouji dan Hisamiko menghapuskan Hamada.”

 

“Kami saran engkau ikut sahaja nasihat bapamu, Ayame-san.” Ujar Hotaru.

 

“Namun Hamada... Hamada ialah akar kepada kejahatan yang membelenggu negara ini... kerana dialah, kerana dialah Takahata-san menjadi binatang, dan Shizue-nee chan turut sama mengikut telunjuknya... aku mahu menghapuskan induknya sekarang, ini peluang Hotaru, Nariko. Dan kini dengan bantuan kita itulah, Hamada sudah dihilangkan kuasanya. Menembusi kubunya di Kobe kini amat mudah dengan kaminari-ku.”

 

“Aku mahu ke Kobe. Apakah kalian mahu mengikutku?” Soal Ayame. Keduanya hanya mendiamkan diri.

 

“Nariko, engkau pasti menyokongku bukan? Engkau tahu bukan binatang begini, yang menodaimu...” Ayame memfokus pada Nariko selepas tiada maklumbalas.

 

“Ayame-san! Jaga perasaan sahabatmu!” bentak Hotaru, tatkala Ayame cuba menghidupkan kembali trauma Nariko yang pernah diperkosa sebelum Ayame sendiri menyelamatkannya dengan membunuh pelaku itu. Nariko menunduk sugul, tidak pula beredar kecil hati.

 

“Aku tidak berniat melukakan hati Nariko, Hotaru-san. Aku cuma mengingatkannya. Golongan binatang begini harus dibunuh. Induknya Hamada harus dihapuskan. Selepas itu kita akan musnahkan sindiket karayuki-nya dan sindiket candu dan perdagangan buku-buku lucah itu.”

 

“Aku tidak apa-apa, Hotaru-chan.” Nariko bersuara memberikan kepastian.

 

“Dengar sini Ayame-san. Memang kami juga membenci penjenayah ini dan semua sekongkolnya. Namun bapamu juga ada alasan sendiri. Dia merisaukan engkau. Kami berharap engkau mematuhi arahannya.”

 

Risaukan aku? Ya, mungkin. Mungkin dia tidak mahu ramalan Amaguri itu menjadi kenyataan ke atasku, maka dia menghalangku. Aku faham kasihnya, tidak, sikap mengongkongnya itu kini semakin hari semakin jelas menyerlah sejak insiden di Suruga. Namun mengapa tidak sejak dahulu begitu? Jika dia benar risaukan aku sejak dahulu mengapa dia sering membiarkan aku seorang diri selepas ibu mati? Mengapa Shizue nee-chan yang bertandang melayaniku ketika itu?

 

Dan sekarang aku telah kehilangan Shizue nee-chan kerana Kod Kogen. Kerana melaksanakan Kod Kogen, aku sanggup kehilangannya, dia yang aku anggap kakak sedarahku. Sekarang Kod Kogen adalah segalanya bagiku. Aku mahu bermati-mati menegakkan Kod Kogen agar kematian Shizue-nee chan sentiasa diwajarkan dalam kepalaku, agar kematiannya dapat aku terima dengan berlapang dada! Jika Shizue nee-chan dan suaminya Takahata aku bunuh kerana Kod Kogen maka aku akan menegakkannya sehingga ke titisan darah terakhir. Aku mahu menghapuskan Hamada dengan tanganku sendiri!

 

Nariko datang memeluk Ayame, cuba menyejukkan hati sahabatnya itu. Hotaru hanya memandang. Dalam hati ada sedikit rasa cemburu. Ayame ketua Skuad Sakura, dan Hotaru adalah antara orang kanan yang amat dipercayai selain Nariko dan lain-lain. Hotaru ada sedikit bimbang cita-cita melangkah ke puncak kerjaya bakal dihalang Nariko. Dahulu ada Goryuuin, namun Goryuuin sudah pun meninggalkan Kogen demi mengikut kekasihnya itu. Pemergian Goryuuin telah membuka peluang buat Hotaru mendaki ke puncak kerjayanya.

 

Namun hanya Nariko yang mampu melembutkan hati Ayame. Ada semacam ikatan yang lebih erat, lebih sebati dari sekadar rakan. Mungkin adik dan kakak, di mana Ayame kakaknya. Kerana Ayame-lah yang menyelamatkan Nariko lama dahulu.

 

“Ayame, aku tidak mahu kehilanganmu. Aku dengar dari insiden engkau ketika ke rumah perlindungan Tokui dahulu. Ayame, biarkan Koichi-san menyelesaikannya, ne?” Nariko menepuk belakang sahabatnya itu.

 

“Dengarlah nasihat kami Ayame-san. Tanpa engkau, Skuad Sakura tidak akan dapat diteruskan. Kita memerlukan Skuad Sakura buat masa ini demi membersihkan Kogen. Ada banyak kes penyiasatan di rumah-rumah perlindungan yang masih belum kita langsaikan. Anak-anak yang kita lindungi itu, semua memerlukan kita.” Hotaru menasihati.

 

Datanglah dua orang lelaki yang sentiasa mengiringi Ayame di pangkalan Kogen di Furukawa, bernama Hosokawa Seijurou dan Hosokawa Takajiro.

 

Kimitachi, kono basho wo dou shiteru no (Kalian, bagaimana tahu tentang tempat ini)?” Soal Hotaru agak terkejut dengan kehadiran mereka di pinggir Gaung Maut itu.

 

“Ah, engkau ingat engkau seorang saja ahli Skuad Sakura? Skuad Sakura pun ada ahli lelakilah.” Seloroh Seijurou.

 

Hotaru menjeling sahaja, rasa cemburu berganda. Jauh di ceruk hatinya dia hanya mahu berdua dengan Ayame di sini. Namun dengan adanya Nariko, dan kini dua orang penyibuk, hatinya makin rengsa.

 

“Ayame-san, kami mohon engkau patuhi sahaja arahan bapamu. Ada misi lebih penting di Furukawa.” Seijurou menyampaikan tujuan mereka datang ke sini.

 

Nariko meminggir dari Ayame dan mengadap dua orang kanan Ayame itu. “Berkenaan apa, Hosokawa-san?”

 

Akahana (hidung merah*). Dia bertanggunggjawab membekalkan senjata api kepada kubu Hamada di Kobe. Kita akan mematahkan rantai bekalannya.” Takajiro menambah.

 

*hidung merah ialah gelaran mereka kepada seorang pedagang Belanda bernama Pieter van Nekk.

 

Mata Ayame cerlang tiba-tiba, seolah-olah ditebak satu pencerahan baru.

 

“Tunggu dulu, Ayame-san.” Tegah Takajiro sebaik mengesan keterujaan Ayame dan isyarat seolah dia mahu mengeluarkan arahannya. Dia meneruskan, “Kogen telah diarahkan Koichi agar menyekat para penghantar senjata van Nekk ini. Beliau berpesan agar engkau melibatkan pasukan Skuad Sakura sekali sebagai peninjau dari jauh, dan membantu memanah hendap mereka sekiranya mereka melawan. Namun beliau menghalangmu dari menyertainya.”

 

Ayame melepaskan keluhan mendengarkan kenyataan Takajiro. Mata otou-san ne! (Bapa lagi!)

 

“Hotaru-san, kerahkan nazir Kogen di sekitar Kobe. Kita akan bertahan di jalur San’yo.” Ayame mengarah tiba-tiba kepada Hotaru. Nariko agak terkejut. Jalur San’yo ialah cabang lebuh pedagang dari Osaka menuju ke Kobe terus ke Shimagane dan Izumo, tempat lahir tamadun Jepun.

 

Hotaru senyum seraya tunduk, “Baik, Ayame-san.”

 

Dengan bantuan Ayame, bekalan senjata api Hamada berkurang dan beberapa hari kemudian, ancaman terhadap Ryouji beserta Hisamiko yang terpaksa meredah hujan peluru merentas jambatan yang merentangi parit yang mengelilingi sekitar kubu Hamada berkurang. Van Nekk turut membekalkan bom, namun kerana usaha Ayame menyekat rantai bekalannya, tiada bom berjaya dihantar kepada Hamada.

 

Otou-san, aku akur arahanmu kerana engkau masih mempercayaiku. Engkau menggunakan pasukanku. Dan aku akur kerana nasihat mereka, orang-orang kananku. Andai mereka tidak menegahku, andai engkau tidak memandang pasukanku untuk membantumu, aku akan langsung bertemu Hamada hari ini, getus Ayame dalam hati. Arigatou otou-san, kerana menggunakan pasukanku. Engkau bukan tidak yakin dengan kemahiranku, engkau terlalu membimbangiku.

 

Otou-san, aku akan membantumu!

 

***

 

“Shinsengumi?”

 

“Tidak mungkin. Shinsengumi tidak bertarung seperti itu. Kepantasan mereka luar biasa. Aneh.”

 

“Apa yang kalian mengarut? Shinsengumi sudah terkubur di Hakodate. Apakah kalian sudah lupa?”

 

“Benar. Ketika pertempuran terakhir perang Boshin. Aku yakin mereka bukan Shinsengumi. Kalian tidak pernah mendengar tentang Kogen?”

 

“Kogen? ‘Tanah tinggi’? Apakah itu?”

 

“Kogen itu hanyalah gelaran sebuah pertubuhan. Pertubuhan yang melindungi anak-anak yatim dan anak-anak miskin. Mereka juga memperkenalkan ilmu Barat dan mendapat mandat penuh Maharaja. Mereka salah satu tulang belakang Pembaharuan yang dilakukan Maharaja ketika ini.”

 

“Sugisaki, apa kaitan mereka dengan Kogen?”

 

“Aku fikir mereka ahlinya.”

 

“Petunjuknya?”

 

“Pedang mereka tidak bermata. Selain itu, kemahiran bertarung pantas sebegitu ialah seni kaminari-no-kaze yang digembar-gemburkan. Juga, mereka tidak membunuh sasaran mereka, hanya mencederakan dengan mematahkan tulang mereka. Mereka bertarung pantas seperti hayabusa. Chigau (bukan), seperti angin. Angin malam yang menderu. Yoru-no-kaze (bayu malam).”

 

“Namun aku hairan. Selalunya Kogen akan menyerang dalam kumpulan. Namun mereka hanya berdua.”

 

“Barangkali pasukan serpihan. Mungkin mengambil keputusan bertindak secara sendirian.”

 

“Atas alasan apa pada fikiranmu?”

 

“Aku tidak tahu. Mungkin berbeza prinsip dengan ketuanya, dan dibuang, atau melarikan diri? Atau mereka bukan dari Kogen tetapi pernah diajar bertarung oleh Kogen?”

 

“Barangkali...”

puisi#1

Pada bilah-bilah yang berguguran


Pada bilah-bilah yang berguguran itu

Ada darah para pahlawan yang bertumpukan

Sememeh memudar kilaunya

Demikian matinya kilau sebuah zaman


Pada bilah-bilah yang berguguran itu

Ada air mata yang berjujuhan

Ada keringat yang berembesan

Dari jiwa para pahlawan yang tertumpas

Disemadi pusara yang tidak bernesan


Pada bilah-bilah yang berguguran itu

Ada retak dan sumbing berbilangan

Petanda ampuhnya senjata lawan

Petanda berkurun ego yang ditampan

Dan berabad maruah yang dicalarkan


Pada bilah-bilah yang berguguran itu

Citra bayu menghembus perubahan

Membawa janji dan cita bersama

Mengeringkan tumpukan keringat dan darah

Hingga mentari kembali dipantul, dipencarkannya

Menebar luas menyinar jalan ke hadapan

Menerangi segala darat dan samudera yang harus ditundukkan


Kuala Lumpur, 18 Jun 2024, 10:51 malam




Penutup

Lebih kurang 420,000 patah perkataan. Empat tahun. Tiga buah buku. Sebuah trilogi epik berlatarbelakangkan sejarah Jepun.   Maka dengan ...